Saturday, December 06, 2008

Kerajaan tidak berhasrat denda penumpang keempat tidak pakai tali pinggang keledar - BERNAMA



KUALA LUMPUR: Kerajaan tidak berhasrat mendenda penumpang keempat di tempat duduk belakang kenderaan persendirian yang gagal mematuhi arahan memakai tali pinggang keledar, kata Ketua Pengarah Jabatan Keselamatan Kerja Raya (JKJR) Datuk Suret Singh.

Katanya timbul kekeliruan di kalangan orang awam terhadap laporan tindakan saman terhadap penumpang yang gagal mematuhi arahan memakai tali pinggang keledar tempat duduk belakang.

"Tindakan berkenaan tidak pernah dikuatkuasakan sebelum ini dan tidak akan dikuatkuasakan kerana ia hanya akan membebankan rakyat," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Kempen Advokasi di Lebuh Raya Bertingkat AmpangKuala Lumpur, di sini, hari ini.

Suret berkata kajian Institut Kajian Keselamatan Jalan Raya Malaysia mendapati hanya terdapat antara lima ke sembilan peratus sahaja pemandu kenderaan di seluruh negara membawa penumpang melebihi tiga orang di tempat duduk belakang.
Pemakaian tali pinggang keledar di bahagian tempat duduk belakang kenderaan persendirian akan diwajibkan pada 1 Jan depan, katanya.

Tiga syarikat pengeluar jenama Proton, Honda dan Perodua akan memberikan perkhidmatan pemasangan tali pinggang keledar belakang secara percuma bagi kenderaan jenama masingmasing, kata Suret.

Pengecualian pemakaian tali pinggang belakang hanya diberikan kepada kenderaan yang didaftarkan sebelum 1 Jan 1995. Para pemilik kenderaan boleh mendapat maklumat lanjut pemasangan tali pinggang keledar dengan menghubungi pengedar kenderaan masing-masing atau melayari laman web www.panducermat.org.my. BERNAMA

Friday, December 05, 2008

Yelah...saya bukan pilot kapalterbang....!

Dalam perjalanan balik dari berkursus selama 4 hari di Temerloh, di sebuah laluan yang sedang dalam pembaikan, tiba-tiba saya terdengar panggilan yang agak kuat " sir !", secepat itu juga saya menoleh ke arah panggilan tersebut. Sekilas pandang saya ternampak kelibat seseorang di atas sebuah jengkorek (JCB) mengangkat tangan ke arah saya. Serentak itu saya menekan hon kereta saya sambil mengangkat tangan juga melambai ke arah pemanggil itu.
Saya tidak sempat memerhati untuk mengenali pemanggil saya itu kerana saya perlu fokus kepada pemanduan. Banyak kereta di hadapan dan di belakang, berjujukan. Perjalanan saya masih jauh. Yang saya pasti, pemanggil itu mungkin bekas pelajar saya kerana panggilan 'sir' itu. Kebanyakan pelajar saya memanggil saya 'sir' , jarang yang memanggil teacher, Mr Sazili atau cikgu. Malaysian style !

Sambil-sambil memandu saya tertanya-tanya sendirian siapakah yang memanggil 'sir' itu. Teringat saya kepada suatu peristiwa yang berlaku pada suatu hari di tahun 1996. Hari itu hari Sabtu saya perlu segera ke sekolah untuk menghadiri satu mesyuarat yang akan bermula pada pukul 8.30 pagi. sedang saya memandu di pekan kecil muadzam shah, sebuah JCB kebetulan mengekori di belakang saya. Saya memperlahankan kereta saya dan JCB itu memotong kereta saya sambil pemandunya semacam menyuruh saya berhenti melalui isyarat tangannya.

Saya segera ke tepi dan memberhentikan kereta saya. Betul telahan saya JCB itu juga berhenti di hadapan kereta saya. Turun pemandunya menghampiri saya.

"sir kenal saya tak?", tanya pemuda itu.

"Muka macam familiar, tapi nama tak tahu", jawab saya ringkas.

"Ala...saya Rusdan, dulu sir mengajar saya di Leban Chondong", dia memberitahu.

"Maaflah sir, saya kerja bawa JCB je. Inilah padahnya malas belajar dulu, selalu tak dengar cakap sir dan cikgu-cikgu." rungutnya sambil memberitahu JCB itu dia yang punya sendiri.

"Eh...apa pula maaf-maaf, baguslah ni....awak dah berjaya, berdikari lagi. Kerja sendiri. Dan mampu beli JCB sendiri. Awak taukeh sebenarnya. Saya bangga dengan pencapaian awak, jika saya kenangkan kembali macam mana awak, semasa belajar dahulu", kata saya ikhlas. Memang benar, kalau inilah pencapaian Si Rusdan, memang saya bangga kerana walaupun zaman bersekolah, pelajarannya agak lemah tetapi dia sebenarnya seorang yang bijak dalam kehidupannya. Tahu merancang dan seorang yang tidak saya sangka begitu bermotivasi dan bersistem dalam mengurus kehidupan dan survivalnya.

Saya menasihati Rusdan agar jangan berpuas hati dengan pencapaian sekarang dan sentiasa ikhlas kepada kehidupan sendiri agar tidak terjerumus dalam perkara yang boleh memusnahkan kehidupan. Sepanjang mendengar nasihat saya, Rusdan sentiasa menyebut berulang-ulang "Terima kasih sir!".

Akhirnya dalam pertemuan singkat ditepi jalan itu saya memberitahu Rusdan, saya perlu segera ke sekolah kerana ada mesyuarat.

"sir, kita minum dulu sir. saya belanja," ajak Rusdan

"Tak apalah Rusdan, lain kalilah, saya nak cepat, nanti terlambat", rayu saya ikhlas.

"Alah sir sekejap je, bukannya lama. Entah bila jumpa lagi tak tahu", pujuknya juga.

"Ehh...mesti jumpa lagi, mana boleh tak jumpa ! Okay ?", saya cuba meyakinkan dia.

"Sampai hati sir, tak nak minum dengan saya, mentang-mentanglah saya ni kerja bawa JCB. yelah....saya bukan pilot kapalterbang!", alamak, itu yang dikatakannya pada saya. Serta merta saya mengunci pintu kereta saya dan memaut bahunya ke arah gerai minum yang berdekatan. Memang lambat sungguh saya hadir mesyuarat hari itu.

Itulah Rusdan salah seorang bekas pelajar saya. Saya tidak jumpa-jumpa lagi Rusdan selepas hari tu. Apakah yang memangggil 'sir" dari atas JCB semalam itu Rusdan ?

Wednesday, December 03, 2008

Ramainya budak-budak masuk jawi musim ni.

Ada yang kata masuk jawi. Ada yang kata bersunat. Ada yang kata berkhatan. Dan mungkin ada lagi yang disebut lain. Tapi semua itu adalah perkara yang sama.

Zaman dulu-dulu inilah perkara yang paling mendebarkan anak-anak lelaki. Dengar kata bersunat, ketar lutut. Apalagi kalau dengar nama Tok Mudim, pucat lesi muka. Ada yang menyembunyi dalam semak belukar. Ada yang lari keliling rumah. Ada yang lari panjat pokok kelapa. Ada yang berkejar bertangkap. Macam-macam ! Menangis, meraung tak usah kiralah.


Zaman dulu-dulu bersunat ada juga dilakukan oleh Pegawai atau Pembantu Perubatan dari hospital dan klinik. Tapi yang paling 'thrill' dilakukan oleh Tok Mudim kampung. Secara tradisional pula tu. Dengan sebilah pisau tajam dan duduk atas batang pisang. Tak ada suntik-suntiknya ! Pedih jugalah walaupun berpiak-piak makan sireh dan berbuih mulut Tok Mudim berjampi. Dulu !!


Sekarang, mudah benar majlis bersunat. Kaedah moden. Mula masuk bilik doktor, adalah macam berdebar sikit. Tapi waktu keluar senyum, jalan melenggang lagi ! Anak saudara sepupu saya berusia 6 tahun, pergi bersama bapanya menghantar abang yang hendak disunatkan. Sampai di klinik dia pula menangis-menangis hendak bersunat. Sudahnya dua-dua beradik bersunat.


Lebih menarik sekarang ini orang Cina pun sudah boleh menerima bersunat. Macam baru-baru ini di Felda Lurah Bilut, sudah ada masyarakat Cina menghantar anak-anak mereka menyertai majlis bersunat beramai-ramai. Menteri Kesihatan siap pergi melawat lagi.


Begitulah majlis bersunat antara dulu dengan sekarang, sudah jauh berbeza.

Dunia semakin berwang

Dunia ini semakin hari semakin berwang ( semakin memelukan wang). Nampaknya pemandu kenderaan persendirian yang membenarkan empat penumpang di bahagian belakang kenderaannya boleh di saman kerana membawa muatan secara membahaya.
Pening juga bagi keluarga yang ada empat orang anak. Apabila hendak balik kampung, empat orang anak di bahagian belakang. Pemandu ini bila-bila masa boleh disaman. Bersedialah duit lebih kepada ketua keluarga yang ada empat orang anak apatah lagi lebih, jika hendak meneruskan perjalanan mereka.

Kereta bawa penumpang keempat di belakang boleh disaman

02/12/2008 5:30pm

KUALA LUMPUR 2 Dis. — Pemandu kenderaan berkapasiti empat penumpang berdepan kemungkinan disaman sekiranya membawa lebih penumpang di bahagian tempat duduk belakang, kata Ketua Pengarah Jabatan Keselamatan Jalan Raya (JKJR) Datuk Suret Singh.

Katanya tindakan akan diambil berdasarkan peraturan jalan raya sedia ada, sekalipun penumpang keempat di tempat duduk belakang dikecualikan daripada undang-undang pemakaian tali pinggang keledar.

“Ada undang-undang lain, bukan undang-undang tali pinggang keledar, yang boleh menyebabkan tindakan ini diambil, umpamanya kerana membawa muatan secara berbahaya,” katanya pada sidang akhbar selepas perasmian pelancaran program pemasangan tali pinggang keledar tempat duduk belakang di Proton Platinum Centre, Mutiara Damansara di sini hari ini.

Tuesday, December 02, 2008

Bulan tersenyum

Sedang saya bersembang dengan isteri, tiba-tiba saya menerima panggilan telefon dari abang ipar saya dari rumahnya di bahagian belakang rumah saya.

"Li, engkau nak tengok bulan macam huruf 'ta' (huruf jawi).

Tercengang-tercengang saya bertanya, bulan apa ?
"Bulan kat atas langitlah", katanya.
Serta merta saya keluar rumah. Pada waktu yang sama saya menerima sms dari cikgu Wahab , " Lihat bulan tersenyum di langit".

Pada waktu saya melihat ke arah bulan, titik yang dikatakan titik 'ta' oleh abang ipar saya masih kelihatan tetapi semakin menjauh dari bulan. Dan seperti yang dikatakan oleh cikgu Wahab bulan memang seperti tersenyum.

Keajaiban bulan 'senyum': Luar biasa. Kelihatan bulan sabit dan planet Musytari serta Zuhrah menyerupai muka orang tersenyum atau bulan 'senyum' yang boleh kelihatan bermula kira-kira jam 8 malam tadi. Kejadian luar biasa astronomi itu berlaku lima tahun sekali turut menarik perhatian ramai rakyat negara ini yang menyebarkan berita bulan 'senyum' itu menerusi khidmat pesanan ringkas.

Subhana Allah, AlhamdulIllah, Allahu Akbar !

Monday, December 01, 2008

Parkia Speciosa Hassk


Pagi semalam sempat ke Pasar Minggu, terlihat petai bergantungan, terasa pulak hendak makan sambal petai. Beli petai dua ikat, amboi mak mahalnya, rm5 satu ikat, enam papan. Beli sajalah !

Petai nama botaninya Parkia Speciosa Hassk memang sedap kalau dibuat sambal tumis. Kalau dibakarpun sedap, cecah belacan. Mak tuan...memang boleh menambah berat badan ! Ada orang suka makan mentah tapi saya tidak berapa suka begitu.

Berbagai kegemaran pemakan petai, ada yang suka kupas kulit, ada yang suka masak dan makan dengan kulit-kulit. Pada saya kedua-duanya boleh. Petai jeruk lagi kaou ! Fuuh, memang berpeluh kalau dimakan waktu tengahari dengan belacan cili api. Tengok orang buat jeruk petai macam mudah je, peram je dengan air garam. Ada juga orang yang suka goreng biji petai. Katanya sedap juga, tapi saya tidak pernah mencuba.

Mengikut kata orang tua-tua, khasiat petai sebagai ubat memang banyak. Biji petai dimakan untuk merawat masalah hati, busung, bengkak, ginjal, diabetes serta boleh membunuh cacing dalam perut dan usus.

Daun petai katanya boleh juga direbus dan diminum untuk merawat demam kuning. Tapi hendak cari daun petai dekat mana yek ? Bukannya ada dekat belakang rumah, pokok bunga kertas banyaklah !

Akar petai juga boleh direbus untuk rawatan kencing manis. Walau bagaimanapun janganlah harapkan akar petai sahaja, rawatan berkala di klinik penting.

Begitulah petai, nampaknya paling mujarab adalah sebagai ubat mulut !

Rahsia Perwatakan Wanita Melalui Bantal

Untuk yang bergelar wanita dan para suami sahaja.

1. Tidur memeluk bantal

Wanita ini berjiwa seni !! Wanita ini begitu menghargai lukisan, muzik dan sastera. Mempunyai perasaan yang halus dan berjiwa romantik. Ada juga di kalangan mereka yang boleh membaca peristiwa di dalam mimpi. Di samping itu, mereka sangat prihatin terhadap kesusilaan dan kesopanan hidup. Jangan terkejut, wanita ini cenderung memiliki badan yang kurus.

2. Tidur menggunakan banyak bantal

Wanita ini biasanya kurang keyakinan diri dan memerlukan banyak pedamping atau teman-teman untuk membantu mereka. Mereka jarang membuat keputusan sendiri serta sukar berdikari. Mereka bergantung kepada orang lain.

3. Tidur dengan satu bantal

Wanita ini dari jenis menerima sesuatu seadanya dan bukan jenis mengada-ngada. Mereka juga membuat keputusan berdasarkan fikian dan bukan nafsu semata-mata.

4. Tidur meletakkan bantal di bawah kaki

Wanita ini jarang bergaul malah kaku dalam pergaulan. Ini menyebabkan mereka cenderung bersifat egois. Mereka juga gemar menempuh jalan pintas untuk mencapai cita-cita. Tidak suka berusaha.

5. Tidur tanpa bantal

Wanita ini memiliki sifat percaya diri yang sangat tinggi. Akan tetapi, sifat percaya diri kadang kala membawa kepada sifat ego. Terlalu over confidence juga menyebabkan mereka selalu memandang rendah kepada orang lain.

Entahlah....entah ya, entah tidak !! Malam nanti mulalah perhati-perhatikan.