Wednesday, July 27, 2011

Rahsia paling besar kita


Rahsia paling besar yang tersimpan sejak zaman berzaman ialah kemampuan kita untuk menggunakan kuasa minda bawah sedar kita. Kita bertanggungjawab dan mempunyai kawalan terhadapnya. Oleh itu, berilah arahan yang betul.

Peraturan yang terdapat dalam hidup ini termasuklah hukum mengenai keyakinan dan harapan. Yakinlah bahawa kuasa untuk mendapatkan apa yang kita inginkan terletak di dalam diri kita dan caranya ialah dengan mengarah dan mempunyai akses terhadap minda bawah sedar kita.

Ingatlah bahawa apabila kita mengubah pemikiran, kita sebenarnya mengubah nasib kita dan sekiranya kita benar-benar ingin agar hidup kita menjadi berlainan, kita perlu mengubah pemikiran kita serta tahap harapan kita.

Tuesday, July 26, 2011

Kita bertanggungjawab terhadap kehidupan kita

Mungkin benar kita tidak boleh mengatasi tahap pemikiran yang kita miliki sekarang. Bagaimanapun, kita sebenarnya boleh menentukan hadnya dan kita boleh menambahnya dengan menukar cara kita berfikir.

Kita tidak terikat selama-lamanya dengan had yang ada sekarang. Kita boleh berkembang. Kita boleh menambah skop pencapaian kita dengan menambah had pemikiran kita dan mempertingkatkan tahap harapan kita.

Yang penting sekali bagi kita, ingatlah bahawa kita sebenarnya bertanggungjawab bagi kehidupan kita. Jawapan bagi semua masalah dan kejayaan yang kita alami terdapat dalam diri kita sendiri. Lihatlah ke dalam diri sendiri untuk mendapatkan jawapan bagi mencapai apa yang paling kita ingini dalam hidup ini.

Monday, July 18, 2011

Selamat mengatur jejak bertapak di kampus!


Nampaknya ramai yang bergembira di atas kejayaan mencapai impian belajar di Universiti. Ada yang berjaya mendapat kursus yang menjadi impian selama ini dan ada yang tidak.

Namun demikian perjuangan di alam persekolahan atau matrikulasi selama ini mungkin berbaloi bagi sebahagian pelajar dan tidak bagi sebahagian yang lain. Dua kumpulan pelajar ini sudah pasti mempunyai perasaan yang berbeza-beza. Ada yang terlalu gembira, ada yang bersyukur sahaja, ada yang tidak puas hati, ada yang terpaksa menerima, ada yang menyesali tidak mengikut nasihat cikgu dahulu dan berbagai-bagai.

Itu semua sudah berlalu. Lupakan sahaja. Apa yang penting hadapilah yang dianugerahkan dengan penuh keazaman, kecekalan, dan penuh minat. Segera letakkan matlamat baru berada di kampus universiti, jangan bermula dengan sikap syok sendiri yang tidak akan membawa ke mana-mana. Ingat persaingan di univeriti pada hari ini bukan lagi untuk lulus tetapi perlu mendapat keputsan yang cemerlang. Hanya keputusan cemerlang menjamin masa depan.

Kepada semua, tahniah dan bermulalah di semester pertama nanti dengan keputusan paling cemerlang jika tidak mahu terperangkap dikemudian hari. Selamat belajar di kampus!


Tuesday, July 12, 2011

Binalah setinggi harapan

Setiap orang ingin menjadi pemenang dan sentiasa ingin berada di atas. Jika inilah yang diharapkan, maka inilah juga yang akan kita perolehi. Hukum mengenai harapan sentiasa memberi kesan kepada hidup kita.

Kemanakah arah tujuan kita dan apakah yang kita jangka atau harapkan ?

Sebanyak mana kejayaan yang kita capai ditentukan oleh sejauh mana kita berusaha. Sebesar mana kejayaan yang dicapai ditentukan oleh setinggi mana harapan kita mengenainya. Lebih banyak yang kita harapkan, lebih banyaklah yang kita dapat. Setiap apa yang kita lakukan dalam hidup ini kitalah yang menentukan hasilnya. Teruskan membina harapan dan berusaha!