Monday, February 22, 2010

Sebuah pengalaman yang tak mungkin kami lupakan ...!!



Tiada siapa yang mahu menerima musibah. Tetapi apakan daya kita manusia yang lemah ini. Setiap musibah yang menimpa pasti ada rahmat di sebaliknya.

Telah 26 tahun saya menjadi pemandu berlesen, hari itu adalah hari yang malang bagi saya. Namun saya bersyukur kerana Allah masih sayangkan kami (saya dan isteri) untuk terus berada di sisi anak-anak dan untuk terus berbakti kepada agama, nusa dan bangsa.

Kami selalu ke Mersing dan perjalanan pergi balik Rompin-Mersing, Mersing-Rompin adalah perjalanan yang terlalu biasa bagi kami. Tapi tanggal 17 Februari 2010 lebih kurang pukul 4.55 petang adalah hari dan waktu yang malang bagi kami. Musibah menimpa....

Dalam perjalanan pulang dari bandar Mersing ke Rompin, saya memandu Hyundai Matrix seperti biasa sambil bersembang dengan isteri. Sesampai di selekoh menurun bukit yang agak lebar jalannya, di kawasan yang sering disebut oleh rakan-rakan, Hutan Lipur Gunung Arung jalan Mersing-Endau, tiba-tiba kereta saya senget ke kanan dan terpusing.

Waktu itu saya dan isteri mula tersentak dan terkejut. Segala-galanya berlaku begitu pantas...

Saya bertindak mengawal stering dengan memulas ke arah kanan untuk mengelak kereta saya terbalik dan berguling menuruni bukit yang landai. Sambil saya menyebut kalimah "Allah...Allah...Allah...!!" sepanjang kereta saya berpusing menuju bukit saya tidak nampak apa-apa lagi di hadapan...gelap!

Sambil memegang stering dengan kukuh, saya hanya dapat merasakan kereta saya melanggar sesuatu dengan kuat beberapa kali. Waktu itu saya memohon kepada Allah agar menyelamatkan isteri saya di sebelah.

Kejadian itu berlaku begitu pantas sekali. Tiba-tiba semua pergerakan terhenti. Kami berada dalam kereta dalam keadaan senget kerana kereta terbalik mengiring sebelah kiri. Saya terus melihat isteri saya di sebelah bawah. Saya menyentuh pipinya sambil bertanya beberapa soalan: Ani ada sakit kat mana-mana tak ? Tak ! Kaki Ani terkepit tak? Tak !

Sambil tergantung kerana terikat dek tali pinggang keledar, saya menenangkan isteri yang kelihatan pucat, "sabar, bertenang, relek, alhamdulillah kita tak apa-apa...syukur kepada Allah, insya Allah kejap lagi akan ada orang tolong kita....".

Melihat isteri bertenang saya mula mematikan injin kereta, bimbang takut terbakar. Saya buka pintu sambil menongkat pintu dengan kaki. Saya tekan hon sambil tangan kanan saya melambai keluar.

Saya sempat melihat isteri saya yang kelihatan lemah macam nak pengsan. Tapi saya mula rasa lega kerana saya terdengar banyak kereta mula berhenti....

"Abang, abang okay ke ? Berapa orang kat dalam bang?".

"Aiya...abang talak apa-apa ? Sabat-sabat oo...nanti kita olang tolong..cepait..cepait !!!"

Seseorang dari ramai yang mengerumuni meminta saya keluar. Sukar sekali untuk saya keluar kerana saya hanya tergantung dek terikat tali pinggang keledar. Tangan saya hanya dipegang oleh seorang pemuda. Tapi atas panduan ramai, saya mesti keluar dahulu. Saya tekan butang tali pinggang keledar.... Masya Allah...bedebub saya terjatuh atas isteri saya. Isteri saya mengaduh kesakitan! Oh...Tuhan... kesiannya...!!!

Pada waktu saya sudah berada berhadapan dengan isteri ,saya cuba menyedarkannya kerana dia sekali lagi hampir pengsan. Orang ramai berusaha membantu. Salah seorang mencadangkan agar kereta saya yang terbalik mengiring ke kiri itu ditolak untuk berkedudukan betul. Saya bersetuju tetapi belum pun sempat saya berusaha membetulkan kedudukan isteri saya dan kedudukan saya juga, kereta telah ditolak...sekali lagi saya tertumus ke lantai kerusi pemandu. Berdengung juga kepala saya sekejap. Dalam hati saya sempat berkata sendirian..." rasanya mati kerana pertolongan je ni !"

Dalam keadaan saya terhoyong-hayang di luar kereta saya ternampak isteri saya diusung oleh beberapa orang. Saya cuba mengikut ke mana isteri saya dibawa tetapi sebaik saya mahu bergerak seorang anggota polis berpangkat sarjan yang sedang meronda, menasihati saya agar menunggu kereta dan menjaga apa-apa barang-barang bernilai, dan dia bersama rakan polisnya akan bawa isteri saya ke hospital Mersing. Dalam keadaaan paner begitu saya akur. Saya hanya melihat isteri saya dibawa laju ke hospital oleh kereta peronda polis (bukan polis trafik).

Terima kasih teramat sangat saya dan isteri kepada semua pihak yang berhenti membantu pada waktu kemalangan itu termasuk kepada semua anggota polis terbabit. Ada yang menenangkan saya, ada yang cuba memastikan saya tidak cedera ataupun patah dan ada yang memberi saya minum air! Alhamdulillah...terima kasih kepada mereka semua ya Allah. Berikan ganjaran pahala yang besar kepada mereka ya Allah !

Setelah saya mula tenang saya mula menelefon abang ipar, adik ipar saya, dan para sahabat saya yang berdekatan. Adik saya bersama suaminya dan anak lelaki kedua saya, Abdul Hafiz yang sedang bercuti Tahun Baru Cina, saya minta bersegera ke hospital Mersing untuk menemani dan memastikan keadaan mak-nya.

Alhamdullillah... anak saya memberitahu setelah diperiksa dan di x-ray, katanya mak tak ada apa-apa dan boleh balik. Berita yang paling melega dan menggembirakan saya pada waktu itu.

Mulai saat itu fikiran saya mula fokus kepada urusan kereta Matrix yang 'tercedera' agak teruk. Saya uruskan hal kereta bersama abang ipar dan kakak saya di lokasi kemalangan.

Sebelum abang ipar dan kakak sampai, mereka yang membantu sejak dari tadi mula beransur-ansur meminta diri. Sambil bersalaman dengan saya dan ada yang memeluk saya, mereka kata mereka bersyukur, saya tak apa-apa. Saya hanya mampu mengucapkan terima kasih kepada mereka semua.

Sebaik orang ramai berlalu pergi, saya mula didatangi dan dihulur dengan pelbagai jenis bisnes kad urusan tunda kereta. Saya memberitahu mereka saya perlu sedikit masa untuk buat keputusan kerana perlu berbincang dengan abang ipar dan sahabat-sahabat saya yang dalam perjalanan ke situ. Mereka akur.

Dalam keadaan begitu ada seorang perempuan muda bersama suami dan anak perempuannya membuat keputusan di hadapan saya, " Abang, kita tunggu encik ni sekejap abang ya, kesian pula sorang-sorang encik ni duduk tepi hutan ni."

Suaminya bersetuju" okay..okay, elok juga tu!".

Saya bertanya perempuan itu, biasakah berhenti kalau terserempak dengan kemalangan jalanraya?

"Saya tak pernah berhenti encik...ee takut saya. Tapi saya berhenti ni sebab saya rasa saya pernah tengok encik ni, macam kenal....tapi kat mana saya dah lupa", kata perempuan itu.

Sambil-sambil bersembang dengan suaminya tiba-tiba perempuan itu menjerit, "Haa...yee...cikgu kan ? Cikgu pernah datang bagi ceramah motivasi ibubapa kat sekolah anak saya dulu !!!"

Saya hanya tersenyum dan mengangguk. Selepas itu dia tidak berencik-encik lagi.

Setelah polis trafik sampai, perempuan tadi dengan suaminya mula minta diri untuk meneruskan perjalanan mereka, " Cikgu, polis dan sampai kami minta diri dulu cikgu. Syukurlah cikgu selamat dan tak ada apa-apa!".

Hanya lafaz terima kasih yang tidak terhingga buat mereka !

Selepas itu saya mula berurusan repot polis di Balai Polis Mersing.

Kemalangan yang saya dan isteri saya alami itu, benar-benar mengajar saya bahawa jika bertembung dengan kemalangan berhentilah, bantulah mangsa kemalangan...sekurang-kurang bercakap dan menenangkan mereka. Hari itu saya benar-benar dapat merasai betapa perlunya sebuah perhatian dan pertolongan dalam sebuah kemalangan!

Tapi berhati-hati membantu kerana dikhuatiri mangsa akan lebih menderita kerana sebuah 'pertolongan cemas' yang mencemaskan!!!

Walau apapun saya bersyukur kepada Allah dan terima kasih semua yang memberi pertolongan.

Saturday, February 20, 2010

Nak langsing badan ?


Ramai orang nak langsingkan badan terutama orang perempuan. Orang lelaki pulak bersibuk hendak buangkan boroi. Langsing, menawan ! Tidak boroi, menawan ?

Untuk tujuan kedua-dua itu ramai yang bersibuk diet. Kurangkan makan itu, tak mahu makan ini. Macam-macam!

Antara makanan orang yang hendak langsing paling takut makan ialah aiskrim. Katanya makan aiskrim boleh menggemukkan.

Tahukah bahawa aiskrim sebenarnya tinggi kandungan kalsium.

Berdasarkan satu kajian yang dilakukan oleh sebuah makmal makanan di New Jersey, mereka yang bermasalah berat badan yang mengambil kalsium dalam diet, mengalami penurunan berat badan sekitar 70 peratus berbanding mereka yang tidak menikmati kalsium langsung. Makanan tinggi kalsium yang diberikan kepada responden dalam kajian itu termasuklah susu dan AISKRIM.

Justeru itu, kalau bab tak langsing atau masih boroi jangan salahkan aiskrim. Agaknya, (ini agak sayalah )...yang masih tak langsing dan masih boroi kerana kurang makan aiskrim kot?

So jumpa aiskrim, rasa teragak, belasah je...! Jangan takut gemuk kerana makan aiskrim tapi ....takutlah kerana kecing manis kot ?

Entahlah...entah ia entah tidak !!

Monday, February 15, 2010

Asam gumpal...sedap !


Hah...ini satu lagi kuih tradisional yang enak rasanya dan sedap dimakan. Ada orang panggil asam gumpal dan ada juga yang panggil sagu gumpal. Mana satu yang betul, tak tahulah. Tapi ramai orang panggil dia asam gumpal.

Saya panggil sagu gumpal sebab saya tak nampak mana asamnya, malah rasanya pun tak pernah masam, lemak manis je ! Kalau orang tanya saya, suka ? Suka ! Sedap ? Tengok orang yang buatlah...

Kalau kat Rompin ni saya suka asam gumpal Senah Mak Andam. Nak makan asam gumpal Senah Mak Andam pergilah beli di Pekan Sehari Simpang Sepayang setiap petang Jumaat. Hah kat situ jumpalah asam gumpal Senah Mak Andam. Bukan promosi ni...tapi nak cerita ke hal sahaja!

Kalau nampak saya lalu mesti Senah Mak Andam mempelawa, " Ambo cikgu Li...beli gok asang gumpa ni !!".

Saya pun beli !



Thursday, February 11, 2010

Lempeng kelapa.


Selalu makan semasa kecil dulu. Kalau pergi rumah Tok Wan Siti dan Tok ki Ali, buka tudung saji mengkuang mereka akan adalah terhidang atas meja.

Memang sedap kalau Tok Wan yang buat. Lebih sedap kalau kalau kelapa muda. Makan pulak dengan air kopi o....fuh !

Dulu semasa zaman kanak-kanak dan zaman remaja selalu sangat berjumpa dengan lempeng kelapa. Waktu sarapan juga waktu minum petang.

Tapi hari ini jarang di rumah buat lempeng kelapa. Yang selalu nasi lemak, nasi goreng, mee goreng dan jemput bilis.

Hari ini lempeng kelapa telah menjadi makanan yang komersil. Saya pernah order lempeng kelapa kerana nostalgia lempeng kelapa Tok Wan Siti, tapi lain rasanya dari yang Tok Wan Siti buat. Yang saya makan digerai tu tak KAO macam yang Tok Wan buat.

Kadang-kadang terasa jugak nak makan lempeng kelapa terutama sewaktu minum petang. Sedap dan lazat ! Minum dengan kopi O.


Monday, February 08, 2010

Bila kucing bertanduk ?

Lama juga tidak menulis. Kesibukan tugas menjadikan blog ini bukan prioriti untuk seketika. Ditambah pula kerja-kerja update blog menjadi begitu sukar di rumah, walaupun satu ketika negara tercinta ini amat terkenal dengan MSC nya.

Rupa-rupanya masih banyak kawasan yang bukan ceruk sangat pun, masih belum mendapat coverage jalur lebar yang baik. Untuk update blog terpaksa menghabiskan masa sampai hampir 2 jam, baik tak payah !

Sepatutnya persoalan coverage ini sudah selesai kerana negara ini bukan sebesar mana pun. Media internet merupakan satu media baru yang wajar mampu dicapai oleh seluruh rakyat walau di ceruk mana berada.

Tapi nampaknya hal ini tidak berlaku. Terpaksa menunggu entah bila untuk seluruhnya mendapat liputan jalur lebar yang baik. Tunggu sahajalah, mungkin sehingga kucing bertanduk.

Soalnya, bila kucing bertanduk ?




Wednesday, February 03, 2010

Kejayaan manusia.

Siapakah manusia yang pernah mendapat markah paling tinggi dalam ujian IQ? Adakah beliau seorang lelaki? Mungkinkah lelaki itu saintis paling terkenal zaman ini, iaitu Albert Einstein?

Tidak ! Dia bukan seorang lelaki. Manusia yang paling tinggi IQnya dalam rekod dunia ialah seorang perempuan. Namanya Marilyn Mach Vos Savant. Beliau lahir di St. Louis Amerika Syarikat pada tahun 1946. Sewaktu beliau berusia 10 tahun dan masih belajar di sekolah rendah, beliau mengambil ujian IQ Stanford-Binet dan mendapat markah 230. Berapa tinggi IQ 230 ?

Dalam ujian Stanford-Binet, markah 100 ialah purata. Kalau saudara mengambil ujian ini dan saudara mendapat 116, saudara sudah termasuk dalam golongan 16 peratus manusia terpintar. Bayangkan, Marilyn mendapat markah dua kali ganda lebih tinggi daripada saudara. Orang kedua yang paling tinggi markahnya mendapat 200. Jadi IQ Marilyn tidak ada tolok bandingnya. Marilyn tidak memegang sebarang ijazah universiti tetapi dalam masa 2 tahun sahaja beliau sudah berjaya menamatkan kursus di Universiti Washington dan St. Louis Community College.

Ayahnya bernama Ernst Mach. Beliau berketurunan Austria dan beliau seorang ahli falsafah serta seorang doktor perubatan. Beliau juga pelopor bidang fizik bunyi. minat semulajadi Marilyn ialah bidang penulisan kreatif dan beliau sudah menulis beberapa belas buku dan beberapa drama pentas. Beliau kini menulis ruangan pojok di sebuah akhbar dan memberi kuliah berkenaan kepintaran. Kini beliau menetap di New York bersama suaminya.

Dalam bidang perubatan sakit jantung, nama Dr. Robert Jarvick sangat terkenal. Beliaulah orang yang mencipta jantung tiruan Jarvick yang mengambil sempena namanya. Jantung tiruan ciptaannya adalah jantung tiruan pertama yang betul-betul dapat berfungsi. Ciptaan Dr. Jarvick itu kini membantu ramai pesakit-pesakit jantung yang tenat terus hidup sementara menanti adanya penderma jantung manusia sebenar. Dr. Jarvick diiktiraf sebagai seorang genius. Bagi mencipta jantung itu beliau menggabungkan pengetahuannya sebagi seorang pakar jantung dengan kepintarannya dalam bidang mekanik.

Kisah kejayaan Dr. Jarvick tidak seperti kisah Marilyn Mach Vos Savant. Kisah kejayaan Dr. Jarvick penuh dengan cerita-cerita kegagalan. Daripada ujian Stanford-Binet yang pernah diambilnya, IQ Dr. Jarvick didapati terlalu rendah. Beliau gagal dalam semua ujian masuk fakulti-fakulti perubatan di Amerika. Selepas gagal mendapat tempat belajar di universiti di Amerika beliau memohon masuk fakulti perubatan di Itali, barulah di sana beliau diterima, dan akhirnya beliau lulus sebagai seorang doktor perubatan. Secara kebetulan Dr. Jarvick ialah suami kepada Marilyn Mach Vos Savant-Jarvick. Elok juga kalau doktor itu belajar dengan isterinya cara-cara menjawab soalan ujian IQ sebab kalaulah dahulu dia pandai menjawabnya tentulah dia dapat masuk universiti di Amerika.

Seperti yang dialami oleh Dr. Jarvick, bagi menjadi seorang yang amat berjaya dan kreatif dalam kerjayanya, seseorang itu tidak perlu mendapat markah tinggi dalam ujian IQ. Ramai tokoh-tokoh yang sangat kreatif mempunyai ujian rekod IQ yang lemah sewaktu di sekolah. Dr. Jarvick bukanlah seorang yang terkecuali.

Di antara tokoh-tokoh lain yang seperti Dr. Jarvick ialah Thomas Edison. Guru sekolah rendah Edison pernah mengatakan beliau otak udang. Malah Edison tidak habis bersekolah. Sir Winston Churchill pun begitu juga di mana guru-guru di sekolahnya menyangka beliau budak bodoh. Guru matematik Albert Eistein pula mengatakan dia pelajar dungu!

Mari kita kembali ke negara kita sendiri. Sebagai seorang pelajar, Dr. Mahathir Mohamed gagal terpilih untuk diberi biasiswa melanjutkan pelajarannya keluar negara dan hanya mendapat tempat belajar di dalam negeri, waktu itu di Singapura dan berjaya lulus sebagai doktor perubatan.

Seorang tokoh cendekiawan Melayu yang luar biasa ialah Anwar Ibrahim. Semasa di sekolah beliau gagal memasuki aliran sains, dan seperti Dr. Matahir juga, beliau gagal terpilih belajar di luar negara, dan hanya belajar di Universiti Malaya, di situ pun beliau pernah mengulang setahun. Beliau menubuhkan sebuah persatuan belia yang paling berpengaruh di negara ini iaitu Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM). Persatuan ini sekarang mempunyai hampir 400 buah tadika dan sekolah di seluruh negara yang dikendalikan oleh ahli-ahli persatuan itu.

Sekadar menyebut satu lagi nama, barangkali tidak ada remaja Melayu yang tidak pernah menikmati kelazatan burger berjenama Ramly Burger. Kini En. Ramly bin Mokni ialah pengeluar burger yang terbesar di Malaysia dengan nilai jualan RM50 juta setahun. Beliau hanya setakat lulus sijil Pelajaran Malaysia dan tidak pernah memasuki mana-mana unversiti.