Wednesday, December 31, 2008

Ramuan dan penambah makanan daripada sumber binatang

Kajian Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) mendapati, bahan ramuan dan penambah makanan yang berikut adalah diperolehi dari sumber binatang:

Bahan Ramuan

Sumber

Kegunaannya

Lelemak binatang

Campuran pelbagai jenis lemak –seperti lemak babi

Biskut, kraker, kerak pai-sedia dimakan

Kalsium stearat

Galian yang biasanya diperolehi daripada lembu atau babi

Garam berperisa, vanilla, pelembut daging, campuran hiasan salad

Asid kaprik (asid dekanoik

Lemak binatang

Dicampur dalam aiskrim, kandi, makanan bakar dan gula-gula getah

Gelatin

Protin daripada tulang rawan, tendon, kulit binatang, banyak gelatin komersial adalah hasil sampingan kulit babi

Gula-gula marshmallow, dadih dan makanan pencuci mulut bergeletin

Gliserida (monody dan trgliserida )

Gliserol daripada lemak binatang atau tumbuhan

Makanan yang diproses kosmetik, haruman dan losen. Digunakan sebagai pengemulsi

Lemak babi

Lemak yang diproses, selalunya lemak daripada perut babi atau lemak di sekeliling buah pinggang) Fosfilipid daripada tisu binatang

Makanan bakar

Lesitin

Tumbuhan, kacang dan kuning telur bagi mengawet, mengemulsi dan melembap makanan

Bijiran, kandi, coklat makanan bakar, majerin dan kosmetik

Asid miristik (asid tetradekanoik)

Lemak binatang

Dicampur dalam aiskrim, kandi, makanan bakar dan gula-gula getah

Asid palmitik

Pankreatin

(ekstrak pankreatik)

Lemak binatang atau lemak sayur (lembu atau babi)

Gula-gula marshmallow, dadih dan makanan pencuci mulut bergeletin

Pepsin

Enzim perut babi

Dicampur bersama rennet untuk membuat keju

Renin (renet )

Enzim pengumpal yang diperolehi daripada perut binatang (biasanya anak lembu)

Renin digunakan untuk mengental

Sodium stearoyl lactylate

Mungkin sumber lembu, babi, susu binatang atau sumber galian sayuran

Digunakan dalam kek puding atau adunan penkek dan makanan bakar

Asid stearik

(octadecenoic asid )

Lemak binatang atau lemak-lemak daripada sumber lain seperti tumbuhan atau galian

Perisa vanilla, gula-gula getah, makanan bakar, minuman, kandi, supositori dan pembalut pil

Suet

Tallow

Wei

Lemak binatang

Lemak daging lembu

Cecair yang dipisahkan daripada pepejal susu dalam penghasulan keju

Daging cincang dan pastri

Sabun, krayon, lilin dan kosmetik, kraker, roti, kek, keju, makanan diproses yang ditambah perisa

Asid Oleik

(asid olienik)

Lemak binatang

Perisa berempah untuk makanan bakar, kandi, aiskrim dan minuman.

SUMBER: PERSATUAN PENGGUNA PULAU PINANG

Tuesday, December 30, 2008

Secebis ragam di hari keputusan PMR.

Hari ini keputusan PMR mula diketahui oleh empunya diri. Saya ke sekolah untuk melihat mantan calon-calon PMR 2008 mengambil dan menerima keputusan masing-masing. Saat-saat menerima keputusan inilah saat-saat yang menyeronokkan saya untuk melihat telatah para pelajar dengan ibubapa masing-masing. Ada yang ketawa, ada yang senyum tak henti-henti, ada yang termenung, ada yang bersedih, ada yang macam kebingungan, ada yang menangis dan macam-macam lagi.

Sesampai di pejabat sekolah guru-guru yang berkenaan terutama yang mengajar Tingkatan 3 riuh rendah sekali, mengalahkan budak-budak! Kelihatannya macam gembira benar. Apa yang saya dapat agak dari keadaan itu tentu keputusan 2008 semakin baik. Saya meninjau seketika keputusan sepintas lalu selepas itu saya terus keluar untuk meninjau keadaan para pelajar.

Saya terserempak dengan Maizatul. Tidak sempat saya bertanya Mai yang mulut riuh terlebih dahulu tanya saya" sir, nak tahu keputusan saya ? Tapi sir ucaplah tahniah dulu." Begitulah perangai budak-budak. Saya ucapkan tahniah kepada Mai yang berjaya dalam PMRnya.

Sewaktu hendak menuruni tangga saya terserempak dengan sekumpulan pelajar lelaki.

"Kenapa Bob, termenung je ? Berapa dapat ?" tanya saya.

"Enam je sir." jawab Bob macam tak puas hati.

"Okaylah tu Bob, dah bagus apa. " kata saya meyakinkan Bob.

"Bagus apa sir, Bahasa Melayu saya B. Saya ni orang Melayu, bahasa Melayu saya B! Ni yang saya penat memikirkannya sir." jawab Bob selamba diiringi ketawa rakan-rakannya. Saya tidak komen apa-apa, cuma saya hanya sekadar teringat PPSMI dan memikirkan sepintas lalu bagaimana nasib bahasa Melayu 10, 15 tahun lagi !

"Awak Pian, kenapa sedih je ni ? macam mana result awak" tanya saya kepada Pian.

"8A 1D sir !", jawab Pian tawar.

" D tu apa ?"

" Bahasa Arab sir." jawab Pian macam tak ada mood. Kesian ramai yang dapat lapan A tapi D atau E bahasa Arab. Pertama kali sekolah ini ada calon mengambil Bahasa Arab Komunikasi dan tiga orang gagal.

"Tak apalah Pian, syukur kepada Allah, keputusan Pian tu sangat cemerlang". saya cuba memujuk Pian. Tersengih Pian.

Sambil bersembang dengan para pelajar tersebut tiba-tiba Farhana Ahmad menelefon saya dari Pulau Tioman menanya keputusan dia. " Sir, keputusan Fana macam mana ?" tanya Farhana ketakutan.

"Datanglah tengok sendiri", sergah saya.

"Fana kat pulau lagi ni, belum keluar ke Mersing lagi, sir tolonglah tengokkan" rayu Farhana.

Saya yang sudah tahu keputusan Farhana terus memberitahu dia keputusannya. Dia dapat 5A 3B. Saya ingatkan keputusan itu membuatkan dia gembira tapi rupa-rupanya dia menangis dalam telefon mengatakan keputusannya sangat teruk. Dia malu nak pergi ambil keputusan. Dengan sepatah dua nasihat kepada Farhana saya memutuskan panggilan apabila saya ternampak Suhaila berpimpin tangan dengan ibunya sambil diekori oleh ayahnya yang kelihatan tersenyum tak henti-henti.

" Aik...awak menangis jugak Suhaila. Maknya pun menangis jugak ?" tegur saya kepada mereka bertiga. Suhaila dengan kejayaan 9A nya tidak terkata apa-apa cuma tersenyum dalam tangisan kegembiraan.

Tidak berapa lama saya masuk ke bilik saya tiba-tiba saya di datangi oleh Izzati, "Assalamualaikum sir, saya datang jumpa sir nak bagi tahu sir keputusan saya dan nak ucapkan terima kasih kepada sir. Okay sir saya nak balik dulu, abang dah tunggu, nanti 5 hb kita jumpa lagi sir", kata Izzati selamba sambil minta izin pergi. Sambil mengucapkan tahniah dan mengiringi Izzati keluar saya terserempak pula dengan ayah Sofea.

Gembira bukan main ayah Sofea sambil terus memberi jaminan kepada saya " Cikgu, saya puas hati Sofea sekolah kat sini dan saya nak form 4 dan form 5 ni Sofea sekolah sini terus. Tak payah pergi mana-mana dah." begitulah bersemangatnya ayah Sofea.

Dari jauh terpandang pula kepada ayah Fahmi, dia mengangkat ibu jari kepada saya sambil menepuk-nepuk bahu anaknya. Saya pun mengucapkan tahniah sambil mengangkat ibu jari juga ke arah Encik Zul.

Saya masuk balik ke bilik saya untuk meneruskan kerja-kerja saya tiba-tiba datang pulak Fazuan yang terus memelikkan fikiran saya, " sir, ada seluar sekolah tak ? Pinjam?", tanya Fazuan.

Tercengang saya, seluar sekolah ? Seluar sekolah siapa budak ni nak pinjam ? Kenapa pula tanya saya?. " Relek Fazuan !Apa hal ni nak pinjam seluar sekolah saya ? Saya mana pakai seluar sekolah." jawab saya tercengang dengan kelam kabut Si Fazuan.

Dengan tergaru-garu kepala tak gatal agaknya, Fazuan menjawab "Tidak sir, bukan nak pinjam seluar sekolah sir, saya tahu sir tak pakai seluar sekolah sebab sir bukan budak sekolah tapi takut mana tahu sir ada simpan seluar sekolah budak-budak, saya nak pinjam sebab ambil slip keputusan mesti berpakaian sekolah kalau tidak tak dapat ambil. Saya terlupa nak pakai pakaian sekolah" jelas Fazuan panjang lebar. Baru saya faham dan saya bagi tahu Fazuan tak ada! Terus Fazuan bersegera keluar dan entah ke mana saya tak tahu. Macam-macam hal Si Fazuan. Dalam kelam-kabut itu Fazuan berjaya dapat 8A.

Itulah antara yang sempat saya rakamkan tadi.

Monday, December 29, 2008

Selamat Tahun Baru 1430 H

01 Muharram 1430H. Selamat Tahun Baru Hijrah 1430 kepada seluruh muslimin dan muslimat khususnya kepada semua sahabat bloggers dan perantau maya yang sering dan pernah ke blog ini.

Apabila disebut perkataan hijrah maka pemikiran seseorang muslim terbayang kepada kebulatan tekad ummat Islam di zaman Rasulullah s.a.w. berjuang mengembangkan cita-cita dan citra menegakkan keadilan serta kebenaran umat Islam. Sehingga mereka rela meninggalkan tanah air yang mereka cintai, memandang kecil penderitaan dan pengorbanan yang menjadi akibatnya. Semua itu adalah pantulan kekuatan jiwa yang bersumber dari wahyu Ilahi.

Pada hari ini hijrah secara fizikal bukan lagi tuntutan yang sewajibnya dilaksanakan. Namun hijrah hati nurani yang tidak memerlukan perpindahan tempat untuk tidak lagi melibatkan diri dengan kekotoran, kekejian tingkahlaku dan kekejaman. Ertinya, kita sentiasa dituntut untuk menjauhkan diri dari yang mungkar iaitu segala yang dilarang Allah swt kepada sesuatu yang mengikut syariat Islam.

Abad ini penuh dengan tentangan dan harapan. Tentangan, di mana umat Islam terutama di tanah air kita sendiri, sedang menghadapi berbagai ancaman terutama ancaman penghakisan akidah dan pengikisan iman disebabkan oleh berbagai hal dari sebab kemiskinan hingga ke soal keterbelakangan dalam bidang keilmuan. Namun tetap juga ada harapan, di mana telah kian ramai umat Islam sudah kelihatan membuka mata memandang agama Islam sebagai satu cara hidup (way of life) yang sesuai dan tepat diimplimentasikan di planet bumi ini khususnya di negara tercinta ini.

Semoga tahun baru 1430 hijriah ini akan melakar sinar kecermerlangan dan kegemilangan buat umat Islam seluruhnya. Dan marilah kita terus berazam melakukan kebaikan dan menjauhi segala tegahanNya dan yakin dengan firman Allah yang bermaksud :

"Barangsiapa mengerjakan kebaikan seberat biji zarrah (sawi) pun nescaya Dia akan melihat (membalas) nya. dan barangsiapa mengerjakan kejahatan seberat biji zarrah pun, nescaya Dia akan melihat (membalas) nya pula." ( Az-Zalzalah:7-8)

Sunday, December 28, 2008

Kesian...tapi apa boleh buat !

Kesian juga saya melihatnya. Keadaan tubuh badannya yang tidak sempat hendak sempurna, dipergunakan dan dipergunakan lagi. Tiada masa untuk membelai dan kadang-kadang dia terbiar begitu sahaja tanpa dipedulikan langsung. Tapi itulah teman ke hulu ke hilir baik waktu senang atau pun waktu susah. Baik waktu tenang apatah lagi di waktu kelam-kabut. Jauh mahupun dekat.

Kadang-kadang dalam seminggu tiada satu hari pun dia berehat. Kalau ke Kuantan, Mersing, Segamat, Temerloh tak usah bilanglah. Satu semenanjung dia dah berjalan. Minggu lepas ke Johor Bahru, tak kira malam siang. Bayangkan empat tahun memilikinya, dia sudah berjalan 178,000 km. Namun begitu, setakat hari ini, walau bagaimana dia dilayan, dia tidak pernah membuat onar.

Semoga hari ini tidak hujan kerana hari inilah baru berkira hendak membelainya. Hendak membelai Hyundai Matrix yang sudah lama tidak dibelai dengan tangan sendiri. Hari ini perlu dicheck minyak hitamnya, airnya, minyak breknya dan satu mentol spotlight rasanya dah terbakar. Perlu diganti segera. kerana sekarang musim hujan, spotlight sangat penting.

Minggu depan Matrix ini akan berjalan jauh lagi. Ke Rawang dan selepas itu ke UPSI Tanjung Malim, menghantar anak kedua mendaftar belajar di UPSI untuk selama 4 tahun. Selepas emak habis belajar di sana, anak pula mengganti. Dulu zaman mak belajar Matrix inilah berulang alik. Masih ada tiga saman laju belum berbayar jasa berulang alik tu. Peramkan dulu !

Itulah Matrix kesayangan saya. Fikir-fikirkan tentang Matrix ni, kesian ! Tapi apa boleh buat inilah satu-satunya harta yang ada yang mampu digunakan untuk memudahkan segala pengurusan hidup dan kehidupan untuk bergerak ke sana ke mari. I'm proud of you, my Matrix!

Saturday, December 27, 2008

Warna mampu redakan tekanan


Adakah anda mengalami masalah sakit kepala, tekanan atau sering rasa mengantuk ? Tahukah anda warna mampu menghapuskan masalah berkenaan. Dengan izin Allah, warna-warna berkenaan mungkin dapat membantu :

Merah : Hilangkan masalah sakit kepala.

Kajian mendapati bahawa warna merah dapat membantu mengurang rasa sakit kepala. Oleh itu jika anda mengalaminya, cuba letakkan tuala lembap berwarna merah di atas mata anda. Ia mampu meningkatkan peredaran dan melonjakkan adrenalin. Sebagai tambahan berhenti terus minum kopi, nescafe atau minuman yang ada unsur kedua-duanya. Insya Allah masalah sakit kepala anda akan berkurangan dan akhirnya hilang terus.

Biru : Mengurangkan tekanan.
Anda rasa tertekan ? Cuba fokuskan mata anda kepada sesuatu yang berwarna biru. Ia berupaya meransangkan suasana tenang dan ia dapat mengurangkan tekanan darah. Cuba ubah "screen saver" komputer anda kepada warna-warna yang dapat membuatkan anda merasa tenang dan kurangkan rasa tegang. Sekali-sekala pergi ke tepi pantai untuk melihat kebiruan air laut asalkan jangan terjun ke dalam laut sudah ! Insya Allah ianya akan mengurangkan tekanan.

Merah Jambu atau Ungu: Elakkan insomnia.

Jika anda mengalami masalah sukar untuk tidur pada waktu malam, apa kata anda mencuba petua ini. Cat atau hiasi bilik tidur anda dengan warna berkenaan. Kajian mendapati bahawa warna ini mampu mewujudkan suasana santai dan selesa. Suasana yang begitu romantik !

Jingga : Ceriakan mood.

Apabila anda berasa murung atau cuba mengembalikan tenaga, cuba sesuatu yang berwarna jingga, berkemungkinan besar mood anda akan berubah. Cubalah !

Hijau : Lenyapkan keletihan

Ada pendapat yang mengatakan hijau mempunyai kesan positif dalam sistem imunisasi selain dapat menggalakkan suasana harmoni di dalam badan. Ada juga pendapat mengatakan memakai pakaian warna hijau akan menjadi diri bertambah bersemangat dan paling cantik dan seimbang dengan alam katanya jika berpakaian warna hijau pada hari Jumaat. Wallahu aklam !

Friday, December 26, 2008

Selagi kita hidup, teruslah belajar bagaimana untuk hidup.

Lumrahnya menjelang tahun baru, pelbagai keazaman diwara-warakan. Kalau boleh kita ingin berubah menjadi orang positif dalam sekelip mata. Berjimat cermat, menjalani gaya hidup sihat, senyum pada pagi dan sebelum tidur, hargai masalah yang datang dan pelbagai tip lagi. Terlalu banyak tip yang kita tahu, dan kalau boleh kita mahu lakukan semuanya. Kemudian, menjadi manusia yang baru dalam waktu yang singkat. Tetapi sukar dan kita selalunya gagal.

Sebenarnya berusaha untuk berubah dalam sekelip mata dengan mengamalkan puluhan tip itu secara serentak, bukan satu tindakan yang tepat. Kita sepatutnya perlu mengambil satu, dua, atau tiga tip dahulu dan perkukuhkannya dalam diri selama satu atau dua tahun. Percayalah, akan sampai masanya nanti tip-tip itu akan menjadi darah daging kita dan kita akan mengamalkannya secara spontan.

Sebaik sesuatu tip itu sudah menjadi sebahagian daripada kita, cuba amalkan yang lain pula. Ambil satu atau dua tip sahaja dan jadikannya sebagai amalan hidup. Ulangi kaedah di atas hingga segala tip atau amalan hidup yang positif itu mengalir di dalam darah kita. Itu lebih baik daripada kita cuba mengamalkan puluhan tip amalan hidup yang positif secara serentak, tapi semuanya gagal.

Ahli falsafah Roman, Seneca, pernah berkata, "Selagi engkau masih hidup, teruslah belajar bagaimana untuk hidup".

Thursday, December 25, 2008

Santai pagi.

Akibat selalu sangat bertengkar, sepasang suami isteri telah saling tidak bertegur sapa. Pada malam hari itu, si suami memebri sekeping kertas kepada isterinya. Di kertas itu tertulis ayat, " Bangunkan aku pada pukul 7.00 pagi esok".

Apabila si suami terjaga keesokan paginya, ternyata jam sudah pukul 9.00 pagi. Dengan kebengangannya, si suami bingkas bangun dan mendapati pada tangannya terdapat secarik kertas yang bertulis, " Bangun cepat, sekarang dah pukul 7.00 pagi".

Joging

Yang eloknya selepas solat subuh, berzikir dan mengaji, kita lakukan sedikit akiviti riadhah. Bagi yang tiada masa atau berkalut-kalut di pagi hari untuk ke tempat kerja, cari masa beriadhah pada waktu petang. Malah ada orang menggunakan waktu malam berfutsal dan berbadminton dan sebagainya. Tapi itu semua memerlukan prasarana. Jadi yang paling mudah berjoging, mudah dan murah. Kalau malas juga tak tahulah. Amboi, cakap mudah....orang yang mengesyurkannya tu macam mana ? A'ah lah...macam mana ?

Joging. Asalnya berlatih mahu menyertai satu pertandingan marathon tapi akhirnya mendapati tubuhnya menjadi lebih segar dan kesihatannya bertambah baik. Lebih menakjubkan beliau mendapati berjoging mampu meredakan tekanan perasaan dan meningkatkan keyakinan diri. Lalu James F Fixx ( gambar ) menulis buku "The Complete Book of Running" untuk berkongsi pengalamannya pada tahun 1977.

Dalam buku tersebut Fixx menganjurkan orang ramai supaya berlari (berjoging) dan dalam masa yang singkat sahaja berjoging menjadi satu fenomena di seluruh ceruk dunia pada setiap waktu terutama di waktu pagi atau petang.

Menurut kisahnya Fixx mula berjoging sewaktu berusia 35 tahun dan berat badannya 96 kilogram dan menghisap rokok dua kotak sehari. Dengan berjoging secara konsisten berat badannya turun 27 kilogram dan tidak merokok lagi.

Jim Fixx telah meninggal dunia pada tahun1984 sewaktu sedang berjoging kerana masalah jantung telah mencetuskan riadhah berjoging sebagai fenomena popular sehingga ke hari ini.

Jom kita mulakan gaya hidup sihat....berjoging kita !!

Wednesday, December 24, 2008

Saluran darah tersekat punca strok

Oleh : Kol (B) Dr Abd Rahman bin Mohd Ali
(Pakar Perubatan Am & Kardiologi DEMC, Shah Alam)

Strok adalah masalah kesihatan yang kerap berlaku di sekeliling kita. Ia merujuk kepada keadaan pengaliran darah ke sebahagian otak terjejas akibat saluran darah yang tersekat. Selain itu mungkin boleh berlaku pendarahan dan ia mengakibatkan perubahan fungsi system saraf.

Siapa yang berisiko ?

  • Umur yang meningkat melebihi 55 tahun
  • Pesakit kencing manis
  • Tahap kolesterol yang tinggi
  • Pesakit darah tinggi
  • Tahap asid urid dalam darah yang tinggi
  • Wanita yang sudah putus haid
  • Wanita putus haid yang mengambil rawatan hormone.
  • Pesakit yg berhadapan dgn masalah jantung yg kembang
  • Perokok
  • Peminum arak.

Gejala dan tanda

Bergantung kepada bahagian otak yang terjejas – tanda strok berbeza-beza.

Ia boleh berlaku mendadak ; beberapa minit atau dalam tempoh 24 jam, terutama jika ia berpunca dari pendarahan.

Ia juga boleh berlaku dalam beberapa hari jika berpunca dari pembekuan darah dalam saluran darah.

Selain itu strok boleh menimbulkan gejala seperti:

  • Pening kepala atau persekitaran berpusing
  • Sakit kepala yang mendadak dan berpanjangan
  • Muntah
  • Hilang sebahagian atau seluruh penglihatan
  • Tidak dapat bertutur dengan lancar
  • Kebas dan rasa tebal bahagian muka
  • Tidak boleh menelan
  • Kebas bahagian lengan dan kaki
  • Hilang kesedaran

Rawatan

Rawatan yang paling asas adalah merehatkan diri. Selain itu perlu berjumpa doctor untuk pastikan jenis dan punca strok. Jika puncanya saluran darah tersumbat, doctor akan berikan ubat untuk cairkan darah. Bila pesakit sudah stabil, dia akan menjalani rawatan pemulihan fisioterapi dan pemulihan kerja.

Pencegahan

  • Mengawal berat badan ( inilah yang susah ni -penulis)
  • Melakukan senaman berkala. ( ini pun masalah, tak istiqamah - penulis )
  • Mengawal tahap gula dalam darah dengan sempurna
  • Mengawal tahap kolestrol dalam darah.
  • Bagi mereka yang berisiko dinasihatkan selalu berjumpa doctor untuk rawatan susulan dan mengambil rawatan dengan tepat dan berdisplin supaya tahap risiko rendah.
  • Rawatan pencegahan adalah lebih baik dari rawatan sesudah diserang strok.

(Sumber: Berita Minggu 16 Disember 2007)

Tiada apa yang paling bernilai dalam hidup ini bagi meneruskan kelangsungan hidup untuk terus berbakti kepada masyarakat dan beribadah kepada Allah melainkan kesihatan yang mantap.


Tuesday, December 23, 2008

Sebenarnya fantasi tapi mungkin juga realiti....?

Datuk B, seorang ahli perniagaan yang bijak dan licik dalam tindak tanduk bisnesnya. Suatu petang Datuk B bersembang dengan anak bujangnya, Kamil.

Datuk B : Kamil, papa sudah pun pilihkan seorang gadis untuk dijadikan isteri Kamil.

Kamil : Daddy....sekarang ni zaman modenlah daddy, biarlah Kamil yang pilih sendiri calon isteri Kamil.

Datuk B: Tapi Kamil, budak perempuan ni anak tunggal Tan Sri L, billionaire...!

Kamil : Anak Tan Sri L ? Wow, kalau macam tu Kamil setuju Dad ! Kaya Kamil...kayaaa!

Esoknya Datuk B pergi berjumpa dengan Tan Sri L di pejabatnya.

Datuk B: Tan Seri, saya dah pilihkan calon suami untuk anak Tan Sri !

Tan Sri L: Isy...tak boleh, tak boleh ! Anak saya tu muda lagi, baru habis sekolah.

Datuk B : Tapi Tan Sri, lelaki tu Naib Presiden Mayiabank !

Tan Sri L : Naib Presiden Mayiabank ? Hoo...kalau macam tu, saya setuju !

Hari berikutnya Datuk B pergi pula berjumpa dengan Presiden Mayiabank.

Datuk B : Tuan, saya nak cadangkan seorang calon untuk jadi naib presiden di bank tuan ni.

Presiden : Maaf, bilangan naib Presiden yang kami ada pun dah lebih daripada cukup.

Datuk B: Tapi tuan, calon yang saya cadangkan ini adalah menantu kepada Tan Sri L, billionaire terkenal tu !

Presiden : Menantu Tan Sri L ? Saya setuju. Suruh dia datang kerja esok !


Monday, December 22, 2008

Berpantun sikit !

Babi hutan terkena denggi,
Dirawat oleh si doktor cacing,
Harimau menangis sakit gigi,
Terberak pula dijerkah kucing.


Beruk memakai cermin mata,
Monyet pula memakai midi,
Tersengih tok kerbau mendengar berita,
Si kambing kata lembu malas mandi.

Ayam togel mengasah parang,
Menggeletar musang di belakang reban,
Tercengang si anjing bukan kepalang,
Melihat kucing tak makan ikan.

Katak terbatuk menghisap cerut,
Sampai tersentak si lembu jantan,
Badak ketawa sakit perut-perut,
Melihat monyet tercium belacan.

Biawak menyanyi buaya menari,
Tersenyum simpul si babi hutan,
Monyet bermidi, beruk bermini,
Harimau menengok bagai nak pengsan.

Lagu merdu nyanyian pak kadok,
Ular mendengar terasa nak demam,
Tertelan air liur sang katak bobok,
Melihat tok kucing makan mempelam.

( Pantun-pantun yang saya tulis semasa di Tingkatan Lima dulu )

Saturday, December 20, 2008

Barangan yang meragukan walaupun ada logo halal

Apabila pergi membeli barangan keperluan di pasar raya atau di mana-mana, perkara yang akan menjadi perhatian pengguna muslim prihatin ialah logo tanda halal, ramuan (ingredients) produk dan tarikh luput produk. Maka terbelek-belek dan tertelek-teleklah kita kepada barangan yang hendak dibeli itu. Begitulah sejak kebelakangan ini pengguna Islam begitu prihatin dalam memilih barangan yang halal, bersih dan suci.

Saya sendiri apabila membeli keperluan makanan kadang-kadang datang perasaan was-was terhadap tanda logo halal yang terletak pada sesuatu produk " ya ke ni halal ?". Pernah suatu ketika isteri saya membeli satu produk sardin yang saya rasa was-was halal haramnya, lalu tanpa berfikir panjang saya melarang produk tersebut dimakan lalu menjadikannya makanan kucing saya. Cuba lihat makanan ringan seperti asam masin, asam boi, biskut, jeruk, aiskrem dan segala jajan atau snek yang dijual di mana-mana, semuanya ada tanda halal JAKIM. Ya kah produk ini semuanya halal dimakan ? Saya juga cukup bimbang membeli ayam di pasar raya dan rasa lebih selamat membeli ayam di pasar basah.

Memang, kadang-kadang hati kita tertanya-tanya, apakah logo halal pada produk itu benar-benar telah mendapat sijil pengiktirafan halal oleh pihak berkuasa agama Islam seperti JAKIM atau Majlis Agama Islam Negeri ? Isu ini berbangkit kerana memang ada sesetengah peniaga bukan Islam mengambil kesempatan menyalahguna logo halal dan menggantung tanda halal di premis mereka walaupun makanan yang dijual tidak halal. Kita khuatir kekurangan undang-undang mengenai isu halal haram barangan yang dijual dan kelemahan sikap dan penguatkuasaan Akta Perihal Dagangan, sesetengah peniaga yang tidak bertanggungjawab mencuri peluang dengan memperalatkan logo halal itu untuk melariskan perniagan mereka.

Pendek kata kita sebagai orang Islam perlu sentiasa mengambil berat dan menjaga halal haram apa yang kita makan. Justru itu kita perlu sentiasa berhati-hati agar kita tidak tertipu.
c
Ada kawan-kawan menasihati saya supaya tidak usah mengkaji beria-ia sangat soal makanan yang dibeli kerana selagi ada tanda halal JAKIM, beli dan makan sahajalah. Betul juga cakap kawan tu, tapi bolehkah begitu ?

Friday, December 19, 2008

Thursday, December 18, 2008

Penyakit Rohani

Rasulullah SAW bersabda kepada menantunya, Ali r.a.

“ Wahai ‘Ali, setiap sesuatu pasti ada penyakitnya. Penyakit bicara adalah bohong, penyakit ilmu adalah lupa, penyakit ibadah adalah riya’, penyakit akhlaq mulia adalah kagum kepada diri sendiri, penyakit berani adalah menyerang, penyakit dermawan adalah mengungkap pemberian, penyakit tampan adalah sombong, penyakit bangsawan adalah membanggakan diri, penyakit malu adalah lemah, penyakit mulia adalah menyombongkan diri, penyakit kaya adalah kikir, penyakit royal adalah hidup mewah, dan penyakit agama adalah nafsu yang diperturutkan...."

Ketika berwasiat kepada ‘Ali bin Abi Thalib r.a. Rasulullah SAW bersabda :

Wahai ‘Ali, orang yang riya’ itu punya tiga ciri, yaitu :
1. rajin beribadah ketika dilihat orang,
2. malas ketika sendirian
3. ingin mendapat pujian dalam segala perkara.

Wahai ‘Ali, jika engkau dipuji orang, maka berdo’alah :

“ Ya Allah, jadikanlah diriku lebih baik daripada yang dikatakannya, ampunilah dosa-dosaku yang tersembunyi darinya, dan janganlah kata-katanya mengakibatkan siksaan bagiku...”

Ketika ditanya bagaimana cara mengobati hati yang sedang resah dan gundah gulana,
Ibnu Mas’ud r.a berkata :

“ Dengarkanlah bacaan Al-Qur’an atau datanglah ke majlis-majlis dzikir atau pergilah ke tempat yang sunyi untuk berkhalwat dengan Allah SWT. Jika belum terubat juga, maka mintalah kepada Allah SWT hati yang lain, karena sesungguhnya hati yang kamu pakai bukan lagi hatimu...”

Wednesday, December 17, 2008

Temporal Lobe Epilepsy (TLE)

Dua tiga hari ini cukup payah bagi saya melayari internet kerana terlalu slow mungkin kerana faktor cuaca agaknya. Hari ini agak okay sedikit. Namun begitu dua tiga hari ini saya banyak berada di luar. Apabila pulang ke rumah badan sudah terasa letih dan tidur agak awal. Membantu seorang sahabat mendapatkan rawatan penyakitnya di Pusat Rawatan Kuantan (KMC)


Dia memandu tiba-tiba fokusnya hilang dalam seminit dua dan kereta yang dipandu mula tidak tahu haluan. Pada satu pengalaman, saya berada di sebelah. Pada mulanya saya tidak perasan tetapi apabila kereta yang dipandu mula ke tepi ke tengah saya segera memegang steering sambil mengejutkannya. Dia tetap tidak sedar dan kereta semakin laju kerana pedal minyak ditekan semakin kuat. Saya serta merta free kan gear dan memberhentikan kereta perlahan-lahan dengan menggunakan handbrake. Apabila dia mula sedar saya suruh dia berehat dan saya memandu.


Dengan susah payah saya menasihati kawan saya yang cukup liat dengan hospital ini, untuk berjumpa doktor pakar bagi mengetahui kenapa dia selalu jadi begitu. Akhirnya dia bersetuju dengan nasihat saya untuk ke KMC Kuantan bukan ke HTAA Kuantan. Bagi saya kalau pergi ke HTAA terlalu lambat untuk mengetahui sesuatu penyakit. Giliran, temujanji, pembatalan temujanji, janji semula dan macam-macam perkara menjadikan proses mendapat maklumat penyakit menjadi lambat dan mungkin meletihkan.


Di KMC sahabat saya itu terpaksa menjalani proses MRI untuk mengesan apakah punca penyakitnya. setelah dua hari berulang ke KMC keputusan penyakitnya terus dapat diketahui. Rupa-rupanya sahabat saya tu mengidap penyakit yang dipanggil Temporal lobe epilepsy (TLE). Atau dalam bahasa mudahnya sejenis sawan.


Syukur kepada Allah kerana sahabat saya itu tidak memerlukan pembedahan cuma perlu mengambil ubat dan dalam tempoh enam bulan dia tidak dibenarkan memandu sebarang kenderaan.
Akhirnya kesimpulan yang mampu saya lakukan dalam kes rawatan sahabat saya ini ialah "money means quality " ! Yang tidak ber-money ........ ?! Wallahu aklam !

Menyampah tapi kesian juga

Tidak kira di mana-jalan kampung atau jalanraya, tidak kira maghrib, tak kira waktu, tak kira bahaya diri sendiri apatah lagi orang lain. Tak tahu hurmat orang yang lebih berusia. Seperti tiada fikiran langsung. Asal mampu melayan nafsu mereka, mereka akan lakukan. Berlumba !
Dalam perjalanan pulang ke rumah saya melihat ramai anak-anak remaja di tepi jalan dan masih ada kelihatan berkecai beberapa peralatan motorsikal yang pecah dan berterabur di atas jalan. Kemalangan. Saya memberhentikan kereta saya dan keluar dari kereta. Pecah kepala, patah terkulai tangan, berjejeh darah di muka, tak mampu hendak berdiri, merayu minta tolong, "Tolong saya pakcik, mati saya pakcik, aduuh....aduuuh...tolonngg !!"
Membayangkan gelagat mereka bermotor, saya sangat menyampah, benci, geram, sakit hati dan meluat semua berbaur dalam perasaan. Tetapi kerana kesian atas sifat berperikemanusiaan dan tanggungjawab sebagai orang dewasa, saya hantarkan juga mereka ke hospital. " Kamu, angkatkan kawan kamu tu masuk ke kereta saya, cepat! Dan kamu ikut sekali. Dan kamu (saya menunjuk kepada beberapa orang yang tercengang-cengang di tepi jalan) bagi tahu mak ayah budak ni pergi ke hospital segera".

Mangsa yang agak parah terlantar di belakang kereta saya mengerang kesakitan. Kawannya hanya tahu memujuknya bersabar. Sambil memandu agak laju saya terfikir besar sungguh fadhilat perkataan sabar kerana sekali disuruh sabar sekali mangsa itu senyap. Begitulah hingga sampai di hospital. Namun dalam perjalanan sekali sekala saya melepaskan geram, meleteri mangsa dan kawannya itu. Geram sungguh rasanya kerana aksi yang sombong dan lagak yang angkuhnya setiap kali mereka berada di jalanraya.

Sebaik sampai di hospital saya pastikan mangsa mendapat rawatan di bilik kecemasan dan menelefon ibubapa mangsa memaklumkan keadaan anaknya. Lepas itu saya pulang ke rumah dengan harapan ibubapa mereka datang segera hospital.

Sunday, December 14, 2008

Hujan yang turun bagaikan mutiara....

"Hujan yang turun bagaikan mutiara...." itulah yang dilagukan oleh Allahyarham Sudirman Hj Arshad. Sedari malam semalam hujan anugerah Allah ini masih belum berhenti hingga ke saat ini. Petanda apakah ini ? Petanda musim tengkujuh, selebihnya hanya Allah Yang Maha Mengetahui.

Seorang pelajar yang sedang menunggu keputusan SPM menghubungi saya dan bertanya " sir, hujanlah kat sini dari semalam lagi. Tak tahu nak buat apa. Duduk kat rumah memerap je...boringlah sir ! Nak buat apa sir?"

Cadangan saya kepada pelajar tersebut:

Pergilah cari kerja sambilan.....( mak tak kasi sir sebab pergi kerja kena naik motor, itulah yang mak tak kasi tu !)

Ok, baca bukulah..... ( ala sir, masa ambik SPM baru-baru ni mabuk dah membaca - tak kan nak membaca seharian )

Turun ke tanah, pergi berkebun....( Eee..sejuklah sir, hujaannn -basah !)

Cuba kamu menulis kisah diri kamu sendiri....( Tak minatlah menulis - penat berfikirlah sir )
Kamu cuba tulis sajak atau cerpen ke.....( Dia gelak dengan cadangan tu - pelajar ini pelajar teknikal - sir ni mengarutlah, katanya)

Okay layari internet....( online tak baguslah kat rumah sir- slow sangat )

Payah-payah sangat kamu pergi main hujan je lah ( heeee......sejuuuukkk !! , tak naak !)

Kalau tak nak juga main hujan, kamu makan tidur je ....( haa...yang ni boleh dipertimbangkan)

Payah juga saya hendak bagi cadangan lain kerana semua cadangan saya tidak menarik minat dia. Empat bulan duduk di rumah tanpa buat apa-apa. Apa nak jadi ? Tembam pipi !

Satu waktu dulu, saya pernah bertanya seorang tua yang hafal lancar surah al baqarah dan beberapa surah lain di kampung saya. Saya tanya dia, masa bila dia menghafal surah al-baqarah dengan mudah dan begitu lancar. Dia kata masa hujan panjang di musim tengkujuh. Waktu hujan dia tak keluar rumah kecuali ke masjid dan ada keperluan penting, waktu tu dia gunakan untuk menghafal ayat-ayat quran. Begitulah orang tua itu menggunakan musim hujan.

Mungkin sesiapa yang berminat menghafal ayat-ayat quran boleh menggunakan kaedah orang tua itu tadi. Satu cara menggunakan musim tengkujuh dengan baik ! Untuk pelajar saya tu...entah, tak ada cadangan lagi dah. Terpulanglah perbincangan dia dengan mak ayah dia !
Hujan yang turun bagaikan mutiara.....

Saturday, December 13, 2008

Dimana silapnya atau Siapa salah ?

Pagi tadi saya dijemput dan diamanahkan untuk menjadi jurucakap jiran saya bagi satu majlis pertunangan anaknya. Semuanya kelihatan gembira termasuklah saya. Siapa tidak gembira apabila melihat dua anak muda bakal mendirikan rumah tangga. Kalau boleh biarlah majlis perkahwinan nanti semuanya gembira, segembiranya Mawi dan Ekin ! Agaknyalah !!

Begitulah, semua yang hadir mendoakan kebahgiaan.

Namun fenomena menarik perhatian saya dan agak kelihatan menggerunkan ialah kadar penceraian yang semakin meningkat. Berhabis-habisan wang ringgit dan tenaga untuk melakar kebahagiaan hidup tetapi akhirnya rumahtangga bergoncang, retak menunggu belah dan kemudian belah itu meruntuhkan seperti runtuhnya Bukit Antarabangsa!!

Kebetulan pula sewaktu menonton Berita TV 9 tadi, Timbalan Menteri Di Jabatan Perdana Menteri Senator Murugiah ada menyebut mengenai kadar penceraian yang semakin meningkat di kalangan semua kaum di negara ini.

Fokus saya adalah bagi orang Islam, kenapa kes-kes penceraian semakin meningkat ? Adakah ini fenomena biasa di zaman ini; dah tak ada jodoh, nak buat macam mana…. ATAU sebenar di zaman ini ada yang tidak kena kepada ahli masyarakat. ATAU salah siapakah penceraian berlaku; Suami atau Isteri ? Atau bagaimana …..?

Penat juga memikirkan atau tak payah fikir…lantaklah orang, bukan kita ???

Ingat lagi mereka...terima kasih !

Kisah di malam kelmarin. Mata sudah mula mengantuk. Waktu itu jam sudah pukul 12.05minit tengah malam. Tiba-tiba ada sms masuk..."Salam. sir, selamat ari lhir. smoga sir dpnjgkn umur dn mrah rezki-bks ank murdmu. sharifah nadiah".
Saya terus pergi melihat kalendar yang tergantung, "Oh...hari ini hari lahir aku rupanya", bisik hati. Hari lahir, tuan punya diri sendiri lupa tetapi anak murid yang telah meninggalkan sekolah ini 2 tahun yang lalu dan kini berada di IPTA mengingatkan saya kepada hari lahir saya.
Sejak dari dulu lagi saya memang seorang yang tidak kisahkan hari lahir saya. Yang sering mengingatkan saya hari itu hari lahir saya ialah isteri saya. Dan kadang-kadang anak-anak panggil ke ruang makan dengan tiba-tiba meminta saya potong kek. Begitulah selalu. Saya seorang yang tidak kisah sama ada hari lahir saya perlu diraikan atau tidak. Yang penting bagi saya, saya mesti berusaha menjadi orang yang beruntung iaitu hari ini mesti lebih baik dari hari semalam.
Pukul 12.11 tengah malam, sekali lagi saya menerima sms "Selamat Panjang Umur Dan Dimurahkan Rezeki..."daripada anak-anak saudara saya Haziq, Huda dan Husna.
Tepat pukul 5 pagi saya dikejutkan oleh satu lagi sms " Salam...sir, slamat hri ulang thun kelhran y ke bpe sy tak pasti, tp y pntng sir xnmpak tua lagi, hehe...(yg ni perli ni !-penulis) mdh2hn Allah bg kesihatan yg smprna u trus bribdat dn y plng penting dpt teruskan lgi usaha bdakwah yg nampak pahit tp hasilnya sngat mnis...hppy birthdy sir ! (faiz omar -exstdnt)
Sepanjang hari itu saya banyak menerima sms dari anak-anak murid saya, yang saya nampak biasa sahaja sewaktu di sekolah tetapi rupa-rupanya ramai yang ambil tahu tarikh lahir saya dan sudi pula mengirim ucapan hari lahir di saat cuti sekolah sekarang.
Petang semalam sudah lewat satu hari saya masih menerima ucapan hari lahir dari fadhil di Politeknik Kuantan "Salam. hepy birtday sir ! Sory, lwt wish".
Kepada mereka semua yang mengirim sms-sms tersebut dan juga sms ucapan Hari Raya Aidil Adha yang membaca blog ini, saya ucapkan terima kasih di atas segala doa dan ingatan. Ada yang tak sempat saya nak balas.

Friday, December 12, 2008

Dunia Tumpangan Sementara, Akhirat Jua Yang Abadi

Hidup di dunia adalah menumpang buat sementara waktu saja. Lepas itu kita akan menginap di satu tempat yang kekal di akhirat iaitu syurga atau neraka. Di dunia ini, kita ditugaskan mencari seberapa banyak bekal untuk dibawa ke akhirat. Dunia bukan tempat bersenang-lenang. Kesenangan di dunia sementara dan bersifat palsu. Begitu juga dengan kesusahan di dunia - sementara dan palsu.

Perlulah kita fahami bahawa kesenangan di dunia bukan betul-betul senang kerana kemungkinan sekali ia menjadi bala, sementara kesusahannya pula mungkin menjadi satu rahmat dan kenikmatan pula.


Akhirat sahaja tempat yang kekal di mana kesenangannya adalah 100% dan kesusahannya juga 100%. Menyedari hakikat ini, perlulah kita menyediakan perbekalan untuk satu perjalanan yang sangat jauh. Kekurangan bekalan akan amat menyulitkan perjalanan kita.


Dalam menjalani kehidupan seharian, kita sering lupa akan matlamat kehidupan kita yang sebenarnya. Lantaran itu Allah seringkali memberi peringatan (notis) supaya kita tidak lupa akan matlamat penghijrahan kita ke alam Baqa’. Notis demi notis dikenakan ke atas diri kita, tetapi kita tidak faham-faham atau tidak erti bahasa dan gembira malah semakin besar tawanya. Kalau TNB memberi notis pemotongan elektrik, kita menjadi kelam-kabut, tetapi bila Allah menghantar notis, kita buat acuh-tak-acuh saja.


Nabi Musa pernah memberitahu Malaikat supaya segera memberitahunya sebelum mencabut nyawanya. Tetapi tatkala akan diambil nyawanya, Nabi Musa bertanya kenapa Malaikat itu tidak memberitahunya lebih awal. Malaikat segera menjawab, Allah telah banyak kali menghantar peringatan demi peringatan.


Di antara peringatan (notis) yang dihantar oleh Allah ialah semasa pertukaran rambut hitam menjadi putih, gigi menjadi rongak, mata bertambah kabur, pendengaran bertambah kurang, badan segar menjadi layu, kuat menjadi lemah, muda menjadi tua, kulit semakin kendur dan sebagainya.


Rumusannya semakin hari usia kita semakin lanjut dan kita semakin hampir dengan kematian. Oleh yang demikian jadikanlah hidup ini sebagai medan dakwah dan perjuangan menegakkan agama suci Islam paling kurang buat diri dan seluruh ahli keluarga kita. Allahu Akbar !

Perginya seorang sahabat yang baik

Semalam sedang saya bersiap untuk menziarahi kematian seorang penduduk, kampung sebelah, saya menerima panggilan telefon dari Razak Majid dari PPD Rompin memberitahu saya bahawa seorang sahabat baik saya dan salah seorang yang banyak memberi ilmu kepada saya sepanjang bersahabat dengannya satu waktu dahulu telah meninggal dunia dan akan dikebumikan pada pukul 11.00 pagi.

" Kalau kau nak pergi cepat sikit, kita bertolak selewat-lewat pukul 10.15 pagi." gesa Razak.

Waktu itu pukul 10.00 pagi. Yang mana satu saya hendak ziarah. Dua-dua saya hendak pergi tetapi jika saya ke rumah penduduk kampung sebelah, saya akan terlepas peluang memberi penghurmatan terakhir kepada sahabat saya itu. Saya membuat keputusan untuk tidak pergi menziarahi yang dekat dan saya pergi menziarahi yang jauh. Alasan saya, yang dekat mungkin tidak mengenali saya walaupun tinggal di kampung sebelah. Yang jauh adalah sahabat karib dan pernah memberi ilmu kepada saya.
Sebaik sampai di tempat yang dijanjikan dengan Razak, saya menunggu beberapa ketika kerana Razak pada waktu itu masih belum selesai bermesyuarat. Tepat pukul 10.30 pagi kami bertolak ke Pekan Pahang terus ke rumah Allahyarham. Lengang di rumahnya, yang ada hanya tiga orang sahaja. Dimaklumkan kepada kami jenazah telah dibawa ke tanah perkuburan. Kami serta merta bergegas ke tanah perkuburan.
Sebaik sampai, pengkebumian telah pun selesai dan kami hanya sempat menziarahi dan memberi penghurmatan terakhir di kubur Allahyarham.
Allahyarham semasa hayatnya seorang yang sentiasa tersenyum (smiling face). Seorang yang lemah lembut bila bertutur. Sabar dalam tindakan dan sabar dalam menerima hujah dari kawan-kawan walaupun dalam bentuk provokasi. Allahyarham seorang guru yang amanah. Bayangkan sewaktu mengajar waktu free nya hanyalah waktu rehat dan beliau tidak pernah merungut. Saya pula yang seringkali merungut apabila melihat waktu yang diberikan kepada beliau begitu padat. Itulah Allahyarham Al-Fadhil Ustaz Abdul Rahman bin Mubin yang banyak mengajar saya, erti dedikasi dan seorang guru mestilah juga seorang pendidik.
Kali terakhir saya berjumpa Allahyarham lebih kurang lima tahun yang lalu sebaik Allahyarham kembali daripada menunaikan fardhu haji. Pada waktu itu Allahyarham memaklumkan berita yang mengejutkan saya dan isteri, bahawa isterinya Kak Mie seorang yang sangat baik, telah meninggal dunia di Makkah al Mukarramah.
Dan kini Allahyarham telah kembali ke rahmatullah pada 11 Disember 2008 kerana komplikasi buah pinggang dan kencing manis. Al-Fatihah buat Allahyarham Al-Fadhil Ustaz Abdul Rahman Bin Mubin.

Muhasabah diri sendiri


Ada orang membuat cacatan untuk muhasabah diri sendiri. Mencatat perkara-perkara negatif yang selalu dilakukan sama ada secara sengaja atau tidak sengaja. Kemudian membaca kembali apa yang dicatat dan mencari jalan keluar untuk menghindari itu semua.

Umar bin Al-Khattab r.a. pernah berkata " Lakukan muhasabah terhadap diri sendiri sebelum orang lain melakukannya terhadap diri kamu, timbanglah (amal perbuatan) dirimu sebelum orang lain yang menimbangnya dan bersiap-siaplah kamu (dengan banyak melakukan amal soleh) untuk menyambut datangnya suatu hari saat amal kamu dihisab".

Umumnya terdapat tiga kesalahan yang selalu berulang-ulang dalam kehidupan kita sehari-hari, iaitu:

Pertama: Mensia-siakan waktu.

Kedua : Membicarakan perkara-perkara yang tidak berguna.

Ketiga : Memerhati masalah-masalah yang bersifat remeh.

Sesungguhnya bermuhasabah terhadap diri sendiri adalah perbuatan yang amat terpuji. SubhaanAllah !

Thursday, December 11, 2008

Malaysia gagal lagi

Dengan berbagai-bagai alasan, Pasukan Bolasepak Malaysia gagal lagi. Pasukan Bolesepak Malaysia kini menyertai sesuatu pertandingan untuk akhirnya balik awal. Pasukan Bolasepak Malaysia gagal lagi. Selepas ini akan sertai lagi pertandingan peringkat antarabangsa dan pasukan Malaysia mungkin gagal lagi.


Pasukan bolasepak Malaysia gagal bukan tanpa sebab, ada alasannya. Pasukan bolasepak Malaysia gagal kerana ada alasan. Jadi peminat-peminat bolasepak tanah air jangan bimbang dan jangan susah hati kerana pasukan negara gagal bukan saja-saja, tapi ada sebabnya, tetap ada alasan ! Maaflah wahai peminat bolasepak Malaysia, pasukan negara sudah melakukan yang terbaik (maksudnya paling baik dari yang baik) tetapi tetap gagal dan tetap ada alasannya. Jangan marah !!


Apa yang berlaku adalah takdir. Semakin canggih dan raksasanya FAM, semakin merudum Pasukan bolasepak Malaysia, tapi itu semua ada alasan. Pasukan bolasepak Malaysia ke Piala Suzuki kalah kerana tekanan untuk menang! Sebab itu Malaysia kalah, alasan Sathia.


Alasan yang paling munasabah untuk digunakan lagi di masa-masa akan datang ! Teruskan beralasan, Malaysia (Pasukan Bolasepak Malaysia)! Teruskan.....teruskan....!!!

Wednesday, December 10, 2008

Betul juga.....

Sementara menunggu jiran saya menguruskan proses keluar hospital di Hospital Mersing tadi kerana kemalangan jalanraya yang dialaminya semalam, saya sempat bersembang dengan seorang lelaki berbangsa India yang telah agak berusia.

"Uncle, uncle tunggu siapa ?" tanya saya.

"Tarak...ituu.. saya punya anak punya saudara (anak saudara) eksiden jugak ", jawab dia ringkas.

"Eksiden macam mana uncle ?"

"Dia punya motosikal, askar punya trak langgar juga, itoo 'traffic light' sana dekat", jawab uncle sambil geleng-geleng kepalanya.

"Habis macam mana keadaan anak saudara uncle tu ?",

"Sikit teruklaa....empat, kaki juga patah, sini, sini,sini, sini." terang uncle kepada saya sambil menunjuk bahagian-bahagian di kaki kanannya. Mula-mula terkejut juga saya bila uncle tu sebut 'empat kaki juga patah'. Rupanya uncle nak bagi tahu saya, sebelah kaki anak saudaranya patah empat . Teruklah tu.
"Wah...empat uncle ya...kesianlah. Sekarang uncle, jalanraya memang bahaya , semua mesti berhati-hati" ulas saya kepada uncle.
"Tarak...hati-hati juga kena kalau itu 'suwey' mari. You tengok itu cina tua sana. Dia elok-elok kayuh basikal, tepi-tepi jugak, datang itu kereta hantam dia jugak. You tengok dia punya muka, badan sume. Hoyo...suwey !" terang uncle dengan nada kecewa sambil menunjuk ke arah seorang berbangsa cina selang beberapa katil.
"Kesian itu apek uncle. Malang tak berbau" jawab saya pendek.
"Dulu orang takut masuk hutan, boleh mati juga sebab ada itu komunis dan 'tiger' sana. Ini hari masuk hutan banyak selamat. Komunis sudah tarak, itu tiger juga sudah tarak. Tapi sekarang ini jalanraya, hari-hari orang mati jugak. Banyak suwey!" beria-ia uncle bersyarah. Memang hari ini, hari-hari orang mati kerana kemalangan jalanraya. Betul juga cakap uncle tu....

Tuesday, December 09, 2008

Degil sangatkah kita ?

Tragedi Highland Tower 15 tahun yang lalu

Mengapa kita begitu ? Kita sering gagal mengambil pengajaran di atas sesuatu kejadian yang berlaku. Degil sangatkah kita ? Atau hebat sangatkah kita ?

Ya...apa yang telah berlaku, kita tidak boleh buat apa-apa lagi. Cuma sekadar melahirkan rasa simpati dan takziah kepada keluarga yang ahli keluarga mereka menjadi mangsa. Tetapi padankah kita hanya setiap tahun melahirkan rasa simpati dan menghulurkan ucapan takziah kepada mereka yang kita amat sedar sedang berada dipuncak bencana sebenarnya.

Tragedi Highland Tower 15 tahun lalu, yang berlaku pada tahun 1993 yang telah mengorbankan 48 nyawa pernah mengajar kita ilmu yang banyak tentang Bukit Antarabangsa dan kawasan sekitarnya.

Begitu juga tragedi yang menimpa banglo dua tingkat milik Pengerusi Affin Bank Bhd, Jen (B) Tan Sri Ismail Omar, yang meragut nyawa isterinya, Puan Sri Azizah Abdul Aziz, anaknya Hijaz, dua iparnya, dua cucu dan dua pembantu rumah Indonesia, pada 5 Oktober 2002. Banglo itu terletak kira-kira 300 meter dari Highland Towers, juga memberi kita ilmu yang sepatutnya begitu bererti kepada kita, terutama kepada pihak-pihak yang bertanggungjawab dan seluruh penghuni di kawasan-kawasan tersebut.

Kini kita semua diajar sekali dengan kejadian tanah runtuh awal pagi kelmarin yang meragut empat nyawa cdengan menimbus 14 banglo di Taman Bukit Mewah dan Taman Bukit Utama, Bukit Antarabangsa.

Degil sangatkah kita sehingga kita perlukan lagi pengajaran yang keempat atau yang mungkin tidak terbilang oleh kita nanti ?

Kita padamkan 'prestige' kita sesama kita, kita rendahkan sedikit status kita, kita berpijak di bumi nyata untuk bersama berada di padang rata. Kita carilah keuntungan tanpa merusakkan eko-sistem alam kita, bukan lagi di Bukit Antarabangsa dan sekitarnya, jika kita rasa, kita masih menyayangi nyawa dan jiwa kita. Dengarlah pandangan pakar-pakar kita bukan kapitalis yang tamak haloba dan politikus yang entah apa-apa.

Sudah tiga 'kuliah amali' tanah runtuh kita alami di situ, degil sangatkah kita ?

Monday, December 08, 2008

Kisah sebuah pengorbanan







Sanggupkah kita korbankan malas kita ?
Sanggupkah kita korbankah hasad dengki kita ?
Sanggupkah kita korbankan harta benda kita ?
Sanggupkah kita korbankan jiwa raga kita ?
Sanggupkah kita berkorban apa sahaja dengan hati yang ikhlas kerana Allah sebagaimana ikhlasnya Nabi Ibrahim dan Nabi Ismail ?

Sunday, December 07, 2008

Susah juga rupanya

Isteri saya baru sahaja mendapat keputusan belajarnya di UPSI. Bagi saya keputusan yang diperolehinya adalah satu keputusan yang sangat cemerlang, menggambarkan kesungguhan dia belajar di IAB dan UPSI selama ini. Sudah pasti keputusan itu membanggakan saya dan anak-anak. We are proud of you, mom !

Setelah tamat berkursus di Temerloh saya terus ke Kuantan. Tujuannya untuk membeli hadiah buat isteri saya bagi meraikan kecemerlangannnya itu. Sebenarnya bukan hadiah itu yang penting tetapi the thought that count. Sepanjang perjalanan saya tidak tahu apa yang saya hendak hadiahkan kepada isteri saya. Saya mengharapkan hadiah tersebut biarlah hadiah yang memberi erti dan menggembirakannya. Difikiran saya semuanya berlegar-legar antara kasut, beg tangan, jam tangan, telefon bimbit, kain dan macam-macam.

Susah juga bagi saya untuk membuat keputusan kerana saya bukan jenis orang yang suka membeli benda-benda yang macam itu. Lebih dahsyat lagi saya tak pandai sangat membeli. Tapi hari tu, saya bertekad saya akan mencuba.

Dari lebuhraya saya masuk ke Kuantan melalui Jalan Sungai Lembing terus ke Stadium Darul Makmur dan saya terlihat gedung pakaian A'lamoda cawangan Jekel Segamat. Lebih mudah bagi saya apabila kebetulan dihadapan gedung itu ada dua parking kosong. Sejenak saya berehat dalam kereta sebelum keluar. Keputusan hendak beli apa masih terbuka tetapi saya hendak tengok kain kalau-kalau ada yang berkenan.

Sorang-sorang diri saya masuk ke gedung tersebut. Amboi mak ...ramainya orang, orang perempuan pulak tu. "Tak kan aku hendak membeli kain di celah-celah kesibukan orang perempuan yang ramai-ramai ni" rungut hati saya. Seorang dua pelanggan menoleh ke arah saya yang kelihatan tercari-cari terintai-intai itu. Malu juga rasanya. Dari tingkat bawah saya lari naik ke tingkat atas. Tak selesa langsung berada di tingkat bawah tadi.

Di tingkat atas toleh ke kiri; bahagian pakaian dan peralatan pengantin. Ter-'brek' saya sekejap di situ. Aku masuk kat sini karang, buatnya ada yang kenal, apa pulak kata dia !
Toleh ke kanan; bahagian kain-kain eksklusif. Tertanya-tanya dalam kepala otak ni, apa benda kain-kain eksklusif ni ? Terasa pucat muka, takut ! Takut membeli kain, sebab tak pernah membeli seorang diri macam ni. Terintai-intai terjenguk-jenguk tengok kain yang cantik semuanya dan tak tahu kain apa, tak tahu nak pilih kain mana, tak tahu nak mula dari mana, tiba-tiba datang seorang jurujual.

"Pakcik nak beli kain apa ?" sapa budak itu. Terkejut saya. Terkejut pertama, dia datang tiba-tiba. Terkejut kedua, dipanggilnya pakcik, dah mula kena sedar diri tu, dah kelihatan macam pak cik. Faham sahajalah!

"Pakcik nak beli kain untuk hadiahkan kepada isteri pakcik, tapi pakcik tak tahu nak pilih yang mana ? Boleh tolong pakcik ?" jawab saya agak panjang lebar.

"Kalau nak buat hadiah, kain-kain yang ini pakcik. Ini kain-kain sutera." Saya pegang satu kain warna ungu. Cantik. Budak itu terus tarik keluar dan disidainya kain tu di lengannya sambil menunjuk ke arah saya.

"Isteri pakcik tu macam mana ?" tanya budak itu.

"Macam awaklah" jawab saya selamba.

"Kalau macam itu, yang ini memang kena. Saya suka yang ini pakcik. Cantik!", dia pula yang suka.

Saya cuba cari yang lebih cantik dari itu dan pegang yang biru. Sekali lagi budak itu tarik keluar kain itu. Di sidainya di meja yang berdekatan. Saya pergi ke rak sebelah amboi mak harganya lebih mahal . "Inikah harganya", tanya saya.

"Ye pakcik. Tapi kalau pakcik nak cuba tengok yang harga rm500 ke atas ada di ruang sana tu. Boleh saya tunjukkan." kata jurujual itu.

Mendengar harga rm500 ke atas, terus saya jawab, tak payahlah, lain kali je.

Sekarang sudah ada lima kain tersidai di atas meja, saya semakin keliru tak tahu mana satu yang hendak dipilih. Susah rupanya beli kain dalam keadaan semua kain-kain itu nampak lawa dan cantik. Patutlah isteri saya kalau membeli kain lambat, jenuhlah saya mengunggu dalam kereta. Kalau saya ikut sama, terkedu kepala lutut saya. Mahu rasanya saya tinggalkan gedung itu dan pergi beli benda lain. Malu juga rasanya sebab asyik tertelek-telek kain yang tersidai di meja. Keputusan tidak juga dibuat. Dua tiga orang jurujual memerhati kepada pakcik yang tengah susah nak pilih kain ni. Saya buat tak kisah aje.
Akhirnya saya membuat keputusan muktamad. Bukan yang tersidai itu yang saya pilih. Saya pilih yang lain dan tanya jurujual itu, "yang ini cantik tak ?"

"Eh... yang ini lagi cantik pakcik", jawab budak itu.

"Okay pakcik pilih yang ini" jawab saya konfiden.

"Yang ini, itu harganya pakcik" dia tunjuk ke arah harga.

Mak tuan, paling mahal di antara lima yang tersidai tadi. Nak tolak segan, hah beli aje lah. Ikhlas ! Ikhlas untuk isteri !

Itulah pengalaman pertama membeli kain eksklusif sorang-sorang diri untuk hadiah kepada isteri tersayang ! Susah juga rupanya....

Saturday, December 06, 2008

Mahu menjadi pemandu yang berhemah cukup mencabar

Saya bersama isteri pergi ke pasar agak lewat sedikit hari ini. Jadi kami perlu sampai segera kerana khuatir barang-barang basah keperluan sudah habis. Namun begitu saya tetap memandu pada kelajuan 90 kilometer sejam. Tidaklah laju tapi mengharapkan perjalanan ke bandar berjalan lancar.

Hari ini kenderaan dari laluan bertentangan agak banyak. Mungkin orang balik kampung agaknya, saya memberitahu isteri di sebelah. Tiba di pertengahan perjalanan, kelancaran menjadi terganggu. Kereta kancil dihadapan terlalu 'romantik' dipandu. Ya Allah...perlahannya. Hendak saya memotong kereta dilaluan bertentangan banyak. Dengan sabar hanya mampu mengekori. Lajulah sikit, jerit hati saya. Semakin merisaukan kerana lori di belakang terasa terlalu dekat. Saya menggunakan ruang yang terchad untuk memotong sambil menoleh ke arah pemandu kereta kancil tersebut. Pakcik yang agak berumur yang terlalu rapat dadanya ke steering, dengan sabarnya memandu kereta kancil tersebut. Terasa juga geramnya tetapi bila memikirkan apakah nanti aku juga akan begitu ?Sabar je lah !

Sebaik sampai di hentian lampu isyarat merah, kereta saya berada di kedudukan kedua dalam keadaan berbaris itu. Kami menunggu lampu hijau. Sebaik lampu hijau menyala untuk masuk simpang ke kanan atau untuk terus, saya bersedia untuk menggerakkan kereta saya. Tetapi kenapa kereta depan ni tidak bergerak? Saya tekan hon "Teng !". Tak bergerak juga, saya mula keliru, apa betul ke lampu hijau ni ? Kenapa tak jalan ? Saya tekan lagi agak kuat "TENG ! ". Tak bergerak juga lagi. Saya mula mengesyaki ada sesuatu yang tidak kena dengan kereta depan itu. Saya paut stceering ke kiri untuk bergerak. Sebaik kereta saya berada di sisi kereta tersebut tiba-tiba kereta itu meluncur laju ke depan. Ya ....Allah rupanya dia duduk asyik bersibuk dengan anaknya yang tengah makan ais krim. Kalau ikutkan hati mahu saja hulurkan penumbuk, " Woi, tidoo ke ?". Tapi tak lah pula buat begitu tadi, pemandu berhemah ! Sabar je lah !

Kereta-kereta lain yang ada di belakang saya terpaksa menunggu lagi kerana lampu merah sudah tiba. Pemandu berhemah, sabar je lah !

Hujan lebat, ribut petir diramal berterusan dibeberapa negeri - Laporan BERNAMA


05/12/2008 6:03pm

KUALA LUMPUR 5 Dis. — Hujan lebat dan ribut petir disertai angin kencang yang melanda beberapa negeri di seluruh negara dijangka berterusan sehingga Isnin ini.

Negeri dan wilayah yang terlibat termasuk Selangor (di Daerah Petaling, Klang, Gombak dan Sepang), Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Sabah (Bahagian Pedalaman, Kudat, Tawau, Pantai Barat dan Sandakan) dan Wilayah Persekutuan Labuan.

Menurut Jabatan Meteorologi, hujan sederhana kadang kala lebat juga dijangka berterusan sehingga Isnin di Kelantan (Tumpat, Kota Bharu, Bachok, Pasir Puteh, Pasir Mas, Tanah Merah, Machang, Jeli, Kuala Krai), Terengganu (Besut, Setiu, Kuala Terengganu, Marang, Hulu Terengganu, Dungun, Kemaman) dan Pahang (Jerantut, Kuantan, Maran, Bera, Rompin, Pekan) Keadaan yang sama dijangka berlaku di Johor, Negeri Sembilan dan Melaka mulai pagi esok.

Cuaca sedemikian boleh menyebabkan banjir berlaku di kawasan tanah rendah dan tebing-tebing sungai, kata jabatan itu. — BERNAMA