Sepanjang seminggu yang lalu, berita yang paling popular baik di corong-corong radio, televisyen mahupun di media cetak ialah selsema babi. Merata-rata selsema babi diperkatakan. Pendek kata perkataan babi...babi...babi...babi...babi....riuh disebut seentero dunia. Bagi masyarakat Melayu kalau sebut babi, kasar bunyinya. Apatah lagi kalau maki kepada orang lain dengan kata, babi ! rasanya kalau tak naik penumbuk, mahu naik penampar !
Itupun apabila disebut selsema babi....selsema babi... terlalu kerap, terasa juga mualnya. Tapi hendak buat macam mana, dah babi memang sedang diserang selsema sekarang ini, mahu tak mahu kena juga sebut; selsema babi !
Namun ada pihak di Amerika Syarikat dan tempat-tempat lain yang saya dah tak ingat di mana telah mencadangkan agar jangan sebut selsema babi. Wah... mereka ni mahu juga membela babi. Mereka kata penyakit selsema babi bukan hanya berasal dari bintang babi tu sahaja ! Lantas mereka mencadangkan nama lain...antaranya mexico flu, South American Flu dan macam-macam. Bertuah babi. Ada juga manusia yang tidak mahu merusakkan imej dan menjatuhkan maruah babi. Bagus sikap manusia-manusia itu !
Tapi dalam pada hendak mempertahankan reputasi dan maruah babi, bersepah di sana sini maruah manusia diinjak-injak...contohnya di Palestin, Iraq, Afghanistan dan sebagainya.
Sehingga hari ini WHO dilaporkan tidak berhasrat menukar nama selesema babi kepada nama lain. Biarlah dengan nama itu katanya !
Mengikut laporan berita hari ini selsema babi sudah di berada di tahap 5 kerana sudah merebak keluar dari Mexico. Terdengar di telinga saya tadi antara negara yang yang telah dijenguk selsema babi ialah Israel. Spontan isteri saya menggesa..."hah...biar banyak selesema babi serang Israel tu ! Padan muka !" Kuat juga semangat intifadhah isteri saya.
Memikirkan tentang apa yang berlaku di atas dunia hari ini terasa gerun dihati. Di sana sini manusia masih berbunuh-bunuhan, peperangan, rompakan, penculikan dan seumpamanya. Perkara keselamatan menjadi isu utama. Cabul dan rogol berlaku di mana-mana dengan tidak mengenal siapa.
Pergaulan bebas lelaki perempuan tak kira tua dan muda begitu berleluasa. Manusia Islam semakin ramai tidak menunaikan sembahyang lima waktu. Tahunya bekerja untuk menjadi berwang siang dan malam.
Pendidikan anak-anak kian terserahkan kepada Astro. Terpulang kepada Astrolah bagaimana menjadikan mereka. Mak ayah semakin sibuk menjayakan kemajuan negara.
Anak-anak haram ditinggal merata-rata bukan lagi perkara pelik dan anih. Pecah amanah dan rasuah bukan lagi menjadi kesalahan yang berdosa malah telah menjadi perbuatan "ah...biasalah...!". Mat rempit tidak pernah kurang, menjadi ramai ...ya. Bermula dengan rokok akhirnya ketagih dadah telah menjadi lumrah. Cikgu tegur pelajar hisap rokok, ada ibubapa kata tak apalah sekadar rokok ajelah !
Kini pandang kiri, pandang kanan, atas dan bawah macam-macam hal berlaku dan terjadi. Cukup mengecutkan rasa hati.
Padanlah dulu ribut gred di Sabah menghentam. Tsunami membaham dan membenam. Bukit Antarabangsa tersembam. Gempa bumi membunuh dan mencedera puluhan juta manusia tidak pernah menginsafkan. HIV Aid tidak pernah selesai-selesai.
Dulu terkejut kita dengan Virus Nipah dan kemudian JE. Kini babi lagi.....Babi yang selesema nampaknya manusia kian merana. Selesema babi menyerang dunia!
Dan apakah jika manusia tidak sedar-sedar lagi, tidak mahu kembali kepada Islam yang syumul, bukan lagi selesema babi, gila babi atau babi gila pula akan menyerang ? Na'uzubillah !
Petikan dari Malaysiakini:
Kesemua penternak di 797 ladang babi di seluruh negara wajib melaporkan segera kepada Jabatan Perkhidmatan Veterinar jika ternakan mereka mengalami sebarang perubahan kesihatan.
Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani Datuk Noh Omar berkata laporan juga boleh dibuat kepada Pusat Kawalan Penyakit Haiwan jika penternak mengesan babi ternakan mereka mengalami batuk, berhinggus, bersin atau tidak mahu makan.
"Laporan boleh dibuat kepada JPV terdekat atau Pusat Kawalan Penyakit Haiwan melalui nombor telefon 03-887002041 atau SMS ke nombor 32255," katanya kepada pemberita di Putrajaya hari ini, lapor Bernama.
Beliau berkata selain melaporkan perubahan kesihatan ternakan, penternak juga wajib melaporkan jika mendapati pekerja mereka mempunyai simptom batuk, demam dan sakit badan.
Noh berkata pasukan tindakan pantas diletakkan dalam keadaan siap sedia dan akan digerakkan ke setiap negeri apabila keadaan memerlukan dan JPV pula diarah memantau ladang babi berskala besar dan kecil.
Beliau berkata kementerian akan bekerjasama dengan Kementerian Kesihatan bagi menangani wabak itu dan kaedah yang digunakan bagi menangani wabak itu
adalah sama seperti yang digunakan ketika menangani wabak selesema burung.
Noh berkata orang ramai bagaimanapun tidak perlu bimbang kerana belum ada kes yang dikesan di negara ini dan tiada haiwan atau produk haiwan yang diimport dari Mexico.
Sementara itu, Jabatan Perkhidmatan Veterinar Pulau Pinang akan mengadakan pemeriksaan dan pengambilan sampel di 200 ladang ternakan babi di negeri ini untuk memastikan ternakan itu bebas daripada jangkitan selesema babi.
Pengerusi Jawatankuasa Pertanian dan Industri Asas Tani, Pembangunan Luar Bandar dan Tebatan Banjir Negeri Law Choo Kiang berkata pemeriksaan akan dilakukan secepat mungkin bagi memastikan tidak berlaku selesema babi di negeri ini.
Bercakap kepada pemberita di Dewan Undangan Negeri, beliau berkata penternak juga diminta mengambil langkah berjaga-jaga dengan memastikan ternakan mereka sihat.
Katanya penternak juga perlu memaklumkan kepada Jabatan Perkhidmatan Veterinar sekiranya terdapat tanda-tanda ternakan mereka terkena penyakit selesema babi dan mengasingkan ternakan itu dengan segera.
"Terdapat kira-kira 300,000 ekor babi di negeri ini dan penternak diingatkan supaya memberikan kerjasama dan mematuhi arahan yang dikeluarkan oleh pihak berkuasa," katanya.
Bagaimanapun, tiada babi atau manusia yang dikesan dijangkiti penyakit selesema babi di negeri ini, katanya.
(Saya tertarik untuk memuat rencana dibawah yang saya ambil dari blog Fudzail; http://1426.blogspot.com/ untuk kita jadikan renungan bersama. Setelah 52 tahun merdeka anak bangsa kita masih ada yang belum terbela dan berhempas pulas mencari tapak kehidupan. Berjayakah mereka jika begini keadaannya jika kita terus bersikap tidak memikirkan nasib mereka dan tidak cakna ? )
Membaca artikel dibawah dalam Berita Harian hari ini amat menyedihkan. Bangkitlah Melayu....kata Utusan Malaysia dan puak-puak NGO sibuk membuat lapuran polis berkaitan dengan apa saja yang dikatakan menghina Melayu.
Godam: 'Sekolah Kristian, budak Melayu dan pesta buku'
Bersama Salbiah Ani
MINGGU lepas seorang penulis dan juga penerbit yang kini sibuk dengan Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur 2009 di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), meluahkan isi hatinya mengenai nasib malang segelintir pelajar Melayu kelompok marhaen di Kuala Lumpur.
Beliau yang berkesempatan berkunjung ke sekolah mubaligh yang berjiran dengan Masjid Negara dan Ibu Pejabat Bukit Aman, hiba melihat nasib 70 peratus pelajar Melayu yang menimba ilmu di sekolah yang daif fizikal apalagi kemudahan pembelajaran.
Pelajar Melayu di sekolah terbabit, rata-rata di kalangan kelompok marhaen yang terpaksa belajar dalam keadaan panas kerana sekolah masih menggunakan kipas zaman tok kaduk dan memilih sekolah itu hanya kerana ia terletak berhampiran dengan tempat tinggal, bukannya kerana tarafnya sebagai sekolah mubaligh.
“Sedih melihat fizikal sekolah yang daif dan kelihatan buruk sekali kerana tidak ada dana untuk membeli cat bagi menceriakan sekolah, selain kemudahan komputer terbatas kerana mereka mengharapkan ihsan korporat yang sudi menderma dan menerima dengan besar hati meskipun komputer terpakai,” katanya berterus terang ketika bertemu dengan penulis untuk berkongsi maklumat mengenai perkara terbabit.
Beliau juga hiba kerana buku di perpustakaan untuk bacaan pelajar baik sebagai rujukan, bacaan tambahan atau mengisi hobi membaca hanya pada paras ala kadar, sedangkan Kuala Lumpur menjadi lokasi Pesta Buku Kuala Lumpur sejak 28 tahun lalu.
“Inilah akibatnya jika pengagehan kemudahan dilakukan berasaskan sistem kuota tanpa melihat realiti lapangan. Kita memperjudikan masa depan generasi Melayu yang terpinggir kerana kesusahan. Lebih menyedihkan mereka pelajar pusat bandar Kuala Lumpur, tetapi kemudahan seolah-olah berada di kawasan pedalaman seperti di Pos Lejang, Pahang.
“Kita suruh mereka belajar Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris, sedang untuk ke sekolah pun ada kalanya tersangkut kerana tiada duit tambang sehingga terpaksa ponteng. Mereka anak kalangan setinggan dan rumah pangsa di Pantai Dalam. Kedua-dua ibu bapa terpaksa bekerja dengan sesetengahnya melakukan dua pekerjaan.
“Sebahagian besar daripada pelajar ini tidak dapat mengulang kaji di rumah kerana persekitaran yang tidak selesa dan sesetengahnya pula terpaksa membantu ibu menyiapkan juadah untuk berniaga, bagi memastikan perbelanjaan keluarga mencukupi sehingga hujung bulan.
“Bagaimanakah generasi muda ini mahu melepaskan diri daripada kemelut kemiskinan keluarga jika demikian keadaannya?. Mereka bukan tidak cerdik, tetapi dibelenggu kedudukan kewangan yang melarang mereka memilih sekolah dengan kemudahan lebih baik,” ujarnya.
Penulis diberitahu juga diberitahu oleh seorang lagi teman, pelajar Melayu dalam kelompok ini menjadikan Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur sebagai medan lepak dan membelek buku baru khususnya novel, di samping mencari ‘rezeki’ dengan membantu sesetengah pemilik gerai melakukan promosi bagi menarik perhatian pengunjung.
“Sedih melihat dan mengenang nasib mereka. Apa sangat yang dapat saya bantu sebagai individu. Paling tidak sekadar memberi upah ala kadar dan memastikan perut mereka beralas selain masa tidak diisi dengan kegiatan mengarut. Hendaknya mereka tidak berbohong kepada saya,” demikian pengakuan teman ini.
Saya rasa seronok melihat kereta-kereta lama di jalan raya. Tadi sewaktu pulang dari sekolah saya mengekori sebuah Frod Escort yang cukup antik kelihatannya. Seronok saya melihat kereta itu dipandu tenang. Saya sendiri memiliki sebuah Ford Escort seperti itu tahun 1974. Saya membeli ford escort itu dengan harga RM500 dan kemudian menghantar cat Ford Escord tersebut RM2500. Suatu hari ada seorang peminat Ford Escort yang saya tidak kenali datang ke rumah untuk membeli kereta Ford Escort saya. Saya tanya berapa harga dia sanggup beli? Katanya dia sanggup membeli dengan harga RM7000. Masya Allah, mahalnya !
Saya tak jual.
Dia agak kecewa namun dia berpesan kepada saya jika mahu menjual ford escort saya tu, "minta tolong contact saya", katanya sambil menghulur nombor telefonnya.
Kadang-kadang saya terasa geli hati merenung gelagat manusia. Kereta buruk macam itupun hendak dibeli dengan harga setinggi itu. Adakah munasabah ! Tapi hendak buat macam mana dia kata dia memang peminat Ford Escort lama.
Bagi saya pula, tak mungkin saya akan menjual kereta ford tersebut. Itulah satu-satunya kereta lama yang apabila saya memandunya terasa cukup bergaya. Biarlah orang bergaya dengan kereta mahal, saya bergaya dengan Ford Escord lama cukuplah.
Terasa seronok mengekori Ford Escort itu tadi dari belakang sambil berkata sendirian....."begitulah agaknya Ford Escort aku sewaktu aku memandunya di jalan raya!" Fou yoo !
Petang semalam sementara menunggu waktu makan malam saya bersiar-siar di lobby resort ini. Terdapat juga beberapa orang 'orang putih', pelancong barangkali, juga sedang duduk-duduk santai di situ. Saya cuba menghampiri salah seorang dari mereka untuk tujuan bersembang dan berborak kosong.
Namanya Barry dari Kansas Amerika katanya. Banyak juga perkara yang saya bersembang dengan si Barry ini, dari hal perniagaan, politik, peperangan dan macam-macam lagi. Antara yang menarik ialah mengenai bahasa. Kami bersembang tentang bahasa kerana dia bertanya saya kenapa saya berada di resort tersebut ? Saya katakan kami sedang bermesyuarat penyelarasan pemeriksaan MUET Speaking 2009.
Barry adalah seorang yang gemar belajar berbagai bahasa. Dia boleh berbahasa Indonesia maka dia sudah pasti juga oleh berbahasa Malaysia.
Satu soalan yang menggemparkan saya, yang ditanya oleh Barry ialah "Why not Malay learn Mandarin seriously at school. It is a very important language for them in this country"
Dalam hujah ringkas Barry kepada saya, dia memberitahu pada pengalaman dan pemerhatiannya orang-orang Melayu sangat rugi jika tidak pandai berbahasa orang-orang Cina kerana orang-orang Cina Malaysia hanya 'lebih selesa' dengan mereka yang menguasai bahasa Inggeris dan bahasa Cina. Katanya bangsa Cina adalah bangsa yang sangat lincah dan untuk memahami kelincahannya, kamu mesti menguasai bahasanya!
Terkedu seketika saya mendengar hujah Barry. Betulkah begitu atau itu hanya andaian si mat salleh ini sahaja ?
Saya tinggalkan persoalan itu tergantung begitu kerana saya dipanggil oleh kawan saya untuk makan malam dan Barry pun sudah mula bersiap untuk keluar dari ruang lobby mengikut kawan-kawannya yang lain.
Sebelum berpisah sempat saya bertanya Barry. " So, where to now ?".
"To have a "war" with them...!" jawab Barry ringkas dengan gelak kecil sambil melihat ke arah amoi yang sedang berada di kaunter resort. Saya antara faham dengan tidak apa yang Barry maksudkan, dan sempat merungut sendirian, "itulah orang putih nak berperang je kerjanya. Kurang ajar, Cheh!"
Selepas menunaikan solat subuh, sambil termenung di balcony hotel saya merenung jauh ke arah mega-mega merah di permukaan Laut China Selatan. Satu panorama yang menakjubkan. Dalam merenung keindahan alam ciptaan Illahi, terterjah juga sekali sekala gambaran tsunami yang melanda Asia beberapa tahun yang lalu yang mengorbankan beratus ribu jiwa dan nyawa. Kengerian terasa apabila membayangkan hotel ini agak hampir dengan Laut China Selatan yang saujana mata memandang.
Air laut kelihatannya cukup tenang dan linang. Dua tiga orang penghuni hotel kelihatan berjogging. Saya perlu bersiap untuk ke dewan mesyuarat. Mesyuarat penyelarasan pemeriksa MUET Speaking Mei 2009 yang akan bermula pada pukul 8.30 pagi nanti.
Nampaknya selepas berada di Cameron 4 hari, berada pula di sini 3 hari dan selepas seminggu nanti akan keluar lagi dua minggu. Pelajar-pelajar saya mungkin sudah lama tidak melihat muka teacher-nya. Ada juga yang curi-curi sms bertanya, "bila sir akan balik ?". Lama meninggalkan pelajar kerana bertugas cukup meresahkan. Defisit pembelajaran memang berlaku. Hendak diganti waktu yang tertinggal, tidak sempat ganti semuanya. Kadang-kadang terasa hati ini begitu berat dan malas hendak keluar tetapi semua ini tugas penting dan arahan.
Beginilah guru , di sekolah kerja bertimbun, di luar kerja penting untuk PPD, JPN dan KPM. Buat ajelah selagi terdaya.
Bila disebut pisang, ramai yang terbayangkan kera atau monyet. Hinggakan kalau ada orang yang mengaku suka makan pisang, mungkin akan dikatakan, "heh...macam monyet !". Begitulah pisang dengan monyet, sinonim!
Pagi tadi saya makan pisang; pisang goreng ! Isteri saya memang suka goreng pisang, sedapp! Tahukah kita pisang adalah antara buah yang hebat ?
Pisang mengandungi 3 jenis gula semulajadi, sukrosa, fruktosa dan glukosa yang digabungkan dengan gentian. Dan pisang ini memberi tenaga kepada manusia dengan kadar segera dan berterusan.
Pisang merupakan ubat semulajadi kepada banyak penyakit. Mengikut kajian jika dibandingkan dengan buah epal, pisang mempunyai 4 kali ganda kandungan protien, 2 kali karbohidrat, 3 kali fosforus, 5 kali vitamin A dan zat besi serta 2 kali vitamin dan mineral lain.
Antara penyakit yang dapat dirawat dan dicegah dengan memakan pisang termasuklah:
1. Tekanan jiwa - merujuk kepada survey terbaru yang dijalankan oleh MIND terhadap pesakit-pesakit tekanan jiwa, kebanyakan mereka kembali pulih setelah makan pisang. Ini adalah kerana pisang mengandungi tryptophan iaitu sejenis protin yang bertukar kepada serotonin dalam tubuh manusia ytang menyebabkan kita tenang, mengembalikan mood dan secara amnya membuatkan kita berasa gembira.
2. PMS- Vitamin B6 yang terkandung dalam pisang mampu meneutralkan paras glukosa dalam darah yang boleh mengembalikan mood anda.
3. Anemia - Dengan kandungan zat-zat besi yang tinggi, pisang mampu mengawal pertumbuhan hemoglobin dalam darah yang secara tidak langsung membantu dalm kes-kes anemia.
4. Tekanan darah tinggi - Buah tropikal unik ini mengandungi kadar potassium yang tinggi, garam rendah, menjadikannya sempurna untuk menstabilkan tekanan darah.
5. Keletihan - salah satu cara terbaik untuk mengurangkan keletihan ialah dengan membuat minuman pisang susu dicampur madu. Pisang bertindak menyejukkan perut dan dengan bantuan madu dapat membina semula kandungan gula dalam darah yang berkurangan akibat keletihan, manakala susu pula memperbatulkan sistem hidrasi semulajadi.
6. Panas jantung- Pisang mempunyai nkesan anti-asid semulajadi dalam badan. Oleh itu jika mengalami rasa panas di jantung, cuba cari pisang makan, untuk pemulihan terbaik.
7. Demam pagi - Jadikan pisang sebagai snek setiap hari untuk membantu memelihara kadar gula dalam darah untuk mengelakkan demam pagi.
8. Gigitan nyamuk- Sebelum menggunakan krim gigitan serangga, cuba sapukan kawasan bekas gigitan nyamuk dengan lapisan dalam kulit pisang. Ramai yang berjaya mengatasi kegatalan akibat gigitan nyamuk dengan cara ini. Tapi kalau gatal lain tak tahulah pulak kesannya, makin gatal kot!
9. Saraf -Pisang mempunyai kadar vitamin B yang tinggi yang dapat membantu menenangkan sistem saraf anda.
10. Ulser -Pisang amat baik dalam pencegahan ulser kerana ia bersifat lembut dan tidak mencederakan organ dalaman. Ia juga bertindak sebagai peneutral lebihan asid serta mengurangkan kepedihan dengan bertindak menyaluti lapisan dinding perut.
11. Kawalan suhu - Ramai yang percaya bahawa dengan memakan pisang ia dapat menurunkan suhu kedua-dua fizikal dan emosi kepada ibu-ibu mengandung. Di Thailand sebagai contoh, ibu mengandung mengambl pisang untuk memestikan bayi yang dilahirkan menjadi seorang yang penyabar (cool). Jadi kalau rasa nak marah dan emosional, cepat-cepat cari pisang, makan pisang banyak-banyak - mungkin akan menjadi sabar serta merta kot ! Asyik makan pisang je mana nak marah !
12. Ketagihan rokok dan tembakau - Pisang dapat membantu perokok yang ingin berhenti merokok. Vitamin B6, B12, potassium dan magnesium yang terdapat dalam pisang dapat membantu tubuh perokok dalam membaikpulih kesan nikotin terhadap tubuh. Jadi mulai hari ini perokok yang berazam berhenti merokok bawa pisang ke mana-mana untuk membantu anda berhenti merokok...huhuhu...!!
13. Stess - Potassium merupakan bahan mineral vital yang membantu mennormalkan degupan jantung, menghantar oksigen kepada otak dan mengimbangi kandfungan air dalam tubuh. Bila seseorang stress, kadar metabolisma akan naik yang menyebabkan kadar potassium menurun. Keadaan ini dapat diimbangi semula dengan bantuan snek pisang yang tinggi potassium.
14. Strok - Mengikut kajian dalam buku The New England of Medicine, mengambil pisang sebagai diet harian mampu mengurangkan risiko kematian akibat strok sebanyak 40%.
15. Penghadaman - Gentian tinggi menjadikan pisang sebagai diet harian yang mampu membantu menstabilkan tindakan usus kecil dan besar.
16. Kuasa minda - Kajian mendapati 200 pelajar di sebuah sekolah semasa peperiksaan dijalankan, mereka diberi makan pisang untuk sarapan pagi, rehat dan makan tengahari telah membantu para pelajar tersebut menjadi lebih cekap (alert).
17. Seasonal affective disirder (SAD) - Penyakit ini merupakan simptom yang terjadi akibat daripada kurangnya pendedahan kepada cahaya matahari. Pisang dapat membantu pesakit ini kerana ia mengandungi tryptophan semulajadi yang membaikpulihkan mood kita.
18. Obesiti dan tekanan kerja - Kajian di Institut Psikologi di Austria mendapati tekanan kerja menjadi pemangkin kepada pengambilan makanan sepertri coklat dan kerepek. Berdasarkan 5000 pesakit hospital kajian mendapati kebanyakan pesakit obes membuat kerja-kerja tekanan tinggi. Laporan juga menyatakan untuk mengatasi masalah ini, seseorang perlu mengawal kadar gula dalam darah dengan mengambil makanan karbohidrat tinggi setiap 2 jam untuk mengekalkan kadar yang stabil. Jadi makanlah PISANG .
19. Lain-lain penyakit kulit - Pengamal perubatan alternatif berpendapat untuk menghilangkan pelbagai masalah kulit, termasuk jerawat, kudis, parut, kurap dan sebagainya, ambil sekeping kulit pisang, tampalkan sebelah dalam kulit pisang itu pada tempat yang hendak dirawat dengan menggunakan plaster luka biasa ataupun plaster bedah. Tapi awas jangan sampai dihurung semut...nanti lain pulak jadinya !
Empat hari berada di CameronHighland memang berbeza cuacanya dengan Kuala Rompin. Di sana bilik tidur tidak perlu berkipas kerana terasa dinginnya terutama di waktu subuh. Di bilik air terpaksa menggunakan heater untuk mandi, kalau tidak dingin air menggigit hingga ke tulang sum-sum.
Namun demikian ada juga ketikanya tempat yang terkenal dingin di Semenanjung Malaysia ini terasa panas macam Kuala Rompin, cuma tiupan anginnya sahaja sejuk.
Paling tak selesa di Cameron ada ketikanya, kuat juga bau baja tanaman tahi ayam (?), macam juga kebun-kebun sayur di Kuala Rompin. Lalat tak usah kira, galak berterbangan ke sana ke mari terutama kawasan yang berdekatan dengan kebun sayur.
Kebanyakan masa kami berada di SMK Ringlet. Hari pertama sampai Mr Khoo Lai Heng Pengetua SMK Ringlet belanja makan laksa penang, "So delicious". Thank you Mr Khoo. Mr Khoo mencerita banyak pengalamannya semenjak berada di SMK Ringlet. Laman sekolah Mr Khoo cantik banyak bunga yang berwarna-warni.
Cameron Highland, dari segi pemandangan memang cantik. Bergunung ganang dan berbukit bukau. Sejuk mata memandang. Tapi dalam perjalanan terdapat juga kawasan tanah runtuh. Runtuh sana runtuh sini.
Bunga yang berwarna-warni banyak di Cameron. Tapi bila dibawa turun segarnya tidak lama. Entahlah apa yang terjadi bunga-bunga yang disukai benar oleh fizah dan mahana. Pantang nampak bunga, minta ambik dapat bawa balik. Rasanya dah layu !
Paling menarik semasa di jalanraya, pemandu-pemandu di Cameron yang kebanyakan memandu Land Rover buruk kira brutal juga pemanduannya. Di sebalik selekoh kalau ada lori di sebelah sana akan terdengar bunyi,"pon-pon, pon-pon". Kalau dah terdengar bunyi pon-pon tu jangan sekali-kali berada di lorong dia.
Hari terakhir sempat ke ladang strawberry dan ladang teh. Beli jugak sedikit sebagai tanda datang ke Cameron. Sayur-sayur banyak di gerai pinggir jalan. Macam-macam. Seorang nyonya pujuk saya supaya beli keledek. Katanya keledek madu, manis! Semua madu belaka, jagung-jagung madu, jambu madu! Oleh kerana madu maka belilah saya. Sesampai di rumah esok paginya suruh isteri kukuskan (sebab katanya jangan rebus hilang manis), heh...tawo heber! Aku sudah kena...madu punya pasal !
Yang paling sedap yang dinamakan jambu kristal. Macam jambu batu tapi manisnya...kus semangat ! Tapi pelik, saya terjumpa dekat hentian Tapah, warna jambu kristal lain pulak. Macam merah meron ? Kenapa bertukar warna, dicelup ke ? Macam-macam!
Agak pening kepala sewaktu memandu turun ke Tapah. Sepanjang perjalanan saya "serabut "dengan Tuan Haji Jamaluddin. Nampak rebung...sedapnya rebung ! Tuan Haji asyik bercerita sedap rebung je! Tuan Haji singgah tepi jalan nak beli rebung. Turun kereta dengan baju batik mahal, saya turun dengan blazer (sejuk konon...dan demam sikit!), harga rebung terus jadi RM10 tiga ketul kecik ! Tuan Haji puas menawar sampai bunyi bercakap pun macam bunyi orang asli semasa tawar menawar, hanya dapat turun RM2 sahaja. Kurang lagi tak buleh..kata dia. Katanya rebung ni bermusim encik...setahun sekali. Entah ya entah tidak kata hati saya.
Tuan Haji berhenti lagi di pondok jual rebung dihadapan. Kali ini harganya lain pula, seketul yang agak besar, beli lagi! Saya tengok Tuan Haji beli madu, saya pun ikut beli kerana Hajah Zahrah kata bagus untuk rawat batuk. Saya beli untuk rawat batuk sahaja ! Mudah-mudahan batuk saya sembuh. RM25 sebotol. Seorang pelanggan lainyang sama-sama berhenti di situ turut tawar harga madu RM20 tapi tak dapat. Harga tetap RM25. Pandai dia berniaga, tiada tawar menawar !
Dalam kereta, Tuan Haji bersuara, "aku beli je...kalau kena tipu dek asli tu nasiblah".
Sampai hari ini telinga saya masih berdengung kerana turun dari kawasan tanah tinggi. Masuk kelas kepala masih berdengung. Saya tanya pelajar-pelajar nak buat macam mana kepala saya macam ni ? Maizurah cadangkan saya ketuk-ketukkan kepala saya. Teah kata, "isi ayaq dalam telinga". Cadangan Atikah lagi brutal, disuruhnya isi pasir, "payah-payah sangat isi pasir je sir". Masya Allah !
Sewaktu berehat di bilik hotel di Brinchang Cameron Highland sementara menunggu giliran bertugas seterusnya, saya menonton rakaman perlawanan mingguan Premier League di TV. Saya jarang menonton pasukan-pasukan yang bertanding dalam Premier League. Saya tahu pasukan-pasukan yang saya tonton tapi saya tidak kenal siapa pemain-pemainnya kecuali yang sangat terkenal. Berbanding anak-anak saya terutama nina saya adibah, minat sungguh dia dengan pasukan-pasukan dalam Premir League, pemain-pemain dan bermain di posisi mana rasanya banyak dia tahu!
Memang kalau kita memberi fokus kepada permainan yang dipersembahkan, memang menarik. Ralit juga melihat aksi-aksi hebat pemain-pemain pasukan-pasukan yang bermain. Kadang-kadang terasa teruja dan cemas apabila menonton aksi di hadapan pintu gol. Mulut berbunyi silih berganti" Ow...tak masuk!", " Fuuh...cantik betul dia tendang!", macam-macam lagi.
Sambil menonton itu, saya terfikir akan keadaan dan mutu permainan bolasepak negara. Kebetulan pula, selepas itu saya menonton pula rakaman permainan pasukan Harimau Muda. Apalah punya kemahiran dalam keadaan pintu gol terbuka luas pemain Harimau Muda yang sedang menentang PKNS Selangor, tendang bola lambung ke atas palang gol. Punyalah geramnya rasa hati.
Kadang-kadang mahu juga bertanya, apalah yang FAM buat selama ini agaknya? Lahirkan satu pasukan, lembik. Lahirkan pasukan yang lain, lembap. Lahirkan sebuah lagi pasukan, bentat. Pasukan-pasukan yang sebaya dengan kita pada tahun-tahun 70an, 80an dan awal-awal 90an dulu seperti Korea Selatan, Kuwait, Jepun, Iraq, Iran, China,dan Arab Saudi telah meninggalkan pasukan kita begitu jauh sekali. Sayup meninggalkan pasukan kebangsaan Malaysia !
FAM macam 'monopous' idea.Takkanlah selama ini tiada satu perancangan yang konkrit ke arah peningkatan mutu bolasepak negara. Kalau ada projek-projek pembangunan bolasepak, takkan setiap projek semua gagal untuk melahirkan pasukan bolasepak bertaraf dunia?
Sebagai peminat bolasepak negara, saya sungguh kecewa dengan keadaan ini. Sudah sekian lama tiada cerita kejayaan. Yang ada ialah FAM denda persatuan-persatuan bolasepak negeri kerana rusuhan luar stadium yang entah apa-apa puncanya.
Satu petang sewaktu bersembang bola di padang sekolah, seorang guru muda yang tidak sempat dengan zaman Mokhtar Dahari dan sebelumnya, memberitahu saya, " Abang li, saya pernah tengok rakaman permainan pasukan Malaysia yang dulu-dulu, hebatlah permainan mereka. Standard sungguh! Saya kagum melihat kemahiran dan stamina mereka, rasa saya jauh tak sama dengan pemain sekarang. Permainan bertaraf antara bangsa, pasukan sekarang bermain bertaraf kampung".
Begitulah telusnya pandangan generasi muda terhadap mutu bolasepak negara. Padankah kita dengan hanya mengikuti kisah "politik" FAM sahaja dan hanya bernostalgia dengan kejayaan lalu? Sampai bila kita akan terus menanti kelahiran Pasukan Bolaseak negara bertaraf dunia? Mungkin kita terpaksa menunggu sehingga kucing bertanduk ?
Kelmarin sebaik habis kelas pada pukul 1.40 petang saya rasa sangat dahaga. Setelah melepaskan pelajar saya pulang, saya bergegas ke kantin sekolah untuk mencari segelas minuman. Saya minum sambil memerhati dari jauh ke arah sekolah dan melihat keletah dan perangai anak-anak murid saya yang masing-masing menuju pulang ke asrama. Macam-macam kelaku terutama pelajar-pelajar kecil Tingkatan Satu dan Dua.
Sedang saya mengamati suasana tersebut kelihatan seorang pelajar perempuan datang ke arah kantin. Dia berjalan cepat dan tunduk-tunduk sahaja. Saya memang kenal pelajar ini, seorang pelajar yang baik akhlaqnya dan sangat pintar orangnya.
Saya menyangka dia hendak membeli di kantin rupa-rupanya dia menuju ke arah saya. Dia bertanya saya, adakah dia mengganggu saya. Tidak jawab saya. Dia bagi tahu dia ada soalan hendak bertanya saya. Saya mempersilakan dia bertanya. Pelajar ini terlalu jarang berjumpa dan bercakap dengan saya secara bersemuka begitu.
"Sir, kenapa saya tidak boleh memandang mata orang lelaki apabila saya bercakap dengan mereka? Saya rasa takut sangat."tanya pelajar tersebut.
Tergamam saya seketika kerana saya tidak sangka itu soalannya. Lagipun siapa saya untuk menjawab soalan seperti itu bagi memuaskan hati pelajar ini. Saya tidak tahu apakah jawapan yang betul dari segi psikologi kerana begitu banyak faktor yang perlu dikaji seperti, sifat pelajar itu, latar belakang sosial dan keluarganya dan macam-macam. Namun demikian saya perlu memberi jawapan.
Setelah puas berfikir, pelahan-lahan saya menjawab, "Apa yang kamu alami ini adalah perkara biasa bagi si gadis seperti kamu. Itu sebenarnya satu sifat yang bagus yang kamu miliki. Insya-Allah dengan anugerah Allah itu kamu akan terpelihara dari sebarang fitnah yang boleh menyusahkan kamu. Allah sayangkan kamu. Masalah kamu ini akan beransur-ansur hilang setelah kamu semakin membesar dan semakin matang apatah lagi jika sekiranya kamu telah berumahtangga nanti. So jangan kamu risau sangat dengan perkara ini okay!".
Dia mengangguk-angguk kepala sambil memandang ke arah lain. Akhirnya saya bertanya kepada pelajar ini, " Kenapa kamu tanya soalan ini kepada saya ? Macam penting benar ? Apakah yang kamu alami ini mengganggu kamu sekarang ?"
"Dah lama saya hendak bertanya sir masalah saya ni, tapi nampak sir macam sibuk saja. Takut juga nak tanya. Saya pula lebih selesa tanya sir soalan-soalan yang macam ni, bimbang...takut bertanya kepada orang lain akan timbul salah faham terhadap saya pulak."
Saya hanya tersenyum angguk, sambil memikirkan.... itulah gelora remaja. Saya hanya berdoa semoga gelora itu tidak mengganggu kecemerlangan pembelajarannya.
"Sir jangan bagi tahu siapa-siapa, ini rahsia saya" pintanya sambil mohon izin pulang ke asrama.
Pada satu program saya menghadirkan diri ke sebuah sekolah. Berkali-kali saya lalu di laluan yang satu, berkali-kali juga saya terperasan kepada apa yang saya lihat. Terfikir saya kena jadi begitu ?
Bayangkan dari celah-celah beam simen di bahagian bumbung sekolah, air menitis sehingga terpaksa bertadah dua biji baldi. Bahaya sungguh kata hati. Tak mungkin Pengetua sekolah tidak sedar. Dan tak mungkin Pengetua sekolah tidak membuat laporan dan tak mungkin PPD dan JPN tidak tahu. Rasanya semua tahu tapi apa boleh buat ? Hendak baiki sesebuah bangunan yang seumpama itu bukan sikit peruntukan diperlukan. Tapi apakah keadaan itu perlu dibiar begitu sedangkan di tingkat bawah bangunan itu ada pelajar ? Bagaimana kalau runtuh seperti runtuhnya Hingland Tower ? Pasti Pengetua akan dipersalahkan.
Saya ini bercakap tentang sekolah orang. Di sekolah saya pun serupa. Baik di sekolah mahupun di asrama, pun keluar air dari celah-celah beam simen itu. Mengikut pandangan kasar keadaan seumpama itu cukup merbahaya. Tunggu masa runtuh sahaja dan siapa yang akan menjadi mangsanya tidak tahu. Laporan demi laporan telah dibuat namun keadaan serupa juga kerana apa ? Kerana wang peruntukan tidak dapat atau tidak dapat lagi ? Bila hendak dapat agaknya ? Apakah sekali lagi menunggu pelajar atau guru menjadi mangsa, baru ada peruntukan jatuh dari atas langit !
Pernah suatu hari Pengetua tidak benarkan pelajar-pelajar melalui satu laluan kerana beam atas terkopak. Terpaksalah saya bersama beberapa orang guru menjolok-jolok jatuh simen yang terkopak itu untuk mengelak bahaya menimpa.
Pelik saya, bangunan yang terbina lebih 28 tahun yang lalu masih tiada masalah, bumbung tidak bocor, beam tidak melilih air, pintu tidak tercabut sedangkan bangunan yang baru terbina baru 7 tahun telah sungguh menyiksakan. Bumbung bucor, salur najis tandas bocor, beam pecah, lantai pecah, pintu tak pasal-pasal terkopak, pulak tu nak baiki bukan main susah, semua frame pintu aluminium, bukan boleh dipaku-paku. Kalau pintu bangunan lama senang sahaja dibaiki.
Lain kali tolonglah janganlah buat bangunan macam ni...merbahaya dan membaziiirr!!
Sebagai seorang guru banyak juga tugas di luar yang perlu dihadiri. Mesyuarat, kursus, seminar, bertugas dan sebagainya. Dalam melaksanakan tugas ini ramai orang yang kita jumpai dan bersembang dengan mereka. Satu yang menarik apabila diberitahu saya berasal dari Rompin , Pahang..."Cikgu dari Rompin ke ? Rompin tu banyak udang galah tau...murah tak udang kat sana cikgu ?"
Itulah antara yang pening saya nak jawab. Murah atau tidak ? Pertamanya saya jarang beli udang galah bukan sebab harganya, tapi sebab tak berapa minat. Sekali-sekala beli sewaktu ramai anak-anak balik, terasa jugalah besar harganya. Yang keduanya saya tidak pernah membeli udang di luar Rompin, jadi tidak tahulah saya hendak membezakannya.
Satu waktu dulu saya pernah bersembang dengan beberapa orang pencari udang galah tempatan. Mereka ini adalah pencari udang di Sungai Rompin. Kata mereka sekarang susah dapat udang galah. Ramai sangat orang mencarinya sama ada orang tempatan dan juga pemancing dan pencari udang galah dari luar.
Ulas salah seorang pemancing udang yang sedang bersembang dengan saya itu, " rasanya udang galah Sungai Rompin ni tak lama lagi pupus, ada orang tu habis anak cucu udang galah diambilnya. Mana tidak diletup, dituba pun kadang dibuat juga". Saya tidak tahu sama ada betul atau tidak tetapi itulah yang pernah diceritakan.
Dulu sewaktu saya berusia 11 tahun, ayah saya hanya memancing udang galah di parit taliair sawah padi sahaja. Hari ini kalau tak masuk ke sungai berpasal, jangan harap nak dapat udang galah Sungai Rompin.
Itulah Rompin, dulu sangat sinonim dengan bijih besi, lepas itu dengan buah tembikai dan kini begitu sinonim dengan udang galah. Kelapa Sawit ?
Di sudut pasar Madinah ada seorang pengemis Yahudi buta yang setiap harinya selalu berkata kepada setiap orang yang mendekatinya, "Wahai saudaraku, jangan dekati Muhammad, dia itu orang gila, dia itu pembohong, dia itu tukang sihir, apabila kalian mendekatinya maka kalian akan dipengaruhinya".
Namun, setiap pagi Muhammad Rasulullah SAW mendatanginya dengan membawakan makanan, dan tanpa berucap sepatah kata pun Rasulullah SAW menyuapkan makanan yang dibawanya kepada pengemis itu sedangkan pengemis itu tidak mengetahui bahawa yang menyuapnya itu adalah Rasulullah SAW. Rasulullah SAW melakukan hal ini setiap hari sampai beliau wafat.
Setelah wafatnya Rasulullah SAW, tidak ada lagi orang yang membawakan makanan setiap pagi kepada pengemis Yahudi buta itu. Suatu hari sahabat terdekat Rasulullah SAW yakni Abu Bakar RA berkunjung ke rumah anaknya Aisyah RA yang tidak lain tidak bukan merupakan isteri Rasulullah SAW dan beliau bertanya kepada anaknya itu, "Anakku, adakah kebiasaan kekasihku yang belum aku kerjakan?".
Aisyah RA menjawab, "Wahai ayahanda, engkau adalah seorang ahli sunnah dan hampir tidak ada satu kebiasaannya pun yang belum ayah lakukan kecuali satu saja".
"Apakah Itu?", tanya Abubakar RA.
"Setiap pagi Rasulullah SAW selalu pergi ke hujung pasar dengan membawakan makanan untuk seorang pengemis Yahudi buta yang ada di sana", kata Aisyah RA.
Keesokan harinya Abu Bakar RA pergi ke pasar dengan membawa makanan untuk diberikan kepada pengemis itu. Abu Bakar RA mendatangi pengemis itu lalu memberikan makanan itu kepadanya. Ketika Abu Bakar RA mulai menyuapnya, sipengemis marah sambil mengherdik,"Siapakah kamu?".
Abu Bakar RA menjawab, "Aku orang yang biasa (mendatangi engkau)."
"Bukan! Engkau bukan orang yang biasa mendatangiku", bantah si pengemis buta itu. "Apabila ia datang kepadaku tidak susah tangan ini memegang dan tidak susah mulut ini mengunyah. Orang yang biasa mendatangi aku itu selalu menyuap aku, tapi terlebih dahulu dihaluskannya makanan tersebut, setelah itu dia suapkan padaku", pengemis itu beria-ia menerangkan. Abu Bakar RA tidak dapat menahan air matanya, dia menangis sambil berkata kepada pengemis itu, "Aku memang bukan orang yang biasa datang padamu. Aku adalah salah seorang dari sahabatnya. Orang yang mulia itu telah tiada. Dia adalah Muhammad Rasulullah SAW". Seketika itu juga pengemis itu pun menangis mendengar penjelasan Abu Bakar RA, dan kemudian berkata,"Benarkah demikian? Selama ini aku selalu menghinanya, memfitnahnya, namun dia tidak pernah memarahiku sedikitpun, dia mendatangiku dengan membawa makanan setiap pagi, dia begitu mulia.... " Pengemis Yahudi buta tersebut akhirnya bersyahadat di hadapan Abu Bakar RA saat itu juga dan sejak hari itu pengemis buta itu menjadi muslim. Renungan buat kita, mampukah kita meneladani kemuliaan akhlaq Rasulullah SAW? Atau adakah setidak-tidaknya niat kita untuk meneladani baginda?
Semalam dalam perjalanan pulang dari sekolah saya sempat singgah di sebuah gerai. Sambil bersantai minum saya bersembang-sembang dengan seorang veteran kampung. Saya rasa usia Pak Anjang mungkin dalam lingkungan hampir 80 tahun. Lama sungguh saya tidak berjumpa Pak Anjang. Saya ajak Pak Anjang minum bersama saya.
Menarik bersembang dengan Pak Anjang, sebagai seorang orang kuat masjid pelbagai nasihat dan pandangan yang diberikan kepada saya. Rata-rata nasihat yang Pak Anjang berikan kepada saya ialah kuatkan buat amal ibadat kata Pak Anjang. Hanya itu bekalan untuk kita bawa ke sana katanya. Saya begitu setuju dan sangat akur dengan peringatan yang Pak Anjang luahkan.
Pak Anjang menceritakan banyak pengalaman hidupnya. Antara pengalaman menarik yang Pak Anjang ceritakan ialah pengalamannya sebagai tukang mandi jenazah. Kata Pak Anjang pengalaman sebagai tukang mandi mayat banyak menyedar dan menginsafkan dirinya bahawa amalan agama adalah sangat penting kepada semua manusia. Satu perkara lagi Pak Anjang nasihatkan saya agar janganlah cuba belajar ilmu yang mengarut-ngarut dan sesat. cPAk Anjang kata kalau belajar ilmu yang mengarut-ngarut atau ilmu yang sesat nanti susah mati dan kalau mati pun hina keadaannya. Wallahu aklam, itu pendapat Pak Anjang. Pak Anjang tidak jelaskan apa ilmu yang dikatakan mengarut dan sesat itu. Namun saya sangat faham akan maksud Pak Anjang.
Sepanjang Pak Anjang menjalankan tugas mandi jenazah, kata Pak anjang dia pernah memandikan jenazah yang sudah dua hari terbiar mati tanpa disedari oleh sesiapa. Mayat itu katanya sudah berbau dan lidah terjelir lebih satu hasta panjangnya! Pak Anjang nasihatkan saya jadikan semua kesah ini sebagai ikhtibar. Saya rasa ngeri dan insaf mendengar cerita-cerita Pak Anjang.
Ralit berborak dengan Pak Anjang tak sedar hari sudah pukul 4.15 petang. Pak Anjang perlu pulang untuk solat Asar, kata Pak Anjang. Saya juga terus ke kereta memecut untuk pulang setelah seharian bekerja. Petang nanti perlu menghadiri usrah pulak.
Terasa begitu lama saya tidak menulis. Sejak penganjuran Perkampungan Penulis Muda Pahang tempoh hari saya terus terhimpit dengan kesibukan yang terlalu. Urusan kerja, urusan anak, urusan jiran, urusan kemasyarakatan berjujukan datang. Hari ini terasa lega sedikit. Itu pun pukul 11 malam tadi saya baru pulang dari menyampaikan ceramah kepada peserta Perkhemahan Kadet Polis Daerah seramai 500 orang di Kem Bestari Rompin.
Sepanjang kesibukan ini aktiviti bermula seawal pagi kadang-kadang sebelum subuh, berakhir lewat tengah malam. Terfikir juga saya, kalaulah saya tidak niatkan aktiviti-aktiviti yang saya lakukan itu sebagai ibadah kepada Allah, alangkah sia-sia dan membuang masanya kerja saya.
Apabila banyak urusan yang perlu kita selesaikan, kita sebenarnya sentiasa diasak oleh masa. Tidak tahan kita. Seringkali kita menjadi gopoh kerana terlalu berkejar ke sana berkejar ke sini. Pagi Sabtu yang lalu saya dijemput untuk membimbing program qiamulail pelajar sebuah sekolah menengah. Malam itu saya tidur lewat kerana membuat sedikit persediaan untuk program lain. Pagi itu saya terpaksa bangun lebih awal dari biasa. Berkejar ke lokasi. Selesai solat subuh saya minta izin pulang untuk ke satu lagi program lain yang bermula pukul 7.30 pagi.
Oleh kerana terlalu gopoh dan terkejar-kejar, saya hairan saya boleh sesat di tempat yang saya biasa pergi. Saya keluar dari chalet tempat perkhemahan tersebut, saya boleh tersalah jalan. Masuk lorong yang saya sangka itulah jalan keluar. Akhirnya saya berhadapan dengan jalan mati dan dihadapannya hutan. Saya pusing balik dan masuk lagi lorong yang salah akhirnya saya berhenti di simpang jalan memikirkan ke mana sepatutnya saya pergi.
Saya mengambil keputusan dalam suasana yang masih gelap subuh tersebut untuk pulang semula ke chalet. Dari pintu pagar chalet saya memulakan semula perjalanan pulang saya, barulah saya jumpai simpang keluar ke jalan besar. Masya Allah, itulah padahnya terlalu letih dan terlalu mengantuk ! Fikiran saya sukar hendak relate dengan suasana.
Dalam suasana sibuk, yang paling penting sekali ialah pengurusan masa yang cekap kemudian kesihatan yang baik. Jika dua perkara ini tidak mampu dilaksanakan dengan cermat dan teliti maka keadaan akan menjadi lebih haru.
Hari ini kesibukan yang terlalu itu rasanya telah berlalu. Keadaan kembali menjadi biasa. Barulah saya sempat update kan blog ini. Insya Allah penulisan-penulisan lain akan menyusul seperti biasa selepas ini.