Wednesday, March 30, 2011

Kesihatan diri

Dalam mengejar kejayaan dan kebahagiaan, kita tidak harus melupakan diri kita yang boleh diibaratkan sebagai sebuah kawah. Apinya sentiasa bersemarak, tubuh mesti sentiasa bersemarak. Tubuh kita mesti sentiasa sihat, kuat dan bersemangat. Jika api kawah malap, maksudnya jika kesihatan kita kurang mantap, kehidupan kitapun turut malap.

Untuk mencapai kejayaan dan kebahagiaan ini, kita mesti menjaga kesihatan sejak dari kecil hingga ke usia dewasa dan tatkala mencapai usia warga emas.

Sekiranya kita seorang pemburu impian hidup, tubuh badan dan fikiran kita mesti sentiasa segar. Ia terlalu mustahak semasa kita mula membuat keputusan atau sedang berjuang mengejar cita-cita kita.

Kesihatan mental juga perlu dijaga. Mental yang sihat selalu memberi keghairahan untuk berusaha. Sebaliknya mental yang tidak sihat penuh dengan rasa kesal, pesimis, menyerah kalah dan belas diri! Akhirnya kita akan tercampak ke lubuk kecundang!

Tuesday, March 29, 2011

Bertenaga

Bertenaga bemakna selalu ghairah berusaha untuk mencapai impian hidup. Berusaha mengusir rasa malas atau jemu dan bosan daripada menguasai diri kita merupakan antara pra-syarat yang utama dalam perjuangan hidup kita. Bertenaga juga bererti emosi kita positif.

Kita yang bertenaga akan berjaya melakukan apa sahaja dan mencapai apa yang dihajatkan. Berjaya membuat sesuatu hingga selesai dengan cara yang betul. Berjaya melangkah naik dari satu anak tangga ke satu anak tangga yang lebih tinggi.

Sebaliknya kita yang tidak bertenaga akan melakukan sesuatu hanya bila terpaksa, atau melakukan dengan tekun hanya pada ketika-ketika tertentu dan terdesak sahaja. Di ketika-ketika yang lain, yang sangat memerlukan, kita rasa terlalu malas dan bosan hingga melemah-lengohkan urat saraf kita.

Jika dibiarkan diri dikuasai rasa bosan atau jemu, ia akan kekal menjadi tabiat. Oleh yang demikian ia mesti dilawan dengan apa cara sekalipun untuk tidak dihinggapi penyakit malas yang keterlaluan.

Wednesday, March 23, 2011

Fokus dan dan daya usaha

Dalam menentukan haluan hidup atau membuat keputusan, pastikan bahawa segala pertimbangan yang perlu telah diperhitungkan. Jangan "makan" lebih daripada yang dapat ditelan. Dan setelah satu-satu keputusan diambil, jangan biarkan diri kita sentiasa berada dalam keadaan menyesal.

Sebaliknya kita mesti menagih cita-cita kita dengan penuh minat dan tenaga serta penglibatan diri yang sepenuh-penuhnya. Kalau ibarat permainan bola, ia mesti sentiasa dalam keadaan bermain, tidak boleh diberhentikan.

Ramai yang gagal kerana kurang usaha dan mencuba, dan ramai juga yang kecewa kerana mereka cuba membuat lebih daripada keupayaannya.

Tuesday, March 22, 2011

Cita-cita atau matlamat

Kesibukan semenjak hari pertama sesi kedua persekolahan penggal ini menjadi ruang tertutup untuk menghantar entry baru ke blog ini. Namun waktu ini ada terbuka sedikit ruang kesibukan itu untuk menulis. Kali ini saya akan menulis ringkas tentang cita-cita dan matlamat.

Hidup kita adalah diibaratkan sebagai sebuah perahu yang bergerak di air, ada destinasinya. Ada persiapan yang harus kita lakukan sebelum pelayaran, dan ada persiapan semasa dalam pelayaran kerana kita harus menjangkakan bermacam-macam cubaan kemungkinan melanda. Keselamatan dan jangka masa untuk sampai ke destinasi, sangat bergantung kepada pelbagai faktor termasuk kecekapan mengendalikan perahu.

Begitu juga dengan kehidupan kita sebagai manusia, mesti mempunyai cita-cita. Tanpa cita-cita hidup kita tidak ubah seperti buih atau sampah yang hanyut dibawa air tanpa haluan yang jelas dan nyata. Pendek kata, cita-cita kita adalah inspirasi perjuangan kita. Cita-cita kita ialah kekuatan kita, menjadikan kita optimis, jiwa kebal dalam menempuh rintangan, bersemangat kental dan hati berwaspada. Cita-cita membezakan kita antara orang yang berjaya dan orang yang sesat lagi pendusta, orang yang bersungguh lagi serius dengan orang yang hanya hangat-hangat tahi ayam!

Sunday, March 20, 2011

Hati-hati... jangan alpa dan leka

Impian, cita-cita, dedikasi dan sebagainya lancar disebut. Anehnya jarang orang yang menterjemahkannya menjadi realiti, menjadi budaya hidup sehari-hari. Ramai di antara kita yang sedar bahawa dalam kehidupan kita ini penuh dengan peluang tetapi tidak ramai yang sedar bahawa peluang itu mesti diperolehi dengan keperitan yang bukan sedikit.

Ada yang sanggup bertarung dengan pelbagai usaha yang tidak pernah putus asa dan tidak pernah lupa memanjatkan doa memohon agar segalanya akan berlangsung dengan baik dan akan tercapai kejayaan yang dihasratkan.

Namun sebaliknya ramai juga yang leka dan lena. Disangka kealpaan itu satu nikmat, pada hal ia adalah satu laknat. Syaitan menghias fikiran mereka .


Saturday, March 19, 2011

Usahakan perancangan

Kita mesti hidup bertujuan, mengguna seluruh kuasa imajinasi kita untuk menghasilkan rancangan-rancangan yang baik dan emosi yang hangat dan berkobar-kobar dalam merintis kejayaan. Kejayaan bukan satu anugerah yang datang begitu sahaja. Kejayaan adalah hasil penat lelah dan pejuangan yang tak kenal erti undur.

Kejayaan tidak akan dimiliki oleh 2 jenis manusia iaitu yang malas merancang dan yang banyak beralasan.

Orang yang mencuba tetapi gagal adalah orang yang sedang mendaki tangga kejayaan. Jika terus mencuba, lambat laun akan beroleh kejayaan! Yang penting mulakan sekarang.

Ingatlah bahawa kelmarin sudah berlalu, esok masih belum pasti, hari ini peluang masih ada!


Friday, March 18, 2011

Kita hanya ada dua pilihan dalam hidup ini...

Realitinya, kita hanya ada dua pilihan dalam hidup ini. Pertama, terus bergerak ke hadapan dengan tujuan hidup yang jelas, dan kedua, terus membiarkan suasana dan bahana kehidupan menghanyutkan kita tanpa haluan.

Hanyut ialah kelalaian mental yang membuatkan kita membiarkan sahaja peluang demi peluang yang melintas di hadapan mata. Penyakit hanyut ini hanya boleh diberhentikan dengan memahami kepentingan masa dan tujuan hidup yang jelas dan tegas. Bila sikap hanyut dapat dihentikan, bermakna, seolah-olah kita dilahirkan semula dan memulakan hidup kita pada pangkal yang baru sebagai manusia baru!

Kita mesti benar-benar yakin bahawa tiada sesuatu tanpa sesuatu. Lebih-lebih lagi yang berharga, ia mesti dibayar atau dipertukarkan dengan yang bernilai. Tiada yang percuma.