Monday, September 12, 2011

Cipta suasana memotivasi diri


Tidak terdapat sebarang rahsia sebenarnya tentang bagaimana motivasi berperanan. Sekiranya kita melihat apa yang dicapai oleh mereka yang berjaya dan cemerlang, kita akan dapati bahawa mereka yang mencapai kejayaan cemerlang "membuat apa yang mereka tahu".

Mereka yang kurang berjaya selalunya tahu, tetapi tidak membuat apa yang mereka tahu. Sekiranya kita melakukan sesuatu perkara yang memang kita tahu, kita akan mencipta satu suasana di mana kita akan mencapai tahap potensi diri kita yang lebih tinggi berbanding dengan sekiranya kita tidak membuat apa yang kita tahu.

Apakah asas yang perlu kita amalkan? Pertama kita patut faham bahawa semua motivasi sebenarnya adalah motivasi diri. Seseorang manusia itu mempunyai dua keadaan, sama ada dia mempunyai motivasi atau langsung tidak mempunyai motivasi. Langkah paling baik yang boleh kita lakukan untuk memudahkan terciptanya motivasi diri ialah dengan mencipta satu suasana di mana kita akan tergerak untuk memotivasikan diri kita sendiri.

Sunday, September 11, 2011

Berikan komitmen


Terdapat manusia yang berusaha dengan begitu gigih dalam menghadapi pelbagai rintangan sehingga mereka berjaya mencapai apa yang mereka impikan. Terdapat manusia yang mengalami pelbagai keperitan dalam perjuangan mereka yang menyebabkan orang yang rendah harga diri lemah untuk melalui jalan dan perjuangan seperti itu, lalu mengalah dan tidak cuba membuat apa-apa.

Sepatutnya jalan dan perjuangan getir itu menjadi sumber motivasi dalam mencapai kejayaan tetapi ia sebaliknya berlaku kepada mereka yang lemah jiwa. Sebenar tidak terdapat jalan tertentu untuk menang dan kalah apabila kita memperkatakan tentang motivasi diri. Apa yang menjadi titik terakhir bagi seseorang, menjadi titik permulaan bagi orang yang lain.

Yang penting ialah sikap sedar diri, fokus kepada matlamat dan sikap mahu atau pun tidak mahu. Itu sahaja faktor yang sewajarnya memotivasikan diri! Elakkan banyak memberi dan mencipta alasan. Alasan sentiasa ada jika dicari tetapi dalam kehidupan ini kita perlukan komitmen bukan alasan!



Saturday, September 03, 2011

Punyailah imej diri positif


Bagaimanakah kita dapat mencipta dalam diri kita daya penggerak untuk mengarahkan motivasi kita agar kita boleh mencapai apa yang kita impikan?

Bagaimanakah caranya untuk kita menguasai daya penggerak dan komitmen yang begitu penting untuk mencapai kejayaan dan bukannya mencipta daya penggerak yang menjadikan kita manusia yang biasa sahaja atau lebih teruk lagi manusia yang terlalu rendah pencapaiannya?

Apakah yang menjadi daya penggerak jangka panjang yang sentiasa mendorong kita untuk mencapai potensi diri kita? Jawabnya ialah kejayaan! Untuk benar-benar bermotivasi, ia itu bermotivasi sendiri, kita perlu mempunyai imej diri positif yang berasaskan kepada hasil pencapaian yang positif !

Sunday, August 28, 2011

Selamat Hari Raya Aidil Fitri Maaf Zahir Batin kepada semua pembaca blog ini


Pertama-tamanya saya ingin mengucapkan Selamat Hari Raya Aidil Fitri maaf zahir dan batin kepada para sahabat dan mereka yang sentiasa sudi ke blog saya yang tidak seberapa ini. Kehadiran para sahabat dan tuan-tuan puan-puan ke sini menjadikan saya sentiasa teruja untuk memberikan sedikit sumbangan dalam memotivasikan usaha dan kehidupan kita.

Semoga madrasah Ramadhan Kareem yang akan berlalu pergi akan meninggalkan kesan yang mendalam dalam perlakuan dan pemikiran kita sebagai insan Tuhan yang serba lemah ini. Kita tidak tidak mampu untuk membiarkan diri kita mahupun keluarga kita tersasar dari landasan kehidupan yang direstui dan dirahmati Allah s.w.t.

Dalam menyambut Syawal yang bakal mendatang, semoga kita tidak menjadi insan Tuhan yang lupa diri sehingga tidak sedar diri hanyut dalam serba serbi keseronokan palsu yang tidak diredhai Tuhan. Mudah-mudahan kita dapat menyambut Aidil Fitri secara yang diredhai Allah, bukan berhibur sakan sehingga melupakan syariat Tuhan.

Insya Allah blog ini akan terus menyumbang sekadar termampu secara lebih aktif selepas hari raya nanti. Selamat Hari Raya Adil Fitri Maaf Zahir dan Batin dari saya sekeluarga buat semua.


Saturday, August 13, 2011

Motivasi diri sendiri

Motivasi yang paling berkesan ialah motivasi diri sendiri. Orang lain boleh memberi ilham kepada kita, mengancam kita, menyogok kita atau mengarahkan kita membuat sesuatu tindakan. Tetapi mereka tidak boleh menjadikan kita suka kepada apa yang sebenarnya perlu kita lakukan.

Apa yang patut kita lakukan ialah mempengaruhi diri sendiri supaya mengambil sesuatu tindakan tertentu dan untuk melakukan perkara ini kita perlu mengarahkan motivasi kita ke arah apa yang ingin kita capai. Apa yang menguasai fikiran kita itulah sebenarnya yang menjadi motivasi kita.



Tuesday, August 09, 2011

Fokus kepada objektif kita

Objektif kita sepatutnya ialah untuk mengarahkan motivasi kita ke arah perkara-perkara yang berkemungkinan besar dapat menghasilkan apa yang kita inginkan dari hidup dan kerja yang kita lakukan. Ini hanya boleh dilakukan sekiranya motivasi kita diarahkan oleh matlamat untuk mencapai perkara-perkara yang kita inginkan dari hidup ini ataupun daripada kerja yang kita lakukan.

Apa yang menyedihkan ialah, disebabkan oleh ketiadaan matlamat yang khusus, kebanyakan kita mengarahkan matlamat dan usaha kita ke arah kegiatan-kegiatan yang tidak boleh membawa kita mencapai apa yang kita benar-benar inginkan.

Maka itu kita sering menjadi orang yang tidak kesampaian dalam setiap perjalanan perancangan kita.

Tuesday, August 02, 2011

Jangan menunggu untuk bertindak

Matlamat adalah kuasa yang menggerakkan motivasi peribadi, manakala peribadi yang positif adalah bahan api kepada kehidupan. Matlamatlah yang menjadi sebab kepana kita melakukan sesuatu perkara. Ia menjadikan kita gembira, menimbulkan rasa berjaya dan menimbulkan keinginan untuk berjaya.

Motivasi dalam bentuk matlamat memberi kita keinginan yang kuat untuk berjaya, lantas membakar tenaga untuk bertindak dan mencetus sebab untuk mengarahkan kegiatan-kegiatan tertentu atau khusus ke arah mencapai matlamat kita.

Tanpa matlamat kita tidak mempunyai sebab dan tujuan, tidak mempunyai arah malah sering berasa lemah untuk hadapi keadaan atau rintangan yang mencabar ,lantas mencipta sikap, " Tiada satupun tindakan aku sekarang yang mampu mengubah keadaan, mungkin barangkali keadaan aku akan menjadi lebih baik pada masa akan datang." Maka kita akan terus menunggu, bagaikan menunggu bulan jatuh ke riba!