Thursday, June 30, 2011

Tingkatkan harapan, jelaskan gambaran

Setelah kesibukan selama beberapa hari kini kita bersua kembali.

Memenuhi pengharapan yang besar umpama satu perjalanan dalam kehidupan kita. Ia bermula dengan impian dan kemudian idea yang digambarkan dengan jelas pada skrin minda kehidupan kita dan disokong dengan tindakan yang bersungguh-sungguh.

Setelah itu barulah kita mencapai hasilnya sepertimana yang telah kita gambarkan. Ia mungkin berupa kehidupan yang lebih bahagia, gembira atau kejayaan mencapai apa yang kita impiankan.

Andainya ini belum dilakukan, maka inilah masanya untuk kita mempertingkatkan impian kita agar ia menjadi harapan yang ingin dicapai dalam hidup kita. Inilah juga masanya untuk memberi semangat kepada harapan kita agar ia boleh ditukar menjadi suatu pencapaian.

Friday, June 24, 2011

Keyakinan adalah pendorong

Keinginan adalah pendorong. Sekiranya kita ingin mempertingkatkan tahap pengharapan kita, kita boleh memupuk apa yang kita inginkan itu melalui kesungguhan hati. Andainya keinginan terhadap apa yang kita mahu itu, melebihi kesulitan atau keperitan yang perlu kita lalui untuk mendapatkanya, maka kita akan berusaha juga untuk mencapai keinginan kita itu.

Jangan amalkan sikap, "mungkin", "bolehkah aku", "aku tak yakin" "nanti dulu" ataupun "lain kalilah". Jangan bersikap hangat-hangat tahi ayam. Kita akan bertindak andainya mempunyai keinginan yang cukup kuat. Oleh itu binalah keinginan andainya kita ingin membuat perubahan.

Sekiranya tindakan kita disokong dengan perasaan yakin, maka kita akan dapat membina harga diri dan harapan kita. Setelah itu, usahakanlah apa yang menjadi keyakinan kita, buatlah apa yang perlu dibuat untuk mencapai apa yang kita harapkan.

Thursday, June 23, 2011

Tingkatkan tahap pengharapan


Andainya kita ingin mempertingkatkan tahap pencapaian kita, maka kita mestilah mempertingkatkan tahap pengharapan kita. Pencapaian kita tiada hadnya kecuali apa yang kita letakkan di bahu kita sendiri.

Tiada rahsia besar mengenai cara-cara mempertingkatkan pengharapan kita. Ia boleh dilakukan dalam minda setiap individu yang ingin membuat perubahan, dan ia boleh dilakukan dengan mempertingkatkan tahap pengharapan. Untuk melaksanakannya, kita perlu percaya bahawa apa yang kita harapkan itu adalah sesuatu yang munasabah.

Perubahan pertama yang perlu dibuat dalam pemikiran kita ialah bagaimana minda kita sekarang dan bagaimana perasaan kita yang ada sekarang, boleh diubah kepada apa yang kita perlu lakukan dan bagaimana perasaan kita untuk menjadikan tahap jangkaan baru kita itu, suatu kenyataan.

Tuesday, June 21, 2011

Kita sentiasa berpeluang memperolehi kejayaan

Kebanyakan kita memang ingin berjaya dalam hidup ini tetapi soalnya ialah apakah kita benar-benar mengharapkan kejayaan? Ramai dalam kalangan kita inginkan perkara-perkara yang dibawa oleh kejayaan seperti kebebasan kewangan, kedudukan yang mulia dan bahagia, berilmu dunia dan akhirat, prestij, dihormati dan beberapa perkara lain dari segi kemewahan kebendaan. Tetapi berapa ramaikah daripada kita yang mengharapkan akan mendapat semua itu?

Berapa ramaikah daripada kita yang mahu berusaha, memikul tanggungjawab, memerah keringat dan membanting tulang untuk mendapat dan mengekalkan kejayaan?

Jawabnya ialah tidak ramai daripada kita yang mempunyai tahap pengharapan dan komitmen seperti itu. Jika begitu, bolehkah kita mencapai apa yang kita anggap sebagai kejayaan dalam hidup kita, sedangkan kita memang berpeluang memperolehinya seperti orang lain juga.

Tuesday, June 14, 2011

Bina hanya matlamat yang jelas dan tepat

Masalah besar yang kita hadapi dalam menjalani kehidupan, bukanlah kerana tidak mempunyai matlamat, sebaliknya kita mempunyai terlalu banyak matlamat, tetapi tanpa arah yang tepat. Kebanyakan kita tidak mempunyai arah yang pasti dalam hidup ini. Kita bergegas ke sana ke mari untuk cuba mendapatkan itu dan ini, tetapi kita lupa bahawa apabila kita terlalu banyak menumpukan perhatian terhadap semua perkara, kita sebenarnya tidak menumpukan perhatian terhadap apa-apa juga perkara pun.

Kita tidak mampu membuat semua perkara dalam hidup ini. Apa yang perlu kita lakukan ialah mengenal pasti matlamat yang benar-benar penting bagi kita. Berilah keutamaan kepadanya dan kemudian kejarlah ia dengan segala tenaga serta kepakaran yang mampu kita kuasai.

Tanamkan harapan yang ia akan menjelma dalam kehidupan kita. Nescaya ia akan menjadi kenyataan.

Sunday, June 12, 2011

Matlamat menghimpun tenaga

Matlamat adalah kunci bagi pencapaian dan peningkatan diri. Matlamat membentuk kehidupan kita kerana ia menentukan laluan ke arah mencapai apa yang kita cita-citakan. Ia juga adalah pengharapan kita. Matlamat menghimpunkan tenaga kita, memberi kita arah tuju dan mencipta tujuan dalam hidup kita.

Kita terbabit dengan matlamat sejak kecil lagi. Kebanyakan daripadanya diberikan kepada kita oleh ibubapa kita atau mungkin oleh orang lain. Semasa kecil, ibubapa memberitahu kita apa yang patut dilakukan dan menetapkan matlamat buat kita. Ini termasukkan supaya kita bersikap jujur, berakhlak mulia, rajin solat, mempunyai pendidikan yang baik, menggunting rambut, selalu awal untuk membuat sesuatu, menambah berat badan, mengurangkan berat badan, makan makanan yang sesuai, belajar rajin-rajin dan sebagainya.

Apabila kita dewasa, kita telah mengumpul beratus-ratus matlamat yang kebanyakannya mudah, biasa dan tidak sulit untuk mencapainya. Perbuatan sebegini telah membawa kepada pembinaan suatu tabiat yang meletakkan kita pada tahap yang ada sekarang.

Saturday, June 11, 2011

Perasaan tidak puas hati adalah pendorong

Walaupun mempunyai hasrat untuk membuat perubahan dan mencapai kejayaan yang lebih besar, kebanyakan kita tidak mencapai apa yang diharapkan, kerana lumrahnya kita hanya berpuas hati dengan apa yang diperolehi.

Kita sentiasa bersedia untuk bertolak ansur dengan diri sendiri walaupun kita dapat rasakan bahawa kita tidak berpuas hati dengan untung nasib kita. Maka jika begitulah kita, kita tidak akan mengalami sebarang perubahan.

Perasaan tidak puas hati sepatutnya menjadi penggerak yang paling hebat bagi diri kita, kerana apabila kita rasa begitu, maka kita akan mendorong diri kita untuk melakukan sesuatu bagi mengatasi apa yang menjadi kebimbangan kita.

Friday, June 10, 2011

Tingkatkan harapan

Harapan yang tinggi menggunung selalunya terbina dengan mempertingkatkan harapan kita sedikit demi sedikit. Ia lahir sebaik sahaja kita mula menerima hakikat tentang bagaimana kehidupan ini harus berlangsung, ia itu dalam beberapa cara yang tidak pernah dinyatakan kepada kita; peristiwa serta perkara kita gambarkan dalam percakapan diri dan minda kita dengan jelas, kita disokong oleh tindakan kita sendiri yang bersungguh-sungguh dan disertai dengan keyakinan dan kepercayaan yang kita boleh mencapai kemahuan diri kita.

Inilah keajaiban kebolehan memenuhi kemahuan diri dalam hidup kita baik secara kebetulan ataupun secara dirancang.

Mesej ini jelas bertujuan mempertingkatkan tahap pengharapan serta fokus kita, bagi memenuhi kemahuan diri untuk menjadikan pengharapan kita satu kejayaan.


Thursday, June 09, 2011

Antara mahu dan harap

Sebenarnya kehidupan ini ialah proses memenuhi kehendak diri. Kita tidak boleh mendapat dari hidup ini apa yang kita mahu tetapi apa yang kita harapkan. Banyak yang kita harap maka banyaklah yang kita dapat. Sedikit yang kita harap atau rendah harapan kita maka sedikitlah yang kita perolehi atau rendahlah penghasilan kita.

Kita hanya mendapat apa yang kita mahu hanya sekiranya kita menyesuaikan apa yang kita mahu dengan apa yang kita harapkan. Pencapaian cemerlang ditunjangi oleh harapan yang tinggi menggunung. Banyak yang diharap oleh kita maka banyaklah yang kita perolehi.

Apakah yang kita harapkan dalam hidup ini? Apakah kita mempunyai harapan yang besar untuk diri kita atau adakah kita masih terkial-kial untuk mencapai apa yang kita hajati?

Wednesday, June 08, 2011

Sikap penentu kejayaan

Dengan mempunyai sikap yang betul, kita akan dapat menguasai kepakaran yang diperlukan untuk mencapai kejayaan. Namun demikian, kepakaran yang paling tinggi sekalipun tidak akan menghasilkan apa-apa sekiranya tidak disertai dengan sikap yang boleh membawa kejayaan.

Walau bagaimana sekalipun kita melihat dan menilainya, kejayaan tidak banyak mempunyai kaitan dengan kelebihan luaran. Ia sebaliknya banyak berkait dengan apa yang kita mahu, apa yang kita fikir, apa yang kita percaya dan apa yang kita yakin.

Akhir sekali, kejayaan ditentukan oleh apa yang kita terima.

Tuesday, June 07, 2011

Cara berfikir ukuran kejayaan

Cara kita berfikir jelas menjadi ukuran kejayaan dalam hidup ini. Kejayaan tidak banyak bergantung kepada kelebihan yang dimiliki dalam bidang pendidikan, wang ringgit atau kedudukan seseorang. Perkara-perkara ini boleh membantu tetapi bukanlah merupakan faktor penentu.

Wang ringgit sering lenyap. Pendidikan pula adalah pengetahuan, tetapi andainya ia tidak disokong oleh tindakan mengamalkan apa yang diketahui, maka ia tidak banyak memberi faedah.

Sikap seperti komitmen, pemikiran besar, keyakinan dan kepercayaan mempunyai pengaruh lebih besar terhadap kejayaan berbanding kepakaran - cara berfikir tergolong sebagai salah satu sikap yang penting.

Sunday, June 05, 2011

Kita adalah apa yang kita fikirkan!

Bercakap tentang kejayaan, hidup ini kelihatan penuh dengan dugaan dan cabaran. Terdapat manusia yang mempunyai kelebihan dari pelbagai segi seperti kekayaan, pendidikan, kedudukan dan keistimewaan tetapi gagal memanfaatkan potensi yang mereka miliki.

Manakala di satu keadaan yang lain terdapat manusia yang menghadapi pelbagai kekurangan tetapi mampu menghadapi pelbagai rintangan dan berjaya dalam hidup mereka.

Mengapakah perkara ini sering terjadi? Apakah terdapat kepakaran atau keistimewaan atau kelemahan yang boleh menjadi penentu kita? Adakah segalanya itu kerana nasib? Atau memang terdapat faktor yang mempengaruhi prestasi kehidupan kita? Sekiranya faktor itu memang benar wujud, apakah boleh kita gunakannya untuk mencapai impian kita atau sebaliknya?

Apakah faktor itu?

Ya...faktor itu memang wujud pada kita. Ia adalah FIKIRAN kita! FIKIRAN kita adalah faktor yang menentukan.....menentukan sama ada kita berjaya atau gagal!

Friday, June 03, 2011

Jadilah manusia baru yang membawa sinar

Sekiranya kita ingin menjadi manusia baru yang cemerlang dalam hidup dan berlainan dari sebelumnya, sekali lagi diulangi, caranya ialah percakapan diri, keazaman dan penggambaran yang selalu bertumpu kepada aspek-aspek positif yang ingin kita bina dalam diri kita.

Kuasa memenuhi kemahuan diri perlu dipertenagakan melalui iltizam dan keazaman yang boleh memberi manfaat yang cukup berkesan jika kita menggunakannya dengan sebaik mungkin dan terancang.

Yang penting kita perlu mulakan sekarang! Bukan esok, bukan lusa tapi sekarang juga untuk menjadi manusia baru yang sentiasa membawa sinar bukan sahaja kepada diri sendiri malah kepada semua.

Wednesday, June 01, 2011

Buang segala metos yang menghalang

Memandangkan kebanyakan kepercayaan yang tertanam dalam minda dan sikap kita, adalah hasil dari percakapan diri kita, maka ia perlu diuji. Sekiranya tidak tepat maka ia perlu dilontar jauh-jauh untuk memudahkan kita menerima pakai imej diri yang baru lagi positif.

Selalulah berhati-hati untuk memastikan yang kepercayaan yang dimasukkan ke dalam minda bawah sedar kita adalah kepercayaan-kepercayaan yang betul dan yang bersikap "aku boleh!".

Selalulah menilai semula apa yang menjadi kepercayaan kita dan buangkanlah segala metos yang berlingkar di persekitaran pemikiran dan sikap kita, yang boleh menghalang kemajuan serta kemampuan kita untuk mencapai apa yang dicita-citakan.