Tuesday, March 22, 2011

Cita-cita atau matlamat

Kesibukan semenjak hari pertama sesi kedua persekolahan penggal ini menjadi ruang tertutup untuk menghantar entry baru ke blog ini. Namun waktu ini ada terbuka sedikit ruang kesibukan itu untuk menulis. Kali ini saya akan menulis ringkas tentang cita-cita dan matlamat.

Hidup kita adalah diibaratkan sebagai sebuah perahu yang bergerak di air, ada destinasinya. Ada persiapan yang harus kita lakukan sebelum pelayaran, dan ada persiapan semasa dalam pelayaran kerana kita harus menjangkakan bermacam-macam cubaan kemungkinan melanda. Keselamatan dan jangka masa untuk sampai ke destinasi, sangat bergantung kepada pelbagai faktor termasuk kecekapan mengendalikan perahu.

Begitu juga dengan kehidupan kita sebagai manusia, mesti mempunyai cita-cita. Tanpa cita-cita hidup kita tidak ubah seperti buih atau sampah yang hanyut dibawa air tanpa haluan yang jelas dan nyata. Pendek kata, cita-cita kita adalah inspirasi perjuangan kita. Cita-cita kita ialah kekuatan kita, menjadikan kita optimis, jiwa kebal dalam menempuh rintangan, bersemangat kental dan hati berwaspada. Cita-cita membezakan kita antara orang yang berjaya dan orang yang sesat lagi pendusta, orang yang bersungguh lagi serius dengan orang yang hanya hangat-hangat tahi ayam!

Sunday, March 20, 2011

Hati-hati... jangan alpa dan leka

Impian, cita-cita, dedikasi dan sebagainya lancar disebut. Anehnya jarang orang yang menterjemahkannya menjadi realiti, menjadi budaya hidup sehari-hari. Ramai di antara kita yang sedar bahawa dalam kehidupan kita ini penuh dengan peluang tetapi tidak ramai yang sedar bahawa peluang itu mesti diperolehi dengan keperitan yang bukan sedikit.

Ada yang sanggup bertarung dengan pelbagai usaha yang tidak pernah putus asa dan tidak pernah lupa memanjatkan doa memohon agar segalanya akan berlangsung dengan baik dan akan tercapai kejayaan yang dihasratkan.

Namun sebaliknya ramai juga yang leka dan lena. Disangka kealpaan itu satu nikmat, pada hal ia adalah satu laknat. Syaitan menghias fikiran mereka .


Saturday, March 19, 2011

Usahakan perancangan

Kita mesti hidup bertujuan, mengguna seluruh kuasa imajinasi kita untuk menghasilkan rancangan-rancangan yang baik dan emosi yang hangat dan berkobar-kobar dalam merintis kejayaan. Kejayaan bukan satu anugerah yang datang begitu sahaja. Kejayaan adalah hasil penat lelah dan pejuangan yang tak kenal erti undur.

Kejayaan tidak akan dimiliki oleh 2 jenis manusia iaitu yang malas merancang dan yang banyak beralasan.

Orang yang mencuba tetapi gagal adalah orang yang sedang mendaki tangga kejayaan. Jika terus mencuba, lambat laun akan beroleh kejayaan! Yang penting mulakan sekarang.

Ingatlah bahawa kelmarin sudah berlalu, esok masih belum pasti, hari ini peluang masih ada!


Friday, March 18, 2011

Kita hanya ada dua pilihan dalam hidup ini...

Realitinya, kita hanya ada dua pilihan dalam hidup ini. Pertama, terus bergerak ke hadapan dengan tujuan hidup yang jelas, dan kedua, terus membiarkan suasana dan bahana kehidupan menghanyutkan kita tanpa haluan.

Hanyut ialah kelalaian mental yang membuatkan kita membiarkan sahaja peluang demi peluang yang melintas di hadapan mata. Penyakit hanyut ini hanya boleh diberhentikan dengan memahami kepentingan masa dan tujuan hidup yang jelas dan tegas. Bila sikap hanyut dapat dihentikan, bermakna, seolah-olah kita dilahirkan semula dan memulakan hidup kita pada pangkal yang baru sebagai manusia baru!

Kita mesti benar-benar yakin bahawa tiada sesuatu tanpa sesuatu. Lebih-lebih lagi yang berharga, ia mesti dibayar atau dipertukarkan dengan yang bernilai. Tiada yang percuma.

Thursday, March 17, 2011

Tak usah undang kegagalan...teruskan usaha!

Seorang yang ingin berjaya dengan cemerlang, mesti membentuk suatu peribadi dan watak yang sesuai dengan aspirasi dan alam perjuangannya. Kita mesti mengubah keadaan malah kalau perlu cipta satu keadaan serta menguasai keadaan itu.

Andainya sesuatu perancangan atau usaha kita tidak mendatangkan hasil yang dikehendaki, kita hendaklah memikir dan mengguna perancangan baru. Setidak-tidakya mengenalpasti kelemahan perancangan yang sedia ada dan memperbaikinya, atau perancangan mungkin sudah betul tetapi usaha yang lebih diperlukan.

Rebah dalam perjuangan mencapai impian hidup hanya sementara. Seseorang itu tidak sepatutnya kecewa sehinggalah dia sendiri mengaku bahawa dia sudah menjadi seorang yang kecewa. Dia sudah tidak nampak kesempatan yang dikurniakan Allah SWT. Dia sudah tidak mahu berikhtiar lagi untuk mengubah nasibnya. Maka dia adalah seorang yang kerdil, pengecut dan tidak berjiwa besar....dia sedang mengundang kekalahan!

Wednesday, March 16, 2011

Kemiskinan motivasi kejayaan

Kemiskinan bukan penghalang tetapi satu motivasi ke arah kejayaan. Kemiskinan bukan satu suratan takdir yang tidak boleh diubah, tetapi suatu yang harus diinsafi dan seterusnya diperangi untuk tidak menggagalkan cita-cita mencapai impian.

Ingatlah keinginan mahu mencapai impian hidup bukan sahaja untuk terus hidup tetapi juga untuk memenuhi keperluan psikologi yang asas, iaitu melakukan satu aktiviti yang bererti dalam hidup kita, yang akan menolong kita mencapai sesuatu yang sangat kita sukai dan sentiasa tunggu-tunggu, iaitu kejayaan yang cemerlang.

Renungilah persoalan-persoalan di bawah ini dengan penuh penghayatan:

1. Apabila sesuatu tidak betul berlaku dalam hidup, kita mestilah meninjau dan mengkaji sebab-sebab kesilapan itu berlaku dan belajar daripadanya. Jangan menerimanya begitu sahaja dengan menyalahkan kepada nasib.

2. Apabila sesuatu yang baik berlaku, kita patut menginsafi bahawa ia adalah adalah hasil usaha kita sendiri, bukan kerana nasib.

3. Orang tua sering berkata, " dalam setiap mendung ada terkandung kebaikan," hanya benar jika kita bersedia untuk berusaha mendapatkannya.

4. Bahawa tiada manusia dilahirkan sentiasa beruntung tetapi sebalikya, setiap orang mesti berusaha untuk mendapat kejayaan dan kesenangan.

5. Katakan kepada diri, bahawa aku juga sama yakin dan sama peluang dengan orang lain bagi mencapai apa yang dihajati.

6. Sebelum tidur di malam hari atau apabila bangun dari tidur setiap pagi, fikirkan dan rancangkan apa yang "mesti" dan "harus" dilakukan dan bukannya memikirkan apa masalah yang akan dihadapi.

Tuesday, March 15, 2011

Berusaha setiap masa dan usia

Satu hal yang selalu menjadi sikap kita terutama kita yang sudah berumur ialah kita selalu merungut bahawa kita tidak ada masa dan umur kita tidak mengizinkan lagi. Ini jelas satu sikap dan perlakuan yang salah dan merugikan.

Holmes seorang ahli falsafah Greek yang terkenal pernah berkata, " apabila kita mempunyai masa yang sedikit untuk sesuatu maka kita akan memberi perhatian yang lebih dan menggunakan masa dengan ekonomi. " Jadi kita dapat belajar dua kali lebih baik.

Sebenarnya konsep "muda" dan "tua" adalah relatif - ia lebih merupakan satu yang kualitatif daripada kuantitatif. Tidak ada alasan yang dapat diterima untuk berasa lebih berpeluang dengan umur muda dan takut tidak sempat dengan umur tua. Hakikat yang sebenarnya kita mesti cuba mendapatkan sebanyak-banyak kejayaan dalam setiap minit, hari, minggu dan tahun tanpa mempersoalkan umur dan masa yang kita punyai.