Mengikut takwim hijriah esok 10 Zulhijah. Tarikh itu adalah tarikh dirayakan Aidil Adha sebagai tanda memperingati peristiwa pengorbanan Nabi Allah Ibrahim dan anaknya Nabi Allah Ismail sebagai bukti mentaati apa sahaja perintah Allah SWT.
Sambutan Aidil Adha bagi umat Islam sudah pasti mempunyai falsafahnya yang tersendiri. Antaranya ia merupakan simbol perpaduan umat Islam kerana pada setiap tahun seluruh umat Islam dari seluruh pelosok dunia akan berhimpun di Mekah untuk menunaikan ibadat haji.
Sambutan hari raya ini oleh umat Islam di seluruh dunia mempunyai falsafahnya tersendiri. Hari raya adalah kurniaan Allah kepada orang Islam Ansar menggantikan amalan hari perayaan jahiliah sebelum kedatangan Islam di Madinah.
Sesungguhnya perayaan bagi umat Islam bukan semata-mata untuk berhibur dan berseronok namun ia juga merupa satu bentuk ibadat yang dituntut secara syarie dalam amalan beragama.
Jika semasa merayakan Aidilfitri kita dilarang berpuasa pada hari raya pertama, semasa sambutan Aidiladha kita dilarang berpuasa selama empat hari.
Di Aidilfitri bertakbir hanya sehari di Aidilfitri tetapi di Aidil Adha dituntut bertakbir selama empat hari berturut-turut, disunatkan mengerjakan solat sunat hari raya.
Diwajibkan membayar zakat fitrah pada Aidilfitri tetapi disunatkan melakukan ibadat korban sebagai tanda ketakwaan dan keimanan terhadap Allah selepas solat sunat Aidiladha.
Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: "Tiada amal anak Adam yang lebih disukai Allah pada hari Aidiladha melainkan ibadat korban. Sesungguhnya binatang yang dikorbankan itu akan datang pada hari kiamat lengkap dengan tanduk, bulu dan kukunya. Sesungguhnya ibadat korban ini diredhai Allah sebelum darah binatang itu jatuh ke bumi. Maka hendaklah kamu berasa lapang dada dan reda akan ibadat korban yang kamu lakukan." (Hadis riwayat At-Tirmizi)
Dapat difahami bahawa apa yang dituntut daripada ibadat korban ialah keredaan dan lapang dada kita untuk melakukan ibadat itu, bukan terpaksa, terikut-ikut atau untuk menunjuk-nunjuk. Apa yang akan sampai kepada Allah bukan daging, atau binatang korban tetapi ketakwaan yang mendorong kita melakukan ibadat korban.
Allah berfirman yang bermaksud: "Daging dan darah binatang korban itu tidak sekali-kali sampai kepada Allah, tetapi yang sampai kepada-Nya ialah ketakwaan kamu. Demikianlah Ia memudahkan binatang itu bagi kamu, supaya kamu mengagungkan Allah atas apa yang Dia beri petunjuk kepada kamu. Dan sampaikanlah berita gembira kepada orang yang melakukan kebaikan." (Surah Al-Haj, ayat 37)
Perayaan Aidiladha berlangsung selama empat hari dari 10 Zulhijah hingga 14 Zulhijah. Selama empat hari itu disunatkan berkorban dan daging korban akan diagih-agihkan kepada mereka yang miskin sebagai satu cara penyucian jiwa bagi mereka yang kaya.
Kita juga sewajarnya menziarahi sanak-saudara dan keluarga terdekat serta kenalan untuk menguatkan ikatan persaudaraan sempena menyambut Aidiladha. Kegembiraan meraikan hari raya amat digalakkan dalam mentauhidkan Allah.
Ibadat korban mencerminkan dua perkara. Pertama, ia adalah wasilah atau perantaraan bagi mengeratkan hubungan sesama anggota keluarga dan masyarakat. Kedua, ibadat korban mencerminkan sifat keihsanan yang sangat dianjurkan Islam.
Firman Allah yang bermaksud: "Ceritakanlah kepada mereka kisah kedua-dua putera Adam (Habil dan Qabil) menurut yang sebenarnya ketika mereka mempersembahkan korban maka diterima daripada salah seorang daripada mereka berdua (Habil) dan tidak diterima dari yang lain (Qabil). Ia berkata (Qabil): Aku pasti membunuhmu! Berkata Habil: Sesungguhnya Allah hanya menerima korban daripada orang yang bertakwa." (Surah Al-Maidah, ayat 27)