Saturday, March 21, 2009

Buatlah keputusan yang betul...!

Lusa sekolah akan dibuka semula. Bagi sesetengah negeri, esok sekolah akan dibuka . Sebelum cuti hingga dalam tempoh cuti yang sedang berlangsung ini sebaik keputusan SPM keluar, saya begitu banyak menerima panggilan telefon dan SMS dari pelajar-pelajar dan bekas pelajar saya bertanyakan soalan, " sir, saya nak buat apa (nak mohon apa) kalau saya tidak dapat IPTA atau matrikulasi ?". Itulah antara soalan utama yang diterjahkan kepada saya.

Soalan-soalan yang diajukan ini menggambarkan situasi persaingan pada hari ini cukup mencemaskan mereka. Apakah mereka akan ketinggalan kapal ? Kalau mereka ketinggalan dalam persaingan ini apakah yang patut mereka lakukan ? Jelas sebenarnya mereka tidak tahu hendak ke mana?

Kesian...bagi pelajar-pelajar yang tidak mendapat keputusan yang cemerlang yang mungkin atau jelas tidak layak untuk memohon IPTA, ada mengadu kepada saya sehingga setakat ini ibubapa mereka masih tidak tahu hendak menentukan masa depan mereka.

Kepada pelajar-pelajar ini saya menasihati mereka, rujuk dan berbincang dengan kaunselor-kaunselor sekolah masing-masing. Lebih elok bawa ibubapa sekali berjumpa dan berbincang dengan kaunselor sekolah. Jangan biarkan masa berlalu kerana usia kita akan semakin meningkat dan peluang akan semakin mengecil.

Kadang ibubapa sering mengambil mudah akan perkara ini. Hasrat anak yang tinggi untuk menyambung pelajaran walaupun keputusan tidak mencukupi syarat, kadang-kadang tidak dilayan dengan perhatian berat dan cakna secara bersungguh hati. Sikap ini sudah pasti akan menyebabkan anak-anak muda ini kecewa dan membuat keputusan sendiri yang tiada panduan, yang akhirnya hanya menghabiskan masa kepada suatu kursus yang tidak memberi apa-apa faedah kepada diri dan masa depan mereka.

Kepada pelajar-pelajar yang seumpama ini saya menasihati mereka jangan membuang masa dengan harapan untuk melanjutkan pelajaran ke bidang-bidang akademik yang menekankan keupayaan kognitif. Saya syorkan kepada mereka walaupun tidak glamour, pohonlah kursus Sijil Kemahiran Malaysia yang sebenarnya mampu memberi faedah yang lebih baik kepada mereka jika mereka berdisiplin dan mempunyai sikap yang betul semasa mengikutinya.

Ramai yang mempunyai persepsi yang salah terhadap SKM dengan anggapan bahawa pelajar yang mengikutinya pelajar yang tidak cerdik. Ini adalah persepsi yang silap. Zaman sekarang mengharap kerja dari pihak kerajaan adalah satu kesilapan yang besar. Walaupun menyediakan pekerjaan itu adalah tanggungjawab kerajaan tetapi tidak semestinya pekerjaan-pekerjaan yang disediakan itu di sektor awam. Apa yang jelas pekerjaan di sektor awam semakin terhad sedangkan pekerjaan di sektor swasta memerlukan persaingan kemahiran.

Jika selepas bersekolah atau selepas IPTA atau selepas IPTS tetapi dengan tiada sebarang kemahiran apakah peluang pekerjaan akan menjadi mudah kepada mereka ? Akhirnya mereka perlu juga kerja sendiri untuk hidup dan menanggung keluarga.

Sesungguhnya Sijil Kemahiran Malaysia memberi ruang 'survival' yang lebih berkesan dan 'competitive' dalam dunia yang penuh mencabar ini. Jangan bersikap negatif terhadap SKM. Oleh yang demikian, di saat-saat sekarang keputusan bagi menentukan nasib masa depan mestilah dibuat dengan cepat dan betul.

Friday, March 20, 2009

Di majlis akad nikah

Baru-baru ini saya sempat menghadiri dua tiga majlis akad nikah pengantin baru sama ada di masjid mahupun di rumah. Kebelakangan ini semakin ramai orang suka adakan majlis akad nikah di masjid. Alhamdulillah.

Apa yang menarik perhatian saya untuk dibicara secara santai ialah peranan saksi nikah. Memang tidak dapat dinafikan peranan saksi nikah ini sangat penting. Kata-kata "Sah" atau "Tak sah" atau apa-apa sahaja kata-kata lain yang terkeluar dari mulut mereka itu memberi kesan yang besar kepada pengantin lelaki.

Sudah pasti pada waktu-waktu begitu ada gemuruh pada pengantin lelaki. Maklumlah hendak menjadi suami, hendak masuk alam kehidupan yang baru selepas ini.

Apa yang menarik lafaz nikah yang tertentu, diajar beberapa kali oleh wali hakim atau naib kadhi sebelum upacara akad nikah dimulakan. Antara lafaznya, "Aku terima nikahnya Siti Zulaikha binti Abdullah (nama contoh aje ni) dengan mas kahwinnya dua puluh dua ringgit setengah tunai". Lebih kurang begitulah bunyi. Kalau di Pahang RM22.50. Kalau di tempat lain ikut negeri masing-masing.

Pengalaman pemerhatian saya, lafaz yang pertama itu sangat penting. Kalau saksi nikah kata "tak sah" maka kacau jadinya. Gemuruh pengantin bertimbun. Mulalah lafaz yang kedua atau yang berikutnya menjadi tak tentu arah. Boleh jadi macam-macam yang terkeluar " Aku terima nikah (hilang nya) Siti Zulaikha.....", "Aku terima nikahnya Siti Zulaikha bin Abdullah...(hilang binti)", " Aku terima nikahnya Siti Zulaikha binti Abdullah dengan dua ringgit setengah tunai (tinggal dua ringgit setengah sudahnya!)".

Hendak dapat lafaz yang betul seperti mana yang dikehendaki oleh Naib Kadhi atau saksi nikah, jadi payah malah semakin tak menjadi. Kadang-kadang Naib Kadhi atau wali hakim tanya saksi nikah yang dua orang itu, "Macam mana, boleh ?".

Pada pemerhatian ramai lafaz nikah sudah boleh diterima tetapi kerana saksi nikah itu mungkin agak berumur atau mungkin gemuruh juga.... dia pun kata " Okay dah....tapi buatlah sekali lagilah bagi sedap sikit lagi ". Hah... kacau ! Nasib-nasib yang kedua dan ketiga akan menjadi lebih haru.

Oleh yang demikian, pada saya saksi nikah ini perlu permudahkan (melainkan pengantin lafaz jelas teruk sangat) sebelum keadaan menjadi lebih payah dan haru untuk ditentukan akan lafaz yang disebut. Biasanya oleh kerana gemuruh yang amat sangat, yang kedua dan ketiga pun bunyi lagi kuat menggeletarnya.... boleh pun disahkan !

Begitulah antara antara adegan yang dapat dilihat di majlis-majlis akad nikah. Lagi tetamu gelak lagi kelam kabut pengantin !

Wednesday, March 18, 2009

Pengalaman saya sewaktu isteri belajar.

Kisah ini mungkin agak peribadi tetapi untuk pengajaran dan kenangan bersama saya paparkan juga. Isteri saya baru sahaja menerima ijazah pengajiannya selama setahun di IAB dan dua tahun di UPSI.


Tempoh tiga tahun sebenar merakamkan pelbagai cabaran buat beliau dan saya sekeluarga. Saya yang selalu dimanjai oleh isteri dalam urusan rumah tangga terpaksa melakukan banyak perkara semasa ketiadaan beliau. Saya tidak lupa bagaimana saya terpaksa bangun awal pagi pukul 4 pagi untuk memasak dan menyediakan juadah bersahur untuk anak-anak. Menyediakan juadah berbuka puasa tanpa emak mereka bersama. Bergegas pulang ke rumah selepas sekolah untuk menyediakan makan tengah hari untuk anak-anak. Satu pengalaman yang tidak mungkin saya lupakan.


Sepanjang isteri saya belajar, yang paling saya bimbang ialah kesihatan beliau. Beliau seorang pengidap diabetic, Kadang-kadang isteri saya boleh pengsan kerana kekurangan gula. Saya pernah membatalkan urusan kerja kerana pernah dalam perjalanan ke Shah Alam, anak saya, Aisyah telefon memberitahu, mak pengsan dan telah dibawa hospital. Serta merta saya pusing balik untuk terus ke hospital dan bersibuk sambil memandu menelefon kawan-kawan memaklumkan masalah saya. Sesungguhnya memang benar, kawan-kawanlah yang banyak membantu kita.


Masalah yang kedua semenjak belajar di IAB, isteri saya menjadi seorang yang lemah semangat. Semasa belajar di IAB perkara yang tidak penah berlaku kepada dia, telah berlaku. Saya seorang yang sukar mahu percaya persoalan karut marut atau kerasukan ini. Tapi semenjak isteri saya belajar di sana, saya sendiri berpengalaman menghadapinya. Bayangkanlah pernah satu ketika sewaktu balik hujung minggu, isteri saya tidak kenal saya. Seorang yang begitu lemah lembut dan sangat manja dengan suami menjadi begitu aggresif hinggakan jenuh sewaktu dia tidak sedar ditampar-tamparnya pipi saya sekuat-kuat hati. Sepanjang belajar di IAB dua tiga kali juga, berlaku dia ‘tidak sedar’ sebaik pulang ke rumah. Dua tiga kali jugalah arwah ibu saya menangisi menantu kesayangannya apabila menantunya itu tidak kenal dia. Sampai ke hari ini, fobia saya dengan IAB Genting Highland jika isteri saya berkursus di sana!


Waktu-waktu begitu, saya berpengalaman berkomunikasi dengan ‘makhluk’ itu. Saya bertanya, kamu ni datang dari mana ? Genting Highland, dia jawab. Mak tuan berderau darah saya. Kenapa kamu ikut isteri saya? Saja aku nak ikut dia sebab dia baik! Bayangkanlah bagaimana hati dan perasaan saya dan anak-anak pada waktu itu.

Saya pernah teringat sewaktu awal-awal saya menghantar isteri ke IAB, isteri saya tinggal sebilik seorang diri dan di bilik yang sebelah lagi itu katanya ada orang. Waktu itu saya senang hati kerana isteri saya ada room mate. Saya sentiasa bertanya dari rumah, ada orang ke di sebelah ? Ada, jawab isteri saya. Macam mana tahu ada orang ? Bunyi orang guna bilik air dan buka api, jawab isteri saya. Pergilah berkenalan, suruh saya. Tak mahulah, isteri saya macam keberatan.


Beberapa minggu selepas itu, sebaik sahaja isteri saya berpindah bilik ke bilik kawannya- bilik Cikgu Seri, dia memberitahu saya, dia diberitahu oleh pegawai keselamatan yang menjaga hostel itu bahawa bilik sebelah itu sebenarnya tiada penghuni. Bayangkanlah betapa bimbangnya saya terhadap keadaan isteri saya.


Sepanjang isteri saya berlajar di IAB Genting, hati saya tidak pernah senang. Oleh kerana bimbang keadaan semangat dan kesihatannya saya pernah memaklumkan kepada Yusof Muhamad sahabat lama yang kebetulan sama-sama belajar dengan isteri saya bahawa isteri saya boleh pengsan kalau dia kekurangan gula. Dan saya bagi tahu Yusof apa yang patut dilakukan jika isteri jadi begitu. Saya tidak memberitahu Yusof yang isteri saya ini pernah tidak sedar kerana unsur lain.


Alhamdulillah sepanjang isteri saya belajar di Tanjung Malim tiada masalah yang bukan-bukan yang dia alami, cuma dia sering mengadu sakit kepala. Saya pun naik pening kepala kerana isteri saya sering sakit kepala. Macam-macam ubat yang dicuba, sakit kepala tidak pernah kurang. Dia yang stress, saya juga kena stress. Satu hari saya terfikir mungkin isteri saya kerap sakit kepala kerana tekanan belajar. Teringat saya, antara amalan isteri saya, ialah menjadikan minuman necafe 3 in 1 sebagai minuman untuk berjaga malam.


Saya suruh isteri saya berhentikan serta-merta mengambil minuman tersebut. Sebaik dia berhenti mengambilnya, sakit kepala semakin berkurangan dan hingga hari ini dia tidak sakit kepala lagi.Dan saya tak benarkan lagi dia minum minuman tersebut.


Tidak lupa saya ingin mengambil kesempatan ini mengucapkan terima kasih kepada Yusof Muhamad yang banyak membantu isteri saya. Terima kasih banyak-banyak Sop. Kepada cikgu Seri Suryati juga saya merakamkan berbanyak terima kasih kerana sering menumpang isteri saya balik hujung minggu dan terima kasih juga kerana selalu menjaga isteri saya dengan baik sepanjang menjadi room mate di IAB dan di UPSI. Kepada rakan-rakan serumah isteri saya, Kak Hajah Halipah dan kak Hasmah yang sering ambil berat tentang makan minum dan kesihatan isteri saya, terima kasih banyak-banyak akak berdua. Isteri saya selalu ceritakan tentang akak berdua yang bagaikan kakak dan ibu kepadanya. Begitu juga kepada Cikgu Normala dan Kak Zu, walaupun saya tidak kenal, terima kasih banyak-banyak !


Kepada sahabat-sahabat isteri saya yang saya tidak kenali untuk menyebutkan nama satu persatu, yang bersusah-payah membantu menghantar isteri saya ke Genting Sempah sewaktu arwah ibu saya sakit tenat, terima kasih banyak-banyak. Walaupun tuan-tuan dan puan-puan dalam kepenatan pulang dari lawatan, tuan-tuan dan puan-puan telah memberi pertolongan yang besar ertinya kepada saya. Ibu saya telah meninggal dunia dengan dihadap oleh menantu kesayangannya. Pada hari konvo, isteri saya memberitahu dia kehilangan seseorang yang sepatutnya hadir sama pada hari itu - ibu mentuanya! Jasa baik tuan-tuan hanya Allah jua yang mampu memberi balasan yang setimpal. Hanya terima kasih yang mampu saya lafazkan.


Akhirnya, saya dan seluruh ahli keluarga kami merakamkan ucapan tahniah kepada tuan-tuan dan puan-puan selaku rakan sekelas isteri saya, di atas kejayaan tuan-tuan dan puan-puan. Anda semua adalah insan yang hebat dan semoga anda semua terus maju jaya sebagai pengurus pendidikan yang cemerlang . Tahniah !

Tuesday, March 17, 2009

Tahniah isteriku !


Setelah penat berjuang, menghadapi pelbagai cabaran dan dugaan, akhirnya berjaya juga isteri kesayangan menggenggam Ijazah Sarjana Muda Pengurusan Pendidikan dengan Kepujian dari Universiti Pendidikan Sultan Idris Tanjung Malim . Kami sekeluarga amat bangga dengan kejayaannya.

Monday, March 16, 2009

Jika berlaku, tiada maaf bagi mu

Kelmarin saya melalui Lebuhraya Pantai Timur menuju ke Kuala Lumpur dari Kuantan. Tiada apa yang istimewa dengan lebuhraya itu. Ia cuma lurus, berbukit di sana sini dan jalannya agak beralun di satu dua tempat.

Pelbagai jenis kenderaan agak sibuk di kiri kanan laluan. Masing-masing teratur di lorong masing-masing. Seperti yang saya katakan tadi tiada apa yang menarik dengan lebuh raya tersebut. Biasa sahaja. Cumanya saya tertarik kepada tiga buah kenderaan di tempat yang berasingan.

Yang pertama Kancil. Bukan tertarik kepada rupa bentuknya itu cuma tertarik gaya pemanduannya. Lajuu !! Saya memandu Hyundai Matrix saya 140 km sejam saya masih tidak mampu memotong Kancil putih tersebut. Perasaan saya Kancil tersebut melayang tak jejak ke jalan. Apakah itu kelajuan biasa bagi sebuah kereta Kancil yang mungkin saya tidak pernah tahu selama ini ? Atau Kancil itu memang laju di luar kebiasaannya.

Saya memberitahu isteri saya " Fuh...lajunya Kancil tu !". Saya membiarkan sahaja dia pergi hilang entah ke mana.

Di satu tempat lain pulak, saya mengekori sebuah lori simen. Agaknya lori itu kosong, tiada simen. Kelajuannya 130 km sejam. Saya dapati lori itu terangguk-angguk sepanjang perjalanan. Kenderaan berat dan besar lajunya....masya Allah !

Manakala di suatu tempat lain, tiba-tiba anak saya di belakang bersuara terkejut " Huhuhuu...!".
Dia terkejut sebuah bas ekspress memotong kereta saya yang dalam kelajuan 120 km sejam.

Patutlah kemalangan jalanraya pada zaman ini, memang tiada maaf bagimu !!

Sunday, March 15, 2009

Ke mana ayah ?

Pada hari Jumaat yang baru lalu saya telah dijemput untuk menyampaikan ceramah motivasi keibubapaan di sebuah sekolah menengah. Ceramah itu merupakan antara acara kemuncak sambutan maulidur rasul sekolah tersebut.

Apa yang menarik ialah kehadiran yang agak ramai. Dewan sekolah tersebut hampir penuh. Saya tidak pasti sama ada kehadiran tersebut kerana minat kepada ilmu atau kerana dipaksa datang oleh pihak sekolah atau kerana apa. Yang pasti dewan sekolah itu penuh.

Namun demikian, walaupun kehadiran agak ramai, apa yang menjadi tanda-tanya kepada saya setiap kali dijemput memberi ceramah ialah ke mana ayah ? Hampir tiga suku dewan dihadiri oleh kaum ibu. Apakah ramai yang hadir itu adalah janda belaka ? Tidak mungkin !

Melihat keadaan tersebut saya secara spontan menekankan ceramah saya kepada peranan seorang yang bergelar bapa atau ayah walaupun hanya sesuku sahaja bapa yang hadir. Saya tekankan bahawa bapa atau ayah adalah seorang Perdana Menteri dalam sebuah institusi keluarga. Perdana Menteri seharusnya seorang yang tahu, seorang yang hebat, seorang yang berilmu untuk menentukan visi dan misi keluarga.

Saya katakan bahawa malangnya sebuah keluarga mempunyai Perdana Menteri yang tidak tahu peranannya, tidak mahu tahu peranannya, lepas tangan terhadap peranannya dan tidak pernah mempunyai visi dan misi keluarga.

Oleh sebab itu saya katakan kepada yang hadir, kebanyakan institusi keluarga hari ini berada di dalam keadaan yang sangat parah dan lemah. Kebanyakan institusi keluarga hari ini telah hilang daya dan upaya kepimpinan yang berkesan dan berpengaruh.

Selepas saya memberi ceramah seorang anak muda yang saya rasa dalam lingkungan 26 tahun telah datang menemui saya sambil berkata " Cikgu, cikgu telah memberi kefahaman secara jelas kepada saya akan peranan seorang bapa di dalam sesebuah rumah tangga. Baru saya faham kenapa gejala sosial di kalangan remaja hari ini begitu berleluasa."

Anak muda itu sambung lagi kata-katanya, " Setelah mendengar ceramah cikgu tadi , saya rasa tidak sabar hendak menjadi seorang ayah tetapi sayup di hati kecil ini, saya rasa takut kerana tanggungjawab ayah rupanya sangat berat."

Saya hanya tersenyum mendengar keluhan anak muda itu namun tetap menasihatnya agar dia cepat-cepat kahwin ! Insya Alah katanya !

Saturday, March 14, 2009

Hodohnya perangai manusia itu ....

Kesibukan menjadi urus setia satu program peringkat negeri menyebabkan seminggu blog ini tidak diupdatekan. Letih, penat dan mengantuk menjadi rencah kehidupan seminggu yang lalu. Dicelah kesibukan program tersebut saya masih dijemput untuk menyampaikan ceramah keibubapaan di merata tempat. Menyusun jadual aktiviti dan pengurusan masa menjadi begitu penting di samping kesihatan yang mantap.

Namun demikian pengurusan stress juga menjadi hal yang mendesak. Fizikal dan mental yang penat menjadikan emosi berbaur. Sedikit sahaja berdepan dengan masalah akan menekan emosi ke arah stress yang tinggi. Namun hanya kesabaran yang tip-top mampu menjadikan segala tindakan menjadi waras.

Sewaktu singgah mengisi minyak di Petronas Muadzam Shah, saya berbaris di belakang sebuah kereta Mercedez Benz model mewah berwarna hitam dan bercermin gelap. Seorang lelaki dalam usia 40 an memakai seluar slack hitam dan berjeket hitam sedang mengisi minyak kereta tersebut. Lama juga dia mengisi minyak, mungkin penuh tangki agaknya.

Perkara yang sangat menyakitkan hati saya berlaku selepas itu. Sebaik dia selesai mengisi minyak kereta Mercedez Benznya itu hati saya rasa lega kerana kereta saya akan mengambil giliran. Rupanya keadaan yang saya harapkan itu tidak berlaku. Si lelaki yang mengisi minyak itu kelihatan selamba berjalan ke belakang bangunan kedai Mesra Petronas itu untuk ke tandas dengan meninggalkan keretanya di situ. Bayangkan saya dengan dua tiga buah kereta yang lain di belakang saya, terpaksa menunggu lebih kurang 8 minit untuk menanti dia kembali dan menggerakkan keretanya.

Saya tertanya-tanya sendirian, apakah yang menyebabkan dia menjadi begitu tidak prihatin kepada keperluan orang lain. Adakah dia tuan punya petrol stesen itu ? Atau dia berkelakuan begitu kerana dia menggunakan kereta Mercedez Benz mewah ? Atau dia itu orang besar yang tidak kuasa lain yang mampu mengganggu kuasanya yang sedang menunjuk kuasa itu ? Atau memang dia itu kurang ajar orangnya ? Entahlah sayapun tak tahu.

Hati ini terasa cukup menggelegak. Mahu rasanya saya 'tampar' lelaki yang tiada jiwa itu. Tapi siapalah saya untuk berbuat demikian, rakyat marhaen dari rumah beratap 'rumbia'.

Perkara itu kelihatan kecil tetapi terlalu besar kesannya kepada saya yang mahu bersegera ke tempat ceramah saya.

Itulah manusia. Sering kita jumpa mereka yang tidak prihatin yang meninggalkan keretanya di petak mengisi minyak untuk pergi ke tandas. Betulkah tindakan ini dalam keadaan petak parking banyak tersedia dan ada kereta di belakang menunggu giliran ? Hodohnya perangai manusia itu...