Tuesday, December 20, 2011

Mencipta kehidupan bermakna 2: Jangan mudah keliru!


Sewaktu kita menyedari kita ada melakukan sesuatu yang mengelirukan, segeralah kita mengambil langkah-langkah pembetulan. Cepat ambil tindakan untuk menyelamatkan keadaan atau hubungan, menjelaskan kesalahan atau salah faham yang berbangkit. Kita tidak perlu malu dan bertangguh untuk melakukan tindakan yang diperlukan itu demi menjaga dan mengembalikan keadaan dari sebarang kehancuran.

Membiarkan kekeliruan berterusan akan menjadikan suasana lebih parah kerana ianya penuh dengan gelombang emosi yang sentiasa menyala. Diri yang keliru juga menghilangkan fokus kepada apa yang mahu kita capai dalam hidup ini. Keadaan menjadi tidak tentu arah dan hilang punca lantas kemudiaannya suasana keadaan dan hubungan menjadi tawar dan membosankan.



Sunday, December 18, 2011

Bagaimana mencipta kehidupan bermakna 1


Hidup ini sesungguhnya sederhana sahaja. Tidak sebagaimana yang dikatakan orang yang mengatakan bahawa hidup ini rumit dan payah. Masyarakat sekarang berada dalam masa yang rumit l;agi sulit untuk memahami konsepm hidup yang sepatutnya bagi mereka. Kita percaya kepada pendapat bahawa 'hidup adalah perjuangan dan pertaruhan' dan 'kita harus melakukan yang terbaik untuk hidup kita'. Berikut akan dipaparkan tips untuk mengatasi kekusutan hidup yang tidak terbatas pada apa yang kita yakini.

Pertama: Ingatlah, mungkin kita tidak mendapat apa yang kita inginkan dalam hidup ini setakat hari dan saat ini tetapi seringkali keadaan kita itu adalah sebuah keberuntukan yang baik buat kita sebenarnya.

Tidak selalu mendapat apa yang kita mahu seringkali bererti bahawa ada sesuatu yang lebih baik akan tetap kita perolehi juga, mengikut yang ditakdirkan Allah buat kita nanti. Kita hanya perlu bersabar dan tenang. Keadaan itu pasti akan datang kepada kita pada waktunya, yang penting kita terus berusaha yang terbaik buat kita.

Kedua: Akan dituliskan berikutnya nanti.

Wednesday, November 23, 2011

Buang sikap suka bertangguh


Hari ini hujan seharian, dari pagi hingga kini. Terasa dingin ditiup angin tengkujuh yang kadang-kadang membayu, kadang-kadang menderu. Hari ini saya banyak menghabiskan masa di rumah, tidak minat hendak ke mana-mana melainkan terlalu perlu. Lima tidak menulis!

Sebahagian besar daripada masalah suka menangguh kerja berpunca dari diri kita sendiri kerana pelbagai kerenah seperti malas, mengelamun mengingat seseorang, bersedih yang tidak perlu, boring, jemu dan mungkin pemikiran sudah sampai ke tahap tepu.

Sebenarnya sikap suka menangguh ini boleh dibuang dengan mudah sekiranya kita mempunyai kehendak dan keazaman untuk melakukan apa yang patut kita lakukan demi masa depan yang membahagiakan kita. Hanya kita yang mampu memilih sama ada mahu masa depan yang bahagia atau masa depan yang menderita akibat dari kerja tertangguh yang tidak mendorong kepada pencapaian matlamat kita.

Untuk membuang sikap buruk itu, maka kita perlu sanggup mengamalkan disiplin menyerahkan kepada diri sendiri hanya kerja-kerja yang penting dalam usaha mencapai keseluruhan matlamat kita.


Saturday, November 19, 2011

Selamat bercuti dan jaga diri


Para pelajar sekolah telah mula bercuti kecuali mereka yang sedang menduduki SPM dan STPM. Mereka masih berada di asrama untuk meneruskan perjuangan demi kecemerlangan masa depan.

Para pelajar lain, semalam telah mula bertebaran pulang ke kampung halaman. Hari ini entah apa yang sedang dilakukan di rumah? Entah-entah masih tidur tanpa solat subur atau setelah bangun solat subuh, tidur kembali!

Yang tidak bangun solat subuh tadi itu, ibubapa perlulah mengambil peranan untuk mengejutkan anak-anak kita itu, dinihari esok dan seterusnya. Hari ini fenomena tak solat di rumah terlalu menjadi-jadi!


Atau waktu ini telah memulakan aktiviti sendiri-sendiri baik dalam rumah mahupun bersama kawan-kawan di luar sana. Yang penting jaga diri daripada pengaruh yang boleh menjahamkan diri dan masa depan.

Buat anak-anak remaja perempuan, jaga pergaulan, jauhi tingkahlaku dan pergaulan yang boleh menconteng arang ke muka ibubapa yang melahir dan membesarkan kita.

Akhirnya selamat bercuti dari cikgu. Jangan lupa persediaan awal untuk UPSR, PMR, SPM dan STPM tahun hadapan! Semoga hidup sentiasa diberkati dan dirahmati Allah.

Tuesday, November 15, 2011

Utamakan yang utama


Sikap suka bertangguh adalah pembazir masa yang besar dan pemusnah prestasi yang sangat berkesan. Ia menjadi tabiat kebanyakan kita. Masalah pokoknya ialah kebanyakan kita yang tidak mampu membuat keputusan, membiarkan kerja-kerja yang tergolong dalam kategori yang berkeutamaan rendah menguasai isu-isu yang penting.

Kebanyakan kita lebih suka mengambil jalan mudah. Kita membuat apa yang paling mudah dan apa yang ada di hadapan mata kita, bukannya cuba berfikir dan memberi tumpuan kepada kerja-kerja yang berkeutamaan tinggi.

Kita banyak merungut tentang gangguan yang sering dilakukan oleh orang lain atau cara kerja orang lain tetapi secara psikologinya, kita memang lebih suka perkara itu terjadi, kerana ia memenuhi tujuan kita untuk menghabiskan masa dengan membuat kerja-kerja yang berkeutamaan rendah!

Wednesday, November 09, 2011

Pentingnya perancangan

Perancangan tidak selalunya menghasilkan kejayaan tetapi tanpa perancangan, kita jarang berjaya. Perancangan memang mengambil masa, dan lebih banyak masa serta usaha yang kita gunakan untuk membuat perancangan, maka lebih besarlah peluangnya untuk menjadi berkesan.

Perancangan dan ramalan bergerak seiring. Pandainya kita dalam meramal atau menjangka kemungkinan, menjadikan perancangan lebih berkesan.

Meramal adalah melihat masa depan berdasarkan apa yang kita lihat hari ini, maka kita tentukan bagaimana keadaannya pada masa akan datang. Lebih tepat pemerhatian kita, atau jangkaan kita, maka lebih baiklah peluang kita hasil dari perancangan kita
.


Monday, November 07, 2011

Mengurus kehidupan dengan perancangan


Adalah cara yang lebih baik untuk menguruskan kehidupan kita ialah dengan merancang.

Kawalan bermula dengan perancangan dan kebolehan mengawal diri perlu wujud dalam diri kita terlebih dahulu sebelum kita boleh mengawal apa yang kita lakukan dalam pekerjaan dan kehidupan kita.

Sedarlah bahawa kejadian dalam hidup ini tidak mengawal kita, tetapi kitalah yang mengawalnya. Andainya, kita tidak melaksanakan tugas kita untuk mengawal keadaan, maka keadaan kelam-kabut dan tidak menentu akan berlaku dan menguasai tindakan kita.