Wednesday, October 27, 2010

Pergerakan seminggu dua ini...

Sekali lagi penulisan di blog ini terganggu agak lama. Banyak masalah yang berlaku khususnya berkaitan dengan liputan internet di kawasan ini yang sangat daif dan miskin walaupun negara di katakan semakin maju.

Semalam saya baru balik dari Lapangan Terbang Antarabangsa Senai Johor kerana menghantar saudara yang akan berangkat menunai haji ke Mekah. Ramai orang di lapangan terbang itu. Ada yang muda, ada yang bertongkat sambil berjalan terkejar-ketar dipimpin waris dan ada yang disorong di atas "wheel chair" mahu menunai haji ke Mekah. Alhamdulillah semoga semua dapat menunaikan haji dengan tenang dan sabar.

Minggu lepas saya dijemput ke SK Melati untuk menyampaikan ceramah kepada pelajar Tahun Enam sebagai persediaan mengharungi alam sekolah menengah pada tahun hadapan. Saya juga diminta mewakil Encik Azmee Muhamad Ketua Unit HEM PPD Rompin, ke program Kem Bersepadu Kokurikum di SK Pontian.

Sebelum itu saya dijemput ke SMT Sultan Haji Ahmad Shah tetapi terpaksa menolak kerana ada program lain di Kuantan. Saya juga terpaksa menolak jemputan khairiah surau Taman Wawasan kerana ada program lain yang lebih dahulu menjemput saya.

Pada minggu ini saya akan berada di SK Keratong 8 untuk program Latihan Dalam Perkhidmatan bagi guru-guru dan kakitangan sekolah untuk bercakap tajuk, " Peranan Guru-guru dan Kakitangan Sekolah Mengikut Perspektif Islam". Selepas itu saya dijemput ke SMK Rompin untuk program terakhir calon-calon SPM dan STPM di dewan besar sekolah berkenaan.

Hujung minggu ini saya akan berada di Impiana Resort Cerating Kuantan dan akan pulang ke pada 31 Oktober 2010.

Monday, October 18, 2010

Kos pemeriksaan kesihatan menyeluruh.

Setelah beberapa kali menerima panggilan telefon dari pihak Kumpulan Specialist Johor (KSJ) dari Hospital Pakar Kuantan Alor Akar mempelawa aku untuk hadir ke satu program yang mereka anjurkan, maka hadirlah aku bersama isteri.

Kami sampai di Hotel Seri Malaysia Tanjung Gemuk lebih kurang pukul 9.45 pagi. Kami terus ke dewan Mentara. Sebaik sampai kami dapati kami antara yang terawal. Tidak berapa lama selepas itu mulai kelihatan seorang demi seorang para jemputan dengan pasangan masing-masing yang hadir. Rata-rata cikgu dan ada juga dari kalangan ahli perniagaan.

Terfikir aku, banyakkah penyakit para cikgu ini atau para cikgu sudah mula memiliki pemikiran mengikut paradigma baru ia itu "mencegah lebih baik dari merawat". Kalau begitu alhamdulillah!

Dalam program itu kami diberi tahu untuk pemeriksaan kesihatan secara menyuluruh iaitu 110 penyakit seseorang itu perlu mempunyai wang sebanyak lebih kurang RM 64000 tidak termasuk bayaran kepakaran dan seumpamanya. RM 64000 ? Bayangkan kalau 4 kali dalam hidup buat pemeriksaan kesihatan seumpama itu. Termenung jugak aku mendengarnya !

Katanya pihak hospital kerajaan tidak menyediakan pemeriksaan kesihatan yang menyeluruh seperti itu kerana kos yang begitu tinggi itu. Aku tidak tahu hal itu kerana setakat hidup ini baru sekali aku buat pemeriksaan kesihatan itupun bukan kengkap di klinik Desa Rompin. Dah lama iaitu beberapa tahun yang lalu....

Untuk pemeriksaan kesihatan yang lengkap seperti itu mampukah kakitangan kerajaan atau rakyat umum jika kosnya bernilai sekitar RM64000 ? Entahlah..mungkin ada namun mungkin tidaklah ramai.

Dalam program itu pihak KSJ telah menawarkan satu pakej pemeriksaan kesihatan yang agak menarik untuk 110 penyakit namun keputusan untuk menyertainya tetap keputusan kita semua. Aku hanya hendak ceritakan kos pemeriksaan kesihatan untuk 110 penyakit adalah sekitar RM64000 belum masuk kos kepakaran dan seumpamanya. Itu sahaja ! Maka tidak mampulah aku membuat pemeriksaan kesihatan mengikut harga pasaran !!!

Wednesday, October 13, 2010

Kini aku tengok bas Ekpress pun aku dah takut...kecut perut !

Memang ajal maut di tangan Tuhan tetapi Tuhan tidak suruh menempah maut percuma!

Sudah berlaku kemalangan hingga mengorbankan 12 nyawa dan mencederakan lebih 40 orang barulah sedar kononnya struktur bas tidak ikut Peraturan 66 (R66) PBB-Suruhanjaya Ekonomi Eropah-lah. Selagi tidak ada yang mati maka semuanya ikut peraturan? Bila dah ramai mati, baru tersedar ada yang tidak kena.

Apakah ini budaya pengurusan di Malaysia, negara kita yang tercinta ini? Sudah terhantuk baru tengadah ?

Itu, pergilah check semua bas ekpress yang ada! Mana yang tidak ikut semua peraturan tak kiralah peraturan 66 ke, 72 ke, 178, 2061 ke, tarik segera lesen operasi mereka. Bertindak segera! Jangan tunggu ada yang mati lagi baru berbunyi lagi ada yang tidak kena !

Aku yang tiada saudara mara terlibat ini pun dah rasa sakit hati, bagaimana pula dengan mereka yang saudara mereka menjadi mangsa? Tak cukup dengan datang jumpa bawa duit rm 1000 atau rm 2000 dengan mulut manis, "bersabarlah encik ya dengan musibah ini". Bas Ekspress terus menjadi kenderaan yang berbahaya ! Taik kucing betul !

Aku sangat yakin banyak bas ekspress yang sedang beroperasi di jalan raya hari ini memang banyak tidak mengikut standard antarabangsa atau peraturan dan undang-undang. Nak dibiarkan sampai bila lagi ? Tunggu ada yang mati lagi ?

Bagi aku kemalangan yang berlaku ini tetap salah syarikat bas ekpress itu, juga badan penguat kuasa kenderaan dan jalanraya. Syarikat gagal membudayakan perkhidmatan mereka dengan budaya " Bas Ekspres Selamat" sebaliknya yang diwujud "Bas Ekspress Maut". Ngeri tahu tak. Aku tengok bas ekspres pun aku kecut perut terutama apabila bas ekspress ikut belakang kereta aku...dekaatttt sangat! Kalau aku terbrek nak elak kera ke, kambing ke ...rasanya logik akal memang akan dibulldozed oleh bas ekpress yang kat belakang tu! Selalu macam tu.

Kalau bas ekpress 'memotong', bucu hadapan bas itu dekat sangat dengan belakang kereta yang 'di potong'. Buatlah terkena...tak ke terpelatun kenderaan kecil? Dah lah kalau kat lebuhraya bergegar kereta 'dipotong' bas ekpress. Ngeri !! Memanglah bas ekspress di Malaysia ni kebanyakannnya , Bas Ekspress Maut !. Tak percaya tengoklah dua tiga bulan lagi..kalau tak di pantau, dibudaya dan dikuatkuasakan peraturan dan hilang integriti pihak yang berkaitan , rasanya akan ada lagi yang mati 'percuma' dek kerana bas ekspress !


Tuesday, October 12, 2010

Tip buat suami ketika isteri hamil



Apabila ditanya kepada golongan lelaki tentang peranan mereka bila mendapati isteri yang disayangi hamil, rata-rata mengakui tahu tentang peranan yang harus dipikul.

Namun hakikatnya, tidak ramai lelaki yang benar-benar faham akan peranan mereka. Ini kerana emosi atau 'mood' wanita hamil selalunya lebih sensitif dan mereka sangat memerlukan perhatian daripada suami.

Di sini diperturunkan beberapa tip buat lelaki muda yang akan atau bakal berdepan dengan situasi di mana isteri berbadan dua. Diharapkan dengan panduan ini, golongan lelaki lebih tahu tentang peranan serta cara menghadapi karenah isteri yang pastinya pelbagai hingga mampu mencabar kesabaran mereka sebagai seorang suami.

1. Kongsi maklumat kehamilan

Kehamilan membawa perubahan kepada isteri, baik secara fizikal ataupun emosi. Isteri yang dahulunya lincah dan segar, akan mula mudah penat, pening dan muntah-muntah.

Sikapnya juga semakin sensitif, mudah menangis dan marah walaupun untuk perkara yang anda rasakan tidak perlu. Kepada lelaki, anda jangan sekali-kali bingung dengan perubahan ini. Ini kerana ia merupakan sesuatu yang normal dan kebanyakan wanita hamil akan melaluinya.

Walaupun berlaku perubahan pada isteri anda, itu tidak bermakna anda tidak boleh banyak membantu. Sebagai seorang suami yang memahami, carilah sebanyak mungkin info tentang perubahan fizikal dan emosi yang dialami oleh isteri.

Selepas itu, cuba kongsi pengetahuan anda dengannya. Dia pasti teruja dengan apa yang anda ketahui. Perhatikan juga perkembangan kehamilan isteri anda, misalnya mendengar denyut nadi dan merasai pergerakan-pergerakan yang dilakukan oleh bayi.

Sekiranya anda mampu melakukannya, tidak mustahil sikap anda yang pada mulanya kurang sabar dengan karenah isteri akan berubah menjadi lebih memahami dan empati. Sikap anda yang prihatin, pastinya akan menambahkan rasa cinta isteri terhadap anda.

2. Jaga pemakanan isteri

Ramai suami yang mengabaikan aspek ini apabila isteri hamil dengan alasan si isteri tahu apa yang terbaik untuk diri mereka. Tanggapan ini salah kerana seiring dengan perubahan tubuhnya, wanita hamil juga memerlukan beberapa zat tertentu mengikut peringkat kehamilannya.

Sebagai suami yang prihatin, pastikan isteri anda menjaga pemakanannya dengan kesihatan janin dan dirinya. Jika mempunyai masa, apa salahnya luangkan masa untuk menemani isteri menjamu selera atau makan bersama-sama dengannya.

Anda juga jangan kedekut untuk berbelanja lebih untuk membelikan makanan berkhasiat untuk isteri. Tidak hanya soal pemakanan, isteri juga memerlukan masa rehat yang mencukupi agar pembesaran janin tidak terganggu.

Ketika inilah suami perlu lebih ringan tulang membantu isteri melakukan kerja-kerja rumah. Sikap anda yang sebegini, pasti membuatkan isteri terharu dan bertambah menghormati anda sebagai seorang suami.

3. Hindari stres

Sewaktu hamil, jangan sekali-kali memberikan tekanan kepada isteri. Anda sebagai suami perlu mengelakkan isteri daripada berdepan dengan sebarang masalah.

Jika boleh, anda cuba selesaikan masalah yang dihadapi tanpa memberitahu isteri. Jika terpaksa, beritahu isteri dengan cara yang paling santai agar isteri tidak terkejut mendengarnya.

Selain itu, jangan sekali-kali membenci perubahan bentuk tubuh isteri. Sebaliknya kagumi bentuk tubuhnya dan katakan isteri anda kelihatan lebih seksi ketika hamil.

Kata-kata anda mampu menenangkan hatinya dan mengelakkannya tertekan memikirkan anda mungkin mencari wanita lain yang lebih seksi di luar sana.

4. Temani berjumpa doktor

Kesudian anda menemani isteri untuk bertemu dengan doktor bagi mendapatkan rawatan memberikan makna yang cukup besar kepada isteri. Isteri akan berasa diri mereka disayangi dan dihargai.

Ia juga menandakan seseorang suami itu prihatin dan menyanyangi isteri serta anak yang dikandungnya itu.
Namun ada juga suami yang mengambil mudah tentang perkara ini.

Mereka sanggup membiarkan isteri yang sarat hamil memandu sendiri atau menaiki bas untuk mendapatkan rawatan di klinik.
Emosi isteri pastinya akan terganggu apabila melihat wanita lain ditemani suami masing-masing ketika mendapatkan rawatan.

Situasi ini sangat tidak sesuai buat isteri dan sebagai suami yang yang bertanggungjawab, anda perlu mengelakkan perkara ini daripada berlaku. Berikan isteri anda semangat dan sentiasa menemaninya sewaktu susah mahupun senang.

Monday, October 11, 2010

Menyampaikan ceramah di SK Pianggu.

Malam tadi aku dijemput untuk menyampaikan ceramah di majlis sukan dan jamuan raya SK Pianggu. Bersama isteri aku bertolak ke SK Pianggu pukul 8.40 malam sebaik selesai solat Isyak. Tak aku sangka ramainya orang kampung Pianggu di perkarangan laman sekolah itu.

Sebaik sampai aku dan isteri disambut oleh Pemangku Guru Besar sekolah bersama Tok Empat Azli dan Pengerusi YDP sekolah. Walaupun memberitahu perut sudah kenyang aku tetap dipaksa untuk menjamah jamuan besar-besaran yang diadakan. Katanya tumbang seekor lembu kepunyaan Pak Awi seorang orang kuat kampung itu. Walaupun pada awalnya tak mahu makan namun apabila makan bertemankan Pak Ali, Razali GPK HEM dan AJK-AJK rasa berselera pulak. Hah apa lagi ! Bukan jamah lagi dah....

Isteri aku makan dengan 'geng-geng' perempuan bersama pemangku Guru Besar sekolah Puan Hajah Rohani.

Makan punya hal, program ceramah aku hanya bermula pada pukul 9.25 malam. Sayang tak ambil gambar kerana terlupa bawa kamera. Ini kelemahan aku ! Sewaktu berceramah aku berpesan kepada Pengerusi majlis agar 'menekan bazer' untuk memberhentikan ceramah aku. Tunggu punya tunggu bazer tetap tidak berbunyi. Sedar tak sedar aku hanya berhenti berceramah pada pukul 11 malam.

Malam itu aku memberi ceramah bertajuk "Kepimpinan Institusi Keluarga". YB ADUN Tioman, Kapten (B) Datuk Johari Hussin turut hadir mendengar ceramah yang aku sampai.

Aku hanya boleh keluar dari laman sekolah yang sesak itu pada pukul 11.45 malam. Meriah sungguh orang-orang Pianggu malam itu.

Thursday, October 07, 2010

Rencah hidup seminggu dua ini

Fuh...lama juga tidak menulis. Sibuk dengan tugas-tugas di Perkhemahan Akademik Tingkatan 6 pada hujung minggu. Kemudian di celah-celah itu terpaksa membawa isteri ke sekolah barunya SK Keratong 1. Berkenalan dengan sekolah...'round-round' kawasan sekolah ! Fikir-fikir tentang rumah untuk dihuni di tempat baru tanpa meninggal terus rumah sendiri. Bermacam-macam berlegar di kepala.

Mencari rumah sewa di bandar Muadzam Shah nampaknya terlalu sukar. Rupanya, katanya selagi Politeknik Muadzam Shah tidak disiap, selagi itulah rumah sewa susah diperolehi di Muadzam Shah. Menelefon kawan-kawan di Muadzam Shah semua menjawab , susah dapat dan tidak ada!

Jadinya terpaksa kami menghuni di Keratong. Ingatkan kalau menghuni di bandar Muadzam Shah, boleh aku berulang ke Seri Rompin lebih kurang 80 km lebih dan isteriku berulang ke SK Keratong 1 sejauh 30km. Dengan cara ini rumah sendiri tidak akan ditinggalkan terus. Tapi apa boleh buat, akan berhijrah ke Keratonglah kami!

Hujung minggu lepas aku dan isteri sekali lagi ke Keratong untuk melihat apartmen hinggap kami di KIP Bandar Tun Razak Keratong bukan kat Bandar Tun Razak Kuala Lumpur. Tingkat Tiga, kira okeylah bolehlah kami eksesais sedikit sewaktu naik tangga. Tapi satu tandas di rumah itu masya Allah, bocor ! Yang tingkat atas-atas sana meleleh ke tingkat-tingkat bawah. Orang yang membuat apartmen guru ni dulu rasanya banyak makan duit haram...buatan yang tiada kualiti langsung! Nasib baik tandas yang satu lagi tu masih okay walaupun sudah kelihatan macam nak bocor. Tak apalah cikgu....duduklah dulu sementara mendapat rumah lain! Kata Tok Penghulu apartmen itu, itulah rumah terbaik yang masih kosong.

Dalam pada sibuk itu aku pula demam dan batuk-batuk. Malam susah nak tidur. Pergi ke klinik, doktor bertanya, "Muka U nampak letih, U ada kerja apa hujung minggu?".

Aku memberitahu tugasan perkhemahan dan pergerakan ke hulu ke hilir. " Saya bagi U cuti 2 hari, U rehat jangan buat apa-apa tahu!" arah doktor itu.

Heh...pucuk dicita ulam mendatang, memang aku nak rehat!

Minggu depan kena berulang dari Keratong ke Seri Rompin sejauh 120km.....mak tuan jauh ho!! Tapi aku perlu menemani isteri buat permulaan ini barang seminggu dua sebagai sokongan moral dalam keadaan dia perlu menyesuaikan diri sebagai Guru Besar di tempat baru dalam masyarakat FELDA yang baru baginya. Nampaknya di tempat baru ini aku perlu menjadi PR isteri seketika dengan persekitaran dan masyarakat di situ. Ini pun tugas kan? Urusan sekolah itu dia punya pasal, memang dia telah dilatih untuk itu...!

Petang ini kami sekali lagi perlu ke bandar Muadzam Shah untuk sambungan elektrik dan air di rumah baru. Kemudian hujung minggu ini penuh dengan jemputan kahwin dalam keadaan aku dan isteri juga bersiap-siap untuk majlis perkahwinan anak kami. Banyak juga kerja rupanya...huhuhu...bukan senang nak dapat menantu !

Perlu juga sekejap ke rumah baru di Keratong untuk kerja-kerja pembersihan. Fikirkan juga pasal boy-boy (gambar) macam mana kalau di tinggal di rumah nanti. Isteri aku cakap, "boy-boy kena bawa ke keratong!".

Nak bawa boy-boy ke Keratong ? Ikutlah...

Setakat ini aku bercerita....nanti kalau ada masa sambung balik.