Tuesday, July 07, 2009

15 maksiat yang mengundang bala Allah


Daripada Ali bin Abi Thalib r.a.; Rasulullah saw bersabda, " Apabila umatku telah membuat lima belas perkara maka bala pasti akan turun kepada mereka iaitu :

1. apabila harta negara hanya beredar pada orang-orang tertentu
2. amanah dijadikan suatu sumber keuntungan

3. zakat dijadikan hutang

4. apabila suami memperturutkan kehendak isteri

5. anak derhaka terhadap ibunya;

6. sedangkan anak-anak berbaik-baik dengan kawannya

7. anak-anak suka menjauhkan diri daripada ayahnya

8. suara sudah ditinggikan di dalam masjid

9. yang menjadi ketua satu kaum adalah orang yang terhina di kalangan mereka

10. seseorang dimuliakan kerana ditakuti kejahatannya

11. khamar (arak) sudah diminum di merata tempat

12. kain sutera banyak dipakai (oleh kaum lelaki)

13. para artis-artis disanjung-sanjung

14. muzik banyak dimainkan

15. generasi akhir umat ini melaknat (menyalahkan) generasi pertama (sahabat)


Maka pada ketika itu hendaklah mereka menanti angin merah atau gempa bumi atau pun mereka akan dirobah menjadi makhluk lain.” (Hadith riwayat Tirmizi)
.

Sunday, July 05, 2009

Antara jasa dan kenangan kereta pertama

Assalamualaikum Li ! Itulah yang saya dengar berkali-kali. Kedengaran seperti orang sedang dalam kecemasan. Saya bingkas bangun sambil melihat jam dinding pukul 1.30 pagi, terus meluru ke pintu rumah.


Saya kenal suara itu. Dia adalah Azman (bukan nama sebenar). “ Li, aku nak minta tolong, aku nak bawa anak aku ke hospital, anak aku demam panas kuat !”, rayu Azman kepada saya. Tanpa berfikir panjang saya terus memberi kesanggupan dan minta sedikit masa untuk bersiap.


“Aku tunggu di rumah Li”, kata Azman sambil memecut motorsikal pulang ke rumahnya di seberang jalan.

Tanpa mengambil masa yang panjang saya terus memandu ke rumah Azman.


Sebaik sampai di rumah Azman, isteri Azman, Hasnah mendukung anak masuk ke tempat duduk belakang dan Azman duduk di seat depan sebelah saya. Sebaik saya hendak memulakan pemanduan, tiba-tiba “ Eh... nanti… nanti kejap li, surat beranak anak aku tertinggal ! ", Azman serta merta keluar meluru ke dalam rumahnya meninggalkan saya dan isteri serta anaknya dalam kegelapan malam.


Saya yang sedang duduk kaku di tempat pemanduan terkejut dan panik apabila Hasnah di belakang, tiba-tiba menjerit-jerit ‘ Eh apa ni cikgu sazili….apa ni….apa ni….apa niii !’.


Dalam keadaan panik saya serta merta keluar dari kereta. Hasnah pun keluar sambil merangkul anaknya dan mengibas-ngibas kain yang di pakainya.


Waktu itu saya tahu apa yang berlaku kepada Hasnah tetapi alangkah takutnya saya kalau-kalau si Azman yang berada di dalam rumah mendengar jeritan isterinya dan mengesyaki yang bukan-bukan. Lagi pucat muka saya kerana kenal ayah Azman seorang yang terkenal garang dan memiliki senapang patah.


"Tak ada apa Hasnah, lipas tu…lipas !!" jerit saya kepada Hasnah. Sambil menjerit memberitahu saya menjauhkan diri saya dari Hasnah. Azman yang agaknya menyedari apa yang sebenar-benar berlaku merungut kepada isterinya sebaik sampai di kereta. " Ahh…masuk…lipas pun takut", sergah Azman kepada Hasnah.


Sebaik Azman kata begitu alangkah leganya hati saya.


Dalam hati saya merungut " Wahai anak-anakku, kerana keropok yang kamu selalu makan, lipas-lipas bersarang dalam kereta ayah dan ayah cemas ditembak senapang patah!".


Saya berazam, esoknya saya akan membunuh dan membuang semua lipas-lipas yang bersarang dalam Datsun Tonggek saya ini ! Begitulah antara kenangan bersama kereta pertama, Datsun 120Y yang tidak mungkin saya lupakan .


Saturday, July 04, 2009

Dalam kilauan ini....

Tengahari hari Khamis itu, dari tingkat empat, sambil mengawasi para pelajar menjawab ujian ,saya memandang ke arah parkir kereta. Saya nampak di situ berjujukan kenderaan baru-baru seperti Honda Accord, Honda City, Wish, Proton Perdana, Hyundai Sonata, Pajero, Avanza, Inova, Nissan Latio, Waja, Viva, MyVi, Wira, Persona dan Exora. Semua kenderaan tersebut kepunyaan rakan sejawat.

Begitulah wajah kerjaya keguruan hari ini. Walaupun ramai yang masih baru menjadi guru, sudah mampu memiliki kenderaan hebat, baru dan mahal. Memang berbaloipun. Patutlah begitu ramai anak-anak muda yang memohon menjadi guru setiap tahun. Kerjaya ini semakin menarik minat ramai.

Sambil merenung ke arah bangsal pakir yang nun di bawah, terkenang saya zaman baru menjadi guru, tahun pertama dan kedua menjadi guru, berulang-alik ke sekolah menaiki motorsikal Honda C70 lampu bulat. Dan kawan-kawan guru yang lain ada juga memikili motorsikal Yamaha asap berbunga. Masuk tahun ketiga barulah merasa memandu, itupun Datsun 120y atau orang kampung panggil datsun tonggek dan datsun kotak. Kereta itu kalau sewa beli bayar RM120 sebulan. Yang secondhand lah..


Pada waktu itu kami yang mampu memiliki kereta biasanya beli yang secondhand sahaja. Petang-petang kami berlawan kilatkan Datsun tonggek, Datsun kotak, Toyota ke 30, agak canggih sedikit Toyota LE dan Nissan Sunny 1.3, sambil sakat menyakat sesama sendiri. Itu zaman saya mula menjadi guru.


Kalau zaman saya masih bersekolah dulu, saya ingat lagi ramai guru-guru saya pergi mengajar kayuh basikal tua! Guru Besar saya zaman sekolah rendah dulu, berjalan kaki je ke hulu ke hilir. Biasanya orang-orang kampung yang terjumpa di jalanan akan tumpangkan dia naik motorsikal. Mudah aje nampak hidup dia. Motorsikal popular pada waktu itu ialah Skuter dan ada seorang dua cikgu saya dulu-dulu bermotorsikal Norton yang bunyi meletup-letup. Dan waktu itu kalau ada kereta pula tentulah Peageot 404, Opel Kadet, Volkswegan kura-kura dan Fiat 124. Memang kereta-kereta tersebut menjadi perhatian ramai !

Begitulah kerjaya keguruan, kian berubah. Bergerak laju meninggalkan pengalaman lalu sebagai sejarah untuk dikenang. Dunia semakin maju dan mewah (mengikut nilai manusia) dalam pelbagai bidang tidak terkecuali bidang kerjaya mulia ini.


Namun demikian disebalik pendapatan guru-guru yang semakin besar dan kilauan kereta-kereta baru dan mahal itu, guru-guru setiap masa dan ketika dihadap dan diasak dengan 1001 hal yang perlu diselesaikan....hal-hal kecemerlangan akdemik, dasar-dasar pendidikan yang popular dan tidak popular, moral, ketamadunan bangsa dan kemanusiaan !


Soalnya, dalam kilauan ini, mampukah guru atau guru buntukah atau bagi guru, biasa je !?

Thursday, July 02, 2009

Bulan Rejab antara bulan mulia dalam Islam


BULAN Rejab adalah antara bulan mulia dalam Islam. Kedatangannya disambut meriah oleh umat Islam. Dalam bulan Rejab, tepat pada malam 27 Rejab,terjadi peristiwa yang amat luar biasa lagi bersejarah bagi umat Islam, iaitulah peristiwa Israk Mikraj.

Israk Mikraj yang dialami oleh Nabi Muhammad (saw) dengan jasad dan tubuhnya itu, di samping bagi menghibur dan memantapkan lagi iman baginda, juga adalah iktibar yang harus direnungi setiap Muslim. Banyak hikmah terkandung dalam peristiwa Israk Mikraj yang menggemparkan itu.

Dalam kejadian Israk Mikraj, Nabi (saw) diisrakkan oleh Allah SWT dari Masjidil Haram di Makkah ke Masjidil Aqsa di Palestin dengan mengenderai Buraq bersama Malaikat Jibrail. Kemudian dari Masjidil Aqsa, Nabi (saw) dimikrajkan pula dengan menjelajahi tujuh lapis langit hingga ke Sidratul Muntaha bahkan ke Mustawa. Dalam perjalanan mikraj inilah Nabi dapat melihat banyak tanda kebesaran dan kekuasaan Allah.

Di sana, Nabi (saw) berkesempatan berdialog dengan Allah SWT dan Allah SWT menghadiahkan atau memberi satu bingkisan untuk dibawa pulang oleh Nabi (saw), iaitu perintah sembahyang fardu lima waktu untuk Nabi (saw) dan umatnya.

Sebelum dimikrajkan, baginda sempat bersembahyang sunat bersama Malaikat Jibrail dan ruh ambiya di Masjidil Aqsa yang Allah berkati sekelilingnya. Dari masjid ini, Nabi (saw) terus dimikrajkan iaitu dengan menjelajahi tujuh lapis langit, lalu sampai ke tempat yang tinggi, iaitu Sidratul Muntaha bahkan ke Mustawa. Di sinilah baginda bermunajat dengan Allah, dan Allah memberi hadiah atau satu bingkisan yang besar kepada baginda untuk dibawa pulang, yakni berupa perintah solat lima waktu .

Segala pemandangan dan gambaran yang diperlihatkan kepada Nabi (saw) adalah sesuatu yang wujud dan benar-benar berlaku kepada umat Islam, iaitu umat Nabi Muhammad (saw).

Umat Islam yang benar-benar mempercayai bahawa kiamat itu pasti datang dan setiap perbuatan akan diminta pertanggungjawaban, sewajarnya mengambil iktibar daripada peristiwa Israk Mikraj yang menakjubkan itu. Segala bentuk penyeksaan yang dialami oleh pelbagai kelompok manusia sebagaimana yang disaksikan Rasulullah akan terjadi kepada semua manusia di akhirat nanti, sesuai dengan kejahatan yang dilakukan.

Solat pula adalah satu ibadat yang istimewa dan terpenting. Rasulullah menerimanya secara langsung daripada Allah, sedangkah ibadat puasa, zakat dan haji diwahyukan saja melalui Malaikat Jibrail.

Kesimpulannya, peristiwa Israk dan Mikraj mengandungi lautan hikmah yang harus dikaji dan diteliti secara mendalam, terutama betapa pentingnya solat dalam kehidupan seseorang Muslim. Dengan solat, setiap Muslim dapat berhubung dengan penciptanya lima kali sehari semalam dalam bentuk dialog langsung.

Jika kita jauh tersesat dan banyak melanggar larangan Allah, hentikanlah segera dan kembali melakukan amal soleh dan pekerjaan kebajikan.

Tulisan: Saudara Azhari Haji Sarun

Tingkatan Enam sains di kalangan anak-anak Melayu

Dalam perjalanan menuju ke Tingkatan 6 Bawah Sains 2 tadi , saya memikirkan berapakah jumlah pelajar Tingkatan Enam Bawah yang tinggal. Mula-mula dahulu jumlahnya mencecah lebih 70 orang, kini hanya tinggal 20 lebih orang sahaja. Seseorang demi seorang keluar menuju ke destinasi masa depan mereka. Paling akhir hari ini dua orang keluar menuju ke Institut Pendidikan Guru.

Begitulah fenomena di Tingkatan Enam saban tahun terutama Tingkatan Enam aliran sains. Nampaknya takut dan gerun sungguh anak-anak Melayu untuk berada di Tingkatan Enam aliran sains. Ada di antara mereka yang sanggup menerima kursus yang entah apa-apa kerana takut berada di Tingkatan Enam aliran sains.

Persepsi dan realiti bahawa Tingkatan Enam aliran sains sungguh mencabar berbanding matrikulasi dan lain-lain mendominasi pemikiran anak-anak Melayu menjadikan mereka lari 'mencicit' meninggalkan Tingkatan Enam aliran sains ini jika ada peluang.

Diharap dengan penstrukturan semula Tingkatan Enam yang sedang berlangsung sekarang keadaan ini akan segera berubah di tahun-tahun akan datang. Pihak Kementerian Pelajaran perlu memikirkan elemen penarik kepada Tingkatan Enam untuk bersaing dengan institusi pra-universiti yang lain.

Semoga selepas ini tidak akan ada lagi kedengaran Tingkatan Enam di kalangan anak-anak Melayu ditutup atau pengurangan pelajar tidak separah sekarang. Mudah-mudahan !

Jiwa Remaja Sentiasa Bergelora

Oleh Fairul Asmaini Mohd Pilus

LUMRAH remaja mempunyai banyak keinginan terhadap sesuatu yang kadangkala tidak dapat dipenuhi kerana terhalang oleh batas agama dan budaya.

Kebanyakan remaja memikirkan fizikal mereka seperti orang dewasa dan meniru untuk bertindak seperti orang dewasa.

Pertentangan sifat itu semakin ketara jika remaja membuat sesuatu menurut kata hati tanpa berfikir semasak-masaknya.

Keinginan mencuba sesuatu yang baru adalah lumrah bagi mereka yang baru ‘mengecap nikmat hidup’ terutama jika sebelum ini keinginan kerap dihalang keluarga.

Kemodenan era globalisasi yang ditunjangi Barat turut membawa bersama pengaruh dan gaya hidup mereka dalam masyarakat kita.

Bagi remaja, gaya hidup masyarakat Barat yang moden, kelakuan dan cara berpakaian tidak senonoh perlu bagi menunjukkan kemodenan mereka biarpun semua itu berlawanan syariat agama.

Jika remaja pandai mengambil kelebihan berkenaan untuk digunakan pada jalan yang betul, ia mampu memberi manfaat tersendiri.

Pertentangan antara keinginan remaja dengan perintah agama menyebabkan jiwa mereka memberontak dan berusaha menepis kenyataan itu dengan menurut kata hati.

Remaja yang mempunyai pegangan agama yang tinggi dan lingkungan keluarga yang tidak mengabaikan perintah agama pastinya dapat menangani masalah ini dengan mudah.

Gejolak jiwa remaja sukar untuk dibendung kerana pada umur sebegitu, mereka mudah dipengaruhi unsur negatif yang berada di sekeliling mereka.

Namun, bagi remaja yang terlanjur melaksanakan sesuatu yang berlawanan dengan perintah agama hendaklah berusaha memperbaiki diri supaya tidak sentiasa terlena dengan sesuatu pengaruh dan kenikmatan yang bersifat sementara itu.

Remaja perlu lebih memahami diri sendiri dan tidak mengabaikan peranan terhadap keluarga. Perhatian yang keluarga berikan sewajarnya tidak disalah erti kerana tiada ibu bapa di dunia ini yang mahu anak mereka hanyut dibuai mimpi.

Sementara itu, setiap remaja perlu mempersiapkan diri sebagai khalifah yang dipertanggungjawabkan Allah.

Remaja perlu ada matlamat dan kesungguhan sebagai insan kerana manusia saja dikurniakan akal dan fikiran yang sempurna berbanding ciptaan Allah yang lain.

Tujuan hidup yang tidak bercanggah dengan kehendak Islam hendaklah disemai ke dalam diri seorang remaja jika mereka mahu berjaya dan maju sebagai generasi yang cemerlang serta diberkati.

Untuk itu, remaja harus pandai membawa diri dalam menghadapi dunia yang penuh pancaroba dan elak mengikut kehendak hati.

Akal fikiran yang ada perlu digunakan sebaik mungkin kerana remaja adalah tonggak masa depan dan maju atau mundurnya sebuah negara bergantung kepada mereka.

Zaman remaja hanya sekali dan jika terlepas, ia tidak mungkin kembali lagi. Nikmati masa remaja sebaik mungkin pada jalan yang betul kerana ‘sesal dahulu pendapatan, sesal kemudian tidak berguna’.

5 etika mengkritik



1. Jangan sesekali mengkritik di depan orang lain. Tindakan anda akan memalukan dirinya, dan dianggap tidak profesional, malah ini boleh mengundang rasa tidak puas hati orang lain terhadap anda juga.


2. Cuba mulakan teguran anda dengan pujian atau kata-kata yang membina dahulu.


3. Ciptakan suasana ‘bersahabat’ sebelum anda memulakan ’serangan’.


4. Kritik hanya pada tindakan/perbuatan/perangai, bukan orangnya.


5. Ikhlas ketika mengkritik. Bukan untuk menunjukkan kuasa atau siapa lebih pandai.