Di satu kenduri kahwin saya berjumpa dengan Pak Andak dan isterinya Mak Andak. Lama sungguh tak jumpa Pak Andak. Usia Pak Andak rasanya sudah melebihi 70 tahun. Tetapi Pak Andak kelihatan masih gagah, masih memandu kereta ke sana ke mari bersama Mak Andak.
Oleh kerana lama tidak berjumpa dan tidak bersembang, saya mengajak Pak Andak dan Mak Andak ke rumah. Pak Andak segera minta maaf dengan saya kerana dia tidak dapat hendak ke rumah saya kerana banyak kerja yang menunggu di rumah katanya.
Terfikir oleh saya, sebegini tua Pak Andak dan Mak Andak, banyak lagi kerja di rumah. "Kerja apa Pak Andak ?" tanya saya.
" Sekarang ni rumah tak boleh tinggal lama. Kera banyak cikgu" jawab Pak Andak..
Amboi.... Pak Andak pelihara kera pulak dah ? Tak ada benda lain ke Pak Andak dan Mak Andak hendak pelihara?
"Bukan begitu cikgu! Kera ni jahat cikgu ! Pantang orang tak ada, dia masuk ke dalam rumah ,habis dia khianat periuk, belanga, pinggan mangkuk, beras, gandum kita ! Ubi kayu, ubi keledek yang Pak Andak dan Mak Andak tanam belakang rumah, kalau tak berjaga, habis dikhianatnya!" rungut Pak Andak bersungguh.
"Babi pun boleh tahan juga, kalau lepa-lepa habis ubi kayu, pisang belakang rumah tu." sambung Pak Andak lagi.
"Jahat juga kera dan babi ni Pak Andak yek ? Maki aje kera dan babi ni Pak Andak", saya menjawab geram.
"Biarlah cikgu, rezeki dia nak buat macam mana'" jawab Mak Andak senyum. Baik sungguh hati Mak Andak.
Teringat saya semasa tinggal di rumah guru dulu, saya rajin juga tanam pokok pisang dan ubi kayu di belakang rumah. Petang selepas Asar, saya mulalah berkebun. Jiran saya Mak Gu ,isteri GPK saya yang tinggal sebelah rumah pun sama. Macam-macam dia bertanam.
Suatu hari sedikit tanaman saya macam 'dibajak' babi. "Itu kesan babi cikgu," beritahu Mak Gu. Saya tak kesah, biasalah berkebun. Petang esuk ada lagi babi datang dan sepohon pisang saya hampir tumbang. Saya dah mula 'frust' , tapi masih mampu bersabar.
Hari berikutnya babi datang lagi dan dah banyak tanaman saya perlu dipulihkan. Saya dah mula geram, sambil membaiki tanaman saya, saya maki hamun babi-babi tu. Pagi esuknya sebelum pergi ke sekolah saya menjenguk ke belakang rumah melalui tingkap....mak tuan habis pokok-pokok pisang dan ibu kayu saya dibajak babi. Saya ternampak sepohon pisang yang agak besar, tersadai di tepi pagar lebih kurang 20 meter di belakang rumah saya. Yang peliknya tanaman Mak Gu tak banyak yang diganggu. Ini membuatkan saya mula kecewa untuk bercucuk tanam. Betullah arwah mak saya cakap, babi, kera, gajah dan tikus jangan dimaki. Patutlah apabila saya suruh maki, Pak Andak senyap aje sebaliknya Mak Andak yang jawab, ' dah rezeki dia ckgu!'. Betul ke atau kebetulan aje kot ?
Sejak dari hari itu saya tidak bertanam lagi dibelakang rumah kalau tidak berpagar. Tapi saya hairan, saya pernah pergi membeli ubi kayu di sebuah perkampungan asli, saya lihat kebun ubi orang asli itu tidak berpagar langsung dan pokok ubi cukuplah subur. Apa rahsia mereka agaknya, sehingga babi mahupun kera tidak mengganggu tanaman mereka ? Pelik juga, yang saya nampak hanya ada dua 'orang-orang' di penjuru kebun, itu sahaja.
Ya lah.. mengenang kembali pengalaman saya itu, baru saya faham kenapa Pak Andak dan Mak Andak hendak balik segera. Kesian mereka, tidak boleh tinggal rumah lama-lama kerana kera ! Agaknya sepeninggalan mereka tadi jenuh kera-kera bermaharajalela dalam rumah Pak Andak. Subversif sungguh kera ni !
Guru wanita jauh lebih ramai daripada guru lelaki. Inilah realiti di dalam kerjaya perguruan hari ini. Maka itu, Kementerian Pelajaran sedang berusaha mencari jalan menambah bilangan guru lelaki.
Menurut Menteri Pelajaran yang juga Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Mahyuddin Yasin, bilangan guru lelaki jauh ketinggalan berbanding guru wanita iaitu dengan nisbah 20:80 pada masa ini. Dan katanya kementerian memberi tumpuan untuk merapatkan jurang perbezaan itu.
Katanya antara faktor berlakunya kekurangan guru lelaki ialah kerana kurang minat kaum lelaki untuk menceburi bidang perguruan. Sebab lain ialah kerana tidak mencukupi syarat kelayakan lalu memohon kerja lain.
Kepada anak-anak muda lelaki diharap memberi perhatian kepada isu ini dan berusaha untuk mengkaji kerjaya perguruan untuk menanam rasa minat dan merebut peluang yang luas dalam kerjaya ini. Sebenarnya minat boleh dipupuk kerana ianya bukan datang sejak dari lahir.
Sehari dua ini terasa cuaca begitu kering dan panas. Berkipas pun terasa angin panas. Hendak buka air-cond siang malam tidak tahan pula membayar bil di hujung bulan nanti. Apa yang mampu hanya bersabar mencari tiupan angin. Kalau kipas pandai letih sudah pasti akan merayu untuk minta ruang berhenti rehat. Itulah cuaca pada ketika ini.
Jabatan Meteorologi telah mengesahkan bahawa Malaysia bakal berdepan dengan fenomena El-Nino, cuaca panas dan kering mulai Ogos ini sehingga sekurang-kurangnya September nanti.
Menurut Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar, Datuk Douglas Unggah Embas walaupun fenomena El Nino adalah fenomena alam namun kerajaan akan terus melasanakan langkah proaktif bagi mengurangi faktor-faktor yang boleh menjadi petunjuk kepada peningkatan pemanasan cuaca. Katanya kementeriannya telah mengarahkan semua agensi berkaitan supaya bersiap sedia bagi menghadapi sebarang kemungkinan fenomena El-Nino.
Patutlah kita mulai terasa cuaca panas kerana kesan daripada pemanasan cuaca itu sudah mula dirasai apabila beberapa kawasan di Semenanjung dilanda jerebu. Dilaporkan kualiti udara di kebanyakan kawasan di seluruh negara pada masa ini merosot dengan Indeks Pencemar Udara (IPU) direkodkan antara 51 hingga 100.
Mengikut Datuk Douglas, laporan jarak penglihatan pada semalam di beberapa kawasan tertentu seperti Seberang Prai, Bayan Lepas, Subang, Petaling Jaya, Melaka dan Kuantan merosot iaitu antara 6 hingga 9 kilometer (km). Manakala laporan satelit yang diperoleh dari Pusat Meteorologi ASEAN (ASMC) sehingga 7 Jun menunjukkan 125 titik panas dikesan di Malaysia selain terdapat peningkatan titik panas di Sumatera dan Kalimantan, Indonesia.
Oleh yang demikian untuk membantu mengurang kesan El-Nino semua pihak yang terbabit dan yang berkenaan sama ada syarikat mahu pun individu jangan sekali-kali melakukan sebarang pembakaran secara terbuka.
Sebagai umat Islam kepada Allah kita bermohon semoga El-Nino mampu kita hadapi dengan sabar dan menjauhkan kita dari sebarang implikasi berbahaya.
Sewaktu melayari internet sambil singgah di beberapa blog saya terjumpa kisah jaguh bina badan negara Saudara Malek Noor dalam blog politikbanjar di bawah. Untuk tatapan, teladan dan pengajaran, saya paparkan pula kepada pembaca blog ini.
Artikel kali nie panjang sikit tapi kami mintak-mintak sangat anda baca. Memang tersentuh jiwa raga baca cerita Malek Noor dan kisah insaf dia. Patut lebih banyak selebriti-selebriti tampil dan ceritakan seperti apa yang Malek Noor cerita nie. Barulah boleh bagi role model sikit kat rakyat Malaysia. Baca artikel ini selengkapnya untuk ketahui kisah Malek Noor dan cerita insafnya.
SETELAH lebih 10 tahun tidak berjumpa dengan Malek Noor, 53, ternyata jaguh bina badan Asia peringkat heavyweight sebanyak enam kali ini amat berbeza daripada dulu.
Kalau dulu, apabila berjumpa mulutnya becok tak henti-henti bercakap pelbagai topik yang melucukan. Tetapi pertemuan minggu lalu menampakkan sisi lain Malek.
Sifat lucu dan becoknya hilang tiba-tiba dan yang nyata Malek hari ini tidak sama dengan Malek ketika baru berlakon filem Ujang pada akhir tahun 1980-an.
Perbualan petang itu berkisar tentang aktivitinya hari ini. Selain menjalankan perniagaan membekal barangan fitness di bawah syarikatnya Sportec’s Divemate Sdn. Bhd. Malek juga berlakon dan kini sedang menjalani penggambaran drama Damak dengan memegang watak Tok Guru.
Perbualan yang rancak petang itu, tiba-tiba menjadi hening seketika apabila Malek membuka rahsia hidupnya yang selama ini dipendam tanpa pengetahuan sesiapa.
“Dalam hidup saya hari ini, sebenarnya saya hanya mencari satu sahaja iaitu keredaan Allah. Walau apa juga yang saya lakukan untuk hidup, kejujuran adalah penting.
“Setiap waktu dan ketika saya sentiasa berdoa kepada Allah semoga menerima ibadat saya, ampunkan dosa saya dan semoga Allah tetapkan iman saya dan menjadikan saya manusia yang soleh,” kata Malek dengan suara sebak.
Siapa sangka, seorang jaguh bina badan yang nampak gagah dan perkasa tiba-tiba menjadi seorang yang boleh dikatakan ‘lembik’ tiba-tiba.
Di satu sudut ruang coffee house di sebuah hotel di pinggir kota, Malek yang mulanya bersemangat tiba-tiba menangis menceritakan dosa-dosa yang telah dilakukan sebelum ini.
Dengan suara sebak dan mata berkaca, Malek Noor bercerita:
“Saya terlalu banyak buat dosa. Saya betul-betul insaf sekarang. Setiap saat dan ketika sentiasa berdoa semoga Allah mengampunkan dosa-dosa saya.
“Dulu saya jahat. Saya tidak ingat mati tapi…kini saya betul-betul insaf. Kini setiap waktu walau sesibuk mana pun saya akan hadkan sekurang-kurangya 10 minit untuk menunaikan solat.
“Saya terlalu banyak buat dosa. Saya makan dan minum benda-benda haram. Ya Allah betapa besarnya dosa saya. Saya takut, saya taubat dan saya menyesal. “Andai waktu boleh berputar, saya ingin kembali zaman kanak-kanak. menjalankan kewajipan sebagai seorang Muslim yang sejati,” luahnya.
Zaman kanak-kanak
Mungkin ramai yang tidak tahu, ketika zaman kanak-kanak lagi Malek merupakan anak yang susah hendak berpuasa. Kalau berpuasa pun cuma di depan keluarga. Di belakang, Malek curi-curi makan dan minum. Tetapi itu di zaman kanak-kanak, apa yang dibuat mungkin manis didengar.
Bukan itu sahaja, malah sejak berusia 12 tahun dan sehingga umur meningkat 46 tahun, sebenarnya Malek tidak pernah berpuasa, apa lagi menunaikan solat lima waktu sehari.
“Saya lupa pada tanggungjawab sebagai seorang Muslim. Saya tak sembahyang, saya tak berpuasa. Kesibukan saya merantau di Amerika dan Hong Kong selama lebih 30 tahun mengumpul harta kekayaan membuatkan saya lalai.
“Ya Allah betapa besarnya dosa saya. Saya tidak pernah mensyukuri nikmat yang Allah berikan. Apa yang ada dalam fikiran saya hanya mencari harta dan nama.
“Sehinggalah suatu hari pada tahun 2002 semuanya berlaku tanpa saya duga. Ketika itu saya dengan berseluar pendek berdiri di Penthouse saya berdepan dengan bangunan KLCC.
“Tiba-tiba saya terdengar azan sayup dari masjid berhampiran dan meresap ke jiwa saya. Saat itu saya jadi tak tentu arah. Saya masuk ke rumah dan berpusing-pusing entah berapa kali dan saya tak tahu apa yang saya cari.
“Selepas berpusing-pusing macam orang gila, satu jam saya tak bertenaga. Saya menangis dan terus menangis. Tiba-tiba saya teringat sesuatu dan terus berwuduk kemudian menunaikan solat Maghrib. Esoknya saya ke Jalan Masjid India dan membeli pelbagai kitab mengenai Islam dan saya turut membeli sebuah al-Quran,” cerita Malek.
Bagi Malek, walaupun keinsafan dan kesedaran itu datang ketika usianya 46 tahun, dia tetap bersyukur kerana tahu Allah masih sayangkannya. “Malam selepas saya bersolat taubat, saya bermimpi didatangi arwah ibu, Jariah Ahmad yang menaburkan bunga emas pada saya.
“Selepas peristiwa itu saya pergi semula ke Hong Kong tetapi bukan untuk menetap di sana. Sebaliknya saya uruskan pemindahan syer perniagaan KK Design dengan rakan kongsi sebab saya memang tidak mahu menetap di sana.
“Ketika itu saya sudah membuat keputusan, saya mahu menetap di Malaysia untuk mencari seorang Muslim yang soleh. Bukan itu sahaja, malah saya mahu menjejaki akar umbi budaya Melayu yang telah lama saya lupakan.
“Setelah semuanya selesai, sejak 2006 saya terus menetap di KL dan tidak lagi ke Hong Kong. Kini saya benar-benar merasakan hidup ini amat bahagia dan tenang.
“Dalam kotak fikiran saya, hanya mahu melakukan suruhan Allah dan berbakti kepada masyarakat. Saya tidak sanggup lagi hidup bergelumang dosa dan noda.
“Cukuplah apa yang saya dah lakukan selama ini. Saya benar-benar insaf. Sejak itulah semua piala yang saya menang sebagai Mr. Asia saya buang.
“Dulu rumah saya penuh dengan patung-patung, tapi…semua saya dah buang. Kini rumah saya hanya dihiasi ayat-ayat suci al-Quran.
“Saya amat bersyukur kepada Allah kerana sejak saya bertaubat, sudah tiga kali saya khatam membaca al-Quran. Bukan itu sahaja, malah sejak tahun 2006 saya sudah menunaikan puasa enam, syukur Alhamdulillah,” kata Malek.
Kini kata Malek, walau apapun yang dilakukan oleh kawan-kawannya beliau tetap bersabar. Malah ada kawan yang meminjam duitnya dalam jumlah yang begitu banyak dan tidak mahu membayar semula, dia tidak pedulikan semua itu.
“Sekarang saya benar-benar reda dengan apa yang berlaku. Sama ada dia mahu bayar atau tidak, saya halalkan kerana bagi saya semua itu hanya harta dunia.
“Kini hidup saya mencari keredaan Allah. Insya-Allah saya akan tunaikan umrah tidak lama lagi dan jika diizinkan saya juga mahu menunaikan haji tahun ini,” Malek menyambung cerita.
Menurut Malek, semua yang dilakukan kerana sedar Allah benar-benar sayangkannya dan menerima taubatnya.
Bukan itu sahaja, malah mimpi berjumpa arwah ibunya yang memimpinnya masuk ke Masjidil Haram dan terus sampai di depan Kaabah benar-benar menggamit hati dan nalurinya untuk ke sana.
“Selepas saya menunaikan rukun Islam yang kelima, jika ada jodoh saya mahu berumah tangga dan membina keluarga bahagia yang hidup berlandaskan Islam.
“enghijrahan saya ini bukan sahaja memberi kesan kepada saya, malah adik beradik yang lain juga gembira. Sebab itu saya nasihatkan anak-anak saudara saya kalau buat jahat pun biarlah ada ruang untuk kita bertaubat di hati ini,” kata Malek yang juga pernah membintangi filem Juara, Rimba Malam, Kelisa, Pendekar Mata Satu dan yang terakhir Sahabat pada tahun 1999.
Hari ini masih terasa keletihan. Lenguh kaki masih terasa. Semalam keluarga kami melangsung majlis kenduri sambut menantu anak arwah abang saya yang keempat. Oleh kerana ayahnya telah meninggal dunia maka sayalah menjadi pengganti kepada arwah abang untuk melayani dan menyambut tetamu.
Bersama membantu menguruskan majlis yang tiba-tiba menjadi begitu besar dengan jemputan yang ramai cukup mendebarkan saya. Nasib baik rasanya kerana mempunyai kakak ipar (mak pengantin) , abang ipar dan kakak yang berpengaruh dalam membuat sebarang keputusan, yang mengetuai bahagian perancangan dan operasi begitu komited dan bersungguh, dengan dibantu oleh adik beradik, ipar-ipar dan anak-anak saudara yang cekal dan tabah, majlis akhirnya berjaya dilaksanakan dengan lancar dan sempurna sekali.
Selepas majlis selesai di sebelah malamnya saya termenung sendirian memikirkan bahawa trend yang berlaku pada hari ini sudah amat berbeza dengan trend zaman dulu-dulu. Trend hari ini semakin menggerunkan ! Tapi apa boleh buat suara minoriti tidak boleh mengatasi suara majoriti.
Dulu majlis sambut menantu hanya dengan kenduri doa selamat sahaja. Majlis sambut menantu saya dan adik ipar saya badrul dulu-dulu hanyalah kenduri doa selamat.Tapi hari ini, kus semangat majlis sambut menantu sama taraf dengan majlis di rumah pengantin perempuan ! Seorang jemputan yang juga seorang sahabat saya sewaktu kami bersembang berdua bersetuju bahawa trend menyambut menantu sepeti ini tidak sepatutnya berlaku. Kalau sebelah perempuan okaylah katanya, sebelah lelaki buat doa selamat sudahlah.
"Nanti, engkau buat perubahan Li, aku tak boleh sebab aku tak ada anak lelaki", gesa sahabat saya itu.
"Masalahnya perubahan kembali macam dulu tu memang baik, tapi boleh ke ?" kata isterinya ragu-ragu. " Kadang-kadang pengantin itu sendiri yang ada duit dan dia mampu buat begitu, dan dia dapat pulak sokongan dari bebarapa orang ahli keluarga mereka", sambung isteri sahabat saya lagi.
Betul juga mereka ada duit dan mampu.
Saya terfikir macam mana majlis sambut menantu anak-anak saya nanti ?
Malam tadi saya telah dijemput untuk menyampaikan ceramah kepada kakitangan dan pengurusan kilang sawit Felda Cini 3 dengan kehadiran sekitar 150 orang. Saya diminta untuk mengupas tajuk yang cukup besar dan penting iaitu " Integriti".
Saya menyebut pelbagai perkara mengenai integriti dengan mengatakan antaranya ialah integriti merupakan sebahagian akhlak Islam. Ciri-ciri integriti yang paling unggul ialah "Taqwa" seperti mana firman Allah dalam Surah al-Hujurat ayat 13 yang bermaksud "Sesungguhnya orang yang paling mulia di kalangan kamu di sisi Allah adalah orang yang paling taqwa".
Saya juga menyebut antara perkara yang merusakkan integriti ialah:
1. Mensyirikkan Allah 2. Meninggalkan solat 5 waktu. 3. Melakukan maksiat seperti berzina. 4. Menderhakai ibubapa. 5. Mengkhianati AMANAH. 6. Melakukan dan menerima suapan dan rasuah.
Salah seorang telah bertanya kepada saya, bagaimana mewujudkan integriti dalam diri seseorang pekerja.
Saya hanya mampu memberi jawapan yang mudah untuk difahami. Saya katakan tidak ada cara lain melainkan seseorang itu perlu sentiasa ingat yang mana halal yang mana haram, ingat pahala dan dosa, ingat syurga dan neraka kerana inilah dua tempat kesudahannya manusia.
Sebenarnya yakin atau tidak kita, bahawa Allah Maha Melihat dan firman Allah dalam surah az-Zilzal ayat 7-8 bermaksud, " Barangsiapa yang mengerjakan kebaikan, meskipun seberat zarah, akan dilihatnya (balasan) kebaikan itu. Barangsiapa mengerjakan kejahatan, meskipun seberat zarah, akan dilihatnya (balasan) kejahatan itu", harus dijadikan renungan yang memberi peringatan dan pengajaran.
Satu malam yang masih awal, sedang saya leka melayari internet tiba-tiba datang satu sms dari seorang bekas pelajar yang sekarang ini masih lagi belajar di salah sebuah kolej matrikulasi.
Sms pelajar ini berbunyi :" sir, apa khabar ? sir sihat ke ? ...... rindu rasa kat sir. .... rasa nak baliklah sir !"
Saya tidak membalas sms tersebut tetapi saya membuat panggilan semula kepada pelajar itu. Saya membuat panggilan semula kerana yang pertama tidak mahu menghabiskan kredit pelajar tersebut. Yang kedua saya hendak tahu apa masalah budak ini, tiba-tiba sms saya dan memberi tahu saya bahawa dia rindukan saya ! Bagi saya budak ini mesti ada masalah lain sebenarnya.
Saya call pelajar tersebut dari bilik study di rumah saya. Sebaik dia menerima penggilan saya, saya tidak mendengar dengan jelas suaranya, cuma sayup-sayup saya terdengar macam orang menangis pulak. Saya agak terkejut kerana tidak tahu apa yang telah berlaku kepada pelajar ini di sana?
Saya berusaha menenangkan dia, akhirnya dia bagi tahu saya dia sebenarnya rindukan mak di kampung. Hujung minggu ini kakak dia akan mendirikan perkahwinan tetapi dia tidak dibenarkan balik oleh ibunya kerana terlalu jauh di utara. Mak dia bimbang keselamatannya di perjalanan kerana itulah pertama kali anak manja ini berjauhan dengan maknya. Ayahnya sudah lama meninggal dunia sejak dia kecil lagi.
Budak ini terus menangis dan sibuk meminta pandangan saya. Dia tetap hendak balik tapi takut berdosa dengan maknya. Saya pun seperti maknya kerana terlalu mengenalinya saya tak yakin dia mampu balik bersendirian. Sudah pasti lebih dari 10 jam perjalanan.
Untuk memuaskan hatinya saya bersetuju agar dia teruskan hasratnya untuk balik kerana saya kenal dia, kalau saya turut melarang, dia tetap nak balik. Saya kata pada dia, "balik ajelah, kalau awak balik pun bukan mak tahu, sedar-sedar sampai kat rumah, peluk ciumlah mak minta ampun! Lepas itu mesti mak gembira".
Persetujuan saya membuat dia serba salah. Dia kata tak boleh buat macam itu, dia tidak berani membuat perjalanan jauh pertama seorang diri dalam hidupnya tanpa restu seorang ibu. Kalau berlau apa-apa, saya akan berdosa dengan mak saya, katanya.
Dalam hati saya alangkah bagusnya dapat anak macam ini.
"Habis tu bagilah tahu mak awak yang awak hendak balik, minta izin mak", gesa saya.
"Mak mesti tak izinkan. Mak bimbang !" katanya masih kedengaran menangis sedih.
" Kalau macam tu tak payah balik, duduk aje kat kolej tu, kerjakan banyak yang perlu disiapkan" kata saya.
Dia tetap memberitahu saya yang dia hendak balik. Dalam keadaan geram dan terasa nak marah juga, saya memberitahu dia dengan tenang, " Ok macam ni, bertenang dulu... masa panjang lagi, seminggu lagi. Fikir dulu lepas tu runding dengan akak, abang dan mak baik-baik ok. Kalau balik-baliklah lah, kalau tak balik, tak baliklah!" Perbualan kami terhenti setakat itu.
Tak pasal-pasal saya pula yang lelah memikirkan hal budak itu..balik ke...tak balik ke ! Besar benar masalah !
Malam tadi sekali lagi saya terima sms, " Sir, tengkiu, ........... dapat balik, mak izinkan. ..........dah naik bas ni. Doakan .......... selamat dalam perjalanan".
Saya terus membuat panggilan untuk menyampaikan sepatah dua nasihat dan panduan. Akhirnya balik juga dia menghadiri majlis perkahwinan kakaknya. Macam-macam !