Sunday, March 18, 2012

Memerah keringat


Memerah keringat adalah penting - bekerja keras sentiasa menjadi amalan mereka yang ingin mencapai kemenangan. Namun demikian, inspirasi juga penting. Ada orang bermadah, 'secebis inspirasi sama nilainya dengan sebakul keringat'.

Oleh itu, sekadar mengenal-pasti dan menyenaraikan matlamat menurut susunan keutamaannya, tidak akan menghasilkan apa yang dihajati. Hakikatnya lebih banyak dari pada itu yang perlu dilakukan seperti penerapan kreativiti dalam setiap usaha kita.

Thursday, March 15, 2012

Kita miliki semua.....


Jangan takut dan gentar apatah lagi serabut dengan perkataan 'imaginasi' dan 'kreativiti'.

Tanpa kita sedari kita juga menggunakan imaginasi dan kreativiti yang sama untuk meyakinkan diri kita sendiri sama ada kita tidak boleh atau tidak mahu terlibat dalam semua usaha mencapai matlamat kita!

Dengan hanya memberi fokus kepada perkara-perkara yang positif dan bukannya negatif, 'boleh lakukan' dan bukannya 'tidak boleh lakukan', kita akan dapat kenal pasti sebahagian besar apa yang perlu kita lakukan ke arah menghampiri matlamat kita. Itu juga imaginasi dan kreativiti.


Wednesday, March 14, 2012

Imaginasi dan kreativiti


Paradok bekerja atau belajar adalah mudah - jika kita fikirkan yang kita boleh mencapai kejayaan cemerlang tanpa perlu bekerja keras, kita akan kecewa. Jika kita fikir bahawa ketekunan itu sendiri akan menjadikan kita berjaya, kita juga akan kecewa.

Hakikatnya kejayaan memerlukan lebih daripada bekerja keras dan ketekunan. Lebih penting ia memerlukan agar imaginasi dan kreativiti diamalkan dengan cara yang bersungguh-sungguh. Ia juga memerlukan keyakinan dan kepercayaan terhadap diri sendiri dan terhadap matlamat kita sebagai sesuatu yang berbaloi daripada segenap segi.

Thursday, March 08, 2012

Kuasailah yang terhampir

Salam blog ini terbiar agak lama. Sekali lagi alasan kesibukan menjadikan ianya terbiar. Namun kini akan juga digagahkan untuk mengaktifkan kembali segala sumbangan, bahan, ilmu, pengalaman, motivasi dan mungkin juga diskusi dari apa yang terfikir dan difikirkan.

Semoga blog santai cikgu Sazili ini akan kembali menarik perhatian buat mereka yang terjengah ke sini.

Sesungguh setiap detik kehidupan yang kita lalui biarlah ianya sentiasa memberi impak yang positif kepada perancangan masa depan hidup kita. Tiada apa yang patut menghalang segala kemaraan kita bagi mencapai apa yang kita cita-citakan.

Cabaran dan rintangan biasanya bukan yang nun jauh di sana tetapi dari yang terhampir dengan kita. Kuasailah yang terhampir itu untuk melepasi yang jauh. Edmund Hillary pernah berkata, "
It is not the mountain that we conquer but ourselves."

Tuesday, January 17, 2012

Mencipta kehidupan yang bermakna: Hiduplah dalam kehormatan

Hiduplah dalam keadaan yang baik dan penuh kehormatan. Dengan demikian, maka pada saat kita tua dan menoleh ke belakang dalam kehidupan kita, kita dapat menikmatinya untuk kali kedua.

Hidup dalam kehormatan bererti kita meninggalkan suatu warisan yang dapat diikuti dan diambil manfaat oleh orang lain. Oleh yang demikian sentiasa mencipta kehidupan yang memberi makna yang mendalam bukan sahaja kepada diri sendiri malah kepada semua yang berada di sekeliling kita.

Tuesday, December 20, 2011

Mencipta kehidupan bermakna 2: Jangan mudah keliru!


Sewaktu kita menyedari kita ada melakukan sesuatu yang mengelirukan, segeralah kita mengambil langkah-langkah pembetulan. Cepat ambil tindakan untuk menyelamatkan keadaan atau hubungan, menjelaskan kesalahan atau salah faham yang berbangkit. Kita tidak perlu malu dan bertangguh untuk melakukan tindakan yang diperlukan itu demi menjaga dan mengembalikan keadaan dari sebarang kehancuran.

Membiarkan kekeliruan berterusan akan menjadikan suasana lebih parah kerana ianya penuh dengan gelombang emosi yang sentiasa menyala. Diri yang keliru juga menghilangkan fokus kepada apa yang mahu kita capai dalam hidup ini. Keadaan menjadi tidak tentu arah dan hilang punca lantas kemudiaannya suasana keadaan dan hubungan menjadi tawar dan membosankan.



Sunday, December 18, 2011

Bagaimana mencipta kehidupan bermakna 1


Hidup ini sesungguhnya sederhana sahaja. Tidak sebagaimana yang dikatakan orang yang mengatakan bahawa hidup ini rumit dan payah. Masyarakat sekarang berada dalam masa yang rumit l;agi sulit untuk memahami konsepm hidup yang sepatutnya bagi mereka. Kita percaya kepada pendapat bahawa 'hidup adalah perjuangan dan pertaruhan' dan 'kita harus melakukan yang terbaik untuk hidup kita'. Berikut akan dipaparkan tips untuk mengatasi kekusutan hidup yang tidak terbatas pada apa yang kita yakini.

Pertama: Ingatlah, mungkin kita tidak mendapat apa yang kita inginkan dalam hidup ini setakat hari dan saat ini tetapi seringkali keadaan kita itu adalah sebuah keberuntukan yang baik buat kita sebenarnya.

Tidak selalu mendapat apa yang kita mahu seringkali bererti bahawa ada sesuatu yang lebih baik akan tetap kita perolehi juga, mengikut yang ditakdirkan Allah buat kita nanti. Kita hanya perlu bersabar dan tenang. Keadaan itu pasti akan datang kepada kita pada waktunya, yang penting kita terus berusaha yang terbaik buat kita.

Kedua: Akan dituliskan berikutnya nanti.