Sunday, August 29, 2010

Alexander The Great adalah Iskandar Zulqarnain ?

Semalam sebelum waktu berbuka, aku bersama isteri dan 2 orang anak, sempat singgah di Kedai Buku Popular Megamall Kuantan. Oleh kerana susah mendapat parking aku turunkan isteri dan anak-anak aku di hadapan kedai buku itu. Untuk mendapat parking aku terpaksa 'tawaf' Megamall sebanyak empat kali. Hendak park di tingkat atas malas, maka terpaksa mengambil masa sedikit.

Kalau dua minggu lepas aku membeli dan menghabiskan bacaan buku berjodol " Agenda Yahudi Menakluk Dunia" tulisan Sabaruddin Hussein, kali ini aku cuba mencari mana-mana buku yang menarik untuk dibaca.Justify Full

Sambil mencari-cari buku pilihan, aku terdengar anak aku, Abdul Hamid mengomel sendirian, "Aik, Alexander adalah Zulqarnain?".

Aku berpaling ke arahnya dan melihat dia merenung buku yang jodolnya dia baca sebentar tadi.

Sambil memandang kepada aku dia berkata, " Ayah, betulkah Alexander adalah Zulqarnain? Bukankah Alexander bukan Zulqarnain?".

Anak aku kelihatan benar-benar keliru dengan isu yang nampaknya dia sangat berminat.

"Mana Hamid tahu Alexander bukan Zulqarnain?" tanya aku.

"Kan dalam Astro Oaisis dulu ada dokumentari tentang Alexander bukan Zulqarnain !".

Dia yang telah memegang dua buah buku untuk dibeli terus membelek-belek buku yang mengelirukannya itu. Aku buat tak kisah kerana aku memang tidak berminat untuk tahu apakah Alexander itu Zulqarnain atau Alexander itu bukan Zulqarnain!

Setelah selesai membayar, kami bersegera ke kereta untuk ke rumah mak saudara aku di Bukit Bayroute untuk berbuka puasa. Dalam kereta nampaknya anak aku itu terus berdebat dan berdiskusi dengan kakaknya tentang Alexander adalah bukan Zulqarnain. Dan dia kata buku tadi cukup mengelirukan. Katanya penulis itu macam yakin sebab dia tidak letak tanda soal pun. Sesekali aku jugak menyampuk dan menjawab beberapa persoalan yang dibangkitkan.

Selepas berbuka puasa dan solat maghrib, kami mula hendak berangkat pulang ke Rompin. Dalam kereta sekali lagi kisah Alexander adalah Zulqarnain masih belum selesai dan terus menjadi perbincangan hangat. Untuk menghilangkan kekeliruan Abdul Hamid, maka aku membuat keputusan, "okaylah kita beli sahaja buku itu".

Aku terus memandu semula kereta ke Kedai Buku Popular di Megamall itu untuk membeli sahaja buku berkenaan. Aku harap dengan membaca buku itu, anak-anak aku tidak terus keliru dan akan jelas pemahamannya mengenai Zulkarnain yang disebut dalam Surah Al Kahfi itu. Mudah-mudahan!

Nampaknya, oleh kerana anak bungsu aku bersibuk mahu pulang ke asrama, maka dia tidak berkesempatan untuk membaca buku itu. Apa yang berlaku, aku pula yang tertarik untuk membaca dan mengetahui isi kandungan buku yang ditulis oleh Wisnu Sasongko @ Muhammad Alexander berkenaan "Alexander Adalah Zulqarnain" itu.

Lebih menarik untuk aku baca buku itu ialah Penulis buku Bestseller 'Yakjuj & Makjuj' itu mendakwa dalam bukunya itu, bahawa Socrates adalah Lukman al-Hakim yang namanya diabadikan Al-Quran, Surah Luqman! Betulkah?

Pembacaan aku masih belum habis...

Thursday, August 26, 2010

Peringatan daripada musibah

1. Peringatan kepada manusia terhadap sesuatu kesalahan yang dilakukan selama hidupnya dan Allah mahu memberikannya kesempatan sebelum berakhir kesempatan untuk membaikinya.

2. Agar iman hamba-Nya itu bertambah bahawa kesalahan atau apa yang berlaku, bukan bererti menyalahkannya tetapi berlaku atas ukuran takdir-Nya.

3. Untuk mendekatkan hamba kepada Penciptanya, kembali kepada Tuhan yang telah dilupakannya serta jauh dari keadaan terasing daripada Allah.

4. Penegasan terhadap kuasa Allah dan kelemahan terhadap sesuatu ciptaan manusia yang sangat mengharapkan Allah.

5. Anjuran agar segera melakukan amal kebajikan sebelum datangnya azab daripada Allah yang membinasakan segala sesuatu.

6. Menambah kepekaan manusia terhadap kematian dan berusaha untuk memperbaiki diri dalam meneruskan kehidupan di muka bumi ini.

7. Meruntuhkan dominasi keduniaan dengan segala apa yang ada di dalamnya daripada pandangan orang yang ditimpa musibah itu.

8. Agar menjadi peringatan kepada mereka yang bergelumang dengan maksiat bahawa bila-bila masa Allah boleh menurunkan azabnya bagi mereka yang engkar.

Wednesday, August 25, 2010

Setiap Ramadhan pasti ada yang malang kerana mercun: Kenapa orang Melayu susah belajar dari apa yang berlaku saban tahun?

Persoalan yang terus menjadi tanda tanya, apakah dengan berlakunya letupan mercun yang mengorbankan nyawa seorang kanak sehingga mayat anak malang itu tersangkut di atas sebatang pokok, menjadi pengajaran kepada semua?

Apakah selepas kejadian yang malang itu, semua pihak merasa terkejut, sedih, ralat dan menyesal dengan kehilangan nyawa yang sia-sia seumpama itu?

Apakah selepas kejadian yang dahsyat itu, tiada lagi bunyi letupan mercun kerana semuanya takut dan gerun peristiwa malang seumpama itu dari berulang kembali?

Apakah selepas kejadian yang sia-sia itu, para ibubapa semuanya mengambil langkah tegas melarang dan menghalang anak-anak mereka bermain mercun di malam Ramadhan yang mulia ini?

Apakah selepas kejadian seorang kanak-kanak terbunuh kerana mercun masih ada lagi bapak budak yang akan terhegeh-hegeh menghiburkan anak-anak mereka dengan bunyi mercun ?

Dan apakah masih ada lagi dalam negara ini bapak-bapak budak yang tak empuk dan tidak reti bahasa sehingga sanggup mengorbankan nyawa manusia khususnya ahli keluarga sendiri untuk mati 'percuma' seperti yang berlaku di Trengganu itu?

Atau bapak-bapak yang seumpama itu wajar jugak 'diletupkan' dengan mercun sebagaimana meletupnya si anak yang malang itu?

Sesungguhnya, haiwan yang bernama babi pun sering menjaga keselamatan dan sayangkan anak-anak babi, sering menjauhkan anak-anak babi dari bahaya! Kalau tidak percaya tontonlah Animal Planet, macam-macam kisah binatang yang bapak-bapak manusia yang tidak bertangungjawab boleh ambil pengajaran!

Aku tidak kecewa malah bangga kalau adik Khairul Arif Ayub 6 tahun itu mati seperti matinya anak-anak Palestin kerana diletup Yahudi sewaktu dia sedang melontar batu kepada regim syaitan laknat itu!

Tuesday, August 24, 2010

Siapa yang buat kuih raya jangan guna minyak sapi ini.

Aidil Fitri semakin menjelang tiba. Mercun bunga api berletupan dan berpercikan. Tangan dan jari sudah ada yang mula putus dan kudung! Kuih muih sudah mula diuli. Ada yang sudah bertebaran mencari pembeli. Meriah aidil fitri !

Namun meriah ke, rokiah ke atau salmah ke, diri dan keluarga kenalah dijaga. Jaga jangan sampai kudung tangan. Kudung tangan bolehlah lagi menyambut hari lebaran, ni sampai meletup satu rumah...bukan dianya!

Selalu ingatkan anak-anak dan menantu yang bakal memandu pulang di jalan. Dan penting juga, jaga dalam sibuk buat kuih raya jangan sampai makan yang haram. Macam minyak sapi di bawah ini...dah diberitahu dan syak, maka jangan beli lagi. Yang dah ada kat rumah, carilah lubang-lubang untuk dibuang. Iyalah..tak halalkan ! Tolong bagi tahu je!

CAP gesa henti segera jual minyak sapi QBB
KUALA LUMPUR, 23 Ogos: Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) menggesa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan supaya menarik balik dengan segera penjualan minyak sapi QBB yang dijual di Malaysia.

Presidennya, SM Mohamed Idris berkata, ini berikutan penarikan balik status halal minyak sapi yang telah ditarik balik oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) berdasarkan bahawa ia mengandungi elemen yang meragukan. Katanya, CAP telah berhubung dengan Jakim berhubung kesahihan status halal minyak sapi sejak Julai tahun ini. “Dalam jawapannya kepada CAP yang bertarikh 20 Ogos 2010, pihak Jakim telah memaklumkan kepada CAP bahawa mereka sedang menarik balik status halal minyak sapi itu sehingga mereka yakin dengan status halal produk itu,” ujarnya dalam kenyataan kepada Harakahdaily, petang ini.

Menurutnya lagi, Jakim dan Jabatan Kimia telah menguji minyak sapi itu dan mendapati ia mengandungi elemen yang meragukan, dan oleh sebab itu tidak boleh dimakan oleh umat Islam dan mereka yang mengamalkan memakan sayuran sahaja.

Sehubungan itu, ujarnya CAP menggesa rakyat
Malaysia supaya menghentikan segera pengambilan minyak sapi sehingga kandungannya disahkan halal oleh Jakim. "

Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan mestilah dengan segera mengambil tindakan untuk menarik balik sepenuhnya produk itu dari pasaran kerana ia sesuatu yang serius dan memerlukan tindakan segera," tegasnya.


Sumber Harakahdaily

Monday, August 23, 2010

Seketika di bazar Ramadhan

Selepas solat asar petang kelmarin, aku sempat singgah di bazar Ramadan Kuala Rompin. Itulah pertama kali aku turun ke bazar Ramadan itu. Pertama kali turun, aku dapat rasakan keadaannya amat berlainan dari tahun lalu. Kali ini kelihatannya tidak begitu ramai orang berkunjung ke situ. Aku tidak pasti apakah keadaan seumpama itu begitu setiap hari kerana seperti yang aku nyatakan tadi itulah pertama kali aku ke situ.

Aku turun dari kereta berjalan-jalan dari satu gerai ke satu gerai. Pelbagai juadah nampaknya tersedia untuk dijual. Aku menemui gerai ayam golek, gerai murtabak, gerai minuman, gerai lauk pauk yang pelbagai jenis mahupun gerai kuih muih yang pelbagai warna. Citarasanya aku tak pasti. Nampak pada warnanya macam sedap !

Namun aku sebenarnya tidak berminat membeli kerana aku tidak banyak makan sewaktu berbuka, cukup sekadar makan nasi lauk ikan goreng atau nasi goreng yang dimasak oleh isteri. Kadang-kadang sejemput mee gorengpun ok! Sehingga ke hari ini aku masih belum berminat dengan lauk-pauk dan kuih muih yang dijual kerana kami makan tak banyak.

Sewaktu berjalan-jalan dari gerai ke gerai itu aku sering terfikir, banyaknya makanan yang belum terjual, sempat habiskah sebelum waktu berbuka? Sedangkan waktu itu tidak ramai orang yang berkunjung. Kalau tidak habis dijual apakah yang berlaku kepada makanan itu ? Dalam hati jangan buang sudah, pembaziran yang Allah tidak suka. Bimbang juga bazar Ramadan yang sepatutnya dapat membantu mereka yang perlu membeli untuk berbuka menjadi medan lalai dan bermewahan makanan sehingga membazir. Bazar Ramadhan di Jasin dan di Kuantan semalam yang dilanda angin kuat wajar dijadikan renungan kita semua.

Mengenai orang tidak ramai berkunjung pada tahun ini mungkin kerana gaji belum dapat lagi kot? Kita tengok nanti selepas 25 Ogos apakah bazar Ramadhan akan diserbu orang lebih ramai lagi. Atau pada tahun ini orang ramai lebih gemar memasak makanan sendiri kerana berjimat. Barang keperluan di Kuala Rompin ini semakin mahal, duit perlu disimpan untuk juadah raya kerana waktu itu anak-anak dan saudara mara ramai yang pulang ke kampung.

Semoga perniagaan di bazar ramadhan mendapat keberkatan Allah dan semoga puasa para pembeli termasuk diri aku sendiri tidak hanya mendapat lapar dan dahaga. Masya Allah !

Tuesday, August 17, 2010

Madrasah Ramadhan mengajar bersabar !


Hari ini nak berpantun je !

Mahu gugur, gugurlah nangka,
Jangan ditimpa si dahan pauh,
Hendak tidur rasanya mata,
Waktu berbuka masihlah jauh.

Tuailah padi antara masak,
Esok jangan layu-layuan,
Perut mula rasa menggelodak,
Biarkan dia jangan dilayan.

Bukan mudah menampi selasih,
Selasih sudah bercampur arang,
Bukan mudah menahan pedih,
Waktulah puasa masih panjang.

Ikan dituba diracun telaga,
Tumbuh onak subur di darat,
Orang berpuasa rasa dahaga,
Bersabar sahaja pasti berkat.

Anak enggang berkayu tinggi,
Patah ranting terbanglah ia
Amboi teruknya sampai begitu sekali,
Macam budak baru puasa pula dia.

Pucuk pauh delima batu,
Anak sembilang di tapak tangan,
Pengajaran hidup memang begitu,
Ajaran dari madrasah Ramadhan.

Pisang emas dibawa belayar,
Masak sebiji di atas peti,
Madrasah Ramadhan mengajar bersabar,
Supaya hidup penuh bererti.

Pulau Pandan jauh ke tengah,
Gunung Daik bercabang tiga,
Madrasah Ramadhan bulan barakah,
Rebut beribadah setiap ketika.

Begitulah adanya...pantun puasa !

Monday, August 16, 2010

16 tahun sudah jadi jutawan internet

CHRISTIAN OWENS menjadi jutawan dalam usia baru 16 tahun selepas memulakan perniagaan Internet dua tahun lalu.


NORTHAMPTON - Seorang remaja sekolah di Britain, Christian Owens mencipta sejarah apabila dia berjaya memperoleh kekayaan £1 juta (RM4.9 juta) dalam usia 16 tahun selepas memulakan perniagaannya dua tahun lalu, lapor sebuah akhbar semalam.

Dia yang berasal dari Corby, Northamptonshire di sini mula menjalankan bisnes dengan duit poket sendiri pada usia 14 tahun apabila melancarkan laman web Mac Box Bundle yang menjana perolehan £700,000 (RM3.5 juta).

Owens kemudian menubuhkan syarikat iklan menerusi Internet, Branchr pada 2009 yang memperoleh £500,000 (RM2.5 juta) tahun lalu dan kini turut dilanggani firma bidaan ternama, William Hill serta laman sosial MySpace.

Walaupun sibuk, dia hanya aktif selepas waktu persekolahan dan hari hujung minggu namun Owens kini mampu menggaji lapan pekerja, semuanya orang dewasa serta merancang membuka dua cawangan tahun depan.

Dia yang kini tinggal bersama bapanya yang merupakan pekerja kilang, Julian, 50, dan ibunya, Alison, 43, setiausaha sebuah syarikat, mendapat idea menjadi jutawan muda daripada kisah kejayaan Ketua Eksekutif Apple, Steve Jobs. - Agensi


Friday, August 13, 2010

Berbuka puasa ...

Berpuasa bukan asyik makan. Tapi berbuka kena makan. Semalam....berbuka dengan jemput pisang je!

Thursday, August 12, 2010

Ramadhan Kareem


Firman Allah dalam surah Al-Baqarah ayat 183:

"Wahai orang-orang yang beriman! Kamu diwajibkan berpuasa sebagaimana yang diwajibkan atas orang-orang yang dahulu daripada kamu, supaya kamu bertaqwa.

Hadith rasulullah SAW:

"Pada malam pertama bulan Ramadhan diikatlah semua syaitan dan jin dan ditutuplah semua pintu-pintu neraka dan tidak dibuka satu pintupun darinya. Dan dibukakanlah pintu-pintu syurga dan tidaklah ditutup satupun darinya. Maka berserulah penyeru; Wahai orang yang melakukan kebaikan hampirlah kamu, wahai orang yang melakukan kejahatan undurlah kamu. Dan sesungguhnya Allah mempunyai ahli neraka yang dibebaskan dan yang sedemikian itu berlaku pada setiap malam (Ramadhan).

(Riwayat At-Tarmizi dan Ibnu Majah dari Abu Hurairah r.a)

Sesungguhnya bulan Ramadhan adalah bulan yang setiap tahun dinantikan ketibaannya oleh setiap umat Islam. Ramadhan ialah bulan yang mulia dan memberikan terlalu banyak manfaat, faedah, fadhilat dan masa depan yang cerah bagi mereka yang menghayatinya.

Bersyukur kita !

Wednesday, August 11, 2010

Amalan-amalan di bulan Ramadhan Kareem


Amalan-amalan di bulan Ramadhan

1) Mengucapkan Selamat Menyambut Bulan Ramadhan
2) Menempah pakaian untuk Ramadhan
4) Hendak tidur bacalah 4 ayat terakhir Surah Al Kahfi(ayat 107-110) supaya dapat bangun malam
5) Berazam melakukan Terawih dan jangan tinggal solat witir.
6) Bertadarus secara bersemak (bukan sendirian)
7) Solat berjemaah setiap waktu
8) Solat jemaah di masjid/surau
9) Amalkan Qiyamulail walaupun pendek
10) Sahur diwaktu akhir
11) Sahur - utk mengelakkan makanan tidak hadam elakkan makanan pedas dan tutup sahur dengan air susu
12) Mandi Janabat sebelum Imsak
13) Kurangkan tidur
14) Tunaikan Solat sunat fajar (Solat Sunat Subuh)
15) Tunaikan Solat Dhuha
16) Tidur waktu cuti (satu jam sebelum Zohor)
17) Tunaikan solat Rawatib
18) Jaga pacaindera
19) Elakkan gosok gigi pd waktu petang
20) Hadiri majlis ilmu
21) Buat baik kepada ibubapa
22) Isteri hendaklah taat kepada suami
23) Banyakkan bersedekah
24) Berbuka dgn 3 biji kurma dan air yg belum dipanaskan oleh api
25) Berbuka bersama orang tua
26) Jemput tetamu berbuka
27) Kurangkan berat badan
28) Banyakkan i’tikaf di masjid (lelaki sahaja)
29) Baiki hubungan suami isteri
30) Baiki hubungan jiran
31) Isteri jauhi daripada keluar memakai mekap dan perhiasan
32) Elakkan berbelanja berlebihan
33) Kuatkan kesabaran
34) Banyakkan selawat, istighfar , bertasbih
35) Berazam beramal (pada malam Lailatul Qadar)
36) Mengejut anak dan isteri di mlm Lailatul Qadar
37) Elakkan menonton TV yang mengandungi nafsu
38) Elakkan mendengar radio berunsur hiburan
39) Berdoa dengan nada lembut dan merayu
40) Jauhkan bercumbu dgn suami/isteri
41) Mendoakan ibu bapa sama ada hidup atau yang telah meninggal dunia
42) Melazimkan solat di awal waktu
43) Elakkan sebelum berbuka bersiar-siar yang menjadikan pandangan liar
44) Elakkan banyak berhutang
45) Melepaskan perasaan sedih melepaskan Ramadhan ditakuti tidak bertemu lagi dengan Ramadhan akan datang
46) Tunaikan zakat fitrah

Wallahu Aklam.

Tuesday, August 10, 2010

Guru oh guru !

Menonton sejenak youtube seorang pelajar sekolah di Sarawak bertengkar dan menumbuk gurunya, hati aku terasa cukup pilu. Simpati aku kepada rakan sejawat guruku itu begitu sekali terasa walaupun banyak NGO terutamanya Presiden Gabungan PIBG Malaysia menyalahkan guru.Justify Full
Begitulah nasib seorang guru. Orang melihat guru sekarang sudah bergaji besar sahaja tanpa melihat guru berkerja 24 jam sehari untuk menjaga, mengawal dan mendidik anak orang lain. Kalau mengikut undang-undang buruh sedunia memang telah lama guru-guru terpaksa tolak tepi undang-undang itu. Bayangkan suatu waktu dulu, pukul 1.30 pagi aku dikejut untuk bergegas ke asrama kerana ada pelajar sakit tenat. Perjalanan ke asrama sejauh 30 km meter dengan keselamatan guru sendiri tidak terjamin, guru meredah segala.

Rakan sejawat aku di Sarawak itu pasti berniat ikhlas untuk mendidik dan mendisiplinkan anak bangsanya, kalau tidak masakan sanggup dia berkhidmat di Sarawak. Bayangkan Timbalan Menteri Pelajaran pun hampir mahu pengsan untuk sampai ke lokasi guru yang bertugas nun jauh di pedalaman, namun setiap tinadakan guru tetap menjadi bahan kritikan seolah-olah pelajar yang melawan guru tu sentiasa benar dan perlu ditatang minyak yang penuh.

Aku pernah melihat seorang sahabat guru yang begitu lemah lembut dengan para pelajarnya tetap menjadi bahan 'menganjing' anak muridnya baik di luar sekolah, dalam kawasan sekolah apatah lagi di dalam lekas. Setiap arahan guru tidak diendahkan malah guru hanya mendapat ejekan dan gelak ketawa pelajar. Tak dapat aku bayangkan jika sekiranya guru yang baik ini merotan budak ini, sudah pasti guru yang puas dipermainkan oleh budak itu dipersalahkan.

Bagaimana guru yang berdepan dengan pelajar di Sarawak itu kalau dia merotan pelajar yang kurang ajar itu? Sudah pasti guru ini akan dicemuh kerana perangai seorang murid yang biadap dan kurang ajar. Pelajar akan terus semakin biadap kepada guru-guru kerana mereka tahu puak-puak yang bercakap banyak dan hanya tahu memberi cadangan itu tetap tidak buat apa-apa seperti apa yang buat di sekolah.

Monday, August 02, 2010

Kita gagal sebenarnya !!!!!


Sehari dua ini Buletin Utama TV3 memaparkan kisah remaja terlampau. Kalau tidak silap apa yang aku dengar, seorang remaja itu memberi tahu wartawan yang menemuramahnya, bahawa semasa dia bersekolah di tingkatan 4 dan 5 telah melakukan hubungan seks dengan 20 hingga 30 orang lelaki? Masya Allah....!!!

Yang seorang lagi pula memberitahu puncanya ialah bahan porno dari internet. Download dari internet masuk ke telefon bimbit maka merebaklah gambar-gambar lucah itu secara bluetooth dari satu telefon bimbit ke satu telefon bimbit. Tengok ramai-ramai dan selepas itu buatlah kerja-kerja tak senonoh yang menjahanamkan itu!

Aku juga terdengar rungutan dan ada cadangan yang dikutip oleh wartawan TV3, agak-agak bagaimanalah hendak di atasi masalah ini. Dalam penganjuran Kempen Prihatin, masih ada bayi-bayi yang dibuang, dicampak ke serata tempat dan dihurung-gigit oleh semut merah ke seluruh anggota. Entah-entah dah banyak juga yang dimakan anjing tak berkubur.... Siapa tahu!?

Rata-rata yang memberi pendapat menyalahkan ibubapa. Betul jugak...! Errmm...ibubapa !!

Tapi aku terfikir pula bagaimanalah anak-anak itu hendak pandai dikawal, kalau ibubapa sendiri buruk perangai dan akhlaq?

Ibubapa yang tidak solat subuh banyak mana di negara 1Malaysia kita ini. Bertimbun!! Bagi aku solat subuh satu solat wajib yang cukup tinggi darjatnya, satu solat yang merupakan ujian terhebat kepada manusia Islam, solat yang menjad penentu keimanan dan bertaqwaan atau tidak orang Islam pada hari itu, telah menjadi begitu jauh dengan orang Islam dan jika begitu senarionya bagaimanakah ibubapa kepada anak-anak Islam itu mampu mendidik anak untuk berperangai mulia?

Satu lagi yang aku sering terfikir, ibubapa yang gagal itu siapakah yang membentuk mereka begitu? Acuan yang macam manakah yang membentuk mereka menjadi ibubapa begitu? Dan sistem pendidikan yang bagaimanakah yang menjadikan mereka ibubapa yang gagal begitu?

Maaf....kita gagal sebenarnya ! Gagal dalam melahirkan kemanusiaan!! Cadangan-cadangan kita yang terbaru pun tidak berorientasikan kepada kaedah membina kemanusiaan solehin! Mampukah membina sekolah untuk mengumpul gadis-gadis bunting menyelesaikan masalah? Sekurang-kurangnya buatlah cadangan yang munasabah: Perkasakan proses Islamisasi sistem pendidikan kita supaya kita mampu melahirkan ibubapa yang berkualiti untuk generasi akan datang . Jika tidak kita akan terus melahirkan ibubapa yang gagal itu sebagai warisan kita.