Tuesday, August 17, 2010

Madrasah Ramadhan mengajar bersabar !


Hari ini nak berpantun je !

Mahu gugur, gugurlah nangka,
Jangan ditimpa si dahan pauh,
Hendak tidur rasanya mata,
Waktu berbuka masihlah jauh.

Tuailah padi antara masak,
Esok jangan layu-layuan,
Perut mula rasa menggelodak,
Biarkan dia jangan dilayan.

Bukan mudah menampi selasih,
Selasih sudah bercampur arang,
Bukan mudah menahan pedih,
Waktulah puasa masih panjang.

Ikan dituba diracun telaga,
Tumbuh onak subur di darat,
Orang berpuasa rasa dahaga,
Bersabar sahaja pasti berkat.

Anak enggang berkayu tinggi,
Patah ranting terbanglah ia
Amboi teruknya sampai begitu sekali,
Macam budak baru puasa pula dia.

Pucuk pauh delima batu,
Anak sembilang di tapak tangan,
Pengajaran hidup memang begitu,
Ajaran dari madrasah Ramadhan.

Pisang emas dibawa belayar,
Masak sebiji di atas peti,
Madrasah Ramadhan mengajar bersabar,
Supaya hidup penuh bererti.

Pulau Pandan jauh ke tengah,
Gunung Daik bercabang tiga,
Madrasah Ramadhan bulan barakah,
Rebut beribadah setiap ketika.

Begitulah adanya...pantun puasa !

Monday, August 16, 2010

16 tahun sudah jadi jutawan internet

CHRISTIAN OWENS menjadi jutawan dalam usia baru 16 tahun selepas memulakan perniagaan Internet dua tahun lalu.


NORTHAMPTON - Seorang remaja sekolah di Britain, Christian Owens mencipta sejarah apabila dia berjaya memperoleh kekayaan £1 juta (RM4.9 juta) dalam usia 16 tahun selepas memulakan perniagaannya dua tahun lalu, lapor sebuah akhbar semalam.

Dia yang berasal dari Corby, Northamptonshire di sini mula menjalankan bisnes dengan duit poket sendiri pada usia 14 tahun apabila melancarkan laman web Mac Box Bundle yang menjana perolehan £700,000 (RM3.5 juta).

Owens kemudian menubuhkan syarikat iklan menerusi Internet, Branchr pada 2009 yang memperoleh £500,000 (RM2.5 juta) tahun lalu dan kini turut dilanggani firma bidaan ternama, William Hill serta laman sosial MySpace.

Walaupun sibuk, dia hanya aktif selepas waktu persekolahan dan hari hujung minggu namun Owens kini mampu menggaji lapan pekerja, semuanya orang dewasa serta merancang membuka dua cawangan tahun depan.

Dia yang kini tinggal bersama bapanya yang merupakan pekerja kilang, Julian, 50, dan ibunya, Alison, 43, setiausaha sebuah syarikat, mendapat idea menjadi jutawan muda daripada kisah kejayaan Ketua Eksekutif Apple, Steve Jobs. - Agensi


Friday, August 13, 2010

Berbuka puasa ...

Berpuasa bukan asyik makan. Tapi berbuka kena makan. Semalam....berbuka dengan jemput pisang je!

Thursday, August 12, 2010

Ramadhan Kareem


Firman Allah dalam surah Al-Baqarah ayat 183:

"Wahai orang-orang yang beriman! Kamu diwajibkan berpuasa sebagaimana yang diwajibkan atas orang-orang yang dahulu daripada kamu, supaya kamu bertaqwa.

Hadith rasulullah SAW:

"Pada malam pertama bulan Ramadhan diikatlah semua syaitan dan jin dan ditutuplah semua pintu-pintu neraka dan tidak dibuka satu pintupun darinya. Dan dibukakanlah pintu-pintu syurga dan tidaklah ditutup satupun darinya. Maka berserulah penyeru; Wahai orang yang melakukan kebaikan hampirlah kamu, wahai orang yang melakukan kejahatan undurlah kamu. Dan sesungguhnya Allah mempunyai ahli neraka yang dibebaskan dan yang sedemikian itu berlaku pada setiap malam (Ramadhan).

(Riwayat At-Tarmizi dan Ibnu Majah dari Abu Hurairah r.a)

Sesungguhnya bulan Ramadhan adalah bulan yang setiap tahun dinantikan ketibaannya oleh setiap umat Islam. Ramadhan ialah bulan yang mulia dan memberikan terlalu banyak manfaat, faedah, fadhilat dan masa depan yang cerah bagi mereka yang menghayatinya.

Bersyukur kita !

Wednesday, August 11, 2010

Amalan-amalan di bulan Ramadhan Kareem


Amalan-amalan di bulan Ramadhan

1) Mengucapkan Selamat Menyambut Bulan Ramadhan
2) Menempah pakaian untuk Ramadhan
4) Hendak tidur bacalah 4 ayat terakhir Surah Al Kahfi(ayat 107-110) supaya dapat bangun malam
5) Berazam melakukan Terawih dan jangan tinggal solat witir.
6) Bertadarus secara bersemak (bukan sendirian)
7) Solat berjemaah setiap waktu
8) Solat jemaah di masjid/surau
9) Amalkan Qiyamulail walaupun pendek
10) Sahur diwaktu akhir
11) Sahur - utk mengelakkan makanan tidak hadam elakkan makanan pedas dan tutup sahur dengan air susu
12) Mandi Janabat sebelum Imsak
13) Kurangkan tidur
14) Tunaikan Solat sunat fajar (Solat Sunat Subuh)
15) Tunaikan Solat Dhuha
16) Tidur waktu cuti (satu jam sebelum Zohor)
17) Tunaikan solat Rawatib
18) Jaga pacaindera
19) Elakkan gosok gigi pd waktu petang
20) Hadiri majlis ilmu
21) Buat baik kepada ibubapa
22) Isteri hendaklah taat kepada suami
23) Banyakkan bersedekah
24) Berbuka dgn 3 biji kurma dan air yg belum dipanaskan oleh api
25) Berbuka bersama orang tua
26) Jemput tetamu berbuka
27) Kurangkan berat badan
28) Banyakkan i’tikaf di masjid (lelaki sahaja)
29) Baiki hubungan suami isteri
30) Baiki hubungan jiran
31) Isteri jauhi daripada keluar memakai mekap dan perhiasan
32) Elakkan berbelanja berlebihan
33) Kuatkan kesabaran
34) Banyakkan selawat, istighfar , bertasbih
35) Berazam beramal (pada malam Lailatul Qadar)
36) Mengejut anak dan isteri di mlm Lailatul Qadar
37) Elakkan menonton TV yang mengandungi nafsu
38) Elakkan mendengar radio berunsur hiburan
39) Berdoa dengan nada lembut dan merayu
40) Jauhkan bercumbu dgn suami/isteri
41) Mendoakan ibu bapa sama ada hidup atau yang telah meninggal dunia
42) Melazimkan solat di awal waktu
43) Elakkan sebelum berbuka bersiar-siar yang menjadikan pandangan liar
44) Elakkan banyak berhutang
45) Melepaskan perasaan sedih melepaskan Ramadhan ditakuti tidak bertemu lagi dengan Ramadhan akan datang
46) Tunaikan zakat fitrah

Wallahu Aklam.

Tuesday, August 10, 2010

Guru oh guru !

Menonton sejenak youtube seorang pelajar sekolah di Sarawak bertengkar dan menumbuk gurunya, hati aku terasa cukup pilu. Simpati aku kepada rakan sejawat guruku itu begitu sekali terasa walaupun banyak NGO terutamanya Presiden Gabungan PIBG Malaysia menyalahkan guru.Justify Full
Begitulah nasib seorang guru. Orang melihat guru sekarang sudah bergaji besar sahaja tanpa melihat guru berkerja 24 jam sehari untuk menjaga, mengawal dan mendidik anak orang lain. Kalau mengikut undang-undang buruh sedunia memang telah lama guru-guru terpaksa tolak tepi undang-undang itu. Bayangkan suatu waktu dulu, pukul 1.30 pagi aku dikejut untuk bergegas ke asrama kerana ada pelajar sakit tenat. Perjalanan ke asrama sejauh 30 km meter dengan keselamatan guru sendiri tidak terjamin, guru meredah segala.

Rakan sejawat aku di Sarawak itu pasti berniat ikhlas untuk mendidik dan mendisiplinkan anak bangsanya, kalau tidak masakan sanggup dia berkhidmat di Sarawak. Bayangkan Timbalan Menteri Pelajaran pun hampir mahu pengsan untuk sampai ke lokasi guru yang bertugas nun jauh di pedalaman, namun setiap tinadakan guru tetap menjadi bahan kritikan seolah-olah pelajar yang melawan guru tu sentiasa benar dan perlu ditatang minyak yang penuh.

Aku pernah melihat seorang sahabat guru yang begitu lemah lembut dengan para pelajarnya tetap menjadi bahan 'menganjing' anak muridnya baik di luar sekolah, dalam kawasan sekolah apatah lagi di dalam lekas. Setiap arahan guru tidak diendahkan malah guru hanya mendapat ejekan dan gelak ketawa pelajar. Tak dapat aku bayangkan jika sekiranya guru yang baik ini merotan budak ini, sudah pasti guru yang puas dipermainkan oleh budak itu dipersalahkan.

Bagaimana guru yang berdepan dengan pelajar di Sarawak itu kalau dia merotan pelajar yang kurang ajar itu? Sudah pasti guru ini akan dicemuh kerana perangai seorang murid yang biadap dan kurang ajar. Pelajar akan terus semakin biadap kepada guru-guru kerana mereka tahu puak-puak yang bercakap banyak dan hanya tahu memberi cadangan itu tetap tidak buat apa-apa seperti apa yang buat di sekolah.

Monday, August 02, 2010

Kita gagal sebenarnya !!!!!


Sehari dua ini Buletin Utama TV3 memaparkan kisah remaja terlampau. Kalau tidak silap apa yang aku dengar, seorang remaja itu memberi tahu wartawan yang menemuramahnya, bahawa semasa dia bersekolah di tingkatan 4 dan 5 telah melakukan hubungan seks dengan 20 hingga 30 orang lelaki? Masya Allah....!!!

Yang seorang lagi pula memberitahu puncanya ialah bahan porno dari internet. Download dari internet masuk ke telefon bimbit maka merebaklah gambar-gambar lucah itu secara bluetooth dari satu telefon bimbit ke satu telefon bimbit. Tengok ramai-ramai dan selepas itu buatlah kerja-kerja tak senonoh yang menjahanamkan itu!

Aku juga terdengar rungutan dan ada cadangan yang dikutip oleh wartawan TV3, agak-agak bagaimanalah hendak di atasi masalah ini. Dalam penganjuran Kempen Prihatin, masih ada bayi-bayi yang dibuang, dicampak ke serata tempat dan dihurung-gigit oleh semut merah ke seluruh anggota. Entah-entah dah banyak juga yang dimakan anjing tak berkubur.... Siapa tahu!?

Rata-rata yang memberi pendapat menyalahkan ibubapa. Betul jugak...! Errmm...ibubapa !!

Tapi aku terfikir pula bagaimanalah anak-anak itu hendak pandai dikawal, kalau ibubapa sendiri buruk perangai dan akhlaq?

Ibubapa yang tidak solat subuh banyak mana di negara 1Malaysia kita ini. Bertimbun!! Bagi aku solat subuh satu solat wajib yang cukup tinggi darjatnya, satu solat yang merupakan ujian terhebat kepada manusia Islam, solat yang menjad penentu keimanan dan bertaqwaan atau tidak orang Islam pada hari itu, telah menjadi begitu jauh dengan orang Islam dan jika begitu senarionya bagaimanakah ibubapa kepada anak-anak Islam itu mampu mendidik anak untuk berperangai mulia?

Satu lagi yang aku sering terfikir, ibubapa yang gagal itu siapakah yang membentuk mereka begitu? Acuan yang macam manakah yang membentuk mereka menjadi ibubapa begitu? Dan sistem pendidikan yang bagaimanakah yang menjadikan mereka ibubapa yang gagal begitu?

Maaf....kita gagal sebenarnya ! Gagal dalam melahirkan kemanusiaan!! Cadangan-cadangan kita yang terbaru pun tidak berorientasikan kepada kaedah membina kemanusiaan solehin! Mampukah membina sekolah untuk mengumpul gadis-gadis bunting menyelesaikan masalah? Sekurang-kurangnya buatlah cadangan yang munasabah: Perkasakan proses Islamisasi sistem pendidikan kita supaya kita mampu melahirkan ibubapa yang berkualiti untuk generasi akan datang . Jika tidak kita akan terus melahirkan ibubapa yang gagal itu sebagai warisan kita.