Sunday, January 31, 2010

Santau: Kita masih sezaman zaman Parameswara?

1.

Setiap waktu ramai orang ke warung kecil dia. Bila ditanya, kenapa ramai orang suka berkerumun di warung dia. Makanan di warung dia murah dan sedap pulak tu. Begitulah saban waktu.

Selepas dua tahun, telah mula kelihatan warungnya sekejap buka sekejap tutup. Bila ditanya, kenapa warung dia kejap buka kejap tutup, ramai yang menjawab dia sakit !

Sakit ? Kerja teruk sangat kot ?

Kerja teruk tu biasalah orang berniaga. Memang kena kerja lebih tapiiii.... ni bukan sakit sembarangan.

Sakit apa ?

Dia sering muntah darah dan doktor pakar kata, dia tak ada sakit apa-apa. Semakin hari semakin tak lalu makan. Dia kena santau...!!

Laaa....kesiannya !

Hari itu dia meninggal dunia. Tak tahulah apa asbabnya ! Allah Maha Mengetahui.

2.

Sudah berapa lama cikgu batuk ?

Rasa-rasanya dah dekat 10 tahun.

Cikgu kena santau angin ni...

Tapi saya tidak ada musuh, saya tak bergaduh dengan sapa-sapa! Saya orang miskin...tak ada sebab orang nak dengki kat saya. Apa lebihnya saya yang menyebabkan orang nak santau-santau saya ?

Bukan tunggu orang dengki marah kan cikgu. Santau angin ni cikgu, kalau cikgu selalu minum di mana-mana gerai atau warung atau restoran yang selalu menjadi tempat laluan atau orang buang santau, cikgu mungkin terkena. Ada tak cikgu selalu minum kat gerai mana-mana?

Dulu adalah masa berulang belajar. Tapi tokeh kedai tu baik je saya tengok !

Itulah saya cakap tadi cikgu...mungkin bukan dituju pada cikgu tapi mungkin cikgu terkena sewaktu minum-minum atau makan-makan di kedai makan berkenaan....tu yang boleh menyebabkan cikgu batuk-batuk.

Masya Allah..... macam-macam ! Dunia ini semakin tua !!

3.

Mengantuk nampak ?

A'ah mengantuk sikit. Malam tadi tidur lewat malam. Pergi ke rumah adik. Adik minta datang ke rumah dia kerana ada orang kampung hendak berunding dengan dia. Ada hallah sikit! Bukan apa, adik minta tolong 'jaga' dia.

'Jaga' ? Jaga macam mana ?

Ialah mana tahu kalau-kalau orang yang datang tu, entah apa yang dia buat untuk perlemahkan adik saya. Zaman sekarang ini macam-macam cikgu ! Saya cakap betul cikgu, kalau puak-puak tu buat apa-apa kepada adik saya, saya santau orang-orang tu cikgu !

Fuh...santau !?

Inilah dunia kita, masih sezaman dengan zaman Parameswara...santau sana...santau sini !

4.

Sahabat karib saya mengajar di Sabah. Kami lama tidak berjumpa. Dia hendak sangat datang ke rumah untuk mempertemukan kedua-dua keluarga kami. Saya pun begitu. Akhirnya niat kami tercapai. Tiga malam dia bermalam di rumah. Kami gembira sungguh dapat bertemu setelah sekian lama berpisah sejak sewaktu bujang kami. Rupanya itulah pertemuan kami yang terakhir.

Suatu hari, saya mendapat panggilan telefon dari isterinya memaklumkan bahawa suaminya baru sepuluh minit habis umur, kembali mengadap Ilahi.

Saya terkejut dan lantas bertanya sakit apa ?

Sambil menangis teresak-esak siisteri sempat memberi tahu, doktor kata abang tak ada sakit apa tapi cuma demam. Tapi cikgu, abang sering berpeluh kemerahan.

Terfikir difikiran saya, berpeluh kemerahan.....santau ???

Semoga sahabat karib yang bagaikan abang kepada saya itu ditempatkan bersama dengan orang-orang yang bertaqwa dan dikasihi Allah. Al-Fatihah.

Nota Penulis: Manusia apabila terlupa kepada Allah, dia mula merasakan hidup hanya di dunia, maka dia merasakan dia menongkat langit! Na'uzubillah !

Saturday, January 30, 2010

Belajarlah bagaimana untuk hidup


Kalau boleh kita ingin berubah menjadi orang yang positif dalam sekelip mata. Berjimat cermat, senyum sepanjang pagi dan sebelum tidur, hargai segala masalah yang datang dan pelbagai tip yang kita amalkan.

Nampaknya terlalu banyak tip yang kita tahu dan kalau boleh kita mahu lakukan semuanya untuk menjadi manusia yang baru dalam waktu yang singkat.

Malangnya semua itu sukar dan tidak sedikit manusia yang gagal untuk berubah.

Sebenarnya berusaha untuk berubah dalam sekelip mata dengan mengamalkan puluhan tip secara serentak akan meletihkan kita lantaran itu ia bukalah satu tindakan yang bijak dan tepat. Anda sepatutnya mengamal satu atau dua tip sahaja dahulu dan perkukuhkannya dalam diri dan amalan kehidupan anda selama satu atau dua tahun.

Percayalah akan sampai masanya nanti, tip-tip itu akan menjadi darah daging dalam pemikiran, amalan dan tingkahlaku anda dan anda akan mampu mengamalkannya secara spontan !

Sebaik sesuatu tip itu sudah menjadi sebahagian daripada diri anda, cuba amalkan pula satu atau dua tip-tip yang lain untuk dijadikan amalan hidup positif anda seterusnya.

Ulangi kaedah di atas hingga segala tip dan amalan hidup yang positif itu mengalir dalam darah anda. Itu adalah lebih baik daripada anda cuba mengamalkan puluhan tip serentak tapi semuanya gagal.

Ahli falsafah Roman, Seneca pernah berkata," Selagi engkau masih hidup, teruskanlah belajar bagaimana untuk hidup."

Friday, January 29, 2010

Anak saya kurus cikgu !


Selepas solat Isyak, saya terima satu panggilan telefon. Seorang ibu minta saya 'menyiasat' anak gadisnya yang tinggal di asrama. Siasat apakah anaknya itu sakit atau kenapa anaknya itu kelihatan kurus ....kurus sangat cikgu !

Ibu itu mula menangis sambil menceritakan kisah sianaknya itu yang akan menduduki SPM tahun ini. Katanya dia terlalu rapat dengan anak dia yang sorang ini. Dia tak boleh tengok anaknya semakin kurus...sedih!

Saya bertanya kepada siibu, mengapa siibu tidak bertanya sendiri masalah anaknya itu. Kata siibu anaknya itu sangat menjaga susah senang hati ibubapa . Dia tidak akan menceritakan apa-apa kalau sesuatu perkara itu akan menyusah dan membimbang ibubapanya. Mungkin dia lebih selesa menceritakannya kepada orang lain.

Saya bertanya kepada siibu, kenapa minta saya yang 'siasat', saya bukan Kaunselor Sekolah ?

"Cikgu, saya tahu anak saya itu lebih selesa untuk bercakap dengan cikgu kerana dia selalu cerita pasal cikgu kepada kami. Sebab itulah saya telefon cikgu" kata siibu.

Ooo...selesa dengan saya! Saya seorang guru yang agak 'brutal' di sekolah ini terutama leteran kasar saya !

Tanpa mengambil masa yang panjang keesokan harinya saya terus memanggil pelajar yang berkenaan kerana ibunya mungkin akan bila-bila masa menelefon saya.

Dia masuk ke bilik saya dalam keadaan yang tercengang-cengang kerana dipanggil. Saya mula meneroka isu pelajar ini kalau-kalau ada bagaikan seorang kaunselor kerana dulunya saya berpengalaman sebagai kaunselor sekolah.

Dalam perbualan kami saya bertanya kalau-kalau dia ada masalah. Sebenarnya setelah agak lama berbual saya dapati dia tidak ada masalah apa-apa pun sama ada masalah kesihatan, masalah pak we, masalah kewangan cuma ada sedikit masalah persaingan dalam pembelajaran.

Bagi saya satu fenomena biasa bagi para pelajar perempuan bersaing sesama mereka dalam pembelajaran hingga mencetuskan gangguan emosi dan fizikal kepada mereka. Itulah yang menjejas sedikit fizikalnya hingga kelihatan kurus oleh siibu dan sibapa. Bagi saya, saya tak perasan pun dia tu kurus atau gemuk...biasa je nampak ! Ya lah mungkin ibubapanya yang lebih tahu anaknya.... siapalah orang lain.

Itu antara kisah minggu ini akan keperihatinan ibubapa. Syukur ! Tapi dalam pada itu ramai juga ibubapa yang tak kesah langsung - gemuk ke kurus, ke anak mereka...okay lah tu ! Janji anak mereka tinggal di asrama.





Thursday, January 28, 2010

Perkhidmatan Cekap: Cekap 'tahi kucing' !

Bila kita hendak cepat, memang ada ujian Allah. Perjalanan yang sesak, ada orang hendak jumpa dan macam-macam. Dalamkehidupan hari ini benarlah kita perlu banyak bersabar. tapi kita ini manusia yang lemah, tahap sabar kita kadang-kadang teruji kuat.

Bila difikirkan, banyak sungguh ruang pembaziran waktu yang tercipta dalam menjayakan kehidupan kita. Alangkah bagusnya jika ruang-ruang pembaziran waktu ini dapat diatasi untuk kepentingan ramai. Tapi siapa yang peduli ?

Bayangkan memandu hanya 15 minit ke destinasi maka sampailah ke Pejabat Pos.

Dalam pejabat Pos yang terbina cantik ada 3 kaunter. Pelanggan berjujukkan santak sampai ke pintu kaca, namun demi 'sebuah perkhidmatan yang cekap' agaknya, hanya 1 kaunter dibuka. Pekerja kelihatannya ada lebih dari seorang, empat orang, keluar masuk keluar masuk silih berganti dan ada seorang melayan bersembang sesama sendiri sambil tersengih-sengih.

Pelanggan-pelanggan dari yang kuli batak, pegawai yang bertali leher dan tidak bertali leher, suri rumah, tokeh Cina, anggota polis yang berpangkat, mat bangla dan mat indon yang bermacam bau dan bunyi, masam manis muka. Saya antara yang terselit dalam barisan yang bagaikan ular kena palu itu kerana ruang pejabat Pos yang sekangkang kera !

Kaunter tetap 1 yang dibuka! Bagi saya kalau inilah yang dikatakan perkhidmatan yang cekap, sesungguhnya ilmu pengurusan hari ini memang mengarut ! Pengurusan haram jadah !

Bayangkan 15 minit perjalanan ke Pejabat Pos, lebih kurang 1 jam 15 minit terpacak berdiri dalam Pejabat Pos dan hanya 10 minit berurusan di PPD!

Kerja berdiri untuk mendapatkan sekeping money oder hampir 1 jam 15 minit. Perkhidmatan yang cekap ? Cekap tahi kucing !!

Habis pelanggan-pelanggan dalam Pejabat Pos menjadi tidak cekap kerana hanya 1 kaunter pos yang dibuka !

Aku tak faham !!!!!

Monday, January 25, 2010

Rahsia Bulan Lahir & Tabiat Wanita Menurut Tajuk Muluk.

Tajul Muluk begitu sinonim dalam astrologi zaman silam, khususnya dalam masyarakat Melayu dalam menafsirkan watak-watak wanita, mimpi, hari yang baik dan terjemahan lain dalam kehidupan sehari-hari. Kini, kitab Tajul Muluk yang pernah terkenal suatu ketika dahulu yang amat sukar dicari. Namun cebisan ilmunya masih diperturunkun oleh mereka yang arif mengenainya. Ia adalah untuk pengetahuan dan pembacaan semata-mata dan bukanlah sebagai kepercayaan 100%.

Di sini diperturunkan tafsiran dari Kitab Tajul Muluk mengenai tabiat wanita mengikut bukan kelahiran mereka.

JANUARI:
Ramai kenalan, sedikit pemalu dan bersungguh-sungguh bila melakukan kerja.

FEBRUARI:
Boleh dipercayai, pandai membuat kerja, sangat teliti dalam urusan kerja tapi suka bermain cinta.

MAC:
Ringan tulang, mudah membantu, tiada bakat dalam perniagaan kecuali diberi bimbingan. Mudah tergoda dengan lelaki, tak pandai menyimpan wang dan suka bersendirian.

APRIL:
Tabiatnya mudah naik darah, pertuturan keras dan kedekut.

MEI:
Suka merendah diri, penyabar, suka meminta bantuan orang lain, tiada bakat dalam perniagaan, manis pertuturan dan mudah dengan lelaki.

JUN:
Banyak ilmu pengetahuannya, ringan tulang, hidupnya dalam kemewahan, perkahwinannya tidak kekal, pernikahan lebih dari sekali.

JULAI:
Banyak pancaroba hidup dan godaan, banyak memperolehi rezeki.

OGOS:
Bernikah lebih dari sekali, berbakiti epada suami, rezekinya kepada suami, rajin berusaha.

SEPTEMBER:
Murah hati, tabah dalam dugaan, mempunyai anak yang ramai.

OKTOBER:
Murah rezeki, keras hati, mudah simpati.

NOVEMBER:
Rajin, pandai berbicara, mudah menyeleweng, tidak memanfaatkan harta pusaka.

DISEMBER:
Rajin berusaha, lekas naik darah, keras hati, bila marah berapi-api, anaknya ramai lelaki dan murah rezeki.

Nota penulis: Artilkel ini hanyalah sebagai bacaan semata-mata untuk menambah pengetahuan dan bukan untuk dipercayai 100%.

Friday, January 22, 2010

Pengaruh dan kabel meletakkan dasar dan prinsip sebagai alas punggung !

Ramai penjaga yang mahu anaknya belajar di sekolah ini. Ramai yang layak dan ramai juga yang terpaksa menunggu pengambilan kedua. Memangpun bagi sekolah dan PPD, senarai menunggu ini adalah senarai keutamaan.

Bagi diri saya sindiri, belum lagi sahabat-sahabat saya yang lain dan juga pejabat sekolah, sentiasa menerima panggilan telefon dengan soalan, dapatkah anak saya masuk cikgu ? Layakkah anak saya cikgu? Bila kemasukan kedua cikgu? Kenapa lambat sangat cikgu? Pendek kata macam-macam soalan.

Antara jawapan yang saya berikan; sabar encik/puan tak lama lagi adalah berita. Saya tak pasti layak atau tidak kerana ini ketentuan JPN. Anak encik ni sangat layak tapi tunggulah dulu ok. Insya Allah dapat!. Begitulah antara jawapan yang saya mampu berikan kepada penjaga.

Apabila pengambilan kedua masuk, tiba-tiba ada panggilan, "Cikgu kenapa anak orang itu 3A 2B dapat masuk anak saya 4A1B tak dapat ?.

Terlopong sekolah hendak menjawab !

Siasat punya siasat, hah engkau kabel besar kepala lutut, manalah tak dapat. Demi pengaruh politik, prinsip, dasar dan keutamaan pengambilan pelajar menjadi alas punggung sahaja. Begitulah pengaruh merapu manusia merosakkan prinsip dan dasar ! Maka tertinggallah yang merungut itu terperuk di rumah-rumah yang telah pun berada diceruk-ceruk desa !

Wednesday, January 20, 2010

Mengenali lelaki melalui pergerakannya !


Tidak sukar untuk mengenali lelaki. Jika kita tahu menilai pergerakannya kita pasti akan tahu diri lelaki itu. Pada lelaki tingkahlakunya lebih memberi makna daripada kata-katanya terutama apabila dia sedang berbual dengan sesiapa terutama wanita.

Mengangguk kepala:
Apabila anda berbual dengannya dia selalu mengangguk-anggukkan kepalanya. Itu membuktikan yang lelaki itu seorang yang mengambil berat dan sentiasa ingat mengenai diri anda. Dia juga sentiasa membantu bila diperlukan pertolongan.

Mendekatkan badan:
Apabila dia mendekatkan badannya kepada diri anda semasa berbual dengannya, dia adalah lelaki yang menarik dan mampu menarik orang lain tetapi awas kadang-kadang dia bersikap keterlaluan.

Merenung:
Lelaki ini jenis peminta kerana dia mahu mengetahui apa yang anda boleh tawarkan kepadanya sama ada pekerjaan, persahabatan mahupun percintaan!

Menggerakkan tangan dan badan:
Lelaki ini memberangsangkan, bertanggungjawab dan mempunyai rasa cinta yang mendalam. Lelaki ini beranggapan kata-kata tidak cukup membuktikan kesucian cinta, oleh itu pergerakannya adalah sebagai bukti untuk menunjukkan kesungguhan. Dia juga seorang yang sensitif dan baik hati.

Suka berdiri:
Apabila bercakap, anda duduk dan dia berdiri. Lelaki jenis ini melambangkan yang jiwanya suka menguasai dan mengongkong. Dia suka mempengaruhi orang lain untuk kepentingan dirinya dan dia juga pantang mengalah.

Memandang mata:
Dia adalah lelaki yang yakin dan berterus-terang. Dia juga sentiasa memberi perhatian, berusaha menjaga hati semua orang, tidak kira bagaimana hubungannya dengan orang tersebut.

Sensitif pada jarak:
Bila bercakap dengan orang lain, lelaki ini duduk atau berdiri pada jarak tertentu bergantung kepada sejauhmana kemesraannya dengan orang itu. Dia jenis lelaki yang tahu apa yang orang lain tidak suka.

Meniru gerak:

Lelaki ini terpengaruh dengan rasa dan tingkah laku orang lain yang suka mempengaruhinya. Dia mudah dibawa berbincang dan suka menurut asalkan ia tidak menimbulkan masalah.

Demikian sedikit tip untuk mengenali lelaki yang mungkin berguna untuk sesetengan orang.

Nota penulis: Artikel ini hanyalah sebagai bacaan semata-mata untuk menambah pengetahuan dan bukan untuk dipercayai 100% ok !

Sunday, January 17, 2010

Semuanya bermula dari minda.


Seorang pelajar lama yang telah lama meninggalkan sekolah kini berada di salah sebuah IPTA menelefon saya sambil menceritakan kehidupannya sebagai pelajar di IPTA. Macam-macam yang diceritakan, tentang kos hidup tinggi, tentang PTPTN yang entah bila akan dapat, tentang kesusahan ibubapa menghantarnya wang perbelanjaannya diperantauan, tentang makan makanan segera dan macam-macam lagi.

Dan antara yang menjadi rungutannya ialah persoalan bagaimana keadaan dia apabila keluar U nanti. Dapat kerjakah dia, soalnya kepada saya.

Saya memberi tahunya bahawa, dia seperti juga para mahasiswa lain memang perlu keluar dari zon selesa untuk berusaha bermati-matian mencapai kecemerlangan dalam pembelajarannya. Saya mengingatkan pelajar lama saya itu bahawa hari ini peluang hanya mencari orang cemerlang tidak lagi mencari orang yang berjaya. Manakala pelajar yang hanya sekadar lulus pasti akan menempah jalan berliku.

Dia kedengarannya kebimbangan kerana katanya pointernya masih belum mencecah 3.00. Saya kata kamu perlu berusaha untuk itu. Kamu mempunyai masa dan ruang yang banyak untuk cemerlang kerana hari ini hanya orang cemerlang sahaja terpaksa bersaing dengan orang cemerlang.

Kepada pelajar saya itu saya tujukan kata-kata ini buat dia:

Jika anda fikir anda telah tewas, sememangnya anda tewas.
Jika anda fikir anda tidak sanggup, anda memang tidak sanggup.
Jika anda fikir anda tidak mampu, anda memang tidak mampu.
Jika anda suka untuk menang tetapi anda tidak yakin, ia hampir mungkin untuk anda tidak menang.
Jika anda fikir yang anda akan kalah, anda sebenarnya telah pun tewas.
Kejayaan bermula dari pemikiran seseorang, semua di dalam minda.
Berfikiran besar, kebaikan dan keuntungan akan berkembang.
Berfikiran kecil anda akan terlentang ke belakang.
Fikirkan boleh dan pasti boleh, semuanya di dalam minda.
Hadiah kehidupan tidak selalunya untuk yang lebih kuat dan pantas.
Akhirnya yang menang, juga adalah yang berfikir dia boleh.

Teruskan perjuangan mu. Semoga anda berjaya !

Thursday, January 14, 2010

Jom berhenti merokok


Kebanyakan kanser paru-paru disebabkan oleh rokok. Sebanyak 85 peratus pesakit adalah perokok. Risiko untuk mendapat kanser ini bergantung kepada jangka masa merokok dan berapa banyak merokok.

Jika tinggal bersama perokok, kebarangkalian untuk mendapat kanser adalah dua hingga tiga kali ganda berbanding mereka yang bebas dari asap rokok.

Sebanyak 25 peratus daripada mereka akan mendapat kanser terus daripada asap rokok yang dihidu. Renunglah wajah anak yang sedang tidur sebelum tergamak menghadiahkan mereka asap dan bau rokok !

Kajian mendapati bahawa golongan lelaki adalah lebih berisiko daripada golongan wanita.

Wednesday, January 13, 2010

Perkasakan Pendidikan Islam di semua Institusi Pendidikan dan Keluarga

Jika kita masih berlengah untuk menjadikan Pendidikan Islam sebagai mekanisma penting dalam membentuk ahli keluarga dan masyarakat yang berkualiti dan tahan uji, maka kita dan masyarakat bangsa kita akan terus mengidap pelbagai penyakit sosial yang tidak menyumbang sedikitpun kepada kekukuhan tamadun bangsa.

Penyakit sosial yang kian membarah dalam masyarakat kini sepatutnya telah menyedarkan pelbagai pihak untuk bertindak segera. Apakah kita telah buntu bertindak atau kita masih bersikap tidak apa...... tak ada apa-apa....yang penting cari duit !

Antara yang sepatutnya merunsingkan semua pihak yang bertanggungjawab:

Pelajar terdedah bahan khayal, lucah

Lambakan pil dan serbuk khayal murah, bahan bacaan berunsur seks dan lucah serta pil perangsang seks masih didapati dijual secara terbuka kepada pelajar sekolah menengah dan belia di sekitar ibu negara, menurut Persatuan Pencegahan Jenayah Malaysia (MCPA).

Presiden MCPA Ravi Ponnan berkata berdasarkan pemantauan NGO itu, cakera padat lucah, pemetik api dan kad permainan daun
terup yang memaparkan imej wanita separuh bogel turut dijual.

"Kesemua barangan ini dan juga alat renjatan elektrik dan pistol mainan berkualiti tinggi juga boleh didapati dengan mudah dan murah di pasar-pasar awam dan kedai runcit," katanya dalam satu sidang media.

Ravi berkata sebagai contoh, sejenis ubat khayal buatan India yang didakwanya boleh menyebabkan kanser boleh didapati dengan harga 60 sen di pasar malam, kedai runcit dan juga restoran mamak.

"Ia berupa serbuk kasar yang merupakan campuran pinang dan tembakau. Meskipun ia bukan dadah, namun ia boleh memberi efek khayal selepas 15 minit memakannya, malahan di India serbuk ini diharamkan.

"Ubat ini menjadi tarikan kepada pelajar sekolah memandangkan harganya yang amat murah. Pelajar-pelajar ini menipu guru dan ibu bapa dengan mengatakan kononnya ia adalah ubat sakit kepala sedangkan mereka sudah ketagih ubat tersebut," kata Ravi.

Hasil pemantauan yang dijalankan oleh NGO itu sejak November lepas turut mendapati ramai pekerja asing yang bekerja di negara ini terutamanya di restoran dan premis cucian kereta mengambil bahan terlarang itu.

"Kami juga membuat pemantauan di pasar awam berhampiran Kampung Baru dan setelah tiga kali memujuk penjual, kami berjaya membeli dua buah alat renjatan elektrik yang berharga RM70 dan RM80 setiap satu yang berbentuk telefon bimbit dan lampu suluh," katanya.

Beliau berkata MCPA bersedia untuk menyalurkan segala maklumat kepada pihak berkuasa, malahan ia telah menghantar maklumat tentang isu jenayah kepada beberapa agensi kerajaan termasuk polis, imigresen, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia, Jabatan Pengangkutan Jalan, Kementerian Dalam Negeri dan Kementerian Kesihatan.

- Bernama


Thursday, January 07, 2010

Balik setiap minggu: Kecuh juga rupanya !

Sehari dua ini sesak jugak fikiran apabila tersua ibubapa dan penjaga pelajar. Pantang berjumpa di mana, maka adalah tangan melambai. Tak kalah jugak dengan panggilan telefon dari mereka sambil melahirkan sungutan masing-masing.

Dilema jugak hendak menjawab soalan yang diaju. Tak jawab tak boleh, nampak sangat macam tak perihatin. Bila menjawab bimbang pula tersalah jawab. Sudahnya jawab secara selamat, " Sila jumpa Pengetua". Pening pulak Pengetua.

"Cikgu kalau anak saya balik setiap minggu parah jugak belanja tambang. Kalau saya datang ambil dan hantar, duit minyak banyak cikgu. Tak kanlah pihak sekolah tak ada pertimbangan. Naya kami cikgu", luah hati seorang bapa.

" Cikgu, tolonglah usahakan supaya anak-anak yang tinggal di asrama ni, tak balik setiap minggu. Bagi saya kalau nak suruh bayar pun kami sanggup," sampuk seorang bapa dari Pulau Tioman.

"Cikgu, kalau balik setiap minggu, anak saya, saya nak tumpang kat rumah cikgu," kata seorang ibu yang ada berhampiran.

"Apalah dipotongnya peruntukan untuk budak-budak sekolah yang tak tahu apa-apa ni. Menyusahkan. Potonglah asrama yang besar-besar tu." geram seorang penjaga yang sempat bersembang dengan saya sewaktu sedang minum-minum di kantin di sekolah.

"Helo cikgu, nak tanya, betul ke anak saya kena balik tiap-tiap minggu ? Tak boleh ke cikgu cari jalan selesaikan masalah balik setiap minggu tu cikgu? Minta tolong sangat-sangat cikgu", tanya seorang ibu dalam telefon.

"Insya Allah, saya rasa pihak Pengetua sudah pun berbincang dengan PPD dan PIBG bagi mencari jalan untuk menyelesaikan masalah ini. Harap akak dapat bersabar dulu. Nanti kami akan maklum apa-apa keputusan yang telah diputuskan. Ok akak ?" jawab saya entah ya entah tidak.

"Minta tolong benar-benar cikgu," luah si akak sebelum memutuskan panggilan.

Begitulah antara dailog yang sebenarnya banyak lagi yang mampu saya muatkan dalam posting kali ini berkenaan kekecuhan akibat dari kemungkinan pelajar-pelajar asrama dikehendaki balik setiap minggu kerana peruntukan asrama dipotong sebanyak 50 hari menjadi 200 hari sahaja.

Saya hanya mampu berdoa semoga pihak Kerajaan membatalkan potongan tersebut demi kelangsungan kecemerlangan pendidikan anak-anak kita di sekolah-sekolah berasrama.

Wednesday, January 06, 2010

Pengalaman pertama anak sulong di Sabah

Dalam perjalanan hidup ini kita mesti tabah menghadapi apa sahaja cabaran. Cabaran pasti berguna sebagai guru yang akan mematangkan dan memperkayakan pengalaman hidup seseorang. Oleh yang demikian hadapilah dengan sabar dan tenang.

Itulah antara kata-kata yang biasa diluahkan oleh para motivator termasuk saya. Kata-kata nasihat dan kata-kata semangat adalah mainan di bibir mulut untuk meransang khalayak ke arah yang positif.

Kini kata-kata itu saya terpaksa titipkan kepada anak sulong yang baru memulakan khidmat sebagai guru di tanah Sabah. Mendapat panggilan telefon dari pihak BPG agar berada di Empres Hotel Sepang pada 3 Januari tetapi kemudian dibatalkan dan perlu pula berada di KLIA seawal pukul 5 pagi pada 4 Januari 2010.

Pada lebih kurang pukul 7 pagi dari KLIA, anak saya menelefon memaklumkan bahawa dia bakal mengajar di Tuaran Kota Kinabalu Sabah. Terus saya membuka peta untuk mengetahui lokasi Tuaran. Leganya hati melihat Tuaran tidak jauh dari Kota Kinabalu.

Anak memberitahu bahawa penerbangannya ke Sabah pukul 9 pagi. Lebih kurang pukul 3 petang anak saya menelefon bahawa dia telah berada di PPD Tuaran dan dia akan mengajar di SK Pahu. Katanya dia tengah menunggu Guru Besarnya datang mengambil. Pukul 6 petang anak memberitahu bahawa guru besarnya tidak datang ambil dan dia ditumpangkan di rumah seorang Pegawai PPD Tuaran. Terima kasih saya ucapkan kepada pengawai PPD itu kerana telah membantu dan menumpangkan anak saya di rumahnya.

Pada malam itu saya dan isteri kembali berserabut dan terasa terlau risau dan agak gelisah apabila dimaklumkan oleh anak saya bahawa SK Pahu berada lebih kurang 80 kilometer dari Tuaran dan sebahagian jalan ke Kg Pahu terpaksa menaiki kenderaan 4 x4. Penduduk Kg Pahu terdiri dari kaum Dusun yang beragama Kristian. Katanya esok pagi pihak PPD Tuaran akan hantarnya ke Kampung Pahu.

Saya dan isteri cuba menggambarkan cabaran yang bakal dihadapi oleh anak saya dari segi makan, solat Jumaat dan liputan telefon yang 'bertompok-tompok'. Katanya liputan telefon celcom hanya terdapat di ruang yang sedikit di bucu sekolah !

Lebih kurang pukul 4 petang anak saya menelefon dalam keadaan terputus-putus memberitahu bahawa dia telah sampai ke Kg Pahu dan ditumpangkan di rumah dua orang guru lama sekolah itu. Katanya hampir satu jam dia melalui jalan berbatu. Kampung itu tiada bekalan elektrik walaupun hanya lebih kurang 70 km dari Kota Kinabalu. Dia memberi tahu murid sekolah itu hanya 26 orang termasuk muridnya seramai 6 orang.

Di akhir perbualan yang tidak jelas itu anak saya memberitahu dia perlukan motosikal untuk memudahkan pergerakannya. Saya bertanya, " Kenapa tak kereta ?".

Dia memberitahu, " Untuk berulang ke sekolah tidak boleh kereta ayah, jahanam kereta".

Kini hati saya dan isteri semakin tenteram kerana anak saya kelihatan mula tenang dan cepat menyesuaikan dirinya di sana. Semoga dia akan mampu melaksanakan tugas keguruannya dengan baik kerana bukan dia seorang sahaja menghadapi situasi dan cabaran begitu. Mungkin dia lebih bernasib baik berbanding rakan-rakan sekelasnya yang lain yang juga terpaksa bertugas di Sabah.