Rencah kehidupan sangat berbagai. Mendatar, bersemangat malah sering juga meruntun emosi. Dalam ada yang bergembira, ada juga yang berduka. Begitu juga sebaliknya dalam ada yang berduka, ramai yang bergembira sakan.
Sepanjang minggu lalu aku melihat pelbagai keceriaan dan emosi berbaur di sana sini. Bermula dengan sambutan hari guru pada 16 Mei 2011 dengan pelbagai program begitu menceriakan. Namun seperti yang dikatakan tadi, tidak kurang dengan hal-hal yang membawa malang. Dalam syok bermain ada yang terjatuh di padang bola jaring hingga terretak tulang siku! Terpaksa bergegas ke hospital. Adoi!
Antara berita yang agak menyentuh emosi apabila mendengar berita pemergian cikgu Othman Jusuh di Nenasi. Cikgu Othman atau cikgu Man adalah bekas GPK Hem aku sewaktu mengajar di SK Leban Chondong dahulu. Seorang yang banyak pengalaman sebagai guru dan pengurus sekolah, terlalu banyak mendidik dan membimbing guru-guru seperti aku. Antara keistimewaan cikgu Man ialah sikapnya yang tidak pandai marah dan mempunyai terlalu ramai kenalan. Sentiasa bersikap tenang dan bersahaja tetapi aggresif dalam mengatur gerak kerja. Selepas waktu pencennya, aku dan sahabat-sahabat yang lain begitu mudah untuk berjumpa dengan cikgu Man, kami hanya singgah di Masjid Nenasi, maka berjumpalah dengan cikgu Man. Kini di usianya 67 tahun, cikgu Man telah pergi buat selama-lamanya. Semoga Allah mencucuri rahmat ke atas roh Allahyarham dan menempatkannya dala golongan orang-orang yang saleh. Al Fatihah.
Sewaktu menziarahi Allahyarham cikgu Man Jusoh di rumah Allahyarham, aku terserempak dengan seorang lagi bekas GPK pentadbiran sewaktu aku mengajar di sekolah rendah dahulu, cikgu Razak Hassan. Setelah begitu lama aku tidak bersua dengannya kerana aku bertukar sekolah lain dan dia ke Kementerian, keadaannya sangat memeranjatkan aku. Cikgu Razak mencerita dia bersara awal kerana kesihatannya tidak berapa baik. Setiap minggu dia akan ke hospital Pekan untuk cuci buah pinggang.
Aku tanya cikgu Razak masih ingat aku lagi atau tidak?
"Eh..kawan ingat lagi awak. Kawan dengar suara awak, kawan agak dah...macam suara Sazili tu!"jelas cikgu Razak.
Sebelum berpisah aku mendoakan semoga cikgu Razak cepat sembuh dan mampu terus untuk menerima segala takdirNya.
Sebaik bermula cuti sekolah, di pagi Sabtu 28 Mei 2011, aku dikejutkan sekali lagi dengan berita kemalangan seorang lagi sahabat baik aku. Isteri meluru masuk ke bilik study memaklumkan bahawa cikgu Lamin atau lebih dikenali dengan panggilan sir Lamin telah meninggal dunia. Setelah mendapat maklumat bagaimana meninggal, jenazah sedang berada di mana, kebumi di mana, aku termenung memikirkan sahabat karib ku ini.
Menurut cerita sewaktu berada di rumah Allahyarham, sir Lamin telah terbabit dalam kemalangan maut itu sewaktu dalam perjalanan menuju ke bandar Muadzam Shah berdekatan stesyen timbang JPJ. Allahyarham katanya bertembung dengan kenderaan dari laluan yang bertentangan kerana cuba mengelak dari melanggar binatang yang melintas di pagi itu. Syukur isteri dan anak sir Lamin terselamat walaupun anaknya terpaksa dimasukkan ke hospital.
Kami mempunyai pengalaman suka duka bersama sewaktu menjadi guru Bahasa Inggeris di sekolah kebangsaan dahulu. Kami sering berkursus bersama, ernah menjadi guru sumber bersama malah pernah mengganggotai Teacher's Support Team bagi daerah ini. Kami sering bertugas di berbagai sekolah bersama untuk menjayakan pengajaran dan aktiviti Bahasa Inggeris. Banyak kenangan manis dan menceriakan apabila kami bersama apabila kami mengenang dan menceritakan kembali pengalaman lalu. Kini di usia 51 tahun, sir Lamin sudah tiada lagi dalam kancah kerjaya ini. Semoga segala jasa dan pengorbanan sir Lamin kepada para sahabat dan para pelajarnya yang tidak terhingga itu dibalas dengan kebaikan oleh Allah SWT. Al-Fatihah.
Pada Ahad 29 Mei aku menjadi kebuntuan seketika. Menerima 6 jemputan kenduri kahwin bukanlah satu kerja yang mudah untuk dilakukan. Sebelum bertolak menghadiri kenduri kahwin aku telah berbincang dengan isteri, jemputan mana yang akan dihadiri. Sudah tentu 1 buah rumah aku tidak akan hadir kerana faktor jarak. Aku akan cuba menhadiri 5 buah sahaja jika mampu.
Rumah pertama, aku menghadiri kenduri cikgu Kassim Mahmood. Perut agak lapar maka aku makan agak berselera. Rumah kedua, ketiga dan keempat aku tidak makan cuma sekadar menjamah bubur kacang sahaja. Rumah kelima aku makan sedikit kerana terliur melihat ikan masin yang menjadi antara hidangan yang membuka selera. Suasana di majlis perkahwinan begitu ceria dengan cuaca yang panas terik.
Begitulah sedikit coretan mingguan, di sana sini ada suka duka, gembira ceria! Kita yang masih hidup perlu bersedia untuk semuanya jika ditakdirkan. Namun yang paling penting berhati-hati memandu, berhati-hati bermain dan beringat-ingat ketika bergembira!
Selamat bercuti sekolah!