Friday, April 30, 2010

Macam-macam !!


Zaman sekarang dipanggil zaman dunia tanpa sempadan, orang putih sebut " borderless world!" Hubungan komunikasi merentas benua, meredah taufan di lautan. Berlabun di Oprah, menonton di Chedok.

Kalau hendak tahu macam-macam, semua boleh dan mampu, kecuali buat tak kisah. Orang yang kisah macam-macam tahu, macam-macam pandai dan macam-macam gelagat. Ada tahu yang berbaloi, ada tahu yang mengarut. Bercakappun mengarut, berguraupun mengarut ! Tapi kadang-kadang yang mengarut tetap melucukan walaupun bunyi tak berapa nak senonoh.

Minumlah saya sambil makan keropok lekor dan sata. Sekumpulan remaja minum-minum dan makan juga di situ. Maklumlah gerai terbuka pinggiran jalan. Dalam banyak-banyak perbualan ada yang menarik perhatian semasa mereka berteka-teki sambil gelak-gelak makan.

Terdengar seorang dari mereka berteka-teki, bunyinya ampun maaf dipinta, katanya, " Apakah binatang yang paling banyak 'batu' ?"

"Batu ?", terkejut jugak saya. Apasal kisahkan batu binatang pulak ?

Sambil bergelak-ketawa maka banyaklah tekaan dari mulut para kawannya. Macam-macam binatang keluar. Saya hanya diam namun rasa jugak lucunya sambil fikiran ini meneka jugak, "binatang apa ya ?"

Anih semua binatang yang diberikan sebagai jawapan semuanya dikatakan salah ! Akhirnya salah seorang dari remaja itu merungut, " hah..mengarut kau ni, mana ada binatang banyak batu, semua dua belaka termasuk ngko !".

"Eh...aku bukan binatanglah !", pantas si pemberi teka-teki memotong. "Ada !!"

"Binatang apa ?' tanya yang seorang lagi !

"Naga China !" jawab si pemberi teka-teki

"Naga China ?", tertanya saya sambil terdengar gelak ketawa para remaja di belakang saya itu.

"Naga China lah paling banyak batu. Kalau ada 10 orang kata bawah tu, 20 batu," jawabnya selamba.

Masya Allah begitu rupanya !! The boderless world ..... Macam-macam !

Thursday, April 29, 2010

Budaya kian pupus ?

Mengikut Kamus Dewan, BUDAYA ertinya Peradaban. Kata akar Peradaban ialah ADAB. Adab pula ertinya tingkahlaku serta tutur bicara yang halus dan sopan. Maka boleh dirumus pukal bahawa BUDAYA ialah tingkahlaku dan tutur bicara yang halus dan sopan yang menjadi darah daging kehidupan.

Jika itu budaya, maka ertinya kehidupan yang tidak mempunyai tingkahlaku dan tutur bicara sopan, maka kehidupan itu tidak berbudaya, tiada peradaban disebabkan tidak ada adab. Kehidupan yang sarat kemangkukkan !

Kes anak kepada gadis-gadis yang tidak berlaki sahih, dan buang bayi yang menimbun lantas pepak dihidangkan di corong-corong media, hingga terpacul dari minda mak menteri akan perancangan mata pelajaran Kesihatan, Reproduktif dan Sosial, merupakan antara petanda bahawa kehidupan hari ini kian tidak berbudaya !

Soalnya, tiada siapa yang mahu memikirkan atau segan untuk menyatakan atau degil untuk mendengar pandangan orang, tingkahlaku dan tutur bicara itu wajar berdiri atas asas apa ? Atas asas budaya itu sendiri ? Mana mungkin tingkahlaku dan tutur bicara sopan itu mampu berdiri atas asas budaya sedang budaya sendiri kian pupus atau mungkin sudah tidak wujud lagi ?

Soalnya bagaimana ?

Sejak lama dahulu kita mulai lagu ini dengan... ikan oh ikan kenapa engkau tidak timbul.... kini semua sudah tahu, lagu kita sudah sampai ke saat ...ular oh ular kenapa nak makan katak...KAAATAK MAKANAN AKU !

Nampaknya, kita terus diajak menyanyikan berkali-kali lagu itu....!!

Wednesday, April 28, 2010

Dalam mencari Suria....

Sambil memandu mulut mengunyah. Melayan fikiran merayau kepada pelbagai hal; kerja, masyarakat, agama, politik, budaya 1Malaysia, buang bayi, mata pelajaran kesihatan reproduktif dan sosial, kereta tak siap-siap lagi, duit dan macam-macam !

Sepanjang jalan melihat pelbagai ragam dan pandangan; hutan yang gondol, ada kereta yang tersadung dalam belukar, memotong di double line, lori asap berbunga, menunggang motorsikal tanpa topi keledar, anak gadis membonceng motosikal nampak alur buntot (masya Allah!), kera mengawan di tepi jalan (kera betul; kurang ajar kera ni !). Macam-macam....!!! Namun saya terus mencari Suria !

Suria ? Saya hendak berjumpa Suria dan akan pasti berjumpa Suria kejap lagi !

Dalam fikiran macam manalah rupa Suria. Hati mula rasa berdebar. Dari namanya saya mula tertanya-tanya; Panaskah Suria bila kami bersua nanti ? Saya terus terbayang wajah Suria yang penuh keegoan dan gah atau mungkin penuh photogenic menyambut kedatangan saya.

Saya mula membelok ke sebuah lorong sepi dengan pokok -pokok lalang dan senduduk penuh keliling-kelalangnya. Betulke ni ? Tak kan Suria berada di sini...sunyi...!!!

Namun saya terus memandu lara di lorong itu, menjauhi jalan besar! Mencari Suria !!

Akhirnya hati ini mula teruja. Ternampak indah dan ekslusifnya Suria....Suria Cherating Beach Resort tempat saya akan bermesyuarat dua hari ini.

Berdebar hati, siapakah sahabat-sahabat terutama room-mate yang akan saya jumpai di Suria ini....

Tuesday, April 27, 2010

Sekali air bah sekali pantai berubah


Peribahasa Melayu berkata, "Sekali air bah, sekali pantai berubah !"

Maksud hurufiahnya, pantai berubah kerana air bah. Itu pantai ! Bagaimana dengan manusia ?

Semua berlabun, "Saya mahu berubah !".

Semua manusia ingin berubah. Berubah dari kurang kepada lebih. Berubah dari malas kepada rajin. Berubah dari miskin kepada kaya. Berubah dari lalai kepada alim. Pendek kata semua mahu berubah dari negatif kepada positif !

Tetapi berita yang mencabar hati nurani, manusia tidak mampu berubah semudah pantai berubah. Pantai tidak berbuat apa-apa tetapi air bah yang mengubah pantai.

Tidak bagi manusia! Hendak berubah tidak boleh mengharapkan orang lain. Kalau itulah sikapnya, " sampai ke tua lah lu begitu !".

Merekalah bertanggungjawab mengubah diri sendiri.

Monday, April 26, 2010

Saya kembali untuk terus syok sendiri di sini !


Salam semua (Entah kepada siapa salam ini diberi, tidak tahu) !

Lama saya tidak menulis, sebulan lebih! Sebenarnya tiada apa yang berlaku, cuma 'pasang surut air laut' menjadikan segala kejadian itu lumrah belaka. Menulis untuk syok sendiri memang begitu, yang singgah hanya sekelonet dek tersesat dan tersasul di maya kecuali yang memanggil saya Pak Su itu!

Arus kesibukan menjadikan waktu agak mendesak untuk berebut ke sini. Menjadikan ruang sekangkang kera ini bukan prioriti untuk seketika. Lelah melihat alam dengan kerenah kemanusiaan dengan kebejatan moral dan akhlaq. Haru biru sistem kependidikan yang tidak kunjung berjaya ke arah pembinaan watak-watak insan kamil, uthopia semata-mata !

Berebut mengejar masa dan ketika untuk mentelaah bacaan dan ilmu buat menyudahkan thesis dan testimoni bagi menggagahi usaha menamatkan Phd ini menjadikan banyak lagi yang lebih utama dan prioriti.

Namun kini saya kian kembali untuk terus syok sendiri di wilayah ini. Insya Allah !