Saturday, May 30, 2009

Masalah 3G

Masalah 3G. Apa masalah 3G tu ?

Kajian Bahagian Kawalan Penyakit Kementerian Kesihatan yang dibuat pada tahun 2007 mendapati hampir 20 peratus penduduk dewasa dan 21 peratus kanak-kanak di negara ini mengalami Masalah 3G. Dari kajian tersebut membuktikan bahawa masalah 3G sudah menjadi masalah kesihatan yang semakin serius, justeru langkah-langkah pencegahan perlu dilaksanakan oleh semua pihak.

Kajian itu juga menunjukkan satu juta atau 18.8 peratus wanita berusia 25 hingga 64 tahun adalah gemuk, manakala bagi lelaki, sebanyak 13.9 peratus atau 850,000 orang. Ini bermakna bagi setiap 100 orang di kalangan mereka yang berumur 25 hingga 64 tahun, terdapat 14 orang lelaki yang gemuk sementara bagi wanita pula seramai 19 orang.


Kajian Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) ke atas 12,000 murid sekolah di Semenanjung Malaysia menunjukkan 10.5 peratus daripada mereka berlebihan berat badan dan enam peratus dikategorikan sebagai gemuk.


Kalau dulu mungkin orang yang mengalami masalah 3G ia itu gebu, gempal serta gemuk dikatakan sihat dan sejahtera tetapi kini tidak lagi kerana ia menjurus kepada bahaya dan bencana.


Malaysia merupakan negara rantau Asia Tenggara yang mempunyai masalah kegemukan kedua tertinggi. Pendidikan kesihatan yang betul amat penting kerana kegemukan adalah permulaan untuk mendapat penyakit kronik seperti sakit jantung koronari, diabetes dan strok.


Menurut Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), kegemukan turut meningkatkan risiko mendapat kanser payu dara, kanser kolon, prostat, uterus, buah pinggang dan penyakit pundi hempedu menerusi perubahan hormon akibat kegemukan.


Bagi membendung masalah 3G, dua amalan asas perlu dipatuhi oleh semua terutama kanak-kanak iaitu mengambil makanan berkhasiat mengikut keperluan tubuh dan melakukan aktiviti fizikal mencukupi. Kegemukan tidak berlaku dalam sekelip mata. Penurunan berat badan juga tidak boleh dilakukan dalam tempoh singkat kerana mereka yang mengalami masalah 3G perlu menurunkan berat badan secara sistematik iaitu antara 0.5 hingga satu kilogram seminggu.


Manakala penurunan berat badan yang drastik melalui pengambilan ubat-ubatan tidak diiktiraf oleh Kementerian Kesihatan kerana akan hanya mendatangkan kemudaratan dan seterusnya kematian.


78 kesan pengambilan gula berlebihan

Manis memang disukai ramai orang. Gadis manis dengan enyum manisnya memang menawan. Namun manis juga mampu memudaratkan. Manis gula jika diambil berlebihan sangat membahayakan kesihatan.

Ada pakar kesihatan yang mengatakan gula sebenar tidak diperlukan langsung oleh badan kita. Ini kerana tubuh kita akan menukarkan banyak sumber makanan yang lain kepada glukosa apabila badan memerlukan tenaga.

Terdapa 78 kesan pengambilan gula berlebihan:

01. Melemahkan sistem imunisasi (melawan penyakit)
02. Mengganggu imbangan galian dalam tubuh.
03. Menyebabkan kanak-kanak rasa mengantuk dan mengurangkan kecergasan
04. Menjejaskan pencapaian kanak-kanak dalam pelajaran.
05. Menyebabkan kanak-kanak rasa mengantuk, gelisah dan nakal.
06. Meningkatkan paras trigliserid ( minyak & lemak)
07. Melemahkan daya tahan tubuh terhadap jangkitan bakteria.
08. Merosakkan buah pinggang.
09. Mengurangkan kolesterol yang baik (HDLs)
10. Menggalakkan pertumbuhan kolesterol yang bahaya ( (LDLs)
11. Mengurangkan kromium dalam badan.
12. Mengurangkan kuprum dalam badan.
13. Mengganggu serapan kalsium dan magnesium oleh sistem badan.
14. Menyebabkan kanser payu dara, kanser ovari, kanser prostat dan kanser dubur.
15. Menyebabkan kanser kolon (usus besar) dan wanita amat berisiko tinggi.
16. Faktor kepada kanser pundi hempedu.
17. Meningkatkan tahap glusoka dalam darah dengan cepat.
18. Melemahkan penglihatan.
19. Meningkatkan paras serotonin yang menyempitkan pembuluh darah.
20. Penyebab hipoglisemia.
21. Penyebab perut berasid.
22. Meningkatkan paras adranelin di kalangan kanak-kanak.
23. Meningkatkan risiko penyakit jantung koronori
24. Mempercepatkan proses penuaan, kulit berkedut, uban pada rambut.
25. Membawa kepada ketagihan alkohol.
26. Merosakkan gigi.
27. Penyumbang utama kegemukan.
28. Meningkatkan risiko penyakit crohn dan kolitis berulser.
29. Penyebab bengkak saluran usus di kalangan pesakit gastrik.
30. Penyebab arthritis.
31. Penyebab lelah.
32. Pembentukan batu dalam ginjal.
33. Penyebab jangkitan yis atau kandidiasis.
34. Penyebab pembentukan batu karang dalam hempedu.
35. Penyebab sakit jantung iskemik.
36. Penyebab sakit apendiks.
37. Meransang tanda-tanda multiple sclerosis.
38. Penyebab pendarahan.
39. Penyebab Vena Varikos.
40. Meningkatkan tindak balas glukosa dan insulin kepada pengamal pil cegah hamil.
41. Penyebab sakit gusi.
42. Penyumbang kepada osteoporosis.
43. Penyebab air liur jadi berasid.
44. Penyebab kemerosotan sensitiviti insulin.
45. Penyebab kemerosotan toleransi glukosa.
46. Mengurangkan horman tumbesaran.
47. Meningkatkan kolestrol dalam badan.
48. Meningkatkan tekanan darah sistolik
49. Menyebabkan struktur protein bertukar hingga mengganggu serapan protein oleh tubuh.
50. Penyebab alergi terhadap makanan.
51. Penyumbang kepada penyakit kencing manis.
52. Penyebab keracunan darah semasa hamil.
53. Penyebab akzema kepada kanak-kanak.
54. Penyebab penyakit kardiovaskular.
55. Melemahkan struktur DNA.
56. Penyebab katarak.
57. Penyebab emfisema.
58. Penyebab arteriosclerosis.
59. Penyebab pembentukan radikal bebas dalam aliran darah.
60. Merendahkan kemampuan enzim.
61. Penyebab kehilangan keanjalan tisu serta fungsinya.
62. Penyebab sel hati terbahagi dan ini akan meningkatkan saiz hati.
63. Meningkatkan lemak dalam hati.
64. Membesarkan saiz buah pinggang.
65. Memberi tekanan tinggi kepada pankreas dan akan merosakkannya.
66. Meningkatkan retensi cecair dalam badan.
67. Penyebab sembelit.
68. Penyebab rabun mata.
69. Penyebab lapisan rerambut.
70. Penyebab hipertensi.
71. Penyebab sakit kepala.
72. Mengganggu kemampuana berfikir.
73. Penyebab kemurungan.
74. Meningkatkan tindak balas insulin
75. Penyebab penapaian bakteria dalam usus.
76. Penyebab ketidakseimbangan hormon.
77. Meningkatkan risiko darah beku dalam dalam badan.
78. Meningkatkan risiko sakit alzheimer.

Menyedari keburukan pengambilan gula berlebihan adalah amat wajar kita mengurangkan pengambilannya dalam kehidupan sehariannya. Tanpa gula, kita sebenarnya tidak mengalami masalah dalam kehidupan kita, malah ia ternyata lebih baik untuk kesihatan kita.

Sumber: Siasah 17-23 Mei 2009.
.

Thursday, May 28, 2009

Tingkatan 6 dalam struktur baru


Kesukaran melayari internet di kawasan ini ditambah dengan kesibukan bekerja ke sana ke mari menjadikan blog ini sekali lagi bagaikan terbiar tanpa penulisan-penulisan untuk mengesahkan pengalaman yang pelbagai. Tidak lagi menulis dan mengesahkan pengalaman dan rencah kehidupan bukanlah niat dan tujuan.

Kembali kepada isu pendidikan.

Penstrukturan Tingkatan 6 diharap akan menjadikan Tingkatan 6 bukan lagi laluan transit atau institusi menunggu peluang lain, kepada para pelajar. Diharap ianya akan memberi persaingan yang menarik kepada program matrikulasi dan pra universiti di institusi-institusi pendidikan yang lain.

Nampaknya kami selaku tenaga pengajar Tingkatan 6 akan semakin banyak tugas yang perlu dilakukan sama ada dari segi perancangan pentadbiran, kemahiran keilmuan dan pengajaran. Sistem semester, modul-modul pengajaran, sistem penilaian, pembinaan sahsiah dan aktiviti kokurikulum akan menjadi rencah utama dalam pengurusan Tingkatan 6 yang baru.

Pada waktu ini Tingkatan 6 terutama aliran sains bukan lagi destinasi menarik para pelajar. Hingga ada di antara Kelas Tingkatan 6 yang terpaksa ditutup kerana kesemua pelajar memilih institusi yang lebih menarik dan meyakinkan bagi mencatur masa depan mereka.

Semoga penstrukturan semula Tingkatan 6 ini akan memberi cahaya yang lebih gemilang dan meyakinkan kepada para pelajar yang bakal menduduki Tingkatan 6 nanti. Kelihatan dari perancangan yang sedang bergerak ini, ianya sangat meyakinkan.

Wednesday, May 20, 2009

Cara Pelesit Rempit menyambut hari guru yang bertemakan "Guru Pembina Negara Bangsa"

Dalam suasana sambutan hari guru yang bertemakan "Guru Pembina Negara Bangsa", akhbar Kosmo 19 Mei telah mendedahkan senario yang membimbangkan yang berlaku di Kuantan. Apakah fenomena menggerunkan ini akan terus menghantui pembentukan generasi muda kita yang bakal menjadi pemimpin di masa akan datang.

Soalan paling popular yang sering ditanya orang dalam meneliti fenomena ini sudah pasti siapakah yang bersalah ? Dan soalan kedua yang sering juga dibincang orang ialah tanggungjawab siapakah untuk menyelasaikan masalah ini ?

Buat seketika, ketika isu masih panas mungkin ramai yang menoleh kepada guru. Guru Pembina Negara Bangsa. Itulah guru dalam kebuntuan cara dan pendekatan menerima segara arahan sekadar termampu dalam ruang lingkup yang terhad yang dibenarkan. Apakah lagi yang guru mampu lakukan ? Rotan sekali, dua kali dan tiga kali yang mana budak-budak ini mungkin lebih dahsyat lagi dibelasah oleh mak ayah masing-masing di rumah. Sekadar rotan seorang guru...alah !!

Budak-budak ini mungkin boleh digantung sekolah dan akhirnya dibuang sekolah. Gantung sekolah memang merupakan idaman mereka. Bagaikan diberi cuti ! Jika dibuang sekolah mereka ada hak merayu dan mesti diterima, untuk kemudiannya membuat onar pula di sekolah lain. Pening kepala cikgu !

Pada saya fenomena membimbangkan ini tidak akan selesai dengan mekanisma yang sedia ada. Kita perlu menerima hakikat bahawa penyelesaian berkesan ialah sistem pendidikan di sekolah dan peranan institusi keluarga.

Sistem pendidikan kita sebenarnya masih tidak berkesan dalam membentuk manusia dan kemanusiaan. Fokus sistem kita sebenarnya lari jauh dari pembentukan yang dimaksudkan itu. Sebenarnya ada sesuatu yang lain yang cuba diarah kejar kepada sistem kita, bukan soal pembentukan jati diri manusia dan kemanusiaan.

Faktor kedua ialah kegagalan institusi keluarga lantaran begitu ramai ibubapa terutama bapa, yang tidak mempunyai ilmu keibubapaan di dalam zaman yang penuh cabaran dan dugaan ini. Saya ingin mencadangkan agar pihak kerajaan mewujudkan mata pelajaran keibubapaan dan wajibkan melalui undang-undang sebagaimana undang-undang mewajibkan PLKN kepada para ibubapa terutama bapa untuk hadir ke sekolah bagi mengikuti subjek ini. Jika perkara ini dapat dilaksanakan sudah pasti ibubapa mempunyai ilmu untuk mendidik anak bukan hanya sekadar membela anak mereka seperti membela ayam, itik dan kambing.
Jika kita terus bertindak dengan mekanisma yang ada, fenomena pelesit rempit yang berlaku di Kuantan itu dan yang seumpamanya akan pasti berlaku lagi di mana-mana di negara ini.

Antara 50 amalan terbaik dalam hidup


Sekali-sekala mari kita renungi nasihat-nasihat dan pandangan yang baik demi memperbaiki dan perelokkan kehidupan seharian kita. Berikut adalah antara amalan terbaik dalam hidup.


1. Sesiapa yang berwudhuk saat ingin tidur dan meminta supaya ALLAH berikan kebaikan dunia dan akhirat pasti akan di kabulkan - Tirmizi. Sunat tidur dalam keadaan berwudhuk.


2. Sesiapa yang berselawat tidak kiralah banyak mana hitungannya setiap hari akan dapat keberkatan dalam apa jua dengan syarat ia berusaha mencari keredhaanNya.


3. Sesiapa yang berselawat 41 kali sehari, insyaALLAH, akan dihindarkan daripada sifat tercela seperti hasad dengki, riak dan sebagainya dalam dirinya.


4. Berselawat 33 kali sehari dapat menjernihkan hati , mudah memahami akan sesuatu ilmu yang diajarkan, di samping beroleh ketenangan fikiran.

5. ALLAH akan hapuskan dosa-dosa kecil dengan kita mengamalkan berselawat sebanyak 11 kali tiap kali selesai menunaikan solat fardu.


6. Sewaktu menghadapi hidangan, Nabi Muhamad S.A.W. membiasakan diri dengan mengambil makanan yang terdekat, kemudian baru di ambil hidangan yang lainnya sebagai simbolik kesopanan.


7. Amalkan membaca selawat sebanyak 1000 kali sehari, insyaALLAH akan di kurniakan kebijaksanaan pemikiran. Di samping itu berusahalah untuk menerokai pelbagai ilmu.


8. Sesiapa yang berniat mandi (untuk solat jumaat) kemudian pakai pakaian terbaik & wangian lalu solat jumaat, dosanya akan diampun hingga jumaat berikutnya - Ahmad.


9. Sesiapa yang mengamalkan berselawat 11 kali tiap hari, dengan izin ALLAH dirinya akan lebih dihargai oleh orang lain.


10. Uthman bin Affan riwayatkan bahawa Nabi Muhamad SAW apabila berwudhuk, beliau membasahi janggutnya - Tirmizi.


11. Nabi tidak pernah mencela makanan. Jika baginda suka, dia makan dan sebaliknya beliau tinggalkan - Bukhari.
Apatah lagi jika makanan itu pemberian orang lain.


12. Sahabat meriwayatkan : Aku lihat Nabi Muhamad SAW makan dengan 3 jari (ibu jari telunjuk & tengah) - Muslim. Jarang sekali beliau makan dengan 4 @ 5 jari kecuali ada keperluan.


13. Menurut Sayyid Ahmad Dahlan, sesiapa berselawat walau sekali pada malam jumaat, saat mautnya kelak akan dipermudahkan ALLAH seperti yang dihadapi oleh para nabi.


14. Setiap penyakit ada penawarnya. Bacalah selawat tujuh kali pada air dan minum. InsyaALLAH, perut yang sakit atau memulas akan sembuh.


15. Perbaharui wudhuk tiap kali bersolat kerana padanya terdapat banyak fadhilat. Hadis : Sesiapa yang berwudhuk dalam keadaan suci, ALLAH catatkan 10 kebaikan baginya - Abu Daud.


16. Sesiapa yang mengamalkan membaca selawat tiga kali setiap selepas solat lima waktu akan dihilangkan kebuntuan fikiran dalam menghadapi apa jua masalah.


17. Nabi Muhamad S.A.W sering menghadap kekanan sedikit setelah solat berjemaah supaya makmum dapat melihat wajahnya. Sebaiknya imam berzikir dan doa seketika bersama makmum.


18. Allah akan hapuskan dosa-dosa kecil dengan kita mengamalkan berselawat sebanyak 11 kali tiap kali selesai menunaikan solat fardu.


19. Nabi tidak makan sambil bersandar - Bukhari. Ertinya, baginda makan dengan duduk condong sedikit ke hadapan bagi elakkan dirinya terlalu kenyang & mudahkan penghadaman.


20. Menurut Syihab Ahmad, sesiapa berselawat tiga kali tiap selesai solat subuh, Maghrib dan isya ALLAH akan menghindarkannya daripada sebarang bencana.


21. Nabi Muhamad S.A.W. sering beristinsyaq air kedalam hidung dan menghembuskannya. Selain membersihkan, ia juga mengelakkan sebarang penyakit yang berkaitan dengan hidung.


22. Setelah bersolat Nabi Muhamad S.A.W. memohon ampun (astagfirullahalaziim) tiga kali- Muslim. Dalam riwayat yang lain, Nabi adakalanya beristighfar 75 kali sehari.


23. Sesiapa yang amalkan berselawat sebanyak 1000 kali tiap hari, ALLAH akan memeliharanya daripada sebarang ancaman musuh serta bahaya fitnah..


24. Apabila Nabi Muhamad S.A.W. tidur, ia dahulukan mengiring sebelah kanan - Bukhari. Dari segi kesihatan, cara berkenaan baik untuk jantung (yang berada di kiri badan) mengepam darah.


25. Amalan berselawat secara teratur setiap hari mampu membersihkan kekeruhan jiwa, dipermudahkan ALLAH segala urusan dan mendapat keampunan daripadaNYA.


26. Ketika Nabi Muhamad S.A.W. tidur, ia membaca surah Al-Ikhlas, Al-Falaq dan An-Naas lalu meniup telapak tangan serta menyapu keseluruh tubuh) mohon perlindunganNYA) - Bukhari.


27. Membaca selawat 10 kali pada setiap waktu pagi dan petang akan memperolehi keredhaan serta dijauhkan diri daripada mendapat kemurkaan ALLAH.


28. Wudhuk dahulu jika ingin tidur sekalipun dalam keadaan junub. Nabi menyarankan, cukup dengan bersihkan kemaluan dan berwudhuk tanpa perlu mandi wajib jika ingin tidur.


29. Munurut As-Shawi, sesiapa yang membaca selawat secara rutin, akan terpelihara hatinya daripada gangguan serta tipu daya Syaitan yang melalaikan.


30. Silangkan kaki jika tidur di masjid. Hadis : Sahabat melihatNabi berbaring di masjid dengan satu kakinya atas kaki yang lain (kerana bimbang terdedah aurat) - Bukhari.


31. Sesiapa yang membaca selawat sebanyak tujuh kali selama tujuh Jumaat berturut-turut, ia bakal mendapat syafaat (pertolongan) daripada baginda SAW.


32. Adakalanya Nabi Muhamad S.A.W amat menyukai doa-doa yang ringkas (mudah) - Abu Daud. Baginda mementingkan kualiti doa itu sendiri dengan sedikit tetapi maknanya yang menyeluruh.


33. Menurut Al-Hafiz Dimyati , sesiapa yang berhajat menemui Nabi Muhamad S.A.W dalam mimpinya maka amalkan membaca selawat sebanyak 70 kali sehari.


34. Setelah bersolat Nabi Muhamad S.A.W. mohon ampun (astagfirullahalaziim) tiga kali ? - Muslim. Dalam riwayat yang lain, Nabi adakalanya beristighfar 75 kali sehari.


35. Nabi Muhamad S.A.W. seorang yang berpsikologi dalam memberi nasihat. Nabi memilih waktu yang sesuai untuk menasihati sahabat supaya mereka tidak bosan (atau tersinggung) - Bukhari.


36. Ada riwayat yang menyatakan bahawa amalan berselawat 80 kali tiap selepas solat asar pada hari jumaat, insyaALLAH akan dihapuskan dosa-dosa kecil seseorang .


37. Menutup mulut dan rendahkan suara tika bersin. Hadis : Apabila Nabi bersin, beliau letakkan tangan atau pakaiannya dimulut (kerana dibimbangi terpercik) - Abu Daud.


38. Jiwa yang gelisah dapat ditenangkan dengan zikir, termasuklah berselawat sekerap yang mungkin kerana ALLAH itu Maha Luas rahmatNya.


39. Sabda Nabi Muhamad S.A.W: Barangsiapa yang berselawat kepadaku sebanyak 100 kali pada hari jumaat, maka ia akan datang pada hari kiamat dengan keadaan bercahaya - Abu Naim.


40. Nabi tidak pernah menolak hadiah. Hadis : nabi selalu terima hadiah & amat menghargainya - Bukhari.


41. Sesiapa yang seri ng mengamalkan berselawat pada setiap hari, ALLAH akan bukakan pintu rahmat dan rezeki yang tidak disangka-sangka baginya.


42. Selalu memilih yang lebih mudah. Hadis : Mudahkan sesuatu & jangan kamu sukarkannya - Muttafaq Alaih.


43. Berdiri apabila melihat iringan jenazah. Hadis : Apabila kamu sekalian melihat jenazah (yang diusung), maka berdirilah (sebagai tanda penghormatan) - Muttafaq Alaih.


44. Ulamak berpendapat, sesiapa yang amalkan selawat saban hari tidak kira berapa hitungannya, InsyaALLAH dihindarkan daripada taun & wabak penyakit berbahaya yang lain.


45. Bersujud syukur jika dapat khabar gembira. Nabi seri ng melakukannya ketika beroleh khabar yang menyenangkan sebagai tanda syukur hamba terhadap ALLAH - Abu daud.


46. Membaca selawat 1,000 kali selepas Solat Hajat dua rakaat mampu menghilangkan keresahan, rasa dukacita serta dikabulkan ALLAH akan hajatnya.


47. Beri salam hingga tiga kali sahaja. Bahawasanya Nabi (apabila mendatangi rumah sahabat) beri salam hingga 3 kali - Bukhari. Jika salamnya tidak berjawab, beliau beredar.


48. Menurut para ulamak, sesiapa yang inginkan saat kematiannya dalam kesudahan yang baik, maka berselawatlah sebanyak 10 kali setiap selesai solat Maghrib.


49. Melakukan pekerjaan rumah. Hadis : Bantuan terhadap isterimu itu adalah sedekah - Ad-Dailami.


50. Para ulama berpendapat, ALLAH sempurnakan hajat yang baik dengan senantiasa berselawat 40 hingga 100 kali setiap hari, diikuti dengan usaha yang berterusan.

Monday, May 18, 2009

Guru Pembina Negara Bangsa...Guru Pembina Negara Bangsa


Mulai malam 16 Mei berjujukan sms mengucapkan Selamat Hari Guru masuk ke kotak mesej henfon saya. 67 mesej ucapan hari guru saya terima dari para pelajar yang sedang belajar, bekas pelajar, para ibubapa dan rakanrakan sejawat guru sendiri.

Berbagai kata-kata bermadah yang terakam. Semuanya menyanjung dan mengucapkan terima kasih cikgu. Ada yang sempat saya balas ada yang tidak mampu untuk saya membalasnya kembali. Terima kasih semua yang mengirim dan mengingati.

Begitu ramai yang menghantar sms menjadikan saya mudah mengingati tema tahun ini; Guru Pembina Negara Bangsa.

Setiap hari saya berulang pergi balik ke sekolah sejauh 30 km satu hala. Sepanjang perjalanan saya menemui pelbagai senario yang telah terbina selama ini sama ada kita sedar atau pura-pura tidak sedar. Paling ketara mat-mat motor. Waktu petang mat-mat motor yang masih bersekolah ini tidak kenal siapa, merempit dan mewilly begitu pakar sekali. Bahaya kemalangan bukan perkiraan pemikiran mereka.

Mat-mat rokok tak usah kira, dengan baju sekolah serebehnya, seluar cawat singkatnya, merokok tanpa masalah. Masih bersekolah Tingkatan dua, tiga, empat dan lima, bibir hitam dan gigi berkarat kerana rokok. Ini semua imej biasa sekarang !

Mat-mat dadah memang sudah bersepah !

Manakala mat-mat biang dan minah-minah galak sering juga terserempak kelihatan melakukan adegan terkinja-kinja di pondok-pondok menunggu bas di tepi jalan. Minah galak pegang tangan mat biang, mat biang pegang tangan gebu minat galak....masya Allah....ah adegan ini biasa ape !? Bertempuk bertampar sambil berjalan...ah itu lagi biaseee. Tak ada apa-apa !

Memang biasa, tapi mata dan hati yang melihat pedih dan sakiiit !

Semua mamat-mamat dan minah-minah tersebut membuatkan saya termenung memikirkan tema hari guru tahun ini; Guru Pembina Negara Bangsa.

Guru Pembina Negara Bangsa ? Guru Pembina Negara Bangsa ?

Beratnya....anak-anak bangsaku sedang menderita ! Negara bangsa yang macam manakah yang akan lahir nanti ?

Guru Pembina Negara Bangsa.

Tuesday, May 12, 2009

Aku dah nak bertunang !

Dalam perjalanan pulang dari Kuantan saya singgah di masjid bandar Pekan untuk bersolat. Sebaik memberhentikan kereta di salah satu petak pakir yang disediakan di tepi masjid, henfon saya berlagu kerana ada panggilan masuk. Saya mengambil henfon dan melihat nombor yang tertera.

Dalam hati saya tertanya-tanya apakah mimpi budak ini menefon saya? Rasanya sudah dua tahun saya tidak mendengar hal cerita dirinya semenjak dia menamatkan persekolahannya di tempat saya mengajar sekarang. Saya menjawab panggilannya dengan bertanya apa mimpi dia? Dia kata tak ada apa-apa cuma saja nak telefon sir, nak bertanya khabar. Kalau begitu bagusnya budak ini, kata hati saya.

Antara yakin dengan tidak dengan penjelasannya saya melayan beberapa pertanyaan awalnya tentang kesihatan dan keadaan saya. Apabila saya menanya tentang dirinya, barulah dia memberitahu hal yang sebenar bahawa dia ada sesuatu yang hendak dibincangkan dengan saya. Suspen juga saya. Dia di Kelang saya di Pekan, nak berbincang hal penting dalam keadaan dua tahun tidak pernah berjumpa !

Saya tidak sabar dengan segera bertanya apakah hal penting yang hendak di bincangkan.

"Sir, ada orang hendak meminang saya macam mana ?", tanyanya macam panik.

Laa...itu masalah rupanya. Saya ingatkan masalah besar benar, macam masalah di Perak ke? Rupanya masalah orang hendak meminang dia ! Budak-budak!

Selamba saya menjawab, " Dah...terima je lah!".

"Tapi sir, saya baru jumpa dia sekali. Dia dah jumpa mak ayah saya banyak kali. Dia dah pikat mak ayah saya. Mak ayah saya dah suka kat dia". ulasnya.

"Okaylah tu, mak ayah dah berkenan, eloklah tu... terima je !".

" Tapi dia tipu saya!", katanya tak puas hati.

"Tipu apa pulak?", tanya saya ingin tahu.

"Dia anak Datuk, dia kata dia bukan anak Datuk, boleh ke sir kita terima orang yang menipu macam tu?"

Nak tergelak saya. "Baguslah dia anak Datuk dia kata dia bukan anak Datuk. Merendah diri orangnya. Tentu baik budak tu! Yang menjadi masalah jika dia bukan anak Datuk tapi dia cakap dia anak Datuk !", uji saya.

"Tapi sir umur dia 31 tahun saya baru 20," katanya macam tak puas hati.

Geram betul aku budak ni. " Okaylah dia 31, saya 48 mana satu yang awak nak !", saya mengacah.

"Ergrrr..... Okaylah sir, dia call saya ni, kami nak pergi beli cincin. Nanti majlis besar hujung tahun nanti saya jemput sir", jawabnya tergesa-gesa.

Astagfirullah....dah sampai peringkat nak pergi beli cincin dah ?

Saja nak ceritalah tu.... "aku dah nak bertunang !"

Saturday, May 09, 2009

Selamat Hari Ibu


Rasanya belum terlambat untuk diucapkan Selamat hari Ibu kepada semua para ibu. Kepada ibu kepada anak-anak ku, Selamat Hari Ibu. Kepada ibuku yang telah lama pergi mengadap Ilahi, al-fatihah buat ibu.

Benar, hari untuk meraikan seorang yang bergelar ibu bukan hanya satu hari yang diktiraf sebagai hari ibu. Tetapi ibu wajib diraikan setiap masa, setiap ketika dan setiap hari. Pengorbanan seorang ibu...masya Allah, cukup hebat dan begitu besar sekali.

Kepada mereka yang masih ada ibu dan juga kepada yang sudah tidak ada ibu lagi, marilah kita sama-sama menginsafi monolog ini :

Orang kata aku lahir dari perut mak..
(bukan org kata...memang betul)

Bila dahaga, yang susukan aku.... mak
Bila lapar, yang suapkan aku.... mak
Bila keseorangan, yang sentiasa di sampingku.. .. mak
Kata mak, perkataan pertama yang aku sebut.... Mak
Bila bangun tidur, aku cari.... mak
Bila nangis, orang pertama yang datang .... mak
Bila nak bermanja, aku dekati.... mak
Bila nak bergesel, aku duduk sebelah.... mak
Bila sedih, yang boleh memujukku hanya.... mak
Bila nakal, yang memarahi aku.... mak
Bila merajuk, yang memujukku cuma.... mak
Bila melakukan kesalahan, yang paling cepat marah.... mak
Bila takut, yang tenangkan aku.... mak
Bila nak peluk, yang aku suka peluk.... mak
Aku selalu teringatkan .... mak
Bila sedih, aku mesti talipon.... mak
Bila seronok, orang pertama aku nak beritahu..... mak
Bila bengang.. aku suka luah pada.. mak
Bila takut, aku selalu panggil... "mmaaakkkk! "
Bila sakit, orang paling risau adalah.... mak
Bila nak exam, orang paling sibuk juga.... mak
Bila buat hal, yang marah aku dulu.... mak
Bila ada masalah, yang paling risau....
mak
Yang masih peluk dan cium aku sampai hari ni.. mak
Yang selalu masak makanan kegemaranku.... mak
kalau balik ke kampung, yang selalu bekalkan ulam & lauk pauk..... mak
Yang selalu simpan dan kemaskan barang-barang aku.... mak
Yang selalu berleter kat aku... mak
Yang selalu puji aku.... mak
Yang selalu nasihat aku.... mak
Bila nak kahwin..Orang pertama aku tunjuk dan rujuk..... mak

Aku ada pasangan hidup sendiri....

Bila seronok, aku cari....pasanganku
Bila sedih, aku cari.... mak

Bila berjaya, aku ceritakan pada....pasanganku
Bila gagal, aku ceritakan pada.... mak

Bila bahagia, aku peluk erat....pasanganku
Bila berduka, aku peluk erat..... emakku

Bila nak bercuti, aku bawa....pasanganku
Bila sibuk, aku hantar anak ke rumah.... mak

Bila sambut valentine.. Aku bagi hadiah pada pasanganku
Bila sambut hari ibu...aku cuma dapat ucapkan “Selamat Hari Ibu”

Selalu.. aku ingat pasanganku
Selalu.. mak ingat kat aku

Bila-bila... aku akan talipon pasanganku
Entah bila... aku nak talipon mak

Selalu...aku belikan hadiah untuk pasanganku
Entah bila... aku nak belikan hadiah untuk emak

Renungkan:
"Kalau kau sudah habis belajar dan berkerja... bolehkah kau kirim wang untuk mak?
mak bukan nak banyak... limapuluh ringgit sebulan pun cukuplah".
Berderai air mata jika kita mendengarnya........

Tapi kalau mak sudah tiada..... .....
MAKKKKK...RINDU MAK.... RINDU SANGAT....

Bila ibu semakin tua:

Berapa ramai yang sanggup menyuapkan ibunya....
berapa ramai yang sanggup mencuci muntah ibunya.....
berapa ramai yang sanggup mengantikan lampin ibunya.....
berapa ramai yang sanggup membersihkan najis ibunya.......
berapa ramai yang sanggup membuang ulat dan membersihkan luka kudis ibunya....
berapa ramai yang sanggup berhenti kerja untuk menjaga ibunya.....

Di saat penghurmatan terakhir kepada sekujur jasad ibu:

berapa ramai yang sembahyang JENAZAH ibunya......


Renungan kepada sebuah senario:


Seorang anak mendapatkan ibunya yang sedang sibuk menyediakan makan malam di dapur lalu menghulurkan sekeping kertas yang bertulis sesuatu. Si ibu segera mengesatkan tangan di apron menyambut kertas yang dihulurkan oleh si anak lalu membacanya.Kos upah membantu ibu:

1) Tolong pergi kedai : RM4.00
2) Tolong jaga adik : RM4..00
3) Tolong buang sampah : RM1.00
4) Tolong kemas bilik : RM2.00
5) Tolong siram bunga : RM3.00
6) Tolong sapu sampah : RM3.00
Jumlah : RM17.00

Selesai membaca, si ibu tersenyum memandang si anak sambil sesuatu berlegar-legar si mindanya. Si ibu mencapai sebatang pen dan menulis sesuatu di belakang kertas yang sama.

1) Kos mengandungkanmu selama 9 bulan - PERCUMA
2) Kos berjaga malam kerana menjagamu - PERCUMA
3) Kos air mata yang menitis keranamu - PERCUMA
4) Kos kerunsingan kerana bimbangkanmu - PERCUMA
5) Kos menyediakan makan minum, pakaian, dan keperluanmu -PERCUMA
Jumlah Keseluruhan Nilai Kasihku - PERCUMA

Air mata si anak berlinang setelah membaca apa yang dituliskan oleh siibu. Si anak menatap wajah ibu,memeluknya dan berkata,

"Saya Sayangkan Ibu".
Kemudian si anak mengambil pen dan menulis "Telah Dibayar" pada mukasurat yang sama ditulisnya.


Kepada anak-anakku sayangilah ibumu, kasihanilah dia sepanjang masa dan ingatlah dia setiap ketika.

Jom kita sayang ibu !

Friday, May 08, 2009

Patriotisme di kalangan segelintir generasi muda ?

Saya tertarik kepada komen yang ditulis oleh Simantanguru kepada satu entry terbaru saya. Kupasan dan ulasannya menarik dan saya suka memuatkan kembali komen itu sebagai enrty terbaru untuk blog ini.

mantan said...

Sir,
Ini entri yang sangat menarik. Mencetus pelbagai tanggapan dalam minda.

Si pelajar itu barangkali ingin peraga identiti diri. Dia sedang 'mencari' dirinya yang 'hilang' atau belum menemui dirinya. Dan itu datang drp kefahamannya (yg setakat itulah). Dia tahu apa makna patriotisme(kepada negara), tapi tiada penghayatan dan amalannya.

Kalaulah fesyen penampilan itu (mungkin fesyen ala punk) dianggap bersemangat patriot, kacau jadinya jika ramai remaja penghuni negara tercinta ini yg mempunyai tanggapan demikian. Atau dia tidak fikirpun, penampilannya itu ada kaitan dengan semangat patriotisme.
Atau dia juga tidak tahu bagaimana cara berpakaian yang disesuaikan semangat patriotisme itu. Demikianlah tahap pemikirannya.

Harap-harap penampilannya itu hanyalah sesuatu yang trendy (yg dia syok sendiri dan bersifat sementara) dan tidak mempengaruhi orang lain.

(Semalam saya tonton berita di tv - pembaca beritanya memperaga fesyen rambut macam ekor itik! - trend baru peraga rambut)

Dalam pendidikan formal di negara kita, banyak perkara yang penting yang menjadi fokus pendidikan, diabaikan.

Sebab itu warga malaysia kini ramai memprotes dalam pelbagai keadaan dan situasi. Ramai yang tidak "dapat berfikir dengan baik". Ini tidak disedari.Bagi saya, puncanya iah pendidikan yang kehilangan rohnya.

May 8, 2009 9:51 AM


Thursday, May 07, 2009

Bertuah negara tercinta ini !

Dalam minggu ini saya sibuk berulang-alik ke sebuah IPTS kerana ada tugas yang perlu saya lakukan di IPTS tersebut. Sewaktu rehat, sambil minum di kiosk kampus itu, saya sempat bersembang dengan seorang pelajar IPTS tersebut. Berbagai perkara yang kami sembangkan khusus mengenai suasana kehidupandan pembelajaran dan kursus di situ.

Saya tertarik untuk bersembang dengan pelajar ini kerana saya tertarik dengan penampilannya yang bagi saya ada sesuatu yang saya hendak tahu darinya yang berpenampilan begitu. Orangya tinggi lampai lebih tinggi dari saya. Kurus. Memakai seluar jeans hitam bertali pinggang kepala besar, sebesar tapak tangan orang dewasa. Tertulis perkataan "BOSS" pada tali pinggang tersebut. Saya tidak pasti budak ini betul-betul boss atau hanya tulisan itu saja-saja saja !

Rambut pemuda ini panjang berbentuk trojan dari depan sampai belakang! Side-burn nya panjang dan tajam ke bawah. Berantai dan bergelang. Saya tengok memang serabut. Pelajar IPTS tu !!

Dalam sembang kami, antara soalan yang saya duga pelajar ini ialah, "apakah yang saudara faham tentang "Patriotisme" ?"

Selamba dia menjawab sambil berfikir, " Patriotisme....patriotisme bagi saya apa-apa yang saya lakukan untuk menunjukkan rasa cinta kita kepada negara ".

"Saudara ada patriotisme ?" tanya saya sambil merenung wajahnya yang bagaikan lembaga yang tergambar pada bungkusan sabun cap trojen itu ! Saya juga bertanya kerana kata-katanya, "apa-apa yang saya lakukan untuk menunjukkan rasa cinta kepada negara"! Agak saya dia berpenampilan begitu kerana itulah manifestasi rasa cintanya kepada Malaysia !

"Ada...ada ! Sebagai student universiti semangat patriotisme perlu ada dalam jiwa kita. Ini negara kita, kita perlu mencintai negara ini." tegasnya bersemangat.

Terpegun saya melihat seorang pelajar yang penampilan sebegitu rupa (seluar jeans cawat singkat, tali pinggang kepala besar, berambut kusut masai berala trojen, berantai leher dan bergelang), mengakui mempunyai semangat patriotisme yang kuat kepada negara !

Tidak salah !!! Bertuahnya negara tercinta ini !!

Monday, May 04, 2009

Di mana silapnya atau...... !


Di sebuah hentian tepi jalan saya singgah membeli sedikit jajan untuk bekal memandu bagi mengelak mengantuk. Saya bertembung dengan sekumpulan remaja bermotor kapcai semuanya. Saya senyum ke arah mereka. Dan mereka membalas senyuman saya.

"Assalamualaikum, apa khabar semua ?" tanya saya.

"Waalaikumussalam, sihat pakcik", jawab mereka.

"Nak ke mana ni ramai-ramai," tanya saya.

"Ronda-ronda pakcik, bagi heat sikit !", jawan salah seorang dari mereka. Saya tak tahu yang dimaksudkan tu heat atau hit.

"Enjoy juga meronda ya ?", tanya saya.

"Seronok pakcik, dapat merempit ni rasa macam merdeka, rasa dunia ni macam kita yang punya, itu yang syok itu pak cik", jawab salah seorang dari mereka kepada saya.

"Okaylah pakcik minta diri dulu, hati-hati di jalan raya dan jaga diri baik-baik," nasihat saya kepada mereka.

Terfikir kepada saya, itu rupanya erti kemerdekaan kepada mereka. Rugi sungguh kerajaan Malaysia!

Di manakah silapnya anak-anak remaja tadi ?
Atau silap siapa ?
Atau sebenarnya tiada silap apa-apapun?
Biarkan mereka begitu...............?

Saturday, May 02, 2009

Pelajar-pelajar lepasan SPM dan STPM perlu diberikan kemahiran dengan kadar segera bukan diploma yang tidak menjamin sebarang pekerjaan !


Hari semalam hari pekerja. Hari ini hari pekerja masih diraikan. Namun kian ramai para graduan yang keluar tidak setimpal dengan kelulusan yang mereka perolehi. Sampai bila mesti begini?


Masih ramai graduan yang berkelulusan yang berkerja sebagai guru GSTT yang masih tidak pasti masa depan. Bagaimana keadaan mereka apabila tugas mereka ditamatkan nanti. Tidak pasti. Sewaktu bersembang ramai yang mengadu kepada saya akan ketidakpastian masa depan mereka. Saya pun termenung memikirkannya namun apa yang mampu dilakukan. Usia mereka terus meninkat tua !


Saya pelik masih ramai pelajar-pelajar saya, yang memohon kursus-kursus peringkat diploma yang saya yakin tidak akan ada pekerjaan untuk mereka nanti. Contohnya Diploma Psikologi, Diploma Pengurusan Bank, dan pelbagai diploma yang entah apa-apa lagi.


Sepatutnya perkara ini perlu diberhentikan segera. Majoriti calon SPM atau STPM, lebih baik diberi panduan oleh Kementerian Pelajaran Tinggi atau Kementerian Tenaga dan Sumber Manusia agar mereka ini diberi sijil-sijil kemahiran yang lebih berfaedah. Nampaknya tindakan terlalu lambat.


Slogan Satu Malaysia, Rakyat didahulukan, Pencapaian dutamakan harus direalitikan segera. Sekurang-kurangnya sediakan segera kursus-kursus kemahiran dan halakan majoriti mereka ke situ. Jangan biarkan IPTS membuka kursus-kursus diploma yang mengarut yang tidak menjamin kemahiran dan pekerjaan nanti. Anak-anak adalah aset masa depan ibubapa mereka. Bayangkanlah anak-anak muda yang berkelulusan diploma berkerja sebagai jurujual Tunas Manja dan jurujual koperasi sekolah !


Lebih baik anak-anak muda ini diberi kaunseling kerjaya agar mereka diberi kemahiran dan kursus peniagaan, buat keropok, jual air, buat mee kuning, pembuatan makanan, catering, fesyen dan jahitan. Kursus-kursus seperti ini memang ada tetapi tidak dipopularkan kerana masih ramai para pelajar yang menganggap kursus kemahiran hanya untuk mereka yang tidak cerdik sedangkan ia tidak begitu. Zaman kini mereka yang memiliki kemahiran lebih mampu survive berbanding dengan mereka yang tiada kemahiran.


Sebagai contoh saya ada dua orang pelajar. Seorang tamat persekolahan selepas PMR dan terus bekerja. Hari ini telah mampu memiliki jengkaut sendiri dengan pendapatan empat angka. Hal ini diberitahu sendiri oleh beliau kepada saya. Seorang lagi bekas pelajar saya lebih cerdik dari pelajar yang pertama tadi dan memiliki diploma tanpa sebarang kemahiran. Hingga hari ini pelajar ini masih bekerja sebagai jurujual koperasi sekolah !


Diharap pihak yang bertanggungjawab melihat perkara ini dan bertindak segera halakan anak-anak muda kita kepada kursus-kursus kemahiran. Kursus yang memberi Sijil Kemahiran Malaysia 1,2,3,4,5 dan 6 perlu diperkasakan segera jika tidak kita akan terus melahirkan penganggur yang bertaraf diploma dan ijazah atau pemegang diploma dan ijazah yang hanya bekerja yang tidak setaraf dengan kelulusan mereka. Kerja yang entah apa-apa !


Jangan salahkan mereka kerana kitalah yang perlu merancang masa depan mereka. Jika kita salah merancang untuk mereka maka mereka akan syok sendiri dengan perancangan yang salah .


Selamat hari pekerja !

Friday, May 01, 2009

Majlis konvo anak dan kehadiran Ayahku ke rumah

Semalam seharian tidak ada di rumah. Pukul lapan pagi sudah berada di Polisas Kuantan kerana menghadiri Konvokesyen anak kedua yang kini sedang melanjut pelajarannya di UPSI Tanjung Malim. Kelihatan ramai ibubapa yang hadir. Semua kelihatan gembira melihat kejayaan anak-anak. Anak-anaklah harta mereka dunia dan akhirat. Justru itu kejayaan anak-anak perlu dipastikan.

Saya tertarik mengenai graduan terbaik Polisas Kuantan. Seorang anak muda yang selepas sekolah menengah rendahnya bermula dengan kursus singkat di Pusat Giat Mara yang seringkali dianggap ramai sebagai tempat pelajar keciciran pelajaran. Kemudian beliau melanjutkan pelajaran di Institut Latihan Perindustrian dan dari situlah anak muda ini menyambung pelajarannya di Politeknik Sultan Haji Ahmad Shah Kuantan.

Kesimpulan dari apa yang dipaparkan mengenai graduan cemerlang ini ialah persoalan sikap. Jika sikap seseorang anak muda itu betul terhadap masa depan dan ilmu, maka kejayaan adalah pasti buat dirinya.



Sebaik sampai di rumah, saya dan isteri menerima kehadiran tetamu yang tidak disangka. YM Tengku Adnan (Blogger Ayahku) yang hadir bersama Cikgu Yusuf Mohamad, Guru Besar SK Kg Aur. YM Tengku adalah rakan sekelas isteri saya sewaktu belajar di IAB dan di UPSI. Itulah perkenalan pertama saya dengan YM Tengku seorang yang kelihatan tenang, sporting dan sangat ramah orangnya. Terima kasih YM Tengku kerana hadir ke teratak kami. Oleh kerana kehadiran itu agak mengejut maka kami tak sempat hidangkan apa-apa cuma kopi istimewa hadiah Cikgu Yusuf Sipan, Guru Besar SK Pinang Seribu yang masih ada sedikit lagi.