Tuesday, December 29, 2009

Di ambang 2010: Senyum selalu !


1. Satu perkara yang kita nampak tentang manusia yang hebat atau berjaya: Mereka sentiasa belajar.

2. Masa depan banyak ditentukan oleh masa lapang. Adakah kita melabur atau membazirkan masa lapang?

3. Muslihat yang paling jahat dalam diri seseorang ialah melengah-lengahkan kerja.

4. Peluang yang diambil akan berganda tetapi jika ditinggalkan, akan hilang.

5. Jika ingin berjaya, ikutilah orang yang berjaya. Mereka mendisiplinkan diri sendiri - sesuatu yang sangat tidak disukai oleh orang gagal. Hidup tanpa disiplin tidak memberi makna.

6. Melepak lebih sukar dan menyusahkan dari belajar dan bekerja. Beban yang paling berat ialah tidak mempunyai apa-apa untuk dibuat. Kesannya letih walaupun hanya untuk berdiri atau kecewa buat selamanya.

7. Apa yang kerap difikirkan akan menyerap ke dalam minda di bawah sedar kita, lantas menambah kuasa fizikal, mental dan spritual kita untuk mencapai apa yang paling diingini.

8. Kebanyakan kita beranggapan bahawa kita tidak malas kerana kita sentiasa sibuk. Tetapi biasanya kita sibuk melakukan perkara yang tidak berfaedah sehingga melupakan matlamat utama dalam hidup kita.

9. Penawar rasa bosan : tentukan matlamat !

10. Kita senyum apabila kita bahagia. TETAPI kita juga berasa bahagia kerana kita senyum. Senyum selalu !

Saturday, December 26, 2009

Ke arah 2010



Tahun 2009 sudah semakin hampir ke penghujung. Tahun 2010 semakin mendekati. Masa begitu cepat datang dan pergi untuk tidak kembali lagi.

Segala persiapan bagi menghadapi aktiviti kehidupan dan kerjaya di tahun 2010 semakin giat dilaksanakan.Anak-anak yang sudah lama memerap di rumah sudah mula resah gelisah untuk kembali ke arena perjuangan di kampus masing-masing.Adibah akan kembali ke IPG Perlis. Abdul Hafiz akan pulang ke UPSI dan Aisyah akan meneruskan pengajian di Negeri Sembilan. Abdul Hamid akan beralih ke Tingkatan Empat di sekolah baru hasil dari kejayaannya dalam PMR baru-baru ini.

Cuma gembira dengan sedikit resah apabila anak sulong Abdul Hadi akan memulakan kerjaya gurunya di Sabah Negeri Di Bawah Bayu. Hati ini rasa gembira kerana anak sulong mula bekerja. Hati ini agak resah sedikit kerana anak sulong akan bertugas di Sabah. Jauh dari pandangan mata di seberang sana Laut Cina Selatan.

Namun ibu dan ayah perlu bersabar kerana itulah impian dan hasrat dengan semangat kembara darah muda yang akan meneruskan darah perjuangan guru keluarga besar Mohd Nor Awang dan Aminah Mohd Ali.

Walaupun rasa sedikit resah, namun rasanya keresahan itu hanya di permulaan ini sahaja kerana belum pernah berpisah begitu jauh dengan anak-anak. Jauh di sudut hati tetap mengatakan hijrah ini amat penting buat memperkayakan pengalaman hidup dan kerjayanya sebagai seorang anak sulong. Kami bangga dengannya dan semoga dia menjadi seorang pendidik yang tulin kepada manusia dan kemanusiaan dalam masyarakat di mana dia akan berbakti nanti di Sabah.

Nampaknya sepanjang 2010 nanti hanya saya dan isteri akan menghuni rumah ini. Anak-anak masing-masing dengan perjuangan mereka di asrama sekolah dan institusi mereka.

2010 kami kembali berhoney-moon di rumah sendiri !


Wednesday, December 23, 2009

Asal usul Zionisme moden

Ideologi Zionisme moden berasal daripada pemikiran seorang Yahudi Mesiah palsu yang bernama Sabbatai Zevi dalam abad ke 17, ia mendakwa dirinya sebagai juru selamat Yahudi yang dijanjikan. Dia datang untuk mendirikan kerajaan Yahudi di tanah yang dijanjikan di Palestin.

Zevi adalah tokoh kontroversial. Dia tidak hanya menolak Talmud tetapi memerintah untuk melakukan perkara bertentangan dengan perintah Tuhan di dalam Talmud.

"Dosa" dan "kesalahan" tidak ada lagi dan segala sesuatu serta apa pun dibolehkan, perintah Tuhan di dalam Taurat sekarang dibatalkan kerana menurut Zevi, zaman Mesiah telah tiba dan dialah orangnya yang akan menyelamatkan mereka.

Dia menghapuskan hukum mengenai hubungan seksual. Dia secepatnya mengumumkan bahawa sebanyak tiga puluh enam jenis dosa utama yang dimuat dalam kitab injil ketika ini diizinkan dan memerintahkan sebahagian dari pengikutnya bahawa adalah tugas mereka untuk melakukan beberapa dosa untuk mempercepatkan penyelamatan.

Friday, December 18, 2009

Petanda kebangkitan masih terlalu jauh...

Malam tadi ramai orang bergembira. Gembira kerana Pasukan Bolasepak B23 Malaysia telah berjaya menewaskan Pasukan Vietnam dalam pertandingan akhir sukan Sea di Laos. Malaysia berjaya memenangi pingat emas bagi acara itu yang mana kali terakhir dimenangi oleh Malaysia ialah pada tahun 1989. Tahniah kepada Pasukan Bolasepak Malaysia dan K Rajagopal.

Selepas kemenangan 1-0 itu ramai orang mengulas tentang kemenangan Malaysia itu dan prospek Pasukan Bolasepak Malaysia pada masa depan. Umum semua tahu bahawa Malaysia bukan sahaja lemah dalam acara bolasepak berbanding zaman 60an, 70an dan 80an dahulu, malah kini pasukan Malaysia dari tahun ke tahun sentiasa merudum ke bawah dalam hiraki kedudukan bolesepak FIFA.

Pasukan yang sebaya dengan Malaysia atau sering menjadi 'makanan' Pasukan malaysia dahulu kini telah terlalu...terlalu...terlalu jauh meninggalkan pasukan Malaysia. Pasukan bolasepak Malaysia sentiasa maju mundur bukan maju jaya.

Apakah kemenangan Pasukan Bolasepak Malaysia malam tadi menjadi petanda kebangkitan?

Secara jujur saya ingin mengulas dengan mengatakan walaupun Malaysia menang malam tadi, itu bukan pentanda kebangkitan bolasepak Malaysia. Saya akan mengatakan itu petanda kebangkitan jika malam tadi Malaysia mengalahkan Pasukan Korea Selatan atau Korea Utara, atau Cina atau Jepun atau Iran atau Iraq atau Arab Saudi atau Kuwait. Kerana inilah dahulu pasukan saingan dan ratahan Malaysia. Bagi saya inilah pra-syarat kebangkitan pasukan bolesepak negara. Jika itu belum berlaku jangan kata telah ada petanda kebangkitan !

Kita tidak perlu bersikap syok sendiri tetapi mesti bersikap realistik.

Banyak kelemahan malam tadi. Saya menganggap Malam tadi Malaysia menang nasib sahaja. Jika gol itu tidak dijaringkan bawa kepada masa tambahan Malaysia mungkin akan kalah. Juga jika penyerang Vietnam tembak tepat ke pintu gol mungkin Vietnam akan menang. Nasib baliklah penyerang Vietnam membazirkan tendangan dengan tendangan yang banyak tersasar.

Kelemahan pemain-pemain Malaysia:

1. Hantaran bola tidak tepat
2. Tidak cekap menahan dan mengawal bola. Bola sentiasa melantun dari kaki.
3. Tidak rajin merampas bola dari kaki pihak lawan.
4. Gopoh, tidak tenang sewaktu merancang serangan.
5. Masih ada pemain yang lembik - mudah hendak jatuh dengan 'body contact'.
6. Terlalu mudah rasa tertekan dan menjadikan permainan mereka hilang fokus.
7. Kurang membantu pemain yang sedang menguasai bola. Kadang-kadang dibiarkan hingga tidak tahu bola hendak dihantar kepada siapa.
8. Membazirkan dengan membuat hantaran bola kepada lawan.
9. Apabila dalam padang masih ada pemain berjalan longlai sambil cekak pinggang makna stamina tidak cukup. Cuba lihat pemain Korea mana ada yang berjalan longlai atau bercekak pinggang?
10. Sentiasa memberi ruang yang terlalu banyak dan lama kepada pemain lawan kuasai bola. Sampai depan pintu gol sendiri baru kelam kabut dan menjadi serba tak kena.
11. Permainan dan skills pemain Malaysia tidak tenang dan tidak cantik. Tiada lagi yang setenang Soh Chin Aun, semantap Santokh Singh dan Bahwandi Hiralal, seaggresif Moktar Dahari, selincah dan secantik larian Jamal Nasir dan Abdullah Ali, setajam tandukkan Saharudin Abdullah dan Syed Ahmad. Kebanyakan pemain baru Malaysia pergerakannya kelam-kabut !

Itulah antara kelemahan pemain-pemain bolasepak Malaysia hari ini. Selagi perkara-perkara ini tidak diatasi dan pengurusan FAM terus tidak profesional, mutu bolasepak Malaysia sebenarnya masih jauh dari petanda kebangkitan.

Petanda kebangkitan ialah apabila Malaysia sudah setanding dengan Pasukan Korea, Jepun dan Cina. Jika belum sampai tahap itu, petanda kebangkitan sebenarnya masih terlalu...terlalu jauh !

Wednesday, December 16, 2009

Guru Sarjana dan Phd perlu diberi insentif

Hazayani Zakaria

KUALA LUMPUR, 14 Dis: Dr. Mujahid Yusuf Rawa (PAS-Parit Buntar) mencadangkan agar kerajaan memberikan insentif kenaikan gaji kepada guru-guru yang mempunyai Ijazah Sarjana dan Ijazah Doktor Falsafah (Phd) sebagai dorongan kepada guru-guru lain untuk melanjutkan pengajian ke peringkat lebih tinggi.

Mujahid sewaktu mengemukakan soalan tambahan dalam sesi soal jawab lisan di Dewan rakyat pagi tadi memberitahu, kebanyakan guru berkelulusan Sarjana dan Phd yang ditemui menyuarakan kekecewaan kerana tiada sebarang keistimewaan diberikan kepada mereka di sekolah.

"Saya cadangkan guru-guru yang ada Sarjana dan Phd diberi anjakan gaji oleh kerajaan sebagai dorongan kepada mereka.

"Kalau tidak ada sebarang keistimewaan, bagaimana mereka hendak mendapat dorongan untuk menyambung pengajian," soalnya.

Mujahid turut meminta kerajaan meletakkan satu tangga gaji kepada guru-guru yang mempunyai Sarjana dan Phd di setiap sekolah selain menetapkan bilangan guru yang mempunyai kelulusan berkenaan di setiap sekolah.

Ini katanya sebagai motivasi kepada guru-guru untuk terus melanjutkan pengajian ke peringkat tertingggi.

Sebelum itu Mujahid meminta Menteri Pelajaran Malaysia menyatakan bilangan guru yang mempunyai Ijazah Sarjana dan Ijazah Doktor Falsafah di Malaysia.

Beliau juga ingin tahu samaada kerajaan bercadang atau tidak untuk memberi keistimewaan kenaikan pangkat atau anjakan gaji kepada guru yang mempunyai Ijazah Sarjana dan Ijazah Doktor Falsafah.

Timbalan Menteri, Datuk Dr. Wee Kaa Siong (BN-Ayer Hitam) dalam jawapannya memberitahu, dalam kalangan guru yang mempunyai kelulusan Sarjana dan Phd, pengetahuan, pengalaman dan kepakaran mereka dapat dimanfaatkan melalui perkongsian ilmu dengan guru-guru lain di sekolah.

Kementerian juga menyediakan peluang atau ruang yang luas kepada pegawai-pegawai ini melalui urusan kenaikan pangkat sebagai Guru Cemerlang an Pensyarah Cemerlang di Institut Pendidikan Guru (IPG), Institut Aminuddin Baki (IAB) dan Kolej Matrikulasi.

Kementerian juga memberi keutamaan kepada pemegang ijazah Sarjana dan Phd untuk mengisi jawatan sebagai pensyarah di institusi berkenaan.

Sementara itu, Datuk Ismail Mutalib (BN-Maran) berkata, guru-guru ketinggalan dari segi kenaikan pangkat.

Beliau turut meminta agar Kerajaan memberikan kenaikan gaji kepada guru sama seperti pegawai-pegawai kerajaan yang lain.

Sumber berita:harakahdaily


Tuesday, December 15, 2009

Hukum tepuk tangan

http://akhisalman.blogspot.com

Pengarang kitab حفل الزفاف في الفقه الإسلامي berkata:

Sesungguhnya tepuk tangan bila dilihat dari segi hakikatnya adalah suatu perbuatan manusia yang biasa. Hukumnya berdasarkan faktor kepada perbuatan tepuk tangan itu dilakukan. Sesiapa yang bertepuk tangan kerana untuk memberi peringatan maka perkara tersebut adalah harus.

Pengarang ini merujuk kepada sebuah buku dalam mazhab Syafie iaitu kitab حاشية الشبراملسي . Bila dilihat dalam kitab tersebut ada dinukilkan dari kitan فتح الجواد karangan Imam Ibnu Hajar Haitami:

“Diharuskan tepuk tangan dengan kedua tapak tangan sekalipun ditujuan untuk bermain-main, sekalipun ia dianggap sebagai bentuk nyanyian.”

TEPUK TANGAN KETIKA MENDENDANGKAN LAGU


Ulama berselisih pendapat berkenaan dengan masalah ini:


PENDAPAT PERTAMA: Haram tepuk tangan ketika mendendangkan lagu. Ini adalah pendapat Mazhab Hanafi dan sebahgian ulama Syafie.


PENDAPAT KEDUA: Makruh tepuk tangan ketika mendendangkan lagu. Ini adalah pendapat utama dalam mazhab Syafie dan pendapat mazhab Maliki.


DALIL PENDAPAT PERTAMA:


1. Firman Allah swt:



وما كان صلاتهم عند البيت إلا مكاء وتصدية


“ Cara ibadah dan solat orang-orang musyrikin di sekeliling ka’bah hanyalah dengan bersiul dan bertepuk tangan.” (35 : al-Anfal)

Bentuk pengambilan dalil:: Bertepuk tangan adalah dari perbuatan orang-orang musyrik. Orang bertepuk tangan meniru perbuatan orang-orang musyrikin.

2. Bagi orang lelaki dilarang kerana ia menyerupai perbuatan wanita dalam solat. Nabi saw bersabda:

إنما التصفيق للنساء


“Tepuk tangan dalam solat (untuk menegur imam) hanyalah untuk perempuan.” (Hr Bukhari dan Muslim)

JAWAPAN KEPADA TERHADAP DALIL

Jawapan terhadap pendalilan yang pertama adalah: Ayat ini menunjukkan perngharaman dan larangan beribadah dengan bertepuk tangan. Ia bukan pengharaman tepuk tangan di luar ibadah.

Jawapan kepada pendalilan yang kedua adalah: Hadis ini mengkhusukan tepuk tangan untuk wanita dalam solat sahaja.

KESIMPULAN

Hukum bertepuk tangan adalah mengikut kepada sebab bertepuk tangan. Ianya ada 4 seperti berikut:

1. TEPUK TANGAN DALAM SOLAT BAGI WANITA UNTUK PERINGATAN: Para ulama bersepakat ianya disyariatkan.

2. TEPUK TANGAN UNTUK IBADAT SEPERTI DALAM SOLAT, ZIKIR DAN TAWAF: Ianya dilarang berdasarkan ayat Quran yang telah lepas.

3. TEPUK TANGAN UNTUK NYANYIAN: ada yang mengharamkan dan ada yang memakruhkan. Apa yang difatwakan Dr Yusuf Qardawi dalam kitab فقه اللهو والترفيه adalah harus hukumnya kerana tidak ada dalil yang melarangnya.

4. TEPUK TANGAN UNTUK MEMBERI SEMANGAT ATAU RASA KAGUM: Ini juga dibenarkan kerana ia diperlukan. Pengarang kitab الموسوعة الفقهية الكويتية mengatakan:

“ Tepuk tangan di luar solat dan khutbah adalah diharuskan sekiranya untuk keperluan yang dibenarkan syara’ seperti minta izin untuk masuk, memberi peringatan, mengelokkan persembahan nasyid atau wanita yang bermain dengan kanak-kanak.”

Rujukan:

1.Fiqhul Lahwi wat Tarwih oleh Dr Yusuf Al-Qaradawi

2.Haflu Zafaf fil Fiqh Islami oleh Rafiq Abd Aziz As-Sobbagh

3.Mausu’ah Fiqhiyyah oleh Kementerian Wakaf dan Hal Ehwal Agama, Kuwait


4.Hasyiah Ali Syabramalsi ala Nihayatil Muhtaj

5. Sofwatul Tafasir oleh Muhammad Ali As-Sobuni


DRS. KHALIL IDHAM LIM

Friday, December 11, 2009

Putus tunang, tuntut hampir sejuta !

Hah engkau...putus tunang, tuntut ganti rugi hampir sejuta !? Tak percaya baca sini. Apalah masalahnya tu sampai dekat sejuta! Geram benar gamaknya ?

Kalau berjayalah tuntutan tu, ada ke sejuta?

Agaknya pompuan tu adalah kot !

Kalau kena ke kita yek...habis reban ayam, reban kambing lelong. Itu pun kalau ada reban ayam, reban kambing...huhuhu !

Kalau bicara kat indon tak apa kena dekat sejuta. Lebih sejuta pun tak apa! Boleh le juga gagah -gagah membayarnya ! Ini kat malaysia...haru !!

Pengajaran kepada semua...pilih betul-betul.... pakat elok-elok....runding biar jelas, jangan pakai ya dan jangan kira sedap je ! Buleh sakit..... (zaman le ni kan) !!!