Thursday, February 26, 2009

Hari ini pasal kuasa semua berebut !

Zaman ini manusia saling berebut. Berebut serba-serbi dan paling direbut ialah kuasa. Bagi mereka jika memiliki kuasa, maka akan dapat menguasai segala-gala terutama kekayaan harta dan wang ringgit. Mereka sanggup mengamalkan berbagai teori untuk mendapat kuasa. Mereka sanggup melobi yang berkuasa demi mendapat kuasa. Mereka sanggup memfitnah demi kuasa. Mereka sanggup 'menelan' orang lain kerana kuasa. Malah mereka sanggup membunuh dengan apa cara kerana gila kuasa.

Mari kita merenung dailog antara Umar r.a. dengan Abu Bakar r.a.

Ketika Rasulullah s.a.w wafat, para sahabat sibuk memikirkan siapakah pengganti baginda sebagai pemegang tampuk kekhalifahan atau yang akan mengurus urusan masyarakat Islam yang baru ditinggalkan.

Kebanyakan para sahabat tidak suka kepada jawatan (zuhud) maka itu mereka tidak mahu menjadi ketua dan sentiasa melihat diri mereka masing-masing sebagai tidak layak berbanding sahabat-sahabat (antara mereka) yang lain. Lalu Umar berkata kepada Abu Bakar.

"Wahai Abu Bakar, saudaralah orang yang paling berhak dan paling layak memegang tampuk kekhalifahan dan kekuasaan berbanding semua manusia lain. Ini adalah kerana anda adalah lebih mulia daripada mereka."

Lantas Abu Bakar menjawab, " Tidak Umar. Aku tidak layak. Saudaralah sebenarnya yang lebih layak dan paling berhak kerana saudara adalah yang paling kuat di antara mereka."

"Wahai Abu Bakar, sesungguhnya kekuatanku adalah untuk saudara bersama kemuliaan saudara,: kata Umar bin Khattab penuh tawadhuk.

Akhirnya setelah melalui beberapa musyawarah, Abu Bakar Assiddiq telah dipersetujui ramai dan dilantik mewarisi tugas Rasulullah s.a.w sebagai khalifah yaing pertama.

Bayangkanlah hari, semua mengaku layak dan semua mahu. Masya Allah !!

Wednesday, February 25, 2009

Satu hari yang padat.


Sampai di sekolah tepat pukul 7 pagi. Terus ke pejabat, punch card. Sebaik masuk ke bilik saya didatangi oleh Mohd Najib Razak. Bukan Timbalan Perdana Menteri tetapi Mohd Najib Razak pelajar Tingkatan 3 datang kerana mesti membuat laporan harian kepada saya tentang kerja sekolahnya. GPK Pentadbiran merujuk kepada saya yang Si Najib ini setiap hari tidak berjaya siapkan kerja-kerja sekolahnya bagi semua mata pelajaran. Peringkat permulaan ini saya meminta dia datang kepada saya tunjukkan kerja-kerja sekolah yang perlu disiapkan. Setakat dipanggil ini nampaknya alhamdulillah.

Najib keluar, saya bergegas ke kantin untuk sarapan pagi kerana pukul lapan perlu masuk ke kelas. Sewaktu di bilik saya banyak kerja yang perlu dibereskan. Skrip pidato, skrip contoh debat ala-parlimen, di samping tindakan-tindakan lain yang berjujukan.


Berselang-seli dengan kehadiran pelajar yang memerlukan tanda-tangan untuk keluar wang biasiswa, saya juga sempat menanda satu dua skrip essei latihan MUET pelajar saya.


Selepas waktu rehat saya didatangi oleh Bob, pelajar Tingkatan Enam meluahkan masalah pembelajarannya di asrama. Selepas itu masuk pula Maizura, mengadu kenapalah dia selalu mengantuk dalam kelas. Macam-macam yang saya bincangkan dengan Bob dan Maizura. Tak tahulah menjadi atau tidak panduan yang saya berikan namun yang penting bagi saya, mendengar dan mengambil berat. Mereka itu akan mengambil STPM tidak berapa lama lagi.


Setelah solat zohor saya bergegas ke kantin untuk makan tengahari kerana selepas ini saya terpaksa ke SMKAP Muadzam Shah untuk Mesyuarat Pengurusan Teknikal Ko Akademik Daerah 2009. Mesyuarat selesai pukul 5 petang saya bergegas pulang. Isteri masih belum pulang kerana masih sibuk dengan teamnya menyiapkan urusan headcount untuk sesi debriefing pada hari esoknya. Namun dalam kesibukan seharian kami tetap berhubung dan sempat berbalas-balas sms yang menyegarkan jiwa !


Pukul 6.45 petang saya ke surau sekolah kerana Kuliah Maghrib mingguan saya di sana. Selepas solat Isyak saya didatangi pula oleh Aiman mentee saya mengadu hendak balik awal ke pulau Tioman hari Jumaat nanti kerana bot ke Tioman awal katanya. Saya berjanji akan berbincang dengan Pengetua urusan Aiman (T2) itu. Pada waktu yang sama datang juga Zafri (T2) seorang lagi mentee saya yang agak kenit bersalam sambil menasihat saya “ Sir balik nanti pandu kete baik2”. Insya Allah jawab saya. Selepas itu saya terus melatih pasukan Debat ala-Parlimen dan Forum sekolah yang akan bertanding pada 26 Mac nanti.


Tamat latihan lebih kurang pukul 10.15 malam saya berjumpa pula sebentar dengan Farhana yang masih bercelaru hendak masuk sajak PPDa atau tidak. Saya minta Farhana membuat keputusan segera.


Sebaik keluar dari pintu pagar sekolah saya singgah di gerai makan Sopi di hadapan sekolah kerana perut lapar. Sambil makan-makan sempat berborak dengan Sopi masih tentang pelajar-pelajar sekolah saya. Lebih kurang pukul 10.45 malam saya mula memandu pulang ke rumah sejauh 30 km. Sampai di rumah semua orang dah tidur ! Saya masih sempat masuk ke bilik study membaca dan melihat blog saya serta berita-berita dalam internet.


Pada pukul 1.23 pagi sewaktu mata sudah rasa mengantuk tiba-tiba saya menerima sms dari bekas pelajar saya dua tahun lalu, Saleha yang kini sedang menuntut di UPSI (kursusTESOL), yang jarang berhubung dengan saya. Sms-nya : I always remember, you looked at all ur students, through the eyes of tenderness, U c each one’s potential and chances 4 success….gud nite Sir. Tanpa membalasnya saya tertidur….sedar-sedar pagi untuk memulakan rutin biasa sebagai seorang cikgu ! Aku bangga menjadi guru !

Monday, February 23, 2009

Dari zaman Abdullah Munsyi tak berubah-ubah !


Sewaktu balik dari mesyuarat di bandar Mudazam Shah keadaan hampir maghrib. Sebaik sampai di kawasan Batu Tiga saya terserempak dengan beberapa ekur kerbau yang cuba melintas jalan. Kerbau berwarna gelap, keadaan hari pun hampir sama dengan warna kerbau. Kalau tidak berhati-hati memang tidak nampak. Bayangkanlah kalau terlanggar bapak kerbau !

Hati ini kadang-kadang tertanya-tanya kenapalah kerbau-kerbau ini boleh berkeliaran di kawasan sibuk ini ? Ke manakah tuannya ? Begitu juga dengan lembu. Pagi tadi sebaik turun ke garaj kereta, saya ternampak beberapa tompok tahi lembu, sedangkan saya tidak memelihara lembu. Beginilah gayanya kehidupan di desa nan permai ini. Kehidupan memang permai tetapi kadang-kadang serabut dengan lembu, kerbau, ayam dan itik yang dilepas bebas dan memiliki kehidupan gaya bebas.

Hendak marah kepada binatang memang tidak cerdik namanya. Hendak marah kepada tuan binatang, memang rasa hendak marah tetapi kalau hendak marah pun hendak buat apa ? Redha sahajalah ! Betulkan ?

Bila mengenangkan cara orang-orang kita memelihara binatang teringat pulak saya cerita yang dikhabarkan oleh Abdullah Munsyi sewaktu pelayarannya ke Pantai Timur. Katanya :

"Maka setelah sampai ke tengah sawah itu maka sahaya dengar bunyi seperti ribut besar. Maka terperanjatlah sahaya serta bertanya sahaya kepada orang itu, "Bunyi apa ini?" Maka jawabnya, "Tuan jangan takut, ini bunyi lembu, kerbau dan kambing, kerana ia terkejut." Maka adalah sahaya lihat beratus-ratus ekor lembu dan kerbau dan kambing tidur sepanjang-panjang sawah itu dengan tiada berkandang dan gembala, hidup dengan demikian sahaja. Maka kata sahaya kepada orang itu, "Siapakah empunya binatang begini banyak?" Maka jawabnya," Semua orang di kampung ini ada masing-masing punya. Maka sekaliannya berkampung; demikian menjadi biak. Dan ada yang dimakan harimau dan ada yang mati, ada yang beranak tiada orang pedulikan."

Demikian keadaan zaman Abdullah Munsyi pada sekitar tahun 1837-1838, lebih kurang 171 tahun yang lalu masih lebih kurang sama dengan keadaan zaman sekarang pada tahun 2009. Tetap masih ada binatang piliharaan yang dilepas bebas begitu sahaja.

Kalau zaman Abdullah Munsyi banyak lembu dan kerbau yang dimakan harimau, zaman sekarang banyak lembu dan kerbau yang di 'makan' lori dan kereta di jalanraya. Dibiarkan bergelimpangan di situ.

Entahlah...orang kritik cara kita, kita marah. Tak kritik begitulah tak berubah-ubah !

Sunday, February 22, 2009

Merokok dan penyakit jantung

Tiga penyelidikan besar telah menunjukkan bahawa merokok adalah faktor risiko bagi penyakit jantung.

Dalam satu kajian ke atas lebih sejuta orang lelaki di Amerika Syarikat, dua orang ahli sains, Dr Hammond dan Dr Garfinkle, mendapati lelaki yang berumur antara 40 tahun hingga 49 tahun yang merokok mempunyai tiga kali ganda peluang di serang sakit jantung.

Di England, Sir Richard Doll dan Dr Hill mendapati perokok sederhana di kalangan lelaki berumur antara 45 tahun hingga 54 tahun mempunyai tiga kali ganda risiko untuk mati akbita penyakit jantung koronori.

Di Australia, Yayasan Jantung Kebangsaan melaporkan bahawa seseorang berumur antara 45 hingga 54 tahun dan menhisap rokok 10 hingga 19 batang rokok sehari mempunyai dua kali ganda risiko diserang sakit jantung. Manakala mereka yang menghisap lebih dari 20 batang sehari, peluang diserang jantung adalah tiga kali ganda !

Dari segi penabungan sangat merugikan. Kiraan kasar, menghisap rokok 1 hari 10 batang bermakna sebulan 300 batang. Setahun 3600 batang. Jika sebatang rokok berharga 40 sen maka setahun menjadi RM1440.

Berita baiknya adalah - jika anda berhenti merokok risiko untuk mati akibat serangan jantung semakin berkurangan. Selepas empat tahun berhenti merokok peluang akan diserang penyakit jantung adalah sama dengan orang yang tidak pernah merokok.

Berhentilah merokok !

Friday, February 20, 2009

Kekuatan doa

Imam Muslim pernah meriwayatkan bahawa sewaktu Perang Badar, Rasulullah s.a.w. berdoa di dalam khemah. Rasulullah berdoa dengan penuh khusyuk dan merendah diri seraya menengadah dua telapak tangannya ke langit memohon supaya diberi kekuatan untuk mengalahkan musuh.

Di antara doa yang diucapkan adalah; " Ya Allah, kalau pasukan kaum muslimin ini sampai binasa, maka Engkau tidak akan disembah lagi oleh manusia di muka bumi ini." Kemudian beliau memperkeraskan suaranya, "Ya Allah, tunaikanlah janji yang telah Engkau berikan kepadaku, ya Allah pertolongan-Mu ya Allah!"

Baginda mengangkat tangannya sedemikian tinggi hingga burdahnya jatuh dari pundak tanpa disedari, sehingga Abu Bakar menyampirkan kembali burdah itu di atas pundak beliau seraya berkata dengan perasaan terharu, " Ya Rasulullah, kurangilah kesedihan mu dalam berdoa kepada Allah! Allah pasti akan memenuhi janji yang telah diberikan kepada mu!" Doa itu senjata dan kekuatan orang beriman" (HR Al-Hakim dari Ali bin Abi Thalib).

Begitulah kekuatan doa, ketika segala daya dan upaya telah kita lakukan untuk mengatasi berbagai macam persoalan kehidupan dan perjuangan, maka selayaknya kita tetap berdoa kepada Allah SWT. Marilah kita memperbanyakkan berdoa sebagaimana yang diperintahkan di dalam firman-Nya, " Dan Tuhanmu berkata, berdoalah kepada-Ku nescaya akan Ku penuhi permintaanmu," (Al Ghafir ayat 60).

Thursday, February 19, 2009

Marah !

Semua orang pandai marah. Semua orang tahu marah. Semua orang boleh marah-marah. Kemarahan adalah perasaan tidak senang atu perasaan skit hati yang susah dikawal. Ramai orang gagal marah. Ramai juga orang mudah marah.

Setengah orang pula bertindak balas bila dimarah. Guna penumbuk. Guna kaki. Guna mulut dan macam-macam lagi asalkan dapat melepaskan rasa marah.

Apakah yang boleh mencetuskan kemarahan ? Macam-macam...ancaman, kecederaan, kata-kata kesat, perlakuan atau layanan tidak adil, pembohongan atau manipulasi dan apa lagi jika batasan peribadi dicabuli.

Ada orang lebih marah daripada marah orang lain. Orang ini kurang toleransi dengan faktor pencetus kemarahan yang dihadap kepadanya... Mereka panas baran mungkin kerana faktor genetik, pengaruh sosio-budaya, stress atau tekanan kerja dan juga agaknya latar belakang keluarga. Agaknyalah....!!

Adakah kemarahan itu tidak baik ? Tidak...ianya baik jika mampu menyelesaikan masalah atau konflik. Tetapi marah menjadi tidak baik jika ianya semakin mengusutkan masalah dan memanjangkan konflik.

Bagaimana mahu mengawal kemarahan ? Sabar je lah !!! Mudahnya ? Ialah...... siapa cakap susah ?

Kau pernah marah ? Pernah ! Bila ? Tadi !

Sabar ! Cakap senang.....

Eh... marah lagi. Sabar....sabar !!!

Tuesday, February 17, 2009

Kenapa orang melayu makan dengan tangan ?

( Kali ini saya suka muatkan petikan penulisan dari Tranungkite yang ditulis oleh Faiza318 mengenai kenapa orang Melayu makan dengan tangan. Penulisan ini sangat menarik untuk kita sama-sama mengetahuinya. Soal betul atau tidak kita terbuka untuk membuat kajian seterusnya - Cikgu Sazili )

Kiriman
Faiza318

Setiap bangsa di dunia ini punya budaya tersendiri. Oleh sebab makan itu satu perkara yang wajib dalam hidup, cara makan juga merupakan satu budaya. Masing-masing bangsa ada budaya mereka tersendiri bagaimana mereka makan.

Misalnya orang Cina menggunakan kayu (chopstick) dan orang Barat pula menggunakan sudu dan garfu. Tentu ada sebab yang rasional kenapa mereka amalkan cara itu.

Orang Melayu makan biasanya menggunakan tangan kanan. Apakah rasionalnya dan kenapa orang Melayu makan dengan tangan ?

Soalan ini dijawab dengan mudah di akhir abad ke-19 oleh seorang kerabat diraja Kedah yang menetap di Selangor bernama Tengku Kudin. Perkara ini diceritakan oleh seorang isteri pegawai tinggi British yang berkhidmat di Selangor pada masa itu dalam bukunya "Chersonese - The Guilding Off" oleh Emilly Innes.

Pada suatu hari Tengku Kudin telah dijemput oleh British Resident menghadiri satu jamuan makan malam di rumah resident tersebut.

Ketika semua tetamu jemputan telah bersedia untuk menghadapi hidangan, Tengku Kudin tiba-tiba bangun menuju ke arah paip air dan membasuh tangannya. Tanpa menghiraukan orang lain semuanya menggunakan sudu dan garfu, beliau dengan selamba menyuap makanan ke mulutnya dengan tangannya......... !

Telatah Tengku Kudin ini diperhatikan oleh seorang wanita Inggeris yang kebetulan duduk di sisinya. Merasa tertarik dengan perlakuan Tengku Kudin itu wanita tersebut lantas bertanya: "Kenapa anda makan dengan tangan ?

Bukankah menggunakan sudu dan garfu itu lebih bersih dan lebih sopan ?"

Dengan selamba Tengku Kudin menjawab lantang dan dapat didengari oleh orang lain. Katanya:

"Saya makan dengan menggunakan tangan saya sekurang-kurangnya ada tiga sebab:

Pertama: Saya tau tangan saya lebih bersih dari sudu dan garfu sebab saya sendiri yang membasuhnya - bukan orang lain. Sudu dan garfu itu dibasuh oleh orang lain yang belum tentu cukup bersih.

Kedua: Saya yakin tangan saya lebih bersih kerana tangan saya hanya saya seorang saja yang menggunakannya - tidak pernah dipinjam oleh orang lain, sedangkan sudu dan garfu itu ramai yang pernah menggunakannya.

Ketiga: Saya percaya tangan saya lebih bersih kerana ia tidak pernah jatuh dalam longkang.... ......... !!

Jawapan Tengkun Kudin ini menjadikan semua orang yang mendengarnya terlopong. Kalau sebelum itu ada antara mereka yang tersenyum sinis melihat Tengku Kudin menyuap makanannya dengan tangan tapi selepas itu masing-masing mengangguk mungkin kerana memikirkan ada logiknya jawapan tersebut....

Sumber: Tranungkite