Anak saya Abdul Hafiz bercuti seminggu kerana UPSI ditutup penangan Selsema Babi Influenza A H1N1. Dia sampai ke rumah malam. Esok paginya saya suruh dia segera pergi ke Poliklinik untuk pengesahan status kesihatannya.
Dalam pukul 10.30 pagi tadi saya menerima sms dari isteri memberitahu bahawa anak saya ditahan di Poliklinik Rompin. Tanpa membuang masa saya bersegera memohon kebenaran Tuan Pengetua untuk melihat keadaan anak. Tanpa membuang masa juga Pengetua membenarkan saya pergi. "Jaga-jaga, nanti awak pulak kena !" pesan Pengetua.
Agak-agak dipertengahan jalan untuk sampai ke bandar Rompin sekali lagi isteri menghantar sms memaklumkan, " abang, angah dah dibenarkan balik ke rumah. Angah tak ada apa-apa cuma oleh kerana dia datang dari UPSI, pihak perubatan minta dia tidak ke mana-mana, duduk di rumah sahaja". Itulah sms isteri. Serta merta saya rasa lega tetapi pada masa yang sama pelik juga kerana dia tidak dibenarkan ke mana-mana. Kuarantin kat rumahlah tu kot?
Oleh kerana anak saya sudah balik ke rumah, saya pusing semula kereta untuk kembali ke sekolah. "Alhamdulillah anak aku tidak apa-apa," lega rasa hati.
Sebaik pulang dari kerja anak memberitahu keadaan sebenar dirinya. Tak ada apa-apa katanya, cuma dia tetap dibekalkan tutup mulut, 3 helai. Katanya , pihak perubatan memaklumkan oleh kerana dia datang dari tempat yang ada positif H1NI (UPSI) maka langkah kawalan dan berjaga-jaga perlu diambil.
Walaupun semua sihat di rumah tapi risau juga fenomena bala Allah yang menimpa umat manusia ketika ini. Terdetik kata di hati, bala Allah ini turun kemungkinan besar kerana ramai manusia yang mengaku Islam tidak mendirikan solat fardhu. Maknanya ramai orang Islam tidak sembahyang. Agaknyalah!
Enam buah sekolah dan sebuah maktab perguruan di Pahang dan Pulau Pinang ditutup hari ini bagi membendung penularan wabak selesema A (H1N1). Sebelas kem Pusat Latihan Khidmat Negara (PLKN) di Semenanjung turut ditutup selama seminggu berikutan terdapat pelatih menunjukkan tanda-tanda jangkitan penyakit seakan-akan selesema (ILI). Empat buah sekolah di Pahang yang berkenaan: SMK Seri Jengka, Maran; SM Abdul Rahman Talib, Kuantan, SM Sains Tengku Abdullah, Raub dan SMK Clifford, Kuala Lipis diarah tutup sehingga 7 Ogos. Tindakan itu diambil setelah pemeriksaan Jabatan Kesihatan mendapati lapan pelajar dari sekolah-sekolah berkenaan disahkan positif H1N1, lapor Bernama. Sementara di Pulau Pinang pula, dua buah sekolah berkenaan SMK Permatang Pasir dan Sekolah Agama Al-Iqwan, Teluk Kumbar serta Maktab Perguruan Tuanku Bainun ditutup sehingga 7 Ogos. Sebelas kem PLKN di Semenjung - daripada 83 buah di seluruh negara - diarah tutup susulan wujud tanda-tanda jangkitan influenza A (H1N1) di kalangan pelatihnya, lapor agensi berita itu lagi. Ketua Pengarah Jabatan Latihan Khidmat Negara (JLKN) Datuk Abdul Hadi Awang Kechil berkata kem yang terlibat ialah: > Kem PLKN Bina Semangat YPJ di Mersing, Johor; > Kem PLKN Tangkas Kendiri, Kuala Kangsar, Perak; > Kem PLKN Jiwa Murni, Semanggol, Perak; > Kem PLKN Sri Impian, Pulau Pinang; > Kem PLKN Syruz, Bukit Mertajam, Pulau Pinang; > Kem PLKN Merang Suria, Terengganu; > Kem PLKN Peladang, Setiu, Terengganu; > Kem PLKN Lagenda Gunung Ledang, Asahan, Melaka; > Kem PLKN Hutan Rekreasi Ayer Keroh, Melaka > Kem PLKN Rachado Bay, Port Dickson, Negeri Sembilan; dan > Kem PLKN Geo Kosmo, Kuala Kubu Bharu, Selangor. Penutupan itu melibatkan 2,478 pelatih setelah kira-kira 450 orang pelatih dikesan dijangkiti ILI. "Kebanyakan pelatih menunjukkan tanda-tanda dijangkiti ILI selepas pulang daripada bercuti selama empat hari bermula 24 Julai lepas dan dalam masa yang singkat jumlah pelatih yang mempunyai tanda-tanda ini bertambah dengan banyak," Abdul Hadi dipetik berkata hari ini. Tambahnya, mengikut prosedur Kementerian Kesihatan, sesuatu tempat yang mempunyai simptom influenza A (H1N1) akan diarah tutup sekiranya 5 peratus daripada jumlah keseluruhan penghuninya didapati mengalami demam sehingga mencecah 38 darjah Celcius.
Hari ini ramai pelajar mengadu demam. Badan terasa panas, batuk-batuk dan terasa sakit tekak. Memikirkan mereka semua tinggal di asrama dan terlalu ramai demam maka pihak sekolah membuat keputusan menghantar mereka ke Poliklinik Rompin. Dalam suasana cemas pandemik H1N1 maka wujud juga rasa bimbang di pihak pentadbir akan jangkitan virus ini di kalangan para pelajar tersebut.
Kalau tidak silap tadi seramai 36 orang pelajar di hantar ke Poliklinik Rompin. Oleh kerana SMK Seri Rompin yang sepatutnya sudah ada bas sekolah sendiri tapi masih tidak ada bas maka guru-guru diarah silih berganti membawa para pelajar ke klinik.Dua guru balik dua guru pergi.
Alhamdulillah semua pelajar yang dihantar tadi telah diperiksa dan diambil darah dan semuanya dibenarkan pulang. Tiada yang berkaitan H1N1.
Malam tadi pun ada juga yang dihantar warden ke Poliklinik Rompin. Nampaknya setakat hari ini warden-warden (guru-guru) bekerja keras siang malam untuk menjaga anak-anak ibubapa. Memang kerja dan tugas warden agak teruk ditambah dengan kesibukan mengajar diwaktu siang. Tapi nampaknya mereka tetap steady dan bersemangat.
Cumanya dalam kita guru-guru mengambil tindakan pro-aktif menghantar pelajar-pelajar kita tanpa mengira waktu khususnya malam, kita tetap dimarahi dan diumpat oleh seorang dua MA yang memang terkenal tidak popular di kalangan pesakit-pesakit yang hadir ke Poliklinik Rompin.
Beberapa orang pelajar yang telah ke Poliklinik Rompin pada waktu malam yang dihantar oleh warden telah memberitahu saya, MA yang memeriksa mereka semacam marah-marah. Kata mereka MA yang sombong itu marah-marah kerana datang pada waktu malam. Cikgu-cikgu Seri Rompin selalu sangat hantar malam-malam, begitulah marah-marah MA itu kepada pelajar yang sakit dan guru-guru yang menghantar.
Mendengar aduan beberapa orang pelajar itu saya rasa kecewa kerana MA berkenaan sebagai seorang yang terpelajar dan mahir dalam merawat pesakit berfikir kemudian bercakap seperti orang bodoh. Saya hendak tanya MA itu yang bodoh sombong itu, bolehkah kita uruskan sakit itu agar sakit itu datang pada waktu pejabat sahaja ? Malam jangan sakit dulu, serang siang sahaja tertama waktu pejabat.
Ramai pelajar-pelajar saya memberitahu dalam memeriksa pesakit terutama pada waktu malam MA akan memberi ubat mengikut sakit yang disebut oleh pesakit tanpa periksa pun. Duduk.. tanya sakit apa... dah bagi ubat balik ! Kalau macam itu punya cara, saya boleh jadi MA. Kita tak nak marah tapi kadang terpaksa marah-marah juga kalau selalu sangat begitu !
Di asrama dalam menguruskan beratus-ratus pelajar yang berjauhan dengan ibubapa masing-masing apabila penghuni asrama sakit, tindakan warden-warden pada bila-bila masa, mesti cepat dan betul. Warden-warden dalam mengurus anak-anak orang, kalau bab sakit, tidak boleh mengambil risiko terutama dalam pandemik H1N1 yang melata ini. Tindakan segera dan betul mesti dilakukan. Kalau penghuni asrama sakit pukul 12 malam, pukul 12 malamlah kita hantar! Apa... MA itu suruh warden-warden basuh kepala pelajar-pelajar itu sampai ke pagi ?
Tidak tahukah MA yang sombong itu berapa susah warden-warden yang semuanya hanya mahir mengajar, apabila pelajar-pelajar sakit pada waktu malam terpaksa menguruskan pelajar-pelajar bagai anak-anak sendiri yang demam menggigil, demam hingga kejang, jalu, histeria, muntah-muntah dan sebagainya? Sampai ke klinik pelajar yang sakit itu kena marah dan guru-guru ditegur hantar malam. Kalau macam itu malam tutup terus Poliklinik Rompin tu. Senang MA itu boleh tidur lena kat rumah.
Hari sudah menjengah pukul 3 petang. Saya masih lagi menyaipkan perancangan pengajaran pada hari esuk. Sedang saya khusyuk membuat kerja saya tiba-tiba dia memberi salam dan masuk.
"Assalamualaikum sir. Nak masuk !, "ucapan yang ringkas sambil berjalan masuk dan menghenyakkan punggungnya untuk duduk. Muka dia kelihatan sedih, serabut dan seperti mahu menangis.
"Kenapa ni ?," tanya saya lembut.
Dia yang berada di hadapan saya tiba-tiba menangis sambil bertekur. Saya agak terkejut kerana tangisannya tiba-tiba dan beria.
"Kenapa ni ? Kenapa kamu menangis ni ? Kamu sakit ke ?," tanya saya dan dia mengiling-ngiling kepala.
"Habis tu kenapa kamu menangis beria ni," tanya saya kehairanan.
"Tak ada apa, cuma rasa sedih, sayu je, rasa nak menangis sangat sir. Tak tahu kenapa rasa macam ni?" jelasnya tersedu-sedu.
Mendengar penjelasan dia saya cuba memahami. Saya biarkan dia menangis dan saya bagi tahu dia, kalau ada apa-apa yang dia mahu lauhkan saya bersedia mendengar. Tapi dia tidak bercakap apa-apa, cuma dia memperlihat reaksi tidak selesa dengan diri dia. Saya minta dia bertenang dan bersabar dengan permainan emosi dia.
Hampir 30 minit dia begitu. Akhirnya setelah mendengar beberapa nasihat dan motivasi dari saya dia mula mengangkat kepala dan mula mencari kertas tisu di atas meja saya untuk mengesat airmata yang tadinya lebat bercucuran.
Setelah dia mula mampu menenangkan dirinya dia mula bercerita tentang masalah keluarganya satu persatu. Pada waktu itu saya tidak kisah sangat apa yang dia ceritakan, cuma saya mahu apa yang berbuku di dada dan hatinya terlerai. Itu sahaja tujuan saya.
Berdasarkan masalah yang terlalu dia fikirkan itu saya banyak mensihati dan memberi semangat kepada dia. Akhirnya dia mula mengorak senyum.
Dia minta maaf kepada saya kerana menjadikan bilik kerja saya sebagai tempat dia melepaskan tangisannya. Saya tidak kisah dengan apa yang dia lakukan kerana dia bukan yang pertama begitu yang saya alami. Akhirnta dia minta diri untuk pulang ke asrama.
"Terima kasih sir. Terima kasih banyak-banyak bantu saya sir," lafaznya yang kedengaran masih kesedihan. Saya melihat dia keluar dari bilik saya dan benar-benar menuju ke asrama.
Kesian Rokiah dalam suasana mahu belajar dan fokus, Allah uji dengan masalah keluarga yang agak berat buat anak seusia dia, 15 tahun ! Rupa pelajar yang tenang dan ceria selama ini rupanya ada masalah yang mengganggu ketenangannya.
Pukul 1.05 pagi tadi, angah di UPSI Tanjung Malim menghantar sms, "Kolej angah dah kena kuarantin. Tak boleh nak keluar. Esok kelas batal."
Pagi tadi sebaik sampai di sekolah saya menelefon angah bertanya khabar anak kedua saya tentang kesihatan dan keadaannya di UPSI. Kata angah, sekarang ramai students yang demam, angah pun demam tapi dah beransur baik. Semalam angah dah main tenis. Tapi hari ini angah dengan ramai kawan-kawan yang lain akan di bawa juga ke klinik untuk pemeriksan.
Hari kelmarin sewaktu makan di luar bersama isteri berjumpa Faizah bekas pelajar yang kini menuntut di MPPM Melaka, yang juga makan dengan keluarganya. Faizah kata maktab dia tutup seminggu. Semua pelajar dibenarkan balik bercuti kerana H1N1.
Sebentar tadi saya membaca berita dalam mStar Online:
Influenza A(H1N1): Mangsa ke-4 meninggal dunia
Oleh ARIFFUDDIN ISHAK
PUTRAJAYA: Seorang wanita rakyat Malaysia berumur 20 tahun mati akibat Influenza A (H1N1) pagi semalam, menjadikannya mangsa keempat yang meninggal dunia akibat pandemik itu di Malaysia setakat ini.
Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Ismail Merican berkata wanita itu disahkan menghidap Influenza A (H1N1) selepas meninggal dunia pada pukul 9.40 pagi semalam.
"Wanita berkenaan mula demam, sakit tekak dan batuk sejak 16 Julai, bagaimanapun beliau hanya pergi mendapatkan rawatan selepas sakit selama 11 hari di Hospital Melaka pada 26 Julai.
"Pemeriksaan dan ujian awal mendapati beliau mengidap jangkitan kuman dalam darah yang dijangkiti daripada paru-paru, beliau kemudiannya dipindahkan ke unit rawatan rapi (ICU) kerana mengalami sesak nafas dan memerlukan bantuan alat pernafasan," katanya dalam sidang media di sini hari ini.
Terfikir oleh saya, nampaknya pandemik H1N1 telah menyerang serata ceruk. Semua orang boleh dikatakan terdedah kepada virus ini sekarang. Setelah 4 orang meninggal dunia apakah jumlah kematian kerana pandemik ini tidak akan bertambah ?
Dulu dikatakan negara kita selamat dari H1N1, tapi kini H1N1 mungkin ada di mana-mana di negara kita. Mengapa kita tidak melakukan solat hajat di masjid-masjid dan surau-surau, di institusi-institusi pendidikan, memohon kepada Allah agar kita dilindungi daripada bala H1N1 ini. ?
Sambil makan di gerai tepi jalanraya tadi saya terlihat sebuah bas ekpress yang agak laju menuju ke destinasinya. Sebaik melihat bas tersebut saya teringat pengalaman menaiki bas ekpress dari Kuantan ke Kuala Perlis beberapa minggu yang lalu. Perkara yang paling saya ingat ialah tambang bas tersebut satu hala RM 60 lebih. Saya tak ingat lebih itu berapa.
Itu antara tambang sebelum 1 Ogos. Baru-baru ini, Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seru Nazri mengumumkan kenaikan tambang teksi, bas sekolah, bas ekpress dan bas henti-henti akan dinaikkan berkuatkuasa 1 Ogos ini.
Saya tidak dapat bayangkan tambang yang semakin mahal ini akan memberi kesan kepada rakyat yang banyak menggunakan pengangkutan awam. Para pelajar sekolah dan para pelajar IPT yang balik kampung menggunakan pengangkutan awam akan merasainya.
Bayangkan peningkatan kos sara hidup yang semakin tinggi dan ditambah dengan keadaan ekonomi global yang belum menampakkan pemulihan, orang awam yang menggunakan pengangkutan awam ini akan mengalami kesan yang tidak sedikit dalam pengurusan perbelanjaan mereka.
Apakah akan berlaku nanti tambang yang telah ditetapkan akan menjadi menjadi lebih mahal kepada penumpang yang tidak tahu harga tambang di sesuatu tempat. Contohnya saya yang menaiki teksi dari jeti Pekan Kuah Langkawi ke Asiania Resort dekat Pantai Cenang diminta membayar RM26 sedangkan tambang hanya RM24. Kesempatan memanipulasi tambang kepada penumpang yang asing di tempat tersebut pasti akan berlaku.
Pendek kata kenaikan tambang pengangkutan awam ini tidak membantu orang-orang awam yang menggunakannya.
85 peratus? Besar peratus tu! Maknanya banyak lokasi-lokasi sekolah di negara kita tidak selamat.
Kajian yang dibuat oleh JKJR mendapati 85 peratus daripada 9,586 sekolah kebangsaan dan menengah di seluruh negara sebagai berbahaya kerana terletak di tepi jalan raya utama. Lokasi-lokasi sekolah ini membahayakan lebih lima juta murid dan pelajar. Mereka setiap hari terdedah kepada risiko kemalangan jalan raya.
Itu berbahaya kerana lokasi.
Bagaimana pula bahaya dari segi keadaan fizikal sekolah?
Pernahkah dibuat kajian tahap bahaya dan berisiko sekolah yang belum mencapai usia 10 tahun, yang rosak sana-rosak sini sama ada atap bocor, siling pecah, lantai pecah, longkang pecah, paip najis dan tandas bocor, beam konkrit mengalami resapan air, pendaiwaian elektrik yang bocor dan sering menggelapkan sekolah dan asrama dan macam-macam lagi ?
Saya sendiri bersama rakan-rakan setugas pernah diarah oleh Pengetua memecahkan dan menjatuh rekahan konkrit simen yang retak dilaluan utama para pelajar dan guru-guru!
Pendek kata sekolah-sekolah kini bukan sahaja bahaya kerana lokasi tetapi mungkin juga kualiti buatan fizikal sekolah itu yang membahayakan terutama sekolah-sekolah yang baru dibina.
85 peratus lokasi sekolah berbahaya
SHAH ALAM - Kajian mendapati 85 peratus daripada 9,586 sekolah kebangsaan dan menengah di seluruh negara dikategorikan sebagai berbahaya kerana terletak di tepi jalan raya utama.
Keadaan itu mengakibatkan lebih lima juta murid dan pelajar di sekolah-sekolah berkenaan terdedah kepada risiko kemalangan jalan raya.
Timbalan Ketua Pengarah, Jabatan Keselamatan Jalan Raya (JKJR), Sim Say Kiong berkata, hasil kajian sehingga Oktober tahun lalu mendapati kebanyakan jalan raya di kawasan sekolah sibuk dengan pelbagai jenis kenderaan.
Keadaan tersebut, jelasnya, menyebabkan pelajar yang berjalan kaki untuk melintas jalan menuju ke sekolah pada setiap hari persekolahan sentiasa 'bergadai nyawa' semata-mata untuk sampai ke kawasan sekolah.
"Pembangunan pesat dengan pertambahan projek-projek naik taraf bagi sesebuah kawasan khususnya berdekatan sekolah menyebabkan aliran lalu lintas di hadapan sekolah semakin tinggi," katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas merasmikan Kempen Keselamatan Jalan Raya 'SafetyThon' di Sekolah Kebangsaan Bukit Kemuning 2 (SKBK2) di Kota Kemuning, Seksyen 31 di sini semalam.
Katanya durian raja buah. Kenapa digelar begitu saya tak tahu. Kerana duri ke ? Kerana isi ke ? Kerana rasa ke atau kerana baunya ?
Tapi durian memang banyak sekarang. Di mana-mana durian, di kampung, di bandar malah di tepi-tepi jalan. Nampak isi durian kuning keemasan, kus semangat...sedap ! Tapi ada durian yang bila dimakan terasa sesak kepala, pening kepala. Ada yang bila dimakan, tidak memberi kesan apa-apapun. Mengapa ada durian begitu ? Adakah durian hari ini ada yang dipanggil durian kahwin dan ada yang dikatakan durian kampung?
Kalau dalam perjalanan ada dalam kereta yang berhasrat berhenti mahu makan durian, semua mesti makan durian. Kalau seorang sahaja makan, yang lain tak makan, alamatnya parah ! Kerana kalau seorang itu sendawa, yang lain akan terlalu terganggu dengan pencemaran bau yang menyesakkan dan memeningkan. Kalau semua makan, mungkin kurang sedikit tekanannya.
Tempoh hari sewaktu saya dalam perjalanan dari Kangar ke Kuantan, bas yang saya naiki tergendala perjalanannya hampir 30 minit kerana DURIAN ! Sebaik bas mahu digerakkan oleh pemandunya, dia terbau durian yang saya sudah tercium baunya lebih lama dari tu. Dia bingkas bangun dan bertanya penumpang, "sapa bawak durian ni ...ha ?, tak buleh...nanti pengsan oghang lain ".
Semua penumpang senyap tak mengaku. Saya pun tak mengaku kerana memang saya tak bawak durian. Pemandu itu turun bas terus ke tempat isi barang di bawah. Setelah diperiksa, dia mendapati ada dua kotak berisi durian. "Dua kotak sapa tu yang beghisi durian, tolong pi beli plastik sampah bungkuih...kalau tak saya tinggai ja !", amaran pemandu itu.
Tiba-tiba dua orang anak gadis turun dan mengaku kotak durian itu mereka yang punya. Salah seorang dari pada mereka mengambil masa agak lama mencari kedai untuk membeli plastik sampah dan proses membungkus kotak durian dengan plastik sampah dengan dibantu oleh pemandu itu berakhir hampir setengah jam !
Itulah durian, raja buah ....bas ekspress boleh bergerak lancar dengan penumpang lebih 40 orang tetapi tidak dapat bergerak kerana durian yang hanya 4 biji yang tidak dibungkus plastik! Raja sungguh dia.
GERHANA... Kejadian gerhana berikutan berlakunya fenomena gerhana matahari penuh, yang merupakan gerhana matahari terpanjang di abad ini. Gambar menunjukkan cerapan proses gerhana matahari yang dirakamkan di utara India
Pada waktu Armstrong dan Aldrin naik ke bulan saya berusia 8 tahun. Saya masih ingat peristiwa tersebut dan nama Neil Armstrong menjadi keseronokan saya menyebutnya sewaktu bermain-main kejar-kejar dengan kawan-kawan di laman rumah. Rupanya sudah 40 tahun peristiwa manusia pertama menjejak kaki ke bulan. Orang Amerika !
Kita ? Kita masih bagaikan pungguk merindui bulan ?
Sampai bila agaknya ?
Berita dari Kosmo Online:
WASHINGTON - Satu gambar baru yang menunjukkan angkasawan Neil Armstrong berjalan di bulan disiarkan sempena meraikan ulang tahun ke-40 pendaratan pertama manusia di bulan, lapor sebuah akhbar semalam.
Imej berkenaan dirakamkan oleh sebuah kamera yang berada pada kapal pendaratan bulan namun rakaman itu habis dalam tempoh singkat.
Kapal pendaratan bulan itu popular dengan panggilan Eagle. Ia menunjukkan muka Armstrong dengan jelas ketika dia berjalan di atas permukaan bulan.
Gambar itu dikeluarkan oleh Pentadbiran Aeronautik dan Angkasa Lepas Kebangsaan (NASA).
Armstrong merupakan manusia pertama menjejakkan kaki ke bulan namun kebanyakan gambar yang dirakamkan hanya menunjukkan rakannya, Buzz Aldrin.
Sebuah syarikat gambar angkasa bersejarah yang beribu pejabat di Ohio, Spacecraft Films berjaya menukar klip rakaman video berdefinisi tinggi itu menjadi gambar.
Imej-imej tersebut kini diedarkan buat kali pertama dalam bentuk buku berjudul Voices from the Moon yang ditulis oleh Andrew Chaikin.
"Ini adalah kali pertama orang ramai dapat melihatnya," kata Chaikin.
Armstrong dan Aldrin berada dua setengah jam pada 20 Julai 1969 di bulan. - Agensi
Apabila Timbalan Menteri Pelajaran mengumumkan terdapat lebih 54000 murid Tahun Satu yang tidak menguasai menulis dan membaca ia merupakan suatu yang sangat serius untuk dibincangkan. Negara semakin menghampiri tahun 2020 masih ada lagi masalah murid yang tidak menguasai kemahiran menulis dan membaca.
Perkara pertama yang wajar dibincangkan ialah kenapa jadi begitu ?
Pihak mana yang membuat pelajar-pelajar itu begitu ? Guru, ibubapa atau sistem pendidikan yang gagal untuk itu?
Bagaimana dengan kemahiran mengira pelajar-pelajar tersebut ?
Bagaimana pula dengan pelajar Tingkatan Satu ? Apakah telah dibuat kajian masih ada atau tidak pelajar-pelajar Tingkatan Satu yang tidak menguasai 3M ? Lebih parah keadaan generasi masa depan negara jika kadar tidak menguasai 3M di Tingkatan Satu begitu besar !
Sekali lagi persoalan penting yang perlu dijawab apakah yang menjadikan pelajar-pelajar ini gagal menguasai 3M ? Kemiskinan dan sikap keluarga ? Pemakanan ? Guru-guru ? Sistem pendidikan ?
Tujuh hari berada di Pulau Mahsuri dengan aktiviti yang agak padat memang agak stress. Apabila selesai sahaja program terasa lapang kepala. Saya tanpa berlengah telah check-out hotel tepat pukul satu petang. Dengan menaiki teksi saya menuju ke jeti di pekan Kuah. Pemandu teksi yang saya naiki masih muda berusia 27 tahun. Orangnya petah berceloteh dan bercerita kepada saya banyak perkara terutama kerenah-kerenah penumpang teksinya dari kalangan bangsa asing seperti orang Britain, Australia dan Pak Sheikh Arab. Sesampai di jeti saya bertanya berapa tambang yang perlu saya bayar.
" Dua puluh empat ringgit abang", kata pemandu tersebut.
Saya menghulurkan wang RM50 dia menerima dan memulangkan bakinya kepada saya sambil menghulur tangan untuk bersalam dengan saya. Saya menghulur tangan, dia menyambut dengan menunduk hampir-hampir mahu mencium tangan saya sambil berkata " Terima kasih abang !". Dalam hati saya berkata, bagus betul pemuda ini menghurmati penumpangnya.
Sewaktu saya sampai ke Langkawi tempoh hari pemandu teksi yang menghantar saya dari jeti ke hotel penginapan saya pun galak bersembang dengan saya walaupun wajahnya agak serius. Pemandu ini agak lebih berusia dari saya. Sesampai di hotel saya bertanya berapa tambangnya.
Pantas dia menjawab, " RM26 encik ".
A'ah... waktu pergi tambang lebih mahal dari waktu balik!
Saya menaiki feri tepat pukul 2.30 petang. Feri yang agak besar itu mengambil masa satu jam lebih untuk sampai ke jeti Kuala Perlis. Rupanya feri yang lebih kecil lebih laju berbanding yang besar.
Saya sampai di Kuala Perlis hampir pukul 4 petang.
Tanpa membuang masa saya terus mengambil teksi untuk ke perhentian bas Kangar. Saya telah diberi peluang menaiki teksi Proton Saga lama kepunyaan Pak Teh Non atau nama sebenarnya Abdul bin Mamat. Agak-agak saya usia Pak Teh Non dalam lingkungan 70an.
Sebaik Pak Teh Non mengundurkan teksinya yang tidak dibuka air-cond itu, sebuah motorsikal skuter yang ditunggang oleh seorang perempuan muda menyungsang jalan satu hala itu melintas belakang teksi Pak Teh, sehingga kawan-kawan Pak Teh (pemandu-pemandu teksi yang lain) menjerit " Pak Teeh moto'q !". Pak Teh brek kecemasan, zzaap !
Pak Teh yang mula tersirap darah agaknya, mula berkhutbah " Hagham jadah, dah tau jalan sehala hang pi lalu buat apo, ni lah oghang kita tak ikut peraturan...tu yang dunia dok jadi kelam-kabut. Semuo nak tunjuk kuasa!".
Saya tak tahu Pak Teh nak suruh siapa dengar leterannya itu, yang pasti penunggang skuter itu dah tak tahu di mana, hilang dari pandangan mata.
Pak Teh Non terus menyambung khutbahnya, " Kita ni oghang melayu ada pegangan, ia itu agama kita agama Islam. Kita sebagai oghang Islam kalau berpegang kepada al-Quran dan Hadith, dunia akan aman damai tak payah pakai polis dan askar, adik !".
Saya hanya terdiam dan menyampuk ," betoi PakTeh saya setuju !" Pak Teh Non lagi bersemangat apabila mendengar persetujuan saya terhadap pandangannya.
Pak Teh Non terus bercerita akan pengalaman dirinya dalam pelbagi bidang terutama dalam bidang berceramah. Dia kata dia pernah berceramah di hadapan lebih 2000 orang dalam dewan. Betul ke tidak saya tak tahu tapi itulah yang Pak Teh cerita kepada saya. Tidak saya sangka dan saya amat terkejut kerana tiba-tiba sambil memandu Pak Teh Non benar-benar memberi ceramah apa yang pernah dia ceramahkan. Saya kagum Pak Teh Non berceramah laju macam melagukan lagu Pak Ku Shadat tanpa tersasul dan salah sebutan sedikitpun. Saya yang biasa berceramah inipun tak mampu nak lawan gaya ceramah Pak Teh Non .
Pak Teh mula memberi ceramahnya dengan memberi salam kepada tetamu yang terdiri dari YB-YB yang ada di antara nama yang di sebut saya kenal. Pak Teh kata ceramah dia pada waktu itu mempertahankan perjuangan Dr Mahathir yang mahu membela orang Melayu dan supaya orang Melayu bersatu padu! Katanya....
Sambil berceramah entah kepada siapa saya tak tahu kerana dalam teksi itu hanya saya dengan Pak Teh Non sahaja yang ada, Pak Teh hampir-hampir terlupa brek teksinya, cemas teksi Pak Teh terlanggar kereta di hadapan yang berhenti dekat persimpangan lampu isyarat.
Cemas dan berderau seketika saya, dan hendak tergelak pun ada dengan kelam-kabut Pak Teh Non sewaktu menekan brek teksinya. Namun ceramah Pak Teh Non tidak terhenti dek kerana kecemasan yang seketika itu.
Dalam hati yang risau kerana sambil memandu, saya bertanya, bila Pak Teh hendak berhenti ceramah ini ? Isi ceramah Pak Teh memang padat cuma nilainya bagi saya agak out-dated. Tapi tak apalah ianya sesuai dengan generasi PakTeh Non. Saya tak kisah malah seronok tetapi sedikit cemas cara Pak Teh Non memandu itu.
Sesampai di perhentian bas Kangar Pak Teh Non menurunkan saya di situ. Saya yang mahu pulang ke Pahang merasa kesempatan bersama Pak Teh Non sangat pendek. Banyak yang saya sembang dengan Pak Teh dan banyak perkara yang Pak Teh ceritakan kepada saya hingga menjemput saya ke rumahnya pada petang itu untuk Pak Teh ajar banyak perkara kepada adik, katanya ! Kalau nak cari seorang lagi pun, buleh mai ghumah Pak Teh, Pak Teh aja'q ! Hu hebat Pak Teh Non!
"Tak buleh pi Pak Teh, saya nak balik Pahang", kata saya.
" Await jauhnya, tak buleh sembanglah lagu tu" kata Pak Teh beria-ia.
Saya tanya Pak Teh Non berapa tambang. Pak Teh kata RM14 ja. Saya bagi duit RM15 dan Pak Teh mencari duit seringgit dalam dompetnya untuk memulang kepada saya.
"Tak payah pulang Pak Teh Non, keep the change", kata saya.
Bila mendengar saya kata keep the change Pak Teh Non terus angkat tangan berdoa supaya saya murah rezeki, selamat dalam perjalanan, semuga hidup diberkati Allah dan macam-macam yang saya dengar dari mulutnya semua yang baik-baik untuk saya. Terharu saya seketika hinggakan tiga kali bersalam dengan Pak Teh Non sebelum kami berpisah.
Ramai juga orang yang berada d perhentian bas itu memerhati kepada kami terutama sewaktu Pak Teh Non berdoa. Kami, saya dan Pak Teh Non, tak kesah pun. Pak Teh berlalu pergi yang mungkin tidak dapat saya jumpai lagi sambil mengangkat tangan melambai saya. Itulah Pak Teh Non Kangaq Perlis ! Saya seronok berjumpa Pak Teh Non.
Dah lama tidak naik bas ekspress. Selepas tamat belajar di maktab perguruan dulu tidak pernah lagi naik bas ekspress. Sekali dapat peluang naik bas ekspress pada mulanya terasa juga tidak tentu arah, teruja, takut dan cemas.
Semua perasaan berbaur kerana ada rasa tidak yakin kepada pemandu bas. Terfikir bahawa pemandu bas adalah manusia biasa yang terdedah untuk melakukan sebarang kelalaian yang mampu mengakibatkan risiko yang besar. Perasaan ini wujud kerana memikirkan kebanyakan kemalangan yang melibatkan bas ekspress rasanya berpunca dari faktor pemandunya. Ini cukup merisaukan saya. Bayangkan perjalanan dari Kuantan ke Kuala Perlis hampir mencecah 12 jam cukup lama dan jauh. Bertolak pukul 8.45 malam sampai pukul 8 pagi.
Perjalanan malam memang menserabut pemikiran saya yang penakut ini. Tidur memang tidak lena walaupun bas agak selesa. Sepanjang perjalanan dua kali bas terperangkap dalam kesesakan di lebuhraya kerana kemalangan yang berlaku.
Cuma terasa agak sedih ialah apabila pemandu bas itu berhenti untuk solat subuh di Masjid Kg Kerpan Kedah hanya empat orang sahaja turun solat sedangkan ramai penumpang-penumpang bas macam orang Melayu! Apakah ada orang Melayu yang tidak beragama Islam ? Atau masya Allah ramainya orang Melayu tidak solat !!
TAWAU: Umat Islam di Malaysia boleh menyemak kedudukan arah kiblat dari kediaman, atau lebih tepat dari ruang solat masing-masing, pada Khamis ini pukul 5.28 petang.
Timbalan Pengarah Institut Latihan Islam Malaysia (ILIM) Omar Said berkata arah kiblat boleh disemak pada hari dan masa berkenaan dengan berasaskan cara tradisional iaitu dengan melihat arah matahari tenggelam.
Katanya pada hari dan masa tersebut kedudukan matahari berada betul-betul di atas Kaabah di Makkah yang menjadi kiblat umat Islam.
"Kealpaan umat Islam menentukan arah kiblat dengan tepat boleh menyebabkan arah kiblat mereka tersasar sehingga beberapa kilometer jauhnya," katanya ketika berucap merasmikan kursus lanjutan Falak (Qiblat) peringkat negeri di sini hari ini.
Kursus anjuran ILIM dengan kerjasama Jabatan Kemajuan Islam Malaysia, Jabatan Mufti Negeri Sabah dan Jabatan Hal Ehwal Islam Negeri Sabah itu dihadiri 44 orang peserta yang mewakili pelbagai jabatan dan agensi kerajaan.
Menurut Omar perubahan satu darjah sahaja boleh mengakibatkan arah kiblat tersasar sehingga sejauh 128 kilometer. BERNAMA
He..he...tengok dia ni memang menyeronokkan. Tak pandai duduk diam. Bergerak ke sana ke mari dengan begitu cergas. Bila-bila masa pun muka dia selamba sahaja. Dia berjalan pantas dan buat kerja cepat.
Dia ni suka makan. Semua dia nak hendak rasa. Rasa sana sikit, rasa sini sikit. Yang hijau dia makan yang kering perang pun dia makan. Kadang-kadang ranting kering pun dia nak rasa.
Tapi dia sangat romantik dan macam-macam gatal sedikit. Kalau dia hendak 'mengorat' macam-macam dia buat. Terlompat-terlompat galak. Dia buat bunyi yang macam-macam, manja saja bunyinya. Kadang-kadang dia terguling-guling depan makwe dia. Pendek kata memang biang lah dia ni !
Memanglah dia ni antara makhluk Allah yang unik kerana mempunyai hormon yang aktif. Sebab itulah dia bekelakuan biang, ceria dan selamba sepanjang masa. Dan siapa makan dia bermakna 'memakan' hormon yang aktif. Bagus tu !
Katanya daging dia ni mengandungi protein yang baik dan senang hadam. Anggapan yang mengatakan mereka yang mengidap darah tinggi tidak boleh makan dia adalah fakta yang salah. Sebenarnya orang mengidap darah tinggi boleh makan dia. Dan sekarang ini banyak betul produk kesihatan berasaskan dia ni.
Memang kambing ni binatang yang unik. Dia beranak tak banyak, paling banyak dua ekor sahaja. Tapi tak pernah pupus...ada saja. Kalau musim haji banyak mana dia di sembelihkan. Dia tetap ada, di mana-mana. Dan dia tetap ceria di mana-mana.
Siapa yang pelihara dia, mengikut sunnah nabi. Nabi Muhamad gembala kambing, nabi tak gembala lembu! Bertuah kambing dapat sentuhan Nabi S.A.W.
Tapi geram juga kat kambing ni....kalau dia makan pokok -pokok di laman rumah secara kreatif, alamatnya akan mati pokok-pokok itu ! Itulah uniknya kambing. Kambing-kambing !
Terlalu sibuk. Berada di Langkawi dengan aktiviti yang padat. Tidak ada masa hendak termenung berfikir lama-lama untuk update blog ini. Ini copy paste juga lah satu tulisan yang mungkin mampu memberi kita pengajaran.
Suatu ketika, Muaz b Jabal ra mengadap Rasulullah SAW dan bertanya: "Wahai Rasulullah, tolong huraikan kepadaku mengenai firman Allah SWT: "Pada sangkakala ditiup,maka kamu sekalian datang berbaris-baris" Surah an-Naba':18 Mendengar pertanyaan itu, baginda menangis dan basah pakaian dengan air mata.Lalu menjawab: "Wahai Muaz, engkau telah bertanyakan kepada aku, perkara yang amat besar, bahawa umatku akan digiring, dikumpulkan berbaris-baris menjadi 12 barisan, masing-masing dengan pembawaan mereka sendiri...." Maka dinyatakan apakah 12 barisan tersebut :-
BARISAN PERTAMA
Di iring dari kubur dengan tidak bertangan dan berkaki. Keadaan mereka ini dijelaskan melalui satu seruan dari sisi Allah Yang Maha Pengasih: "Mereka itu adalah orang-orang yang sewaktu hidupnya menyakiti hati jirannya, maka demikianlah balasannya dan tempat kembali mereka adalah neraka..."
BARISAN KEDUA
Diiring dari kubur berbentuk babi hutan. Datanglah suara dari sisi Allah Yang Maha Pengasih: "Mereka itu adalah orang yang sewaktu hidupnya meringan-ringankan solat, maka inilah balasannya dan tempat kembali mereka adalah neraka..."
BARISAN KETIGA
Mereka berbentuk keldai, sedangkan perut mereka penuh dengan ular dan kala jengking. "Mereka itu adalah orang yang enggan membayar zakat, maka inilah balasannya dan tempat kembali mereka adalah neraka..."
BARISAN KEEMPAT
Diiring dari kubur dengan keadaan darah seperti air pancutan keluar dari mulut mereka. "Mereka itu adalah orang yang berdusta di dalam jualbeli, maka inilah balasannya dan tempat mereka adalah neraka..."
BARISAN KELIMA
Diiring dari kubur dengan bau busuk daripada bangkai. Ketika itu Allah SWT menurunkan angin sehingga bau busuk itu mengganggu ketenteraman di Padang Mahsyar. "Mereka itu adalah orang yang menyembunyikan perlakuan derhaka takut diketahui oleh manusia tetapi tidak pula rasa takut kepada Allah SWT, maka inilah balasannya dan tempat kembali mereka adalah neraka..."
BARISAN KEENAM
Diiring dari kubur dengan keadaan kepala mereka terputus dari badan. "Mereka adalah orang yang menjadi saksi palsu, maka inilah balasannya dan tempat kembali mereka adalah neraka..."
BARISAN KETUJUH
Diiring dari kubur tanpa mempunyai lidah tetapi dari mulut mereka mengalir keluar nanah dan darah. "Mereka itu adalah orang yang enggan memberi kesaksian di atas kebenaran, maka inilah balasannya dan tempat kembali mereka adalah neraka..."
BARISAN KELAPAN
Diiring dari kubur dalam keadaan terbalik dengan kepala ke bawah dan kaki ke atas. "Mereka adalah orang yang berbuat zina, maka inilah balasannya dan tempat kembali mereka adalah neraka..."
BARISAN KESEMBILAN
Diiring dari kubur dengan berwajah hitam gelap dan bermata biru sementara dalam diri mereka penuh dengan api gemuruh. "Mereka itu adalah orang yang makan harta anak yatim dengan cara yang tidak sebenarnya, maka inilah balasannya dan tempat kembali mereka adalah neraka..."
BARISAN KESEPULUH
Diiring dari kubur mereka dalam keadaan tubuh mereka penuh dengan penyakit sopak dan kusta. "Mereka adalah orang yang derhaka kepada orang tuanya, maka inilah balasannya dan tempat kembali mereka adalah neraka..."
BARISAN KESEBELAS
Diiring dari kubur mereka dengan berkeadaan buta mata-kepala, gigi mereka memanjang seperti tanduk lembu jantan, bibir mereka melebar sampai ke dada dan lidah mereka terjulur memanjang sampai ke perut mereka dan keluar beraneka kotoran. "Mereka adalah orang yang minum arak, maka inilah balasannya dan tempat kembali mereka adalah neraka..."
BARISAN KEDUA BELAS
Mereka diiring dari kubur dengan wajah yang bersinar-sinar laksana bulan purnama. Mereka melalui titian sirat seperti kilat. Maka,datanglah suara dari sisi Allah Yang Maha Pengasih memaklumkan: "Mereka adalah orang yang beramal salih dan banyak berbuat baik. Mereka menjauhi perbuatan derhaka, mereka memelihara solat lima waktu, ketika meninggal dunia keadaan mereka sudah bertaubat, maka inilah balasannya dan tempat kembali mereka adalah syurga,mendapat keampunan, kasih sayang dan keredhaan Allah Yang Maha Pengasih..."
Jika engkau mahukan kemesraan dengan Allah, maka garanglah terhadap dirimu sendiri. Jika engkau merasakan manisnya berhubung dengan Allah, tahulah engkau betapa peritnya berpisah denganNya.....Wallahua'alam.
PPSMI telah dimansuhkan. Kabinet Malaysia yang bermesyuarat hari ini telah membuat keputusan memansuhkan PPSMI. Pemansuhan tersebut telah diumumkan oleh Tan Sri Muhyiddin Yassin Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Pelajaran. Namun demikian pihak kerajaan membuat keputusan bahawa PPSMI akan sepenuhnya berjalan pada tahun 2012.
Adalah diyakini pemansuhan ini akan mengembirakan para pelajar dan juga ibubapa. Bagi para pendidik langkah ini adalah merupakan langkah yang tepat dan betul.
Semoga Bahasa Melayu akan dapat diperkasakan kembali dan pengajaran Bahasa Inggeris semakin efektif.
Seorang pelajar dari suku kaum Asli bertanya kepada saya bagaimanakah hendak mengenali Islam? Saya bertanya kepada pelajar tersebut, kenapa dia bertanya soalan itu. Dia menjawab dengan wajah selamba, ada orang Islam yang minum arak dan beli nombor ekor sedangkan katanya, Islam melarang itu semua.
"Sir masa saya tunggu keputusan SPM yang lalu, saya bekerja di sebuah kedai hardware yang sebelahnya kedai toto. Saya nampak ramai orang Melayu yang masuk ke situ dan membeli nombor ekor. Yang menyebabkan saya bertambah keliru apabila ada orang tua Melayu dan yang berkopiah lagi membeli nombor ekor. Saya hendak lalu depan kedai tu pun saya rasa malu walaupun saya orang Asli. Orang-orang tu semua tak malu ke sir ?", tanyanya kepada saya.
Saya termenung bukan memikir jawapan kepada soalan itu tetapi memikirkan teruknya imej Islam yang dipaparkan mereka itu.
"So dimana saya hendak mengenali Islam?" soal pelajar tersebut.
Apabila itu yang disoal dan diperkatakan, lagi sekali saya rasa cukup kecewa. Saya kecewa kerana ada orang Islam yang tidak menunjukkan imej Islam yang baik mengakibatkan mereka yang meminati Islam menjadi keliru terhadap agama Islam.
Saya cuba memahami apa yang diperlukan disebalik soalan pelajar saya itu.
Saya menjawab, " Jika kamu mahu mengenali Islam jangan melihat pada orang Melayu kerana ramai orang Melayu yang gagal memaparkan imej Islam yang kamu perlukan. Nanti saya hadiahkan satu buku tentang Nabi Muhammad SAW. Nabi Muhammad mempunyai akhlak yang mulia yang boleh kamu ikuti. Akhlak Nabi Muhammad itulah Islam ".
Banyak lagi yang ditanyanya kepada saya.
Di akhir perbualan kami saya bertanya, adakah kamu berminat dengan Islam ? Ya jawabnya. Apa reaksi keluarga kamu terhadap minat kamu ini ? Ayah tidak menjadi masalah mungkin mak agak keberatan, katanya.
Kalau ayah sudah tidak menjadi masalah kenapa kamu tidak masuk Islam cepat ?
"Belum sampai seru sir", jawabnya sambil tersenyum dan minta izin untuk masuk kelas.
Ditinggalnya saya terkelip-kelip melihat dia berlalu pergi. Semoga Allah memberi hidayah kepadanya.
Daripada Ali bin Abi Thalib r.a.; Rasulullah saw bersabda, " Apabila umatku telah membuat lima belas perkara maka bala pasti akan turun kepada mereka iaitu :
1. apabila harta negara hanya beredar pada orang-orang tertentu 2. amanah dijadikan suatu sumber keuntungan 3. zakat dijadikan hutang 4. apabila suami memperturutkan kehendak isteri 5. anak derhaka terhadap ibunya; 6. sedangkan anak-anak berbaik-baik dengan kawannya 7. anak-anak suka menjauhkan diri daripada ayahnya 8. suara sudah ditinggikan di dalam masjid 9. yang menjadi ketua satu kaum adalah orang yang terhina di kalangan mereka 10. seseorang dimuliakan kerana ditakuti kejahatannya 11. khamar (arak) sudah diminum di merata tempat 12. kain sutera banyak dipakai (oleh kaum lelaki) 13. para artis-artis disanjung-sanjung 14. muzik banyak dimainkan 15. generasi akhir umat ini melaknat (menyalahkan) generasi pertama (sahabat)
Maka pada ketika itu hendaklah mereka menanti angin merah atau gempa bumi atau pun mereka akan dirobah menjadi makhluk lain.” (Hadith riwayat Tirmizi) .
Assalamualaikum Li ! Itulah yang saya dengar berkali-kali. Kedengaran seperti orang sedang dalam kecemasan. Saya bingkas bangun sambil melihat jam dinding pukul 1.30 pagi, terus meluru ke pintu rumah.
Saya kenal suara itu. Dia adalah Azman (bukan nama sebenar). “ Li, aku nak minta tolong, aku nak bawa anak aku ke hospital, anak aku demam panas kuat !”, rayu Azman kepada saya. Tanpa berfikir panjang saya terus memberi kesanggupan dan minta sedikit masa untuk bersiap.
“Aku tunggu di rumah Li”, kata Azman sambil memecut motorsikal pulang ke rumahnya di seberang jalan.
Tanpa mengambil masa yang panjang saya terus memandu ke rumah Azman.
Sebaik sampai di rumah Azman, isteri Azman, Hasnah mendukung anak masuk ke tempat duduk belakang dan Azman duduk di seat depan sebelah saya. Sebaik saya hendak memulakan pemanduan, tiba-tiba “ Eh... nanti… nanti kejap li, surat beranak anak aku tertinggal ! ", Azman serta merta keluar meluru ke dalam rumahnya meninggalkan saya dan isteri serta anaknya dalam kegelapan malam.
Saya yang sedang duduk kaku di tempat pemanduan terkejut dan panik apabila Hasnah di belakang, tiba-tiba menjerit-jerit ‘ Eh apa ni cikgu sazili….apa ni….apa ni….apa niii !’.
Dalam keadaan panik saya serta merta keluar dari kereta. Hasnah pun keluar sambil merangkul anaknya dan mengibas-ngibas kain yang di pakainya.
Waktu itu saya tahu apa yang berlaku kepada Hasnah tetapi alangkah takutnya saya kalau-kalau si Azman yang berada di dalam rumah mendengar jeritan isterinya dan mengesyaki yang bukan-bukan. Lagi pucat muka saya kerana kenal ayah Azman seorang yang terkenal garang dan memiliki senapang patah.
"Tak ada apa Hasnah, lipas tu…lipas !!" jerit saya kepada Hasnah. Sambil menjerit memberitahu saya menjauhkan diri saya dari Hasnah. Azman yang agaknya menyedari apa yang sebenar-benar berlakumerungut kepada isterinya sebaik sampai di kereta. " Ahh…masuk…lipas pun takut", sergah Azman kepada Hasnah.
Sebaik Azman kata begitu alangkah leganya hati saya.
Dalam hati saya merungut " Wahai anak-anakku, kerana keropok yang kamu selalu makan, lipas-lipas bersarang dalam kereta ayah dan ayah cemas ditembak senapang patah!".
Saya berazam, esoknya saya akan membunuh dan membuang semua lipas-lipas yang bersarang dalam Datsun Tonggek saya ini ! Begitulah antara kenangan bersama kereta pertama, Datsun 120Y yang tidak mungkin saya lupakan .
Tengahari hari Khamis itu, dari tingkat empat, sambil mengawasi para pelajar menjawab ujian ,saya memandang ke arah parkir kereta. Saya nampak di situ berjujukan kenderaan baru-baru seperti Honda Accord, Honda City, Wish, Proton Perdana, Hyundai Sonata, Pajero, Avanza, Inova, Nissan Latio, Waja, Viva, MyVi, Wira, Persona dan Exora. Semua kenderaan tersebut kepunyaan rakan sejawat.
Begitulah wajah kerjaya keguruan hari ini. Walaupun ramai yang masih baru menjadi guru, sudah mampu memiliki kenderaan hebat, baru dan mahal. Memang berbaloipun. Patutlah begitu ramai anak-anak muda yang memohon menjadi guru setiap tahun. Kerjaya ini semakin menarik minat ramai.
Sambil merenung ke arah bangsal pakir yang nun di bawah, terkenang saya zaman baru menjadi guru, tahun pertama dan kedua menjadi guru, berulang-alik ke sekolah menaiki motorsikal Honda C70 lampu bulat. Dan kawan-kawan guru yang lain ada juga memikili motorsikal Yamaha asap berbunga. Masuk tahun ketiga barulah merasa memandu, itupun Datsun 120y atau orang kampung panggil datsun tonggek dan datsun kotak. Kereta itu kalau sewa beli bayar RM120 sebulan. Yang secondhand lah..
Pada waktu itu kami yang mampu memiliki kereta biasanya beli yang secondhand sahaja. Petang-petang kami berlawan kilatkan Datsun tonggek, Datsun kotak, Toyota ke 30, agak canggih sedikit Toyota LE dan Nissan Sunny 1.3, sambil sakat menyakat sesama sendiri. Itu zaman saya mula menjadi guru.
Kalau zaman saya masih bersekolah dulu, saya ingat lagi ramai guru-guru saya pergi mengajar kayuh basikal tua! Guru Besar saya zaman sekolah rendah dulu, berjalan kaki je ke hulu ke hilir. Biasanya orang-orang kampung yang terjumpa di jalanan akan tumpangkan dia naik motorsikal. Mudah aje nampak hidup dia. Motorsikal popular pada waktu itu ialah Skuter dan ada seorang dua cikgu saya dulu-dulu bermotorsikal Norton yang bunyi meletup-letup. Dan waktu itu kalau ada kereta pula tentulah Peageot 404, Opel Kadet, Volkswegan kura-kura dan Fiat 124. Memang kereta-kereta tersebut menjadi perhatian ramai !
Begitulah kerjaya keguruan, kian berubah. Bergerak laju meninggalkan pengalaman lalu sebagai sejarah untuk dikenang. Dunia semakin maju dan mewah (mengikut nilai manusia) dalam pelbagai bidang tidak terkecuali bidang kerjaya mulia ini.
Namun demikian disebalik pendapatan guru-guru yang semakin besar dan kilauan kereta-kereta baru dan mahal itu, guru-guru setiap masa dan ketika dihadap dan diasak dengan 1001 hal yang perlu diselesaikan....hal-hal kecemerlangan akdemik, dasar-dasar pendidikan yang popular dan tidak popular, moral, ketamadunan bangsa dan kemanusiaan !
Soalnya, dalam kilauan ini, mampukah guru atau guru buntukah atau bagi guru, biasa je !?
BULAN Rejab adalah antara bulan mulia dalam Islam. Kedatangannya disambut meriah oleh umat Islam. Dalam bulan Rejab, tepat pada malam 27 Rejab,terjadi peristiwa yang amat luar biasa lagi bersejarah bagi umat Islam, iaitulah peristiwa Israk Mikraj.
Israk Mikraj yang dialami oleh Nabi Muhammad (saw) dengan jasad dan tubuhnya itu, di samping bagi menghibur dan memantapkan lagi iman baginda, juga adalah iktibar yang harus direnungi setiap Muslim. Banyak hikmah terkandung dalam peristiwa Israk Mikraj yang menggemparkan itu.
Dalam kejadian Israk Mikraj, Nabi (saw) diisrakkan oleh Allah SWT dari Masjidil Haram di Makkah ke Masjidil Aqsa di Palestin dengan mengenderai Buraq bersama Malaikat Jibrail. Kemudian dari Masjidil Aqsa, Nabi (saw) dimikrajkan pula dengan menjelajahi tujuh lapis langit hingga ke Sidratul Muntaha bahkan ke Mustawa. Dalam perjalanan mikraj inilah Nabi dapat melihat banyak tanda kebesaran dan kekuasaan Allah.
Di sana, Nabi (saw) berkesempatan berdialog dengan Allah SWT dan Allah SWT menghadiahkan atau memberi satu bingkisan untuk dibawa pulang oleh Nabi (saw), iaitu perintah sembahyang fardu lima waktu untuk Nabi (saw) dan umatnya.
Sebelum dimikrajkan, baginda sempat bersembahyang sunat bersama Malaikat Jibrail dan ruh ambiya di Masjidil Aqsa yang Allah berkati sekelilingnya. Dari masjid ini, Nabi (saw) terus dimikrajkan iaitu dengan menjelajahi tujuh lapis langit, lalu sampai ke tempat yang tinggi, iaitu Sidratul Muntaha bahkan ke Mustawa. Di sinilah baginda bermunajat dengan Allah, dan Allah memberi hadiah atau satu bingkisan yang besar kepada baginda untuk dibawa pulang, yakni berupa perintah solat lima waktu .
Segala pemandangan dan gambaran yang diperlihatkan kepada Nabi (saw) adalah sesuatu yang wujud dan benar-benar berlaku kepada umat Islam, iaitu umat Nabi Muhammad (saw).
Umat Islam yang benar-benar mempercayai bahawa kiamat itu pasti datang dan setiap perbuatan akan diminta pertanggungjawaban, sewajarnya mengambil iktibar daripada peristiwa Israk Mikraj yang menakjubkan itu. Segala bentuk penyeksaan yang dialami oleh pelbagai kelompok manusia sebagaimana yang disaksikan Rasulullah akan terjadi kepada semua manusia di akhirat nanti, sesuai dengan kejahatan yang dilakukan.
Solat pula adalah satu ibadat yang istimewa dan terpenting. Rasulullah menerimanya secara langsung daripada Allah, sedangkah ibadat puasa, zakat dan haji diwahyukan saja melalui Malaikat Jibrail.
Kesimpulannya, peristiwa Israk dan Mikraj mengandungi lautan hikmah yang harus dikaji dan diteliti secara mendalam, terutama betapa pentingnya solat dalam kehidupan seseorang Muslim. Dengan solat, setiap Muslim dapat berhubung dengan penciptanya lima kali sehari semalam dalam bentuk dialog langsung.
Jika kita jauh tersesat dan banyak melanggar larangan Allah, hentikanlah segera dan kembali melakukan amal soleh dan pekerjaan kebajikan.