Monday, November 30, 2009

Bilalah bangsa kita boleh berniaga seperti itu ?

Lama juga saya duduk di salah sebuah Pusat Servis kereta di bandar Kuantan sementara menunggu kereta saya siap dibaiki dan diservis. Banyak kereta yang masuk ke pusat servis itu. Kelihatannya antara kereta yang paling koman masuk ke situ ialah Hyundai Matrix milik saya.

Sementara menunggu, saya memerhati keliling pusat servis itu mencari-cari kalau-kalau ada pusat servis milik orang Melayu. Cuma kelihatan tidak berapa jauh ialah dua buah bengkel baiki kereta. Yang lain semua premis bengkel atau pusat servis milik bangsa Cina. Di persekitaran itu, saya dapat melihat bengkel-bengkel yang tersusun rapi dan tidak bersepah-sepah.

Di Pusat Servis tempat saya sevis kereta saya, kelihatan begitu teratur dan dapat saya lihat betapa serius dan berprotokolnya bangsa Cina berniaga. Dari bos hingga ke pekerja bangsa Cina ini, kesungguhan dan ketelitian bekerja memang kelihatan . Mereka memang tidak bertolak ansur dalam hal mencari untung tetapi mereka juga nampaknya tidak bertolak ansur dengan workmanship mereka.

Semasa berkerja itu, kadang-kadang saya melihat mereka macam sombong kerana mereka tidak banyak bercakap, pandang dan sengeh-sengeh kat kita pun tidak. Mereka bercakap dan memandang hanya jika ada masalah kereta kita yang sedang diservis sahaja. Berborak bersembang bukan gaya mereka.

Rupanya, agaknya, inilah rahsia kejayaan konsisten perniagaan mereka kerana banyak bercakap akan mendedahkan kelemahan, mengurangkan produktiviti dan menghasilkan kerja yang boleh dilihat tidak berkualiti.

Di satu sudut, saya lihat bos Pusat Servis itu yang dari tadi ke hulu ke hilir sentiasa memantau kualiti kerja pekerjanya, menegur dua orang pekerja yang pada piawainya, bekerja secara cuai agak saya. Saya dapat lihat sedikit minyak pelincir baru, tertumpah ke lantai, Sikit sangat ! Tetapi hanya kerana itu, pekerja-pekerja itu ditegur secara serius dan bersungguh-sungguh. Mungkin bagi orang atau budak Melayu cara teguran itu kasar tapi agaknya bagi bangsa Cina....itu biasalah, kan itu profesionalisma berkerja...!

Saya termenung melihat gaya Pusat Servis ini beroperasi. Ada sedikit rasa kagum terhadap gaya pengurusannya. Pada mata kasar saya, ianya begitu berjaya kerana agaknya pengurusannya yang no nonsense atau sangat berintegriti.

Begitulah agaknya bangsa Cina beniaga...berniaga secara mantap dan berintegriti!

Bilalah bangsa Melayu boleh sampai tahap itu ? Apakah terpaksa menunggu pisang berbuah dua kali atau tunggu kucing bertanduk ?

Thursday, November 26, 2009

Kita masih jauh atau semakin jauh ?

Membaca. Semua maklum bahawa membaca merupakan aktiviti yang sangat penting dalam menambah ilmu pengetahuan dan mencambahkan idea manusia. Melalui pembacaan yang banyak dan meluas, otak menjadi aktif berfikir untuk memberi pengalaman hidup dan melahirkan idea yang bernas, berilmu, inovatif dan kreatif.

Untuk itu semua, pembaca itu mestilah pembaca yang membaca semua bahan bacaan dengan bahan bacaan utama ialah bahan bacaan yang berkualiti ilmunya.

Ahad lalu saya berpeluang menaiki bas dari Puduraya ke Kuala Rompin. Sewaktu menunggu bas saya melihat dua orang "mat dan mek salleh" tekun membaca buku. Saya kira novel, agak tebal juga. Dalam keadaan orang hiruk pikuk di platform itu mereka berdua kelihatan tenang dan penuh minat membaca buku.

Saya bukan tidak biasa melihat perkara yang seperti ini namun keadaan 2 orang pembaca dari barat itu membuat saya melilau melihat sekeliling, adakah orang lain lagi yang membaca? Ada. Di sebelah belakang saya. Saya bangun untuk meninjau apakah yang dibaca oleh dua orang remaja Melayu di belakang saya.

Dari jauh saya melihat dua orang itu membaca majalah hiburan yang kelihatan gambar besar artis sedang berposing lelaki dan perempuan. Apa yang dibaca di muka surat yang penuh gambar itu saya tidak pasti. Di sebelah bangku saya kelihatan seorang yang agak dewasa sedang membaca Berita Minggu. Ada beberapa orang remaja lagi di sekitar saya bergoyang kaki sambil mendengar MP3 agaknya. Yang lain ramainya melihat perangai dan gelagat manusia yang berbagai-bagai, macam saya !

Fikir saya, nampaknya sudah menghampiri tahun 2010, bangsa aku masih asing dengan bahan bacaan apatah lagi bahan bacaan ilmiah atau sastra. Banyak masa yang terluang dipenuhi dengan termenung, berborak kosong, lepak-lepak, main dam, bergelak ketawa dan menonton tv.

Terlalu rindu melihat masyarakat bangsa mencandui buku-buku demi ilmu Tuhan yang melimpah-ruah.

Saya bertanya dengan seorang pemuda Melayu di sebelah saya, " Adik, adik pernah baca majalah ini ?". Saya menunjukkan majalah Dewan Masyarakat. " Tak...!".

Saya mengulurkan majalah kepada dia. Dia mengambil dan membelek sepintas lalu.

Sambil menghulur kembali kepada saya , dia berkata, " Beratlah bang...entah apa-apa cerita dia...tak faham !".

Saya terus bangun dan bersalam dengan dia kerana bas ke destinasi saya telah diumumkan akan bertolak bila-bila masa.

Kita masih jauh atau semakin jauh !?

Tuesday, November 24, 2009

Hujan lebat dijangka hingga Sabtu

"Abang, kita kena beli ikan kering dan ikan sardin, simpan", kata isteri yang tiba-tiba mengetuk minda saya. Kenapa mesti begitu? "Kan dulu ikan mahal dan tak ada ikan !" jawab isteri saya selamba.

Banjir telah melanda. apakah banjir di musim tengkujuh tahun ini akan menjadi kian teruk atau akan mereda ? Soalan yang sukar untuk dijawab dalam keadaan setiap hari cuaca mendung, menunggu hujan turun malah di kebanyakan tempat hujan mencurah dengan lebat. Semoga semuanya bersedia dengan yang tiba-tiba:

KUALA LUMPUR - Hujan lebat serta angin kencang dengan kelajuan 70 kmsj dijangka berlaku sehingga hari kedua sambutan Aidiladha pada Sabtu ini di Kelantan, Terengganu, Pahang dan Johor Timur.

Penolong Ketua Pengarah Pusat Ramalan Kaji Cuaca Jabatan Meteorologi Malaysia, Amirzudi Hashim berkata, angin ribut tropika ini menyebabkan ombak di laut bergelora ke paras setinggi 3.5 meter.

"Kesan daripada itu, air laut di sekitar pantai juga naik lebih tinggi iaitu sebanyak 0.5 meter berbanding hari biasa iaitu di paras kosong ," katanya.

Jabatan Metereologi mengesan tiupan angin berkenaan kira-kira pukul 8 pagi ini.

Angin kencang dan laut bergelora kategori pertama juga dijangka berlaku di Kelantan dan Terengganu serta Layang-Layang, Palawan dan Kudat di utara Sabah, dengan arah dan kelajuan angin 40 sehingga 50 kmsj serta ombak setinggi 3.5 meter sehingga Rabu.

Ribut petir yang berlaku di perairan Selangor, Negeri Sembilan, Melaka dan Pantai Barat Sabah pula dijangka berterusan hingga petang ini.

sinarharian

Monday, November 23, 2009

Jangan makan kedondong atau makanlah kedondong ?

Kalau tak nak lahir anak besar atau memang nak kan anak besar

CHANGLUN - Percaya atau tidak, dengan mengamalkan memakan buah kedondong setiap hari sewaktu mengandung, seseorang ibu mungkin melahirkan bayi dengan berat yang luar biasa.

Itulah apa yang berlaku ke atas Aisha Bee Yasin, 35, yang melahirkan bayi seberat 6.15 kilogram (kg) kelmarin.

Bayi lelaki yang dilahirkan secara normal di sebuah pusat perubatan swasta di sini pada pukul 1.15 pagi itu dipercayai antara bayi terbesar pernah dilahirkan di Malaysia.

Aisha Bee yang berasal dari Air Hitam, Pulau Pinang bukan setakat menjamah sebiji buah kedondong. Setiap hari dia memakan sekilogram kedondong selain memakan dua kuntum bunga ros merah bermula daribulan kedua kehamilan.

"Saya tidak makan nasi kecuali nasi lemak. Selain kedondong dan bunga ros, saya makan roti dan minum susu. Adakalanya saya menjamah laksa atau tosai.

"Rutin saya setiap hari ialah makan kedondong dan bunga ros. Ahli keluarga lain tidak boleh sentuh buah itu, saya seorang sahaja yang makan," katanya ketika ditemui di rumah mentuanya di Pekan Lama, Kampung Baru di sini semalam.

Aisha Bee, seorang suri rumah, memberitahu, sebelum ini sepanjang mengandung empat anaknya yang lain, dia mengidamkan timun dan lobak tetapi kali ini makanan itu langsung tidak disentuh.

Katanya, bunga ros mudah dibelinya di sekitar Changlun tetapi buah kedondong terpaksa dibeli oleh suaminya, Mohd. Ali Khan Razali, 41, di Alor Setar dan Pulau Pin.

Tambahnya, mengikut sejarah, keluarganya tidak pernah melahirkan bayi sebesar itu kecuali anak keempatnya, Nur Hasyimah yang seberat 5kg ketika dilahirkan.

Sumber dari Kosmo

Sunday, November 22, 2009

Kembara menggali ilmu

Seminggu di Pulau Pangkor laptop saya gagal mendapat coverage internet. Maka seminggulah blog ini terbiar. Perjalanan menuntut ilmu dengan menaiki bas dan feri sambil menarik beg besar yang jarang saya lakukan terasa agak renyah dan memenatkan. Namun begitu ianya murah berbanding menaiki kereta sendiri.

Namun demi mencari bekalan ilmu yang dirasakan masih kurang ini, saya melangkah tegap ke destinasi keilmuan saya. Walau usia ini kian meningkat tetapi ilmu wajib dituntut sepanjang hayat walaupun di mana.

Kini saya terus mengkagumi kehebatan kuasa Allah SWT, melalui impian yang terakam dalam kuasa minda di bawah sedar yang Allah anugerahkan kepada semua manusia. Apa yang diimpikan dan dirakam dalam minda dibewah sedar kita, menjadikan impian itu semakin menjadi kenyataan.

Saya sering memberitahu pelajar-pelajar saya dan pelajar yang sering mengikuti ceramah saya agar sentiasa merakamkan impian yang positif dalam minda di bawah sedar masing-masing agar ia itu berkerja siang dan malam bagi menggerakkan segala usaha fizikal dan mental untuk menjadikan segala impian sebagai kenyataan. Inilah antara rahsia kejayaan mereka yang berjaya dan cemerlang.

Insya Allah tahun hadapan pengajian ini akan selesai walaupun kembara menggali ilmu tidak selesai di situ.

Sunday, November 15, 2009

Diabetes tandingi kanser

Hamzah Abdul Hamid

SEJENIS ubat tradisional berasaskan herba dikhabarkan begitu mujarab bagi menyembuhkan penyakit kencing manis atau diabetes.

Begitu juga dengan rawatan terapi khas yang mengiringi pengambilan ubat-ubatan tersebut.

Semua pernyataan di atas adalah suatu pembohongan!

Rekod klinikal membuktikan apabila seseorang menghidap diabetes, dia akan hidup bersama penyakit itu sehingga akhir hayatnya.

“Diabetes adalah penyakit kronik yang sehingga kini tiada penawarnya. Ubat-ubatan fungsinya hanya untuk mengawal.

“Oleh itu, usah percaya kepada sebarang ubat-ubatan yang dikatakan mampu ‘menyembuhkan’ diabetes sedangkan pesakit terus terikat untuk membeli bekalan ubat tersebut,” kata Konsultan Endokrinologi, Profesor Datuk Dr. Mafauzy Mohamed.

Tambah beliau, bagaimana penghidap itu dapat menjalani kehidupan normal walaupun ‘membawa’ penyakit tersebut sepanjang hayat bergantung kepada usaha mendapatkan pemeriksaan dan rawatan yang berkesan di samping memperbaiki gaya hidup.

Jumlah penghidap diabetes di Malaysia menunjukkan kenaikan yang membimbangkan.

Pada tahun 1996, sebanyak 6.5 peratus rakyat Malaysia di kalangan usia lebih daripada 30 tahun didiagnosis dengan penyakit tersebut dan meningkat kepada 9.5 peratus pada tahun 2006.

“Kebimbangan ini seiring dengan risiko penyumbang kepada penyakit kardiovaskular seperti sakit jantung, angin ahmar dan strok.

“Pada tahun 2006 saja, dianggarkan kira-kira 1.5 juta orang yang berusia melebihi 18 tahun di Malaysia menghidap diabetes.

“Jumlah itu lebih tinggi berbanding mereka yang menghidap kanser atau AIDS,” terang Mafauzy kepada Jurnal.

Baca Seterusnya


Friday, November 13, 2009

Bila kita mengajar pastikan pelajar belajar !

Sewaktu saya selesai berceramah di sebuah sekolah di awal tahun 2009 dahulu, di waktu makan tengahari bersama YDP PIBG dan guru besar, seorang guru sekolah itu dengan spontan menghampiri saya. Dia ambil kerusi, duduk berhampiran saya dan sambil memohon maaf dan memohon izin untuk bertanya soalan.

Sebenarnya waktu itu saya hampir selesai makan. Oleh kerana saya penceramah jemputan maka agaknya telah timbul minat guru tersebut bertanya soalan kepada saya tetapi di luar waktu ceramah, waktu makan. Mungkin itulah waktu yang selesa kepadanya. Saya tak kisah pun.

Soalannya, " Cikgu, macam mana kita hendak mengajar dengan berkesan kepada pelajar-pelajar kita?".

Wah... itulah soalannya! Saya hadir ke situ memberi ceramah keibubapaan bukan memberi kursus latihan dalam perkhidmatan, pengajaran dan pembelajaran. Tapi tak apa, saya yang sudah mengajar selama 25 tahun dari Tahun satu sampai Tahun enam, Tingkatan satu hingga ke Tingkatan 6, saya akan cuba memberi pandangan saya yang terbaik kepada cikgu ini.

YDP dan guru besar yang dari tadi berbual dengan saya memandang guru tersebut dan kemudian memandang kepada saya, agaknya menunggu jawapan.

"Untuk mengajar dengan berkesan, kita kena pastikan pelajar kita itu hendak belajar", jawapan saya spontan.

"Maksudnya cikgu?." tanya dia macam tak faham.

Saya bagi tahu kepada guru tersebut bahawa pada masa ini ada ramai guru-guru menganggap diri mereka semata-mata kakitangan kerajaan yang makan gaji. Datang pada waktu sekian balik pada waktu sekian. Mereka tidak merasai diri mereka adalah pendidik, pendakwah dan mungkin bagaikan ibubapa kepada para pelajar.

Saya kata begitu kerana sepanjang saya ke sekolah orang, mahupun di sekolah sendiri, serta melalui perbincangan dengan kawan-kawan, ada ramai guru-guru masuk kelas dalam keadaan tidak peka apa satu pun kecuali, "okay buat latihan ini". Mereka masuk kelas dalam keadaan tidak ada emosi kecuali emosi marah dan emosi "lantak ngko lah".

Saya bagi tahu guru tersebut, seorang guru yang baik pada pandangan saya, apabila dia masuk kelas dia akan memastikan sikap pelajarnya terhadap pelajaran adalah betul. Mudah sahaja. Sikap pelajar ialah sikap hendak belajar.

Sikap mahu belajar mesti diorganisedkan oleh guru, dibentuk oleh guru, didisiplinkan oleh guru. Jika sikap yang betul terhadap pelajaran ini tidak ada pada pelajar-pelajar yang ada dihadapan guru, apakah pengajaran mampu mencetuskan pembelajaran yang berkesan?

Dalam situasi hari ini, apakah tidak ramai guru mengajar pelajar-pelajar yang tidak mahu belajar?

Masuk kelas terus mengajar tanpa mengambil kira bagaimana keadaan pelajar pada waktu itu, kelas bersepah, pelajar ada yang duduk, ada yang berdiri, ada yang berjalan, ada yang bercakap, ada yang tidur, ada yang main pensel, ada yang main pen 'ketuk-ketak'. Ada yang tulis cakar ayam, ada yang garis bengkok, ada yang padam kotor, ada yang tulis a jadi u, tulis k jadi r, ada yang baju keluar, duduk membongkok, menungkat dagu, susunan kerusi meja bengkang-bengkuk. Cikgu terus mengajar macam robot tidak ada perasaan, walaupun jelas nampak pelajar bersembang dan tidak fokus, macam-macam hal di hadapan mata.

Dulu-dulu saya pernah bertanya seorang guru yang mengajar dalam situasi begitu, apakah perasaan dia ? Jawapan dia cukup menyedihkan saya, "Ah lantak je, dia nak belajar, belajar, tak nak belajar sudah, puas dah aku menegur".

'Puas dah menegur' bukan sikap seorang pendidik tetapi mungkin sikap seorang yang makan gaji.

Dalam mentaliti guru-guru yang tidak peka ini, itu semua urusan guru kelas, bukan urusan aku! Maka begitu mudah guru-guru menyumbang kepada pembentukan pelajar-pelajar yang tidak berdispilin dan pelajar yang tidak mempunyai sikap belajar yang betul. Maka tidak peliklah kita apa kesudahannya pelajar-pelajar seperti ini akibat dari guru-guru seperti itu.

Baru-baru ini saya menerima panggilan telefon dari guru yang pernah bertanya soalan kepada saya sewaktu berceramah di sekolahnya.

"Cikgu Sazili, terima kasih banyak-banyak. Saya cukup puas hati dengan prinsip yang cikgu berikan, "kalau kita mengajar pastikan pelajar kita belajar". Menjadi cikgu. Semua pelajar kelas saya senang diajar kerana mereka mempunyai sikap mahu belajar dan berdisiplin", kata cikgu tersebut yang tidak teringat saya akan rupanya lagi.

Termenung saya seketika, besar rupanya kesan pandangan saya kepada keberkesanan pengajaran dan sikap cikgu itu. Syukur....pengalaman dan jiwa guru mengajar segala-galanya!

Kursus Pengurusan Jenazah SMKSR 2009

Panitia Agama Islam SMK Seri Rompin telah menganjurkan kursus Pengurusan Jenazah bagi tahun 2009. Kursus Pengurusan Jenazah ini adalah merupakan acara tahunan sekolah.

Menurut penyelaras kursus Ustaz Majdi Mustafa, kursus ini adalah merupakan usaha pihak sekolah khususnya Panitia Agama Islam untuk memberi kefahaman dan mendedahkan latihan amali kepada para pelajar dalam aspek pengurusan jenazah.

Kursus ini dikendalikan oleh Ustaz Ramli Yunus dari Muadzam Shah.

Sebahagian gambar-gambar semasa kursus berlangsung:









Thursday, November 12, 2009

Patuhi garis panduan banjir - Kenal pasti pusat peperiksaan alternatif SPM, STPM



PUTRAJAYA - Semua sekolah yang terlibat dengan banjir perlu mematuhi Garis Panduan Menghadapi Banjir semasa peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) yang bermula Rabu depan dengan mengenal pasti pusat peperiksaan alternatif.

Ketua Pengarah Pelajaran, Tan Sri Alimuddin Mohd. Dom berkata, garis panduan itu telah diedarkan ke sekolah-sekolah bagi memastikan semua calon terutamanya di Kelantan, Terengganu dan Kedah tidak akan terjejas untuk menduduki peperiksaan.

"Bagi sekolah yang berada dalam kawasan yang sering dilanda banjir, mereka perlu menempatkan semua bilik peperiksaan di tingkat satu," katanya pada sidang akhbar di sini semalam.

Menurut beliau, bagi calon peperiksaan yang berhadapan kemungkinan kampung atau kawasan perumahan mereka ditenggelami banjir, mereka perlu ditempatkan di asrama-asrama sekolah yang tidak terjejas dengan bencana alam itu.

Selain itu, pengetua dan guru besar juga perlu mengutamakan keselamatan pelajar dalam sebarang tindakan yang perlu diambil selepas berlaku banjir.

Wednesday, November 11, 2009

Selamat menduduki SPM & STPM 2009


Kepada para pelajar yang akan menduduki SPM dan STPM bermula 18 November ini , saya mengucapkan Selamat menduduki SPM dan STPM dengan cemerlang. Saya mendoakan semoga semua pelajar mampu menjawab soalan dengan baik dan akhirnya akan memperolehi keputusan yang membanggakan ibubapa, guru-guru dan sekolah masing-masing.

Saya yakin para pelajar telah cukup bersedia dengan bekalan ilmu bagi setiap mata pelajaran untuk menghadapi soalan-soalan peperiksaan nanti. Semoga para pelajar tidak panik malah sebaliknya begitu tenang dan bersemangat sewaktu menjawab semua soalan yang perlu dijawab.

Perkara yang paling penting pada waktu ini ialah kesihatan diri. Jaga kesihatan dengan baik dengan tidur yang cukup. Bayangkan setelah dua tahun berusaha, kerana sakit sewaktu peperiksaan, semuanya akan menjadi lemah dan akhirnya segala usaha menjadi sia-sia.

Di samping semua di atas, jangan lupa memanjatkan doa kepada Yang Maha Berkuasa, Allah Yang Maha Besar, semoga diizinNya kejayaan dan kecemerlangan buat para pelajar.

Selamat menduduki SPM dan STPM dengan cemerlang !

Monday, November 09, 2009

Macam mana nak buat orang tak suka saya ?

Saya bukan kaunselor tetapi saya sering menjadi tempat meluah perasaan para pelajar. Masalah yang dialami oleh para pelajar saya banyak mengajar saya tentang ragam manusia dalam kehidupan mereka. Kadang-kadang saya rasa hendak ketawa, kadang-kadang rasa hendak marah dan banyak ketikanya saya simpati apabila saya mendapati pelajar-pelajar saya itu benar-benar bermasalah.

Contohnya hari ini sedang saya sibuk menyiapkan kerja-kerja di bilik saya tiba-tiba masuk seorang pelajar permpuan Tingkatan 5 yang akan menduduki SPM tak lama lagi, yang kelihatan agak lemah dan longlai. Saya bertanya kenapa ? Pelajar itu memberi tahu saya, dia rasa sedih sangat. Kenapa sedih?

Katanya, " Saya sedih sebab masa saya menduduki SPM nanti ayah tak ada, ayah di Mekah"

Laa....ingatkan sedih apa ? Kenapa pula perlu ayah semasa SPM nanti?

"Dulu masa saya menduduki PMR, setiap petang ayah datang kat asrama menjenguk saya" katanya tunduk.

"Tak apalah ayah tak datang kali ni. Lagi bagus ayah berada di Mekah, pasti di hadapan Kaabah nanti ayah akan mendoakan kejayaan awak. Mustajab doa ayah, betul tak?" pujuk saya selamba.

Terlopong dia melihat saya. Saya agak, dia baru tersedar bahawa ayahnya akan mendoakan untuknya di hadapan Kaabah di Mekah nanti.

"Tapi sir, saya dah rasa rindu kat ayah", katanya walalupun ayahnya sebenar belum berangkat lagi ke Mekah, minggu depan.

"Alah, rindu tu senang je nak ubat. Nanti kamu ambil sehelai kain pelikat ayah kamu bawa ke asrama. Bila hendak tidur alaskan kain pelikat itu ke bantal kamu tu", cadang saya, entah ya entah tidak.

"Betul ke sir boleh menghilang kan rindu pada ayah? Nanti ayah saya tercari pula, mana kain pelikat dia sehelai lagi", dia memberi alasan dengan alasan yang mula merimaskan saya.

"Tak apalah biarlah dia cari, yang penting kamu buat sahaja apa yang saya cadangkan itu dan beri tumpuan kepada persiapan SPM kamu okay," nasihat saya kepada pelajar 8A PMR ini sambil mengingatkannya bahawa loceng masuk kelas sudah berbunyi. Sambil mengucapkan terima kasih dia berlalu pergi dalam keadaan, saya agak, sedikit lega kelihatannya.

Tak berapa lama selepas itu masuk pula seorang pelajar lain sambil bertanya,"Sir, macam mana nak suruh orang tak sukakan saya?".

"Awak ni biar betul...orang nak disukai, awak nak orang tak suka. Tak payah! Dah orang suka awak biarlah orang suka!" leter saya.

Tersengih dia sambil tergaru-garu kepala kena leter. Kesian pula saya tengok dia. Akhirnya saya bertanya juga, kenapa dia nak orang tak sukakan dia?

"Saya hendak belajar, saya tak nak orang kacau saya. Saya nak belajar....nak belajar !", dia mengitap geram

"Awak jangan layan aje orang kacau awak. Payah-payah sangat bagi tahu saya siapa yang ganggu fokus awak tu....nanti awak bagi tahu okay.... biar saya 'belasah' dia. Saya hendak siapkan kerja saya dahulu", geram saya dibuatnya.

"Okaylah sir nanti saya jumpa semula" katanya depan pintu bilik saya.

Adoi....macam-macam hal.

Saturday, November 07, 2009

Tok Wook pejuang gigih


Kesian Tok Wook! Dia pejuang yang gigih. Bagilah balik Mohd Nor dia....

Dipetik dari mStar:

WOOK Kundur, 107, antara wanita tertua di negara ini dan mempunyai suami hampir 70 tahun muda daripadanya, merayu Agensi Anti Dadah Kebangsaan agar memendekkan tempoh penahanan suaminya yang kini ditempatkan di Pusat Serenti Sungai Besi di Kuala Lumpur.

Ketika ditemui pemberita di rumahnya di Kampung Bukit Tok Bat di sini, beliau berkata keadaannya yang semakin uzur menyebabkan beliau memerlukan suaminya, Mohd Nor Che Musa, 38, sentiasa berada di sisinya.


"Sekarang ini tok tak ada tempat bergantung," katanya.
Wook berkata beliau berharap suaminya yang menjalani pemulihan secara sukarela selama dua tahun sejak Julai lalu kerana didapati positif mengambil dadah, dibebaskan dalam masa terdekat atau dipindahkan ke Terengganu.

Katanya walaupun jiran-jiran dan orang ramai sering memberi bantuan dengan menghantar makanan seperti beras dan gula tetapi itu semua tidak sama berbanding suami ada berdekatan.
"Tok ada dengar khabar yang suami akan dipindah ke Pusat Serenti di Besut. Kalau dia betul-betul ditempatkan di Pusat Serenti Besut, senanglah sedikit tok melawat dia," katanya.

Wook, yang pernah berkahwin sebanyak 22 kali, berkata sepeninggalan suaminya sejak tiga bulan lepas, dia pernah beberapa kali berbual melalui telefon dan ada mengunjunginya sekali di Sungai Besi sebelum Aidilfitri yang lalu.


"Kalau boleh biarlah Mohd Nor cepat-cepat bebas kerana tok susah tinggal seorang diri. Malam-malam kalau sakit, siapa nak tolong tok. Kalau ada suami, senanglah," katanya yang masih kuat ingatan dan pendengaran walaupun berusia lanjut.-
BERNAMA

Buatlah yang terbaik.

Saya terima banyak sms memohon doa akan kejayaan dalam menghadapi exam di IPT dari bekas-belas pelajar saya. Yang saya lupa wajah pun ada juga hantar sms sedemikian. Terima kasih di atas ingatan anak-anak pelajar kepada saya walaupun kita mungkin sudah lama berpisah.

Kepada mereka ini dan yang tidak menghantar sms pun, saya mendoakan kecemerlangan dalam exam masing-masing. Just do your best kepada:

1. Faiz Omar
2. Saliha
3. Nik Azri
4. Huda
5. Teah
6. Ba'k
7. Jamil
8. Solah
9. Jannah
10. Indon Rusni
11. Rabiah
12. Zeity
13. Amira
14. Dan semua bekas-bekas pelajar saya yang sedang berjuang di IPT masing-masing yang sering mengubungi saya.

Buat anakanda adibah dan abdul hafiz, semoga sentiasa tenang dan gigih dalam pengajian masing-masing.

Ayah bangga dengan kamu semua !

Thursday, November 05, 2009

Kadang-kadang tanpa disedari pengurusan yang dikatakan efisyen melahirkan guru yang merudum motivasinya.

Hari ini struktur organisasi semakin merimbun, maka itu ianya semakin komplikated. ICT dan multimedia seperti internet, fax dan seumpamanya menjadi alat pemangkin kecekapan yang utama.

Oleh yang demikian semuanya perlu cekap kerana kerja semakin banyak, pekerja perlu semakin kurang. Dalam ilmu pengurusan moden kurang pekerja bukan alasan ketidakcekapan. Kreativiti, inovasi, proaktif, mampan, empowerment, integriti dan bagai-bagai lagi semua itu istilah yang harus menggambarkan kecekapan. Kesimpulannya agaknya, semakin canggih ilmu pengurusan sepatutnya semakin bertambah kecekapan. Realitinya apakah benar begitu, perkara yang sepatutnya begitu ?

Pekerja yang komited, bertanggungjawab dan proaktif lagi cekap perlu sangat dihargai sumbangannya kepada organisasi. Memang patut begitu.

Namun demikian, cuba bayangkan sistem yang dikuasai oleh manusia boleh bila-bila masa meragut dan menghenyak motivasi seorang pekerja organisasi yang cekap dan berkualiti tanpa diketahui dan mampu diambil peduli oleh pihak atasan.

Bayangkan bertapa hibanya seorang sahabat yang cukup dedikasi kerjanya dilantik memangku DG44 Tingkatan 6. Begitu lama ianya tiada masalah, tidak berbangkit apa-apa, namun apabila terima sahaja habuan diatas kenaikan pangkatnya itu , dengan tidak semena-mena tiba berita kenaikan pangkatnya diragut kerana hanya kesilapan teknikal yang tidak sepatutnya berlaku dalam sistem pengurusan yang canggih-manggih ini.

Lemah longlai sahabat berkata, " Jika aku tidak layak kenapa pihak atasan yang bukan pihak sekolah forwardkan nama aku untuk pelantikan tersebut? Aku rasa malu dan maruah aku benar-benar rasa terhina kerana semua pelajar dan orang luar hebuh Mereka yang tidak faham apa-apa, apakah persepsi mereka terhadap aku dengan penarikan ini?". Motivasi seorang ahli organisasi terus merudum kerana maruahnya katanya telah tercalar.

Demi membela seorang sahabat saya terus berjumpa pihak atasan untuk bertanya dan merayu kenapa begitu jadinya. Jawapannya cukup mudah, " jika seseorang guru itu mengajar 9 tahun pun Tingkatan 6, jika dia tidak mengajar tahun 2008 maka cikgu ini tidak layak untuk kenaikan tersebut".

Guru berkualiti itu tidak mengajar tahun 2008 bukan kerana tidak mahu mengajar Tingkatan 6, tetapi kepakarannya yang ada lebih diperlukan untuk mengajar tingkatan peperiksaan yang lebih memerlukan, lagi pun pada waktu itu skim baru Tingkatan 6 belum terdengar biji butir secara jelas.

Apa yang saya hendak kata, syarat tidak sampai-sampai ke sekolah itu telah menghukum pekerja terbaik organisasi ini. Dan saya ingin katakan, orang lain yang hendak dihukum, orang lain yang menjadi mangsa. Motivasi seorang guru dedikasi KPM, telah merudum kerana hanya kesilapan teknikal yang terlalu lama dibiarkan. Apakah agaknya dalam pengurusan moden lambat bertindak, kesesatan maklumat dan kelam-kabut itu, bermakna cekap? Maka biarlah ia begitu !

Wednesday, November 04, 2009

Rawat segera penyakit ini !

Terbaca saya di biaqpila.blogspot.com/ maka saya paparkan pula di blog ini untuk renungan dan perhatian kita semua yang bergelar ibubapa. Jika lah, sekiranyalah, kajian ini membabitkan pelajar-pelajar beragama Islam maka betapa runtuhnya institusi keluarga dalam masyarakat kita.

Dalam sesi kaunseling yang pernah saya laksanakan lama dahulu, antara pengalaman dahsyat yang saya temui ialah pelajar Tahun 5 bukan Tingkatan 5 telah pandai bermukah dengan remaja lelaki belasan tahun di mana ..... di dalam belukar kampung mereka sendiri! Masya Allah!

Sebab itu, kajian seumpama ini dengan pengalaman kaunseling yang pernah saya laksanakan, menceritakan segala-galanya semakin memburuk. Seluruh orang yang prihatin wajib memikirkan langkah memperbaiki penyakit sosial yang kian membarah ini. Rawat segera penyakit ini. Tapi siapakah yang wajib merawatnya ? Atau biarkan lahir semakin ramai gadis ditebuk tupai !?

1 dari 3 pelajar perempuan terlibat aktiviti seks

Oleh DESMOND DAVIDSON

KUCHING: Seorang daripada tiga orang pelajar perempuan sekolah menengah yang mengambil bahagian dalam kajian Universiti Malaya sedekad yang lalu mengakui pernah terlibat dengan aktiviti seks.

"Jika itu berlaku sedekad lalu, bayangkan apa yang berlaku hari ini," kata penyelidik psikologi kanak-kanak Dato' Dr Chiam Heng Keng memberitahu New Sunday Times sewaktu Seminar Biro Wanita Sarawak bertajuk "Latihan Ke Atas Kanak-Kanak Mengenai Keselamatan Pribadi".

Pada waktu kajian mengenai tingkah laku anak gadis berusia 12 hingga 18 tahun itu dijalankan Dr Chiam merupakan seorang profesor Psikologi Sosial di universiti berkenaan. Beliau sekarang merupakan pesuruhjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam).

Dalam taklimatnya mengenai "Menghadapi Realiti Hari Ini" Dr Chiam berkata: "Ia memberikan perasaan tenteram kepada gadis-gadis ini kerana kawan-kawannya yang lain turut melakukannya, dan ia tidak lagi salah kerana orang lain melakukannya."

Dr Chiam berkata memandangkan kegiatan seks tidak lagi asing di kalangan pelajar, beliau khuatir pelajar-pelajar sekolah rendah juga akan turut melakukannya pada masa akan datang.

Beliau berkata, kajian mendapati sesetengah pelajar mendakan seks untuk suka-suka, tetapi ramai yang melacurkan diri untuk mendapatkan wang bagi membeli barang-barang mahal seperti telefon bimbit dan pakaian berjenama.

Adalah mengejutkan katanya, pelajar-pelajar ini tidak pergi ke taman atau tempat awam untuk melakukan seks.

"Mereka melakukannya di rumah."

Justeru, Dr Chiam menasihatkan ibu bapa supaya lebih berhati-hati apabila anak-anak mereka membawa pulang rakan-rakan yang berlainan jenis ke rumah 'untuk belajar'," katanya.

Adalah lebih baik tidak membenarkan mereka menggunakan bilik tidur untuk membuat kerja mereka, sambungnya.


detikdaily


Tuesday, November 03, 2009

Dah macam mana?


Baru-baru ini Pusat Pengajian Sains Farmasi USM mendapati kira-kira 30 peratus daripada 100 produk kesihatan yang diuji di makmalnya adalah tidak halal kerana menggunakan gelatin kapsul ubat dari babi. Disebut dalam laporan itu khinzir! Saya ikut Datuk Rais Yatim sebut babi !

Sebenarnya, soal halal haram makanan yang di makan termasuk ubat-ubatan bukan isu baru. Isu lama. Tapi isu yang tidak akan selesai-selesai selagi umat Islam tidak menguasai sektor ekonomi khususnya bdang pembuatan dan perkilangan. Penguasaan umat Islam dalam bidang ekonomi bukan perkara mustahil tetapi melihat kepada keadaan yang ada sekarang masih jauh lagi bagai langit dengan bumi.

Perkara kedua perkara integriti. Serius atau tidak untuk menyediakan makanan dan ubatan halal untuk orang Islam. Memanglah ianya sukar tetapi kesungguhan dan 'keberiaan' sangat penting. Kadang-kadaang makanan yang dilabel halal JAKIM atau Jabatan Agama Islam pun kita tertanya-tanya, halal sungguh ke ni?

Baca kenyataan Prof Madya Dr Syed Azhar dari pusat berkenaan mengikut laporan BERNAMA:

Syed Azhar berkata produk kesihatan yang diuji tidak halal itu memang terdapat di pasaran dan ia dijual sejak beberapa tahun lepas. "Ini yang kita bimbangkan kerana gelatin kapsulnya tidak halal dan produk berkenaan dikeluarkan sijil halal yang sah ekoran bahan utamanya halal," katanya.

Dah macam mana ? Apakah upaya kita apabila yang tidak halal pun dapat Sijil Halal ?