Tuesday, May 12, 2009

Aku dah nak bertunang !

Dalam perjalanan pulang dari Kuantan saya singgah di masjid bandar Pekan untuk bersolat. Sebaik memberhentikan kereta di salah satu petak pakir yang disediakan di tepi masjid, henfon saya berlagu kerana ada panggilan masuk. Saya mengambil henfon dan melihat nombor yang tertera.

Dalam hati saya tertanya-tanya apakah mimpi budak ini menefon saya? Rasanya sudah dua tahun saya tidak mendengar hal cerita dirinya semenjak dia menamatkan persekolahannya di tempat saya mengajar sekarang. Saya menjawab panggilannya dengan bertanya apa mimpi dia? Dia kata tak ada apa-apa cuma saja nak telefon sir, nak bertanya khabar. Kalau begitu bagusnya budak ini, kata hati saya.

Antara yakin dengan tidak dengan penjelasannya saya melayan beberapa pertanyaan awalnya tentang kesihatan dan keadaan saya. Apabila saya menanya tentang dirinya, barulah dia memberitahu hal yang sebenar bahawa dia ada sesuatu yang hendak dibincangkan dengan saya. Suspen juga saya. Dia di Kelang saya di Pekan, nak berbincang hal penting dalam keadaan dua tahun tidak pernah berjumpa !

Saya tidak sabar dengan segera bertanya apakah hal penting yang hendak di bincangkan.

"Sir, ada orang hendak meminang saya macam mana ?", tanyanya macam panik.

Laa...itu masalah rupanya. Saya ingatkan masalah besar benar, macam masalah di Perak ke? Rupanya masalah orang hendak meminang dia ! Budak-budak!

Selamba saya menjawab, " Dah...terima je lah!".

"Tapi sir, saya baru jumpa dia sekali. Dia dah jumpa mak ayah saya banyak kali. Dia dah pikat mak ayah saya. Mak ayah saya dah suka kat dia". ulasnya.

"Okaylah tu, mak ayah dah berkenan, eloklah tu... terima je !".

" Tapi dia tipu saya!", katanya tak puas hati.

"Tipu apa pulak?", tanya saya ingin tahu.

"Dia anak Datuk, dia kata dia bukan anak Datuk, boleh ke sir kita terima orang yang menipu macam tu?"

Nak tergelak saya. "Baguslah dia anak Datuk dia kata dia bukan anak Datuk. Merendah diri orangnya. Tentu baik budak tu! Yang menjadi masalah jika dia bukan anak Datuk tapi dia cakap dia anak Datuk !", uji saya.

"Tapi sir umur dia 31 tahun saya baru 20," katanya macam tak puas hati.

Geram betul aku budak ni. " Okaylah dia 31, saya 48 mana satu yang awak nak !", saya mengacah.

"Ergrrr..... Okaylah sir, dia call saya ni, kami nak pergi beli cincin. Nanti majlis besar hujung tahun nanti saya jemput sir", jawabnya tergesa-gesa.

Astagfirullah....dah sampai peringkat nak pergi beli cincin dah ?

Saja nak ceritalah tu.... "aku dah nak bertunang !"

Saturday, May 09, 2009

Selamat Hari Ibu


Rasanya belum terlambat untuk diucapkan Selamat hari Ibu kepada semua para ibu. Kepada ibu kepada anak-anak ku, Selamat Hari Ibu. Kepada ibuku yang telah lama pergi mengadap Ilahi, al-fatihah buat ibu.

Benar, hari untuk meraikan seorang yang bergelar ibu bukan hanya satu hari yang diktiraf sebagai hari ibu. Tetapi ibu wajib diraikan setiap masa, setiap ketika dan setiap hari. Pengorbanan seorang ibu...masya Allah, cukup hebat dan begitu besar sekali.

Kepada mereka yang masih ada ibu dan juga kepada yang sudah tidak ada ibu lagi, marilah kita sama-sama menginsafi monolog ini :

Orang kata aku lahir dari perut mak..
(bukan org kata...memang betul)

Bila dahaga, yang susukan aku.... mak
Bila lapar, yang suapkan aku.... mak
Bila keseorangan, yang sentiasa di sampingku.. .. mak
Kata mak, perkataan pertama yang aku sebut.... Mak
Bila bangun tidur, aku cari.... mak
Bila nangis, orang pertama yang datang .... mak
Bila nak bermanja, aku dekati.... mak
Bila nak bergesel, aku duduk sebelah.... mak
Bila sedih, yang boleh memujukku hanya.... mak
Bila nakal, yang memarahi aku.... mak
Bila merajuk, yang memujukku cuma.... mak
Bila melakukan kesalahan, yang paling cepat marah.... mak
Bila takut, yang tenangkan aku.... mak
Bila nak peluk, yang aku suka peluk.... mak
Aku selalu teringatkan .... mak
Bila sedih, aku mesti talipon.... mak
Bila seronok, orang pertama aku nak beritahu..... mak
Bila bengang.. aku suka luah pada.. mak
Bila takut, aku selalu panggil... "mmaaakkkk! "
Bila sakit, orang paling risau adalah.... mak
Bila nak exam, orang paling sibuk juga.... mak
Bila buat hal, yang marah aku dulu.... mak
Bila ada masalah, yang paling risau....
mak
Yang masih peluk dan cium aku sampai hari ni.. mak
Yang selalu masak makanan kegemaranku.... mak
kalau balik ke kampung, yang selalu bekalkan ulam & lauk pauk..... mak
Yang selalu simpan dan kemaskan barang-barang aku.... mak
Yang selalu berleter kat aku... mak
Yang selalu puji aku.... mak
Yang selalu nasihat aku.... mak
Bila nak kahwin..Orang pertama aku tunjuk dan rujuk..... mak

Aku ada pasangan hidup sendiri....

Bila seronok, aku cari....pasanganku
Bila sedih, aku cari.... mak

Bila berjaya, aku ceritakan pada....pasanganku
Bila gagal, aku ceritakan pada.... mak

Bila bahagia, aku peluk erat....pasanganku
Bila berduka, aku peluk erat..... emakku

Bila nak bercuti, aku bawa....pasanganku
Bila sibuk, aku hantar anak ke rumah.... mak

Bila sambut valentine.. Aku bagi hadiah pada pasanganku
Bila sambut hari ibu...aku cuma dapat ucapkan “Selamat Hari Ibu”

Selalu.. aku ingat pasanganku
Selalu.. mak ingat kat aku

Bila-bila... aku akan talipon pasanganku
Entah bila... aku nak talipon mak

Selalu...aku belikan hadiah untuk pasanganku
Entah bila... aku nak belikan hadiah untuk emak

Renungkan:
"Kalau kau sudah habis belajar dan berkerja... bolehkah kau kirim wang untuk mak?
mak bukan nak banyak... limapuluh ringgit sebulan pun cukuplah".
Berderai air mata jika kita mendengarnya........

Tapi kalau mak sudah tiada..... .....
MAKKKKK...RINDU MAK.... RINDU SANGAT....

Bila ibu semakin tua:

Berapa ramai yang sanggup menyuapkan ibunya....
berapa ramai yang sanggup mencuci muntah ibunya.....
berapa ramai yang sanggup mengantikan lampin ibunya.....
berapa ramai yang sanggup membersihkan najis ibunya.......
berapa ramai yang sanggup membuang ulat dan membersihkan luka kudis ibunya....
berapa ramai yang sanggup berhenti kerja untuk menjaga ibunya.....

Di saat penghurmatan terakhir kepada sekujur jasad ibu:

berapa ramai yang sembahyang JENAZAH ibunya......


Renungan kepada sebuah senario:


Seorang anak mendapatkan ibunya yang sedang sibuk menyediakan makan malam di dapur lalu menghulurkan sekeping kertas yang bertulis sesuatu. Si ibu segera mengesatkan tangan di apron menyambut kertas yang dihulurkan oleh si anak lalu membacanya.Kos upah membantu ibu:

1) Tolong pergi kedai : RM4.00
2) Tolong jaga adik : RM4..00
3) Tolong buang sampah : RM1.00
4) Tolong kemas bilik : RM2.00
5) Tolong siram bunga : RM3.00
6) Tolong sapu sampah : RM3.00
Jumlah : RM17.00

Selesai membaca, si ibu tersenyum memandang si anak sambil sesuatu berlegar-legar si mindanya. Si ibu mencapai sebatang pen dan menulis sesuatu di belakang kertas yang sama.

1) Kos mengandungkanmu selama 9 bulan - PERCUMA
2) Kos berjaga malam kerana menjagamu - PERCUMA
3) Kos air mata yang menitis keranamu - PERCUMA
4) Kos kerunsingan kerana bimbangkanmu - PERCUMA
5) Kos menyediakan makan minum, pakaian, dan keperluanmu -PERCUMA
Jumlah Keseluruhan Nilai Kasihku - PERCUMA

Air mata si anak berlinang setelah membaca apa yang dituliskan oleh siibu. Si anak menatap wajah ibu,memeluknya dan berkata,

"Saya Sayangkan Ibu".
Kemudian si anak mengambil pen dan menulis "Telah Dibayar" pada mukasurat yang sama ditulisnya.


Kepada anak-anakku sayangilah ibumu, kasihanilah dia sepanjang masa dan ingatlah dia setiap ketika.

Jom kita sayang ibu !

Friday, May 08, 2009

Patriotisme di kalangan segelintir generasi muda ?

Saya tertarik kepada komen yang ditulis oleh Simantanguru kepada satu entry terbaru saya. Kupasan dan ulasannya menarik dan saya suka memuatkan kembali komen itu sebagai enrty terbaru untuk blog ini.

mantan said...

Sir,
Ini entri yang sangat menarik. Mencetus pelbagai tanggapan dalam minda.

Si pelajar itu barangkali ingin peraga identiti diri. Dia sedang 'mencari' dirinya yang 'hilang' atau belum menemui dirinya. Dan itu datang drp kefahamannya (yg setakat itulah). Dia tahu apa makna patriotisme(kepada negara), tapi tiada penghayatan dan amalannya.

Kalaulah fesyen penampilan itu (mungkin fesyen ala punk) dianggap bersemangat patriot, kacau jadinya jika ramai remaja penghuni negara tercinta ini yg mempunyai tanggapan demikian. Atau dia tidak fikirpun, penampilannya itu ada kaitan dengan semangat patriotisme.
Atau dia juga tidak tahu bagaimana cara berpakaian yang disesuaikan semangat patriotisme itu. Demikianlah tahap pemikirannya.

Harap-harap penampilannya itu hanyalah sesuatu yang trendy (yg dia syok sendiri dan bersifat sementara) dan tidak mempengaruhi orang lain.

(Semalam saya tonton berita di tv - pembaca beritanya memperaga fesyen rambut macam ekor itik! - trend baru peraga rambut)

Dalam pendidikan formal di negara kita, banyak perkara yang penting yang menjadi fokus pendidikan, diabaikan.

Sebab itu warga malaysia kini ramai memprotes dalam pelbagai keadaan dan situasi. Ramai yang tidak "dapat berfikir dengan baik". Ini tidak disedari.Bagi saya, puncanya iah pendidikan yang kehilangan rohnya.

May 8, 2009 9:51 AM


Thursday, May 07, 2009

Bertuah negara tercinta ini !

Dalam minggu ini saya sibuk berulang-alik ke sebuah IPTS kerana ada tugas yang perlu saya lakukan di IPTS tersebut. Sewaktu rehat, sambil minum di kiosk kampus itu, saya sempat bersembang dengan seorang pelajar IPTS tersebut. Berbagai perkara yang kami sembangkan khusus mengenai suasana kehidupandan pembelajaran dan kursus di situ.

Saya tertarik untuk bersembang dengan pelajar ini kerana saya tertarik dengan penampilannya yang bagi saya ada sesuatu yang saya hendak tahu darinya yang berpenampilan begitu. Orangya tinggi lampai lebih tinggi dari saya. Kurus. Memakai seluar jeans hitam bertali pinggang kepala besar, sebesar tapak tangan orang dewasa. Tertulis perkataan "BOSS" pada tali pinggang tersebut. Saya tidak pasti budak ini betul-betul boss atau hanya tulisan itu saja-saja saja !

Rambut pemuda ini panjang berbentuk trojan dari depan sampai belakang! Side-burn nya panjang dan tajam ke bawah. Berantai dan bergelang. Saya tengok memang serabut. Pelajar IPTS tu !!

Dalam sembang kami, antara soalan yang saya duga pelajar ini ialah, "apakah yang saudara faham tentang "Patriotisme" ?"

Selamba dia menjawab sambil berfikir, " Patriotisme....patriotisme bagi saya apa-apa yang saya lakukan untuk menunjukkan rasa cinta kita kepada negara ".

"Saudara ada patriotisme ?" tanya saya sambil merenung wajahnya yang bagaikan lembaga yang tergambar pada bungkusan sabun cap trojen itu ! Saya juga bertanya kerana kata-katanya, "apa-apa yang saya lakukan untuk menunjukkan rasa cinta kepada negara"! Agak saya dia berpenampilan begitu kerana itulah manifestasi rasa cintanya kepada Malaysia !

"Ada...ada ! Sebagai student universiti semangat patriotisme perlu ada dalam jiwa kita. Ini negara kita, kita perlu mencintai negara ini." tegasnya bersemangat.

Terpegun saya melihat seorang pelajar yang penampilan sebegitu rupa (seluar jeans cawat singkat, tali pinggang kepala besar, berambut kusut masai berala trojen, berantai leher dan bergelang), mengakui mempunyai semangat patriotisme yang kuat kepada negara !

Tidak salah !!! Bertuahnya negara tercinta ini !!

Monday, May 04, 2009

Di mana silapnya atau...... !


Di sebuah hentian tepi jalan saya singgah membeli sedikit jajan untuk bekal memandu bagi mengelak mengantuk. Saya bertembung dengan sekumpulan remaja bermotor kapcai semuanya. Saya senyum ke arah mereka. Dan mereka membalas senyuman saya.

"Assalamualaikum, apa khabar semua ?" tanya saya.

"Waalaikumussalam, sihat pakcik", jawab mereka.

"Nak ke mana ni ramai-ramai," tanya saya.

"Ronda-ronda pakcik, bagi heat sikit !", jawan salah seorang dari mereka. Saya tak tahu yang dimaksudkan tu heat atau hit.

"Enjoy juga meronda ya ?", tanya saya.

"Seronok pakcik, dapat merempit ni rasa macam merdeka, rasa dunia ni macam kita yang punya, itu yang syok itu pak cik", jawab salah seorang dari mereka kepada saya.

"Okaylah pakcik minta diri dulu, hati-hati di jalan raya dan jaga diri baik-baik," nasihat saya kepada mereka.

Terfikir kepada saya, itu rupanya erti kemerdekaan kepada mereka. Rugi sungguh kerajaan Malaysia!

Di manakah silapnya anak-anak remaja tadi ?
Atau silap siapa ?
Atau sebenarnya tiada silap apa-apapun?
Biarkan mereka begitu...............?

Saturday, May 02, 2009

Pelajar-pelajar lepasan SPM dan STPM perlu diberikan kemahiran dengan kadar segera bukan diploma yang tidak menjamin sebarang pekerjaan !


Hari semalam hari pekerja. Hari ini hari pekerja masih diraikan. Namun kian ramai para graduan yang keluar tidak setimpal dengan kelulusan yang mereka perolehi. Sampai bila mesti begini?


Masih ramai graduan yang berkelulusan yang berkerja sebagai guru GSTT yang masih tidak pasti masa depan. Bagaimana keadaan mereka apabila tugas mereka ditamatkan nanti. Tidak pasti. Sewaktu bersembang ramai yang mengadu kepada saya akan ketidakpastian masa depan mereka. Saya pun termenung memikirkannya namun apa yang mampu dilakukan. Usia mereka terus meninkat tua !


Saya pelik masih ramai pelajar-pelajar saya, yang memohon kursus-kursus peringkat diploma yang saya yakin tidak akan ada pekerjaan untuk mereka nanti. Contohnya Diploma Psikologi, Diploma Pengurusan Bank, dan pelbagai diploma yang entah apa-apa lagi.


Sepatutnya perkara ini perlu diberhentikan segera. Majoriti calon SPM atau STPM, lebih baik diberi panduan oleh Kementerian Pelajaran Tinggi atau Kementerian Tenaga dan Sumber Manusia agar mereka ini diberi sijil-sijil kemahiran yang lebih berfaedah. Nampaknya tindakan terlalu lambat.


Slogan Satu Malaysia, Rakyat didahulukan, Pencapaian dutamakan harus direalitikan segera. Sekurang-kurangnya sediakan segera kursus-kursus kemahiran dan halakan majoriti mereka ke situ. Jangan biarkan IPTS membuka kursus-kursus diploma yang mengarut yang tidak menjamin kemahiran dan pekerjaan nanti. Anak-anak adalah aset masa depan ibubapa mereka. Bayangkanlah anak-anak muda yang berkelulusan diploma berkerja sebagai jurujual Tunas Manja dan jurujual koperasi sekolah !


Lebih baik anak-anak muda ini diberi kaunseling kerjaya agar mereka diberi kemahiran dan kursus peniagaan, buat keropok, jual air, buat mee kuning, pembuatan makanan, catering, fesyen dan jahitan. Kursus-kursus seperti ini memang ada tetapi tidak dipopularkan kerana masih ramai para pelajar yang menganggap kursus kemahiran hanya untuk mereka yang tidak cerdik sedangkan ia tidak begitu. Zaman kini mereka yang memiliki kemahiran lebih mampu survive berbanding dengan mereka yang tiada kemahiran.


Sebagai contoh saya ada dua orang pelajar. Seorang tamat persekolahan selepas PMR dan terus bekerja. Hari ini telah mampu memiliki jengkaut sendiri dengan pendapatan empat angka. Hal ini diberitahu sendiri oleh beliau kepada saya. Seorang lagi bekas pelajar saya lebih cerdik dari pelajar yang pertama tadi dan memiliki diploma tanpa sebarang kemahiran. Hingga hari ini pelajar ini masih bekerja sebagai jurujual koperasi sekolah !


Diharap pihak yang bertanggungjawab melihat perkara ini dan bertindak segera halakan anak-anak muda kita kepada kursus-kursus kemahiran. Kursus yang memberi Sijil Kemahiran Malaysia 1,2,3,4,5 dan 6 perlu diperkasakan segera jika tidak kita akan terus melahirkan penganggur yang bertaraf diploma dan ijazah atau pemegang diploma dan ijazah yang hanya bekerja yang tidak setaraf dengan kelulusan mereka. Kerja yang entah apa-apa !


Jangan salahkan mereka kerana kitalah yang perlu merancang masa depan mereka. Jika kita salah merancang untuk mereka maka mereka akan syok sendiri dengan perancangan yang salah .


Selamat hari pekerja !

Friday, May 01, 2009

Majlis konvo anak dan kehadiran Ayahku ke rumah

Semalam seharian tidak ada di rumah. Pukul lapan pagi sudah berada di Polisas Kuantan kerana menghadiri Konvokesyen anak kedua yang kini sedang melanjut pelajarannya di UPSI Tanjung Malim. Kelihatan ramai ibubapa yang hadir. Semua kelihatan gembira melihat kejayaan anak-anak. Anak-anaklah harta mereka dunia dan akhirat. Justru itu kejayaan anak-anak perlu dipastikan.

Saya tertarik mengenai graduan terbaik Polisas Kuantan. Seorang anak muda yang selepas sekolah menengah rendahnya bermula dengan kursus singkat di Pusat Giat Mara yang seringkali dianggap ramai sebagai tempat pelajar keciciran pelajaran. Kemudian beliau melanjutkan pelajaran di Institut Latihan Perindustrian dan dari situlah anak muda ini menyambung pelajarannya di Politeknik Sultan Haji Ahmad Shah Kuantan.

Kesimpulan dari apa yang dipaparkan mengenai graduan cemerlang ini ialah persoalan sikap. Jika sikap seseorang anak muda itu betul terhadap masa depan dan ilmu, maka kejayaan adalah pasti buat dirinya.



Sebaik sampai di rumah, saya dan isteri menerima kehadiran tetamu yang tidak disangka. YM Tengku Adnan (Blogger Ayahku) yang hadir bersama Cikgu Yusuf Mohamad, Guru Besar SK Kg Aur. YM Tengku adalah rakan sekelas isteri saya sewaktu belajar di IAB dan di UPSI. Itulah perkenalan pertama saya dengan YM Tengku seorang yang kelihatan tenang, sporting dan sangat ramah orangnya. Terima kasih YM Tengku kerana hadir ke teratak kami. Oleh kerana kehadiran itu agak mengejut maka kami tak sempat hidangkan apa-apa cuma kopi istimewa hadiah Cikgu Yusuf Sipan, Guru Besar SK Pinang Seribu yang masih ada sedikit lagi.