Saturday, July 31, 2010

Huhuhu....!!!!


Betapa pentingnya paip air kepada kehidupan kita terutama bagi kehidupan orang Melayu dan juga orang Islam. Namun budaya sejagat yang dikuasai budaya barat, terlalu dominan sebagai latar belakang apa yang dikatakan kemodenan itu.

Atau apakah budaya Malaysia begitu dipengaruhi oleh budaya golongan mereka yang tidak menggunakan air mutlak sebagai pencuci najis besar manusia.

Selama ini cuma mendengar dan selama ini cuba mengelak untuk tidak berada di bilik hotel yang paip air tidak wujud di kawasan mangkuk tandas. Terlalu ganjil keadaannya untuk budaya aku! Itulah yang berlaku di hotel ini.

Menulis hal ini bukan kerana pemikiran ini 'hulu' sehingga tidak boleh menyelesaikan masalah itu kerana ia hanya perkara kecil yang hanya memerlukan sedikit kreativiti. Bukan...cuma bertemu lagi aku dengan kejanggalan budaya Melayuku.

Sudahlah membaca sms remaja Melayu kian menjahanamkan bahasa Melayu ku, inikan pula tiada paip air untuk mencuci najis di kawasan mangkuk tandas! Agaknya semua orang melompat ke dalam tab selepas itu...? "tidaktergamak" kata arwah mak aku!

Betullah setiap kali bertembung dengan hal ini kreativiti menjadi penyelesaian masalah. Macam-macam kreativiti aku terdengar sambil dihiasi gelak ketawa masing-masing! Huhuhu...!!


Monday, July 26, 2010

Makanan halal di hotel-hotel...Halalkah ?

Sekarang sibuk pihak JAKIM berusaha agar pihak hotel-hotel memastikan makanan yang disediakan di hotel-hotel adalah halal untuk dimakan oleh pelanggan-pelanggan beragama Islam. Proses memberi persijilan halal sedang giat dijalankan. Siap ada kempen lagi kepada hotel-hotel agar memohon status pamakanan halal!

Aku tidak pasti apakah kerja-kerja penganugerahkan persijilan halal ini begitu meyakinkan untuk mengatasi masalah halal haram makanan yang disediakan. Apakah setelah penganugerahan sijil halal itu makanan dan minuman yang disediakan di hotel-hotel benar-benar mampu diyakini sebagai halal?

Apakah mekanisma kawalan terhadap penyediaan masakan halal ? Siapa yang akan memastikan masakan itu perlu dimasak dengan bahan-bahan halal? Bila dan sekerap mana pengawasan dilakukan atau serahkan kepada pengurusan hotel sebagai mekanisma kawalan?

Dulu-dulu dalam zaman belum meleset, aku kerap hadir ke kursus-kursus yang dianjurkan oleh Jabatan di hotel-hotel. Pada satu kursus yang dianjurkan di Genting Highland, setiap kali waktu makan aku terpaksa memilih makanan dan lauk yang meyakinkan. Kadang-kadang aku dan kawan-kawan terpaksa keluar makan di restoran mamak yang lebih meyakinkan di Bandar Goh Tong. Macam mana nak makan semuanya berlendir.....

Di kursus yang lain pula, kami di tempatkan di sebuah hotel yang entah apa-apa. Ramai kawan aku panggil hotel itu hotel altanthuya. Aku tak tahu kenapa dipanggil begitu. Makanan yang disediakan lagi meloyakan tekak. Aku tertanya-tanya kenapalah Jabatan pilih hotel yang macam ini. Di hotel itu status makanan halal memang sukar diyakini kerana tukang masaknya bukan Islam dan ramai penghuni hotel itu kelihatannya orang-orang bukan Islam. Sekali lagi kami peserta kursus bersusah-payah mencari makanan alternatif yang meyakinkan kami.

Berkursus di sebuah hotel di Port Dickson, sekali lagi aku bertembung dengan makanan tidak halal. Sewaktu mahu berbaris panjang mahu mengambil makanan untuk makan malam, aku tiba-tiba didatangi oleh seorang pekerja hotel itu dan berbisik perlahan, " Encik, jangan ambil makanan ni, tidak halal, yang lain ok". Aku terus meletakkan kembali senduk yang aku pegang.

Aku tanya pekerja hotel itu, kenapa tak halal ? Babi ke? Orang Islam macam kita ni kalau dikatakan tidak halal...babi terus !!

Tidak jawab pekerja itu, cuma masakan yang dilarang aku makan itu katanya dicampur wine. Maka tidak menyentuhlah aku makanan itu. Selepas itu setiap kali turun makan aku akan bertanya kepada budak itu makanan mana yang halal dan haram!

Aku rasa aku dan beberapa orang kawan sungguh bernasib baik kerana ada pekerja hotel itu sendiri yang memberitahu dalam keadaan ramai di dewan makan itu berlasah apa sahaja lauk yang terhidang.

Kalau beginilah gayanya, apakah status halal haram makanan di hotel-hotel akan dapat di selesaikan? Aku tidak yakin !!!

Mekanisma memberi sijil halal adalah bagus dan baik tetapi memberi sijil halal semata-mata tanpa pengawasan dan kawalan sepanjang masa selepas hotel itu mendapat sijil halal adalah tidak memadai untuk menjamin setiap masakan di hotel-hotel di negara kita halal dimakan.

Oleh yang demikian langkah yang terbaik ialah berhati-hati jika memilih hotel, berhati-hati makan di hotel, atau jangan makan di hotel, terutama di bulan Ramadhan nanti. Banyak lagi tempat-tempat makan yang suci dan meyakinkan. Hotel bukan segala-galanya!!

Tuesday, July 20, 2010

Tongkat Ali Madu Sate Tulang !

Hari itu perjalananku agak panjang menyelusuri lebuhraya yang sibuk dan basah. Sampai di persimpangan Senawang aku masuk ke arah itu untuk meneruskan perjalanan pulang. Waktu itu lebih kurang pukul 9.30 malam.

Sebaik sampai di hadapan Giant Senawang aku membelok kanan masuk ke bandar pinggiran. Mencari kedai atau restoran untuk makan malam. Anakku yang biasa di situ memberitahu bahawa di restoran yang sana itu ada sate tulang. Sate tulang? Tanpa berniat langsung mahu menjadi jin dan seketurunan dengannya aku teragak juga mahu merasai sate tulang di situ.

Kami bertuah mendapat 'parking' berdekatan restoran yang agak penuh orang di bahagian luarnya itu. Restoran Adinda namanya kalau tidak silap ingatan aku. Aku terus meluru ke dalam restoran untuk mencari sedikit privasi kerana di luar agak sibuk.

"Kenapa abang pilih kat dalam?" tanya isteri yang tidak dapat membaca hasratku itu.

"Tak apalah...kat dalam ini privasi sedikit," aku berterus-terang. Dia dan anakku yang keempat menonong mengikut.

"Encik nak minum apa?," sapa petugas restoran itu.

Masing-masing memberi pesanan minuman masing-masing. Aku memberitahu yang aku mahu minum Tongkat Ali ais. Aku memesan Tongkat Ali ais kerana selepas ini perjalanan kami masih jauh. Aku perlu tidak mengantuk. Lagipun pada zaman ini banyak sangat minuman berasaskan kopi atau kopi Tongkat Ali. Betul atau tidak betul Tongkat Ali ori itu cerita lain. Yang aku tahu minuman-minuman ini agak polpular seperti Tongkat Ali Cafe, Kopi Jantan, Kopi Janggut, Kopi Janda, Radix, Tongkat Ali CNI dan macam-macam.

"Dekat sini kami tak jual itu semua encik. Kami hanya jual Tongkat Ali Madu", jawab petugas itu.

Pula dah...ada Tongkat Ali Madu pula. Aku yang suka mencuba lantas bersetuju untuk memesan Tongkat Ali Madu.

"Makan encik?" tanya petugas itu.

"Bagi sate tulang 20 cucuk", jawab ku pantas.

"Eh...ayah..banyak tu! 5 cucuk dah cukup ayah, order sate lain pula ", pintas anak perempuan aku terkejut. Aku pun terkejut, sambil membetulkan jumlah pesanan sate kami.

Sedang anak perempuan aku menerangkan bagaimana keadaan sate tulang yang aku order 20 cucuk tadi tiba-tiba minuman sampai. Aku tercengang sambil mencari mana Tongkat Ali Madu?

"Mana Tongkat Ali Madu dik?" tanyaku.

"Inilah encik...Tongkat Ali asli ni encik!" jawab petugas itu sambil tersenyum. Sambil pak cik yang menjaga kaunter juga tersengih melihat aku. Aku menyangkakan Tongkat Ali Madu macam minuman yang aku sebut sebelum ini...Kopi Jantan, Tongkat Ali CNI, Janggut dan Janda!

Aku yang masih panar, menghirup sedikit air dalam cawan kecil comel itu. Masya Allah..."PAHEEETTT !!," jeritku spontan.

Berapa orang pekerja restoran dan taukeh tergelak dan tersenyum mendengar suaraku menjerit menahan kepahitan sehingga macam 'menggigit' ubun kepalaku. Isteri dan anakku tergelak sama. Aku rasa enggan minum lagi minuman herba itu.

"Encik, tak boleh minum begitu. Encik minum sekaligus lepas itu, minum madu pula. Cuba...cuba! Tak pahit!!" ajar Pak Cik yang jaga kaunter itu.

Aku akur dan melakukannya dengan jayanya. Namun aku terpaksa memesan minuman lain, dahaga tekakku tidak hilang, dahaga lain pula yang timbul!

Sebaik sampai sate tulang, aku sekali lagi membeleknya. Rupanya tulang ayam. Aku ingat tulang lembu/kerbau atau kambing.....jenuh aku membayangkan bagaimana mahu memakannya! Tidak boleh jadi...nak makan apa, tulang sesaja ! Patutlah anak aku terkejut apabila aku memesan 20 cucuk! Sudahnya sate daging dan sate ayam yang kena balun!

Begitu begini, ke situ ke sini, maka kami mula bertolak pulang pada pukul 11.30 malam. Pemanduan malam aku biasanya cukup lemah. Selepas pukul 10 malam biasanya mataku akan mula mengantuk tapi kali ini tidak. Kami melepasi Kuala Pilah pukul 12 lebih. Mungkin kerana minum Tongkat Ali Madu Ori agaknya maka aku tidak rasa mengantuk.

Namun sebaik sampai di Muadzam Shah aku mengambil keputusan untuk berehat di Stesyen Minyak Petronas di Muadzam Shah. Kami sampai di situ lebih kuranhg 1.45 pagi. Aku melihat ada 11 buah kereta berada di sekitar tempat aku meletak kereta itu. Di dalam kereta sebelah kereta aku, dapat aku melihat pemandu dan penumpangnya tidur lena.

Dalam aku berehat aku tidak sedar apa-apa lagi. Tiba-tiba aku terdengar isteriku mengejut ku dan aku terus melihat jam....pukul 2.50 pagi! Mak oi...aku tertidur satu jam lebih.....lena sungguh!! Masih banyak kereta di sekitar dan yang pasti kereta di sebelah kereta aku telah bertukar...kereta lain pula berada di situ.

Tanpa berlengah aku membuat keputusan untuk meneruskan perjalanan dari Muadzam Shah ke Kuala Rompin. Perjalanan itu sebuah perjalanan yang sunyi. Tiada kenderaan yang aku temui kecuali dua buah lori sahaja.

Akhirnya dalam keadaan mata yang tidak berapa mengantuk, kami sampai juga ke rumah pada pukul 4.10 minit pagi. Syukur alhamdulillah...perjalanan jauh, sibuk dan basah, sate tulang, tongkat ali madu yang sungguh-sungguh, terlelap di dalam kereta, akhirnya kami sampai juga ke rumah dengan selamat !



Tuesday, July 13, 2010

Hujan tersangat lebat di LUS

Hujan lebat di Lebuh Raya Utara-Selatan

Minggu lepas aku bersama isteri dan 2 orang anak berada di Seri Iskandar Perak. Saja je aku ke sana untuk melihat tempat anak belajar. Dalam perjalanan balik, kami keluar ke Lebuhraya Utara-Selatan melalui Tol Gopeng. Kami menuju ke Kuala Lumpur dalam keadaan cuaca sangat gelap. Aku yakin sekejap nanti pasti hujan akan turun membasahi bumi.

Memang mudah membuat jangkaan bahawa hujan akan turun dengan keadaan cuaca yang sebegitu rupa. Dalam perjalanan antara Tanjung Malim ke Kuala Lumpur, kami bertembung dengan empat kemalangan jalaraya yang masih 'fresh'. Ada yang bomba sedang bertungkus lumus memanjat kenderaan yang kemek remuk, ada yang kelihatan orang ramai sedang basah kuyup berusaha menarik mangsa keluar dari kereta, ada lori tercabut tayar...tercabut tayar !!

Rasanya kemalangan-kemalangan tersebut berlaku kerana pertama memandu dengan kelajuan yang tidak sesuai dalam keadaan hujan yang begitu lebat. Kedua mungkin kerana mengikut kereta dihadapan terlalu rapat. Bila kereta depan brek, kereta di belakang pasti menggelongsor menghentak kereta dihadapan. Maka dua tiga buah kereta terbabit.

Aku tidak berani memandu laju....takut...hanya 40-50 km sejam. Lopak air juga banyak dan jalan memang terasa licin. Dalam keadaan begitu, masih ada kereta dipandu laju di lorong sebelah kanan...fuh !! Kemalangan bila-bila masa boleh berlaku...hujan terlalu lebat !

Monday, July 12, 2010

Malaysia juara Piala Dunia 2155.

Akhirnya pasukan Sepanyol yang ramai orang ramal, memenangi Piala Dunia 2010 di Afrika Selatan. Kalau dulu Poyol kali ini Iniesta yang sepak bola bulat ke dalam gawang gol Belanda. Maka gembiralah mereka yang meramal Espana menang.

Aku ramal pasukan Belanda menang tapi kalah. Aku tidak gembira? Tak ada halnya aku hendak tidak gembira.

Maka tamatlah demam piala Dunia. Apakah sudah tamat main ramal-ramal? Belum ! Sekarang kita ramal pula bila pasukan Bolasepak Malaysia akan menjadi juara Piala Dunia ?

Pasukan Bolasepak Malaysia sekarang ketinggalan 45 tahun dengan pasukan zaman Soh Chin Aun dan pasukan zaman Syed Ahmad ! Pasukan Zaman Soh Chin Aun ketinggalan 10 tahun dengan pasukan Korea Selatan dan Jepun sekarang! Jadinya dengan kedudukan ketinggalan agak-agak 55 tahun, Pasukan bolasepak Malaysia akan hanya layak bertanding di Piala Dunia pada tahun 2065. Layak bertanding ! Untuk memenangi Piala Dunia pasukan Sepanyol perlu bermain selama 90 tahun baru menjadi juara.

Jadinya aku meramalkan pasukan bolasepak Malaysia akan hanya mampu menjadi juara Piala Dunia pada tahun 2155 ! Itu pun kalau ada peningkatan ....'Ek eleh....!!!!!

Thursday, July 08, 2010

Jerman kalah 0-1 kepada Sepanyol, tidak layak menjadi juara tetapi Belanda !


Memang yang dipanggil bola itu, bulat! Kalau tidak bulat, tidaklah pula dipanggil bola, tentu buah dadu atau kon! Oleh kerana bulat, maka mudahlah disepak orang. Sepaklah ke mana-mana, maka bergoleklah dia ke situ ke sini. Janji pandai menyepak atau sepaknya itu, kena!

Sempena Piala Dunia ini maka ramai yang bermain 'nujum'. Ini bukan menujum kerana berjudi bolasepak, cuma bermain teka-teka tanpa bertaruh apa-apa. Maka itu ramailah yang meramal, dan meneka konon Jerman masuk pertandingan akhir...huhuhu...!!!

Bola tetap bulat. Jerman yang gah dan bergaya sebelum ini kecundang juga akhirnya. Pagi tadi Sepanyol lebih bernasib baik dalam melayani bola yang bulat itu. Tewas Jerman 0-1 di kaki Puyol Sepanyol. Maka ramalan yang Jerman menjadi juara terpak sa di tukar orang. Bukan Jerman lagi bakal juara. Tidak boleh lagi Jerman jadi juara. Mana boleh Jerman juara. Mustahil Jerman juara. Jerman dah kalah pagi tadi, juara macam mana?

Juara yang pasti Belanda atau Sepanyol. Itu pasti. Antara keduanya yang mana juara bergantung kepada gaya dan cara terbaik melayani bola yang bulat itu.

Kita ramal lagi siapa juara.... Belanda !

Wednesday, July 07, 2010

Ciri-ciri keimanan


Sifat-sifat keimanan yang perlu dijaga dan ditela'ah setiap ketika:

1. Al-Ta'ibun - Orang yang sentiasa bertaubat.

2. Al-'Abidun - Orang yang beribadat.

3. Al-Hamidun - Orang yang bertahmid memuji kebesaran Ilahi.

4. Al-Saihun - Pengembara-pengembara di jalan Allah.

5. Al-Raki'un - Orang yang banyak rukuk.

6. Al-Sajidun - Orang yang sujud kepada Allah.

7. Al-'Amiruna bil-maaruf - Orang yang menyuruh maaruf.

8. Wa-yanhauna 'anil-munkar - Orang yang menghalang perkara mungkar.

9. Wal-Hafizuna Li Hududillah - Orang yang memelihara hukum Allah.

Petikan : Bahtera Penyelamat - Ustaz Fathi Yakan.



Tuesday, July 06, 2010

Pra-U (Tingkatan Enam) Sistem Modular di ambang realiti.

Sejak semalam aku berada di Cerating Bay Resort menghadiri Karnival Pelajar-pelajar Pra-U (Tingkatan Enam) Peringkat Kebangsaan. Jabatan Pelajaran Pahang menjadi tuan rumah.

Dalam karnival ini negeri-negeri telah menghantar sejumlah para pelajar Pra-U masing-masing bersama guru-guru pengiring yang kebanyakannya GPK Tingkatan 6 untuk beraktiviti sepanjang tempoh berkarnival dan beresolusi diakhirnya nanti.

Sebagai mana maklum pihak Kementerian Pelajaran sedang berusaha melakukan reformasi Tingkatan Enam menjadi Pra-U. Tingkatan Enam, dari sistem lama yang dipanggil Sistem Terminal berubah menjadi Pra-U, Sistem Modular.

Sesungguhnya banyak kebaikan dari reformasi ini namun begitu, banyak juga isu-isu yang masih dalam usaha penyelesaian bagi melahirkan para pelajar Pra-U yang memperolehi Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia yang berkualiti dan beritegriti. Insfrastruktur, aparatus, man power dan seumpamanya menjadi tuntutan yang begitu signifikan buat tempoh sekarang bagi merealitikan impian.

Di jangkakan Sistem Mudular akan berlangsung pada pengambilan pelajar sesi persekolahan 2011. Apakah ianya akan menjadi kenyataan segera? Keputusan akan dibuat juga akhirnya nanti!

AKU datang !


Mulai hari ini blog ini akan bermonolog seperti menulis dairi harian. Bila bermonolog sudah pasti kata gantinama AKU akan digunakan. Maka kata gantinama SAYA akan di simpan sementara atau untuk selamanya. Tergantung kepada 'mood' akan datang.

Sunday, July 04, 2010

Hah...Argentina kalah, Brazil balik awal...huhuhu!! Jerman juara Piala Dunia 2010.

Permainan mengejar dan merebut bola sebiji ini memang 'menggilakan' ramai orang. 2.30 pagi ramai bangun, berteleku bersorak depan TV. Kalah solat tahajud!

Pagi-pagi hari ramai yang 'beralamak' sambil menghentak tapak tangan sendiri kerana pasukan yang dijangkanya menang tertonggeng. Ulasan demi ulasan mengalah ulasan di Astro berputaran di meja sarapan pagi. Tidak terkecualilah ulasan diri ini yang hanya mampu menonton tayangan ulangan sahaja....huhuhu!!

Nampaknya pasukan dari Eropah kental dalam Piala Dunia kali ini. Jerman, Sepanyol dan Belanda mantap merebahkan saingan. Pasukan dari Amerika Selatan yang bertaraf favourite hanyut. Brazil dan Argentina bersama Kaka dan Messinya hilang ditelan trompet orang-orang Afrika Selatan. Hanya Uruguay yang terkonteng-konteng menggagahi gaya berbola Amerika Latin di Peringkat Separuh Akhir nanti.

Permainan Amerika Latin yang samba dengan kemahiran yang tinggi, membawa bola berhempas pulas macam tak cukup kaki ke kawasan yang bergelibut pemain lawan, akhirnya tersadung tidak kesampaian. Berkali-kali begitu. Tidak lari dari kawasan bergelibut tapi dicelah-celah dan diterak-terak juga!

Manakala permainan Eropah yang berlari macam kuda lumba, gagah melarikan bola ke segenap tempat lapang dan mengumpan berkali-kali ke hadapan gol lawan tetap membuahkan hasil. Mana dan, tidak kira, kaki, kepala tetap diusahakan menyambar bola. Pemain Jerman jarang membiarkan bola berada di kaki lawan, setiap masa diusahakan rebut.

Jangkaan saya yang akan berentap dalam pertandingan akhir ialah Jerman dan Belanda. Dan saya menjangkakan Jerman bakal juara Piala Dunia 2010.

Bilalah agaknya Pasukan Bolasepak Malaysia akan menjadi juara Piala Dunia ?

Thursday, July 01, 2010

Pasukan Jepun dibina, Maju. Pasukan Malaysia dibina, tak maju-maju ?


Pertandingan bolasepak Piala Dunia di Afrika Selatan sudah sampai ke peringkat suku akhir. Di Malaysia ramai yang menonton dan banyak yang boleh diperkatakan.

Apa yang hendak saya perkatakan ialah kehebatan pasukan Jepun. Saya tidak mahu memperkatakan tentang pasukan Korea. Memang Jepun kalah tetapi Jepun tidak kalah seperti mana England kalah. Pemain Jepun bagi saya memang hebat, ada skill dan yang paling utama pemain Jepun ada tenaga- stamina, Yakin saya kerana kecergasan, pemain Jepun pasti mampu bermain selama 190 minit bukan setakat 90 minit sahaja.

Melihat kehebatan pasukan Jepun saya terkenang pilu pasukan bolasepak Malaysia. Dalam tahun 70an, 80an dan mungkin diawal 90an, pasukan Jepun sering kecewa dengan pasukan Malaysia. Pasukan bolasepak Malaysia boleh 'makan' pasukan Jepun begitu sahaja. Soh Chin Aun dengan tenang mengecewakan penyerang hebat Jepun, Komamoto. Tapi hari ini bagaimana agaknya jika itulah prestasi dan kehebatan pasukan Jepun? Tidak terkejut saya jika pasukan bolasepak Malaysia pula 'diratah' mentah-mentah oleh Pasukan Jepun!

Pasukan bolasepak Jepun yang dahulu sering kecewa 'dimakan' Malaysia telah dibina maju dan berjaya sehingga mampu bermain di pentas piala dunia. Namun pasukan bolasepak Malaysia katanya dibina juga tetapi tidak reti-reti hendak maju. Semakin dibina semakin kampung gaya permainannya. Berlari kelihatan macam lembek lutut, setengah jam bermain akan ramai yang berjalan sambil bercekak pinggang di tengah padang.

Banyak persoalan yang bemain dalam pemikiran saya. Pasukan Korea dibina dan maju sampai ke pentas Piala Dunia. Pasukan Cina dibina maju juga sampai ke pentas Piala Dunia. Pasukan Jepun dibina, maju juga ke pentas Piala Dunia. Mengapa ya...pasukan bolasepak Malaysia dibina tapi tak maju-maju hingga tiada negara lagi yang hendak bermain di Pestabola Merdeka? Alahai..!!!