Saturday, October 18, 2008

Apakah ini budaya bangsa kita ?

Budaya kita. Memang begitulah budaya kita agaknya. Menepati masa, membuang masa. Tidak menepati masa pun membuang masa. Pagi tadi saya dijemput memberi ceramah anjuran sebuah agensi kerajaan di Balai Raya sebuah kampung tradisonal. Sasaran ceramah adalah ibubapa dan anak-anak mereka dari golongan belia. Tercatat dalam surat jemputan jumlah kehadiran adalah dalam lingkungan 100 orang.

Saya sampai tepat pukul 8.25 pagi untuk memulakan ceramah yang diamanahkan kepada saya pada pukul 8.30 pagi. Sebaik sampai, saya melihat hanya ada tiga orang di balai raya tersebut. Semuanya petugas pendaftaran dan siaraya. Saya tidak keluar sebaliknya terus memerhati dari dalam kereta. Pukul 9 pagi keadaan macam tidak ada majlis yang akan berlaku. Saya mula tertanya-tanya, betulkah tempat ini saya sepatut hadir atau tempat lain ? Lantas saya keluar memperkenalkan diri dan bertanya inikah tempatnya ?

Petugas kelihatan kelam kabut melihat kehadiran saya dan pelbagai alasan yang diberikan. Saya hanya senyum dan angguk-angguk. Saya dibawa ke dalam bilik mesyuarat Balai Raya tersebut. Tepat pukul 9.45 pagi baru ceramah saya dimulakan dengan para peserta seramai 10 orang termasuk petugas agensi terbabit.

Inilah pertama kali saya berceramah di hadapan khalayak yang hanya berjumlah 10 orang. Kumpulan sasaran agensi kerajaan ini tidak hadir. Matlamat sudah pasti tidak tercapai. Inilah yang biasa dihadapi apabila memberi ceramah dalam masyarakat kita, kumpulan sasaran biasa tidak ramai yang hadir sebaliknya yang ramai adalah mereka yang mempunyai kesedaran untuk memajukan dan membaiki diri dan keluarga, serta mereka yang mencintai ilmu.

Inilah delima yang dihadapi oleh masyarakat kita khususnya masyarakat Melayu. Suasana yang tidak kondusif ilmu, yang sarat sanjungan terhadap hiburan murahan, membentuk mereka menjadi ahli masyarakat yang tidak mencintai ilmu, tidak tahu nilai dan kepentingan ilmu dalam pembinaan kehidupan mereka. Dunia yang penuh cabaran dan tribulasi dihadapi dengan cara yang cukup santai dan bersahaja tanpa fokus. Jika begini gayanya, mampukah mereka berubah atau akhirnya nanti mereka akan terus menjadi pengemis kehidupan. Sungguh mengerikan.

Saya teringat catatan cerita Abdullah Munsyi sewaktu berada di Pahang dalam "Kesah Pelayaran Abdullah" dalam sekitar tahun 1837-1838. Betul atau tidak saya tidak pasti tapi inilah antara yang di ceritakan oleh Abdullah Munsyi:

"Maka sahaya lihat hal negeri Pahang itu seperti dusun adanya, tiada berpasar dan kedai, dan tiada lorong yang boleh berjalan-jalan...... Tetapi adalah tanah Pahang itu sahaya lihat terlalu sayang hati sebab terbuang dengan menjadi hutan rimba, sebab malas dan lalai orang dalam negeri itu....... Maka adalah sahaya lihat orang-orangnya dalam seratus sepuluh sahaja yang bekerja; dan yang lain itu lalai sahaja sepanjang hari, dalam hal miskin dan jahat.... Dan yang ada setengah tabiat mereka hendak bercantik sahaja, memakai kain baju dan seluar yang bagus-bagus, tetapi tiada ia mahu mencari jalan kehidupannya...... Maka adalah sahaya lihat antara mereka itu kebanyakan orang yang makan madat, serta dengan kurus dan pucatnya...".

Maka merintih lagi Abdullah Munsyi:

"Syahadan, maka tiadalah tentu satu atau dua tempat orang mengajar mengaji, melainkan adalah sepuluh dua belas rumah seorang dua orang anak-anak mengaji Quran......semuanya daripada kecilnya ia memulai mengaji Quran juga dengan tiada ia mengerti.... Maka adalah sahaya tersangat dukacita adanya, sebab sayang hati mendengarkan bunyi bahasa mereka itu terlalu bagus lagi dengan manisnya kerana tiada mereka itu mahu belajar bahasanya sendiri, lagi pun tiada ia menaruh akan tempat belajar itu.

Saya tertanya-tanya kenapa sikap-sikap negatif yang telah ada dalam kalangan masyarakat Melayu sejak tahun 1800, masih wujud dan sebahagiannya membudayai kehidupan mereka. Maka hari ini saya mendapat antara jawapannya. Mereka tidak kesah akan ilmu dan tidak mencintai ilmu. Bila keadaan ini akan berubah atau tahun 3000 nanti anak cucu kita akan terus membaca catatan seumpama yang di tulis oleh Abdullah Munsyi ?

Friday, October 17, 2008

Apakah pelajar kini berada dalam acuan yang betul ?

Di bilik guru hari ini, sambil menikmati kuih-kuih raya yang dibawa oleh kawan-kawan sempat juga kami berbual pasal pelajar tendang guru. Saya yang tidak menonton televisyen malam itu, terkejut juga mendengar peristiwa yang berlaku. Kira-kiranya sayalah orang yang paling akhir tahu tentang peristiwa telah dipertontonkan ke seluruh negara itu.

Mengenangkan peristiwa itu saya terasa sangat sedih. Bukan hanya sedih kerana rakan setugas saya di sepak oleh pelajar itu tetapi lebih jauh lagi sedih kerana memikirkan tentang tergamaknya seorang pelajar menyepak seorang guru yang berjuang untuk menjadikan dia insan berjaya dan berguna kepada agama, bangsa dan negara.

Saya juga sedih memikirkan apakah kesudahan masa depan pelajar ini agaknya. Menyakitkan gurunya. Menghina gurunya. malah menderhaka kepada guru! Masya Allah ! Semoga pelajar tersebut insaf dan bersegera memohon maaf kepada gurunya secara ikhlas.

Persoalan cepu mas yang saya lontarkan ialah, pelajar-pelajar menjadi seumpama itu, salah siapa?

Tabiat gelar menggelar

Sebaik sampai di sekolah dan masuk ke bilik untuk memulakan tugas, serta merta datang empat orang pelajar perempuan Tingkatan Satu membuat temujanji untuk berjumpa. Oleh kerana waktu itu saya belum ada kelas, saya minta pelajar-pelajar tersebut masuk untuk mengadu hal mereka.

Awal-awal pagi saya telah dihadapkan dengan masalah gelar menggelar. Bagi kita setengah-setengah orang dewasa hal ini kelihatan kecil dan remeh tetapi bagi pelajar-pelajar ini, hal ini nampaknya begitu besar. Kata salah seorang daripada mereka, kalau tak tahan sabar boleh berperang kami dengan budak-budak itu.

Ada yang digelar "ayam". Ada yang digelar "seladang", ada yang digelar "hidung kemek" dan ada yang digelar "rejam". Mereka ini tidak tahu kenapa mereka digelar sedemikian oleh segelintir kawan-kawan yang nakal.

Pada mulanya saya cuba menggunakan pendekatan memujuk agar mereka mempunyai ketahanan menerima atau jangan layan dengan gelar seperti itu. Tapi mereka kelihatan tidak puas hati. Saya kata, awak digelar "ayam" mungkin kerana awak berkelakuan macam ayam hendak bertelur kot? Dengan geram pelajar berkenaan menafikan. Saya bagi tahu yang digelar hidung "kemek" tu, "... tak usahlah terasa sangat sebab bukan awak seorang yang hidung kemek , hidung saya pun kemek juga." Tak puas hati juga pelajar yang digelar hidung kemek. Saya bertanya pula kepada yang seorang lagi kenapa dia digelar "seladang". Dengan spontan budak itu menjawab. " entahlah....saya macam seladang kot". Saya hanya tergelak kecil mendengar jawapan begitu.

Itulah keadaannya di sekolah-sekolah, gelar-menggelar ini merupakan kegiatan yang begitu kerap berlaku. Macam-macam gelaran yang diberikan sesama mereka seperti negro, siamang, gendut, toye, labu, jeruk, keding, puti'k, gedik, anak ayam, hangus, dan berbagai-bagai lagi. Gelar menggelar ini nampak kecil, tapi kadang-kadang mampu mencetuskan masalah disiplin lain yang lebih besar. Pernah berlaku kerana gelar menggelar ini, ibubapa datang ke asrama dan ke sekolah untuk memberi amaran keras kepada pelajar-pelajar yang menggelar anak-anak mereka. Sebab itu saya sentiasa mengambil serius masalah ini walaupun kadang-kadang kelihatan seperti membuang masa.

Selepas mengambil kenyataan bertulis pelajar-pelajar yang membuat aduan, selang satu jam saya memanggil pula kumpulan pelajar lelaki tingkatan satu yang menggelar itu.

Tanpa mengetahui kenapa saya memanggil mereka, apabila mereka masuk ke bilik saya, saya mula memanggil mereka dengan nama gelaran juga, yang saya reka sendiri seperti lembu, siamang, tikus mundok dan badak air. Apabila dipanggil dengan panggilan itu mereka kelihatan tercengang melihat saya.

Saya tanya , " Kenapa? Apa masalahnya?".

" Saya bukan tikus mundok, sir", jawab salah seorang lelaki yang agak gempal seperti kecewa.

" Saja saya hendak panggil awak tikus mundok, tak boleh ke ? ", pinta saya.

" Mana boleh, sir, malulah saya."

" Kenapa awak malu ?," tanya saya.

"Menghina tu sir" jawab salah seorang. Saya juga mendapat jawapan yang hampir serupa dari pelajar-pelajar yang lain yang sedang berada dihadapan saya. Memang mereka kelihatan benar tidak selesa kerana sepanjang mereka berada di bilik saya, saya panggil mereka dengan gelaran seperti di atas.

Kesempatan ini saya gunakan untuk merasionalkan kepada mereka akan perbuatan mereka, adalah sangat melukakan hati dan menghina kawan-kawan yang digelar. Saya katakan kepada mereka, apa yang mereka rasa sekarang itulah yang dirasai oleh orang yang mereka gelar. Saya tanya mereka apakah kamu sanggup dihina seperti itu, semua mereka menjawab tidak. Saya katakan, jika kamu tidak mahu dihina, apakah adil kamu menghina orang lain dan merasai apa yang kamu sama sekali tidak sangup rasai? Saya katakan lagi, jika orang lain boleh dihina, siapakah kamu ini sehingga tidak boleh dihina seperti orang yang kamu hina ? Semua mereka tunduk dan diam.

Saya bertanya mereka jika mereka tidak rasai apa-apa dengan gelaran yang saya panggilkan kepada mereka, saya akan umumkan di perhimpunan gelaran baru untuk mereka dan meminta semua pelajar-pelajar sekolah ini memanggil mereka dengan gelaran seperti tu. Semua mereka terkejut kerana mereka tahu saya adalah seorang guru yang dikenali semua pelajar, akan buat apa yang saya kata.

Semua mereka merayu kepada saya jangan berbuat demikian kerana mereka akan rasa malu. Akhirnya, saya juga meminta mereka membuat akujanji jangan memalukan orang lain jika diri mereka sendiri tidak mahu dimalukan dengan gelaran yang buruk dan dirasai hina oleh orang yang digelar. Mereka semuanya berjanji dan menandatangani aku janji.

Sebelum mereka keluar dari bilik, saya mensihati mereka, meminta maaf kepada pelajar yang digelar dan mereka bersetuju. Merekan bersalam sambil mencium tangan saya dan terus pulang kelas masing-masing. Saya berharap perkara ini akan selesai namun saya akan terus memantau dari jauh.

Demikian antara tugas yang terpaksa dihadapi oleh guru-guru seperti saya. Tidak kira tahap masalah dan kerenah, ia menuntut satu penyelesaian yang praktikal, ikhlas dan bersungguh-sungguh.

Namun persoalan terus berlegar-legar dalam pemikiran saya, mengapa wujud tabiat suka menggelar? Apakah gelar menggelar ini wujud dalam masyarakat manusia atau hanya di kalangan masyarakat Melayu sahaja ? Kenapa gelar menggelar ini lebih banyak kepada unsur negatif, tidak positif. Contoh gelaran banyak terdengar dalam masyarakat kita seperti Pak Ngah Kewek, Awang sereh, Mamat Wong, Deraman Lok yu, Pok Leh Gajah, Sepiah Pekak, Hussin Lembek, Mat Unta, Ali Keling, Zah Lentuk, Cik Loh Dodol, Mat Cacing, Tok Heng angsa dan macam-macam. Apa pandangan anda ?

Resah seorang pesakit jiwa...

Seorang pesakit jiwa mengadu kepada doktor psikiatri mengenai kawan sebiliknya. " Doktor, saya tak tahanlah doktor !".
"Kenapa ?" tanya doktor dengan ramah.
"Begini doktor, kawan sebilik saya tu menganggap dirinya adalah seekor anjing".
"Eh...ya ke ! Dia salak awak ke ?" tanya doktor penuh prihatin.
"Kalau dia menyalak tak menjadi masalah doktor. Masalahnya, dia menganggap saya sebatang pokok", jawab pesakit tersebut.
"Eh...baguslah dia anjing, awak pokok", pujuk doktor.
"Bagus apa....kejap-kejap dia kencingnya saya !!".

Thursday, October 16, 2008

Debat Ala Parlimen antara IPG Malaysia 2008

Bagi saya satu acara koakademik yang menarik ialah Debat Ala Parlimen. Para pelajar, tidak kira di mana institusi pun, wajar mengambil peluang untuk mempelajari dan berusaha mengambil bahagian dalam debat ini. Ia bukan sahaja melatih dan mampu mengasah bakat memberi idea yang bernas, namun lebih jauh lagi, ia mampu melatih emosi yang tenang, tindakan yang rasional, fikiran yang tajam, kecekapan menganalisa dan melontar idea dalam suasana yang tegang dengan bersahaja, tetapi cukup bertenaga dan meyakinkan.
Kita tahu, begitu ramai para pelajar yang berbakat dan mampu dilatih untuk menjadi pendebat yang baik. Itu merupakan tugas yang mudah untuk dilakukan. Namun, lebih jauh dari itu, pihak IPG seharusnya juga mampu membentuk para pengurus dan jurulatih yang prihatin dan peka serta bersikap profesional. Dan juga harus mampu melatih para pendebat yang bukan sahaja pendebat yang mampu melontar idea bernas dan membidas, tetapi lebih penting, para pendebat yang faham dan mahir aspek-aspek penilaian hakim.
Para penonton, para pengurus pasukan dan jurulatih, seharusnya sentiasa menyedarkan diri mereka bahawa pertandingan debat adalah pertandingan yang dihakimi. Para hakim disediakan borang penghakiman dan harus menanda senarai semak format atau perincian debatan dan akhirnya membuat penilaian. Manakala para penonton termasuk pengurus pasukan dan jurulatih walau bagaimana bijak dan mahirnya mereka dalam debat, mereka sebenarnya hanya menonton dan menilai secara umum dalam suasana yang emosional tanpa ada borang penghakiman sebagai panduan. Keadaan ini sudah pasti mampu memeranjatkan mereka jika keputusan yang tidak diduga oleh mereka diumumkan.
Di sinilah mereka wajar bersikap profesional dan rasional untuk menerima hakikat bahawa para hakim tidak terpengaruh dengan suasana, melainkan mesti berpandukan kepada borang penghakiman. Jika mereka tidak dapat menerima keputusan para hakim, maka mereka harus mengesyorkan kepada pihak atasan agar pertandingan Debat Ala Parlimen dianjurkan seperti mana Akademi Fantasia dilaksanakan!
Satu perkara lagi yang perlu diperbaiki dalam Debat Ala Parlimen antara Institusi Perguruan ini ialah rupa bentuk usul yang disediakan untuk debatan. Dalam pertandingan mana-mana Debat Ala Parlimen format umumnya ialah Pihak Kerajaan lawan Pihak Pembangkang. Dan hanya pihak Kerajaan yang membentang usul. Contoh yang saya kemukakan ini adalah cukup kelakar apabila pihak Kerajaan yang memerintah membentangkan usul yang berbunyi " PERPADUAN KITA SEMAKIN BAIK: INDAH KHABAR DARIPADA RUPA".
Dalam membentang usul ini pihak Kerajaan terpaksa bersikap negatif terhadap program-program perpaduan yang telah mereka laksanakan selama ini. Manakala pihak pembangkang pula terpaksa memuji dan mempertahankan pihak kerajaan! Keadaan ini sepatutnya hanya boleh berlaku jika kerajaan memerintah, baru sahaja mengambil alih pemerintahan kerajaan yang baru ditumbangkan. Atau usul ini sepatutnya dibentang oleh pihak Pembangkang.
Banyak lagi tajuk-tajuk usul yang menyusahkan pendebat hinggakan ramai pendebat yang sering tersasul, pihak kerajaan 'termengaku' pembangkang dan pihak pembangkang 'termengaku' kerajaan. Hinggakan ada seorang pendebat terpaksa menepuk dahinya sendiri sambil berkata, " eh...apa yang YB cakap ni, saya pening...peninglah..." sambil melihat ke siling dan kemudian mengoncang-goncang kepalanya sendiri. Mana tidaknya, cuba lihat antara usul-usul lain yang kerajaan bentangkan:
1. Sistem Pendidikan Wajar Diubah.
2. Negara Merdeka : Kita Leka.
3. Kecemerlangan Pelajar Hanya Sekadar Kuantiti.
4. Jati Diri Generasi Muda Semakin Terhakis.
Semoga pertandingan Debat Ala Parlimen antara Institut Perguruan Peringkat Kebangsaan dapat di tingkatkan kualiti pendebat, kefahaman terhadap aspek-aspek penghakiman dengan jelas dan diperbaiki usul-usul yang disediakan. Teruskan usaha yang baik dan semoga lebih berjaya.

Dua hari di Lepeh weh !

Dua hari terhenti menulis kerana berada di Institut Perguruan Tengku Ampuan Afzan (IPTAA)Kuala Lipis. Di sana saya bersama rakan-rakan bertugas sebagai Hakim Perandingan debat ala Parlimen Institut Pendidikan Guru Malaysia Peringkat Kebangsaan 2008.

Walaupun bukan pertama kali menjadi hakim pertandingan koakademik tetapi sekali sekala berjumpa, bergelak ketawa dan bertugas bersama cukup menyeronokkan. Banyak pengalaman baru diperolehi bila dah bersama dan begitu banyak perkara yang dapat dipelajari. Terasa kerdil juga diri ini bila bercampur gaul dengan para hakim debat yang hebat-hebat seperti En. Saruchi (JPNP), Datin Mariam (Guru Cemerlang JUSA), En. Radzli (JPNP), Radzi (otai), Akhiruddin ( Munsyi Dewan) Hj Jamaludin, Rohisham(Guru Cemerlang), Fadzli, Hamdan dan lain-lain yang semuanya hebat-hebat belaka.
Berada di bilik urusetia hakim tidaklah membosankan kerana gelak ketawa otai (radzi) yang lain dari yang lain. Kini suasana bilik operasi hakim masih segar dalam ingatan terutama peristiwa 'debat antara para hakim' yang dibentang oleh saya dan Akhiruddin, dibidas oleh Radzi dan digulung oleh En Saruchi dengan begitu baik, yang berlaku semalam.
Saya bersama Hj Jamal, Radzi dan Rohisham bertolak balik pukul 6 petang dari Kuala Lipis. Kami sampai di Muadzam Shah pukul 11.15 malam. Dan kemudian saya bersendirian meneruskan perjalanan sejauh 80 km lagi ke Kuala Rompin. Dalam perjalanan itu dua kali meremang bulu roma (dekat MARDI dan Kg Tanam) kerana usikan fantasi yang bukan-bukan. Saya akhirnya sampai di rumah pukul 12.15 malam.

Monday, October 13, 2008

Rumah terbuka aidil fitri

Zaman telah berubah. Dulu lain sekarang lain. Dulu kalau hari raya, sebulan syawal masih menziarahi rumah kawan-kawan. Masa banyak terluang. Tapi kini, semua orang sibuk. Sebaik selepas hari raya kerja mesti diteruskan. Berayalah masing-masing ditempat kerja. Biasanya pada suasana hari ini, satu dua hari raya hanya sibuk beraya dengan saudara mara keluarga terdekat. Kawan-kawan pun begitu.

Sebab itulah trend hari ini, mana yang ada peruntukan lebih akan buat juga rumah terbuka aidil fitri untuk kawan-kawan sepejabat atau sesekolah. Kawan-kawan pula ramai dari luar negeri. Luar negeri Pahang ! Saya sebut peruntukan lebih, sebab kos rumah terbuka boleh tahan juga tapi alhamdulillah rezeki Allah bagi kita bagi rasa semua kawan-kawan, jiran-jiran terdekat dan saudara mara. Bukan makan itu yang penting. Suasana yang dapat mengumpul kawan-kawan baru dan lama cukup menyeronokkan.

Semalam secara kecil-kecilan saya juga mengadakan rumah terbuka aidil fitri. Ramai sahabat yang datang. Nampaknya mereka makan, makan juga, tetapi seperti yang saya katakan tadi bukan makan tu yang penting, sembangnya tu yang lama. Bila berjumpa cukup seronok bersembang dan begitu santai kelihatannya , macam tak nak balik. Macam-macam hal bila berjumpa. Ada yang borak pasal nak buat rumah baru, pasal tukar kereta, pasal tanam sawit, pasal masakan, pasal kuih bangkit keras, pasal nak bertukar, pasal anak dan nak anak lagi, pasal kahwin tapi pasal nak kahwin lagi tak dengar pula semalam. Takut kot, sebab datang semalam dengan pasangan masing-masing !

Terima kasihlah kepada jiran-jiran yang hadir, juga kepada sahabat-sahabat lama saya dan isteri Rohani; Amran Abdullah, Huda, Ustaz Ibrahim Man, Ustaz Majdi Mustafar, Mustafa Kamal dan kak Maimun, Hajjah Fazilah Muda, Cikgu Yusop Muhamad, En. Abd Razak Majid, dan semua yang lain yang tidak mampu hendak disebut nama satu persatu.

Cuma tidak ada semalam, cikgu Wahab, mungkin ada urusan lain yang tidak dapat dielakkan. Tuan Hamizi Hussin telefon dari Kuantan bagi tahu tak dapat hadir kerana sedang bertugas sebagai kem komandan perkhemahan peringkat Kebangsaan. Hebat tu !! Begitu juga cikgu-cikgu bujang sekolah saya tak nampak muka. Mungkin ada "date" lah tu. Hari Ahad kan !? Cikgu Hafiz dengan cikgu Tini paling banyak makan, begitu juga dengan cikgu Aidawati! Kata mereka tahun depan nak datang lagi. Saya tak pasti buat lagi tahun depan. Jawapannya insya Allah kalau panjang umur murah rezeki. Selamat hari raya adidil fitri maaf zahir batin.