Sunday, April 24, 2011

Pecahkan pola pemikiran negatif

Kita perlu sedar bahawa kebanyakan mereka yang berjaya hari ini adalah lebih kerap menemui kegagalan sebelumnya. Oleh itu, apa ang patut kita pelajari dari segi penggunaan percakapan diri ialah tiada kejayaan yang lebih besar daripada kejayaan itu sendiri.

Setelah kita berjaya memecahkan pola-pola pemikiran negatif yang terlalu banyak berlegar dalam pemikiran kita dan mula memberi fokus terhadap aspek-aspek positif daripada pengalaman kita, maka kita sebenarnya sedang menuju ke arah yang betul.

Sebenarnya kehidupan kita ini adalah proses memenuhi kehendak diri dan sekiranya kita terus mengamalkan percakapan diri yang positif, maka kita sebenarnya sedang membina proses memenuhi kehendak diri yang berjaya.

Tuesday, April 19, 2011

Jangan berundur...

Jika kita sering memberitahu bahawa kita telah penat berusaha namun sehingga sekarang masih belum belum berjaya mencapai apa yang kita impikan, kita sebenarnya sedang meracuni fikiran kita dengan pemikiran dan percakapan yang negatif. Lambat laun jika kita belum sedar-sedar kita bakal terhumban kelembah kekecewaan yang berpanjangan.

Jika kita memikirkan kita begitu penat berusaha, cuba kita fikir dan kaji mereka yang telah berjaya. Mereka mencapai apa yang mereka hajati bukan dalam sekelip mata. Mereka berjuang dengan titik peluh dan curahan keringat sepanjang kehidupan mereka.

Oleh yang demikian kita perlu terus merancang untuk menjadikan diri kita juga berjaya seperti dengan menjauhkan pemikiran kita dari unsur-unsur negatif yang bagaikan racun yang boleh merosakkan perjuangan kita. Kita perlu yakin jika kita sering menghadapi kegagalan, ingatlah kegagalan itu adalah merupakan langkah-langkah yang semakin hampir membawa kita kepada kejayaan. Jangan kita berundur di saat-saat setapak sahaja lagi untuk kita mampu menggenggam impian kita!

Monday, April 18, 2011

Bagaimana menjadi manusia baru...

Kita boleh menjadi manusia baru dan berlainan daripada sebelumnya hanya dengan mengubah percakapan diri bagi mencerminkan imej baru yang ingin kita bina. Dalam interaksi menyeluruh antara semua perkara yang membabitkan usaha membina diri ke arah yang lebih baik berbanding sebelumnya, percakapan diri menjadi faktor terpenting yang boleh kita menjadikan diri kita manusia yang lebih baik dan berkesan.

Percakapan diri yang positif akan membantu kita membina keyakinan dalaman dan mengarahkan kita ke arah mempunyai pemikiran berjaya.

Tidak ada manusia yang gagal sepenuhnya dalam hidup ini. Tetapi apabila berada dalam keadaan minda yang negatif, kita terdorong untuk memberi fokus kepada semua perkara yang bagi kita, menyerupai kegagalan masa lalu dan kita lupa tentang beratus-ratus kejayaan yang pernah kita alami.

Sedangkan melalui percakapan diri yang positif, kita boleh membina imej peribadi sehingga kita mula melihat kegagalan sebagai sebahagian daripada proses untuk berjaya.

Saturday, April 16, 2011

Perbaiki imej peribadi

Imej boleh diubah. Sudah banyak kali dibuktikan bahawa apa yang terdapat pada diri seseorang pada hari ini tidak semestinya kekal demikian selama-lamanya. Salah satu sebab utama kenapa kebanyakan kita tidak dapat memperbaiki kehidupan kita ialah kerana kita mempunyai sikap negatif terhadap penggunaan pemikiran positif. Pemikiran positif akan mendatangkan manfaat andainya diarahkan secara betul iaitu ke arah mengubah diri kita.

Sekiranya kita ingin mengubah hidup kita, kita mestilah mengubah pemikiran kita. Kadang-kadang cara kita berfikir pada ketika ini tidak akan mampu membawa kita kepada perubahan yang kita mahukan. Ingatlah jauh ke dalam minda bawah sedar kita terdapat imej diri kita sepertimana yang kita fikirkan. Sekiranya kita fikirkan yang diri kita adalah seorang yang pemalu, maka kita akan bertindak sebagai seorang yang pemalu. Sekiranya kita fikirkan diri kita adalah seorang yang aggresif, maka kita akan bertindak sebagai seorang yang aggresif.

Oleh itu fikirkan sejenak tentang bagaimana kita ingin gambarkan diri kita!

Thursday, April 14, 2011

Dsiplinkan pemikiran berjaya

Ingatlah bahawa, minda bawah sedar tidak mampu memahami perbezaan antara hakikat dan fiksyen. Oleh itu salah satu cara untuk kita membina harga diri ialah dengan membina disiplin agar sentiasa berfikiran berjaya.

Tiada jalan mudah untuk memastikan pemikiran berjaya menjadi suatu cara hidup kita yang ingin memperbaiki imej diri kita, apatah lagi untuk menjadikannya suatu tabiat. Membina sesuatu tabiat mengikut kajiannya memerlukan kita berfikir selama 21 hari tanpa henti tentang hasrat kita untuk membentuk suatu tabiat baru. Cara untuk melakukannya ialah dengan mencari peluang pada setiap hari untuk mengamalkan pemikiran berjaya.

Sepanjang hari, kepada diri kita sendiri ulanglah bisikan, "Aku adalah kejayaan. Apa juga yang aku cuba dan buat, aku akan berjaya sepenuhnya. Akulah kejayaan". Insya Allah, kita akan memperolehinya dan bergembira dengannya.


Tuesday, April 12, 2011

Jangan menunggu mood! Buat sekarang!

Di atas muka bumi Allah ini, kita hanya hidup sekali sahaja. TOleh itu setiap amalan harus dilakukan dengan bersungguh-sungguh kerana tiada siapa yang tahu bila kehidupan di alam fana ini akan berhenti.

Jangan selalu kita menunggu ada mood atau ada semangat untuk memulakan sesuatu perkata yang baik. Kita perlu menentukan mood kita sendiri. Bagaimana? Buatlah sesuatu, walaupun apa juga tribulasi menghalang. Ingatlah, inspirasi jarang mengerahkan amalan kita. Amalan kitalah yang sentiasa memberi isnpirasi.

Sekarang adalah masa yang terbaik untuk berbuat sesuatu demi masa depan. Jika kita menunggu masa terbaik untuk melakukannya , kita akan kecewa. Semua keputusan yang bersejarah, dibuat tanpa mendapat maklumat yang menyeluruh kerana sejarah sering tercipta tanpa menunggu inspirasi. Buatlah yang terbaik sekarang kerana hidup ini adalah perlumbaan!

Monday, April 11, 2011

Keluarlah dari zon kedamaian palsu

Kita sering bermimpi tentang sesuatu yang mustahil dicapai dalam dunia nyata ini. Itulah sebenarnya penghias tidur kita. Kita juga sering menaruh harapan yang tidak berpijak di bumi nyata. Tidak salah! Angan-angan dana harapan yang muluk-muluk tidak sunyi dari hidup kita.

Biarkan kerana ia tidak selamanya buruk jika ia boleh mendorong kita untuk berfikir mencari jalan yang realistik bagi mencapai sesuatu yang masuk akal.

Soalnya bolehkah dan bilakah kita mahu berusaha memulai langkah ke arah hal-hal yang seperti itu?

Mulakan sekarang! Usaha adalah kunci kejayaan. Ciptalah harapan secara kreatif. Jangan hanya asyik bertumpu kepada mimpi atau angan-angan yang sekadar meletakkan diri kita dalam zon kedamaian palsu sehingga tidak membuat apa-apa.