Thursday, April 30, 2009

Babi....babi....babi...babi !


Sepanjang seminggu yang lalu, berita yang paling popular baik di corong-corong radio, televisyen mahupun di media cetak ialah selsema babi. Merata-rata selsema babi diperkatakan. Pendek kata perkataan babi...babi...babi...babi...babi....riuh disebut seentero dunia. Bagi masyarakat Melayu kalau sebut babi, kasar bunyinya. Apatah lagi kalau maki kepada orang lain dengan kata, babi ! rasanya kalau tak naik penumbuk, mahu naik penampar !

Itupun apabila disebut selsema babi....selsema babi... terlalu kerap, terasa juga mualnya. Tapi hendak buat macam mana, dah babi memang sedang diserang selsema sekarang ini, mahu tak mahu kena juga sebut; selsema babi !

Namun ada pihak di Amerika Syarikat dan tempat-tempat lain yang saya dah tak ingat di mana telah mencadangkan agar jangan sebut selsema babi. Wah... mereka ni mahu juga membela babi. Mereka kata penyakit selsema babi bukan hanya berasal dari bintang babi tu sahaja ! Lantas mereka mencadangkan nama lain...antaranya mexico flu, South American Flu dan macam-macam. Bertuah babi. Ada juga manusia yang tidak mahu merusakkan imej dan menjatuhkan maruah babi. Bagus sikap manusia-manusia itu !

Tapi dalam pada hendak mempertahankan reputasi dan maruah babi, bersepah di sana sini maruah manusia diinjak-injak...contohnya di Palestin, Iraq, Afghanistan dan sebagainya.

Sehingga hari ini WHO dilaporkan tidak berhasrat menukar nama selesema babi kepada nama lain. Biarlah dengan nama itu katanya !

Mengikut laporan berita hari ini selsema babi sudah di berada di tahap 5 kerana sudah merebak keluar dari Mexico. Terdengar di telinga saya tadi antara negara yang yang telah dijenguk selsema babi ialah Israel. Spontan isteri saya menggesa..."hah...biar banyak selesema babi serang Israel tu ! Padan muka !" Kuat juga semangat intifadhah isteri saya.

Monday, April 27, 2009

Jika babi terus selsema, manusia akan terus merana .....apakah maknanya ?


Memikirkan tentang apa yang berlaku di atas dunia hari ini terasa gerun dihati. Di sana sini manusia masih berbunuh-bunuhan, peperangan, rompakan, penculikan dan seumpamanya. Perkara keselamatan menjadi isu utama. Cabul dan rogol berlaku di mana-mana dengan tidak mengenal siapa.

Pergaulan bebas lelaki perempuan tak kira tua dan muda begitu berleluasa. Manusia Islam semakin ramai tidak menunaikan sembahyang lima waktu. Tahunya bekerja untuk menjadi berwang siang dan malam.

Pendidikan anak-anak kian terserahkan kepada Astro. Terpulang kepada Astrolah bagaimana menjadikan mereka. Mak ayah semakin sibuk menjayakan kemajuan negara.

Anak-anak haram ditinggal merata-rata bukan lagi perkara pelik dan anih. Pecah amanah dan rasuah bukan lagi menjadi kesalahan yang berdosa malah telah menjadi perbuatan "ah...biasalah...!". Mat rempit tidak pernah kurang, menjadi ramai ...ya. Bermula dengan rokok akhirnya ketagih dadah telah menjadi lumrah. Cikgu tegur pelajar hisap rokok, ada ibubapa kata tak apalah sekadar rokok ajelah !

Kini pandang kiri, pandang kanan, atas dan bawah macam-macam hal berlaku dan terjadi. Cukup mengecutkan rasa hati.

Padanlah dulu ribut gred di Sabah menghentam. Tsunami membaham dan membenam. Bukit Antarabangsa tersembam. Gempa bumi membunuh dan mencedera puluhan juta manusia tidak pernah menginsafkan. HIV Aid tidak pernah selesai-selesai.

Dulu terkejut kita dengan Virus Nipah dan kemudian JE. Kini babi lagi.....Babi yang selesema nampaknya manusia kian merana. Selesema babi menyerang dunia!

Dan apakah jika manusia tidak sedar-sedar lagi, tidak mahu kembali kepada Islam yang syumul, bukan lagi selesema babi, gila babi atau babi gila pula akan menyerang ? Na'uzubillah !

Petikan dari Malaysiakini:

Kesemua penternak di 797 ladang babi di seluruh negara wajib melaporkan segera kepada Jabatan Perkhidmatan Veterinar jika ternakan mereka mengalami sebarang perubahan kesihatan.

Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani Datuk Noh Omar berkata laporan juga boleh dibuat kepada Pusat Kawalan Penyakit Haiwan jika penternak mengesan babi ternakan mereka mengalami batuk, berhinggus, bersin atau tidak mahu makan.

"Laporan boleh dibuat kepada JPV terdekat atau Pusat Kawalan Penyakit Haiwan melalui nombor telefon 03-887002041 atau SMS ke nombor 32255," katanya kepada pemberita di Putrajaya hari ini, lapor Bernama.

Beliau berkata selain melaporkan perubahan kesihatan ternakan, penternak juga wajib melaporkan jika mendapati pekerja mereka mempunyai simptom batuk, demam dan sakit badan.

Noh berkata pasukan tindakan pantas diletakkan dalam keadaan siap sedia dan akan digerakkan ke setiap negeri apabila keadaan memerlukan dan JPV pula diarah memantau ladang babi berskala besar dan kecil.

Beliau berkata kementerian akan bekerjasama dengan Kementerian Kesihatan bagi menangani wabak itu dan kaedah yang digunakan bagi menangani wabak itu
adalah sama seperti yang digunakan ketika menangani wabak selesema burung.

Noh berkata orang ramai bagaimanapun tidak perlu bimbang kerana belum ada kes yang dikesan di negara ini dan tiada haiwan atau produk haiwan yang diimport dari Mexico.

Sementara itu, Jabatan Perkhidmatan Veterinar Pulau Pinang akan mengadakan pemeriksaan dan pengambilan sampel di 200 ladang ternakan babi di negeri ini untuk memastikan ternakan itu bebas daripada jangkitan selesema babi.

Pengerusi Jawatankuasa Pertanian dan Industri Asas Tani, Pembangunan Luar Bandar dan Tebatan Banjir Negeri Law Choo Kiang berkata pemeriksaan akan dilakukan secepat mungkin bagi memastikan tidak berlaku selesema babi di negeri ini.

Bercakap kepada pemberita di Dewan Undangan Negeri, beliau berkata penternak juga diminta mengambil langkah berjaga-jaga dengan memastikan ternakan mereka sihat.

Katanya penternak juga perlu memaklumkan kepada Jabatan Perkhidmatan Veterinar sekiranya terdapat tanda-tanda ternakan mereka terkena penyakit selesema babi dan mengasingkan ternakan itu dengan segera.

"Terdapat kira-kira 300,000 ekor babi di negeri ini dan penternak diingatkan supaya memberikan kerjasama dan mematuhi arahan yang dikeluarkan oleh pihak berkuasa," katanya.

Bagaimanapun, tiada babi atau manusia yang dikesan dijangkiti penyakit selesema babi di negeri ini, katanya.

Friday, April 24, 2009

Renungan: Sekolah Kristian, budak Melayu dan pesta buku....?

(Saya tertarik untuk memuat rencana dibawah yang saya ambil dari blog Fudzail; http://1426.blogspot.com/ untuk kita jadikan renungan bersama. Setelah 52 tahun merdeka anak bangsa kita masih ada yang belum terbela dan berhempas pulas mencari tapak kehidupan. Berjayakah mereka jika begini keadaannya jika kita terus bersikap tidak memikirkan nasib mereka dan tidak cakna ? )


Dari blog http://1426.blogspot.com/

Membaca artikel dibawah dalam Berita Harian hari ini amat menyedihkan.
Bangkitlah Melayu....kata Utusan Malaysia dan puak-puak NGO sibuk membuat lapuran polis berkaitan dengan apa saja yang dikatakan menghina Melayu.

Godam: 'Sekolah Kristian, budak Melayu dan pesta buku'


Bersama Salbiah Ani

MINGGU lepas seorang penulis dan juga penerbit yang kini sibuk dengan Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur 2009 di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), meluahkan isi hatinya mengenai nasib malang segelintir pelajar Melayu kelompok marhaen di Kuala Lumpur.

Beliau yang berkesempatan berkunjung ke sekolah mubaligh yang berjiran dengan Masjid Negara dan Ibu Pejabat Bukit Aman, hiba melihat nasib 70 peratus pelajar Melayu yang menimba ilmu di sekolah yang daif fizikal apalagi kemudahan pembelajaran.

Pelajar Melayu di sekolah terbabit, rata-rata di kalangan kelompok marhaen yang terpaksa belajar dalam keadaan panas kerana sekolah masih menggunakan kipas zaman tok kaduk dan memilih sekolah itu hanya kerana ia terletak berhampiran dengan tempat tinggal, bukannya kerana tarafnya sebagai sekolah mubaligh.

“Sedih melihat fizikal sekolah yang daif dan kelihatan buruk sekali kerana tidak ada dana untuk membeli cat bagi menceriakan sekolah, selain kemudahan komputer terbatas kerana mereka mengharapkan ihsan korporat yang sudi menderma dan menerima dengan besar hati meskipun komputer terpakai,” katanya berterus terang ketika bertemu dengan penulis untuk berkongsi maklumat mengenai perkara terbabit.

Beliau juga hiba kerana buku di perpustakaan untuk bacaan pelajar baik sebagai rujukan, bacaan tambahan atau mengisi hobi membaca hanya pada paras ala kadar, sedangkan Kuala Lumpur menjadi lokasi Pesta Buku Kuala Lumpur sejak 28 tahun lalu.

“Inilah akibatnya jika pengagehan kemudahan dilakukan berasaskan sistem kuota tanpa melihat realiti lapangan. Kita memperjudikan masa depan generasi Melayu yang terpinggir kerana kesusahan. Lebih menyedihkan mereka pelajar pusat bandar Kuala Lumpur, tetapi kemudahan seolah-olah berada di kawasan pedalaman seperti di Pos Lejang, Pahang.

“Kita suruh mereka belajar Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris, sedang untuk ke sekolah pun ada kalanya tersangkut kerana tiada duit tambang sehingga terpaksa ponteng. Mereka anak kalangan setinggan dan rumah pangsa di Pantai Dalam. Kedua-dua ibu bapa terpaksa bekerja dengan sesetengahnya melakukan dua pekerjaan.

“Sebahagian besar daripada pelajar ini tidak dapat mengulang kaji di rumah kerana persekitaran yang tidak selesa dan sesetengahnya pula terpaksa membantu ibu menyiapkan juadah untuk berniaga, bagi memastikan perbelanjaan keluarga mencukupi sehingga hujung bulan.

“Bagaimanakah generasi muda ini mahu melepaskan diri daripada kemelut kemiskinan keluarga jika demikian keadaannya?. Mereka bukan tidak cerdik, tetapi dibelenggu kedudukan kewangan yang melarang mereka memilih sekolah dengan kemudahan lebih baik,” ujarnya.

Penulis diberitahu juga diberitahu oleh seorang lagi teman, pelajar Melayu dalam kelompok ini menjadikan Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur sebagai medan lepak dan membelek buku baru khususnya novel, di samping mencari ‘rezeki’ dengan membantu sesetengah pemilik gerai melakukan promosi bagi menarik perhatian pengunjung.

“Sedih melihat dan mengenang nasib mereka. Apa sangat yang dapat saya bantu sebagai individu. Paling tidak sekadar memberi upah ala kadar dan memastikan perut mereka beralas selain masa tidak diisi dengan kegiatan mengarut. Hendaknya mereka tidak berbohong kepada saya,” demikian pengakuan teman ini.

fudzail

http://1426.blogspot.com/

Thursday, April 23, 2009

Ford Escort 1974


Saya rasa seronok melihat kereta-kereta lama di jalan raya. Tadi sewaktu pulang dari sekolah saya mengekori sebuah Frod Escort yang cukup antik kelihatannya. Seronok saya melihat kereta itu dipandu tenang. Saya sendiri memiliki sebuah Ford Escort seperti itu tahun 1974. Saya membeli ford escort itu dengan harga RM500 dan kemudian menghantar cat Ford Escord tersebut RM2500. Suatu hari ada seorang peminat Ford Escort yang saya tidak kenali datang ke rumah untuk membeli kereta Ford Escort saya. Saya tanya berapa harga dia sanggup beli? Katanya dia sanggup membeli dengan harga RM7000. Masya Allah, mahalnya !


Saya tak jual.

Dia agak kecewa namun dia berpesan kepada saya jika mahu menjual ford escort saya tu, "minta tolong contact saya", katanya sambil menghulur nombor telefonnya.

Kadang-kadang saya terasa geli hati merenung gelagat manusia. Kereta buruk macam itupun hendak dibeli dengan harga setinggi itu. Adakah munasabah ! Tapi hendak buat macam mana dia kata dia memang peminat Ford Escort lama.

Bagi saya pula, tak mungkin saya akan menjual kereta ford tersebut. Itulah satu-satunya kereta lama yang apabila saya memandunya terasa cukup bergaya. Biarlah orang bergaya dengan kereta mahal, saya bergaya dengan Ford Escord lama cukuplah.

Terasa seronok mengekori Ford Escort itu tadi dari belakang sambil berkata sendirian....."begitulah agaknya Ford Escort aku sewaktu aku memandunya di jalan raya!" Fou yoo !

Wednesday, April 22, 2009

Bersembang sejenak dengan mat salleh

Petang semalam sementara menunggu waktu makan malam saya bersiar-siar di lobby resort ini. Terdapat juga beberapa orang 'orang putih', pelancong barangkali, juga sedang duduk-duduk santai di situ. Saya cuba menghampiri salah seorang dari mereka untuk tujuan bersembang dan berborak kosong.

Namanya Barry dari Kansas Amerika katanya. Banyak juga perkara yang saya bersembang dengan si Barry ini, dari hal perniagaan, politik, peperangan dan macam-macam lagi. Antara yang menarik ialah mengenai bahasa. Kami bersembang tentang bahasa kerana dia bertanya saya kenapa saya berada di resort tersebut ? Saya katakan kami sedang bermesyuarat penyelarasan pemeriksaan MUET Speaking 2009.

Barry adalah seorang yang gemar belajar berbagai bahasa. Dia boleh berbahasa Indonesia maka dia sudah pasti juga oleh berbahasa Malaysia.

Satu soalan yang menggemparkan saya, yang ditanya oleh Barry ialah "Why not Malay learn Mandarin seriously at school. It is a very important language for them in this country"

Dalam hujah ringkas Barry kepada saya, dia memberitahu pada pengalaman dan pemerhatiannya orang-orang Melayu sangat rugi jika tidak pandai berbahasa orang-orang Cina kerana orang-orang Cina Malaysia hanya 'lebih selesa' dengan mereka yang menguasai bahasa Inggeris dan bahasa Cina. Katanya bangsa Cina adalah bangsa yang sangat lincah dan untuk memahami kelincahannya, kamu mesti menguasai bahasanya!

Terkedu seketika saya mendengar hujah Barry. Betulkah begitu atau itu hanya andaian si mat salleh ini sahaja ?

Saya tinggalkan persoalan itu tergantung begitu kerana saya dipanggil oleh kawan saya untuk makan malam dan Barry pun sudah mula bersiap untuk keluar dari ruang lobby mengikut kawan-kawannya yang lain.

Sebelum berpisah sempat saya bertanya Barry. " So, where to now ?".

"To have a "war" with them...!" jawab Barry ringkas dengan gelak kecil sambil melihat ke arah amoi yang sedang berada di kaunter resort. Saya antara faham dengan tidak apa yang Barry maksudkan, dan sempat merungut sendirian, "itulah orang putih nak berperang je kerjanya. Kurang ajar, Cheh!"

Tuesday, April 21, 2009

Asyik keluar je ni...

Selepas menunaikan solat subuh, sambil termenung di balcony hotel saya merenung jauh ke arah mega-mega merah di permukaan Laut China Selatan. Satu panorama yang menakjubkan. Dalam merenung keindahan alam ciptaan Illahi, terterjah juga sekali sekala gambaran tsunami yang melanda Asia beberapa tahun yang lalu yang mengorbankan beratus ribu jiwa dan nyawa. Kengerian terasa apabila membayangkan hotel ini agak hampir dengan Laut China Selatan yang saujana mata memandang.

Air laut kelihatannya cukup tenang dan linang. Dua tiga orang penghuni hotel kelihatan berjogging. Saya perlu bersiap untuk ke dewan mesyuarat. Mesyuarat penyelarasan pemeriksa MUET Speaking Mei 2009 yang akan bermula pada pukul 8.30 pagi nanti.

Nampaknya selepas berada di Cameron 4 hari, berada pula di sini 3 hari dan selepas seminggu nanti akan keluar lagi dua minggu. Pelajar-pelajar saya mungkin sudah lama tidak melihat muka teacher-nya. Ada juga yang curi-curi sms bertanya, "bila sir akan balik ?". Lama meninggalkan pelajar kerana bertugas cukup meresahkan. Defisit pembelajaran memang berlaku. Hendak diganti waktu yang tertinggal, tidak sempat ganti semuanya. Kadang-kadang terasa hati ini begitu berat dan malas hendak keluar tetapi semua ini tugas penting dan arahan.

Beginilah guru , di sekolah kerja bertimbun, di luar kerja penting untuk PPD, JPN dan KPM. Buat ajelah selagi terdaya.

Sunday, April 19, 2009

Kehebatan Pisang !



Bila disebut pisang, ramai yang terbayangkan kera atau monyet. Hinggakan kalau ada orang yang mengaku suka makan pisang, mungkin akan dikatakan, "heh...macam monyet !". Begitulah pisang dengan monyet, sinonim!

Pagi tadi saya makan pisang; pisang goreng ! Isteri saya memang suka goreng pisang, sedapp! Tahukah kita pisang adalah antara buah yang hebat ?

Pisang mengandungi 3 jenis gula semulajadi, sukrosa, fruktosa dan glukosa yang digabungkan dengan gentian. Dan pisang ini memberi tenaga kepada manusia dengan kadar segera dan berterusan.

Pisang merupakan ubat semulajadi kepada banyak penyakit. Mengikut kajian jika dibandingkan dengan buah epal, pisang mempunyai 4 kali ganda kandungan protien, 2 kali karbohidrat, 3 kali fosforus, 5 kali vitamin A dan zat besi serta 2 kali vitamin dan mineral lain.

Antara penyakit yang dapat dirawat dan dicegah dengan memakan pisang termasuklah:

1. Tekanan jiwa - merujuk kepada survey terbaru yang dijalankan oleh MIND terhadap pesakit-pesakit tekanan jiwa, kebanyakan mereka kembali pulih setelah makan pisang. Ini adalah kerana pisang mengandungi tryptophan iaitu sejenis protin yang bertukar kepada serotonin dalam tubuh manusia ytang menyebabkan kita tenang, mengembalikan mood dan secara amnya membuatkan kita berasa gembira.

2. PMS- Vitamin B6 yang terkandung dalam pisang mampu meneutralkan paras glukosa dalam darah yang boleh mengembalikan mood anda.

3. Anemia - Dengan kandungan zat-zat besi yang tinggi, pisang mampu mengawal pertumbuhan hemoglobin dalam darah yang secara tidak langsung membantu dalm kes-kes anemia.

4. Tekanan darah tinggi - Buah tropikal unik ini mengandungi kadar potassium yang tinggi, garam rendah, menjadikannya sempurna untuk menstabilkan tekanan darah.

5. Keletihan - salah satu cara terbaik untuk mengurangkan keletihan ialah dengan membuat minuman pisang susu dicampur madu. Pisang bertindak menyejukkan perut dan dengan bantuan madu dapat membina semula kandungan gula dalam darah yang berkurangan akibat keletihan, manakala susu pula memperbatulkan sistem hidrasi semulajadi.

6. Panas jantung- Pisang mempunyai nkesan anti-asid semulajadi dalam badan. Oleh itu jika mengalami rasa panas di jantung, cuba cari pisang makan, untuk pemulihan terbaik.

7. Demam pagi - Jadikan pisang sebagai snek setiap hari untuk membantu memelihara kadar gula dalam darah untuk mengelakkan demam pagi.

8. Gigitan nyamuk- Sebelum menggunakan krim gigitan serangga, cuba sapukan kawasan bekas gigitan nyamuk dengan lapisan dalam kulit pisang. Ramai yang berjaya mengatasi kegatalan akibat gigitan nyamuk dengan cara ini. Tapi kalau gatal lain tak tahulah pulak kesannya, makin gatal kot!

9. Saraf -Pisang mempunyai kadar vitamin B yang tinggi yang dapat membantu menenangkan sistem saraf anda.

10. Ulser -Pisang amat baik dalam pencegahan ulser kerana ia bersifat lembut dan tidak mencederakan organ dalaman. Ia juga bertindak sebagai peneutral lebihan asid serta mengurangkan kepedihan dengan bertindak menyaluti lapisan dinding perut.

11. Kawalan suhu - Ramai yang percaya bahawa dengan memakan pisang ia dapat menurunkan suhu kedua-dua fizikal dan emosi kepada ibu-ibu mengandung. Di Thailand sebagai contoh, ibu mengandung mengambl pisang untuk memestikan bayi yang dilahirkan menjadi seorang yang penyabar (cool). Jadi kalau rasa nak marah dan emosional, cepat-cepat cari pisang, makan pisang banyak-banyak - mungkin akan menjadi sabar serta merta kot ! Asyik makan pisang je mana nak marah !

12. Ketagihan rokok dan tembakau - Pisang dapat membantu perokok yang ingin berhenti merokok. Vitamin B6, B12, potassium dan magnesium yang terdapat dalam pisang dapat membantu tubuh perokok dalam membaikpulih kesan nikotin terhadap tubuh. Jadi mulai hari ini perokok yang berazam berhenti merokok bawa pisang ke mana-mana untuk membantu anda berhenti merokok...huhuhu...!!

13. Stess - Potassium merupakan bahan mineral vital yang membantu mennormalkan degupan jantung, menghantar oksigen kepada otak dan mengimbangi kandfungan air dalam tubuh. Bila seseorang stress, kadar metabolisma akan naik yang menyebabkan kadar potassium menurun. Keadaan ini dapat diimbangi semula dengan bantuan snek pisang yang tinggi potassium.

14. Strok - Mengikut kajian dalam buku The New England of Medicine, mengambil pisang sebagai diet harian mampu mengurangkan risiko kematian akibat strok sebanyak 40%.

15. Penghadaman - Gentian tinggi menjadikan pisang sebagai diet harian yang mampu membantu menstabilkan tindakan usus kecil dan besar.

16. Kuasa minda - Kajian mendapati 200 pelajar di sebuah sekolah semasa peperiksaan dijalankan, mereka diberi makan pisang untuk sarapan pagi, rehat dan makan tengahari telah membantu para pelajar tersebut menjadi lebih cekap (alert).

17. Seasonal affective disirder (SAD) - Penyakit ini merupakan simptom yang terjadi akibat daripada kurangnya pendedahan kepada cahaya matahari. Pisang dapat membantu pesakit ini kerana ia mengandungi tryptophan semulajadi yang membaikpulihkan mood kita.

18. Obesiti dan tekanan kerja - Kajian di Institut Psikologi di Austria mendapati tekanan kerja menjadi pemangkin kepada pengambilan makanan sepertri coklat dan kerepek. Berdasarkan 5000 pesakit hospital kajian mendapati kebanyakan pesakit obes membuat kerja-kerja tekanan tinggi. Laporan juga menyatakan untuk mengatasi masalah ini, seseorang perlu mengawal kadar gula dalam darah dengan mengambil makanan karbohidrat tinggi setiap 2 jam untuk mengekalkan kadar yang stabil. Jadi makanlah PISANG .

19. Lain-lain penyakit kulit - Pengamal perubatan alternatif berpendapat untuk menghilangkan pelbagai masalah kulit, termasuk jerawat, kudis, parut, kurap dan sebagainya, ambil sekeping kulit pisang, tampalkan sebelah dalam kulit pisang itu pada tempat yang hendak dirawat dengan menggunakan plaster luka biasa ataupun plaster bedah. Tapi awas jangan sampai dihurung semut...nanti lain pulak jadinya !

Fuh.....hebat pisang !