Friday, August 07, 2009

PM: H1N1 ancam negara, elak tempat awam

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berkata wabak influenza A (H1N1) kini telah menjadi ancaman serius kepada negara dan menasihati orang ramai supaya tidak menghadiri majlis perhimpunan di tempat-tempat awam.

Beliau meminta semua rakyat mengambil langkah pencegahan secara menyeluruh ekoran angka kematian H1N1 meningkat kepada 14 orang sehingga semalam dan banyak sekolah dan institusi pendidikan tinggi ditutup kerana terdapat kes jangkitan.

"Kalau (majlis) perhimpunan itu tidak perlu, tidak perlulah melainkan ada sesuatu mendesak. Tapi bila ada perhimpunan, kita akan tambah risiko kita kerana penyakit ini akan merebak," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Konvensyen Industri Sukan Malaysia di ibunegara hari ini, lapor Bernama.

Selain menangguhkan kegiatan di kawasan umum, Najib berkata langkah pencegahan daripada segi kebersihan boleh dilakukan seperti membasuh tangan dan memakai topeng terutama ketika berada atau hadir dalam majlis yang terbuka.

"Dari segi kesihatan kebersihan, kita hendaklah selalu mencuci tangan. Sebelum saya masuk tadi, saya telah cuci tangan sebab saya telah bersalaman dengan begitu ramai orang," kata Perdana Menteri.

"Kalau kita perlu memakai topeng, pakailah. Tidak ada apa-apa kerugian," katanya.


WS Rendra telah meninggal dunia.


WS Rendra adalah penyair Indonesia yang saya minati. Kini WS Rendra telah tiada lagi meninggalkan begitu banyak hasil karya yang bermutu dan sangat bemakna kepada manusia dan kemanusiaan.

Penyair terkemuka Indonesia WS Rendra, yang turut berpengaruh di Malaysia, meninggal dunia di sebuah hospital di Jakarta malam tadi setelah lebih sebulan dirawat kerana penyakit jantung.

Rendra, 74, yang juga dikenali 'Si Burung Merak' meninggal dunia pada 10.15 malam tadi dengan meninggalkan 11 orang anak daripada tiga isteri - dua daripadanya sudah diceraikan, lapor Bernama.

Setelah memeluk Islam pada Ogos 1970 ketika menikahi isteri keduanya Sitoresmi Prabuningrat, beliau menukar namanya menjadi Wahyu Sulaiman Rendra daripada nama asalnya Willibrodus Surendra Broto Renda.

Selain sajak-sajaknya, Rendra juga dikenali ramai di Malaysia melalui filem bertema agama yang dilakoninya Al Kautsar pada 1980-an.

Jenazah allahyarham dijadual dikebumikan selepas solat Jumaat di Bengkel Teater, Citayam, Depok dekat Jakarta, lapor agensi berita itu lagi.

Lokasi persemadian Rendra ini tidak jauh dari kubur sahabatnya Mbah Surip, penyanyi reggae yang mendadak popular di Indonesia dengan lagu "Tak Gendong" yang meninggal dunia Selasa lepas.

Rendra beberapa kali memperoleh anugerah dalam bidang sastera, antaranya Penghargaan Adam Malik pada 1989, SEA Write Award pada 1996 dan Penghargaan Achmad Bakri pada 2006.

Berikut catatan ringkas perjalanan hidup tokoh seniman ini seperti dimuatkan di Wikipedia:

Sebagai sasterawan

Bakat sastera Rendra sudah mulai terlihat ketika ia duduk di bangku sekolah. Saat itu beliau sudah mulai menunjukkan kemampuannya menulis puisi, cerita pendek dan drama untuk pelbagai kegiatan sekolahnya.

Bukan hanya menulis, beliau juga boleh berlakon di pentas. Rendra mementaskan beberapa dramanya, terutamanya tampil sebagai pembaca puisi yang sangat berbakat.

Pertama kali menerbitkan puisinya di media massa pada 1952 melalui majalah Siasat. Setelah itu, puisi-puisinya terus muncul di majalah waktu itu seperti Kisah, Seni, Basis, Konfrontasi, dan Siasat Baru sehingga dua dekad selepas itu, tahun 1960-an dan tahun 1970-an.

Kaki Palsu adalah drama pertamanya, dipentaskan ketika ia di sekolah dan Orang-Orang di Tikungan Jalan pula drama pertamanya yang mendapat penghargaan dan hadiah pertama dari Kantor Wilayah Jabatan Pendidikan dan Kebudayaan, Yogyakarta.

Penghargaan itu membuatnya sangat bersemangat untuk berkarya.

Prof A Teeuw dalam bukunya Sastra Indonesia Modern II (1989), berpendapat bahawa dalam sejarah kesusasteraan Indonesia, Rendra tidak termasuk dalam salah satu angkatan atau kelompok seperti Angkatan 45, Angkatan 60-an, atau Angkatan 70-an.

Daripada karya-karyanya, terlihat Rendra mempunyai keperibadian dan kebebasan tersendiri.

Karya-karyanya tidak hanya dikenali di republik itu tetapi juga di luar negeri. Banyak karyanya sudah diterjemahkan ke bahasa asing, antaranya bahasa Inggeris, Belanda, Jerman, Jepun dan India.

Beliau juga aktif mengikuti festival-festival di luar negeri, antaranya The Rotterdam International Poetry Festival (1971 dan 1979), The Valmiki International Poetry Festival, New Delhi (1985), Berliner Horizonte Festival, Berlin (1985), The First New York Festival Of the Arts (1988), Spoleto Festival, Melbourne, Vagarth World Poetry Festival, Bhopal (1989), World Poetry Festival, Kuala Lumpur (1992), dan Tokyo Festival (1995).

Pada 1961, sebaik sahaja pulang dari Amerika Syarikat, Rendra mendirikan kumpulan teater di Yogyakarta tetapi ia terhenti kerana kembali semula ke negara itu.
Ketika pulang semula ke Indonesia (1968), budayawan itu membentuk kembali kumpulan dinamakan Bengkel Teater.

Bengkel Teater sangat terkenal di Indonesia dan memberi suasana baru dalam kehidupan teater di tanah air dan menjadi pangkalan kegiatan keseniannya.

Kontroversi 'Si Burung Merak'

Pada usia 24 tahun, Rendra bertemu cinta pertamanya dengan Sunarti Suwandi. Daripada wanita itu yang dikahwininya pada 1959, beliau mendapat lima anak: Teddy Satya Nugraha, Andreas Wahyu Wahyana, Daniel Seta, Samuel Musa dan Klara Sinta.

Seorang muridnya Bendoro Raden Ayu Sitoresmi Prabuningrat, puteri berketurunan istana Yogyakarta yang bergiat aktif di Bengkel Teater.

Tugas Jeng Sito, begitu panggilan Rendra kepadanya, pada awalnya antara lain menjaga empat anak Rendra-Sunarti tetapi kemudian bertukar cinta.

Ditemani Sunarti, Rendra melamar Sito untuk menjadi isteri kedua dan Sito menerimanya. Namun ayah wanita itu tidak mengizinkan anaknya, yang beragama Islam, berkahwin dengan seorang pemuda Katolik tetapi ia tidak menjadi halangan besar bagi Rendra.

Seniman itu mengucapkan dua kalimah syahadah pada hari perkawinannya dengan Sito, 12 Ogos 1970, dengan disaksikan dua lagi tokoh sastera republik itu penyair Taufiq Ismail dan pengkritik Ajip Rosidi.

Peristiwa itu mengundang reaksi sinis seperti Rendra masuk Islam hanya untuk berpoligami.

Menjawabnya, Rendra beralasan bahawa beliau sudah lama tertarik pada Islam, terutama sejak persiapan pementasan Kasidah Barzanji, beberapa bulan sebelum pernikahannya dengan Sito.

Beliau juga menjawab dengan lebih tegas: bagi Rendra, Islam memuaskan persoalan pokok yang menghantuinya selama ini tentang kemerdekaan individu sepenuhnya.

"Saya bisa langsung beribadah kepada Allah tanpa memerlukan pertolongan orang lain. Sehingga saya merasa hak individu saya dihargai," katanya sambil mengutip ayat al-Quran, yang menyatakan bahawa Allah lebih dekat daripada urat leher seseorang.

Bergelut dengan kontroversi kehidupan poligaminya, suatu ketika sewaktu melihat seekor burung merak berjalan bersama dua betinanya di sebuah zoo Yogyakarta, Rendra berseru sambil tertawa terbahak-bahak dan dilaporkan berkata "itu Rendra! Itu Rendra!"

Sejak itu jolokan 'Si Burung Merak' melekat padanya hingga kini. Bersama Sitoresmi, beliau mendapat empat anak: Yonas Salya, Sarah Drupadi, Naomi Srikandi dan Rachel Saraswati.

Tetapi Si Burung Merak tidak puas dengan dua pasangan dan menyunting pula Ken Zuraida, isteri ketiga yang memberinya dua anak: Isaias Sadewa dan Maryam Supraba.

Tapi pernikahan itu mencetuskan pergolakan yang berakhir dengan tindakan Rendra menceraikan Sitoresmi pada 1979, dan Sunarti dua tahun kemudian.

Senarai karya Rendra termasuklah drama dan puisi:

Drama
Orang-orang di Tikungan Jalan (1954)
Bip Bop Rambaterata (Teater Mini Kata)
SEKDA (1977)
Selamatan Anak Cucu Sulaiman
Mastodon dan Burung Kondor (1972)
Hamlet (terjemahan karya William Shakespeare)
Macbeth (terjemahan karya William Shakespeare)
Oedipus Sang Raja (terjemahan karya Sophokles)
Lisistrata (terjemahan)
Odipus di Kolonus (terjemahan karya Sophokles),
Antigone (terjemahan karya Sophokles),
Kasidah Barzanji
Perang Troya Tidak Akan Meletus (terjemahan karya Jean Giraudoux) Panembahan Reso (1986)
Kisah Perjuangan Suku Naga

Puisi
Balada Orang-Orang Tercinta (Kumpulan sajak)
Bersatulah Pelacur-Pelacur Kota Jakarta
Blues untuk Bonnie
Empat Kumpulan Sajak
Jangan Takut Ibu
Mencari Bapak
Nyanyian Angsa
Pamphleten van een Dichter
Perjuangan Suku Naga
Pesan Pencopet kepada Pacarnya
Potret Pembangunan Dalam Puisi
Rendra: Ballads and Blues Poem (terjemahan)
Rick dari Corona
Rumpun Alang-alang
Sajak Potret Keluarga
Sajak Rajawali
Sajak Seonggok Jagung
Sajak Seorang Tua tentang Bandung Lautan Api
State of Emergency
Surat Cinta


http://malaysiakini.com/

Thursday, August 06, 2009

10 jenis makanan antikolestrol

Oleh : Tok_Busu

1. SOYA
Kacang soya merupakan makanan popular yg diproses untk mendapatkan Kacang soya mengandungi 48% protein, lesitin, vitamin & zat galian.Ia juga Dpt. menghidarkan penyakit jantung & kencing manis. Kaya kalsium & Mineral yg membantu memecah lemak. Ia membantu menyusutkan kadar Lemak jahat (LDL) danmeningkatkan kadar lemak baik (HDL)

2. KUACI
Kuaci mempunyai kandunan zat besi. Pola pemakanan yg rendah dgn zat besi boleh menaikkan kadar kolestrol LDL sekali gus menghadkan kolestrol HDL. Mulakan pengambilan kuaci jenis tawar seperti dari jenis labu atau bunga matahari untuk menambah zat besi serta mengurangkan kolestrol.

3. BUAH KERING
Antar pelbagai jenis buah kering, limau kering adalah yg paling banyak mengandungi flavanoid. Pengambilannya mampu menyingkirkan lebihan lemak LDL sehingga dapat mengurangkan risiko sserangan jantung. Flavanoid juga boleh diperolehi dalam the, brokoli, tomato, bawang serta delima.

4. EPAL
Memakan sebiji epal @ meminum jusnya setiap hari cukup untuk membekalkan khasiat bagi mengurangkan kandungan kolestrol dalam badan. Kanak-kanak yg memakan makanan segera dankemudian memakan epal @ minum jusnya, sebenarnya menyimbangkan kandungan zat dan mencegah berlaku kemak dlm badan.

5. IKAN TUNA
Ikan Tuna termasuk sumber asid lemak omega-3 yg popular, selain salmon dan makarel. Omega-3 secara khusus melindungi tubuh daripada peningkatan kadar kolestrol LDL.

6. KACANG TANAH
Kacang tanah yg dipanggang mengandungi lemak sihat dan kaya dengan vitamin E. Ia boleh menghalang radikal bebas agar tidak merosakkan kolesterol LDL dan dapat menghindari tubuh daripada serangan jantung.

7. MANGGA
Vitamin C banyak terdapat dalam mangga. Sumber lain : belimbing, kedodong, betik, rambutan, strawberi dan kiwi. Vitamin C berupaya mencegah kolestrol LDL dlm tubuh.

8. KISMIS
Mengandungi sebatian yg mampu menurunkan kolestrol. Sesiap yg mengamalkan diet dgn 400 kalori kismis setiap hari boleh menurunkan kadar kolestrol dlm darah sebanyak 8%.

9. OAT
Lebih daripada kajian saintifik yg dijalankan telah menunjukkan bahawa pengambilan oat setiap pagi boleh menurunkan kolestrol dalam darah. Serat mudah larut dalam oat boleh mengurankan risiko penyakit jantung sekiranya dijadikan sebahagian diet rendah lemak & kolestrol anda.

10. JAMBU BATU
Ia mampu menurunkan paras kolestrol dalam badan sebanyak 18.8%. Disyorkan mengambilnya setiap hari dalam jumlah mencukupi bagi memastikan khasiatnya bertindak balas kepada tubuh. Jumlah yg disyorkan ialah 400gm sehari, iaitu sebiji setengah selama empat minggu. Bagi mereka yang ingin menurunkan berat badan tanpa melupakan diet seimbang, jambu batu adalah pilihan yg sesuai.


Sumber maklumat :


http://idhamlim.blogspot.com/




Tuesday, August 04, 2009

Anak-anak muridku : Macam-macam !!

Seronok menjadi cikgu ni ! Macam-macam hal dan perangai anak murid kita yang kita tahu. Mentang-mentang kita cikgu, macam hal juga yang diadukan kepada kita. Layan ajelah, kepada siapa lagi mereka hendak mengadu...mak jauh....ayah jauh....! Cikgulah tempatnya !

i)

"Sir...sir...minggu lepas, masa study malam saya nampak hantu!", beritahu Omar Qayyum (Pelajar Tingkatan 1) kepada saya dengan nada macam-macam hendak menakutkan saya.

"Heh...Hantu apa pulak. Mana ada hantu! Awak ni !" sergah saya.

"Ada sir....saya nampak. Warna putih. Dia berdiri atas katil tapi muka tak nampak. Dia tengok saya. Huhuuuu....saya lari sir!" cerita Omar lagi.

"Itu bukan hantulah, itu Shafiq!".

"Aik...Shafiq ke ?" Omar terkejut sambil garu-garu kepala.

ii)

"Sir...semalamkan kami nampak satu lembaga hitam masuk bilik .............", cerita dua orang pelajar Tingkatan Enam kepada saya. " Takut betul kami waktu tu sir".

"Pukul berapa kamu nampak tu ?" tanya saya.

"Lebih kurang pukul 9 malam" jawab Siti.

"Hah....lembaga hitam apa, kan tu pak cik jaga. Pak cik jaga kan hitam", jawab saya.

"Sir biar betul ! " jawab mereka tak puas hati.

iii)

"Sir malam tadi saya rasa ada orang picit-picit tangan saya. Saya tak tau siapa", adu Salmah pelajar Tingkatan 6.

" Bila saya tersedar saya tanya kawan sebelah saya, siapa picit-picit tangan saya, dia orang kata " elok sikit ya....sapa nak picit tangan hang!".

"Tak apa, tu hang mimpi aje Salmah. Hang mimpi orang picit tangan hang." kata saya kepada Salmah.

'Dok aih, memang ada oghang picit, tak mimpi lah sir," Salmah cuba meyakinkan saya.

"Hang mimpii!!!" kata saya sambil berlalu pergi.

iiii)

"Sir semalam saya tak tahu saya bercakap dengan siapa," kata Soleh seorang pelajar Tingkatan 5.

"Kenapa?" tanya saya

" Semalam dalam pukul 4 pagi saya rasa panas dan rimas, tak boleh tidur. Saya bangun dan duduk atas katil. Kat sebelah ada juga seorang lagi yang duduk macam saya. Dia tanya saya kenapa tak tidur? Saya jawab, tak boleh tidur, panas! Dia bagi tahu saya, tak apa panas sekejap je...tidurlah!", cerita Soleh bersungguh-sungguh.

"Bila bangun pagi baru saya terfikir , pagi hari tu saya bercakap dengan siapa? Saya tak kenalah orang tu sir!" kata Soleh lagi.

Saya tanya Soleh lelaki atau perempuan.

"Lelaki" jawab soleh.

"Hah...itu Jin Samsuddin" gurau saya (maaf Datuk Jin Samsuddin)

"Sir ni merepeklah, kalau Jin Samsuddin saya kejut semua kawan-kawan " jawab Soleh.

Macam-macam !!

Monday, August 03, 2009

Seorang guru bukan hanya seorang pengajar....

Tugas seorang guru bukan sahaja mengajar:

Saya ni hidup susah cikgu. Kais pagi makan pagi kais petang makan petang. Begitulah ibaratnya. Nak tanggung anak 5 orang bukan senang cikgu dalam keadaan ayahnya yang berambus entah ke mana.


"Tak tahu ke ayahnya kemana ?', tanya saya.

Ke mana lagi kalau tak kerana gila betina lain. Dia bukan ambil tahu makan minum anak dan sekolah anak. Semuanya saya. Saya dah bercerai dengan dia cikgu taoi kalau berceraipun ambillah tahu anak-anak ni. Anak-anak dia juga. Inilah orang jantan !

Termenung saya memikirkan hentakkan kata yang menggegar wibawa saya. Mujur saya bukan jantan! Aku adalah lelaki sejati, jerkah hati ini !

Ini lagi satu masalah cikgu, anak bungsu saya baru tingkatan 3 tapi tak tahulah saya apa nak jadi. Saya nasihat dia tak dengar, dia melawan pulak tu. Habis semua orang dalam rumah ini dia lawan. Duduk di rumah dia bukan bergaul dengan adik beradik, dia hanya memencil dan memerap dalam bilik sepanjang hari. Malam-malam dia keluar entah ke mana saya tak tahu. Saya bimbang cikgu apa-apa berlaku kepada anak saya. Pergaulan dia tidak terkawal cikgu ! Belajar pulak tu bodoh cikgu!

Allah...tersentak saya dengan kecaman bodohnya kepada anaknya sendiri.

Apa saya nak buat cikgu!

Saya menggaru kepala tidak gatal memikirkan jawapan kepada soalan yang dihalakan kepada saya. Anak sulongnya (bekas pelajar saya) yang ada disebelahnya hanya tunduk dan sekali-sekala memandang ke arah saya. Mungkin menunggu jawapan hikmat dari saya.

Kak, mulai hari ini kak jangan lagi kecam dia. Kurangkan berleter tetapi banyakkan mendidik dan membimbing. Banyakkan bersembang dengan dia. Layan percakapan dia. Kawal dia dengan memahami jiwa dia tetapi akak mesti tegas. Yang penting dalam usaha akak itu akak mesti bersabar. Sabar sungguh-sungguh.

Akhirnya dan paling penting akak mesti berdoa setiap kali selepas solat memohon kepada Allah agar anak akak itu menjadi anak yang soleh. Insya Allah, Allah makbulkan kerana doa ibu sangat mustajab. Cubalah!

Cakap senang cikgu tapi nak buat tu payah. Tak apalah cikgu, terima kasih ajelah. Saya akan cuba cadangan cikgu tu. Kita orang minta diri dululah cikgu.

Sambil berlalu saya lihat akak itu macam tak puas hati dengan jawapan saya. Terfikir oleh saya jawapan macam mana lagi yang boleh saya berikan ? Saya nak kata apa lagi ?

Sunday, August 02, 2009

Perkasakan pendidikan agama


Semakin negara bergerak menuju apa yang dikatakan kemodenan dan kemajuan, semakin besar cabaran dan implikasi kepada kualiti kemanusiaan. Saban hari kualiti kemanusiaan kelihatannya semakin terhakis dalam masyarakat.

Para pelajar sekolah dan institusi pendidikan yang lebih tinggi, yang merupakan bakal peneraju kepimpinan negara sering kedengaran dan kelihatan berlegar dalam suasana yang tidak membantu mereka ke arah pembentukan jati diri yang berkualiti.

Saya pernah bersembang dengan seorang pemuda bekas lepasan universiti tempatan yang menginap sebilik dengan saya pada suatu kursus. Pemuda yang masih muda belia ini yang merupakan seorang eksekutif bank di Kuala Lumpur, yang bekerja di bahagian saham luar negara menceritakan kepada saya bahawa setiap hari beliau pergi kerja pukul 3 petang dan tamat kerja pukul 12.00 malam. Selepas pukul 12 malam beliau tidak terus balik ke rumah kerana beliau akan menggunakan waktu selepas kerja untuk lepak-lepak dan makan-makan dengan girlfriend.

Katanya, " Saya biasanya balik rumah lebih kurang pukul 3 pagi dan hari-hari saya bangun tidur antara pukul 10 atau 11 pagi".

Sepanjang menginap bersama satu bilik dengan pemuda melayu ini saya tidak pernah melihat dia bersembahyang kecuali pada hari mula-mula sampai, solat asar. Setiap subuh saya kejut dia bersembahyang dan ke kuliah subuh jawapannya dalam selimut, " abang pegi dulu lah, saya ngantuk lagilah ". Masya Allah. Kalau inilah kualiti generasi muda kita, bagaimanakah bentuk generasi akan datang ?

Lebih parah berlaku kepada anak-anak muda itu diri kalangan mereka yang tidak bersekolah lagi. Apakah institusi yang mampu mendidik dan membentuk mereka ? Mereka kelihatan terbiar dan tidak diambil tahu. Akhirnya mereka ini membentuk 'institusi' mereka sendiri;Institusi geng lepak. Institusi geng lepak ini hanya berpandukan modul bebas berasaskan nafsu semata-mata.

Baru-baru ini telah terdedah di Kuala Trengganu para pelajar Tahun 5 menyalahgunakan e-book projek komputer mini dengan memuat turun lagu-lagu Michael Jackson dan juga mengakseskan internet untuk copy dan simpan gambar dan video lucah. Pelajar Tahun 5 !!

Bayangkan kerajaan Trengganu berbelanja RM 35 juta dengan membekalkan komputer mini (e-book) kepada 25000 pelajar telah disalahgunakan. Walaupun penyalahgunaan ini hanya oleh sebilangan kecil pelajar, tetapi ia memberi kesan yang besar kepada pembentukan generasi berkualiti.

Kesimpulan yang wajar adalah, pihak yang bertanggungjawab perlu meletakkan secara serius dan bersungguh-sungguh, pendidikan keagamaan sebagai senjata ampuh ke arah pembentukan manusia berkualiti, yang berkemanusiaan. Tanpa pendidikan Islam diperkasakan dalam semua bidang dan keadaan kita akan melihat keruntuhan tamadun sedikit demi sedikit.


Saturday, August 01, 2009

Hingga 28,000 di M'sia mungkin mati akibat H1N1

Membaca artikel dari http://malaysiakini.com/news/109727 ini, rupa-rupanya ramai yang dianggarkan akan mati kerana selesema babi ini. Sudah pasti rakyat Malaysia akan gerun dengan anggaran yang sebegini besar kerana kini semua orang merasakan virus ini bagaikan alien yang berada di mana-mana.

Persoalannya cukupkah sudah tindakan kerajaan dalam memastikan rakyat jelata bebas dari virus H1N1 ini ?

Dari Malaysiakini:

Hingga 28,000 di M'sia mungkin mati akibat H1N1

"Dianggarkan 5,500 hingga 28,000 rakyat Malaysia akan mati dalam wabak selesema A (H1N1) jika 20 peratus daripada 27.7 juta penduduk negara ini dijangkiti virus tersebut.

"Daripada angka ini (5.5 juta orang dijangkiti), jika kita anggarkan kadar kematian antara 0.1 hingga 0.5 peratus, kira-kira 5,500 hingga 28,000 penghidap selesema itu akan meninggal dunia," kata presiden Persatuan Perubatan Malaysia (MMA).

Dr David KL Quek memetik unjuran yang dibuat pengarah penyakit berjangkit Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) Dr Tee Ah Sian dalam satu mesyuarat pasukan kebangsaan petugas khas menangani wabak itu, pada awal minggu ini.

Dalam perkembangan terkini, kadar kematian di seluruh dunia meningkat daripada 0.4 kepada 0.66 peratus.

Dr Quek mendedahkan maklumat itu dalam artikelnya "Flu measures: Confusion rather than non-compliance" yang diedarkan kepada beberapa media semalam. [Baca artikel penuh]




Beliau juga menekankan kerjasama erat antara Kementerian Kesihatan, hospital, doktor di pusat kesihatan swasta dan orang ramai agar wabak ini dapat dikekang secara lebih berkesan.

Dr Quek juga menegaskan kepada semua pihak, termasuk media, agar tidak menuding jari kepada pengamal perubatan swasta atau beberapa pihak lain atas beberapa perkembangan terkini wabak itu.


Dalam perkembangan berkaitan, Menteri Kesihatan Datuk Seri Liow Tiong Lai berkata 10 peratus simpanan stok ubatan anti-virus 'Tamiflu' dan 'Relenza' buat masa ini tidak cukup memandangkan penularan ketara penyakit berjangkit itu.

Kerajaan akan memesan lagi bekalan ubat itu daripada WHO
bagi memastikan negara mempunyai bekalan ubat itu pada setiap masa bagi membendung wabak influenza A(H1N1), lapor Bernama.

"Melihat kepada trend penularan wabak itu yang semakin meningkat, kita perlu memesan ubat itu daripada WHO," beliau dipetik berkata selepas menghadiri Konvensyen MCA Pulau Pinang hari ini.

Tambahnya, kementerian turut menempah 200,000 dos vaksin influenza A (H1N1) dan dijangka mendapat bekalan itu menjelang akhir tahun ini.

Katanya tempahan tersebut terpaksa dilakukan awal kerana prosedur menguji ubat itu mengambil masa sebelum dapat diberikan kepada pesakit.

Sementara itu, lapor agensi berita itu lagi, Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Mohd Ismail Merican berkata 19 kes baru H1N1 dilaporkan hari ini dan kesemuanya melibatkan rakyat Malaysia.

Jumlah terkumpul 1,390 kes, termasuk 816 kes atau 59 peratus melibatkan jangkitan tempatan.

"Daripada keseluruhan, 1,362 kes (98 peratus) telah sembuh, hanya 17 kes atau satu peratus sahaja sedang menerima rawatan antivirus di hospital.

"Lapan daripadanya berada di unit rawatan rapi (ICU), manakala 11 orang sedang menerima rawatan antiviral di rumah," katanya