Saturday, August 13, 2011

Motivasi diri sendiri

Motivasi yang paling berkesan ialah motivasi diri sendiri. Orang lain boleh memberi ilham kepada kita, mengancam kita, menyogok kita atau mengarahkan kita membuat sesuatu tindakan. Tetapi mereka tidak boleh menjadikan kita suka kepada apa yang sebenarnya perlu kita lakukan.

Apa yang patut kita lakukan ialah mempengaruhi diri sendiri supaya mengambil sesuatu tindakan tertentu dan untuk melakukan perkara ini kita perlu mengarahkan motivasi kita ke arah apa yang ingin kita capai. Apa yang menguasai fikiran kita itulah sebenarnya yang menjadi motivasi kita.



Tuesday, August 09, 2011

Fokus kepada objektif kita

Objektif kita sepatutnya ialah untuk mengarahkan motivasi kita ke arah perkara-perkara yang berkemungkinan besar dapat menghasilkan apa yang kita inginkan dari hidup dan kerja yang kita lakukan. Ini hanya boleh dilakukan sekiranya motivasi kita diarahkan oleh matlamat untuk mencapai perkara-perkara yang kita inginkan dari hidup ini ataupun daripada kerja yang kita lakukan.

Apa yang menyedihkan ialah, disebabkan oleh ketiadaan matlamat yang khusus, kebanyakan kita mengarahkan matlamat dan usaha kita ke arah kegiatan-kegiatan yang tidak boleh membawa kita mencapai apa yang kita benar-benar inginkan.

Maka itu kita sering menjadi orang yang tidak kesampaian dalam setiap perjalanan perancangan kita.

Tuesday, August 02, 2011

Jangan menunggu untuk bertindak

Matlamat adalah kuasa yang menggerakkan motivasi peribadi, manakala peribadi yang positif adalah bahan api kepada kehidupan. Matlamatlah yang menjadi sebab kepana kita melakukan sesuatu perkara. Ia menjadikan kita gembira, menimbulkan rasa berjaya dan menimbulkan keinginan untuk berjaya.

Motivasi dalam bentuk matlamat memberi kita keinginan yang kuat untuk berjaya, lantas membakar tenaga untuk bertindak dan mencetus sebab untuk mengarahkan kegiatan-kegiatan tertentu atau khusus ke arah mencapai matlamat kita.

Tanpa matlamat kita tidak mempunyai sebab dan tujuan, tidak mempunyai arah malah sering berasa lemah untuk hadapi keadaan atau rintangan yang mencabar ,lantas mencipta sikap, " Tiada satupun tindakan aku sekarang yang mampu mengubah keadaan, mungkin barangkali keadaan aku akan menjadi lebih baik pada masa akan datang." Maka kita akan terus menunggu, bagaikan menunggu bulan jatuh ke riba!

Wednesday, July 27, 2011

Rahsia paling besar kita


Rahsia paling besar yang tersimpan sejak zaman berzaman ialah kemampuan kita untuk menggunakan kuasa minda bawah sedar kita. Kita bertanggungjawab dan mempunyai kawalan terhadapnya. Oleh itu, berilah arahan yang betul.

Peraturan yang terdapat dalam hidup ini termasuklah hukum mengenai keyakinan dan harapan. Yakinlah bahawa kuasa untuk mendapatkan apa yang kita inginkan terletak di dalam diri kita dan caranya ialah dengan mengarah dan mempunyai akses terhadap minda bawah sedar kita.

Ingatlah bahawa apabila kita mengubah pemikiran, kita sebenarnya mengubah nasib kita dan sekiranya kita benar-benar ingin agar hidup kita menjadi berlainan, kita perlu mengubah pemikiran kita serta tahap harapan kita.

Tuesday, July 26, 2011

Kita bertanggungjawab terhadap kehidupan kita

Mungkin benar kita tidak boleh mengatasi tahap pemikiran yang kita miliki sekarang. Bagaimanapun, kita sebenarnya boleh menentukan hadnya dan kita boleh menambahnya dengan menukar cara kita berfikir.

Kita tidak terikat selama-lamanya dengan had yang ada sekarang. Kita boleh berkembang. Kita boleh menambah skop pencapaian kita dengan menambah had pemikiran kita dan mempertingkatkan tahap harapan kita.

Yang penting sekali bagi kita, ingatlah bahawa kita sebenarnya bertanggungjawab bagi kehidupan kita. Jawapan bagi semua masalah dan kejayaan yang kita alami terdapat dalam diri kita sendiri. Lihatlah ke dalam diri sendiri untuk mendapatkan jawapan bagi mencapai apa yang paling kita ingini dalam hidup ini.

Monday, July 18, 2011

Selamat mengatur jejak bertapak di kampus!


Nampaknya ramai yang bergembira di atas kejayaan mencapai impian belajar di Universiti. Ada yang berjaya mendapat kursus yang menjadi impian selama ini dan ada yang tidak.

Namun demikian perjuangan di alam persekolahan atau matrikulasi selama ini mungkin berbaloi bagi sebahagian pelajar dan tidak bagi sebahagian yang lain. Dua kumpulan pelajar ini sudah pasti mempunyai perasaan yang berbeza-beza. Ada yang terlalu gembira, ada yang bersyukur sahaja, ada yang tidak puas hati, ada yang terpaksa menerima, ada yang menyesali tidak mengikut nasihat cikgu dahulu dan berbagai-bagai.

Itu semua sudah berlalu. Lupakan sahaja. Apa yang penting hadapilah yang dianugerahkan dengan penuh keazaman, kecekalan, dan penuh minat. Segera letakkan matlamat baru berada di kampus universiti, jangan bermula dengan sikap syok sendiri yang tidak akan membawa ke mana-mana. Ingat persaingan di univeriti pada hari ini bukan lagi untuk lulus tetapi perlu mendapat keputsan yang cemerlang. Hanya keputusan cemerlang menjamin masa depan.

Kepada semua, tahniah dan bermulalah di semester pertama nanti dengan keputusan paling cemerlang jika tidak mahu terperangkap dikemudian hari. Selamat belajar di kampus!


Tuesday, July 12, 2011

Binalah setinggi harapan

Setiap orang ingin menjadi pemenang dan sentiasa ingin berada di atas. Jika inilah yang diharapkan, maka inilah juga yang akan kita perolehi. Hukum mengenai harapan sentiasa memberi kesan kepada hidup kita.

Kemanakah arah tujuan kita dan apakah yang kita jangka atau harapkan ?

Sebanyak mana kejayaan yang kita capai ditentukan oleh sejauh mana kita berusaha. Sebesar mana kejayaan yang dicapai ditentukan oleh setinggi mana harapan kita mengenainya. Lebih banyak yang kita harapkan, lebih banyaklah yang kita dapat. Setiap apa yang kita lakukan dalam hidup ini kitalah yang menentukan hasilnya. Teruskan membina harapan dan berusaha!