Monday, May 31, 2010

Buat It's me, terima kasih...terima kasih !!


Saya mungkin kenal dia kerana dia mungkin pelajar saya tetapi saya tidak tahu yang mana satu dia. Dia sering menghantar kad-kad ucapan terutama pada hari guru. Kad-kad yang dihantar cantik dan sangat menarik kata-katanya, sehingga ke hari ini masih tertampal di softboard bilik saya. Namun sehingga hari ini saya tidak tahu siapa itu it's me walaupun saya rindu mahu mengenali ! Segalanya tetap menjadi hak it's me untuk saya tidak mengenali yang mana satu dia !

Kali ini dalam tulisan saya di bawah, dia yang telah lama menghilangkan diri, telah menulis di ruang komen. Tulisannya sungguh memeranjatkan saya. Saya kaget dan serta merta terasa sayu dan malu sendiri.

Kepada it's me yang memanggil saya Ayahanda ingin saya memberitahunya bahawa saya sangat tersentuh hati membaca tulisannya untuk saya. Terasa diri ini terlalu kerdil dalam kerjaya keguruan ini.

Saya hanya seorang guru biasa, yang hanya melakukan tugas keguruan secara biasa mengikut rutin biasa. Sebenarnya tak banyak yang mampu saya lakukan kerana saya bukan seorang pendidik yang sehebat itu. Tiada apa yang hendak dikagumi dengan kerja-kerja biasa yang saya lakukan dalam dunia pendidikan ini. Jika saya seorang yang hebat yang wajar dikagumi, tempat saya bukan di sini.

Namun demikian segala isi tulisan anakanda it's me ini amat ayahanda hargai. Semoga Allah menjauhkan diri ayahanda dari segala sifat riak dan takbur. Berperanan sebagai khalifah Allah tiada lain yang mampu ayahanda lakukan melainkan untuk melihat semua pelajar ayahanda cemerlang dunia dan akhirat.

Walaupun ayahanda tidak tahu yang mana satu it's me, ayahanda tetap mendoakan kejayaan dan kecemerlangan anakanda dan semua bekas pelajar ayahanda. Ayahanda tersangat yakin bahawa anakanda it's me kini adalah seorang yang berjaya dan cemerlang. Tahniah !!

Tulisan it's me:

It's me said...

بسم الله الر حمن الر حيم
Assalamualaikum sebagai pembuka bicara, sebelum meneruskan bicara izinkan kami memanggilmu dengan panggilan ‘ayahanda’.


Ayahanda, dirimu menjadi kebanggaan kami disini.
Hari-hari yang berlalu tak betah rasanya tanpamu di sisi, hilanglah serinya….
“Masihkah kau ingat kita berlari-lari…”itulahlah salah satu lagu kegemaranmu…

Aduhai ayahanda…tanpamu siapalah kami disini.
Dunia kami pastikan kelam andai kau tiada disisi…segala nasihat dan pesananmu kami jadikan ia sebagai panduan dalam hidup kami…terlalu ia bermakna & berharga buat diri kami.


Siang malam dirimu bermandi keringat…keringat seorang pendidik…pendidik yang penuh dengan harapan untuk melihat anak-anak didiknya berjaya di suatu hari nanti, mulianya tugas seorang pendidik, tidak pernah mengenal erti penat lelah mahupun jemu dalam erti kata mendidik.


Ayahanda…betapa kami kagumi dirimu…maaf Zahir & batin seandainya kehadiran coretan ini mengganggu rutin harianmu,sebelum mengundur diri
Ingin kami menyatakan kepadamu…bahawa kami begitu menghormati & menyanjungi dirimu ianya…Lahir dari hati yang tulus & Ikhlas seperti dirimu…ikhlas dalam perjuangan…perjuangan seorang pendidik…sesungguhnya ayahanda ketahuilah bahawa dirimu menjadi contoh kepada kami semua di sini…akhir kata sambutlah salam hormat khas buatmu ayahanda dan “AYAHANDA YOU ARE THE GREATEST SIR & FATHER FOR US”.

Tarian Pena: It’s me your Fan’s
Created on : 24 Mei 2005
p/s:5 thn berlalu, & kini baru berkesmpatan utk diberikan kpd Ayahanda. Ketika masih dibangku sek.lagi nukilan ini tlh siap dicipta.Namun masa membataskan utk nukilan ini dihulurkan...

May 30, 2010 10:46 PM

Terima kasih buat it's me di atas segala ingatan terhadap ayahanda. Ayahanda sangat menghargainya.

Saturday, May 29, 2010

Moringa Oleifera Lam ...Merunggai .


Dulu tersenggeng. Sekarang sudah berjumbai. Sering lalu lalang di situ, tak kisahpun, jeling pun tidak apatah lagi pandang !

Suatu hari di minggu lepas, saya bukan sahaja terpandang malah terpegang pun sambil bersembah di bawah teduhannya dengan Samad, "Mat, tebang je-lah pokok ini !".

"Eh jangan....Mak Teh tak bagi tebang! Apalah Pok Li ni....nak tebang pulak !!! " sahut Samad terjuih mulut macam terperanjat.

Mak Teh tu arwah ibu saya yang telah meninggal dunia 3 tahun lalu. Entah bila arwah ibu saya memberitahu dia saya tak tahu.

" Mak Teh kata, pokok ini bagus boleh buat ubat dan buat sayur pun boleh ", jelas Samad lagi.

Saya tak tahu tentang hal itu maka saya bertanya Samad, apa nama pokok ini ? Kacang kelur kata Samad pantas.

Maka balik ke rumah, saya pun buka internet dan taip 'kacang kelur', keluarlah antara namanya merunggai, ramunggai, moringa oleifera lam dan ada beberapa lagi.

Banyak jugak khasiatnya...antaranya, buah yang muda boleh dibuat sayur, dimasak kari, digoreng, masak sup dan sebagainya. Bijinya digoreng untuk dimakan sebagai kacang. Dan minyak masak juga boleh diperolehi dari kacang kelur ini.

Pokok kacang kelur ini juga rupanya banyak khasiat ubatannya. Pokok seluruh bahagian terutamanya daun boleh digunakan sebagai herba untuk melawas pembuangan air kecil, membantu penghadaman, penawar keracunan darah dan ubat salap. Biji boleh dibuat ubat sapu pada bahagian sakit akibat gout atau reumatisme.

Manakala daun jika ditumbuk lumat boleh ditampal di perut untuk mengeluarkan cacing. Cecair daun disapu pada kaki dan tangan yang sakit. Akar boleh direbus dan diminum sebagai tonik, merangsang haid, penawar racun, penawar penyakit kulit dan macam-macam lagi.

Saya tidak pernah makan dan rasa apa-apa bahagian yang dimasak dari pokok kacang kelur ini. Maka saya tuliskan di sini bukan cadang untuk dicuba tapi hanya untuk pengetahuan...

Memang semua maklum bahawa setiap cintaan Allah ada kegunaan dan faedahnya. Rupa-rupanya pokok ini banyak kegunaannya !!

Maka tidak tebanglah saya...kot-kot ada hamba Allah yang mencari dan memerlukannya ! Mana tahu ...!

Thursday, May 27, 2010

Semprot sarang tebuan.

Jangan jolok sarang tebuan. Pepatah Melayu berpesan begitu. Larangan dibunyikan kerana kerja menjolok sarang tebuan, memang kerja merbahayakan. Kata orang kampung sebelah, "Eh...padah boleh !!".

Maka takutlah saya untuk berbuat demikian walaupun terasa juga geram hendak menjolok.
Berminggu-minggu kami melihat. Semakin hari semakin membesar ia. Dua tiga ekor sang panglima agaknya, melewar ke sana ke mari.

Bertanya saya akan jiran sebelah, agak-agak berani atau tidak untuk melepaskan geram. Mengeleng-ngeleng kepala botak akan jiran itu. Bertanya saya akan anak bujang nombor dua saya yang sedang bercuti semesternya. Termenung agak lama dan panjang macam memberi jawapan yang jelas bagi yang memahami !

Bercakaplah saya kepada abang ipar sebelah. Meninjau dan menelek-neleklah kami. Terus dia telefon seorang sahabat kami dari Jabatan Bomba dan Penyelamat. Maka datanglah untuk memeriksa dan menilai.

" Besar !!", sepatah kata yang padu dan jelas terbit dari mulut sang bomba.

Malam berikutnya datanglah para pakar dari Jabatan Bomba dan Penyelemat. Dengan menggunakan beberapa kaedah, di semprotnya sarang tebuan. Senyap kelu tak kedengaran. Berguguran ke tanah di ketuk hancur.

Maka tamatlah kisah sarang tebuan di bumbung teratak usang saya. Tidak dijolok dia, cuma hanya disemprot sahaja !

Wednesday, May 26, 2010

25 pelajar satu kelas ?


Ada banyak cadangan supaya ditetapkan hanya maksima 25 pelajar dalam satu kelas. Cadangan yang baik. Namun bila akan di kuat kuasakan, maksudnya akan diterima, belum pasti lagi. Kerana setiap yang hendak dilakukan ada masalahnya.

Kini pun ada yang sudah berlaku namun masih banyak kelas yang mencecah 30 pelajar malah ada yang bagaikan ikan sardin.

25 pelajar satu kelas, implikasinya, pertambahan guru, pertambahan bangunan kelas, pertambahan kos pembangunan dan pengurusan. Maka bertambahlah duit...duit...duit...maka payah !!

Tuesday, May 25, 2010

USM cipta plastik daripada kulit buah


Para saintis USM

GEORGE TOWN - Universiti Sains Malaysia (USM) sekali lagi tampil dengan inovasi terkini apabila sekumpulan tiga penyelidiknya berjaya menghasilkan plastik mesra alam menggunakan konsep teknologi hijau bagi menggantikan plastik yang tidak boleh terurai untuk kegunaan pembungkusan.

Kumpulan penyelidik itu diketuai oleh Pensyarah Pusat Pengajian Kejuruteraan Bahan dan Sumber Mineral, Prof. Dr. Hanafi Ismail dengan dibantu oleh Prof. Madya Dr. Noor Aziah Abdul Aziz dan Ooi Zhang Xian dari Bahagian Sains dan Teknologi Makanan Pusat Pengajian Teknologi Industri USM.

Menurut Hanafi, plastik yang mampu terurai itu dihasilkan daripada bahan buangan buah-buahan tropika seperti kulit pisang, kulit rambutan dan kulit serta jerami buah cempedak.

"Pada masa ini, kebanyakan plastik komersial dibuat daripada petroleum dan gas asli yang tidak boleh terurai.

"Idea kami adalah untuk menyelesaikan masalah alam sekitar yang disebabkan oleh petroleum berasaskan polimer yang lengai dengan serangan mikro organisme dan tidak terurai," katanya pada sidang akhbar memperkenalkan produk berkenaan yang dinamakan Fruitplast di sini semalam.

Katanya, proses menghasilkan Fruitplast mengambil masa seminggu untuk menukarkan sisa buah-buahan menjadi lapisan plastik.

Sumber berita: kosmo.com.

Monday, May 24, 2010

Jemputan kahwin dah mula tiba !


Cuti sekolah bakal menjelang. Sudah banyak kad jemput sampai ke rumah. Satu hari sampai 5 jemputan. Mana satu hendak pergi mula menjadi perkiraan dan pertimbangan. Ada juga kad jemput yang tidak berwaktu. Entah tuan jemput lupa atau mungkin sengaja... kot trend baru!!

Bertanya saya kepada abang ipar pukul berapa nak pergi yang tidak ada waktu ni ? Dari selepas subuh hingga ke isyak, jawab abang ipar saya spontan...entah ya entah tidak !

Pada 5 Jun, saya pula telah menerima amanah untuk menjadi juru cakap satu majlis pertunangan anak sepupu selepas solat zohor dan selepas solat asar saya perlu pula membawa rombongan peminangan untuk anak sendiri. Nasib baik antara dua majlis itu berdekatan. Malamnya pula terpaksa ke rumah sepupu untuk menjadi saksi majlis pernikahan anaknya.

Itu belum lagi menghadiri jemputan para sahabat dan jiran tetangga. Tengah berkira-kira dan berbincang dengan isteri, rumah-rumah yang perlu dihadiri atau bagaimana hendak menghadiri semuanya !

Friday, May 21, 2010

Bagaimana nak kaya ?


"Sir, macam mana nak jadi kaya ?".

Terkebil-kebil mata saya melihat budak itu. Apakah yang berligar dalam benak fikirannya sehingga terpancut soalan itu dari mulutnya. Saya mencari jawapan sambil merenung wajah yang sedang melihat saya itu. Budak ni seriuskah atau main-main?

"Kalau kamu nak kaya, kamu mesti menjadi berwang," jawab saya selamba.

"Beruang ?".

"Berwang!', jawab saya sambil jari telunjuk tangan kanan saya menggesek-gesek ibu jari.

"Oh...tapi macam mana mahu menjadi berwang ?," tanyanya sambil terkekeh-kekeh.

"Bekerja untuk mendapatkan wang, kumpul, jimat, simpan dan kerja dan simpan dan kerja dan simpan, pasti akhirnya kamu akan menjadi berwang !".

"Fuuh....!" sambil mengeluh dia bangkit dari kerusi nya dan berkata, " payah ye sir nak menjadi berwang zaman sekarang !". Dia bangun terus minta izin untuk ke kelasnya.

Saya terus melihat budak itu keluar hingga ke pintu. Bermain difikiran saya persoalan apakah yang membuatkan budak itu mahu menjadi kaya ? Apakah yang sedang dihadapinya. Apakah kaya mampu menjadi penyelesai masalah kepada kehidupannya ? Atau apa dan mengapa budak itu ?.