Monday, August 31, 2009

Sejenak dihujung minggu

Setelah menghabiskan cuti hujung minggu bersambung dengan cuti merdeka bersama semua anak-anak kecuali yang di Tanjung Malim, hari ini seorang demi seorang anak-anak pulang ke destinasi masing-masing.

Semalam ke Perhentian Bas Mersing hantar Nine balik ke Kangar Perlis. Hari ini hantar Akak ke Kuantan. Along, oleh kerana anak lelaki, balik sendiri ke IPG Islam Bangi. Mengurus perjalanan balik anak-anak perempuan perlu lebih cakna berbanding anak-anak lelaki.

Nine sampai pagi tadi di Kangar. Along yang bertolak dengan bas pukul 1 petang baru sampai pukul 8 malam tadi. Katanya perjalanan tersangkut kerana kesesakan lalu lintas yang panjang. Along berbuka puasa dalam komuter. Biasalah tu...!! Nampaknya Akak paling beruntung kerana dihantar terus ke asrama.

Di Kuantan tadi sempat juga bersiar sambil memandu melihat begitu banyak bazar Ramadhan dan ya Allah begitu ramai manusia ke hulu ke hilir dalam keadaan cuaca panas terik. Apa yang di cari, apa yang dibeli, entahlah !!

"Ayah orang ramai-ramai ni ke hulu ke hilir tak dahaga ke, tak letih ke ?", tanya anak bungsu yang mungkin sedang menahan kehausan dan keletihan !

"Entahlah...mungkin tidak, kerana Ramadhan kan bulan rahmat ", jawab saya ringkas sambil melihat orang ramai itu, saya juga sebenarnya terasa letih dan dahaga !

Sunday, August 30, 2009

Tiga perkara kabulkan doa

Ketika Hajjaj Ibnu Yusuf As Saqafi datang ke Kora Basrah, berita kedatangannya itu telah diketahui oleh penduduk Basrah. Penduduk Basrah bersegera berjumpa dan mengadap Imam Hassan Al Basri untuk mengadu dan berbincang. Dalam pertemuan itu mereka mengajak Imam Hassan Al Basri untuk membunuh Hajjaj Yusuf As Saqafi yang kejam ini.

Dengan tenang Imam Hassan Al Basri berkata, " Anggaplah kamu semua menang dan berhasil membunuhnya. Tetapi ketahuilah di bumi Allah ini, tidak sedikit orang seperti Hajjaj ini, bahkan tidak mustahil akan lahir orang yang lebih kejam dan buruk daripadanya."

Mendengar ucapan Imam Hassan Al Basri tersebut mereka terus bertanya," Kalau begitu apa yang harus kami lakukan Tuan Guru?"

"Pulanglah kamu semua! Bersihkan harta kamu dari yang haram. Dan kembalikan kepada yang berhak. Bila kalian tidak tahu siapa pemiliknya, bawalah ke masjid untuk bersedekah kepada orang-orang fakir dan miskin. Dan barang siapa yang memelihara isteri yang haram (perempuan simpanan), hendaklah ia melepaskannya. Tetapi barang siapa yang mampu menjadikannya isteri yang sah, lakukanlah. Dan bertaubatlah kamu kepada Allah Azza Wa Jalla, banyak-banyak ber'iktikaf dalam masjid, beribadah dan membaca Quran sehingga Allah meleraikan kesusahanmu."

"Aku tahu dia akan pulang segera!", ucap Imam Hassan Al Basri setelah mendengar berita pemergian Hajjaj dari Basrah.

"Bagaimana Tuan Guru boleh tahu ?", tanya mereka.

"Seorang hamba Allah jika melaksanakan 3 perkara yang telah aku sarankan, nescaya Allah akan perkenankan doanya."

Pengajarannya ialah 3 perkara syarat doa termakbul:

1. Bersihkan harta dari yang haram.
2. Jauhkan dari menghampiri zina.
3. Bertaubat selalu.

Friday, August 28, 2009

Berbuka apa ?

Badak berendam dengan cendol !!!



Wednesday, August 26, 2009

Sejenak di bazar ramadhan.

Setelah lima hari berpuasa, first time hari ini saya ke bazar ramadhan. Saya bersama Pak Samad bukan sangat hendak membeli kuih tetapi hendak melihat kuih dan aneka makanan.

Mula-mula kami singgah ke bazar ramadhan di hadapan Tunas Manja Mersing ( jauh tu!!). Kami berjalan menyusur gerai di kiri kanan jalan. Pak Samad bagi tahu, dia hendak mencari makanan atau kuih yang pelik-pelik sikit. Agaknya, kuih atau makanan yang jarang atau tak pernah makanlah tu! Saya pula meninjau makanan yang saya rasa berkenan.

Sepanjang kami berjalan menyusur gerai, Pak Samad masih belum membeli, saya pun begitu. Maknanya tiadalah makanan yang 'pelik-pelik sikit' kepada Pak samad dan saya pula tiada jumpa makanan yang saya berkenan.

Yang saya terlalu tergoda melihatnya tadi ialah air. Dalam keadaan cuaca panas, melihat air yang berbagai jenis air bandung, air sathira, air kelapa, air tebu, air soya, air milo, air asam masin, air mata kucing, cendul madu pun ada..... dalam tong yang berpeluh dengan wap air batu, mak tuan....sedapnya....sejuk rasa leher yang berpuasa ni....ahh !!

Setelah agak jauh berjalan tiada apa juga yang kami beli...tidak tepung pelita, tidak kuih aqok, tidak apam balik, tidak murtabak, tidak pulut panggang, tidak cendol, tidak air soya, tidak ayam golek, hanya cuma rotab yusof tayyuob !!

Dalam kereta saya bertanya Pak Samad, " Habis ke dia menjual ni?".

"Entah...agaknya kalau tak habis, dia orang belasah dengan anak beranak dia orang aje atau pun di sedekah ke surau masjid lah tu !," jawab Pak Samad selamba.

Dalam perjalanan balik kami singgah di bazar ramadhan Tanjung Gemuk. Saya round sepintas lalu hanya untuk melihat aneka rupa juadah kemudian saya masuk menunggu Pak Samad dalam kereta. Apa yang Pak Samad beli saya tak tahu.

Sementara menunggu, dari dalam kereta, saya melihat dua orang penguatkuasa Majlis Bandaran sedang menyaman seorang penjaja yang menjual jagung mentah. Apa salah penjaja itu saya tak tahu. Tetapi bagi saya tak payahlah saman-saman, bagi nasihat saja. Orang Melayu tu baru nak belajar berniaga dah kena saman. Berapa sen lah sangat orang tu dapat ! Bagi saya sepatutnya penguatkuasa itu ada semangatlah untuk menolong orang Melayu berjaya dalam perniagaan bukannya salah sikit saman. Kalau bab kebersihan saya setuju saman tapi kalau masalah tapak menjaja...alahai..... nasihat aje...berniaga sebulan!!

Kalau nak disaman carilah peniaga yang besar-besar. Tu.....rumah sarang burung tu, cukupkah syaratnya ? Tumbuh macam cendawan di musim hujan !

Sedang kesian melihat nasib pakcik penjaja yang disaman itu, Pak Samad pun sampai ,dan kami terus balik ke rumah untuk berbuka dengan rotab Yusof Tayyuob.

Nasiblah pakcik...bulan ramadhan pun ada orang bengkeng !!

Tuesday, August 25, 2009

Nafsu yang degil....


Dalam sebuah kitab karangan 'Ustman bin Hasan bin Ahmad Asy-Syaakir Alkhaubawiyi, seorang ulama yang hidup dalam abad ke XIII Hijrah, menerangkan bahwa sesungguhnya Allah S.W.T telah menciptakan akal, maka Allah S.W.T telah berfirman yang bermaksud : "Wahai akal mengadaplah engkau." Maka akal pun mengadap kehadapan Allah S.W.T., kemudian Allah S.W.T berfirman yang bermaksud : "Wahai akal berbaliklah engkau!", lalu akal pun berbalik.

Kemudian Allah S.W.T. berfirman lagi yang bermaksud : "Wahai akal! Siapakah aku?". Lalu akal pun berkata, "Engkau adalah Tuhan yang menciptakan aku dan aku adalah hamba-Mu yang daif dan lemah."


Lalu Allah S.W.T berfirman yang bermaksud : "Wahai akal tidak Ku-ciptakan makhluk yang lebih mulia daripada engkau."


Setelah itu Allah S.W.T menciptakan nafsu, dan berfirman kepadanya yang bermaksud : "Wahai nafsu, mengadaplah kamu!". Nafsu tidak menjawab sebaliknya mendiamkan diri. Kemudian Allah S.W.T berfirman lagi yang bermaksud : "Siapakah engkau dan siapakah Aku?". Lalu nafsu berkata, "Aku adalah aku, dan Engkau adalah Engkau."


Setelah itu Allah S.W.T menyiksanya dengan neraka jahim selama 100 tahun, dan kemudian mengeluarkannya. Kemudian Allah S.W.T berfirman yang bermaksud : "Siapakah engkau dan siapakah Aku?". Lalu nafsu berkata, "Aku adalah aku dan Engkau adalah Engkau."


Lalu Allah S.W.T menyiksa nafsu itu dalam neraka Juu' selama 100 tahun. Setelah dikeluarkan maka Allah S.W.T berfirman yang bermaksud : "Siapakah engkau dan siapakah Aku?". Akhirnya nafsu mengakui dengan berkata, " Aku adalah hamba-Mu dan Kamu adalah tuhanku."


Dalam kitab tersebut juga diterangkan bahwa dengan sebab itulah maka Allah S.W.T mewajibkan puasa. Dalam kisah ini dapatlah kita mengetahui bahwa nafsu itu adalah sangat jahat oleh itu hendaklah kita mengawal nafsu itu, jangan biarkan nafsu itu mengawal kita, sebab kalau dia yang mengawal kita maka kita akan menjadi musnah.

Monday, August 24, 2009

Taufan atau siklon tropika



TAUFAN atau siklon tropika adalah ribut akibat haba yang dilepaskan apabila udara panas naik dan wap udara di dalamnya meluwap.


Dinamakan siklon tropika kerana ia serupa siklon dan terjadi di tropika manakala putarannya melawan jam di hemisfera utara.


Kawasan-kawasan yang berlainan mempunyai nama tersendiri untuk fenomena taufan. Sebagai contoh, ribut tropika dikenali sebagai hurikan di Atlantik Utara.


Manakala siklon tropika atau taufan dinamakan di Asia Tenggara, Chubaso di Filipina dan Willy Willies di Australia.


Walaupun takat suhu lautan dan kekuatan taufan tiada kadar secara langsung, namun impak yang nyata disebabkan oleh kesan rumah hijau.


Menurut Pengarah Jabatan Meteorologi, Saw Bun Ling, taufan sering berlaku di kawasan tertentu yang terdedah pada suhu lautan Pasifik melebihi 26 darjah Celsius.


"Taufan yang berlaku di tengah lautan menyebabkan hujan lebat, angin kencang serta ombak besar, menjejaskan aktiviti perkapalan antarabangsa serta boleh menenggelamkan kapal.


"Di darat pula, angin kencang boleh merosakkan atau memusnahkan bangunan dan harta benda sehingga menyebabkan objek terbang sekali gus membahayakan penduduk.


"Selain itu, taufan juga mengakibatkan banjir besar," katanya ketika dihubungi Kosmo!.


Tambah Bun Ling, terdapat beberapa peringkat perkembangan dalam pembentukan taufan. Peringkat pertama gangguan tropika itu adalah sistem ribut petir yang tertumpu di kawasan bertekanan rendah dengan kelajuan angin kencang kurang daripada 60 km/j.


Manakala ribut tropika adalah sistem ribut petir kuat dengan kitaran permukaan tertentu serta kelajuan angin maksimum antara 60-120 km/j.


Sungguhpun siklon sudah mula terbentuk, tetapi mata taufan biasanya masih belum terbentuk.
Seterusnya taufan pula adalah ribut tropika dengan angin kencang melebihi 120 km/j. Ketika ini, mata taufan mula terbentuk sekali gus memudahkan taufan dikesan melalui imej satelit.


"Ribut tropika pula dikategorikan sebagai ribut taufan apabila kelajuan angin maksimum meningkat melebihi 120 km/j berikutan pengurangan dalam tekanan permukaan," jelasnya.


Selain itu, saintis mendapati dua pertiga daripada peningkatan suhu lautan, yang boleh menyebabkan taufan, disebabkan oleh tindakan manusia.


Catatan tahun lalu menunjukkan telah berlaku peningkatan yang serius dalam kejadian ribut kategori empat dan lima di seluruh dunia.


Kategori yang membawa kemusnahan teruk itu adalah yang terkuat dan paling kerap berlaku sepanjang sedekad lalu.


Laporan penyelidikan oleh Kerry Emanuel dari Institut Teknologi Massachusetts, Amerika Syarikat (AS) menunjukkan bahawa tempoh masa, kelajuan angin maksimum dan pelepasan tenaga yang disebabkan oleh ribut tropika telah meningkat di Atlantik Utara dan lautan Pasifik Utara sejak pertengahan tahun 1970-an.


Peter Webster dari Institut Teknologi Georgia, AS, mencatatkan kejadian ribut kategori empat dan lima berlaku sebanyak 171 kali sepanjang tempoh 15 tahun dari 1975 hingga 1989, tetapi kejadian bencana itu meningkat kepada 269 kes dalam tempoh 15 tahun berikutnya.


Menurut Webster, peningkatan intensiti tersebut berkait rapat dengan kenaikan suhu laut, yang diakibatkan oleh pemanasan global.


Pada Jun lalu, saintis Kevin Trenberth dari Pusat Penyelidikan Atmosfera Kebangsaan AS telah mengenal pasti kemunculan musim ribut yang ketara di kawasan Atlantik Utara.


Menurutnya, lebih 50 peratus daripada punca peningkatan itu disebabkan aktiviti manusia.


AS terus berwaspada dengan ancaman ribut selepas taufan Katrina membawa kemusnahan teruk di sekitar New Orleans pada Ogos 2005.

Sunday, August 23, 2009

Jadual Waktu Imsak dan Berbuka Puasa 1430H


Jadual waktu imsak dan berbuka puasa Tahun 1430H / 2009 M, bagi Negeri Pahang Darul Makmur, Zon II : Rompin, Pekan, Muadzam Shah dan Kuantan di sini