Zaman sekarang dipanggil zaman dunia tanpa sempadan, orang putih sebut " borderless world!" Hubungan komunikasi merentas benua, meredah taufan di lautan. Berlabun di Oprah, menonton di Chedok.
Kalau hendak tahu macam-macam, semua boleh dan mampu, kecuali buat tak kisah. Orang yang kisah macam-macam tahu, macam-macam pandai dan macam-macam gelagat. Ada tahu yang berbaloi, ada tahu yang mengarut. Bercakappun mengarut, berguraupun mengarut ! Tapi kadang-kadang yang mengarut tetap melucukan walaupun bunyi tak berapa nak senonoh.
Minumlah saya sambil makan keropok lekor dan sata. Sekumpulan remaja minum-minum dan makan juga di situ. Maklumlah gerai terbuka pinggiran jalan. Dalam banyak-banyak perbualan ada yang menarik perhatian semasa mereka berteka-teki sambil gelak-gelak makan.
Terdengar seorang dari mereka berteka-teki, bunyinya ampun maaf dipinta, katanya, " Apakah binatang yang paling banyak 'batu' ?"
Sambil bergelak-ketawa maka banyaklah tekaan dari mulut para kawannya. Macam-macam binatang keluar. Saya hanya diam namun rasa jugak lucunya sambil fikiran ini meneka jugak, "binatang apa ya ?"
Anih semua binatang yang diberikan sebagai jawapan semuanya dikatakan salah ! Akhirnya salah seorang dari remaja itu merungut, " hah..mengarut kau ni, mana ada binatang banyak batu, semua dua belaka termasuk ngko !".
"Eh...aku bukan binatanglah !", pantas si pemberi teka-teki memotong. "Ada !!"
"Binatang apa ?' tanya yang seorang lagi !
"Naga China !" jawab si pemberi teka-teki
"Naga China ?", tertanya saya sambil terdengar gelak ketawa para remaja di belakang saya itu.
"Naga China lah paling banyak batu. Kalau ada 10 orang kata bawah tu, 20 batu," jawabnya selamba.
Masya Allah begitu rupanya !! The boderless world ..... Macam-macam !
Mengikut Kamus Dewan, BUDAYA ertinya Peradaban. Kata akar Peradaban ialah ADAB. Adab pula ertinya tingkahlaku serta tutur bicara yang halus dan sopan. Maka boleh dirumus pukal bahawa BUDAYA ialah tingkahlaku dan tutur bicara yang halus dan sopan yang menjadi darah daging kehidupan.
Jika itu budaya, maka ertinya kehidupan yang tidak mempunyai tingkahlaku dan tutur bicara sopan, maka kehidupan itu tidak berbudaya, tiada peradaban disebabkan tidak ada adab. Kehidupan yang sarat kemangkukkan !
Kes anak kepada gadis-gadis yang tidak berlaki sahih, dan buang bayi yang menimbun lantas pepak dihidangkan di corong-corong media, hingga terpacul dari minda mak menteri akan perancangan mata pelajaran Kesihatan, Reproduktif dan Sosial, merupakan antara petanda bahawa kehidupan hari ini kian tidak berbudaya !
Soalnya, tiada siapa yang mahu memikirkan atau segan untuk menyatakan atau degil untuk mendengar pandangan orang, tingkahlaku dan tutur bicara itu wajar berdiri atas asas apa ? Atas asas budaya itu sendiri ? Mana mungkin tingkahlaku dan tutur bicara sopan itu mampu berdiri atas asas budaya sedang budaya sendiri kian pupus atau mungkin sudah tidak wujud lagi ?
Soalnya bagaimana ?
Sejak lama dahulu kita mulai lagu ini dengan... ikan oh ikan kenapa engkau tidak timbul.... kini semua sudah tahu, lagu kita sudah sampai ke saat ...ular oh ular kenapa nak makan katak...KAAATAK MAKANAN AKU !
Nampaknya, kita terus diajak menyanyikan berkali-kali lagu itu....!!
Sambil memandu mulut mengunyah. Melayan fikiran merayau kepada pelbagai hal; kerja, masyarakat, agama, politik, budaya 1Malaysia, buang bayi, mata pelajaran kesihatan reproduktif dan sosial, kereta tak siap-siap lagi, duit dan macam-macam !
Sepanjang jalan melihat pelbagai ragam dan pandangan; hutan yang gondol, ada kereta yang tersadung dalam belukar, memotong di double line, lori asap berbunga, menunggang motorsikal tanpa topi keledar, anak gadis membonceng motosikal nampak alur buntot (masya Allah!), kera mengawan di tepi jalan (kera betul; kurang ajar kera ni !). Macam-macam....!!! Namun saya terus mencari Suria !
Suria ? Saya hendak berjumpa Suria dan akan pasti berjumpa Suria kejap lagi !
Dalam fikiran macam manalah rupa Suria. Hati mula rasa berdebar. Dari namanya saya mula tertanya-tanya; Panaskah Suria bila kami bersua nanti ? Saya terus terbayang wajah Suria yang penuh keegoan dan gah atau mungkin penuh photogenic menyambut kedatangan saya.
Saya mula membelok ke sebuah lorong sepi dengan pokok -pokok lalang dan senduduk penuh keliling-kelalangnya. Betulke ni ? Tak kan Suria berada di sini...sunyi...!!!
Namun saya terus memandu lara di lorong itu, menjauhi jalan besar! Mencari Suria !!
Akhirnya hati ini mula teruja. Ternampak indah dan ekslusifnya Suria....Suria Cherating Beach Resort tempat saya akan bermesyuarat dua hari ini.
Berdebar hati, siapakah sahabat-sahabat terutama room-mate yang akan saya jumpai di Suria ini....
Peribahasa Melayu berkata, "Sekali air bah, sekali pantai berubah !"
Maksud hurufiahnya, pantai berubah kerana air bah. Itu pantai ! Bagaimana dengan manusia ?
Semua berlabun, "Saya mahu berubah !".
Semua manusia ingin berubah. Berubah dari kurang kepada lebih. Berubah dari malas kepada rajin. Berubah dari miskin kepada kaya. Berubah dari lalai kepada alim. Pendek kata semua mahu berubah dari negatif kepada positif !
Tetapi berita yang mencabar hati nurani, manusia tidak mampu berubah semudah pantai berubah. Pantai tidak berbuat apa-apa tetapi air bah yang mengubah pantai.
Tidak bagi manusia! Hendak berubah tidak boleh mengharapkan orang lain. Kalau itulah sikapnya, " sampai ke tua lah lu begitu !".
Salam semua (Entah kepada siapa salam ini diberi, tidak tahu) !
Lama saya tidak menulis, sebulan lebih! Sebenarnya tiada apa yang berlaku, cuma 'pasang surut air laut' menjadikan segala kejadian itu lumrah belaka. Menulis untuk syok sendiri memang begitu, yang singgah hanya sekelonet dek tersesat dan tersasul di maya kecuali yang memanggil saya Pak Su itu!
Arus kesibukan menjadikan waktu agak mendesak untuk berebut ke sini. Menjadikan ruang sekangkang kera ini bukan prioriti untuk seketika. Lelah melihat alam dengan kerenah kemanusiaan dengan kebejatan moral dan akhlaq. Haru biru sistem kependidikan yang tidak kunjung berjaya ke arah pembinaan watak-watak insan kamil, uthopia semata-mata !
Berebut mengejar masa dan ketika untuk mentelaah bacaan dan ilmu buat menyudahkan thesis dan testimoni bagi menggagahi usaha menamatkan Phd ini menjadikan banyak lagi yang lebih utama dan prioriti.
Namun kini saya kian kembali untuk terus syok sendiri di wilayah ini. Insya Allah !
“Dan Dialah yang membiarkan dua laut mengalir (berdampingan) ; yang ini tawar lagi segar dan yang lain masin lagi pahit; dan Dia jadikan antara keduanya dinding dan batas yang menghalangi.” (Q.S Al Furqan:53)
Jika Anda termasuk orang yang gemar menonton rancangan TV `Discovery’ pasti kenal Mr.Jacques Yves Costeau, ia seorang ahli oceanografer dan ahli selam terkemuka dari Perancis. Orang tua yang berambut putih ini sepanjang hidupnya menyelam ke perbagai dasar samudera di seantero dunia dan membuat filem dokumentari tentang keindahan alam dasar laut untuk ditonton di seluruh dunia.
Pada suatu hari ketika sedang melakukan eksplorasi di bawah laut, tiba-tiba ia menemui beberapa kumpulan mata air tawar-segar yang sangat sedap rasanya kerana tidak bercampur/tidak melebur dengan air laut yang masin di sekelilingnya, seolah-olah ada dinding atau membran yang membatasi keduanya.
Fenomena ganjil itu memeningkan Mr. Costeau dan mendorongnya untuk mencari penyebab terpisahnya air tawar dari air masin di tengah-tengah lautan. Ia mulai berfikir, jangan-jangan itu hanya halusinansi atau khalayan sewaktu menyelam. Waktu pun terus berlalu setelah kejadian tersebut, namun ia tak kunjung mendapatkan jawapan yang memuaskan tentang fenomena ganjil tersebut.
Sampai pada suatu hari ia bertemu dengan seorang profesor muslim, kemudian ia pun menceritakan fenomena ganjil itu. Profesor itu teringat pada ayat Al Quran tentang bertemunya dua lautan (suratSuez. Ayat itu berbunyi “Marajal bahraini yaltaqiyaan, bainahumaa barzakhun laa yabghiyaan. .”Artinya: “Dia biarkan dua lautan bertemu, di antara keduanya ada batas yang tidak boleh ditembus.” Kemudian dibacakan surat Al Furqan ayat 53 di atas. Ar-Rahman ayat 19-20) yang sering diidentikkan dengan Terusan.
Selain itu, dalam beberapa kitab tafsir, ayat tentang bertemunya dua lautan tapi tak bercampur airnya diertikan sebagai lokasi muara sungai, di mana terjadi pertemuan antara air tawar dari sungai dan air masin dari laut. Namun tafsir itu tidak menjelaskan ayat berikutnya dari surat Ar-Rahman ayat 22 yang berbunyi “Yakhruju minhuma lu’lu`u wal marjaan” ertinya “Keluar dari keduanya mutiara dan marjan.” Padahal di muara sungai tidak ditemukan mutiara.
Terpesonalah Mr. Costeau mendengar ayat-ayat Al Qur’an itu, melebihi kekagumannya melihat keajaiban pemandangan yang pernah dilihatnya di lautan yang dalam. Al Qur’an ini mustahil disusun oleh Muhammad yang hidup di abad ke tujuh, suatu zaman saat belum ada peralatan selam yang canggih untuk mencapai lokasi yang jauh terpencil di kedalaman samudera. Benar-benar suatu mukjizat, berita tentang fenomena ganjil 14 abad yang silam akhirnya terbukti pada abad 20. Mr. Costeau pun berkata bahawa Al Qur’an memang sesungguhnya kitab suci yang berisi firman Allah, yang seluruh kandungannya mutlak benar. Dengan seketika dia pun memeluk Islam.
Allahu Akbar…! Mr. Costeau mendapat hidayah melalui fenomena teknologi kelautan. Maha Benar Allah yang Maha Agung. Shadaqallahu Al `Azhim.Rasulullah s.a.w. bersabda: “Sesungguhnya hati manusia akan berkarat sebagaimana besi yang dikaratkan oleh air.” Bila seorang bertanya, “Apakah caranya untuk menjadikan hati-hati ini bersih kembali?” Rasulullah s.a.w. bersabda, “Selalulah ingat mati dan membaca Al Quran.”
Jika anda seorang penyelam, maka anda harus mengunjungi Cenote Angelita, Mexico. Di sana ada sebuah gua. Jika anda menyelam sampai kedalaman 30 meter, airnya air segar (tawar), namun jika anda menyelam sampai kedalaman lebih dari 60 meter, airnya menjadi air asin, lalu anda dapat melihat sebuah “sungai” di dasarnya, lengkap dengan pohon dan daun daunan.
Sebaik keputusan STPM dan SPM diumumkan maka banyaklah pertanyaan diterima dari para pelajar yang sedang berusaha memohon melanjutkan pelajaran ke IPT. Ada yang telefon, ada yang sms dan ada yang datang berjumpa dan berbincang.
Pelajar-pelajar yang mendapat keputusan cemerlang bertanya dan berbincang untuk lebih cemerlang, gemilang dan terbilang. Mereka yang mendapat keputusan cukup makan berbincang untuk meneruskan nadi perjuangan. Semuanya mengharapkan sesuatu yang meyakinkan masa depan.
Soalan yang sering diajukan antaranya ialah, kursus apa yang sesuai ? kursus mana yang mudah dapat kerja? kursus mana mempunyai masa depan? kalau saya memohon kursus ini macam mana? kalau pula memohon kursus itu bagaimana ? Semuanya bertanya dengan penuh harapan untuk kursus yang boleh memberikan peluang pekerjaan terutama kerja dengan kerajaan !
Sebagai seorang guru, kadang-kadang susah juga hendak memberi panduan yang mampu membantu mereka. Semuanya berjaya dan semuanya cemerlang. Arus persaingan kuat berlegar di kalangan yang cemerlang. Yang tidak mencapai tahap cemerlang pasti akan terkial-kial dan mungkin kelemasan dalam persaingan yang ganas itu!
Sesunguhnya zaman sekarang, zaman yang serba tidak boleh diduga. Bagaimana saya mahu memberi panduan kepada para pelajar saya, sedangkan ramai graduan yang telah tamat belajar mempunyai diploma dan ijazah lagi, masih tidak mendapat pekerjaan atau masih tidak mempunyai kerja tetap ?
Kepada ramai pelajar yang mendapat keputusan bertahap berjaya tetapi bukan cemerlang, saya sering mencadangkan, mereka mengambil kursus kemahiran seperti Sijil Kemahiran Malaysia tetapi mentaliti sebahagian pelajar ini, keluarga dan masyarakat kita menganggap kursus kemahiran ini adalah untuk mereka yang tidak mendapat keputusan baik, mereka yang gagal PMR atau mungkin merasakan kursus kemahiran tidak glamour, tidak bertaraf graduan universiti ! Oleh kerana itu apabila cadangan mengambil kursus kemahiran yang dilontarkan kepada mereka, ramai menunjukkan sikap tidak berminat dan leceh.
Pengalaman peribadi saya sendiri sebagai seorang bapa, saya bersama isteri telah membuat keputusan menghantar anak keempat saya untuk mengikuti kursus SKM walaupun anak saya itu memperolehi 5 kepujian dan 3 lulus dalam SPMnya. Dia terlalu layak untuk menduduki Tingkatan Enam Kemanusiaan atau melanjutkan pengajiannya di mana-mana IPT. Namun kami tidak meletakkan anak kami itu di tempat yang tidak memberi masa depan buat dirinya.
Dia bermula dengan SKM1, SKM2, SKM3 dan hari ini dia telah berada di SKM4 yang bertaraf diploma. Dia berazam paling kurang, untuk terus pengajian SKMnya hingga ke tahap SKM6 bertaraf ijazah sarjana muda katanya. Saya dan isteri sangat yakin bahawa anak saya itu akan berjaya sampai ke tahap yang dia azamkan. Bayangkan diketika usianya semuda itu dia telah menguasai kemahiran yang cukup tinggi dalam bidang rekaan dan fesyen di saat-saat rakannya masih bergelut sakan di Tingkatan Enam!
Kepada para pelajar yang datang menemui saya, saya memberitahu mereka sebagai motivasi dan untuk membuka minda mereka, untuk anak saya itu, saya tidak bimbang soal pekerjaan setelah dia tamat SKMnya nanti. Jika dia terus menunjukkan prestasi yang baik dia mungkin mampu mempunyai pekerjaan tetap sebaliknya jika tidak, dia hanya memerlukan sedikit kursus perniagaan untuk mencari rezeki dengan bekerja sendiri.
Ramai yang mendengar pandangan saya namun ramai juga yang lebih berminat ke IPT untuk mengikuti kursus-kursus yang saya tidak yakin langsung memberi masa depan yang cerah buat mereka. Namun ada juga seorang dua yang tertarik dan bertindak.
Sesungguhnya dunia dan kehidupan hari ini tegar dengan cabaran yang hebat kepada generasi muda kita jika alang-alang mereka bertindak untuk masa depan mereka. Oleh yang demikian satu usaha yang lebih aggresif adalah perlu untuk melahirkan para pelajar yang mempunyai kemahiran tinggi jika pihak kerajaan bukan lagi tempat mendapatkan pekerjaan.