Saturday, February 26, 2011

Tak usah menyerah kalah kepada masalah


Apabila kita mengalami masalah, kita mesti berfikir dengan sikap positif bahawa kita akan dapat selesaikan masalah itu. Sikap positif adalah asas ‘keyakinan bertahan’ iaitu sikap milik individu-individu yang tidak mudah dikalahkan.

Mereka adalah orang-orang yang percaya mereka tidak akan hancur oleh masalah ataupun kesukaran dan kesulitan. Mereka berfikir dengan rasional bagi memahami masalah yang mereka alami dan mereka mencipta pelbagai cara dan kemungkinan menyelesaikannya, lalu mereka cuba satu, satu, cara itu sehingga akhirnya mereka menemui kunci penyelesaian. Semua masalah ada kunci penyelesaian, selalu ada, asal sahaja kita tidak panik dan cepat menyerah.

Di sekeliling kita ada individu-individu yang hancur kerana masalah dan kesukaran. Sebahagian mereka mungkin terdiri daripada orang-orang yang rapat dengan kita. Mereka mempunyai cita-cita dan matlamat hidup. Mereka belajar…mereka berkerja…mereka berusaha…mereka berfikir…mereka berjuang…mereka juga berdoa. Tetapi disebabkan jalan yang mereka terpaksa tempuhi dirasai terlalu sukar, mereka berasa letih, jenuh, bosan, lalu mereka berputus asa, akhirnya mereka berhenti melakukannya. Mereka menyerah kalah.

Bayangkan jika mereka tidak berhenti berusaha, sebaliknya teruskan berusaha sedikit sahaja lagi, dan terus tekun lama sedikit lagi, di depan sudah tidak jauh, ada kejayaan yang menunggu.

Friday, February 25, 2011

Sabar...masalahkan fitrah kehidupan!

Masalah! Masalah sering kali disamakan dengan keburukan, padahal ia adalah sebaliknya. Sesuatu masalah itu mungkin mengandungi kebaikan dan biasanya memang begitu di mana ada masalah di situ ada kebaikan.

Tidak keterlaluan jika dibuat tanggapan bahawa kejayaan tidak mungkin dicapai dengan lari daripada menghadapi masalah. Malah antara syarat kejayaan dan kecemerlangan hidup seseorang ialah kemahiran menyelesaikan masalah.

Mungkin ada antara kita yang percaya hidup akan lebih mudah seandainya hanya perlu menangani masalah yang mudah atau sedikit sahaja masalah. Tetapi betulkah begitu?

Masalah adalah fitrah kehidupan dan ia juga sebenarnya bukti kehidupan. Hanya kematian yang menamatkan masalah kita di dunia. Selagi kita dikatakan hidup, kita pasti akan berdepan dengan masalah. Oleh yang demikian semakin banyak masalah yang kita hadapi semakin hidup kita jadinya!

Prinsipnya ialah jangan sekali-kali berhenti daripada meneruskan usaha mengatasi masalah dan jangan menyerah kalah kepada masalah.


Thursday, February 24, 2011

Matlamat sebagai pemikiran dominan

Untuk mencapai apa yang kita cita-citakan, kita perlu menjadikan matlamat kita sebagai pemikiran dominan dalam diri kita. Setiap hari, sekerap yang mungkin, berikan tumpuan terhadap apa yang menjadi matlamat kita. Selalulah menggambarkannya dalam fikiran kita sehingga ia menjadi sebahagian daripada diri kita. Jadikannya sebagai azam yang positif dan fokuskan imaginasi kreatif kita terhadapnya.

Pastikan kita memberikan fokus terhadap perkara yang positif dan bukannya yang negatif kerana jika tidak, apa yang kita perolehi adalah apa yang sebenarnya tidak kita ingini.

Ingatlah bahawa kita tidak boleh menjauhkan diri kita daripada apa yang kita tidak ingini. Kita hanya boleh bergerak ke arah apa yang kita ingini atau apa yang ingin kita jadi. Sekiranya kita memberi fokus kepada apa yang bukan menjadi matlamat kita maka ia akan menjadi pemikiran dominan kita dan itulah apa yang akan kita dapati.

Wednesday, February 23, 2011

Pemikiran dominan

Minda bawah sedar kita mengendalikan fungsi-fungsi automatik kehidupan yang membuat kita hidup manakala pemikiran dominan menunjukkan kepada kita arah yang patut dituju dalam hidup ini.

Sebelum sesuatu bentuk tindakan menjadi dominan dalam fikiran kita, ia mungkin terjadi dan mungkin juga tidak. Setiap saat, minit, jam, hari, minggu, bulan, tahun dan sepanjang hayat, kita mempunyai pemikiran yang dominan.

Sekiranya kita menjadikan apa yang kita ingini sebagai pemikiran dominan kita dan seterusnya mencipta minda kita gambaran grafik mengenainya, maka kita sudah berada dalam perjalanan untuk mencapai apa yang kita ingin capai.

Pemikiran dominan merupakan cara untuk memberi keutamaan serta penekanan terhadap pemikiran. Apabila dihantar kepada minda bawah sedar, pemikiran ini akan menjadi kenyataan dalam kehidupan kita melalui kuasa kemampuan memenuhi kemahuan diri yang disokong oleh keimanan dan keyakinan diri. Insya Allah!

Tuesday, February 22, 2011

Bertenang

Bertenang adalah cara yang sangat berkesan untuk mempertingkatkan kuasa pembinaan azam kita. Bersikap terlalu tegang dan mendesak boleh menghalang kejayaan. Dengan apa cara sekalipun, berilah tumpuan dan tegaskan secara khusus apakah yang menjadi azam kita. Tapi awas jangan terperangkap dalam jerat keghairahan dan kebimbangan mengenai apa yang kita impikan.

Menerima apa yang ada dalam hidup ini adalah sebahagian daripada usaha mencapai ketenangan. Ia membabitkan keimanan yang akan menolong kita berhenti daripada membuat desakan, melawan dan melakukan muslihat untuk mencapai apa yang kita inginkan dalam hidup ini.

Terimalah apa yang ada dalam kehidupan ini sepertimana adanya dan yakinlah bahawa sekiranya kita terus berusaha membina kehidupan dengan keriangan, kemakmuran dan kepuasan, maka kita sebenarnya menarik kualiti-kualiti ini kepada diri kita sendiri dan seterusnya membina kejayaan dalam kehidupan yang kita harapkan.



Sunday, February 20, 2011

Bina kesungguhan


Kesungguhan atau keazaman adalah tindakan mengesahkan sesuatu perkara dengan cara menulis, bercakap dengan kuat atau berbisik kepada diri sendiri apa yang ingin dicapai atau dizahirkan dalam hidup ini.

Kesungguhan atau keazaman boleh dibuat mengenai apa sahaja yang kita hajati kerana keazaman tidak terhad sifatnya.

Keazaman yang kita buat mungkin bersangkutan dengan masa depan atau harta benda seperti kecemerlangan dalam pelajaran, kerjaya yang cemerlang, kenaikan pangkat, keluarga bahagia, rumah, kereta, barang kemas dan sebagainya. Ia juga mungkin bersangkutan dengan amalan dan penghayatan agama seperti merapatkan diri dengan Allah SWT.

Oleh yang demikian kita harus pastikan, kita sering menanam keazaman yang positif di dalam diri kita dan berilah tumpuan terhadap apa yang ingin kita capai dan bukannya apa yang ingin kita hindari.

Friday, February 18, 2011

Pertingkatkan keyakinan

Pertingkatkan kesungguhan dan mantapkan pengambaran dengan yakin dan penuh kepercayaan. Namun ini adalah sesuatu yang sukar bagi sesetengah orang.

Bagaimanakah caranya untuk pertingkatkan keyakinan? Sebenarnya keyakinan akan datang sedikit demi sedikit. Usaha yang berulang-ulang adalah cara untuk pertingkatkan keyakinan. Dengan mengarahkan minda bawah sedar secara berulang-kali agar mempunyai keteguhan hati, maka kita sebenarnya membina dan memupuk keyakinan kita.

Apa juga pemikiran yang sampai kepada minda bawah sedar kita secara berulang kali, akhirnya akan menerima tindakannya dan menjadi kenyataan dalam hidup kita.