Thursday, March 18, 2010

Ajaib: Sungai dalam laut

Oleh: admin | 18 March, 2010 |

“Dan Dialah yang membiarkan dua laut mengalir (berdampingan) ; yang ini tawar lagi segar dan yang lain masin lagi pahit; dan Dia jadikan antara keduanya dinding dan batas yang menghalangi.” (Q.S Al Furqan:53)

Jika Anda termasuk orang yang gemar menonton rancangan TV `Discovery’ pasti kenal Mr.Jacques Yves Costeau, ia seorang ahli oceanografer dan ahli selam terkemuka dari Perancis. Orang tua yang berambut putih ini sepanjang hidupnya menyelam ke perbagai dasar samudera di seantero dunia dan membuat filem dokumentari tentang keindahan alam dasar laut untuk ditonton di seluruh dunia.


Pada suatu hari ketika sedang melakukan eksplorasi di bawah laut, tiba-tiba ia menemui beberapa kumpulan mata air tawar-segar yang sangat sedap rasanya kerana tidak bercampur/tidak melebur dengan air laut yang masin di sekelilingnya, seolah-olah ada dinding atau membran yang membatasi keduanya.

Fenomena ganjil itu memeningkan Mr. Costeau dan mendorongnya untuk mencari penyebab terpisahnya air tawar dari air masin di tengah-tengah lautan. Ia mulai berfikir, jangan-jangan itu hanya halusinansi atau khalayan sewaktu menyelam. Waktu pun terus berlalu setelah kejadian tersebut, namun ia tak kunjung mendapatkan jawapan yang memuaskan tentang fenomena ganjil tersebut.


Sampai pada suatu hari ia bertemu dengan seorang profesor muslim, kemudian ia pun menceritakan fenomena ganjil itu. Profesor itu teringat pada ayat Al Quran tentang bertemunya dua lautan (suratSuez. Ayat itu berbunyi “Marajal bahraini yaltaqiyaan, bainahumaa barzakhun laa yabghiyaan. .”Artinya: “Dia biarkan dua lautan bertemu, di antara keduanya ada batas yang tidak boleh ditembus.” Kemudian dibacakan surat Al Furqan ayat 53 di atas. Ar-Rahman ayat 19-20) yang sering diidentikkan dengan Terusan.


Selain itu, dalam beberapa kitab tafsir, ayat tentang bertemunya dua lautan tapi tak bercampur airnya diertikan sebagai lokasi muara sungai, di mana terjadi pertemuan antara air tawar dari sungai dan air masin dari laut. Namun tafsir itu tidak menjelaskan ayat berikutnya dari surat Ar-Rahman ayat 22 yang berbunyi “Yakhruju minhuma lu’lu`u wal marjaan” ertinya “Keluar dari keduanya mutiara dan marjan.” Padahal di muara sungai tidak ditemukan mutiara.

Terpesonalah Mr. Costeau mendengar ayat-ayat Al Qur’an itu, melebihi kekagumannya melihat keajaiban pemandangan yang pernah dilihatnya di lautan yang dalam. Al Qur’an ini mustahil disusun oleh Muhammad yang hidup di abad ke tujuh, suatu zaman saat belum ada peralatan selam yang canggih untuk mencapai lokasi yang jauh terpencil di kedalaman samudera. Benar-benar suatu mukjizat, berita tentang fenomena ganjil 14 abad yang silam akhirnya terbukti pada abad 20. Mr. Costeau pun berkata bahawa Al Qur’an memang sesungguhnya kitab suci yang berisi firman Allah, yang seluruh kandungannya mutlak benar. Dengan seketika dia pun memeluk Islam.


Allahu Akbar…! Mr. Costeau mendapat hidayah melalui fenomena teknologi kelautan. Maha Benar Allah yang Maha Agung. Shadaqallahu Al `Azhim.Rasulullah s.a.w. bersabda: “Sesungguhnya hati manusia akan berkarat sebagaimana besi yang dikaratkan oleh air.” Bila seorang bertanya, “Apakah caranya untuk menjadikan hati-hati ini bersih kembali?” Rasulullah s.a.w. bersabda, “Selalulah ingat mati dan membaca Al Quran.”


Jika anda seorang penyelam, maka anda harus mengunjungi Cenote Angelita, Mexico. Di sana ada sebuah gua. Jika anda menyelam sampai kedalaman 30 meter, airnya air segar (tawar), namun jika anda menyelam sampai kedalaman lebih dari 60 meter, airnya menjadi air asin, lalu anda dapat melihat sebuah “sungai” di dasarnya, lengkap dengan pohon dan daun daunan.


Allahu Akbar !

Dipetik dari sumber: sabahdaily

Wednesday, March 17, 2010

Dilema dan masa depan generasi muda kita

Sebaik keputusan STPM dan SPM diumumkan maka banyaklah pertanyaan diterima dari para pelajar yang sedang berusaha memohon melanjutkan pelajaran ke IPT. Ada yang telefon, ada yang sms dan ada yang datang berjumpa dan berbincang.

Pelajar-pelajar yang mendapat keputusan cemerlang bertanya dan berbincang untuk lebih cemerlang, gemilang dan terbilang. Mereka yang mendapat keputusan cukup makan berbincang untuk meneruskan nadi perjuangan. Semuanya mengharapkan sesuatu yang meyakinkan masa depan.

Soalan yang sering diajukan antaranya ialah, kursus apa yang sesuai ? kursus mana yang mudah dapat kerja? kursus mana mempunyai masa depan? kalau saya memohon kursus ini macam mana? kalau pula memohon kursus itu bagaimana ? Semuanya bertanya dengan penuh harapan untuk kursus yang boleh memberikan peluang pekerjaan terutama kerja dengan kerajaan !

Sebagai seorang guru, kadang-kadang susah juga hendak memberi panduan yang mampu membantu mereka. Semuanya berjaya dan semuanya cemerlang. Arus persaingan kuat berlegar di kalangan yang cemerlang. Yang tidak mencapai tahap cemerlang pasti akan terkial-kial dan mungkin kelemasan dalam persaingan yang ganas itu!

Sesunguhnya zaman sekarang, zaman yang serba tidak boleh diduga. Bagaimana saya mahu memberi panduan kepada para pelajar saya, sedangkan ramai graduan yang telah tamat belajar mempunyai diploma dan ijazah lagi, masih tidak mendapat pekerjaan atau masih tidak mempunyai kerja tetap ?

Kepada ramai pelajar yang mendapat keputusan bertahap berjaya tetapi bukan cemerlang, saya sering mencadangkan, mereka mengambil kursus kemahiran seperti Sijil Kemahiran Malaysia tetapi mentaliti sebahagian pelajar ini, keluarga dan masyarakat kita menganggap kursus kemahiran ini adalah untuk mereka yang tidak mendapat keputusan baik, mereka yang gagal PMR atau mungkin merasakan kursus kemahiran tidak glamour, tidak bertaraf graduan universiti ! Oleh kerana itu apabila cadangan mengambil kursus kemahiran yang dilontarkan kepada mereka, ramai menunjukkan sikap tidak berminat dan leceh.

Pengalaman peribadi saya sendiri sebagai seorang bapa, saya bersama isteri telah membuat keputusan menghantar anak keempat saya untuk mengikuti kursus SKM walaupun anak saya itu memperolehi 5 kepujian dan 3 lulus dalam SPMnya. Dia terlalu layak untuk menduduki Tingkatan Enam Kemanusiaan atau melanjutkan pengajiannya di mana-mana IPT. Namun kami tidak meletakkan anak kami itu di tempat yang tidak memberi masa depan buat dirinya.

Dia bermula dengan SKM1, SKM2, SKM3 dan hari ini dia telah berada di SKM4 yang bertaraf diploma. Dia berazam paling kurang, untuk terus pengajian SKMnya hingga ke tahap SKM6 bertaraf ijazah sarjana muda katanya. Saya dan isteri sangat yakin bahawa anak saya itu akan berjaya sampai ke tahap yang dia azamkan. Bayangkan diketika usianya semuda itu dia telah menguasai kemahiran yang cukup tinggi dalam bidang rekaan dan fesyen di saat-saat rakannya masih bergelut sakan di Tingkatan Enam!

Kepada para pelajar yang datang menemui saya, saya memberitahu mereka sebagai motivasi dan untuk membuka minda mereka, untuk anak saya itu, saya tidak bimbang soal pekerjaan setelah dia tamat SKMnya nanti. Jika dia terus menunjukkan prestasi yang baik dia mungkin mampu mempunyai pekerjaan tetap sebaliknya jika tidak, dia hanya memerlukan sedikit kursus perniagaan untuk mencari rezeki dengan bekerja sendiri.

Ramai yang mendengar pandangan saya namun ramai juga yang lebih berminat ke IPT untuk mengikuti kursus-kursus yang saya tidak yakin langsung memberi masa depan yang cerah buat mereka. Namun ada juga seorang dua yang tertarik dan bertindak.

Sesungguhnya dunia dan kehidupan hari ini tegar dengan cabaran yang hebat kepada generasi muda kita jika alang-alang mereka bertindak untuk masa depan mereka. Oleh yang demikian satu usaha yang lebih aggresif adalah perlu untuk melahirkan para pelajar yang mempunyai kemahiran tinggi jika pihak kerajaan bukan lagi tempat mendapatkan pekerjaan.

Tuesday, March 16, 2010

Hari ini bukan 'koman-koman' punya penyakit...


Hari ini kehidupan semakin mencabar. Pelbagai jenis penyakit boleh datang menyerang bila-bila masa. Ada sahaja terdengar para sahabat dan kawan mengidap barah usus, barah hati, barah payu dara, sakit jantung, darah tinggi, kencing manis, buah pinggang dan macam-macam. Bukan 'koman-koman' punya penyakit tu...!!!

Ada yang masih meneruskan kehidupan seperti biasa, namun ada juga yang kedengaran telah pergi mengadap Ilahi.

Ada juga yang masih menderita menanggung kesakitan. Kepada mereka bersabar sahajalah, di samping terus berusaha mendapat rawatan yang terbaik dan berkualiti.

Seorang sahabat memberi pandangan, " Li, zaman hari ini untuk mendapat rawatan yang berkualiti dan cekap seseorang itu mesti berwang ! Jika kau bukan berwang, jangan harapkan kualiti dan efsiensi Li !".

"Money means Quality... Li !", luahnya lagi.

Terdiam saya mendengar luahan sahabat itu...

Walau apapun di bawah sedikit info kesihatan yang berguna untuk semua:

1. Setiap hari buah pinggang menghasilkan 1 hingga 2 liter air kencing.

2. Kencing manis dan darah tinggi boleh mengakibatkan sakit buah pinggang.

3. Berkurangnya zat dari pemakanan berlaku apabila taraf albumin di dalam darah mejadi terlalu rendah. Ini akan mengakibatkan kebengkakan di kaki dan anda mudah terkena jangkitan kuman.

4. Makanan yang boleh membantu meningkatkan paras albumin adalah makanan yang kaya dengan protein seperti puitih telur dan daging.

5.Makanan yang mengandungi kandungan garam yang tinggi boleh mengakibatkan tekanan darah tinggi, bengkak di kaki, muka dan sesak nafas.

6.Sosej dan makanan segera adalah makanan yang mengandungi kandungan garam yang tinggi.

7.Organ binatang (seperti usus, limpa dan sebagainya), kacang, minuman berkarbonat adalah makanan yang mengandungi fosforus yang tinggi. Bila paras fosforus di dalam darah terlalu tinggi ia akan mengancam paras kalsium lalu mengakibatkan sakit tulang (seperti tulang reput).

8.Pisang, coklat dan air jus yang mengandungi sitrus adalah makanan berpotasium yang tinggi. Jika paras potasium di dalam darah terlalu tinggi atau rendah akan mengakibatkan degupan jantung yang tidak tetap, kejang atau lemah otot.

Sumber:MW1261

Thursday, March 04, 2010

La Tour de Langkawi melintasi SMK Seri Rompin

Konvoi La Tour de Langkawi melintasi SMK Seri Rompin lebih kurang pada pukul 11.15 pagi semalam.
Pelumba-pelumba mengayuh basikal melintasi kami hanya mengambil masa tidak sampai seminit sahaja tapi kami menunggu hampir satu jam.

Sebahagian pelajar yang menunggu seronok tengok kenderaan mewah dan motosikal berkuasa besar yang melintas di hadapan mereka satu demi satu.

Pelumba berkayuh di jalanraya, mereka melambai helikopter kat atas...huhuhu..!!

Pelajar-pelajar yang tidak berkesempatan berada di tepi jalan kerana ada peperiksaan hanya mampu mengintai di tingkap kelas masing-masing. Haru-lah menjawab soalan !!

Tuesday, March 02, 2010

Puisi A. Wahab Taha: Humairah...


Dalam ruang komen posting saya sebelum ini, A. Wahab Taha telah menitipkan sebuah puisi bagi mengenang nasib arwah adik Humairah. Di sini saya paparkan puisi tersebut untuk kita semua mengambil ikhtibar di atas apa yang berlaku itu:

Humairah,

Titis airmataku merenung redup matamu.
Luluh rawan pilu hatiku mengenang.

Malang,
malangnya nasibmu.

Syaitan durja yang
menggila itu.
Meragut,
meragut segala
riang ria usiamu.

Dalam amukan syaitan,
syaitannya itu,
dihumban usiamu ke
dalam gelap,
gelap nestapa.
Namun Allah menyayangimu Humairah.


A.Wahab Taha 02/2010


Monday, March 01, 2010

Masih ada lagikah nanti yang senasib Syafiah Humaira ?

Syafiah Humaira, cantik namanya. Tapi di saat-saat akhir hayatnya, kehidupannya itu tidak secantik nama dan tidak secomel wajahnya. Tergamak manusia itu mendera kanak-kanak seperti Syafiah. Agaknya masih ramaikah lagi kanak-kanak yang seperti Syafiah yang didera pada ketika ini ?

Syafiah didera oleh manusia bukan oleh makhluk yang bergelar binatang atau haiwan !?

Masih bolehkah kita menggelar manusia yang mendera itu sebagai manusia yang berperangai kebinatangan kerana binatang tidak pernah mendera sesiapa atau apa-apa. Kalau binatang membunuh apa yang dipanggil mangsa adalah kerana mahu menyelamatkan dirinya atau mahu menyelamatkan habitatnya yang diganggu atau kerana mangsa itu memang makanannya.

Tapi bagi manusia pendera kenapa mendera mangsanya ? Kanak-kanak yang didera itu bukan makanannya, tidak mengganggu pun diri dan kehidupan pendera. So kenapa manusia manusia seperti itu mendera ?

Ramai yang akan memberi jawapan kerana faktor kelemahan jiwa atau psikologi, ketidakseimbangan emosi, tekanan hidup, jahat, gila, haram jadah dan macam-macam. Semuanya itu betul kerana manusia itu adalah manusia syaitan yang berwajah manusia bukan manusia kebinatangan lagi.

Ada seorang kawan sambil mengeluh bertanya saya, mengapakah penderaan kepada kanak-kanak terus berlaku di negara kita ? Berlaku dalam keluarga Islam lagi. Kenapa ?

Jawapan yang paling logik mampu saya berikan ialah ramai manusia yang mengaku Islam pada hari ini, sudah tidak beriman dengan adanya dosa, adanya haram dan adanya neraka yang telah di tetapkan oleh ALLAH SWT dalam 'perjalanan hidup sementara ini' menuju destinasi paling abadi bagi seluruh makhluk Allah nanti.

Saya sangat yakin masalah penderaan kanak-kanak dan pelbagai masalah sosial yang lain tidak akan selesai mahupun berkurangan, selagi kita semua, terutama pihak kerajaan tidak menyediakan satu mekanisma pendidikan secara tuntas untuk mendidik dan membina sahsiah dan aqidah rakyat Islam berasaskan adanya hukum halal haram, dosa pahala serta syurga dan neraka.

Al-Fatihah buat anakanda Syafiah Humaira. Bergembiralah Syufiah di syurga Allah Yang Maha Pengasih dan Maha Penyayang.

Monday, February 22, 2010

Sebuah pengalaman yang tak mungkin kami lupakan ...!!



Tiada siapa yang mahu menerima musibah. Tetapi apakan daya kita manusia yang lemah ini. Setiap musibah yang menimpa pasti ada rahmat di sebaliknya.

Telah 26 tahun saya menjadi pemandu berlesen, hari itu adalah hari yang malang bagi saya. Namun saya bersyukur kerana Allah masih sayangkan kami (saya dan isteri) untuk terus berada di sisi anak-anak dan untuk terus berbakti kepada agama, nusa dan bangsa.

Kami selalu ke Mersing dan perjalanan pergi balik Rompin-Mersing, Mersing-Rompin adalah perjalanan yang terlalu biasa bagi kami. Tapi tanggal 17 Februari 2010 lebih kurang pukul 4.55 petang adalah hari dan waktu yang malang bagi kami. Musibah menimpa....

Dalam perjalanan pulang dari bandar Mersing ke Rompin, saya memandu Hyundai Matrix seperti biasa sambil bersembang dengan isteri. Sesampai di selekoh menurun bukit yang agak lebar jalannya, di kawasan yang sering disebut oleh rakan-rakan, Hutan Lipur Gunung Arung jalan Mersing-Endau, tiba-tiba kereta saya senget ke kanan dan terpusing.

Waktu itu saya dan isteri mula tersentak dan terkejut. Segala-galanya berlaku begitu pantas...

Saya bertindak mengawal stering dengan memulas ke arah kanan untuk mengelak kereta saya terbalik dan berguling menuruni bukit yang landai. Sambil saya menyebut kalimah "Allah...Allah...Allah...!!" sepanjang kereta saya berpusing menuju bukit saya tidak nampak apa-apa lagi di hadapan...gelap!

Sambil memegang stering dengan kukuh, saya hanya dapat merasakan kereta saya melanggar sesuatu dengan kuat beberapa kali. Waktu itu saya memohon kepada Allah agar menyelamatkan isteri saya di sebelah.

Kejadian itu berlaku begitu pantas sekali. Tiba-tiba semua pergerakan terhenti. Kami berada dalam kereta dalam keadaan senget kerana kereta terbalik mengiring sebelah kiri. Saya terus melihat isteri saya di sebelah bawah. Saya menyentuh pipinya sambil bertanya beberapa soalan: Ani ada sakit kat mana-mana tak ? Tak ! Kaki Ani terkepit tak? Tak !

Sambil tergantung kerana terikat dek tali pinggang keledar, saya menenangkan isteri yang kelihatan pucat, "sabar, bertenang, relek, alhamdulillah kita tak apa-apa...syukur kepada Allah, insya Allah kejap lagi akan ada orang tolong kita....".

Melihat isteri bertenang saya mula mematikan injin kereta, bimbang takut terbakar. Saya buka pintu sambil menongkat pintu dengan kaki. Saya tekan hon sambil tangan kanan saya melambai keluar.

Saya sempat melihat isteri saya yang kelihatan lemah macam nak pengsan. Tapi saya mula rasa lega kerana saya terdengar banyak kereta mula berhenti....

"Abang, abang okay ke ? Berapa orang kat dalam bang?".

"Aiya...abang talak apa-apa ? Sabat-sabat oo...nanti kita olang tolong..cepait..cepait !!!"

Seseorang dari ramai yang mengerumuni meminta saya keluar. Sukar sekali untuk saya keluar kerana saya hanya tergantung dek terikat tali pinggang keledar. Tangan saya hanya dipegang oleh seorang pemuda. Tapi atas panduan ramai, saya mesti keluar dahulu. Saya tekan butang tali pinggang keledar.... Masya Allah...bedebub saya terjatuh atas isteri saya. Isteri saya mengaduh kesakitan! Oh...Tuhan... kesiannya...!!!

Pada waktu saya sudah berada berhadapan dengan isteri ,saya cuba menyedarkannya kerana dia sekali lagi hampir pengsan. Orang ramai berusaha membantu. Salah seorang mencadangkan agar kereta saya yang terbalik mengiring ke kiri itu ditolak untuk berkedudukan betul. Saya bersetuju tetapi belum pun sempat saya berusaha membetulkan kedudukan isteri saya dan kedudukan saya juga, kereta telah ditolak...sekali lagi saya tertumus ke lantai kerusi pemandu. Berdengung juga kepala saya sekejap. Dalam hati saya sempat berkata sendirian..." rasanya mati kerana pertolongan je ni !"

Dalam keadaan saya terhoyong-hayang di luar kereta saya ternampak isteri saya diusung oleh beberapa orang. Saya cuba mengikut ke mana isteri saya dibawa tetapi sebaik saya mahu bergerak seorang anggota polis berpangkat sarjan yang sedang meronda, menasihati saya agar menunggu kereta dan menjaga apa-apa barang-barang bernilai, dan dia bersama rakan polisnya akan bawa isteri saya ke hospital Mersing. Dalam keadaaan paner begitu saya akur. Saya hanya melihat isteri saya dibawa laju ke hospital oleh kereta peronda polis (bukan polis trafik).

Terima kasih teramat sangat saya dan isteri kepada semua pihak yang berhenti membantu pada waktu kemalangan itu termasuk kepada semua anggota polis terbabit. Ada yang menenangkan saya, ada yang cuba memastikan saya tidak cedera ataupun patah dan ada yang memberi saya minum air! Alhamdulillah...terima kasih kepada mereka semua ya Allah. Berikan ganjaran pahala yang besar kepada mereka ya Allah !

Setelah saya mula tenang saya mula menelefon abang ipar, adik ipar saya, dan para sahabat saya yang berdekatan. Adik saya bersama suaminya dan anak lelaki kedua saya, Abdul Hafiz yang sedang bercuti Tahun Baru Cina, saya minta bersegera ke hospital Mersing untuk menemani dan memastikan keadaan mak-nya.

Alhamdullillah... anak saya memberitahu setelah diperiksa dan di x-ray, katanya mak tak ada apa-apa dan boleh balik. Berita yang paling melega dan menggembirakan saya pada waktu itu.

Mulai saat itu fikiran saya mula fokus kepada urusan kereta Matrix yang 'tercedera' agak teruk. Saya uruskan hal kereta bersama abang ipar dan kakak saya di lokasi kemalangan.

Sebelum abang ipar dan kakak sampai, mereka yang membantu sejak dari tadi mula beransur-ansur meminta diri. Sambil bersalaman dengan saya dan ada yang memeluk saya, mereka kata mereka bersyukur, saya tak apa-apa. Saya hanya mampu mengucapkan terima kasih kepada mereka semua.

Sebaik orang ramai berlalu pergi, saya mula didatangi dan dihulur dengan pelbagai jenis bisnes kad urusan tunda kereta. Saya memberitahu mereka saya perlu sedikit masa untuk buat keputusan kerana perlu berbincang dengan abang ipar dan sahabat-sahabat saya yang dalam perjalanan ke situ. Mereka akur.

Dalam keadaan begitu ada seorang perempuan muda bersama suami dan anak perempuannya membuat keputusan di hadapan saya, " Abang, kita tunggu encik ni sekejap abang ya, kesian pula sorang-sorang encik ni duduk tepi hutan ni."

Suaminya bersetuju" okay..okay, elok juga tu!".

Saya bertanya perempuan itu, biasakah berhenti kalau terserempak dengan kemalangan jalanraya?

"Saya tak pernah berhenti encik...ee takut saya. Tapi saya berhenti ni sebab saya rasa saya pernah tengok encik ni, macam kenal....tapi kat mana saya dah lupa", kata perempuan itu.

Sambil-sambil bersembang dengan suaminya tiba-tiba perempuan itu menjerit, "Haa...yee...cikgu kan ? Cikgu pernah datang bagi ceramah motivasi ibubapa kat sekolah anak saya dulu !!!"

Saya hanya tersenyum dan mengangguk. Selepas itu dia tidak berencik-encik lagi.

Setelah polis trafik sampai, perempuan tadi dengan suaminya mula minta diri untuk meneruskan perjalanan mereka, " Cikgu, polis dan sampai kami minta diri dulu cikgu. Syukurlah cikgu selamat dan tak ada apa-apa!".

Hanya lafaz terima kasih yang tidak terhingga buat mereka !

Selepas itu saya mula berurusan repot polis di Balai Polis Mersing.

Kemalangan yang saya dan isteri saya alami itu, benar-benar mengajar saya bahawa jika bertembung dengan kemalangan berhentilah, bantulah mangsa kemalangan...sekurang-kurang bercakap dan menenangkan mereka. Hari itu saya benar-benar dapat merasai betapa perlunya sebuah perhatian dan pertolongan dalam sebuah kemalangan!

Tapi berhati-hati membantu kerana dikhuatiri mangsa akan lebih menderita kerana sebuah 'pertolongan cemas' yang mencemaskan!!!

Walau apapun saya bersyukur kepada Allah dan terima kasih semua yang memberi pertolongan.