Tuesday, December 29, 2009

Di ambang 2010: Senyum selalu !


1. Satu perkara yang kita nampak tentang manusia yang hebat atau berjaya: Mereka sentiasa belajar.

2. Masa depan banyak ditentukan oleh masa lapang. Adakah kita melabur atau membazirkan masa lapang?

3. Muslihat yang paling jahat dalam diri seseorang ialah melengah-lengahkan kerja.

4. Peluang yang diambil akan berganda tetapi jika ditinggalkan, akan hilang.

5. Jika ingin berjaya, ikutilah orang yang berjaya. Mereka mendisiplinkan diri sendiri - sesuatu yang sangat tidak disukai oleh orang gagal. Hidup tanpa disiplin tidak memberi makna.

6. Melepak lebih sukar dan menyusahkan dari belajar dan bekerja. Beban yang paling berat ialah tidak mempunyai apa-apa untuk dibuat. Kesannya letih walaupun hanya untuk berdiri atau kecewa buat selamanya.

7. Apa yang kerap difikirkan akan menyerap ke dalam minda di bawah sedar kita, lantas menambah kuasa fizikal, mental dan spritual kita untuk mencapai apa yang paling diingini.

8. Kebanyakan kita beranggapan bahawa kita tidak malas kerana kita sentiasa sibuk. Tetapi biasanya kita sibuk melakukan perkara yang tidak berfaedah sehingga melupakan matlamat utama dalam hidup kita.

9. Penawar rasa bosan : tentukan matlamat !

10. Kita senyum apabila kita bahagia. TETAPI kita juga berasa bahagia kerana kita senyum. Senyum selalu !

Saturday, December 26, 2009

Ke arah 2010



Tahun 2009 sudah semakin hampir ke penghujung. Tahun 2010 semakin mendekati. Masa begitu cepat datang dan pergi untuk tidak kembali lagi.

Segala persiapan bagi menghadapi aktiviti kehidupan dan kerjaya di tahun 2010 semakin giat dilaksanakan.Anak-anak yang sudah lama memerap di rumah sudah mula resah gelisah untuk kembali ke arena perjuangan di kampus masing-masing.Adibah akan kembali ke IPG Perlis. Abdul Hafiz akan pulang ke UPSI dan Aisyah akan meneruskan pengajian di Negeri Sembilan. Abdul Hamid akan beralih ke Tingkatan Empat di sekolah baru hasil dari kejayaannya dalam PMR baru-baru ini.

Cuma gembira dengan sedikit resah apabila anak sulong Abdul Hadi akan memulakan kerjaya gurunya di Sabah Negeri Di Bawah Bayu. Hati ini rasa gembira kerana anak sulong mula bekerja. Hati ini agak resah sedikit kerana anak sulong akan bertugas di Sabah. Jauh dari pandangan mata di seberang sana Laut Cina Selatan.

Namun ibu dan ayah perlu bersabar kerana itulah impian dan hasrat dengan semangat kembara darah muda yang akan meneruskan darah perjuangan guru keluarga besar Mohd Nor Awang dan Aminah Mohd Ali.

Walaupun rasa sedikit resah, namun rasanya keresahan itu hanya di permulaan ini sahaja kerana belum pernah berpisah begitu jauh dengan anak-anak. Jauh di sudut hati tetap mengatakan hijrah ini amat penting buat memperkayakan pengalaman hidup dan kerjayanya sebagai seorang anak sulong. Kami bangga dengannya dan semoga dia menjadi seorang pendidik yang tulin kepada manusia dan kemanusiaan dalam masyarakat di mana dia akan berbakti nanti di Sabah.

Nampaknya sepanjang 2010 nanti hanya saya dan isteri akan menghuni rumah ini. Anak-anak masing-masing dengan perjuangan mereka di asrama sekolah dan institusi mereka.

2010 kami kembali berhoney-moon di rumah sendiri !


Wednesday, December 23, 2009

Asal usul Zionisme moden

Ideologi Zionisme moden berasal daripada pemikiran seorang Yahudi Mesiah palsu yang bernama Sabbatai Zevi dalam abad ke 17, ia mendakwa dirinya sebagai juru selamat Yahudi yang dijanjikan. Dia datang untuk mendirikan kerajaan Yahudi di tanah yang dijanjikan di Palestin.

Zevi adalah tokoh kontroversial. Dia tidak hanya menolak Talmud tetapi memerintah untuk melakukan perkara bertentangan dengan perintah Tuhan di dalam Talmud.

"Dosa" dan "kesalahan" tidak ada lagi dan segala sesuatu serta apa pun dibolehkan, perintah Tuhan di dalam Taurat sekarang dibatalkan kerana menurut Zevi, zaman Mesiah telah tiba dan dialah orangnya yang akan menyelamatkan mereka.

Dia menghapuskan hukum mengenai hubungan seksual. Dia secepatnya mengumumkan bahawa sebanyak tiga puluh enam jenis dosa utama yang dimuat dalam kitab injil ketika ini diizinkan dan memerintahkan sebahagian dari pengikutnya bahawa adalah tugas mereka untuk melakukan beberapa dosa untuk mempercepatkan penyelamatan.

Friday, December 18, 2009

Petanda kebangkitan masih terlalu jauh...

Malam tadi ramai orang bergembira. Gembira kerana Pasukan Bolasepak B23 Malaysia telah berjaya menewaskan Pasukan Vietnam dalam pertandingan akhir sukan Sea di Laos. Malaysia berjaya memenangi pingat emas bagi acara itu yang mana kali terakhir dimenangi oleh Malaysia ialah pada tahun 1989. Tahniah kepada Pasukan Bolasepak Malaysia dan K Rajagopal.

Selepas kemenangan 1-0 itu ramai orang mengulas tentang kemenangan Malaysia itu dan prospek Pasukan Bolasepak Malaysia pada masa depan. Umum semua tahu bahawa Malaysia bukan sahaja lemah dalam acara bolasepak berbanding zaman 60an, 70an dan 80an dahulu, malah kini pasukan Malaysia dari tahun ke tahun sentiasa merudum ke bawah dalam hiraki kedudukan bolesepak FIFA.

Pasukan yang sebaya dengan Malaysia atau sering menjadi 'makanan' Pasukan malaysia dahulu kini telah terlalu...terlalu...terlalu jauh meninggalkan pasukan Malaysia. Pasukan bolasepak Malaysia sentiasa maju mundur bukan maju jaya.

Apakah kemenangan Pasukan Bolasepak Malaysia malam tadi menjadi petanda kebangkitan?

Secara jujur saya ingin mengulas dengan mengatakan walaupun Malaysia menang malam tadi, itu bukan pentanda kebangkitan bolasepak Malaysia. Saya akan mengatakan itu petanda kebangkitan jika malam tadi Malaysia mengalahkan Pasukan Korea Selatan atau Korea Utara, atau Cina atau Jepun atau Iran atau Iraq atau Arab Saudi atau Kuwait. Kerana inilah dahulu pasukan saingan dan ratahan Malaysia. Bagi saya inilah pra-syarat kebangkitan pasukan bolesepak negara. Jika itu belum berlaku jangan kata telah ada petanda kebangkitan !

Kita tidak perlu bersikap syok sendiri tetapi mesti bersikap realistik.

Banyak kelemahan malam tadi. Saya menganggap Malam tadi Malaysia menang nasib sahaja. Jika gol itu tidak dijaringkan bawa kepada masa tambahan Malaysia mungkin akan kalah. Juga jika penyerang Vietnam tembak tepat ke pintu gol mungkin Vietnam akan menang. Nasib baliklah penyerang Vietnam membazirkan tendangan dengan tendangan yang banyak tersasar.

Kelemahan pemain-pemain Malaysia:

1. Hantaran bola tidak tepat
2. Tidak cekap menahan dan mengawal bola. Bola sentiasa melantun dari kaki.
3. Tidak rajin merampas bola dari kaki pihak lawan.
4. Gopoh, tidak tenang sewaktu merancang serangan.
5. Masih ada pemain yang lembik - mudah hendak jatuh dengan 'body contact'.
6. Terlalu mudah rasa tertekan dan menjadikan permainan mereka hilang fokus.
7. Kurang membantu pemain yang sedang menguasai bola. Kadang-kadang dibiarkan hingga tidak tahu bola hendak dihantar kepada siapa.
8. Membazirkan dengan membuat hantaran bola kepada lawan.
9. Apabila dalam padang masih ada pemain berjalan longlai sambil cekak pinggang makna stamina tidak cukup. Cuba lihat pemain Korea mana ada yang berjalan longlai atau bercekak pinggang?
10. Sentiasa memberi ruang yang terlalu banyak dan lama kepada pemain lawan kuasai bola. Sampai depan pintu gol sendiri baru kelam kabut dan menjadi serba tak kena.
11. Permainan dan skills pemain Malaysia tidak tenang dan tidak cantik. Tiada lagi yang setenang Soh Chin Aun, semantap Santokh Singh dan Bahwandi Hiralal, seaggresif Moktar Dahari, selincah dan secantik larian Jamal Nasir dan Abdullah Ali, setajam tandukkan Saharudin Abdullah dan Syed Ahmad. Kebanyakan pemain baru Malaysia pergerakannya kelam-kabut !

Itulah antara kelemahan pemain-pemain bolasepak Malaysia hari ini. Selagi perkara-perkara ini tidak diatasi dan pengurusan FAM terus tidak profesional, mutu bolasepak Malaysia sebenarnya masih jauh dari petanda kebangkitan.

Petanda kebangkitan ialah apabila Malaysia sudah setanding dengan Pasukan Korea, Jepun dan Cina. Jika belum sampai tahap itu, petanda kebangkitan sebenarnya masih terlalu...terlalu jauh !

Wednesday, December 16, 2009

Guru Sarjana dan Phd perlu diberi insentif

Hazayani Zakaria

KUALA LUMPUR, 14 Dis: Dr. Mujahid Yusuf Rawa (PAS-Parit Buntar) mencadangkan agar kerajaan memberikan insentif kenaikan gaji kepada guru-guru yang mempunyai Ijazah Sarjana dan Ijazah Doktor Falsafah (Phd) sebagai dorongan kepada guru-guru lain untuk melanjutkan pengajian ke peringkat lebih tinggi.

Mujahid sewaktu mengemukakan soalan tambahan dalam sesi soal jawab lisan di Dewan rakyat pagi tadi memberitahu, kebanyakan guru berkelulusan Sarjana dan Phd yang ditemui menyuarakan kekecewaan kerana tiada sebarang keistimewaan diberikan kepada mereka di sekolah.

"Saya cadangkan guru-guru yang ada Sarjana dan Phd diberi anjakan gaji oleh kerajaan sebagai dorongan kepada mereka.

"Kalau tidak ada sebarang keistimewaan, bagaimana mereka hendak mendapat dorongan untuk menyambung pengajian," soalnya.

Mujahid turut meminta kerajaan meletakkan satu tangga gaji kepada guru-guru yang mempunyai Sarjana dan Phd di setiap sekolah selain menetapkan bilangan guru yang mempunyai kelulusan berkenaan di setiap sekolah.

Ini katanya sebagai motivasi kepada guru-guru untuk terus melanjutkan pengajian ke peringkat tertingggi.

Sebelum itu Mujahid meminta Menteri Pelajaran Malaysia menyatakan bilangan guru yang mempunyai Ijazah Sarjana dan Ijazah Doktor Falsafah di Malaysia.

Beliau juga ingin tahu samaada kerajaan bercadang atau tidak untuk memberi keistimewaan kenaikan pangkat atau anjakan gaji kepada guru yang mempunyai Ijazah Sarjana dan Ijazah Doktor Falsafah.

Timbalan Menteri, Datuk Dr. Wee Kaa Siong (BN-Ayer Hitam) dalam jawapannya memberitahu, dalam kalangan guru yang mempunyai kelulusan Sarjana dan Phd, pengetahuan, pengalaman dan kepakaran mereka dapat dimanfaatkan melalui perkongsian ilmu dengan guru-guru lain di sekolah.

Kementerian juga menyediakan peluang atau ruang yang luas kepada pegawai-pegawai ini melalui urusan kenaikan pangkat sebagai Guru Cemerlang an Pensyarah Cemerlang di Institut Pendidikan Guru (IPG), Institut Aminuddin Baki (IAB) dan Kolej Matrikulasi.

Kementerian juga memberi keutamaan kepada pemegang ijazah Sarjana dan Phd untuk mengisi jawatan sebagai pensyarah di institusi berkenaan.

Sementara itu, Datuk Ismail Mutalib (BN-Maran) berkata, guru-guru ketinggalan dari segi kenaikan pangkat.

Beliau turut meminta agar Kerajaan memberikan kenaikan gaji kepada guru sama seperti pegawai-pegawai kerajaan yang lain.

Sumber berita:harakahdaily


Tuesday, December 15, 2009

Hukum tepuk tangan

http://akhisalman.blogspot.com

Pengarang kitab حفل الزفاف في الفقه الإسلامي berkata:

Sesungguhnya tepuk tangan bila dilihat dari segi hakikatnya adalah suatu perbuatan manusia yang biasa. Hukumnya berdasarkan faktor kepada perbuatan tepuk tangan itu dilakukan. Sesiapa yang bertepuk tangan kerana untuk memberi peringatan maka perkara tersebut adalah harus.

Pengarang ini merujuk kepada sebuah buku dalam mazhab Syafie iaitu kitab حاشية الشبراملسي . Bila dilihat dalam kitab tersebut ada dinukilkan dari kitan فتح الجواد karangan Imam Ibnu Hajar Haitami:

“Diharuskan tepuk tangan dengan kedua tapak tangan sekalipun ditujuan untuk bermain-main, sekalipun ia dianggap sebagai bentuk nyanyian.”

TEPUK TANGAN KETIKA MENDENDANGKAN LAGU


Ulama berselisih pendapat berkenaan dengan masalah ini:


PENDAPAT PERTAMA: Haram tepuk tangan ketika mendendangkan lagu. Ini adalah pendapat Mazhab Hanafi dan sebahgian ulama Syafie.


PENDAPAT KEDUA: Makruh tepuk tangan ketika mendendangkan lagu. Ini adalah pendapat utama dalam mazhab Syafie dan pendapat mazhab Maliki.


DALIL PENDAPAT PERTAMA:


1. Firman Allah swt:



وما كان صلاتهم عند البيت إلا مكاء وتصدية


“ Cara ibadah dan solat orang-orang musyrikin di sekeliling ka’bah hanyalah dengan bersiul dan bertepuk tangan.” (35 : al-Anfal)

Bentuk pengambilan dalil:: Bertepuk tangan adalah dari perbuatan orang-orang musyrik. Orang bertepuk tangan meniru perbuatan orang-orang musyrikin.

2. Bagi orang lelaki dilarang kerana ia menyerupai perbuatan wanita dalam solat. Nabi saw bersabda:

إنما التصفيق للنساء


“Tepuk tangan dalam solat (untuk menegur imam) hanyalah untuk perempuan.” (Hr Bukhari dan Muslim)

JAWAPAN KEPADA TERHADAP DALIL

Jawapan terhadap pendalilan yang pertama adalah: Ayat ini menunjukkan perngharaman dan larangan beribadah dengan bertepuk tangan. Ia bukan pengharaman tepuk tangan di luar ibadah.

Jawapan kepada pendalilan yang kedua adalah: Hadis ini mengkhusukan tepuk tangan untuk wanita dalam solat sahaja.

KESIMPULAN

Hukum bertepuk tangan adalah mengikut kepada sebab bertepuk tangan. Ianya ada 4 seperti berikut:

1. TEPUK TANGAN DALAM SOLAT BAGI WANITA UNTUK PERINGATAN: Para ulama bersepakat ianya disyariatkan.

2. TEPUK TANGAN UNTUK IBADAT SEPERTI DALAM SOLAT, ZIKIR DAN TAWAF: Ianya dilarang berdasarkan ayat Quran yang telah lepas.

3. TEPUK TANGAN UNTUK NYANYIAN: ada yang mengharamkan dan ada yang memakruhkan. Apa yang difatwakan Dr Yusuf Qardawi dalam kitab فقه اللهو والترفيه adalah harus hukumnya kerana tidak ada dalil yang melarangnya.

4. TEPUK TANGAN UNTUK MEMBERI SEMANGAT ATAU RASA KAGUM: Ini juga dibenarkan kerana ia diperlukan. Pengarang kitab الموسوعة الفقهية الكويتية mengatakan:

“ Tepuk tangan di luar solat dan khutbah adalah diharuskan sekiranya untuk keperluan yang dibenarkan syara’ seperti minta izin untuk masuk, memberi peringatan, mengelokkan persembahan nasyid atau wanita yang bermain dengan kanak-kanak.”

Rujukan:

1.Fiqhul Lahwi wat Tarwih oleh Dr Yusuf Al-Qaradawi

2.Haflu Zafaf fil Fiqh Islami oleh Rafiq Abd Aziz As-Sobbagh

3.Mausu’ah Fiqhiyyah oleh Kementerian Wakaf dan Hal Ehwal Agama, Kuwait


4.Hasyiah Ali Syabramalsi ala Nihayatil Muhtaj

5. Sofwatul Tafasir oleh Muhammad Ali As-Sobuni


DRS. KHALIL IDHAM LIM

Friday, December 11, 2009

Putus tunang, tuntut hampir sejuta !

Hah engkau...putus tunang, tuntut ganti rugi hampir sejuta !? Tak percaya baca sini. Apalah masalahnya tu sampai dekat sejuta! Geram benar gamaknya ?

Kalau berjayalah tuntutan tu, ada ke sejuta?

Agaknya pompuan tu adalah kot !

Kalau kena ke kita yek...habis reban ayam, reban kambing lelong. Itu pun kalau ada reban ayam, reban kambing...huhuhu !

Kalau bicara kat indon tak apa kena dekat sejuta. Lebih sejuta pun tak apa! Boleh le juga gagah -gagah membayarnya ! Ini kat malaysia...haru !!

Pengajaran kepada semua...pilih betul-betul.... pakat elok-elok....runding biar jelas, jangan pakai ya dan jangan kira sedap je ! Buleh sakit..... (zaman le ni kan) !!!



Kita tengok sikit siapa orang terkaya di Malaysia

1. Robert Kuok - $10 billion (Kuok Empire, Shangri La, Wilmer International etc)

2. Ananda Krishnan - $7.2 billion (Maxis, Astro)

3. Lee Shin Cheng - $5.5 billion (IOI Group)

4. Teh Hong Piow - $3.5 billion (Public Bank)

5. Lee Kim Hua & family - $3.4 billion (Genting Berhad, widow of late Lim Goh Tong)

6. Quek Leng Chan - $2.4 billion (Hong Leong Group, Guoco Group)

7. Yeoh Tiong Lay & family - $2.1 billion (YTL Corp)

8. Syed Mokhtar AlBukhary - $1.8 billion (MMC, Johor Port, Malakoff)

9. Vincent Tan - $1.3 billion (Berjaya Group)

10. Tiong Hiew King - $1.1 billion (Rimbunan Hijau)

11. Azman Hashim - $700 million (AmCorp Group, formerly Arab-Malaysia)

12. William H. J. Cheng - $660 million (Lion Group, Parkson)

13. Lee Swee Eng - $495 million (KNM Group)

14. Ong Beng Seng - $470 million (Hotel Properties Ltd, Natsteel)

15. Lim Kok Thay - $345 million (son of late Lim Goh Tong, Genting Berhad)

16. Vinod Sekhar - $320 million (Petra Group, known for its Green Rubber Global)

17. Lee Oi Hian - $300 million (Kuala Lumpur Kepong or KLK)

18. Yaw Teck Seng - $295 million (Samling Group)

19. Anthony Fernandes - $290 million (AirAsia, Tune Hotels)

20. Mokhzani Mahathir - $285 million (Kencana, authorized Porsche importer son of former permier Mahathir)

21. Kamarudin Meranun - $280 million (AirAsia, Tune Hotels, Tony Fernandes’s lover *grin*)

22. Jeffrey Cheah - $275 million (Sunway Group)

23. Lee Hau Hian - $250 million (Batu Kawan, KLK, brother of Lee Oi Hian)

24. Chong Chook Yew - $245 million (Selangor Properties, widow – son is MD now)

25. Yaw Chee Ming - $240 million (Samling Group, son of Yaw Teck Seng)

26. G. Gnanalingam - $230 million (Westports Malaysia)

27. Lim Wee Chai - $200 million (Top Glove, world’s largest rubber gloves manafacturer)
28. Kua Sian Kooi - $195 million (Kurnia Asia, insurance)

29. Lau Cho Kun - $185 million (Malaysian Mosaic)

30. Abdul Hamed Sepawi - $180 million (Ta Ann, timber conglomerate)

31. David Law Tien Seng - $165 million (Australian iron ore MidWest, T.S. Law Holdings)

32. Tiah Thee Kian - $163 million (TA Enterprise)

33. Liew Kee Sin - $160 million (SP Setia)

34. Ahmayuddin bin Ahmad - $155 million (Westports Malaysia)

35. Eleena Azlan Shah - $150 million (Gamuda – largest individual shareholder)

36. Lin Yun Ling - $145 million (Gamuda – founder and MD)

37. Ong Leong Huat - $130 million (OSk Group)

38. Lim Thian Kiat - $115 million (former head of Multi-Purpose)

39. Khoo Kay Peng - $110 million (MUI, U.K. retailer Laura Ashley)

40. Nazir Razak - $100 million (Bumiputra Commerce Holdings, brother of deputy PM)


Wednesday, December 09, 2009

Pemerkasaan Tingkatan Enam: Tahniah Kementerian Pelajaran.


Sewaktu pendaftaran ramainya boleh tahan. Kadang-kadang mencecah sampai 100 orang atau mungkin lebih di kawasan-kawasan bandar. Tapi jumlah sewaktu pendaftaran itu tidak kekal hingga ke akhirnya. Hari demi hari ada yang keluar, ada yang 'hilang'. Ada di setengah-setengah tempat terpaksa ditutup. Keadaan lebih kritikal di kelas aliran Sains.

Itulah antara fenomena biasa Tingkatan Enam. Sistem pembelajaran yang berasaskan peperiksaan melahirkan para pelajar yang banyak menghafal dan kaku. Keadaan lebih tertekan jika berada di aliran Sains. Dalam kalangan pelajar-pelajar Melayu dan mereka yang berbangsa Melayu yang pernah atau sedang belajar di aliran Sains setakat ini tiada lagi yang kata senang belajar di Tingkatan Enam aliran sains.

Dengan dapatan yang sedemikian, ramai yang komen, begitulah sikap pelajar Melayu bila bab Sains, susah, payah! Itu sikap sebenarnya bukan soal payah, kata mereka!

Ramai juga yang kata, memang betul susah belajar di Tingkatan Enam Sains, kesian para pelajar. Pelajar cerdik SPM masuk Tingkatan Enam Sains akhirnya STPM tersungkur, masuk semula ke Politeknik atau mana-mana kursus kemahiran. Pelajar SPM yang tidak layak masuk Tingkatan Enam Sains aliran kemanusiaan pula lulus STPM dengan baik akhir keluar universiti, lebih dulu dapat kerja berbanding dengan kawan-kawan mereka di aliran Sains.

Itulah antara fenomena pelajar Tingkatan Enam di aliran sains mahupun aliran kemanusiaan dari dulu hingga kini. Sebab itu ramai yang tidak mahu kekal di Tingkatan Enam. Ada peluang di tempat lain, cabut ! Renggeh Tingkatan Enam Atas !

Alhamdulillah, pihak Kementerian Pelajaran mungkin telah melihat akan keadaan yang daif tersebut lantas telah melakukan transformasi besar-besaran Tingkatan Enam. Menjelang tahun 2011 nanti Tingkatan Enam akan berjalan dalam Sistem Pentaksiran Modular yang akan mengganti Sistem Pentaksiran Terminal yang beroperasi selama ini.

Sistem Modular adalah sistem pengajian berasaskan semester iaitu 3 semester dalam tempoh satu setengah tahun. Setiap semester ada peperiksaan maka itu beban 1 semester (6 bulan) tidak dibawa ke semester lain. Peperiksaan diadakan sebanyak 3 kali di hujung setiap semester dan diberikan penilaian Gred Kertas bukan CGPA. CGPA keseluruhan yang mengambil kira semua gred kertas dari ketiga-tiga peperiksaan akan diberi di semester 3. Ia digunakan untuk memohon masuk universiti. Katanya juga jika pelajar tidak puas hati dengan keputusan semester 1 dan 2 boleh ulang di semester 3 dan keputusan terbaik akan diambil kira.

Di samping itu sistem baru Tingkatan Enam akan menekankan kepada pembangunnan soft skill kepada setiap pelajar. Para pelajar akan melalui proses membuat kajian ilmiah, tutorial, kolokium dan aktiviti ko-kurikulum bagi membentuk para pelajar yang menguasai kemahiran komunikasi, kepimpinan, pengurusan organisasi dan sebagainya.

Oleh yang demikian, yang paling penting ialah minda iaitu gaya pemikiran dan sikap para guru Tingkatan Enam. Mereka sudah hampir bergelar 'Pensyarah', maka adalah perlu bagi mereka untuk sentiasa up-to date dalam penguasaan ilmu-ilmu yang segar dan relevan dengan cabaran global.

Apa yang jelas Sistem Modular ini akan mampu menyegarkan kembali suasana pembelajaran di Tingkatan Enam yang akan di panggil Pra Universiti mulai tahun 2011. Dan sudah pasti dari jangka sederhananya ia akan memberi saingan yang baik kepada kolej-kolej komuniti dan sudah pasti juga memberi pilihan yang wajar kepada para pelajar dari golongan berpendapatan rendah di kawasan luar bandar.

Tuesday, December 08, 2009

Akui pelajaran dalam bahasa ibunda lebih baik

Azamin Amin

KUALA LUMPUR 2 Dis: Parlimen hari ini diberitahu bahawa punca pembelajaran Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SRJK) adalah lebih baik kerana mata pelajaran Sains dan Matematik diajar dalam bahasa ibunda.

Ini diakui sendiri oleh Timbalan Menteri Pelajaran Dr. Mohd. Puad Zarkashi ketika menjawab soalan tambahan daripada M. Kulasegaran (DAP-Ipoh Barat) berhubung pengajaran di sekolah Cina lebih baik dalam Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) dan isu masalah beban buku teks yang terlalu banyak dibawa oleh pelajar sekolah.

Beliau sebelum itu menjawab soalan Datuk Ismail Mohamad Said (BN-Kuala Kurau) bahawa buku teks sekolah yang dikatakan tidak meransang kefahaman pelajar dan sejauh mana buku komersial lebih baik berbanding buku teks sekolah.

Sebelum itu, Ismail mendedahkan bahawa terdapat penyelidikan Universiti Teknologi Malaysia (UTM) bahawa buku teks yang digunakan di sekolah-sekolah kurang baik berbanding buku rujukan komersial yang ada di pasaran.

Menafikan kritikan itu, Puad Zarkashi berkata, buku rujukan komersial lebih berorientasikan peperiksaan semata-mata berbanding buku teks yang dipilih, ditulis, disusun dan disesuaikan selaras dengan Sukatan Pelajaran dan Huraian Sukatan Pelajaran.

"Penyediaan buku teks juga disusun dengan pelbagai kaedah pedagogi pengajaran dan pembelajaran bagi tujuan mencapai hasrat Falsafah Pendidikan Kebangsaan untuk memperkembangkan potensi individu secara holistik dan bersepadu.

"Hal ini juga untuk melahirkan insan yang seimbang dan harmoni daripada segi intelek,rohani, emosi dan jasmani berdasarkan kepercayaan dan kepatuhan kepada Tuhan. Oleh itu, buku teks yang digunakan di sekolah lebih baik dari buku rujukan komersial," katanya.

Menjawab soalan tambahan Ismail, Mohd Puad berkata untuk meransang kefahaman pelajar ia bergantung kepada kaedah pengajaran guru dan sumber yang diperolehi oleh mereka.- Harakahdaily.

Saturday, December 05, 2009

Bayaran tambahan persekolahan

Nampak gayanya para ibubapa kena bersedia untuk membuat bayaran tambahan persekolahan anak-anak mereka bagi sesi persekolahan tahun depan, 2010. Hal ini telah dimaklumkan oleh Ketua Pengarah Pelajaran, Tan Sri Alimuddin Mod Dom.

Sejak setahun dua ini, kelihatannya persoalan yuran sekolah dan bayaran tambahan ini, yang tidak pernah pun menjadi isu sebelum-sebelum ini menjadi kelam kabut sedikit. Kelam kabut dan tidak menentu kepada banyak pihak.

Majoriti ibubapa yang tidak pernah bermasalah membayar yuran, kelam-kabut dan bingung dengan apa yang berlaku. Pada hari pertama sekolah sesi 2009, ibubapa dari kumpulan yang tidak tahu apa-apa yang berlaku, dan dari kumpulan yang tahu pun tetap hendak membuat dasar sendiri, hendak bayar jugak. Pihak sekolah tak mahu ambil jugak!

Sudahnya mereka pelik dan bingung kenapa pihak sekolah tidak mahu terima bayaran mereka. Hinggakan salah seorang penjaga sewaktu berbual dengan saya memberitahu , " Duit saya ni bukan duit Jepun cikgu !"

Ramai juga orang mengambil kesempatan untuk tidak mahu membuat pembayaran langsung atas alasan tidak mampu ! Pihak sekolah terkedu untuk beberapa ketika !

Akhirnya, saya sebagai salah seorang guru tertanya-tanya sendiri, kenapa benda yang tidak pernah menjadi isu nasional pun semenjak 25 tahun saya menjadi guru, akhirnya menjadi haru biru?

Semoga pembayaran persekolahan sesi 2010 kembali tenang dan lancar!

Bayaran tambahan persekolahan

KUALA LUMPUR 2 Dis. - Kementerian Pelajaran akan mengenakan bayaran tambahan kepada pelajar bagi sesi persekolahan tahun depan.

Ketua Pengarah Pelajaran, Tan Sri Alimuddin Mohd. Dom berkata, berbeza dengan yuran persekolahan, bayaran tambahan tersebut akan digunakan untuk manfaat para pelajar.

Menurut beliau, yuran persekolahan pula akan digunakan untuk menampung hal ehwal pentadbiran sekolah serta penambahbaikan beberapa kemudahan yang disediakan.

Katanya, jumlah bayaran tambahan itu akan diumumkan kelak dan ia boleh dibayar ketika sesi persekolahan bermula.

"Bayaran tersebut tidak akan membebankan ibu bapa dan para pelajar. Ia juga akan digunakan untuk kemudahan dan aktiviti mereka.

"Sebagai contoh, duit yuran tambahan itu akan digunakan sebagai insurans dan untuk menjayakan aktiviti kurikulum pelajar sepanjang sesi persekolahan," katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.

Beliau diminta mengulas hasil perbincangan Mesyuarat Jawatankuasa Penggal Persekolahan 2010 yang dipengerusikan oleh Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin baru-baru ini.

Dalam pada itu, Alimuddin berkata, mesyuarat itu kebiasaannya akan diadakan setiap hujung tahun bagi meneliti persiapan persekolahan serta menangani pelbagai isu yang timbul sebelum bermulanya sesi persekolahan baru.

"Dalam mesyuarat tersebut, apa jua perkara berbangkit seperti infrastruktur, perabot, peralatan dan jumlah guru akan diperbincangkan.

"Ini bertujuan agar para pelajar dapat mengikuti sesi persekolahan dalam keadaan selesa serta memastikan segala kemudahan yang disediakan berada dalam keadaanbaik," jelasnya.

Sesi persekolahan baru bermula pada 3 dan 4 Januari ini.


Wednesday, December 02, 2009

UPSR: 48,171 gred A


Seramai 48,171 calon Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) memperoleh gred A atau cemerlang bagi semua mata pelajaran tahun ini berbanding 46,641 calon tahun lalu, meningkat 0.32 peratus.

Baki 319,336 calon memperoleh minimum gred C atau baik bagi semua mata pelajaran, manakala 3,266 lagi memperoleh gred E atau sangat lemah bagi semua mata pelajaran.

Ketua Pengarah Pelajaran, Tan Sri Alimuddin Mohd Dom, berkata pencapaian diukur berdasarkan Gred Purata Nasional (GPN) yang menggunakan indeks cemerlang (semua A), baik (minimum C) dan sangat lemah (semua E).

GPN adalah indeks yang digunakan bagi merumus pencapaian keseluruhan calon dalam peperiksaan serta ia dihitung berdasarkan lima gred pernyataan iaitu gred A (satu), B (dua), C (tiga) dan D (empat) dan E (lima).

“Pencapaian keseluruhan nilai GPN meningkat sebanyak satu peratus tahun ini. Cemerlang (semua A) meningkat kepada 9.51 peratus tahun ini berbanding 9.19 peratus tahun lalu dengan jumlah perbezaan sebanyak 0.32 peratus.


“Pencapaian baik (minimum C) meningkat 63.03 peratus berbanding dengan 62.56 peratus dengan perbezaan 0.47 peratus, manakala pencapaian lemah (semua E) menurun kepada 0.64 peratus berbanding dengan 0.66 peratus dengan perbezaan 0.02 peratus,” katanya pada sidang media mengumumkan keputusan UPSR 2009 di sini, semalam.


Seramai 517,908 calon berdaftar menduduki UPSR tahun ini 8 hingga 10 September lalu. Daripada jumlah itu, 510,125 adalah calon sekolah Kementerian Pelajaran, manakala 7,783 adalah calon sekolah swasta.


Beliau berkata, pencapaian calon luar bandar juga menunjukkan peningkatan, malah jurang perbezaan antara murid bandar dan luar bandar kini semakin berkurangan.


“Perbezaan bilangan calon bandar dan luar bandar mendapat gred A bagi semua mata pelajaran tahun ini ialah 3.64 peratus atau 14,980 calon berbanding 4.22 peratus atau 16,241 calon tahun lalu.


“Begitu juga perbezaan nilai GPN bagi murid di kawasan bandar dan luar bandar bagi tahun ini adalah lebih kecil, iaitu 0.2 berbanding 0.22 tahun lalu,” katanya.


Mengenai calon istimewa, Alimuddin berkata, 1,086 calon istimewa mengambil UPSR tahun ini, iaitu dua kali ganda berbanding tahun lalu, iaitu 664 calon.


Daripada jumlah itu, 13 calon memperoleh gred A bagi semua mata pelajaran, 11 (gred C) dan 59 (gred E).


Mengulas pencapaian keseluruhan UPSR tahun ini, Alimuddin berkata, secara keseluruhan ia menunjukkan bahawa sistem pendidikan negara berada di landasan yang baik.


“UPSR diadakan bertujuan mengukur tahap penguasaan murid membaca, menulis, mengira dan menaakul (4M).


“Maklumat diperoleh dijadikan petunjuk sejauh mana tahap penguasaan mereka dalam mata pelajaran yang ditawarkan sebelum melanjutkan pelajaran ke peringkat menengah,” katanya.

Dari segi mata pelajaran, Bahasa Tamil menunjukkan peningkatan gred A yang tinggi, iaitu sebanyak 3.6 peratus dan Matematik yang meningkat 4.2 peratus. -BH

Tuesday, December 01, 2009

Sistem Pendidikan memberi 'ikan' buanglah dalam tong sampah!

Semasa singgah di kedai tadi saya terserempak dengan ibubapa bekas pelajar saya. Saya bertanya mereka hendak ke mana? Katanya, mereka hendak pergi menziarahi anak. Dengan agak terkejut saya bertanya kenapa, sakit apa, kat hospital mana ?

Sambil tergelak si ibu memberitahu bukan anaknya sakit tetapi anaknya itu sedang belajar di Politeknik. Jadi mereka berdua hendak pergi menziarahi anak mereka di sana.

Saya bertanya sudah berapa lama anaknya itu belajar di Poli dan ambil kursus apa ? Kejuruteraan Mekenikal. Saya langsung mengucapkan tahniah kepada kedua ibubapa bekas pelajar saya itu. Alangkah bangga kelihatannya ibubapa dari kampung ini dengan pencapaian anaknya itu. Ialah ibubapa mana tidak bangga dengan kejayaan anak-anak. Lagipun anak-anak itulah harapan ibubapa.

"Cikgu ada masa depan ke kursus yang diambil oleh anak saya tu ? Kerja mudah ke cikgu?" tanya si bapa tiba-tiba. Si ibu tersenyum disebelah.

Apa saya nak jawab melainkan okay, tak ada masalah, bagus! Tapi dalam kepala saya berat juga memikirkan nasib masa depan para pelajar seumpama ini.

Pengalaman seorang pelajar lelaki Kejuruteraan Mekanikal Poli yang mendapat pointer 3.48 gagal menyambungkan pelajaran peringkat ijazah dalam bidang yang sama di mana-mana IPTA membuatkan fikiran saya merumuskan Diploma itu, keluaran Poli sebenar semacam tidak diiktiraf untuk melanjutkan pelajaran bidang yang sama di IPTA.

Dalam satu pameran IPTA/IPTS, yang dihadiri oleh seorang kawan, pernah beliau bertanya kepada petugas di pameran itu tentang masalah Diploma Poli ini, bahawa jawapan sepintas lalu yang diterima, pihak IPTA memang tidak menganggap Diploma Poli setaraf dengan Diploma keluaran IPTA.

Oleh yang demikian sebagai rumusannya agaknya, pelajar keluaran Poli yang mahu melanjutkan pelajaran peringkat ijazah dalam bidang yang sama ke mana-mana IPTA janganlah terlalu yakin walaupun pointernya tinggi.

Bayangkan pengalaman pelajar Poli Diploma Kejuruteraan Mekanikal yang disebutkan tadi akhirnya pihak UPU hantarnya ke kursus Ijazah Sains Sukan ! Jauh dari apa yang dipelajari di Tingkatan 4 dan 5 Sekolah Menengah Teknik dulu ! Kesian !

Satu lagi pekara yang perlu difikirkan masak-masak oleh para pelajar dan para ibubapa yang mahu anak-anaknya belajar di universiti, jangan syok sendiri ! Jika syok sendiri akibatnya merana mengangggur ! Saya mempunyai seorang orang pelajar dari anak orang PPRT yang telah lulus Ijazah Sarjana Muda dengan Kepujian dalam bidang Antropologi Sosiologi telah menganggur lebih 2 tahun.

Saya juga mempunyai ramai pelajar yang telah tamat IPTS/IPTA yang mengambil Diploma/ Ijazah seperti Pengajian Bahasa Inggeris, Banking, Kewangan, IT, Syariah dan Ekonomi Islam dan macam-macam Diploma dan Ijazah yang bunyinya canggih-canggih belaka, masih menganggur 2 hingga 4 tahun.

Seorang lagi pelajar saya yang telah pun menjadi surirumah beranak dua kelulusan Diploma Kejuruteraan Awam Poli. Setelah 3 tahun mencari kerja akhirnya bersuami.

Seorang kawan saya yang berkerja di Pelabuhan Kuantan menceritakan ada bekas pelajar Poli pemegang Diploma, di tempatnya yang berkerja buruh dan menjadi jaga !

Bayangkan, jika berjumpa dengan para ibubapa para pelajar diploma dan ijazah yang menganggur ini, agaknya hari ini semuanya bertukar menjadi sedih dan putus harapan.

Yang saya pelik perkara ini telah pun diketahui umum oleh semua pihak, tetapi kenapa masih berterusan ditawarkan kursus-kursus yang tidak memberi kemahiran dan tidak akan memberi peluang pekerjaan?

Bagi saya mereka yang masih berfikiran bahawa kerajaan menyediakan peluang pekerjaan yang mewah kepada rakyat adalah mereka yang telah ketinggalan zaman. Realiti hari ini carilah kursus persijilan, diploma dan ijazah yang walaupun tidak mendapat kerja kerajaan masih tetap teguh mampu mencari wang dengan membuat kerja sendiri.

Dan pihak kerajaan pula wajar terus mengarahkan pihak IPTA menaikkan taraf kursus -kursus kemahiran menjadi kursus peringkat diploma dan ijazah dengan lebih banyak.

Sistem pendidikan yang memberi 'ikan' perlu dibuang ke dalam tong sampah. Ajarlah mereka memancing dan akhirnya lepaskan mereka dengan membekalkan mereka joran ! Mereka adalah anak-anak rakyat yang miskin yang menjadi harapan para ibubapa !

Monday, November 30, 2009

Bilalah bangsa kita boleh berniaga seperti itu ?

Lama juga saya duduk di salah sebuah Pusat Servis kereta di bandar Kuantan sementara menunggu kereta saya siap dibaiki dan diservis. Banyak kereta yang masuk ke pusat servis itu. Kelihatannya antara kereta yang paling koman masuk ke situ ialah Hyundai Matrix milik saya.

Sementara menunggu, saya memerhati keliling pusat servis itu mencari-cari kalau-kalau ada pusat servis milik orang Melayu. Cuma kelihatan tidak berapa jauh ialah dua buah bengkel baiki kereta. Yang lain semua premis bengkel atau pusat servis milik bangsa Cina. Di persekitaran itu, saya dapat melihat bengkel-bengkel yang tersusun rapi dan tidak bersepah-sepah.

Di Pusat Servis tempat saya sevis kereta saya, kelihatan begitu teratur dan dapat saya lihat betapa serius dan berprotokolnya bangsa Cina berniaga. Dari bos hingga ke pekerja bangsa Cina ini, kesungguhan dan ketelitian bekerja memang kelihatan . Mereka memang tidak bertolak ansur dalam hal mencari untung tetapi mereka juga nampaknya tidak bertolak ansur dengan workmanship mereka.

Semasa berkerja itu, kadang-kadang saya melihat mereka macam sombong kerana mereka tidak banyak bercakap, pandang dan sengeh-sengeh kat kita pun tidak. Mereka bercakap dan memandang hanya jika ada masalah kereta kita yang sedang diservis sahaja. Berborak bersembang bukan gaya mereka.

Rupanya, agaknya, inilah rahsia kejayaan konsisten perniagaan mereka kerana banyak bercakap akan mendedahkan kelemahan, mengurangkan produktiviti dan menghasilkan kerja yang boleh dilihat tidak berkualiti.

Di satu sudut, saya lihat bos Pusat Servis itu yang dari tadi ke hulu ke hilir sentiasa memantau kualiti kerja pekerjanya, menegur dua orang pekerja yang pada piawainya, bekerja secara cuai agak saya. Saya dapat lihat sedikit minyak pelincir baru, tertumpah ke lantai, Sikit sangat ! Tetapi hanya kerana itu, pekerja-pekerja itu ditegur secara serius dan bersungguh-sungguh. Mungkin bagi orang atau budak Melayu cara teguran itu kasar tapi agaknya bagi bangsa Cina....itu biasalah, kan itu profesionalisma berkerja...!

Saya termenung melihat gaya Pusat Servis ini beroperasi. Ada sedikit rasa kagum terhadap gaya pengurusannya. Pada mata kasar saya, ianya begitu berjaya kerana agaknya pengurusannya yang no nonsense atau sangat berintegriti.

Begitulah agaknya bangsa Cina beniaga...berniaga secara mantap dan berintegriti!

Bilalah bangsa Melayu boleh sampai tahap itu ? Apakah terpaksa menunggu pisang berbuah dua kali atau tunggu kucing bertanduk ?

Thursday, November 26, 2009

Kita masih jauh atau semakin jauh ?

Membaca. Semua maklum bahawa membaca merupakan aktiviti yang sangat penting dalam menambah ilmu pengetahuan dan mencambahkan idea manusia. Melalui pembacaan yang banyak dan meluas, otak menjadi aktif berfikir untuk memberi pengalaman hidup dan melahirkan idea yang bernas, berilmu, inovatif dan kreatif.

Untuk itu semua, pembaca itu mestilah pembaca yang membaca semua bahan bacaan dengan bahan bacaan utama ialah bahan bacaan yang berkualiti ilmunya.

Ahad lalu saya berpeluang menaiki bas dari Puduraya ke Kuala Rompin. Sewaktu menunggu bas saya melihat dua orang "mat dan mek salleh" tekun membaca buku. Saya kira novel, agak tebal juga. Dalam keadaan orang hiruk pikuk di platform itu mereka berdua kelihatan tenang dan penuh minat membaca buku.

Saya bukan tidak biasa melihat perkara yang seperti ini namun keadaan 2 orang pembaca dari barat itu membuat saya melilau melihat sekeliling, adakah orang lain lagi yang membaca? Ada. Di sebelah belakang saya. Saya bangun untuk meninjau apakah yang dibaca oleh dua orang remaja Melayu di belakang saya.

Dari jauh saya melihat dua orang itu membaca majalah hiburan yang kelihatan gambar besar artis sedang berposing lelaki dan perempuan. Apa yang dibaca di muka surat yang penuh gambar itu saya tidak pasti. Di sebelah bangku saya kelihatan seorang yang agak dewasa sedang membaca Berita Minggu. Ada beberapa orang remaja lagi di sekitar saya bergoyang kaki sambil mendengar MP3 agaknya. Yang lain ramainya melihat perangai dan gelagat manusia yang berbagai-bagai, macam saya !

Fikir saya, nampaknya sudah menghampiri tahun 2010, bangsa aku masih asing dengan bahan bacaan apatah lagi bahan bacaan ilmiah atau sastra. Banyak masa yang terluang dipenuhi dengan termenung, berborak kosong, lepak-lepak, main dam, bergelak ketawa dan menonton tv.

Terlalu rindu melihat masyarakat bangsa mencandui buku-buku demi ilmu Tuhan yang melimpah-ruah.

Saya bertanya dengan seorang pemuda Melayu di sebelah saya, " Adik, adik pernah baca majalah ini ?". Saya menunjukkan majalah Dewan Masyarakat. " Tak...!".

Saya mengulurkan majalah kepada dia. Dia mengambil dan membelek sepintas lalu.

Sambil menghulur kembali kepada saya , dia berkata, " Beratlah bang...entah apa-apa cerita dia...tak faham !".

Saya terus bangun dan bersalam dengan dia kerana bas ke destinasi saya telah diumumkan akan bertolak bila-bila masa.

Kita masih jauh atau semakin jauh !?

Tuesday, November 24, 2009

Hujan lebat dijangka hingga Sabtu

"Abang, kita kena beli ikan kering dan ikan sardin, simpan", kata isteri yang tiba-tiba mengetuk minda saya. Kenapa mesti begitu? "Kan dulu ikan mahal dan tak ada ikan !" jawab isteri saya selamba.

Banjir telah melanda. apakah banjir di musim tengkujuh tahun ini akan menjadi kian teruk atau akan mereda ? Soalan yang sukar untuk dijawab dalam keadaan setiap hari cuaca mendung, menunggu hujan turun malah di kebanyakan tempat hujan mencurah dengan lebat. Semoga semuanya bersedia dengan yang tiba-tiba:

KUALA LUMPUR - Hujan lebat serta angin kencang dengan kelajuan 70 kmsj dijangka berlaku sehingga hari kedua sambutan Aidiladha pada Sabtu ini di Kelantan, Terengganu, Pahang dan Johor Timur.

Penolong Ketua Pengarah Pusat Ramalan Kaji Cuaca Jabatan Meteorologi Malaysia, Amirzudi Hashim berkata, angin ribut tropika ini menyebabkan ombak di laut bergelora ke paras setinggi 3.5 meter.

"Kesan daripada itu, air laut di sekitar pantai juga naik lebih tinggi iaitu sebanyak 0.5 meter berbanding hari biasa iaitu di paras kosong ," katanya.

Jabatan Metereologi mengesan tiupan angin berkenaan kira-kira pukul 8 pagi ini.

Angin kencang dan laut bergelora kategori pertama juga dijangka berlaku di Kelantan dan Terengganu serta Layang-Layang, Palawan dan Kudat di utara Sabah, dengan arah dan kelajuan angin 40 sehingga 50 kmsj serta ombak setinggi 3.5 meter sehingga Rabu.

Ribut petir yang berlaku di perairan Selangor, Negeri Sembilan, Melaka dan Pantai Barat Sabah pula dijangka berterusan hingga petang ini.

sinarharian

Monday, November 23, 2009

Jangan makan kedondong atau makanlah kedondong ?

Kalau tak nak lahir anak besar atau memang nak kan anak besar

CHANGLUN - Percaya atau tidak, dengan mengamalkan memakan buah kedondong setiap hari sewaktu mengandung, seseorang ibu mungkin melahirkan bayi dengan berat yang luar biasa.

Itulah apa yang berlaku ke atas Aisha Bee Yasin, 35, yang melahirkan bayi seberat 6.15 kilogram (kg) kelmarin.

Bayi lelaki yang dilahirkan secara normal di sebuah pusat perubatan swasta di sini pada pukul 1.15 pagi itu dipercayai antara bayi terbesar pernah dilahirkan di Malaysia.

Aisha Bee yang berasal dari Air Hitam, Pulau Pinang bukan setakat menjamah sebiji buah kedondong. Setiap hari dia memakan sekilogram kedondong selain memakan dua kuntum bunga ros merah bermula daribulan kedua kehamilan.

"Saya tidak makan nasi kecuali nasi lemak. Selain kedondong dan bunga ros, saya makan roti dan minum susu. Adakalanya saya menjamah laksa atau tosai.

"Rutin saya setiap hari ialah makan kedondong dan bunga ros. Ahli keluarga lain tidak boleh sentuh buah itu, saya seorang sahaja yang makan," katanya ketika ditemui di rumah mentuanya di Pekan Lama, Kampung Baru di sini semalam.

Aisha Bee, seorang suri rumah, memberitahu, sebelum ini sepanjang mengandung empat anaknya yang lain, dia mengidamkan timun dan lobak tetapi kali ini makanan itu langsung tidak disentuh.

Katanya, bunga ros mudah dibelinya di sekitar Changlun tetapi buah kedondong terpaksa dibeli oleh suaminya, Mohd. Ali Khan Razali, 41, di Alor Setar dan Pulau Pin.

Tambahnya, mengikut sejarah, keluarganya tidak pernah melahirkan bayi sebesar itu kecuali anak keempatnya, Nur Hasyimah yang seberat 5kg ketika dilahirkan.

Sumber dari Kosmo

Sunday, November 22, 2009

Kembara menggali ilmu

Seminggu di Pulau Pangkor laptop saya gagal mendapat coverage internet. Maka seminggulah blog ini terbiar. Perjalanan menuntut ilmu dengan menaiki bas dan feri sambil menarik beg besar yang jarang saya lakukan terasa agak renyah dan memenatkan. Namun begitu ianya murah berbanding menaiki kereta sendiri.

Namun demi mencari bekalan ilmu yang dirasakan masih kurang ini, saya melangkah tegap ke destinasi keilmuan saya. Walau usia ini kian meningkat tetapi ilmu wajib dituntut sepanjang hayat walaupun di mana.

Kini saya terus mengkagumi kehebatan kuasa Allah SWT, melalui impian yang terakam dalam kuasa minda di bawah sedar yang Allah anugerahkan kepada semua manusia. Apa yang diimpikan dan dirakam dalam minda dibewah sedar kita, menjadikan impian itu semakin menjadi kenyataan.

Saya sering memberitahu pelajar-pelajar saya dan pelajar yang sering mengikuti ceramah saya agar sentiasa merakamkan impian yang positif dalam minda di bawah sedar masing-masing agar ia itu berkerja siang dan malam bagi menggerakkan segala usaha fizikal dan mental untuk menjadikan segala impian sebagai kenyataan. Inilah antara rahsia kejayaan mereka yang berjaya dan cemerlang.

Insya Allah tahun hadapan pengajian ini akan selesai walaupun kembara menggali ilmu tidak selesai di situ.

Sunday, November 15, 2009

Diabetes tandingi kanser

Hamzah Abdul Hamid

SEJENIS ubat tradisional berasaskan herba dikhabarkan begitu mujarab bagi menyembuhkan penyakit kencing manis atau diabetes.

Begitu juga dengan rawatan terapi khas yang mengiringi pengambilan ubat-ubatan tersebut.

Semua pernyataan di atas adalah suatu pembohongan!

Rekod klinikal membuktikan apabila seseorang menghidap diabetes, dia akan hidup bersama penyakit itu sehingga akhir hayatnya.

“Diabetes adalah penyakit kronik yang sehingga kini tiada penawarnya. Ubat-ubatan fungsinya hanya untuk mengawal.

“Oleh itu, usah percaya kepada sebarang ubat-ubatan yang dikatakan mampu ‘menyembuhkan’ diabetes sedangkan pesakit terus terikat untuk membeli bekalan ubat tersebut,” kata Konsultan Endokrinologi, Profesor Datuk Dr. Mafauzy Mohamed.

Tambah beliau, bagaimana penghidap itu dapat menjalani kehidupan normal walaupun ‘membawa’ penyakit tersebut sepanjang hayat bergantung kepada usaha mendapatkan pemeriksaan dan rawatan yang berkesan di samping memperbaiki gaya hidup.

Jumlah penghidap diabetes di Malaysia menunjukkan kenaikan yang membimbangkan.

Pada tahun 1996, sebanyak 6.5 peratus rakyat Malaysia di kalangan usia lebih daripada 30 tahun didiagnosis dengan penyakit tersebut dan meningkat kepada 9.5 peratus pada tahun 2006.

“Kebimbangan ini seiring dengan risiko penyumbang kepada penyakit kardiovaskular seperti sakit jantung, angin ahmar dan strok.

“Pada tahun 2006 saja, dianggarkan kira-kira 1.5 juta orang yang berusia melebihi 18 tahun di Malaysia menghidap diabetes.

“Jumlah itu lebih tinggi berbanding mereka yang menghidap kanser atau AIDS,” terang Mafauzy kepada Jurnal.

Baca Seterusnya