Monday, March 14, 2011

Belajar daripada kegagalan

Setiap orang pasti telah, sedang dan akan merasai kegagalan dan kejayaan dalam menjalani liku-liku hidupnya. Itulah lumrah hidup sebenarnya. Seseorang yang telah gagal sekali atau lebih bukanlah bererti akan gagal selamanya. Satu hakikat yang nyata, jika tetap tabah dan tidak mudah putus asa atau menyerah kalah, kejayaan pasti juga tersua.

Ramai di antara kita tidak sedar bahawa kegagalan adalah sebahagian daripada kehidupan kita. Sebenarnya setiap orang berhak untuk gagal dan kecewa, dan setiap orang juga berhak untuk berjaya. Kita mesti belajar daripada kenyataan hidup bahawa tidak seorang pun yang boleh menjadi baik dalam semua perkara. Harus juga disedari bahawa kita tidak boleh menang dalam setiap masa. Malah satu kemungkinan yang kadang-kadang perlu bagi kita, sebelum mengecap kejayaan, adalah untuk merasa nikmat atau hikmat daripada kegagalan dan kekalahan.

Kegagalan bukan satu yang menyeronokkan tetapi kegagalan boleh memberi kesan positif kepada usaha iktiar kita apabila kita belajar menggunakannya. Belajar daripada kegagalan.

Sunday, March 13, 2011

Teguhkan keazaman mencapai impian

Apakah yang sering bertahta di hati kita? Semangat, kesedaran dan kejituan perjuangan mencapai matlamat hidup? Atau kita masih memiliki hati yang lara? Menanti bulan jatuh ke riba ? Sedangkan orang sekeliling sudah berlari, kita masih terhegeh-hegeh tak ketahuan punca.

Orang yang teguh keazaman mencapai impian hidup, memiliki jiwa yang sanggup menghadapi dan mengharungi segala. Tidak mengenal ragu dan bimbang. Sanggup menempuh segala rintangan, hatta air mata segalanya.

Carilah ilmu. Carilah pengetahuan dan carilah pengalaman. Terokailah setiap buku dan khazanah ilmu di perpustakaan, di alam maya dan berdiskusi berguru. Jangan biarkan rasa malas membelenggu diri kerana ibnu Khaldun pernah berkata, "Apabila sifat malas telah memadamkan harapan, maka penghasilan akan kurang, kemahuan berusaha menjadi mundur, dan tidak lagi mampu membela diri kerana rasa kalah telah mematahkan semangat. Akhirnya menjadi mangsa..."


Saturday, March 12, 2011

Antara prinsip kejayaan

Kekecewaan dialami oleh semua orang. Kekecewaan ialah suatu keadaan dalam jiwa yang dirasakan apabila menemui kegagalan dalam usaha mencapai impian hidup. Jika rasa kecewa itu diterima sebagai suatu yang malang, maka ia benar-benar menjadikan kita kecewa dan seluruh kehidupan serta perilaku dan pemikiran kita akan tertakluk kepadanya.

Jika kekecewaan menakluki seluruh diri kita maka kita akan menjadi murung sepanjang kehidupan ini. Siapa yang akan kesian dan pedulikan kita kalau kita kecewa? Tiada, kerana semua orang sibuk dan bersemangat berusaha.

Sebaliknya jika rasa kecewa itu diterima sebagai satu pengajaran ia akan memberi satu pengalaman yang amat berharga dalam perancangan kita mencapai impian kita.

Ingatlah pengalaman amat mustahak dalam menangani kehidupan. Ia amat berbeza dengan ilmu yang didapati di bilik-bilik kuliah dan buku. Pengalaman hanya diperolehi oleh orang yang mengalaminya sahaja.

Banyak kejayaan dan kecemerlangan dicapai hasil dari kekecewaan kerana kekecewaan menutup satu babak perjalanan hidup dan membuka suatu lembaran baru, menghidupkan keazaman baru dan semangat baru untuk mencipta kecemerlangan yang diimpikan.

Friday, March 11, 2011

Jangan hidup dalam kebimbangan

Sebagai insan yang hidup di zaman yang penuh cabaran ini, kita tidak boleh hidup dengan angan-angan tanpa berusaha atau hidup dalam kebimbangan atau membazir masa. Pepatah orang Indonesia ada berkata:

Belanda mati kerana pangkat,
Cina mati kerana kekayaan,
India mati kerana makan,
Melayu mati kerana angan-angan.

Dalam adat berkawan kita mesti berhati-hati. Jika tersalah pilih, akan binasa kita. Orang tua-tua ada berkata:

Darihal seseorang tak usah kau tanya,
tetapi tanyailah siapa temannya,
sebab tiap-tiap teman adalah meniru temannya.

Kita harus meninggalkan tabiat yang tidak membawa kita kepada tercapainya matlamat dan impian hidup kita. Elakkan diri kita daripada terkena kiasan pepatah lama:

Awak dengan baju buruk awak,
gantungkanlah, ampaikanlah,
Awak dengan kelaku buruk awak,
tanggungkanlah, rasakanlah!

Ingat dalam mengejar impian murni hidup kita atau menebus kegagalan lalu, kita mesti "menjual diri" habis-habisan pada matlamat kita. Biarlah setiap perlakuan yang bercanggah dengan matlamat perjuangan kita, tidak dibeli lagi oleh kita.

Jika kita tergelincir sebelum ini, mestilah bertaubat. Kembali kepada kejujuran diri, sama di mulut, sama di hati. Jika terlalai, lekas insaf dan tinggallah kelalaian itu dengan usaha berlipat ganda demi mencapai impian kita. Kalau orang lain boleh, kenapa kita tidak boleh?

Thursday, March 10, 2011

Motivasi paling hebat

Di sebalik diri kita, terdapat memori dan kenangan peribadi yang sebenarnya membentuk diri dan perwatakan kita. Memori dan kenangan itu banyak memerikan bentuk kepada persepsi kita terhadap sesuatu. Lebih daripada itu penderitaan yang menimpa pada diri kita boleh menyebabkan kita menjadi lebih kuat, gagah dan tajam pemikiran.

Sedangkan pada asas logik, kesusahan, kepayahan dan penderitaan adalah penghalang kepada kejayaan kita, tetapi kesemua itu menjadi batu loncatan dan pemetik api yang menyalakan keghairahan hidup yang meluap-luap untuk menjadikan kita orang yang lebih baik.

Manakala kesenangan dan kemewahan hidup sebaliknya mampu menjadi halangan untuk kita menjadi lebih baik, jika kita cuai dan lalai dalam merancang dan mengusahakan impian hidup kita.

Thursday, March 03, 2011

Berfikir untuk mencapai matlamat

Gunakanlah masa dan aktiviti kita untuk memprogram diri serta minda bawah sedar kita agar kita sentiasa terarah sepenuhnya terhadap apa yang menjadi impian kita dan bukannya terhadap apa yang ingin kita hindari.

Bercakap dengan diri sendiri adalah salah satu cara untuk mengarahkan diri kita; sejak lahir hingga mati, tidur atau jaga, kita bercakap kepada diri sendiri pada kadar 500 hingga 800 perkataan seminit dan kita tidak pernah berhenti berbuat demikian. Malah ketika lena pun, kita tetapi bercakap kepada diri kita sendiri. Tetapi waspadalah mengenai apa yang kita cakapkan.

Bacalah mengenai apa yang kita inginkan, lihatlah apa yang kita inginkan, bayangkan apa yang kita inginkan, dan bayangkan yang diri kita memiliki apa yang kita inginkan itu.

Ingatlah, fikiran adalah kehidupan dan kehidupan itu sendiri adalah satu-satunya yang kita miliki dalam hidup ini. Hidup kita adalah hasil daripada apa yang kita fikirkan dan kita akan menjadi apa yang kita fikirkan. Insya Allah!


Tuesday, March 01, 2011

Untuk merasa bahagia dan gembira

Sebenarnya kita tidak perlu mengikuti latihan, belajar di sekolah, membaca buku atau mendapat kelulusan daripada sesiapa juga untuk merasa bahagia dan gembira. Sekarang ini pun kita boleh membuat keputusan untuk merasa bahagia. selagi kita menunggu orang lain untuk melakukan sesuatu atau melakukan sesuatu tindakan untuk menjadikan kita gembira bahagia maka kita akan sentiasa menemui kegagalan.

Merasa tegang dan murung merupakan tabiat manusia dan sepertimana yang dikatakan oleh William James, seorang ahli Psikologi: "Merasa tegang adalah suatu tabiat. Merasa tenang juga adalah satu tabiat. Tabiat boleh dibuang dan tabiat yang baik boleh dibentuk."

Maka kitalah yang bertanggungjawab terhadap pemikiran dan kehidupan kita manakala melalui azam dan bayangan minda, kita dengan mudah dapat mengubah rasa duka kepada rasa gembira.