Friday, January 09, 2009

Antara akur birokrasi dengan pengaruh peribadi

Pentadbiran perlu dijalankan. Keperluan ini, baik pulih itu, semua perlu dilakukan. Semuanya itu ada kos. Dan semua itu juga ada peraturan. Peraturan hendak dipatuhi. Walaupun sukar, akur mesti. Tunggu giliran mesti. Tunggu kelulusan, sudah tentulah.

Lambat. Sabar ! Walaupun tidak cukup prasarana. Walaupun tidak kondusif pembelajaran. Walaupun membahayakan. Yang penting buat sesuatu dulu agak dapat dikurangkan bahaya tapi bahaya tetap ada. Tetap duduk dalam suasana bahaya.

Tahun berganti. Bulan bertukar. Hari bergilir hari. Mohon dan mohon lagi. Lapor dan lapor lagi. Kirim lagi, pergi mengadap lagi. Ikut birokrasi. Kena ikut birokrasilah.... dan faham aliran organisasi.

Tum...tum...tum...., tidak ada hujan, tidak ada ribut, orang itu datang, orang itu singgah. Kelihatannya orang itu bawa tangga. Orang ini panjat tangga. Kenapa ni ? Apa yang berlaku ?

Rupa-rupanya pengaruh peribadi melangggar birokrasi. Boleh pulak peruntukan lulus puluh-puluh ribu !! Serta merta pulak tu !!

Begitu rupanya..........

Wednesday, January 07, 2009

Geram !

Kerosakan. Pelajar tidak selesa belajar. Menyusahkan pelajar. Membahayakan pelajar.

Berkali-kali sudah kita bagi tahu. Berkali-kali sudah kita lapor. Secara lisan. Secara bertulis. Secara rasmi. Secara tidak rasmi.

Jawapan yang diterima. Bajet tiada. Bajet besar. Bajet tak cukup. Acap-acap kita mohon, kita kena marah; Tak sabar-sabar. Tak faham-faham. Tak reti-reti !

Bila ada penjaga biasa komplen, kita akan didatangi. Kita akan dimarahi. Tak cakna. Tak Prihatin. Tak ambil berat. Tak profesional. Macam-macam kata yang canggih-canggih keluar. Atasi kerosakan tidak juga !!

Bila penjaga VIP komplen, kerosakan agaknya sampai kepada menteri. Serta merta ada bajet. Pagi-pagi dah mula kerja. Tengahari masih berkerja. Petang kerja lagi. Malam pun belum balik lagi. Kerosakan perlu disiap segera.

Kadang-kadang bagus juga anak-anak VIP tinggal di asrama. Kalau tidak semua buat pekak badak dengan gaya profesional yang tidak keharuan cara ! Padan muka !

Tuesday, January 06, 2009

Pengajaran dan pembelajaran sudah bermula rancak

Sekolah sudah bermula dan hari ini hari kedua. Hari pertama kelihatan semuanya teratur. Di sana sini kedengaran suara guru berbagai nada mengajar di kelas-kelas masing-masing.

Sewaktu saya sedang berucap di perhimpunan pertama semalam, tiba-tiba kami dilawati oleh Puan Hajjah Zabedah Osman Ketua Sektor Unit Jaminan Kualiti JPN Pahang. Beliau turut menyertai perhimpunan dan sempat berucap selepas ucapan Tuan Pengetua. Dalam ucapannya Puan Hajjah Zabedah berharap SMK Seri Rompin sebagai salah sebuah Sekolah Rancangan Khas negeri Pahang dipacu terus untuk mencapai kejayaan yang lebih cemerlang lagi. Beliau begitu menekankan program Diskusi Akademik, Pembimbing Rakan Sebaya Akademik, dan Waktu Prep Petang sebagai suatu mekanisme utama untuk mencapai kecemerlangan yang lebih berkesan.

Selepas perhimpunan saya bergegas pula ke lokasi pendaftaran pelajar-pelajar Tingkatan Satu. Di sana saya menyampaikan taklimat disiplin kepada para ibubapa dan pelajar baru yang terpilih memasuki sekolah ini. Pada tahun ini seramai 86 orang pelajar Tingkatan Satu yang telah mendaftar.

Hari ini, hari kedua suasana di sekolah ini begitu sunyi sekali seperti tiada orang yang hadir. Hanya terdengar suara lantang seorang dua guru-guru yang mengajar. Suasana agak riuh hanya pada waktu rehat.

Saya belum sempat masuk ke kelas MUET saya, hanya sempat mengirim tugasan kerana terpaksa memberi taklimat pelajar di minggu suaikenal pelajar Tingkatan Satu dan Empat.

Besok saya akan mula mengajar MUET Tingkatan Enam Atas. Saya tidak tahu berapa ramai pelajar 6 Atas Sains yang tinggal kerana ramai di antara mereka yang berjaya mendapat pelbagai kerja melalui SPA dan memasuki Politeknik serta Universiti. Lusa saya terpaksa meninggalkan sekolah semula selama dua hari kerana terpaksa menghadiri mesyuarat dan taklimat pendaftaran MUET pertengahan 2009 di Kuantan. Pendek kata minggu hadapan barulah pengajaran saya berjalan lancar.

Keajaiban haiwan di sekeliling kita


- Kanggaroo tidak boleh berjalan mengundur

- Memerang mampu bertahan selama 45 minit dalam air.

- Burung kelicap merupakan burung terkecil dalam dunia dengan berat kurang 1 gram.

- Beruang mampu berlari dengan kelajuan lebih dari 45 km sejam.

- Gajah satu-satunya binatang yang tidak boleh melompat.

- Beruang kutub adalah binatang kidal.

- Kucing memiliki 32 otot di kedua-dua belah telinganya.

- Harimau bukan sahaja mempunyai bulu yang berbelang malah kulitnya juga berbelang.

- Bagi mengelak dari kesejukan rusa di kawasan beriklim sejuk makan lumut untuk mengekalkan suhu badan.

- Ular boleh melihat menerusi kelopak matanya.

- Burung belatuk boleh mematuk 20 kali setiap saat tanpa menjejaskan kepala atau mendatangkan kesakitan kerana tengkorak burung itu mempunyai poket udara bagi tujuan melindungi otaknya.

- Mentadak mentadu satu-satunya serangga yang boleh memusingkan kepalanya 360 darjah.

- Belalang mempunyai telinga pada bahagian hadapan kakinya.

- Binatang yang paling kuat di dunia ialah badak sumbu. Haiwan ini boleh mengangkat 850 kali berat badannya sendiri.

- Sumpah-sumpah mempunyai lidah yang panjang ia itu sama panjang dengan badannya sendiri.

- Kebanyakan ular tidak pernah berhenti membesar sebab itulah ular tidak pernah berhenti bersalin kulit.

- Artic tern iaitu sejenis burung laut berkepak panjang terbang berulang-alik dari kutub utara ke kutub selatan untuk menikmati musim panas di setiap tempat.

- Sejenis semut hitam yang dipanggil black bulldog ant di Australia merupakan semut yang paling berbahaya di dunia. Ia menggigit dan mengeluarkan bisa dalam satu-satu masa dan boleh membunuh manusia.

- Badar air boleh menyelam lebih dari 30 minit.

- Tenggiling adalah binatang yang paling malas. Haiwan ini menggunakan 80 % hayatnya semata-mata untuk tidur.

- Sesungguhnya haiwan yang berada di sekeliling kita tidak wujud dengan sendirinya kecuali di cipta oleh Allah Yang Maha Agung.

Sunday, January 04, 2009

Sahabat kita cikgu Hassan Muda sakit tenat.

Nampaknya dua tiga hari ini ruang untuk menulis blog ini begitu terhad sekali. Banyak urusan yang terpaksa dilakukan di luar yang tidak memberi ruang kepada saya mengadap laptop saya ini secara penuh konsentrasi. Kelmarin baru balik dari UPSI Tanjung Malim. Semalam ke Kuantan seharian hingga waktu balik tersekat banjir di Sungai Miang Pekan dan terpaksa patah balik melalui jalan Batu Balik ke Lebuh Raya Kuantan - Segamat melalui Muadzam Shah. Sungguh memenatkan.

Hari ini saya berada di sekolah kerana pendaftaran para pelajar Tingkatan Dua, Tiga, Empat, Lima dan Enam Atas. Ramai penjaga yang datang dan sempat memberi taklimat kepada penjaga mengenai beberapa isu berbangkit khususnya mengenai pembayaran yuran tambahan.

Peristiwa dianggap pelik berlaku di sekolah hari ini ialah ramai ibubapa penjaga hendak bayar duit kepada sekolah , pihak sekolah tak mahu terima duit !

Seorang penjaga berkata kepada saya “ Hai…apa pelik sangat tahun ni cikgu, kami nak bayar yuran semua cikgu tak mahu tarima duit ?”

Saya hanya tersenyum sahaja. Malas hendak mengulas. Mungkin penjaga ini tidak tahu apa-apa agaknya atau mungkin tahu, tapi hanya mahu bergurau. Bagi guru, semua mereka tahu kenapa jadi begitu. Ramai penjaga pelik apabila diberitahu yang boleh dikutip agak awal sedikit oleh pihak sekolah hanyalah Takaful dan Yuran Asrama sahaja.

Saya sampai di rumah dari sekolah pukul 2.30 petang. Badan terasa agak letih menuntut saya agar berehat. Pukul 5 petang tadi saya bersama sahabat Ustaz Ibrahim Man dan Saudara Mustafa Kamal dan kemudian diikuti oleh Tuan Hamizi Hussin pergi menziarahi sahabat, Cikgu Hassan Muda, Guru Besar SK Sungai Mok yang sedang sakit tenat mengidap sakit organ hati, di rumah abangnya di Taman Impian.

Melihat keadaan cikgu Hassan saya terasa begitu sedih dan terharu. Keadaan fizikalnya begitu berubah daripada biasa yang kami selalu lihat. Cikgu Hassan seorang sahabat yang baik, sentiasa bersikap ‘happy go lucky’ dengan kawan-kawan. Bagi saya beliau seorangyang berwatak tenang dalam kehidupan dan pergaulan sehariannya. Kelakarnya sangat bersahaja.

Sewaktu mengadap wajahnya dan memegang tangannya, cikgu Hassan rupa-rupa masih mengenali saya walaupun keadaannya begitu kritikal sekali. Apabila semakin ramai tetamu datang menziarahi kami minta izin pulang lebih kurang pukul 6.10 minit petang.

Melihat dan merenung keadaan sahabat yang sedang sakit seperti cikgu Hassan Muda sewajarnya memberi banyak pengajaran kepada kita semua khusus kepada yang mahu berfikir. Ini masa dan keadaan cikgu Hassan, masa dan keadaan kita belum tentu bagaimana. Tiba-tiba saja kedengaran cikgu Hassan sakit ! Semoga Allah menyembuhkan kesihatan Cikgu Hassan Muda . Amin Ya Allah !

Thursday, January 01, 2009

Keajaiban dan kehebatan seorang Ibu.

Dalam perjalanan ke bandar Tasik Puteri Rawang, kami singgah sebentar di Mydeen Rawang kerana anak yang akan mendaftar di UPSI esok masih ada keperluan untuk dibeli. Sementara menunggu anak-anak dan ibunya membeli, saya menunggu dalam kereta.

Parking begitu sukar sekali. Kereta terpaksa ditenggekkan begitu sahaja di tepi jalan. Dan kelihatannya jalanraya 'jam'. Manusia pun boleh tahan ramai dalam Mydeen. Sambil melihat suasana dan gelagat manusia yang berbagai, saya ternampak seorang wanita yang kelihatan sarat mengandung dan termengah-mengah sebaik keluar dari gedung tersebut.

Dalam hati berkata " Wanita ni karang ada beranak kat pintu Mydeen."

Memang lain macam benar mengahnya tu. Di manakah suaminya untuk bersamanya pada waktu-waktu begitu ? Dan kenapalah dia gagah-gagahkan juga dirinya dah tahu keadaannya begitu untuk membeli belah di waktu orang bersesak-sesak itu ? Apakah yang dibelinya hingga begitu mustahak sangat ? Apakah yang dibeli itu adalah keperluan 'baby' yang bakal dilahirkan ? Bertalu-talu soalan dalam minda saya.

Melihat wanita yang sarat mengandung itu, teringat saya kepada ibu saya yang telah pergi buat selama-lamanya pada September 2008 yang lalu. Besarnya pengorbanan seorang ibu.

Renungkanlah, bayi dilahirkan selepas 40 minggu berada di dalam rahim ibu. Pada bulan pertama, panjang janin kira-kira satu ruas jari tangan. Bulan kedua, wajah, tangan. kaki dan jari-jarinya terbentuk. Pada bulan ketiga, alat jantina mula kelihatan dan bulan keempat, ditiupkan roh ke dalam tubuhnya. Pada bulan kelima, debar jantungnya mula dapat dikesan.

Demikianlah janin itu terus membesar dan membesar, lengkap dengan organ-organ dalamannya dan lahir selepas sembilan bulan 10 hari di dalam perut ibu. Janin menempatkan kepalanya mengarah ke dinding rahim dengan sedikit ruang gerak agar ia dapat keluar (lahir) dengan mudah.

Siapakah yang mengajar dan menempatkannya dalam keadaan demikian? Pastinya Dia Yang Maha Agung.

Mengikut kajian, 80 peratus ibu boleh melahirkan bayi tanpa dibantu oleh pihak lain. !5 peratus dengan bantuan dan lebih kurang 5 peratus lagi perlu dibedah.

Seorang ibu memang akan berasa sakit semasa proses kontradiksi tetapi sekali lagi Yang Maha Esa membekalkan ibu dengan perasaan sabar dan kasih sayang yang menebal yang tiada tolok bandingnya. Kesakitan terus dilupakan sebaik melihat bayinya selamat dilahirkan. Saat itu segala kesakitan hilang sertamerta dan digantikan dengan perasan gembira. Mereka menjaga bayi dengan penuh kasih sayang.

Malangnya, apabila sudah besar, bukan semua anak-anak tahu menghargai pengorbanan dan kasih sayang ibu kepada mereka. Masya Allah !

Selamat Tahun Baru 2009

Salam Tahun Baru 2009. Hari ini hari pertama kita bertapak di tahun baru 2009. Segala yang dilakukan dan telah berlaku pada tahun 2008 telah kita tutup akaun malam tadi. Ada yang tutup secara Islami ada yang menutup secara yang melalaikan.

Apakah tahun baru 2009 akan membawa cahaya yang gilang-gemilang buat semua, belum dapat dipastikan lagi. Apa yang pasti cabaran dan tribulasi perjuangan membina kehidupan nampaknya samakin getir semakin hari berlalu. Ekonomi dunia kian tenat,begitu juga dengan ekonomi negara tercinta. Semua digesa beringat-ingat dan berjimat-jimat. Harga minyak telah turun dengan banyaknya namun harga barang terus melambung tinggi !

Bagi seorang ketua keluarga banyak yang perlu difikirkan. Kehidupan dan pendidikan keluarga, juga masa depan anak-anak dalam kehidupan yang begini mencabar dan semakin hilang tatasula budaya dan agama.

Bagi anak-anak muda sama ada lelaki mahupun anak gadis yang masih belajar, persaingan semakin sengit. Realiti hari kelihatannya sudah tidak mahu orang yang berjaya tetapi lebih memilih orang yang dikatakan cemerlang. Hari ini bersaing untuk cemerlang adalah kepastian.

Bagi segelintir anak-anak remaja belasan tahun apakah di lapangan 2009 ini, mereka akan terus merempit, bersiulan di simpang-simpang jalan dan membuang masa yang akhirnya memberi begitu banyak ruang yang mampu merusakkan diri ?

Demikian antara perkara yang merupakan tribulasi dan cabaran getir kepada kita semua. Selamat Tahun Baru 2009.