Wednesday, September 30, 2009

BANG....BANG.....BAAAANNNGGGG !!

Dua tiga hari kebelakangan ini angin bertiup sungguh luar biasa kuatnya. Lebih kurang pukul 3.45 petang kelmarin iaitu hari Isnin dari bilik saya, kelihatan pokok-pokok hutan belukar yang berhampiran kantin sekolah bergoyang semacam, berputarnya menggila.

Bunyi raungan angin cukup menyeramkan. Bimbang pula saya kalau-kalau atap genting bangunan sekolah terpungkah dan berderai ke bumi. Semua para pelajar yang sedang study petang itu senyap dalam kelas masing-masing.

Dalam perjalanan pulang ke rumah hari itu, banyak daun-daun dan ranting-ranting kayu bersepah di atas jalanraya. Ada papan tanda bengkel terkuak ke atas bumbung. Garaj kereta penyek ditimpa pokok kelapa tumbang.

Manakala malam tadi lebih kurang pukul 9.30, sewaktu pulang dari surau sekolah, saya terkejut kerana berhampiran persimpangan ke Muadzam Shah terlalu banyak treler panjang dan tanker, berjujukan ke arah Kuala Rompin. Saya sangkakan berlaku pergaduhan antara pemandu tanker dengan pemandu treler, tak terfikir pulak saya akan adanya road block. Keadaan susunan lori-lori panjang itu agak kelam kabut di tepi jalan, tengah jalan, atas garisan putih tidak semacam adanya sekatan jalan raya.

Saya terus memandu kelisa saya ke hadapan, dicelah-celah lori-lori panjang . Sampai di hadapan saya bertanya seorang pemuda di tepi jalan, apa yang berlaku?

"Pokok besar tumbang bang", kata pemuda itu, yang kemudian memberitahu saya laluan alternatif yang hanya boleh dilalui kenderaan kecil.

Sewaktu melalui laluan alternatif sempat saya menoleh ke jalan raya...hah engkau, pokok besar yang rimbun itu terpungkah dan tumbang betul-betul melintang jalan. Menimpa pula tiang elektrik yang mengakibatkan gelap gulita kawasan kampung Leban Chondong dan sekitarnya . Katanya pukul 2 pagi baru pulih bekalan elekrik.

Semasa memandu pulang itu, saya terfikir, kalau pokok sebesar itu boleh terpungkah dan tumbang, memang kuat angin bertiup. Mungkin angin itu berpusar agaknya ?

Mengenangkan angin berpusar ini, saya pernah berpengalaman menghadapi situasi yang menggerunkan. Beberapa tahun dulu, PPD pernah menganjurkan Kem Bahasa Inggeris Peringkat Daerah di sebuah tempat yang memang sesuai untuk aktiviti luar iaitu Weekendo Kem.

Sewaktu pendaftaran peserta pada pukul dua petang itu, keadaan cuaca agak gelap dan hujan mulai turun dengan sekali sekala kedengaran bunyi guruh dan petir. Di udara di permukaan Laut Cina Selatan, saya dan mereka yang lain dapat melihat pancaran kilat dan panahan petir sambar menyambar. Kelihatan memang cantik!

Lebih kurang pukul lima, keadaan semakin gelap, hujan semakin lebat, angin semakin kencang, kilat dan petir sambar menyambar. Yang paling menggerunkan bunyi petir, dan kilat di hadapan mata, masya Allah menakutkan! Waktu itu ada peserta perempuan telah di tempatkan di chalet masing-masing dan peserta lelaki di dorm dan juga sebahagian masih di tempat pendaftaran iaitu surau. Ramai jugalah di situ. Saya selaku Kem Komanden mengawal keadaan agar para peserta bertenang terutama para pelajar di dalam chalet dan dorm.

Sewaktu melakukan tugas-tugas kami, di tempat pendaftaran yang terbuka itu (surau), kami dapat melihat satu gumpalan angin kehitaman bergerak sepanjang persisir pantai menuju ke arah tempat kami berlindung dan ber-kem itu. Semua orang melihat dan terdiam. Pusaran angin yang agak besar itu semakin menghampiri, menuju betul-betul ke arah kami. Semua sampah sarap dan ranting-ranting kayu kelihatan berterbangan. Semua yang ada di situ bergerak mencari perlindungan dalam bangunan itu. Melihat keadaan yang mencemaskan itu saya terdengar suara dari bahagian dapur, "Bang...Bang...Bannnggg!!".

Mengadap pusaran angin, Rahman seorang askar pencen yang bekerja di situ, azan sekuat hati. Melihat Rahman azan, saya berlari sebelah Rahman dan saya pun azan juga sekuat hati. Sambil azan, saya melihat pusaran angin yang besarnya lebih kurang separuh gelangang badminton itu tidak mahu berhenti dan terus menghala betul-betul ke arah kami.

Lebih kurang 20 kaki pusaran angin itu dari kami, tiba-tiba Rahman melompat masuk ke ruang dalam yang agak terlindung. Melihat Rahman melompat lari, saya menjadi panik dan rasa sangat takut kerana seorang diri terpacak di situ. Tak cekak saya ..... melompat meluru ikut si Rahman.

Azan saya tak habis, terputus di situ....spontan sambung semula di tempat saya berlindung .

Dalam keadaan angin yang menggila itu kami cukup cemas, tidak boleh buat apa-apa lagi, kami hanya menyerah kepada Allah Yang Maha Besar. Seolah-olah menunggu apakah yang akan berlaku selepas itu.

Masya Allah...putaran angin itu tidak melanggar tempat kami berlindung itu, sebaliknya dia mengelak dan menghentam tumbang sebatang pokok ru yang sangat besar di bahagian belakang. Sekali lagi kami bernasib baik kerana pokok Ru itu tidak menimpa tempat di mana kami lebih kurang 20 orang berada.

Selepas pusaran angin itu berlalu, kilat petir terus sambar menyambar, sungguh menggila dan mengerikan. Hujan terus lebat. Angin terus kuat. Saya mengambil keputusan turun dari situ berlari ke arah chalet untuk memastikan semua peserta perempuan selamat dan kemudian berlari pula ke dorm tempat di mana peserta lelaki di tempatkan. Sewaktu saya menuju ke arah dorm sempat saya mendongak melihat pokok ru di hadapan saya berapi di puncaknya.

Saya arah semua peserta yang ada di dalam dorm itu azan sekuat hati kerana pergerakan pokok-pokok Ru yang besar-besar di sekeliling kami menggila. Pokok-pokok tersebut tidak lagi bergoyang di bahagian pucuk malah boleh nampak bergerak-gerak di bahagian pangkal. Dalam dorm itu saya sempat melihat peserta-peserta berbangsa Cina juga memekap tangan ke telinga. ikut sama peserta-peserta Islam azan. Masya Allah, fitrahnya manusia tetap memerlukan Allah Tuhan yang menjadikannya.

Dalam keadaan tak tahu hendak buat apa lagi, saya berlari pula ke arah pantai diikuti oleh Rahman. Kami azan sekuat hati di situ. Sambil azan saya memohon kepada Allah agar keadaan kembali tenang.

Alhamdulillah, setengah jam selepas itu keadaan cuaca tidak aggresif lagi. Dalam keadaan semakin tenang itu, saya melihat keadaan hiruk pikuk di kem itu, tiba-tiba saya rasa sungguh sayu. Saya masuk seketika ke kereta saya, menitis airmata saya mengenangkan kehebatan dan kebesaran Allah SWT. Allah menyelamatkan kami dari satu bencana alam yang cukup mengerikan bagi saya. Terfikir saya kalau kejadian itu cukup mengerikan saya, kiamat nanti bagaimana ? Allahu Akbar!

Lebih kurang pukul 6.30 petang pihak Ketua Polis Daerah memaklumkan bahawa kami telah dikategorikan sebagai mangsa bencana alam. Kem itu dibatalkan dan semua kami diangkut oleh trak-trak dan land rover polis ke Balai Polis Rompin. Yang berkereta, berkereta ke Balai Polis.

Setelah selesai urusan di Balai Polis kami diserahkan kepada pihak PPD Rompin dan kami diangkut pula untuk berkumpul di PPD Rompin. Di sini saya selaku Kem Komandan bersama Penolong dan AJK Kem menguruskan pelepasan peserta-peserta, yang diambil oleh guru-guru, gurubesar dan ibubapa masing untuk dibawa pulang.

Malam itu kami tidak boleh balik lagi kerana ada empat orang peserta tidak diambil. Kami terpaksa bermalam bersama peserta tersebut di SK Rompin. Besok pagi setelah semuanya selesai barulah saya dan kawan-kawan yang bertugas, pulang.

Sesungguhnya kejadian ini, satu pengalaman yang tidak mungkin saya lupakan.

Bertambah terbayang saya peristiwa ini bila melihat angin yang terlalu kuat sehari dua ini dan kejadian Tsunami yang berlaku lagi, kali ini di Samoa.

Allahu Akbar !!!

Monday, September 28, 2009

Subhanal malikil ma'kbuuud....

Hari ini 9 Shawal, bermakna sudah 9 hari Ramadhan Kareem berlalu. Dengar ceritanya ,para sahabat Rasulullah SAW bersedih apabila Ramadhan meninggalkan mereka dan mereka tertanya-tanya dengan sedih, "bertemukah lagi dengan Ramadhan yang penuh rahmat itu ?" Menitis air mata para sahabat.

Kini, apakah perasaan seperti jiwa para sahabat itu masih wujud ? Entahlah....!!

Sepanjang Ramadhan duhulu rancangan TV penuh dengan program-program keagamaan yang begitu bererti dan bermanfaat, tetapi semenjak tibanya Shawal ini program-program TV penuh pula dengan program hiburan yang berbagai ragam. Ke manakah perginya program-program agama dan keilmuan yang indah-indah di sepanjang Ramadhan dahulu ? Entahlah .....!!

Nun masjid kian lengang. Suara selawat sudah hilang. Yang ada hanya suara muadzin yang keseorangan bertemankan Tok Siak. Itupun kalau muadzin datang !

Alangkah indahnya suasana masjid di bulan Ramadhan. Jemaah penuh bersolat tarawikh. Seronok dan bersemangat walaupun keletihan berpuasa di siang hari.

Terkenang saya keghairahan bersolat tarawikh dalam keadaan letih berpuasa pada suatu ketika dahulu. Jemaah bersolat tarawikh di masjid itu tidak ramai, paling ramai 10 -15 orang. Pada suatu malam kami seronok bertarawikh walaupun jemaah tidak seramai mana. Sampai masa berselawat bergema suara dalam masjid itu walaupun para jemaah ramainya berusia tua.

Ketika dalam suatu solat, Tok Bilal berada betul-betul di belakang Tok Imam. Manakala Tok Ketua Kampung bersolat sebelah kiri Tok Bilal. Saya di sebelah kanan Tok Bilal. Di sebelah kanan saya pula, seorang sahabat yang telah pun bersara kini, dan pernah berkhidmat di Jabatan Pelajaran. Makmum yang lain saya sudah tak ingat lagi kerana kisah ini telah berlaku lama dahulu.

Kami bersolat tarawikh 20 rakaat. Sungguh kyusuk dan bersemangat kami bersolat. Solat kami tidak terganggu apa-apa. Semuanya beres dan cantik, bertenaga! Tiba-tiba di lebih kurang pertengahan antara 20 rakaat itu, di tahaiyat akhir.

Sebaik duduk tahaiyat akhir, " Subhanal malikil ma'buud...", laung Tok Bilal sekuat hati sambil jari telunjuk tangan kanannya tercokeng ke hadapan.

Saya yang berada di sebelah Tok Bilal terkejut ! Macam mana saya nak bagi tahu Tok Bilal. Tiba-tiba saya terdengar bunyi tangan menepuk paha Tok Bilal sambil terdengar suara, "Heh...belum lagi !". Terus terberhenti Tok Bilal. Senyap Tok Bilal.

Kawan di sebelah kanan saya tergelak besar. Saya menahan muka dari tergelak....tak berjaya...terlepas juga gelak saya. Terus saya keluar saf meluru ke beranda masjid. Tak tahulah apa kesudahan solat rakaat itu kerana ramai yang menahan lucu dan yang paling menarik Tok Bilal terutamanya Tok Ketua terus kyusuk dalam solatnya !

Begitulah rencah tarawikh di madrasah Ramadhan.

Rinduku pada mu Ramadhan. Entah bertemu lagi entah tidak.....entahlah !!!

Friday, September 25, 2009

Tetamu yang tidak sepatutnya di hari raya ketiga.

Hari raya ketiga lebih kurang pukul 3.30 petang. Sebaik kami (tiga buah kereta) sampai di rumah pulang dari beraya, saya terus membuka pintu, memulai masuk dengan diikuti isteri dan yang lain-lain. Saya terus ke bilik study untuk berehat.

Tidak lama selepas itu, dari bilik study saya terdengar bunyi seperti ada tetamu di luar. Saya bersegera keluar dan menjenguk dari bahagian tengah rumah. Masya Allah terkejut saya, adik ipar saya yang tak tahu apa-apa itu, sedang melayani seorang tetamu yang tidak sepatutnya diundang masuk ke rumah.

Bersegera saya memberitahu anak sulung saya supaya jangan tinggalkan ruang tamu selagi tetamu itu tidak keluar. Akur pada arahan maka bersembanglah dua orang anak bujang saya bersama bapa saudaranya sambil mengawasi tetamu itu. Sementara anak perempuan di dapur saya suruh bersegera bancuh air untuk dihidangkan kepada tetamu berkenaan.

Saya masuk kembali ke dalam bilik dalam keadaan tidak selesa dan risau. Tiba-tiba saya terdengar suara tetamu berkenaan di tengah rumah. Saya sekali lagi bersegera keluar dan bertembung dengan tetamu yang tidak sepatutnya berada di dalam rumah saya. Rupa-rupanya tetamu itu mula mahu merayau dalam rumah dengan alasan mahu ke tandas setelah meneguk sedikit air yang dihidangkan.

Saya dengan suara yang agak tinggi menyuruh tetamu itu keluar sambil menolak dia ke arah pintu. Dia agak keberatan keluar dan dengan muka serius merenung wajah saya. Suasana agak tegang waktu itu. Adik ipar saya orang Kuala Lumpur tercengang melihat saya 'menghalau' tetamu itu keluar. Di tengah-tengah rumah, saya tolak perut tetamu itu hingga dia berpusing dan menyongsongnya berjalan perlahan-lahan menuju ke pintu utama. Sambil mata merahnya merenung tajam ke arah saya, dia terus keluar dan berlalu pergi.

Saya memberitahu adik ipar saya, tetamu itu amat merbahaya kerana seorang penagih dadah, peminum arak, mencuri adalah mainannya dan boleh meragut apa sahaja yang sempat.

"Patutlah semasa kami bersembang, dia sempat tertidur ! Ingatkan dia dengar ! Khayal je nampak. Din ingat memang watak dia begitu, manalah Din tahu !!" kata adik ipar saya terkejut apabila diberitahu siapakah tetamu yang dilayannya tadi.

Anak-anak saya yang memang sudah tahu siapa sebenarnya tetamu itu hanya tercengang melihat bapak saudaranya selamba saja menjemput tetamu itu masuk ke rumah. Tapi apa boleh mereka buat, kerana tetamu itu sudah berada di dalam rumah dan telah pun duduk di sofa.

Yang menyebabkan saya marah, kerana dia mula melilau dalam rumah saya. Sebab itulah saya terpaksa mengambil langkah yang agak keras, yang tidak gemar saya lakukan, di hari baik bulan baik itu demi menyelamatkan keadaan daripada terus berada dalam keadaaan berisiko.

Thursday, September 24, 2009

Allah Maha Besar ! Sombongkah lagi kita manusia ?: Ribut debu pelik landa Australia

Ribut debu terburuk dalam tempoh beberapa dekad melanda timur Australia hari ini menyelubungi Sydney dan menyebabkan kesesakan pengangkutan dalam cuaca pelik yang menyebabkan berlakunya gempa bumi, hujan batu gergasi dan juga puting beliung.

Angin kuat menyebabkan bandar terbesar Australia itu diselubungi bertan-tan debu merah dari padang pasir, diliputi jerebu jingga yang menyeramkan dan menyaluti mercu tanda kota itu Rumah Opera Sydney dengan lapisan debu.Ribut itu, dilaporkan paling serius sejak 1940-an, kemudian merebak 600 kilometer ke arah utara sehingga ke pesisir Queensland dan dijangka merebak ke New Zealand, sejauh 4000 kilometer, kata pakar-pakar.

Debu menyelubungi kebanyakan kawasan di New South Wales, negeri yang paling padat penduduk di benua kecil itu, menyebabkan pencemaran udara paling teruk dalam sejarah dan memendapkan 75,000 tan debu di laut Tasman setiap jam.

Pengangkutan udara terjejas teruk sehingga memaksa penumpang menangguhkan jadual penerbangan dalam tempoh yang lama di lapangan terbang Sydney dan kebanyakan penerbangan antarabangsa terpaksa dialihkan ke Melbourne dan Brisbane.

Malah, perkhidmatan feri Sydney digantung dan polis memberi maran kepada pemandu untuk lebih berhati-hati susulan tahap penglihatan yang terhad.

Suasana hari raya

Tanpa disangka suasana Aidil Fitri pada tahun ini begitu meriah walaupun agak meletihkan kerana kehadiran tetamu saudara mara, sahabat handai, para pelajar yang agak ramai.

Hampir tiada ruang untuk saya dan keluarga pergi berhari raya pada hari pertama dan kedua. Setelah mak dan ayah tiada maka bapa dan ibu saudaralah tempat yang akan dituju segera. Untuk ke rumah mereka terpaksa bersegera meninggalkan rumah sebaik tetamu berlepas pulang. Jika berlengah pasti akan tertangguh lagi. Itupun ada yang menelefon memberi tahu mereka sudah berada di laman rumah, kami perlu bersegera pulang.

Antara bekas pelajar saya yang hadir:

Bak bersama 9 orang geng-geng bull dozernya (jamil, salehudin, dugong, khairy, reduan, asrol, napi, atan dan seorang yang tak tahu nama) telah 'menyerang' pada hari petama menyapu bersih lontong dan satay yang dihidangkan.

Tak disangka mamat dan ruslan rawi yang telah bertahun-tahun tidak berjumpa juga datang beraya. Begitu juga dengan suliha dan zana.

Lebih sesak rumah apabila rombongan Fatehah (adik) menyerang dengan tiga buah kereta membawa mak, ayah, akak abang, abang ipar akak ipar dan anak-anak saudara.

Kemudian lebih kurang pukul 6.30 petangnya, diikuti oleh 10 orang geng-geng faiz yang hanya sempat marasa kuih-kuih kering yang sedia terhidang di atas meja.

Faezah bakal guru yang juga mentee saya datang beraya bersama keluarga yang membawa dua buah kereta sempat dihidang dengan makan malam berlauk antaranya ikan tongkol goreng.

Huda, anak angkat saya yang telah tidak berjumpa dengan saya selama lebih kurang dua tahun telah datang bersama keluarganya pada hari raya ketiga.

Kini saya menunggu seorang lagi bekas pelajar yang berjanji untuk datang beraya sambil memperkenalkan suaminya kepada saya.

Begitulah suasana aidil fitri di tahun ini. Di samping para pelajar, saudara mara kedua-dua belah pihak turut datang beraya dalam suasana yang sungguh ceria. Biasanya kuih-kuih kering masih banyak tersimpan tapi kali ini isteri memberitahu, " Bang kuih-kuih dah nak habis bang!". Alhamdulillah jawab saya ringkas !

Friday, September 18, 2009

Selamat Hari Raya Aidil Fitri


Di kesempatan ini saya ingin mengucapkan Selamat Hari Raya Aidil Fitri Maaf Zahir Batin kepada:

Cikgu Wahab Taha dan keluarga. Cikgu Wahab Taha seorang yang saya kenal lama sebagai seorang pentadbir dan ketua yang minat berfikir dan begitu minat kepada pelbagai bidang ilmu. Beliaulah juga orang yang tiba-tiba membawa saya ke alam ini. Terima kasih cikgu di atas segala bimbingan dan tunjuk ajar sehingga lahirlah blog yang entah apa-apa ini. Saya sangat mengkagumi seorang mantan Pengetua yang begitu berkemahiran dalam bidang ini.

Selamat Hari Raya Aidil Fitri maaf zahir batin kepada sahabat lama Ahmad Faris Tuan Haji Johan, Saudara Yusuf Muhamad, Saudara Amin, rakan-rakan bloggers sesekolah Psu, Lan, Tini, Tuan Yusof Sipan yang saya kenali melalui maya dan pernah berjumpa sekali.

Selamat Hari Raya Aidil Fitri juga kepada semua rakan-rakan bloggers jauh dan dekat, yang sering singgah ke blog ini, followers yang lebih hebat dari saya dalam hal berblogging. Selamat Hari Raya Maaf Zahir Batin semua, hubungilah saya jika tersasar ke Kuala Rompin.

Kepada para pelajar saya yang sering singgah ke blog ini, seperti faiz, huda ishak , siti, nadhirah, aiman, aqilah dan lain-lain. Selamat Hari Raya Maaf Zahir Batin. Jemput beraya ke rumah cikgu. Bawa kuih dan duit raya sekali !!!

SELAMAT HARI RAYA AIDIL FITRI MAAF ZAHIR BATIN
JUGA KEPADA
SELURUH MUSLIMIN DAN MUSLIMAT
SEMOGA SEMUA DIBERKATI DAN DIRAHMATI ALLAH SWT.

Wednesday, September 16, 2009

10 perbuatan sia-sia


Sufyan ats-Tsauri, seorang ulama hadis yang terkemuka, menyatakan bahawa ada sepuluh hal yang termasuk dalam kategori sia-sia, iaitu:-

1. Laki-laki atau wanita yang berdoa untuk dirinya sendiri, tapi tidak dimohonkannya doa untuk ibu-bapanya sendiri dan kaum Muslimin.

2. Orang yang kerapkali membaca Al Quran, tapi tidak membaca secara tertib sampai seratus ayat tiap-tiap hari.

3. Laki-laki yang masuk ke dalam masjid, kemudian ia keluar kembali dari masjid itu tanpa mengerjakan shalat tahiyatul-masjid.

4. Orang-orang yang melewati tanah perkuburan, tapi tidak mengucapkan salam kepada penghuni-penghuni kubur dan tidak mendoakan untuk keselamatan arwah-arwah mereka.

5. Laki-laki yang masuk pada hari Jumaat ke suatu kota, kemudian ia keluar lagi dari kota itu tanpa mengerjakan shalat Jumaat berjemaah.

6. Laki-laki atau wanita yang tinggal di suatu lingkungan dengan seorang ulama, tapi dia tidak mempergunakan kesempatan itu untuk menambah ilmu pengetahuan.

7. Dua orang laki-laki yang bersahabat, tapi mereka tidak saling menanyakan tentang keadaan masing-masing dan keluarganya.

8. Laki-laki yang mengundang seseorang menjadi tetamunya, tapi tidak diacuhkan dan tidak dilayani tetamunya itu.

9. Pemuda yang menjadikan zaman mudanya berlalu begitu saja tanpa memanfaatkan waktu yang berharga itu untuk menuntut ilmu dan meningkatkan budi pekerti.

10. Orang yang tidak menyedari tetangganya yang merintih lantaran kelaparan, sedang ia sendiri makan kekenyangan di dalam rumahnya.